Memaparkan catatan dengan label Tafsir. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Tafsir. Papar semua catatan

Rabu, 20 Januari 2010

Adakah Ayah Nabi Allah Ibrahim alaihi al-salam Musyrik??


Seorang sahabat saya daripada jaringan FaceBook ada bertanyakan kepada saya baru-baru ini berkenaan ayat 74 surah al-An’am. Ayat yang berbunyi :



Persoalannya , adakah Aazar itu bapa kandung Nabi Ibrahim alaihi al-salam?

Jawapan Saya :

Terima kasih kepada saudara yang bertanya , sekurang-kurangnya persoalan ini dapat memberikan penjelasan kepada orang ramai hujah para ulama berkenaan Aazar ini.

Saya tertarik untuk memberikan serba sedikit jawapan yang diberikan oleh Syaikhu Syaikhina al-Allamah al-Mufassir al-Mujaddid Muhammad Mutawalli Sya’rawi rahimahullah di dalam kitab tafsirnya yang sangat bermanfaat.

Al-Quran adalah Kalam Allah yang diturunkan di dalam bahasa Arab. Maka pemahaman di dalamnya perlu kepada penguasaan bahasa Arab yang mendalam.

Dari segi bahasa, perkataan الأب bukan hanya ditujukan kepada ayah kandung semata-mata. Namun ianya juga ditujukan kepada datuk, moyang dan juga kepada bapa saudara itu sendiri. Jika kita melihat ayat 133 di dalam surah al-Baqarah yang berbunyi :



Jika kita melihat dengan teliti ayat tersebut , maka kita dapati Saidina Ismail juga termasuk di dalam kelompok bapa-bapa seperti yang disebutkan oleh Saidina Yaakub alaihi al-salam. Sedangkan jika kita melihat silsilah keturunan Nabi Allah Yaakub maka kita dapat ketahui bahawa Saidina Ismail adalah merupakan bapa saudara kepada Nabi Allah Yaakub alaihimussalam. Ini kerana Saidina Yaakub bin Saidina Ishak bin Saidina Ibrahim. Manakala Saidina Ismail adalah saudara kandung Saidina Ishak. Namun ayat di atas jelas menunjukkan bahawa Saidina Ismail juga termasuk di dalam kelompok bapa tersebut.

Maka kita jelas memahami bahawa perkataan bapa di dalam bahasa Arab bukan hanya tertumpu kepada bapa kandung semata-mata, namun ianya juga kembali kepada bapa saudara berdasarkan nas al-Quran dan hadis itu sendiri.

Menjadi kemusykilan kepada kita jika kita mengatakan bahawa Aazar adalah bapa kandung Saidina Ibrahim alaihi al-salam. Ini kerana, mustahil berlakunya di dalam keturunan Nabi Ibrahim terdapat ibu dan bapa kandung yang mensyirikkan Allah taala. Ini jelas disebutkan oleh Baginda sallallahu alaihi wasallam di dalam hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam Ibn A’diy di dalam al-Kamil dan al-Imam Thabrani di dalam al-Ausath :



Saidina Muhammad sallallahu alaihi wasallam adalah anak cucu kepada Nabi Allah Ibrahim alaihi al-salam. Ini adalah perkara yang sangat jelas diketahui umum. Jika Baginda sallallhu alaihi wasallam sendiri mengatakan bahawa sejak daripada Nabi Allah Adam alaihi al-salam lagi tiada seorang pun di kalangan ahli keluarganya yang terpalit karat Jahiliyyah maka ini termasuklah ibu dan bapa Saidina Ibrahim alaihi al-salam. Maka ini jelas menunjukkan bahawa Aazar bukanlah bapa kandung Nabi Allah Ibrahim alaihi al-salam.

Aazar adalah seorang yang musyrik, mustahil Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam dilahirkan daripada benih seorang musyrik. Firman Allah taala di dalam surah al-Taubah ayat 28:



Sedangkan Baginda sallallahu alaihi wasallam sendiri menyebutkan bahawa :



Ini semua merupakan dalil yang sudah cukup untuk kita mengatakan bahawa Aazar bukanlah bapa kandung kepada Saidina Ibrahim alaihi al-salam tetapi merupakan bapa saudara kepadanya. Bapa sebenar Nabi Allah Ibrahim adalah Saidina Taarikh bukannya Aazar.

