Memaparkan catatan dengan label Hadis. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Hadis. Papar semua catatan

Rabu, 6 April 2011

Bagaimana Memakai Cincin Menurut Sunnah?

Ada seorang sahabat yang sangat mencintai sunnah Baginda sallallahu alaihi wasallam telah bertanya kepada saya tentang cara pemakaian cincin menurut sunnah Baginda sallallahu alaihi wasallam.

Saya tidak ingin menjawab dengan pandangan saya yang sangat faqir di dalam ilmu, namun saya akan memberikan jawapan yang telah diberikan oleh al-Imam Jalaluddin al-Suyuti rahimahullah dan para ulama yang lain. Jawapan daripada para ulama ini akan saya ringkaskan agar mudah difahami oleh para pembaca.

Ada beberapa perkara yang akan terlintas di dalam persoalan berkaitan cincin :

1.    Adakah terdapat berat yang khusus untuk memakai cincin?

2.    Adakah kita boleh mengambil segala jenis logam untuk dijadikan cincin seperti tembaga, besi dan lain-lain?

3.    Adakah harus bagi kita memakai lebih daripada satu cincin perak di tangan bagi lelaki?

4.    Adakah cincin yang dipakai oleh Baginda sallallahu alaihi wasallam mempunyai batu? Apakah jenis batunya?

5.    Di jari manakah Baginda sallallahu alaihi wasallam memakai cincin , kanan atau kiri? Dan bagaimana pula keadaan batu cincin Baginda sallallahu alaihi wasallam, samada dipusingkan ke tapak tangan atau tidak?
Ini antara soalan yang terlintas di dalam pemikiran kita. Sekarang kita lihat pula bagaimana para ulama memberikan jawapan bagi permasalahan ini. Jawapan yang akan saya kemukakan adalah menurut turutan soalan di atas. Di harap para pembaca mengambil perhatian terhadap perkara ini.

JAWAPAN

BERAT CINCIN

1.    Para ulama berbeza pandangan di dalam permasalahan berat cincin yang dibenarkan. Al-Imam Haskafi rahimahullah, ulama bermazhab Abu Hanifah mengatakan bahawa sesebuah cincin tidak boleh melebihi berat satu Mithqal yang bersamaan 4.680 gram. Al-Imam Ibn Abidin yang merupakan ulama bermazhab Abu Hanifah juga merajihkan pandangan pengarang kitab al-Zhaqirah bahawa berat yang dibenarkan hanya satu Mithqal.

2.    Para ulama Malikiyah pula berpandangan dibenarkan untuk seseorang memakai cincin dengan kadar 2 dirham ke bawah. Berat dua dirham menurut pengiraan moden ialah  3.125 gram ×  2 = 6.25 gram

3.    Para ulama Syafieyah pula mengatakan bahawa berat cincin bergantung kepada adat atau uruf setempat. Jika melebihi daripada adat tempat tersebut maka ianya dianggap membazir.

4.    Para ulama Hanabilah  pula berpandangan tiada masalah untuk memakai cincin yang beratnya melebihi satu mithqal.  Tetapi dengan syarat tidak terkeluar daripada uruf atau adat setempat yang ditetapkan. Jika melebihi uruf maka hukumnya adalah haram.

LOGAM YANG DIBENARKAN UNTUK MEMBUAT CINCIN

EMAS

1.    Para ulama bersepakat mengatakan bahawa emas dibenarkan kepada wanita untuk memakainya, manakala bagi lelaki ianya adalah haram.

2.    Manakala untuk kanak-kanak yang belum baligh, para ulama Syafieyah di dalam pandangan muktamad di dalam mazhab berpendapat bahawa dibenarkan bagi mereka untuk memakai emas samaada kanak-kanak lelaki atau perempuan.

PERAK

1.    Para ulama bersepakat mengatakan bahawa cincin perak dibenarkan kepada wanita. Manakala bagi lelaki pula terdapat perincian oleh para ulama .

2.    Para ulama Hanafiyah mengatakan bahawa harus bagi lelaki memakai cincin perak. Ianya menjadi sunnah kepada para sultan, para qadhi dan yang seumpama dengannya. Manakala kepada selain sultan, qadhi dan yang seumpama dengannya terlebih afdhal bagi mereka tidak memakai cincin perak.

3.    Para ulama Malikiyah pula berpandangan bahawa memakai cincin perak bagi lelaki adalah harus dan jika dipakai dengan tujuan mengikut sunnah Baginda sallallahu alaihi wasallam hukumnya adalah sunnah dan haram memakainya dengan tujuan berbangga diri.

4.    Para ulama Syafieyah pula berpandangan bahawa disunatkan kepada sesiapa sahaja untuk memakai cincin perak bukan dikhususkan kepada sultan dan qadhi semata-mata.
 
