Memaparkan catatan dengan label Tauhid. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Tauhid. Papar semua catatan

Selasa, 23 Februari 2010

Al-Quran Kalam Allah atau Makhluk?? Fahami Dengan Baik..

Sangat sedih dengan sikap beberapa pelajar, sudah kehabisan hujah maka fitnah yang mereka gunakan. Inikah adab penuntut ilmu yang sebenar? Bagaimana mungkin untuk kamu sampai kepada kebenaran jika sikap sebegini digunakan?

Beberapa hari saya tidak menulis, menyebabkan shoutbox di laman saya dipenuhi dengan fitnah. Lebih buruk lagi, individu tersebut suka menggunakan nama saya untuk menyebarkan fitnahnya. Astaghfirullah. Jika sikap sebegini diamalkan, akan lebih menguatkan lagi hujah kami bahawa pihak kamu adalah mengikut nafsu semata-mata. Saya bercadang untuk membuang dahulu shoutbox ini , namun bila memikirkan masih ramai sahabat yang akan teraniaya disebabkan beberapa individu sahaja maka saya cuba untuk berfikir sekali lagi. Moga sahabat-sahabat dapat memberikan cadangan kepada saya bagaimana ingin menyelesaikan masalah ini.

Saya yakin, sahabat-sahabat dapat menilai gaya bahasa yang saya gunakan untuk menulis jawapan yang ditanyakan. Saya memohon kepada Allah taala agar individu terbabit diampunkan oleh Allah taala dan terus terang saya telah memaafkan kesalahannya setiap kali dia melakukan perkara tersebut.

Seorang sahabat yang sangat dahagakan ilmu bertanyakan kepada saya berkenaan dengan al-Quran adakah ianya makhluk atau Kalam Allah taala. Maka di sini saya sempat menulis sedikit perbahasan ulama berkenaan sifat Kalam yang bermaksud sifat Pekata seperti yang diterjemahkan oleh Syaikhu Syaikhina al-Allamah Syeikh Ismail @ Pak Ndak Eil . Manakala terjemahan biasa adalah dengan maksud Maha Berkata-Kata. Mengapa saya memasukkan perbahasan ini? Ini kerana, perbahasan berkenaan Al-Quran punya kaitan rapat di antara sifat Kalam ini. Semoga sahabat saya , Ukhti AyatulQalbi serta sahabat-sahabat yang lain dapat mengambil manfaat daripada penerangan ringkas saya ini.

Saya memohon maaf kerana masih belum sempat untuk menulis disebabkan tugasan yang terlalu menghimpit. Doakan saya terus thabat dan istiqamah di jalan perjuangan ini. Berikut adalah perbahasan yang sempat saya siapkan:

SIFAT KALAM

Para ulama Tauhid berbincang berkenaan dengan maksud bagi sifat kalam. Mereka mengatakan bahawa sifat kalam bagi Allah taala bermaksud :



Perlu kita fahami dengan jelas bahawa kalam Allah taala tidaklah sama seperti kalam makhluk.Kalam makhluk mempunyai huruf dan susunan yang tertentu. Adanya noktah dan pengakhiran.

Manakala kalam Allah taala tidaklah sebegitu. Kalam Allah taala tidak mempunyai permulaan dan pengakhiran, tiada suara padanya seperti makhluk ( Ini kerana bersuara adalah salah satu sifat makhluk),tidak berhuruf seperti bahasa yang dituturkan oleh makhluk( Ini kerana bahasa juga adalah makhluk ciptaan Allah taala, maka mustahil Allah taala akan bersifat dengan salah satu sifat yang sama seperti makhluk pada penggunaannya).

Menurut Syeikhuna al-Allamah Dr Muhammad Said Ramadhan al-Buty hafizahullah : Kalam itu sendiri di dalam bahasa Arab terbahagi kepada dua maksud :

Pertama : Kalam adalah lafaz yang dituturkan bagi menggambarkan apa yang terkandung di dalam benak sanubari seseorang yang bercakap tersebut. Contohnya adalah seperti dikatakan : Kalam yang dituturkannya amat fasih dan lancar sekali.

