Ahad, 19 April 2009

Guru-Guru Di KISAS Yang Tak Dapat Dilupakan




Segala puja dan puji hanya layak untuk Tuhan semesta alam yang telah memberikan nikmat yang tidak terhingga buat hambaNya yang hina ini.Jika difikirkan dengan sedalam-dalamnya maka tentu kita akan berasa kerdil dan semakin merendah diri,kerana hakikatnya walaupun kita hidup bergelumang dengan dosa dan noda namun Rahmat dan KurniaNya amat banyak sekali kepada kita. Sedikit pun tidak diminta bayaran dan pulangan. Allah taala yang mempunyai sifat al-Jawwad(yang memberi walaupun tidak diminta) dan al-Karim(yang memberi jika meminta) memberikan kepada hambaNya tanpa membezakan antara kaya atau miskin, muda atau tua, beriman atau kufur..Sedikit pun tidak dibezakan olehNya.Maha Tinggi rahmatMu Ya Tuhanku.

Antara sebesar-besar nikmat yang Allah kurniakan kepada kita ialah dikurniakan guru-guru yang mendidik kita untuk memastikan bahawa kita mampu membawa sinar kepada agama dan seluruhnya.

Saya juga mempunyai sebilangan guru yang saya tidak akan dapat lupakan jasa baik mereka terhadap saya. Walaupun pernah dimarahi dan ditegur tetapi semuanya bukanlah kerana mereka benci kepada saya namun hanya semata-mata kasih dan ingin memastikan bahawa saya akan menjadi manusia yang berguna.

Saya mula melangkahkan kaki ke Kolej Islam Sultan Alam Shah pada tahun 2000 iaitu selepas berjaya dengan agak cemerlang di dalam peperiksaan PMR dengan mendapat 8A 1B. Masih teringat lagi ketika mana melihat sahabat-sahabat karib seperti Mokhlis dan lain-lain(yang belajar di SMKA Baling) semuanya dapat melangkahkan kaki ke KISAS dengan lebih awal berbanding saya( first intake dan saya masuk second intake),saya memberitahu kepada ibu dan ayah bahawa kalau tak dapat KISAS saya akan keluar daripada sekolah dan belajarlah kat mana-mana sekalipun.Buruk juga kalau diingat semula perangai saya waktu tersebut. Tapi kenangan tersebut sangat berharga. Akhirnya saya menerima tawaran untuk ke KISAS.

Sebelum saya sampai ke KISAS, saya membayangkan seolah-olah ianya sebuah sekolah yang amat cantik, tetapi sebaliknya sebaik sampai , apa yang digambarkan adalah sebaliknya. Jalan yang tidak berturap dan keadaan bangunan yang lama dan lain-lain kelemahan( tapi sekarang sudah cantik). Agak kecewa pada mulanya. Namun saya ketika tersebut belum mengetahui hakikat bahawa KISAS yang namanya begitu gah dan hebat bukanlah terdapat pada wajah luarannya. Tetapi mutiara-mutiara waqafan yang tersimpan di dalamnya sangat berharga sekali. Guru-gurunya, sahabat-sahabat seperjuangan dan biahnya yang membentuk peribadi sebenar.
Ketika tingkatan 4 dan 5, kenangan saya di sana agak biasa-biasa sahaja. Cuma ketika tingkatan 6 rendah dan 6 atas kenangan saya begitu banyak di KISAS. Saya bukanlah jenis pelajar yang terlalu mengikut peraturan (semasa tingkatan 5) . Masih teringat saya pernah ditahan di tengah jalan oleh al-Fadhil Ust Syeikh Salim ketika saya bersama Hadi Awang dan Farizan keluar makan pada waktu malam. Kami diarahkan balik ke asrama dan pada minggu depannya kami dipanggil keluar di hadapan perhimpunan untuk didenda. Saya yang ketika tersebut memegang jawatan Exco Penerbitan BADAR 01 merasa amat malu kerana terpaksa berdiri di hadapan . Rupa-rupanya ramai lagi yang keluar pada malam tersebut. Semuanya ditampar dan dirotan di perhimpunan, cuma kami bertiga (saya, abd hadi dan farizan ) tidak ditampar dan dirotan. Mungkin Ust Syeikh sayangkan kami agaknya.