5.    Para ulama Hanabilah berpandangan bahawa memakai cincin perak bagi lelaki adalah harus.

SELAIN DARIPADA EMAS & PERAK

1.    Para ulama Malikiyah ( dalam pandangan yang muktamad ) dan ulama Hanabilah berpandangan bahawa memakai cincin daripada besi, tembaga dan seumpama dengannya adalah makruh berdasarkan larangan Baginda sallallahu alaihi wasallam di dalam hadis. Hukuman ini merangkumi lelaki dan  wanita.

2.    Para ulama Malikiyah berpandangan bahawa mengambil cincin daripada kayu, kulit dan batu adalah harus bagi lelaki dan wanita. Manakala para ulama Hanabilah pula berpandangan diharuskan bagi lelaki dan wanita memakai cincin daripada zamrud, yaqut, jed dan lain-lain jenis batu.

3.    Para ulama Syafieyah pula mempunyai dua pandangan di dalam permasalahan ini. Sebahagian mengatakan bahawa hukumnya makruh memakai cincin selain emas dan perak. Manakala sebahagian lagi mengatakan tidak makruh. Al-Imam Nawawi rahimahullah berpandangan dengan mengatakan tidak makruh memakai cincin daripada selain emas dan perak . al-Imam Qalyubi di dalam Hasyiyahnya juga mengatakan bahawa tiada masalah untuk memakai cincin daripada tembaga , besi dan lain-lain.

4.    Para ulama Hanafiyah pula seperti al-Imam Ibn Abidin rahimahullah mengatakan bahawa dihalalkan bagi lelaki memakai cincin perak dan diharamkan memakai cincin emas, tembaga atau besi. Manakala mengambil cincin daripada batu adalah dibenarkan khususnya batu aqiq.

Syaikh al-Allamah Abdullah Fad aq hafizahullah..Lihat pemakaian cincin pada jarinya

HUKUM BERBILANG-BILANG CINCIN

1.    Para ulama Malikiyah mengatakan bahawa diharamkan bagi seseorang lelaki memakai lebih daripada satu cincin.

2.    Para ulama Syafieyah pula berpandangan bahawa dibenarkan untuk memakai 2 bentuk cincin perak dalam satu masa. Ini seperti yang disebutkan oleh al-Imam Jalaluddin al-Suyuti rahimahullah. Makruh hukumnya memakai lebih daripada 2 bentuk cincin. Al-Imam Isnawi rahimahullah juga berpandangan sedemikian dan kata al-Imam Khawarizmi di dalam al-Kafi : Makruh memakai kedua-dua cincin tersebut pada satu jari.

3.    Para ulama Hanabilah pula berpandangan bahawa dibenarkan bagi lelaki memakai dua cincin dan lebih selagi mana tidak keluar daripada adat setempat.

4.    Manakala para ulama Hanafiyah tidak pula kedapatan mereka mengeluarkan pandangan di dalam masalah ini.
 

BENTUK CINCIN RASULULLAH

1.    Cincin Baginda sallallahu alaihi wasallam ada dua jenis. Ada yang diukir perkataan “ Muhammad Rasulullah” dan ada yang diletakkan batu.

2.    Jenis batunya menjadi perbahasan para ulama, sebahagian mengatakan bahawa ianya adalah jenis aqiq dan al-Imam Jalaluddin al-Suyuthi mengatakan bahawa beliau melihat di dalam kitab Mufradat fi  al-Tibb  
karangan Ibn al-Baithar bahawa jenis batu tersebut adalah zabarjad.
 
JARI YANG SUNNAH DILETAKKAN CINCIN

1.    Bagi wanita tiada tempat yang khusus diletakkan. Terpulang kepada mereka untuk memakai cincin dimana sahaja anggota. Samada di kesemua jari tangan atau jari kaki sekalipun. Ini kerana itu adalah perhiasan bagi mereka.

2.    Para ulama berbeza pandangan tentang kedudukan jari yang sunnah dipakaikan cincin bagi lelaki. Para ulama Hanafiyah mengatakan bahawa disunnahkan bagi lelaki untuk memakai cincin di jari kelingking sebelah kiri dan bukan pada jari lain walaupun kanan. Sebahagian daripada ulama Hanafiyah mengatakan bahawa diharuskan untuk memakai cincin pada jari kelingking kanan.

3.    Manakala al-Imam Malik radhiyallahu anhu, guru kepada al-Imam al-Syafie radhiyallahu anhu mengatakan bahawa disunnahkan memakai cincin di jari kelingking kiri dan beliau sendiri memakai cincin di jari kelingking kiri. Al-Imam Ibn al-Arabi al-Maliki mengatakan bahawa sunnah memakai cincin pada jari kelingking kiri dan makruh memakainya pada  kelingking kanan.

4.    Para ulama Syafieyah mengatakan bahawa harus untuk dipakai cincin pada jari kelingking kanan atau kiri sekalipun. Tetapi pandangan yang masyhur ialah memakainya pada jari kelingking kanan kerana ianya merupakan tempat untuk berhias. Manakala memakai cincin pada jari manis adalah dibenarkan. Jari tengah, telunjuk dan ibu jari adalah dilarang bagi kaum lelaki untuk meletakkan cincin padanya. Ini kerana terdapat larangan daripada Baginda sallallahu alaihi wasallam kepada Sayyiduna Ali radhiyallahu anhu untuk memakai cincin pada jari-jari tersebut.