Jika benar , Aazar adalah bapa kandung kepada Saidina Ibrahim alaihi al-salam, mengapakah Saidina Ibrahim mendoakan pengampunan kepada kedua ibu bapanya di dalam surah Ibrahim ayat 41 ?? :



Di dalam ayat ini terdapat beberapa hujah penolakan bahawa Aazar adalah merupakan bapa kandung kepada Saidina Ibrahim. Kata Guru Kami yang mulia Syaikhuna Jamal Faruq al-Daqqaq hafizahullah , ayat ini menjadi dalil bahawa Aazar bukanlah bapa kandung kepada Nabi Allah Ibrahim. Ini kerana , golongan Muslimin dilarang mendoakan pengampunan kepada golongan musyrikin. Maka ini jelas menunjukkan bahawa Aazar bukanlah ayah Nabi Allah Ibrahim alaihi al-salam.


Syaikhuna Dr Jamal Faruq al-Daqqaq al-Hasani al-Hanafi al-Asya'ri hafizahullah


Dalil kedua daripada ayat ini ialah mengapa Nabi Allah Ibrahim mendoakan kepada kedua-dua orang tuanya sedangkan ayat di dalam surah al-An’am hanya diterangkan dakwah Nabi Allah Ibrahim hanya kepada seorang sahaja pada mulanya.

Dalil ketiga ialah, doa di dalam surah Ibrahim ayat 41 menunjukkan bahawa ibu bapa Nabi Allah Ibrahim digabungkan doanya termasuk dengan golongan mukminin, maka ini jelas menunjukkan bahawa Ibu bapanya yang kandung adalah termasuk di dalam golongan mukminin.

Ini hanyalah sebahagian dalil yang dapat saya sertakan di sini buat tatapan semua.

Beradablah dengan Nabi-Nabi Allah. Jika kita sakit hati jika orang mengatakan bahawa ibu bapa kita akan masuk neraka, apatah lagi para anbiya’ . Maka tiadalah perkara yang lebih berdosa selain jika kita menyakitkan hati para kekasih Allah ini.

Semoga ianya bermanfaat untuk semua.


Rujukan :

1. Tafsir Syeikh Mutawwalli Sya'rawi jilid 6 mukasurat 503-505

2. Pengajian bersama Syaikhuna Jamal Faruq al-Daqqaq bertarikh 19/1/2010 di Mudayyafah Ismail Sadiq al-Adawi , Kaherah

Mohd Nazrul Abd Nasir,
Penuntut ilmu Masjid al-Azhar al-Syarif & Masjid al-Asyraff,
Rumah Kedah Transit Hayyu 7,
Kaherah, Mesir

Khamis, 21 Mei 2009

Dua Hati ?



Soalan

Bolehkah Ustaz terangkan apakah yang dimaksudkan dengan “ seseorang tidak mempunyai dua hati di dalam rongga dadanya”?

Jawapan

Terima kasih kepada yang bertanya. Perkara ini disebutkan oleh Allah taala di dalam surah al-Ahzab ayat 4:

مَا جَعَلَ اللَّهُ لِرَجُلٍ مِنْ قَلْبَيْنِ فِي جَوْفِهِ

Maksudnya: Allah sekali-kali tidak menjadikan seseorang mempunyai dua hati di dalam dadanya.

Al-Imam al-Qurtubi rahimahullah menyebutkan di dalam kitabnya al-Jami’ lil Ahkam al-Quran pada jilid yang ke-17 mukasurat 52:

“ Menurut al-Imam Mujahid, al-Wahidi dan al-Qusyairi rahimahumullah ,ayat ini diturunkan kerana terdapat seorang lelaki Quraisy yang bernama Jamil bin Ma’mar al-Fihriy . Dia merupakan seorang yang sangat kuat ingatannya. Setiap perkara yang didengarinya maka akan terus dihafalnya. Maka golongan Quraisy mengatakan bahawa, perkara ajaib sebegini hanya boleh dilakukan oleh seseorang yang mempunyai dua hati. Jamil bin Ma’mar juga mengatakan bahawa dia mempunyai dua hati yang lebih hebat daripada hati Muhammad (Baginda sallallahu alaihi wasallam). Ketika golongan Musyrikin kalah di dalam perang Badar, Jamil juga mengikuti peperangan tersebut. Abu Sufyan menjumpai Jamil yang ketika itu bersama dengan kafilah yang pulang setelah selesai peperangan dan mendapati sebelah kasut Jamil diletakkan di tangan dan sebelah lagi disarung pada kakinya. Maka terus Abu Sufyan bertanya: Apa yang telah terjadi? Jawab Jamil: Semuanya tertewas di dalam peperangan . Abu Sufyan berkata: Apa yang menyebabkan kamu meletakkan kasut kamu di tangan dan di kaki? Jamil menjawab: Aku pun tidak menyedari bahawa apa yang sedang aku lakukan ini. Abu Sufyan terus ketawa dan ketika itu jelaslah bahawa Jamil tidak mempunyai dua hati. Mana mungkin seseorang yang mempunyai dua hati tidak akan menyedari apa yang sedang dilakukannya.”

