Khamis, 16 April 2009

Solat Hifzi ,Adakah ianya Bid'ah?


Perbicaraan pada kali ini kita akan sama-sama membicarakan berkenaan solat hifzi.Solat ini merupakan solat sunat yang dilaksanakan oleh golongan muslimin untuk menguatkan ingatan mereka di dalam hafalan al-Quran khususnya dan lain-lain umumnya .Perkara ini sering menjadi amalan para ulama dan penuntut ilmu.

Akhir-akhir ini ,kita mendapati ada sebahagian masyarakat (yang kita berbaik sangka kepada mereka bahawa mereka sayang kepada agama Islam,tetapi mungkin cara dan pendekatan yang tidak kena pada tempatnya) semberono mengatakan bahawa perbuatan ini adalah bida’ah dan tiada asal pengambilan tentang perkara ini daripada Rasulullah sallallahu alaihi wasallam.

Kita mengetahui dan mempelajari tentang adab-adab perbezaan pendapat.Jika kita tidak bersetuju dengan sesuatu pihak ,jangan di sebabkan ta’asub dengan pandangan kita maka sewenang-wenangnya kita melabelkan golongan yang berbeza pendapat dengan kita dengan pelbagai label dan gelaran.Perkataan bid’ah dan sesat sering kedengaran daripada mulut-mulut mereka.

Baik,sejauh manakah pelaksanaan solat sunat hifzi ini mempunyai sumber pengambilan daripada hadis-hadis baginda sallallahu alaihi wasallam?Sama-sama kita ikuti perbicaraan dengan cara yang terbaik.

al-Imam Tirmizi rahimahullah di dalam kitabnya Sunan Tirmizi meriwayatkan sebuah hadis yang panjang lebar di dalam Bab دعاء الحفظ seperti berikut(saya tidaklah meletakkan sanadnya secara lengkap ,jika sidang pembaca ingin meneliti tentang hadis ini bolehlah merujuk di dalam Sunan Tirmizi hadis bernombor 3570):