5.    Para ulama Hanabilah pula berpandangan bahawa afdhal memakai cincin pada jari kelingking kiri. Mereka juga berpandangan bahawa dibenarkan untuk memakai cincin pada jari manis dan ibu jari. Manakala jari telunjuk dan jari tengah adalah dilarang untuk meletakkan cincin padanya kerana terdapat larangan yang jelas daripada Baginda sallallahu alaihi wasallam.



KE ARAH MANAKAH BATU CINCIN DIPUSING?

1.    Para ulama mengatakan bahawa dibenarkan untuk kita menzahirkan batu cincin ke atas. Namun yang lebih afdhalnya menurut sunnah Baginda sallallahu alaihi wasallam adalah dengan memusingkan arah batu tersebut ke telapak tangan.

Semoga kita semua dapat mengambil manfaat dengan perbahasan ini bagi menghidupkan sunnah Baginda sallallahu alaihi wasallam.

RUJUKAN :

1.    Mausu’ah al-Kuwaitiyah Jilid 11

2.    Al-Hawi lil Fatawi oleh al-Imam Jalaluddin al-Suyuthi radhiyallahu anhu , jilid 1 mukasurat 75-76 cetakan Darul Kutub Ilmiyah tahun 1982



Mohd Nazrul Abd Nasir,
Penuntut Ilmu Masjid al-Azhar al-Syarif & Masjid al-Asyraff,
Rumah Ayah & Bonda di Pedu,
Kedah, Malaysia

Khamis, 16 April 2009

Solat Hifzi ,Adakah ianya Bid'ah?


Perbicaraan pada kali ini kita akan sama-sama membicarakan berkenaan solat hifzi.Solat ini merupakan solat sunat yang dilaksanakan oleh golongan muslimin untuk menguatkan ingatan mereka di dalam hafalan al-Quran khususnya dan lain-lain umumnya .Perkara ini sering menjadi amalan para ulama dan penuntut ilmu.

Akhir-akhir ini ,kita mendapati ada sebahagian masyarakat (yang kita berbaik sangka kepada mereka bahawa mereka sayang kepada agama Islam,tetapi mungkin cara dan pendekatan yang tidak kena pada tempatnya) semberono mengatakan bahawa perbuatan ini adalah bida’ah dan tiada asal pengambilan tentang perkara ini daripada Rasulullah sallallahu alaihi wasallam.

Kita mengetahui dan mempelajari tentang adab-adab perbezaan pendapat.Jika kita tidak bersetuju dengan sesuatu pihak ,jangan di sebabkan ta’asub dengan pandangan kita maka sewenang-wenangnya kita melabelkan golongan yang berbeza pendapat dengan kita dengan pelbagai label dan gelaran.Perkataan bid’ah dan sesat sering kedengaran daripada mulut-mulut mereka.

Baik,sejauh manakah pelaksanaan solat sunat hifzi ini mempunyai sumber pengambilan daripada hadis-hadis baginda sallallahu alaihi wasallam?Sama-sama kita ikuti perbicaraan dengan cara yang terbaik.

al-Imam Tirmizi rahimahullah di dalam kitabnya Sunan Tirmizi meriwayatkan sebuah hadis yang panjang lebar di dalam Bab دعاء الحفظ seperti berikut(saya tidaklah meletakkan sanadnya secara lengkap ,jika sidang pembaca ingin meneliti tentang hadis ini bolehlah merujuk di dalam Sunan Tirmizi hadis bernombor 3570):