Kedua : Kalam juga adalah sesuatu makna yang terkandung yang mana ianya akan diungkapkan dengan lafaz.

Setelah kita memahami perkara ini , maka kita jelas beriman mengatakan bahawa Allah taala bersifat dengan sifat kalam. Ini merupakan kesepakatan para ulama Islam.

Menjadi permasalahan utama di dalam perbincangan sifat kalam ini ialah perbincangan tentang al-Quran. Kita memahami bahawa Al-Quran adalah Kalam Allah taala. Seperti yang kita sedia maklum, kalam Allah tidaklah menyerupai kalam makhluk. Namun jika kita perhatikan, al-Quran adalah terdiri daripada Bahasa Arab yang tersusun dan punya maksudnya. Bagaimana kita ingin mengatakan bahawa ianya bukanlah kalam Allah taala ? atau bagaimana pula kita ingin menjawab telahan golongan ini yang mengatakan bahawa : Kamu ( Ahlussunnah ) mengatakan bahawa Allah taala tidak bersifat dengan sifat yang dimiliki makhluk.Sedangkan ayat ini jelas menunjukkan bahawa seolah-olah Allah taala bertutur di dalam bahasa Arab seperti makhluk?

Hakikatnya, persoalan-persoalan sebegini timbul kerana golongan Muslimin pada ketika ini terlalu menyibukkan diri mereka pada perkara yang tidak memberikan sebarang manfaat kepada mereka.Persoalan-persoalan sebeginilah yang menyebabkan sebahagian golongan Muslimin tergelincir dan sebahagian para ulama Islam seperti al-Imam Ahmad bin Hanbal rahimahullah disebat hanya kerana ingin mempertahankan bahawa al-Quran bukanlah makhluk seperti yang difahami oleh mereka. Ini kerana golongan ini tidak boleh menerima sesuatu yang tanpa melihat dengan mata kepala mereka. Mereka ingin juga memikirkan bagaimana Ahlussunnah mengatakan bahawa Allah taala tidak bersuara, tidak berhuruf, tidak punya noktah, dan lain-lain. Perkara-perkara sebegini tidak terlintas didalam benak pemikiran mereka. Jadi iman mereka ini adalah seperti iman kanak-kanak yang memerlukan sesuatu yang boleh dipandang dengan mata kasar barulah mereka akan beriman dengan perkara tersebut.

Golongan sebegini mungkin boleh untuk kita mengingatkan kepada mereka ayat Allah taala di dalam surah Ali Imran ayat 7-8 :


Maksudnya : 7. Dia lah Yang menurunkan kepadamu (Wahai Muhammad) Kitab suci Al-Quran. sebahagian besar dari Al-Quran itu ialah ayat-ayat "Muhkamaat" (yang tetap, tegas dan nyata maknanya serta jelas maksudnya); ayat-ayat Muhkamaat itu ialah ibu (atau pokok) isi Al-Quran. dan Yang lain lagi ialah ayat-ayat "Mutasyaabihaat" (yang samar-samar, tidak terang maksudnya). oleh sebab itu (timbulah faham Yang berlainan menurut kandungan hati masing-masing) - adapun orang-orang Yang ada Dalam hatinya kecenderungan ke arah kesesatan, maka mereka selalu menurut apa Yang samar-samar dari Al-Quran untuk mencari fitnah dan mencari-cari Takwilnya (memutarkan maksudnya menurut Yang disukainya). padahal tidak ada Yang mengetahui Takwilnya (tafsir maksudnya Yang sebenar) melainkan Allah. dan orang-orang Yang tetap teguh serta mendalam pengetahuannya Dalam ilmu-ilmu ugama, berkata:" Kami beriman kepadaNya, semuanya itu datangnya dari sisi Tuhan kami" dan tiadalah Yang mengambil pelajaran dan peringatan melainkan orang-orang Yang berfikiran.

8. (Mereka berdoa Dengan berkata): "Wahai Tuhan kami! janganlah Engkau memesongkan hati Kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada Kami limpah rahmat dari sisiMu; Sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya.