عن عَطَاءِ بن أبي رَبَاحٍ وَعِكْرِمَةَ مولى بن عَبَّاسٍ عن بن عَبَّاسٍ أَنَّهُ قال بَيْنَمَا نَحْنُ عِنْدَ رسول اللَّهِ صلى الله عليه وسلم إِذْ جَاءَهُ عَلِيُّ بن أبي طَالِبٍ فقال بِأَبِي أنت وَأُمِّي تَفَلَّتَ هذا الْقُرْآنُ من صَدْرِي فما أَجِدُنِي أَقْدِرُ عليه فقال رسول اللَّهِ صلى الله عليه و سلم يا أَبَا الْحَسَنِ أَفَلَا أُعَلِّمُكَ كَلِمَاتٍ يَنْفَعُكَ الله بِهِنَّ وَيَنْفَعُ بِهِنَّ من عَلَّمْتَهُ وَيُثَبِّتُ ما تَعَلَّمْتَ في صَدْرِكَ قال أَجَلْ يا رَسُولَ اللَّهِ فَعَلِّمْنِي قال إذا كان لَيْلَةُ الْجُمُعَةِ فَإِنْ اسْتَطَعْتَ أَنْ تَقُومَ في ثُلُثِ اللَّيْلِ الْآخِرِ فَإِنَّهَا سَاعَةٌ مَشْهُودَةٌ وَالدُّعَاءُ فيها مُسْتَجَابٌ وقد قال أَخِي يَعْقُوبُ لِبَنِيهِ ( سَوْفَ أَسْتَغْفِرُ لَكُمْ رَبِّي ) يقول حتى تَأْتِيَ لَيْلَةُ الْجُمْعَةِ فَإِنْ لم تَسْتَطِعْ فَقُمْ في وَسَطِهَا فَإِنْ لم تَسْتَطِعْ فَقُمْ في أَوَّلِهَا فَصَلِّ أَرْبَعَ رَكَعَاتٍ تَقْرَأُ في الرَّكْعَةِ الْأُولَى بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ وَسُورَةِ يس وفي الرَّكْعَةِ الثَّانِيَةِ بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ وَحم الدُّخَانِ وفي الرَّكْعَةِ الثَّالِثَةِ بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ وألم تَنْزِيلُ السَّجْدَةِ وفي الرَّكْعَةِ الرَّابِعَةِ بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ وَتَبَارَكَ الْمُفَصَّلِ فإذا فَرَغْتَ من التَّشَهُّدِ فَاحْمَدْ اللَّهَ وَأَحْسِنْ الثَّنَاءَ على اللَّهِ وَصَلِّ عَلَيَّ وَأَحْسِنْ وَعَلَى سَائِرِ النَّبِيِّينَ وأستغفر لِلْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ وَلِإِخْوَانِكَ الَّذِينَ سَبَقُوكَ بِالْإِيمَانِ ثُمَّ قُلْ في آخِرِ ذلك اللهم ارْحَمْنِي بِتَرْكِ الْمَعَاصِي أَبَدًا ما أَبْقَيْتَنِي وَارْحَمْنِي أَنْ أَتَكَلَّفَ ما لَا يَعْنِينِي وَارْزُقْنِي حُسْنَ النَّظَرِ فِيمَا يُرْضِيكَ عَنِّي اللهم بَدِيعَ السماوات وَالْأَرْضِ ذَا الْجَلَالِ وَالْإِكْرَامِ وَالْعِزَّةِ التي لَا تُرَامُ أَسْأَلُكَ يا الله يا رَحْمَنُ بِجَلَالِكَ وَنُورِ وَجْهِكَ أَنْ تُلْزِمَ قَلْبِي حِفْظَ كِتَابِكَ كما عَلَّمْتَنِي وَارْزُقْنِي أَنْ أَتْلُوَهُ على النَّحْوِ الذي يُرْضِيكَ عَنِّيَ اللهم بَدِيعَ السماوات وَالْأَرْضِ ذَا الْجَلَالِ وَالْإِكْرَامِ وَالْعِزَّةِ التي لَا تُرَامُ أَسْأَلُكَ يا الله يا رَحْمَنُ بِجَلَالِكَ وَنُورِ وَجْهِكَ أَنْ تُنَوِّرَ بِكِتَابِكَ بَصَرِي وَأَنْ تُطْلِقَ بِهِ لِسَانِي وَأَنْ تُفَرِّجَ بِهِ عن قَلْبِي وَأَنْ تَشْرَحَ بِهِ صَدْرِي وَأَنْ تعمل بِهِ بَدَنِي لأنه لَا يُعِينُنِي على الْحَقِّ غَيْرُكَ ولا يُؤْتِيهِ إلا أنت ولا حَوْلَ ولا قُوَّةَ إلا بِاللَّهِ الْعَلِيِّ الْعَظِيمِ يا أَبَا الْحَسَنِ فافعل ذلك ثَلَاثَ جُمَعٍ أو خمس أو سبع يجاب بِإِذْنِ اللَّهِ وَالَّذِي بَعَثَنِي بِالْحَقِّ ما أَخْطَأَ مُؤْمِنًا قَطُّ قال عبد اللَّهِ بن عَبَّاسٍ فَوَاللَّهِ ما لَبِثَ عَلِيٌّ إلا خَمْسًا أو سَبْعًا حتى جاء علي رَسُولَ اللَّهِ في مِثْلِ ذلك الْمَجْلِسِ فقال يا رَسُولَ اللَّهِ إني كنت فِيمَا خَلَا لَا آخُذُ إلا أَرْبَعَ آيَاتٍ أو نَحْوَهُنَّ وإذا قَرَأْتُهُنَّ على نَفْسِي تَفَلَّتْنَ وأنا أَتَعَلَّمُ الْيَوْمَ أَرْبَعِينَ آيَةً أو نَحْوَهَا وإذا قَرَأْتُهَا على نَفْسِي فَكَأَنَّمَا كِتَابُ اللَّهِ بين عَيْنَيَّ وَلَقَدْ كنت أَسْمَعُ الحديث فإذا رَدَّدْتُهُ تَفَلَّتَ وأنا الْيَوْمَ أَسْمَعُ الْأَحَادِيثَ فإذا تَحَدَّثْتُ بها لم أَخْرِمْ منها حَرْفًا فقال له رسول اللَّهِ صلى الله عليه وسلم عِنْدَ ذلك مُؤْمِنٌ وَرَبِّ الْكَعْبَةِ يا أَبَا الْحَسَنِ قال أبو عِيسَى هذا حَدِيثٌ حَسَنٌ غَرِيبٌ لَا نَعْرِفُهُ إلا من حديث الْوَلِيدِ بن مُسْلِمٍ