Ketika mula-mula melangkahkan masuk pada sesi 2002 (tingkatan 6 rendah) ,kelas yang mula-mula saya masuk ialah Kelas Bahasa Melayu. Guru yang mula-mula masuk dalam kelas tersebut ialah Cikgu Jamaliah yang tercinta. Beliau yang mula-mula memberikan kata-kata yang tidak akan saya lupakan sampai sekarang.Katanya: “Sesiapa yang nak jadi ahli bahasa maka kamu telah berada di kelasnya sekarang,tetapi sesiapa yang nak jadi ulama maka masuk la ke kelas STAM( 6 atas 1)” .Sebaik mendengar kalam tersebut, perasaan saya terus membuak-buak ketika tersebut untuk masuk ke kelas STAM. Jadi, saya hanya satu hari berada di dalam kelas bahasa melayu, keesokkan harinya terus berpindah ke kelas 6 atas 1. Terima kasih cikgu atas saranan yang diberikan. Akhirnya sekarang saya berada di Bumi Anbiya’ menuntut ilmu yang benar-benar saya minati.

Ustaz-ustaz,Ustazah-ustazah dan guru-guru yang banyak memberikan semangat kepada saya tidak akan saya lupakan. Ustaz Nawi,Ustaz Kamal,Ustaz Fazdi,Ustaz Syeikh, Ustaz Wan Abdullah, Ust Ismail rahimahullah,Ust Maliki, Ust Najib, Ust Abdullah, Ust Majid, Cikgu Talib, Ustaz Mukhtar, Mama Semah, Ustazah Muntamah, Ustazah Muntimah, Ustazah Nek Hafizah, Ust Nik Mahizan, Ustazah Noreidah, Ustazah Aina , Ustazah Norhayati, Ustazah Normah, Ustazah Rashidah Nor, Ustazah Zakiah, Ustazah Zaidah, Ustazah Siti Hilmiyah,Ustazah Misyati, Cikgu Noraniza,Cikgu Jamaliah, Cikgu Salma,Cikgu Mariah, Teacher Azmalia, Teacher Raja , Sir Anuar, Cikgu Zaleha dan semua guru-guru yang mungkin tidak disebutkan namanya disini. Semuanya terpahat di dalam sanubari saya selamanya. Kalian adalah segalanya bagi saya. Walaupun saya bukanlah pelajar yang terbaik ketika di KISAS, namun kalian adalah pendidik yang terbaik bagi diri saya.

Bagi saya ,hari guru bukanlah pada tarikh tertentu, tetapi hari guru adalah setiap hari bagi saya. Kerna saya wajib mendoakan kesejahteraan bagi guru-guru saya setiap masa.

Baru-baru ini ketika saya pergi melawat ke KISAS bersama Mama Semah( ibu yang banyak memberikan nasihat dan semangat kepada saya), bertemu semula dengan guru-guru memberikan kenangan yang tidak akan dapat saya lupakan . Walaupun kelihatan Ustazah Noreidah seumpama acuh tak acuh dengan saya, tetapi ketika makan bersama Ustaz Nawi di kantin, beliau datang dan duduk bersama kami berborak-borak tentang Mesir. Baru saya rasakan rupanya Ustazah masih sayangkan saya.

Sesuatu yang tidak dapat saya lupakan, Ustaz Nawi ketika ingin berpisah dengan saya, menitiskan air mata sebak dan terharu bila melihat saya . Guru-guru di KISAS amat berharga.Merekalah mutiara di bumi Waqafan.

Ustazah, dulu ketika di dalam kelas saya antara yang lemah di dalam pelajaran Nahu dan Sarf, tetapi sekarang Alhamdulillah, saya tidak sangka akan mengajar nahu dan sarf ketika di Mesir. Jasa kalian amat besar sekali.

Doakan saya selalu disini. InsyaAllah ada kesempatan umur kita akan bertemu lagi. Doakan muridmu di sini menjadi ulama yang mampu memberikan sinar untuk Islam di Bumi Malaysia kelak.

MOHD NAZRUL ABD NASIR,
RUMAH KEDAH HAYYU 10 ,
KAHERAH, MESIR.

Tiada ulasan:

Catat Komen

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...