Sebaiknya bagi golongan Muslimin ialah berpegang dengan mengatakan bahawa Allah taala bersifat dengan sifat kalam dan al-Quran merupakan kalam Allah taala tanpa perlu untuk menjerumuskan diri kita pada tempat yang bahaya jika membahaskannya tanpa ilmu yang mendalam.

Terdapat beberapa pecahan di dalam mazhab Islam bilamana membincangkan sifat ini. Disini kita sertakan sedikit perbezaan pendapat yang berlaku pada perbahasan sifat Kalam ini khususnya perbahasan tentang al-Quran adakah ianya merupakan kalam Allah taala atau makhluk? :

MUKTAZILAH

Golongan ini mengatakan bahawa al-Quran adalah merupakan sesuatu yang terdiri daripada huruf-huruf dan suara yang keluar jika membacanya.Maka ini sesekali tidak boleh dikatakan sebagai kalam Allah taala yang qadim. Jika kita mengatakan bahawa kalam ini ( kalam yang tersusun dan berhuruf) adalah qadim maka seolah-olah kita telah menyamakan Allah taala dengan makhluk. Maka bilamana kita mendapati bahawa al-Quran terdiri daripada huruf-huruf maka secara langsungnya kita mengatakan bahawa ianya adalah makhluk Allah taala, bukannya kalam yang qadim bagi Allah taala.

Bagi golongan Muktazilah, mana-mana kalam yang disandarkan kepada Allah taala hakikatnya adalah makhluk kepada Allah taala. Malah fitnah berkenaan sifat Kalam ini dijadikan oleh golongan Muktazilah sebagai satu cara untuk memaksa orang lain mengikut pendapat mereka terutamanya pada zaman pemeritahan Khalifah Ma’mun.

HANABILAH MUJASSIMAH

Golongan kedua yang juga memberikan komentar tentang sifat kalam ini ialah golongan yang bermazhab Hanbali yang menjisimkan Allah taala .Mereka juga mengatakan bahawa Allah taala mempunyai tangan , kaki dan lain-lain. Malah mereka juga mengatakan bahawa al-Imam Ahmad bin Hanbal rahimahullah juga berpendapat sedemikian rupa. Hakikat sebenarnya , al-Imam Ahmad berlepas diri daripada mereka malah ini hanyalah fitnah mereka terhadap al-Imam Ahmad bin Hanbal rahimahullah.

Mereka mengatakan bahawa al-Quran adalah qadim termasuk hurufnya, maksudnya dan lafaz yang terkandung padanya. Malah sebahagian daripada golongan ini yang terlalu melampau pegangannya mengatakan bahawa kertas yang terdapat pada al-Quran itu juga hakikatnya adalah qadim.

AHLUSSUNNAH AL-ASYA’IRAH

Golongan al-Asya’irah mengatakan bahawa al-Quran terbahagi kepada maksud yang terdapat padanya dan lafaz yang didengari bilamana kita membacanya. Huruf-huruf yang terdapat di dalamnya juga disebutkan al-Quran. Segala perkara yang bersangkutan dengan al-Quran semuanya disebutkan al-Quran termasuk kertas dan kulitnya.

Namun kita secara jelasnya memahami bahawa segala jenis huruf, kertas , tulisan, suara yang keluar daripada bacaan al-Quran semuanya adalah merupakan perkara yang baharu. Ini kerana sesuatu yang Qadim mustahil terdapatnya noktah dan permulaan serta pengakhiran. Malah Bahasa Arab yang terdapat pada al-Quran itu juga termasuk di dalam perkara baharu.

Golongan Al-Asya’irah mengatakan bahawa yang qadimnya pada kalam Allah taala ini ialah makna yang menunjukkan kepada lafaznya.

Namun menjadi persoalan di sini, adakah makna juga disebutkan sebagai kalam di sisi ahli bahasa?