Maksudnya: Diriwayatkan daripada Saidina Ato’ bin Rabah dan Saidina Ikrimah(hamba kepada Saidina Ibn Abbas),mereka berdua meriwayatkan daripada Saidina Abdullah bin Abbas radhiyallahu anhuma katanya:Ketika kami bersama-sama dengan Baginda sallallahu alaihi wasallam , tiba-tiba datang Saidina Ali bin Abu Talib radhiyallahu anhu mengadu kepada Baginda sallallahu alaihi wasallam: Demi sesungguhnya ya Rasulallah ,aku secara tiba-tiba tidak mampu untuk mengingati al-quran yang telah dihafaz(telah hilang secara tiba-tiba daripada ingatanku),telah aku cuba untuk mengingatinya tetapi aku tidak mampu. Sabda Rasulullah sallallahu alaihi wasallam: Wahai Abu al-Hasan(gelaran kepada Saidina Ali radhiyallahu anhu),Mahukah kamu aku ajarkan beberapa kalimah yang mana ianya akan memberikan faedah kepadamu dan kepada orang yang kamu ajari serta mengukuhkan lagi ingatanmu terhadap apa yang engkau pelajari?Kata Saidina Ali radhiyallahu anhu:Tentu sekali aku mahu ya Rasulallah,ajarkanlah aku perkara tersebut.Sabda Baginda sallallahu alaihi wasallam: Bilamana tiba malam Jumaat maka jika kamu mampu untuk bangun pada sepertiga malam yang terakhir, yang mana waktu tersebut adalah waktu terakhir yang akan disaksikan oleh Para Malaikat, dan waktu yang mustajab doanya, Sesungguhnya saudaraku Yaakub alaihi al-salam telah berkata kepada anaknya ( seperti yang dihikayatkan oleh Allah subhanahu wa taala di dalam surah Yusuf ayat 98) maksudnya: Aku akan memohon ampun bagimu kepada Allah taala dan Saidina Yaakub alaihi al-salam menyebutkan (pada malam Jumaat nanti).Tetapi jika kamu tidak mampu untuk bangun pada waktu tersebut,maka (bolehlah untuk kamu) bangun pada pertengahan malam,dan jika tidak juga mampu,maka bolehlah bagimu bangun pada permulaan malam.Dan dirikanlah solat sebanyak 4 rakaat.Bacalah pada rakaat yang pertama dengan surah al-Fatihah dan Surah Yaasin. Dan pada rakaat kedua bacalah surah al-Fatihah dan Surah al-Dukhan, dan pada rakaat ketiga bacalah surah al-Fatihah dan surah al-Sajdah dan pada rakaat keempat bacalah Surah al-Fatihah dan surah al-Mulk.Apabila kamu telah selesai tasyahhud maka berzikirlah memuji Allah taala,kemudian pujilah Dia dengan sebaik-baik pujian, dan selawatlah kamu ke atas aku dengan sebaik-baik selawat dan selawat juga ke atas para Nabi dan mohonlah ke ampunan ke atas golongan Mukminin dan mukminat dan kepada saudara-saudaramu yang telah mendahului kamu dengan keimanan mereka kepada Allah taala dan kemudian sebutkanlah olehmu pada akhir( pujian-pujian dan doa kamu tersebut) dengan doa ini:

اللهم ارْحَمْنِي بِتَرْكِ الْمَعَاصِي أَبَدًا ما أَبْقَيْتَنِي وَارْحَمْنِي أَنْ أَتَكَلَّفَ ما لَا يَعْنِينِي وَارْزُقْنِي حُسْنَ النَّظَرِ فِيمَا يُرْضِيكَ عَنِّي اللهم بَدِيعَ السماوات وَالْأَرْضِ ذَا الْجَلَالِ وَالْإِكْرَامِ وَالْعِزَّةِ التي لَا تُرَامُ أَسْأَلُكَ يا الله يا رَحْمَنُ بِجَلَالِكَ وَنُورِ وَجْهِكَ أَنْ تُلْزِمَ قَلْبِي حِفْظَ كِتَابِكَ كما عَلَّمْتَنِي وَارْزُقْنِي أَنْ أَتْلُوَهُ على النَّحْوِ الذي يُرْضِيكَ عَنِّيَ اللهم بَدِيعَ السماوات وَالْأَرْضِ ذَا الْجَلَالِ وَالْإِكْرَامِ وَالْعِزَّةِ التي لَا تُرَامُ أَسْأَلُكَ يا الله يا رَحْمَنُ بِجَلَالِكَ وَنُورِ وَجْهِكَ أَنْ تُنَوِّرَ بِكِتَابِكَ بَصَرِي وَأَنْ تُطْلِقَ بِهِ لِسَانِي وَأَنْ تُفَرِّجَ بِهِ عن قَلْبِي وَأَنْ تَشْرَحَ بِهِ صَدْرِي وَأَنْ تعمل بِهِ بَدَنِي لأنه لَا يُعِينُنِي على الْحَقِّ غَيْرُكَ ولا يُؤْتِيهِ إلا أنت ولا حَوْلَ ولا قُوَّةَ إلا بِاللَّهِ الْعَلِيِّ الْعَظِيمِ

Sabda Baginda sallallahu alaihi wasallam lagi: Wahai Abu al-Hasan,lakukanlah olehmu solat ini pada tiga kali Jumaat, atau lima Jumaat , atau tujuh Jumaat ,Dengan Izin Allah akan mustajab doamu tersebut.Demi tuhan yang mengutuskan aku dengan kebenaran tidak akan tersalah sedikitpun seorang mukmin (yang beramal dengan perkara ini).
Kata Abdullah bin Abbas radhiyallahu anhuma: Demi Allah, Tidak lama selepas Saidina Ali radhiyallahu anhu melaksanakan perkara ini lebih kurang lima kali atau tujuh kali maka Beliau sekali lagi datang bertemu Baginda sallallahu alaihi wasallam di dalam majlis yang seumpama sebelumnya dan beliau berkata: Ya Rasulallah,Aku sebelum ini hanya mampu menghafaz empat ayat dan seumpamanya sahaja, bila aku membaca semula maka ianya akan hilang, tapi sekarang aku sudah mampu menghafaz 40 ayat dan seumpamanya ,bilamana aku membacanya semula aku mendapati seolah-olah al-Quran berada di depan mataku. Begitu juga dengan hadismu ya Rasulallah,bila aku mengulang-ulangnya maka sekejap sahaja ianya akan hilang daripada ingatanku, tetapi sekarang ya Rasulallah, bila kamu menyebutkan hadis tersebut maka tiada satu huruf pun daripadanya hilang daripada ingatanku. Sabda Baginda sallallahu alaihi wasallam bila mana mendengar perkara tersebut: Demi Tuhan Pemilik Kaabah ,Kamu adalah mukmin (benar-benar beriman dengan Baginda sallallahu alaihi wasallam)wahai Abu al-Hasan.

APAKAH MARTABAT HADIS INI?

Menurut al-Imam Tirmizi rahimahullah,hadis ini martabatnya ialah Hasan Gharib.al-Imam Hakim al-Naisaburi rahimahullah juga ada meriwayatkan hadis yang sama walaupun lafaznya ada sedikit perbezaan(saya tidak senaraikan hadisnya di sini tetapi jika para pembaca ingin meneliti perkara ini bolehlah merujuk kitab Mustadrak oleh al-Imam Hakim al-Naisaburi jilid 1 pada bab Solat-solat Sunat hadis bernombor 1191) dan beliau mengatakan bahawa hadis ini adalah Sahih seperti syarat yang telah diletakkan oleh al-Imam Bukhari dan Muslim rahimahumullah . Al-Imam Thabarani rahimahullah juga ada meriwayatkan hadis yang sama di dalam Mu’jam al-Kabir jilid 11 ,hadis bernombor 12036.

Setelah kita sebutkan tentang perkara ini maka jelaslah bahawa sebenarnya hadis ini sekurang-kurangnya mempunyai sumber pengambilan daripada kitab-kitab hadis yang disusun oleh para ulama yang muktabar.Saya hairan mengapa masih ada yang mengatakan bahawa hadis ini adalah maudhu’.Sedangkan kita mengetahui perkataan Maudhu’ adalah satu istilah yang agak berat .Seolah-olah hadis ini adalah rekaan para ahli bid’ah.