عن عَطَاءِ بن أبي رَبَاحٍ وَعِكْرِمَةَ مولى بن عَبَّاسٍ عن بن عَبَّاسٍ أَنَّهُ قال بَيْنَمَا نَحْنُ عِنْدَ رسول اللَّهِ صلى الله عليه وسلم إِذْ جَاءَهُ عَلِيُّ بن أبي طَالِبٍ فقال بِأَبِي أنت وَأُمِّي تَفَلَّتَ هذا الْقُرْآنُ من صَدْرِي فما أَجِدُنِي أَقْدِرُ عليه فقال رسول اللَّهِ صلى الله عليه و سلم يا أَبَا الْحَسَنِ أَفَلَا أُعَلِّمُكَ كَلِمَاتٍ يَنْفَعُكَ الله بِهِنَّ وَيَنْفَعُ بِهِنَّ من عَلَّمْتَهُ وَيُثَبِّتُ ما تَعَلَّمْتَ في صَدْرِكَ قال أَجَلْ يا رَسُولَ اللَّهِ فَعَلِّمْنِي قال إذا كان لَيْلَةُ الْجُمُعَةِ فَإِنْ اسْتَطَعْتَ أَنْ تَقُومَ في ثُلُثِ اللَّيْلِ الْآخِرِ فَإِنَّهَا سَاعَةٌ مَشْهُودَةٌ وَالدُّعَاءُ فيها مُسْتَجَابٌ وقد قال أَخِي يَعْقُوبُ لِبَنِيهِ ( سَوْفَ أَسْتَغْفِرُ لَكُمْ رَبِّي ) يقول حتى تَأْتِيَ لَيْلَةُ الْجُمْعَةِ فَإِنْ لم تَسْتَطِعْ فَقُمْ في وَسَطِهَا فَإِنْ لم تَسْتَطِعْ فَقُمْ في أَوَّلِهَا فَصَلِّ أَرْبَعَ رَكَعَاتٍ تَقْرَأُ في الرَّكْعَةِ الْأُولَى بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ وَسُورَةِ يس وفي الرَّكْعَةِ الثَّانِيَةِ بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ وَحم الدُّخَانِ وفي الرَّكْعَةِ الثَّالِثَةِ بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ وألم تَنْزِيلُ السَّجْدَةِ وفي الرَّكْعَةِ الرَّابِعَةِ بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ وَتَبَارَكَ الْمُفَصَّلِ فإذا فَرَغْتَ من التَّشَهُّدِ فَاحْمَدْ اللَّهَ وَأَحْسِنْ الثَّنَاءَ على اللَّهِ وَصَلِّ عَلَيَّ وَأَحْسِنْ وَعَلَى سَائِرِ النَّبِيِّينَ وأستغفر لِلْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ وَلِإِخْوَانِكَ الَّذِينَ سَبَقُوكَ بِالْإِيمَانِ ثُمَّ قُلْ في آخِرِ ذلك اللهم ارْحَمْنِي بِتَرْكِ الْمَعَاصِي أَبَدًا ما أَبْقَيْتَنِي وَارْحَمْنِي أَنْ أَتَكَلَّفَ ما لَا يَعْنِينِي وَارْزُقْنِي حُسْنَ النَّظَرِ فِيمَا يُرْضِيكَ عَنِّي اللهم بَدِيعَ السماوات وَالْأَرْضِ ذَا الْجَلَالِ وَالْإِكْرَامِ وَالْعِزَّةِ التي لَا تُرَامُ أَسْأَلُكَ يا الله يا رَحْمَنُ بِجَلَالِكَ وَنُورِ وَجْهِكَ أَنْ تُلْزِمَ قَلْبِي حِفْظَ كِتَابِكَ كما عَلَّمْتَنِي وَارْزُقْنِي أَنْ أَتْلُوَهُ على النَّحْوِ الذي يُرْضِيكَ عَنِّيَ اللهم بَدِيعَ السماوات وَالْأَرْضِ ذَا الْجَلَالِ وَالْإِكْرَامِ وَالْعِزَّةِ التي لَا تُرَامُ أَسْأَلُكَ يا الله يا رَحْمَنُ بِجَلَالِكَ وَنُورِ وَجْهِكَ أَنْ تُنَوِّرَ بِكِتَابِكَ بَصَرِي وَأَنْ تُطْلِقَ بِهِ لِسَانِي وَأَنْ تُفَرِّجَ بِهِ عن قَلْبِي وَأَنْ تَشْرَحَ بِهِ صَدْرِي وَأَنْ تعمل بِهِ بَدَنِي لأنه لَا يُعِينُنِي على الْحَقِّ غَيْرُكَ ولا يُؤْتِيهِ إلا أنت ولا حَوْلَ ولا قُوَّةَ إلا بِاللَّهِ الْعَلِيِّ الْعَظِيمِ يا أَبَا الْحَسَنِ فافعل ذلك ثَلَاثَ جُمَعٍ أو خمس أو سبع يجاب بِإِذْنِ اللَّهِ وَالَّذِي بَعَثَنِي بِالْحَقِّ ما أَخْطَأَ مُؤْمِنًا قَطُّ قال عبد اللَّهِ بن عَبَّاسٍ فَوَاللَّهِ ما لَبِثَ عَلِيٌّ إلا خَمْسًا أو سَبْعًا حتى جاء علي رَسُولَ اللَّهِ في مِثْلِ ذلك الْمَجْلِسِ فقال يا رَسُولَ اللَّهِ إني كنت فِيمَا خَلَا لَا آخُذُ إلا أَرْبَعَ آيَاتٍ أو نَحْوَهُنَّ وإذا قَرَأْتُهُنَّ على نَفْسِي تَفَلَّتْنَ وأنا أَتَعَلَّمُ الْيَوْمَ أَرْبَعِينَ آيَةً أو نَحْوَهَا وإذا قَرَأْتُهَا على نَفْسِي فَكَأَنَّمَا كِتَابُ اللَّهِ بين عَيْنَيَّ وَلَقَدْ كنت أَسْمَعُ الحديث فإذا رَدَّدْتُهُ تَفَلَّتَ وأنا الْيَوْمَ أَسْمَعُ الْأَحَادِيثَ فإذا تَحَدَّثْتُ بها لم أَخْرِمْ منها حَرْفًا فقال له رسول اللَّهِ صلى الله عليه وسلم عِنْدَ ذلك مُؤْمِنٌ وَرَبِّ الْكَعْبَةِ يا أَبَا الْحَسَنِ قال أبو عِيسَى هذا حَدِيثٌ حَسَنٌ غَرِيبٌ لَا نَعْرِفُهُ إلا من حديث الْوَلِيدِ بن مُسْلِمٍ