Menurut Syeikh Sya’rawi rahimahullah :

“ Ayat ini mempunyai kaitan rapat dengan ayat sebelumnya. Ayat sebelum ini menceritakan tentang dua arahan yang satunya perlu diikuti dan yang keduanya perlu dijauhi. Arahan yang perlu diikuti ialah seperti yang disebutkan oleh Allah taala di dalam ayat tersebut: (يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ اتَّقِ اللَّهَ ) dan ( وَاتَّبِعْ مَا يُوحَى إِلَيْكَ مِنْ رَبِّكَ) di antara kedua-dua ayat ini disebutkan perkara yang perlu dijauhi oleh golongan Muslimin iaitu ( وَلَا تُطِعِ الْكَافِرِينَ وَالْمُنَافِقِينَ).” Kata Syeikh Sya’rawi lagi : “ Maka kita sekarang berhadapan dengan dua arahan. Pertama menyuruh kita mentaati kebenaran dan yang kedua melarang kita mengikuti golongan kafir dan munafiq. Maka hati memainkan peranan penting ketika ini. Samaada mengikuti kebenaran atau tunduk kepada kebatilan. Oleh sebab itulah Allah taala menyebutkan ayat 4 surah al-Ahzab ini bagi menerangkan bahawa seseorang tersebut hanya mempunyai satu sahaja hati. Maka setiap hati hanya akan menerima satu perkara sahaja, sama ada kebenaran atau kebatilan.”

Baginda sallallahu alaihi wasallam juga menerangkan kepada kita dengan menyebutkan sebuah hadis bahawa hati hanyalah satu. Sabda Baginda sallallahu alaihi wasallam:

ألا وإِنّ في الجَسَدِ مُضْغَةً إذا صَلَحَتْ صَلَحَ الجَسدُ كلّه، وإذا فَسَدَتْ فَسَدَ الجسَدُ كله، أَلا وهِيَ الْقَلْبُ.

Maksudnya: Sesungguhnya di dalam sesebuah jasad terdapat satu ketulan daging, kalau baik perkara tersebut maka baiklah seluruh anggotanya, jika rosak, maka rosaklah keseluruhannya. Tiada lain perkara tersebut melainkan ianya adalah hati.( Riwayat al-Imam Bukhari hadis no.52)

Hadis ini menunjukkan bahawa hati hanya satu sahaja di dalam jasad seseorang.Wallahu a’lam.

Rujukan:

1. Tafsir al-Imam al-Qurtubi rahimahullah cetakan Muassasah Risalah jilid 17 mukasurat 52-54

2. Tafsir al-Imam Mutawalli Sya’rawi rahimahullah . Jilid 19 mukasurat 367

3. Sahih Imam Bukhari radhiyallahu anhu. Jilid pertama.

Mohd Nazrul Abd Nasir,
Rumah Kedah,
Kaherah Mesir

Isnin, 13 April 2009

Faedah Daripada Guru Kita Syeikh Murabbi Dr Yusri Rusydi hafizahullah


Perbicaraan pada kali ini ,saya akan membawa para pembaca sekalian meneliti hikmah ayat Allah taala di dalam al-Quran al-Karim.Sungguh ini membuktikan bahawa al-Quran bukanlah kalam manusia.Sebaliknya menguatkan lagi iman dan keyakinan kita terhadap kebesaran dan keagungan sang Pencipta.

Pengajian bersama dengan Guru kita yang mulia ,Murabbi kita,Syeikh Dr.Yusri Rusydi Sayyid Abd Jabbar al-Hasani al-Syafie al-Siddiqi hafizahullah banyak memberikan input dan pengetahuan yang sukar untuk kita temui di dalam lembaran-lembaran kertas.Tetapi sebaliknya hanya diperolehi daripada dada-dada para alim ulama yang mendapat petunjuk dan irsyad daripada Allah taala.

Pada pagi 13 Rabi’ul Akhir 1430 bersamaan 9 April 2009,sebaik selesai bacaan kitab Tuhfatul Ahwazi Syarah Jami’ Tirmizi seperti biasa kami akan membaca al-Quran beramai-ramai bersama Syeikh.Syeikh akan menegur bacaan kami jika ada yang tersalah.

Saya sering ditegur sebutan huruf ha’ ( ح ).Syeikh sering menyebutkan kepada saya bahawa beliau ingin saya menyebut seperti orang Arab yang benar-benar fasih.Bukan seperti orang-orang asing.Berulang-ulang kali Syeikh menyebutkan perkara tersebut kepada saya.Semoga Allah memanjangkan umurmu wahai Syeikh yang kami cintai.