Ya,mungkin mereka mengambil pendapat daripada al-Imam Ibn Jauzi rahimahullah yang menyebutkan di dalam kitabnya al-Maudhu’at.Tetapi perlu diingat ,sesiapa yang mempelajari ilmu hadis pasti mengetahui bahawa al-Imam Ibn Jauzi agak mudah dalam meletakkan sesuatu hadis tersebut sebagai Maudhu’.Oleh sebab itulah al-Imam Suyuti rahimahullah mengarang kitab اللآئى المصنوعة bagi menerangkan kembali sebahagian hadis yang disebutkan oleh al-Imam Ibn Jauzi sebagai hadis Maudhu’( tetapi hakikatnya bukanlah sedemikian).Malah al-Imam Suyuti rahimahullah menyebutkan di dalam kitabnya اللآئى المصنوعة bahawa hadis ini tidaklah mencapai taraf al-Hasan tetapi beliau tidak pula menyebutkan bahawa ianya maudhu’ seperti yang dikatakan oleh sesetengah pihak.

Al-Imam al-Zahabi rahimahullah ketika memberikan komen tentang hadis ini menyebutkan bahawa : هذا حديث منكر شاذ أخاف أن يكون موضوعا maksudnya: Ini merupakan hadis yang mungkar syaz, aku bimbang ianya akan menjadi Maudhu’.

Cuba sidang pembaca perhatikan kalam al-Imam Zahabi rahimahullah,beliau tidak menyebutkan dengan mudah bahawa ianya Maudhu’ seperti sebahagian golongan.Tetapi masih beradab dengan para ulama hadis yang lebih awal daripadanya.Inilah sikap yang kita perlu contohi.Begitu juga dengan sikap al-Syeikh Muhammad Abdul Rahman Mubarkafuri,pengarang kitab تحفة الأحوذى بشرح جامع الترمذى beliau juga langsung tidak menyebutkan bahawa hadis ini maudhu’.

KESIMPULAN

Jelaslah bagi kita bahawa sekurang-kurang martabat bagi hadis ini adalah dhoif.Maka seperti yang disebutkan oleh al-Imam Nawawi rahimahullah di dalam kitab-kitab beliau dan para ulama hadis yang lain bahawa hadis dhoif tiadalah masalah untuk kita beramal dengannya.

Nasihat saya,jangan kita cepat menghukum sebelum mengkaji terlebih dahulu.Sikap menghukum sebegini bukanlah satu sikap yang matang.Jangan hanya dengan pembacaan yang sekadarnya sudah cukup untuk meletakkan kita sebaris dengan para ulama mujtahid yang lain dan sewenang-wenangnya mendabik dada mengaku bahawa kita juga pandai di dalam bidang tersebut.Kebenaran adalah lebih berhak kita ikut .Hanya yang sombong tidak akan menerima kebenaran yang sudah ada di depan mata.

Wallahu a’lam.

Rujukan:

1. تحفة الأحوذى بشرح جامع الترمذىjilid 9 cetakan Darul Hadis
2. المستدرك على الصحيحين jilid 1 cetakan Darul Haramain
3. ضوء القمر على نخبة الفكر cetakan darul Basa’ir
4. معجم الكبير jilid 11 Maktabah Syamilah

3 ulasan:

  1. Assalamualaikum.semoga ustaz berada sentiasa dalam naungan rahmat ALLAH.boleh tak ustaz terangkan apa yang disebutkan oleh al-Imam Syaukani dalam kitabnya Tuhfatuz Zaakiriin mengenai solat sunat hifzi?Kerana dari ceramah yang saya dengar al-Imam Syaukani mengatakan ianya tidak tsabit daripada Nabi s.a.w.Syukran.INSAN YANG MENCARI KEBENARAN.

    BalasPadam
  2. beramal je dengan hadis yang sahih..pasti xkan ada org pertikai punya kan..apa yang susah sgt..yg sahih byk lagi xteramal dan berselisih nak pilih yang dhaif..

    BalasPadam
  3. syukran ust..diatas penjelasan yang diberikan..diharapkan ini dapat menjadi hujah untuk berhadapan dengan puak2 yang sewenang-wenangnya menghentam ulamak terdahulu..

    BalasPadam

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...