Maksudnya: Diriwayatkan daripada Saidina Ato’ bin Rabah dan Saidina Ikrimah(hamba kepada Saidina Ibn Abbas),mereka berdua meriwayatkan daripada Saidina Abdullah bin Abbas radhiyallahu anhuma katanya:Ketika kami bersama-sama dengan Baginda sallallahu alaihi wasallam , tiba-tiba datang Saidina Ali bin Abu Talib radhiyallahu anhu mengadu kepada Baginda sallallahu alaihi wasallam: Demi sesungguhnya ya Rasulallah ,aku secara tiba-tiba tidak mampu untuk mengingati al-quran yang telah dihafaz(telah hilang secara tiba-tiba daripada ingatanku),telah aku cuba untuk mengingatinya tetapi aku tidak mampu. Sabda Rasulullah sallallahu alaihi wasallam: Wahai Abu al-Hasan(gelaran kepada Saidina Ali radhiyallahu anhu),Mahukah kamu aku ajarkan beberapa kalimah yang mana ianya akan memberikan faedah kepadamu dan kepada orang yang kamu ajari serta mengukuhkan lagi ingatanmu terhadap apa yang engkau pelajari?Kata Saidina Ali radhiyallahu anhu:Tentu sekali aku mahu ya Rasulallah,ajarkanlah aku perkara tersebut.Sabda Baginda sallallahu alaihi wasallam: Bilamana tiba malam Jumaat maka jika kamu mampu untuk bangun pada sepertiga malam yang terakhir, yang mana waktu tersebut adalah waktu terakhir yang akan disaksikan oleh Para Malaikat, dan waktu yang mustajab doanya, Sesungguhnya saudaraku Yaakub alaihi al-salam telah berkata kepada anaknya ( seperti yang dihikayatkan oleh Allah subhanahu wa taala di dalam surah Yusuf ayat 98) maksudnya: Aku akan memohon ampun bagimu kepada Allah taala dan Saidina Yaakub alaihi al-salam menyebutkan (pada malam Jumaat nanti).Tetapi jika kamu tidak mampu untuk bangun pada waktu tersebut,maka (bolehlah untuk kamu) bangun pada pertengahan malam,dan jika tidak juga mampu,maka bolehlah bagimu bangun pada permulaan malam.Dan dirikanlah solat sebanyak 4 rakaat.Bacalah pada rakaat yang pertama dengan surah al-Fatihah dan Surah Yaasin. Dan pada rakaat kedua bacalah surah al-Fatihah dan Surah al-Dukhan, dan pada rakaat ketiga bacalah surah al-Fatihah dan surah al-Sajdah dan pada rakaat keempat bacalah Surah al-Fatihah dan surah al-Mulk.Apabila kamu telah selesai tasyahhud maka berzikirlah memuji Allah taala,kemudian pujilah Dia dengan sebaik-baik pujian, dan selawatlah kamu ke atas aku dengan sebaik-baik selawat dan selawat juga ke atas para Nabi dan mohonlah ke ampunan ke atas golongan Mukminin dan mukminat dan kepada saudara-saudaramu yang telah mendahului kamu dengan keimanan mereka kepada Allah taala dan kemudian sebutkanlah olehmu pada akhir( pujian-pujian dan doa kamu tersebut) dengan doa ini:

اللهم ارْحَمْنِي بِتَرْكِ الْمَعَاصِي أَبَدًا ما أَبْقَيْتَنِي وَارْحَمْنِي أَنْ أَتَكَلَّفَ ما لَا يَعْنِينِي وَارْزُقْنِي حُسْنَ النَّظَرِ فِيمَا يُرْضِيكَ عَنِّي اللهم بَدِيعَ السماوات وَالْأَرْضِ ذَا الْجَلَالِ وَالْإِكْرَامِ وَالْعِزَّةِ التي لَا تُرَامُ أَسْأَلُكَ يا الله يا رَحْمَنُ بِجَلَالِكَ وَنُورِ وَجْهِكَ أَنْ تُلْزِمَ قَلْبِي حِفْظَ كِتَابِكَ كما عَلَّمْتَنِي وَارْزُقْنِي أَنْ أَتْلُوَهُ على النَّحْوِ الذي يُرْضِيكَ عَنِّيَ اللهم بَدِيعَ السماوات وَالْأَرْضِ ذَا الْجَلَالِ وَالْإِكْرَامِ وَالْعِزَّةِ التي لَا تُرَامُ أَسْأَلُكَ يا الله يا رَحْمَنُ بِجَلَالِكَ وَنُورِ وَجْهِكَ أَنْ تُنَوِّرَ بِكِتَابِكَ بَصَرِي وَأَنْ تُطْلِقَ بِهِ لِسَانِي وَأَنْ تُفَرِّجَ بِهِ عن قَلْبِي وَأَنْ تَشْرَحَ بِهِ صَدْرِي وَأَنْ تعمل بِهِ بَدَنِي لأنه لَا يُعِينُنِي على الْحَقِّ غَيْرُكَ ولا يُؤْتِيهِ إلا أنت ولا حَوْلَ ولا قُوَّةَ إلا بِاللَّهِ الْعَلِيِّ الْعَظِيمِ