Apa yang saya ingin ceritakan disini ialah faedah yang dapat saya dan para sahabat ambil pada pagi tersebut .Semasa kami membaca surah al-Tahrim ,ketika melalui ayat 8.Firman Allah taala :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا تُوبُوا إِلَى اللَّهِ تَوْبَةً نَصُوحًا عَسَى رَبُّكُمْ أَنْ يُكَفِّرَ عَنْكُمْ سَيِّئَاتِكُمْ وَيُدْخِلَكُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ يَوْمَ لَا يُخْزِي اللَّهُ النَّبِيَّ وَالَّذِينَ آَمَنُوا مَعَهُ نُورُهُمْ يَسْعَى بَيْنَ أَيْدِيهِمْ وَبِأَيْمَانِهِمْ يَقُولُونَ رَبَّنَا أَتْمِمْ لَنَا نُورَنَا وَاغْفِرْ لَنَا إِنَّكَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ (8)


Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman,Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan Taubat Nasuha.Mudah-mudahan Tuhan kamu akan mengampunkan dosa-dosa kamu dan memasukkan kamu ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai ,pada hari Allah tidak akan menghinakan Nabi dan orang-orang yang beriman bersama-sama dengannya ,Cahaya (iman dan amal soleh )mereka ,bergerak cepat di hadapan mereka dan di sebelah kanan mereka (semasa mereka berjalan);mereka berkata(ketika golongan munafik meraba-raba dalam gelap-gelita ): Wahai tuhan kami,Sempurnakanlah bagi kami cahaya kami dan limpahkanlah keampunan kepada kami;sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
Surah al-Tahrim merupakan surah yang ke -66 mengikut susunan di dalam kitab Allah.Berada pada juzuk yang ke-28.

Kata Syeikh Yusri hafizahullah: Ini merupakan ayat terakhir yang menyebutkan kalimah
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا .Ayat pertama di dalam al-Quran yang menyebutkan kalimah ini terdapat di dalam surah al-Baqarah ayat 104.Firman Allah taala:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا لَا تَقُولُوا رَاعِنَا وَقُولُوا انْظُرْنَا وَاسْمَعُوا وَلِلْكَافِرِينَ عَذَابٌ أَلِيمٌ (104)


Maksudnya:Wahai orang-orang yang beriman ,Janganlah kamu berkata “Raa’ina” (ketika berkata-kata dengan Baginda sallallahu alaihi wasallam),Sebaliknya ,katakanlah: “Unzhurna”,dan dengarlah kamu (segala perintah dengan sebulat hati menerimanya)dan (ingatlah bahawasanya)orang-orang kafir itu akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

Raa’ina disini bermaksud :sudilah kamu memerhatikan kami.Ketika para sahabat menyebutkan perkataan ini kepada baginda sallallahu alaihi wasallam,orang-orang yahudi juga mengunakan perkataan yang sama seolah-olah jika kita mendengarnya mereka menyebutkan dengan perkataan raa’ina tetapi sebaliknya mereka menyebutkan ru’uunah yang membawa maksud kebodohan yang teramat sangat sebagai ejekan kepada Baginda sallallahu alaihi wasallam.Itulah sebabnya Allah taala memerintahkan supaya para Sahabat Baginda Radiyallahu anhum menukarkan dengan menyebutkan perkataan Unzhurna mengantikan perkataan Raa’ina.

Faedah yang kita dapat simpulkan pada kedua-dua ayat pertama dan terakhir yang disebutkan kalimah يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا ini adalah seolah-olah satu isyarat daripada Allah taala untuk pedoman buat umat.Bahawa kehidupan kita tidak ada selain daripada dua perkara untuk mencapai redha di akhirat kelak.Apakah dua perkara tersebut? Tidak lain dan tidak bukan, yang pertama ialah mentaati perintah Baginda sallallahu alaihi wasallam serta menghormatinya,dan yang kedua bertaubat kepada Allah di atas segala kesalahan yang kita lakukan dengan sebenar-benar taubat.

Jika kedua-dua perkara ini dapat kita amalkan dengan baik,moga-moga Allah akan memasukkan kita sebenar-benarnya di dalam golongan orang-orang yang beriman.Saya tidak mahu menerangkan pada perbahasan ringkas ini bagaimana caranya untuk kita mentaati perintah Baginda sallallahu alaihi wasallam kerana ianya akan menjadi panjang lebar.Maka saya akan terangkan secara berperingkat apakah yang dimaksudkan dengan mentaati baginda sallallahu alaihi wasallam seperti yang diarahkan oleh Allah subhanahu wa taala .

Semoga semua dapat mengambil manfaat daripada perbahasan ringkas yang saya sebutkan ini.

Mohd Nazrul Abd Nasir,
Rumah Kedah,
Kaherah Mesir 7.58 pagi
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...