Sabda Baginda sallallahu alaihi wasallam lagi: Wahai Abu al-Hasan,lakukanlah olehmu solat ini pada tiga kali Jumaat, atau lima Jumaat , atau tujuh Jumaat ,Dengan Izin Allah akan mustajab doamu tersebut.Demi tuhan yang mengutuskan aku dengan kebenaran tidak akan tersalah sedikitpun seorang mukmin (yang beramal dengan perkara ini).
Kata Abdullah bin Abbas radhiyallahu anhuma: Demi Allah, Tidak lama selepas Saidina Ali radhiyallahu anhu melaksanakan perkara ini lebih kurang lima kali atau tujuh kali maka Beliau sekali lagi datang bertemu Baginda sallallahu alaihi wasallam di dalam majlis yang seumpama sebelumnya dan beliau berkata: Ya Rasulallah,Aku sebelum ini hanya mampu menghafaz empat ayat dan seumpamanya sahaja, bila aku membaca semula maka ianya akan hilang, tapi sekarang aku sudah mampu menghafaz 40 ayat dan seumpamanya ,bilamana aku membacanya semula aku mendapati seolah-olah al-Quran berada di depan mataku. Begitu juga dengan hadismu ya Rasulallah,bila aku mengulang-ulangnya maka sekejap sahaja ianya akan hilang daripada ingatanku, tetapi sekarang ya Rasulallah, bila kamu menyebutkan hadis tersebut maka tiada satu huruf pun daripadanya hilang daripada ingatanku. Sabda Baginda sallallahu alaihi wasallam bila mana mendengar perkara tersebut: Demi Tuhan Pemilik Kaabah ,Kamu adalah mukmin (benar-benar beriman dengan Baginda sallallahu alaihi wasallam)wahai Abu al-Hasan.

APAKAH MARTABAT HADIS INI?

Menurut al-Imam Tirmizi rahimahullah,hadis ini martabatnya ialah Hasan Gharib.al-Imam Hakim al-Naisaburi rahimahullah juga ada meriwayatkan hadis yang sama walaupun lafaznya ada sedikit perbezaan(saya tidak senaraikan hadisnya di sini tetapi jika para pembaca ingin meneliti perkara ini bolehlah merujuk kitab Mustadrak oleh al-Imam Hakim al-Naisaburi jilid 1 pada bab Solat-solat Sunat hadis bernombor 1191) dan beliau mengatakan bahawa hadis ini adalah Sahih seperti syarat yang telah diletakkan oleh al-Imam Bukhari dan Muslim rahimahumullah . Al-Imam Thabarani rahimahullah juga ada meriwayatkan hadis yang sama di dalam Mu’jam al-Kabir jilid 11 ,hadis bernombor 12036.

Setelah kita sebutkan tentang perkara ini maka jelaslah bahawa sebenarnya hadis ini sekurang-kurangnya mempunyai sumber pengambilan daripada kitab-kitab hadis yang disusun oleh para ulama yang muktabar.Saya hairan mengapa masih ada yang mengatakan bahawa hadis ini adalah maudhu’.Sedangkan kita mengetahui perkataan Maudhu’ adalah satu istilah yang agak berat .Seolah-olah hadis ini adalah rekaan para ahli bid’ah.

Ya,mungkin mereka mengambil pendapat daripada al-Imam Ibn Jauzi rahimahullah yang menyebutkan di dalam kitabnya al-Maudhu’at.Tetapi perlu diingat ,sesiapa yang mempelajari ilmu hadis pasti mengetahui bahawa al-Imam Ibn Jauzi agak mudah dalam meletakkan sesuatu hadis tersebut sebagai Maudhu’.Oleh sebab itulah al-Imam Suyuti rahimahullah mengarang kitab اللآئى المصنوعة bagi menerangkan kembali sebahagian hadis yang disebutkan oleh al-Imam Ibn Jauzi sebagai hadis Maudhu’( tetapi hakikatnya bukanlah sedemikian).Malah al-Imam Suyuti rahimahullah menyebutkan di dalam kitabnya اللآئى المصنوعة bahawa hadis ini tidaklah mencapai taraf al-Hasan tetapi beliau tidak pula menyebutkan bahawa ianya maudhu’ seperti yang dikatakan oleh sesetengah pihak.

Al-Imam al-Zahabi rahimahullah ketika memberikan komen tentang hadis ini menyebutkan bahawa : هذا حديث منكر شاذ أخاف أن يكون موضوعا maksudnya: Ini merupakan hadis yang mungkar syaz, aku bimbang ianya akan menjadi Maudhu’.

Cuba sidang pembaca perhatikan kalam al-Imam Zahabi rahimahullah,beliau tidak menyebutkan dengan mudah bahawa ianya Maudhu’ seperti sebahagian golongan.Tetapi masih beradab dengan para ulama hadis yang lebih awal daripadanya.Inilah sikap yang kita perlu contohi.Begitu juga dengan sikap al-Syeikh Muhammad Abdul Rahman Mubarkafuri,pengarang kitab تحفة الأحوذى بشرح جامع الترمذى beliau juga langsung tidak menyebutkan bahawa hadis ini maudhu’.

KESIMPULAN

Jelaslah bagi kita bahawa sekurang-kurang martabat bagi hadis ini adalah dhoif.Maka seperti yang disebutkan oleh al-Imam Nawawi rahimahullah di dalam kitab-kitab beliau dan para ulama hadis yang lain bahawa hadis dhoif tiadalah masalah untuk kita beramal dengannya.

Nasihat saya,jangan kita cepat menghukum sebelum mengkaji terlebih dahulu.Sikap menghukum sebegini bukanlah satu sikap yang matang.Jangan hanya dengan pembacaan yang sekadarnya sudah cukup untuk meletakkan kita sebaris dengan para ulama mujtahid yang lain dan sewenang-wenangnya mendabik dada mengaku bahawa kita juga pandai di dalam bidang tersebut.Kebenaran adalah lebih berhak kita ikut .Hanya yang sombong tidak akan menerima kebenaran yang sudah ada di depan mata.

Wallahu a’lam.

Rujukan:

1. تحفة الأحوذى بشرح جامع الترمذىjilid 9 cetakan Darul Hadis
2. المستدرك على الصحيحين jilid 1 cetakan Darul Haramain
3. ضوء القمر على نخبة الفكر cetakan darul Basa’ir
4. معجم الكبير jilid 11 Maktabah Syamilah

Ahad, 29 Mac 2009

Perbicaraan Berkenaan Hadis اختلاف أمتى رحمة


Kita sering mendengar perbicaraan berkaitan dengan hadis yang saya ingin bincangkan pada hari ini. Sebahagian golongan menolak mentah-mentah hadis ini hanya semata-mata mendengar cakap-cakap yang tidak berasaskan dalil. Golongan wahabi yang mengaku bahawa mereka adalah golongan yang begitu mengambil berat tentang hadis juga sebenarnya hanya bercakap sahaja. Bak kata pepatah “ Cakap Tak Serupa Bikin”. Saya bukan bertujuan untuk menghujum golongan sebegini. Tetapi seperti kata para ulama yang mashyur yang saya nukilkan daripada kitab بلوغ السول فى مدخل علم الأصول ialah الحق أحق أن يتبع maksudnya ialah kebenaran itu adalah lebih berhak kita ikuti.Kalam ini juga sering saya dengar daripada mulut guru saya, Syeikh Al-Allamah Yusri Al-Hasani Al-Syafie Hafizahullah.

Perbahasan tentang hadis ini saya nukilkan daripada kitab الفروع الخلافية yang dikarang oleh Al-Muhaddis Al-Allamah Syeikh Muhammad Zaki Ibrahim Rahimahullah, salah seorang ulama besar Al-Azhar. Saya tidaklah mahu menterjemahkannya satu persatu. Tetapi apa yang saya muatkan di sini adalah isi penting yang dibahaskan oleh Al-Syeikh Muhammad Zaki Ibrahim Rahimahullah.

Disebutkan di dalam kitab المقاصد الحسنة oleh Al-Imam Al-Sakhawi Radhiyallahuanhu: Hadis ini diriwayatkan oleh al-Imam Baihaqi di dalam kitab المدخل dengan sanad yang منقطع yang diriwayatkan oleh Saidina Ibn Abbas Radiyallahu 'Anhuma dengan lafaz:

إن أصحابى بمنزلة النجوم فى السماء فأيها أخذتم به اهتديتم و اختلاف أصحابى لكم رحمة

Maksudnya: Sesungguhnya kedudukan para sahabat aku adalah seumpama bintang-bintang di langit(yang menunjukkan arah kepada yang tersesat). Mana-mana sahabatku yang kamu ikuti maka kamu akan mendapat hidayah (petunjuk). Perbezaan pandangan di kalangan sahabatku adalah rahmat kepada kamu semua.

Hadis ini diriwayatkan oleh ramai para ulama terkemuka hadis. Antaranya ialah Al-Imam Thabrani dan Al-Dailami dengan lafaz yang sama(terdapat rawi yang Dhoif pada sanadnya). Begitu juga Al-Imam Al-Zarkasyi dan Ibn Hajar di dalam اللآئى menyandarkan hadis tersebut kepada Nasr Al-Maqdisi di dalam الحجة dengan secara مرفوع (menyandarkan kepada baginda Sallallahu 'Alaihi Wasallam) tanpa memberikan sebarang komen terhadap sanadnya. Ramai lagi para ulama yang membicarakan hadis ini di dalam kitab-kitab mereka. Antaranya ialah Ibn Hajib di dalam kitabnya المختصر, Al-Hulaimi, Al-Qadhi Hussain, Imam Al-Haramain dan lain-lain para ulama yang muktabar radiyallahu anhum.
Di dalam Musnad al-Firdaus, hadis diriwayatkan oleh Ibn Abbas Radhiyallahu anhuma dengan secara مرفوع :
اختلاف أصحابى لكم رحمة

Maksudnya: Perbezaan para sahabatku merupakan rahmat bagi kamu semua.

Al-Imam Abu Nuaim meriwayatkan dengan lafaz hadis :

كان اختلاف أصحاب رسول الله صلى الله عليه و سلم رحمة للناس

Maksudnya : Sesungguhnya perbezaan pandangan para sahabat Rasulullah sallallahu alaihi wasallam adalah merupakan rahmat bagi sekalian manusia.

Al-Imam Ibn Saad juga meriwayatkan dengan lafaz yang sama di dalam kitab Tabaqatnya yang mashyur daripada Al-Qasim Ibn Muhammad Radhiyallahu 'Anhu.

Kata
Syeikh Muhammad Zaki Ibrahim Rahimahullah : “Dengan sumber-sumber yang kita sebutkan tadi maka dapat kita ketahui bahawa sekurang-kurangnya hadis ini ada juga sumbernya. Bukan tiada langsung seperti mana yang dikatakan oleh sebahagian orang yang tidak jelas dalam perkara ini. Sumbernya jelas sepertimana yang kita sebutkan sebelum ini yang kita nukilkan daripada para ulama yang pakar di dalam bidang hadis ini. Memang jelas secara realitinya bahawa khilaf di kalangan para ulama adalah merupakan benar-benar rahmat kepada ummat.”

TOHMAHAN TERHADAP HADIS INI

Al-Imam Al-Khattabi radhiyallahu anhu menyebutkan di dalam kitabnya غريب الحديث bahawa yang hanya menolak dan melemparkan tohmahan terhadap hadis ini hanyalah dua orang sahaja. Salah seorangnya ialah seseorang yang tidak tahu malu iaitu Ishak Al-Mausili dan seorang lagi ialah orang yang sesat iaitu Amru bin Bahru!!! Mereka berdua mengatakan: Jika kita katakan bahawa ikhtilaf itu adalah rahmat maka sudah tentu jika bersatu pendapat maka akan menjadi azab.

Inilah perkataan yang sering disebutkan oleh golongan-golongan
متمسلفة (yang kononnya mengikut salaf) pada zaman sekarang.

Al-Imam Nawawi Radhiyallahu 'Anhu menyebutkan di dalam syarah Sahih Muslim: Tidak semestinya jika kita katakan bahawa sesuatu itu adalah rahmat maka lawannya tentu azab.Katanya lagi: Tidak semestinya akan berlaku sedemikian. Tidaklah seseorang yang mengatakan sedemikian melainkan orang yang jahil dan berpura-pura tidak tahu.

Kata syeikh Muhammad Zaki Ibrahim Rahimahullah selepas membincangkan perkara ini:
“
Berdasarkan hukum secara mantiq maka maaf jika kata katakan bahawa golongan yang masih mencerca hadis ini selepas mengetahui hukum yang kita letakkan maka mereka sebenarnya telah membuat sesuatu tanpa berfikir panjang terlebih dahulu dengan memasukkan mereka di dalam golongan yang tidak tahu malu dan sesat seperti disebutkan oleh Imam Al-Khattabi, dan jahil serta pura-pura tidak tahu sepertimana yang disebutkan oleh Al-Imam Nawawi Radhiyallahu 'Anhuma. Kedua-duanya menyakitkan. Maka kami tidak mahu mengatakan kepada saudara kami sesama Islam sedemikian rupa!!”

Jadi telah jelas kita sebutkan secara jelas tanpa sebarang syak wasangka lagi. Maka kebenaran di depan mata kalian. Timbang-timbanglah dengan pemikiran yang waras tanpa menghujum tanpa dalil seperti yang kalian inginkan.

Sekali lagi saya ulangi perkataan para ulama
الحق أحق أن يتبع. Semoga sidang pembaca dapat menilainya dengan baik dan saksama. Wassalam.

Mohd Nazrul Abd Nasir ,
BIlik 102 , Rumah Kedah Hayyu 10,
Kaherah, Mesir.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...