Jika kita melihat kepada alam sekeliling kita maka kita akan mendapati bahawa terdapat banyak perkara yang disebut sebagai kalam oleh ahli bahasa walaupun tidak dilafazkan perkara tersebut. Antaranya ialah isyarat dengan menggunakan tangan, kepala dan mata juga dipanggil kalam iaitu dengan maksud ianya difahami jika kita menunjukkan isyarat menggunakan anggota-anggota tadi.

Bahkan kita mengatakan bahawa huruf-huruf yang terdapat di dalam ayat al-Quran tersebut hanyalah sebagai isyarat kepada kalam yang ingin disampaikan. Sepertimana kita melihat lampu isyarat yang menunjukkan warna hijau maka kita memahaminya seolah-olah lampu itu bercakap bahawa “ silalah bergerak”. Maka inilah yang kita gelarkan sebagai kalam nafsi seperti yang disebutkan oleh para ulama Aqidah.

Oleh sebab itulah para ulama Ahlussunnah wal Jamaah mengatakan bahawa setiap yang tertulis dan tersusun di dalam al-Quran yang boleh kita lihat pada hari ini adalah perkara yang baharu. Namun ini hanyalah boleh disebut ketika di dalam majlis pengajian tanpa menyebutkannya dihadapan orang awam yang tidak memahaminya dengan jelas. Maksudnya jika kita ingin menerangkan kepada orang awam maka kita perlulah memberitahu kepada mereka bahawa apa yang kita baca dan lihat sekarang adalah kalam Allah taala yang qadim. Ini bagi mengelakkan berlakunya salah faham terhadap agama.

Semoga perbahasan ini memberikan manfaat kepada semua.

Mohd Nazrul Abd Nasir,
Rumah Kedah Transit Hayyu 7,
Kaherah, Mesir

Rujukan :

1.Kubra Yaqiniyat al-Kauniyah oleh Syaikhuna al-Allamah Dr Muhammad Said Ramadhan al-Buty hafizahullah mukasurat 124.

2. Aqidatuna oleh Syaikhuna al-Allamah Dr Muhammad Rabi' al-Jauhari al-Asy'ari al-Khalwati hafizahullah.

3.Jauharah al-Tauhid dan Syarah-syarahnya seperti Syarah al-Imam Baijuri dan al-Imam Showi rahimahumallah.

4. Syarah Jauharah Tauhid oleh al-Allamah Dr Nuh Qudhah hafizahullah, Mufti Besar Kerajaan Jordan.

Khamis, 21 Januari 2010

Tugasan Belum Selesai .... Sejenak Bersama Kisah al-Imam Abu Hanifah Nu'man radhiyallahu anhu

Sejak akhir-akhir ini, banyak pula post yang saya letakkan di dalam laman ini. Ibu pun sudah berkali-kali berpesan kepada saya untuk siapkan tugasan yang sepatutnya terlebih dahulu. Ya, seperti jawapan yang saya berikan kepada ibu “ InsyaAllah, anakanda akan buat yang terbaik setiap tugasan tersebut”.



Sebuah syarikat penerbitan telah meminta untuk saya menulis sebuah kitab berkenaan Ilmu Aqidah Islamiyyah berdasarkan sifat 20. Saya menyambut baik permintaan tersebut. Namun sehingga sekarang saya masih tidak sempat untuk menyerahkan hasil tulisan saya kepada mereka. Saya sangat-sangat memohon kemaafan kepada pihak PelimaMedia.com yang bersungguh-sungguh di dalam perkara ini. Kesibukan demi kesibukan serta penelitian yang mendalam perlu dilakukan di dalam menghasilkan kitab ini menyebabkan saya tidak dapat lagi menyerahkan kepada pihak PelimaMedia. Saya sangat-sangat memohon maaf. Saya masih melakukan penelitian terhadap penulisan saya sebelum ianya benar-benar boleh dipasarkan. Bimbang kalau saya menulis dan dengan tujuan untuk cepat dipasarkan akan menyebabkan banyak kekeliruan akan berlaku .

Izinkan untuk saya melakukan solat istikharah dan solat hajat di Maqam al-Imam Syafie radhiyallahu anhu terlebih dahulu moga hasil tulisan saya ini mendapat keberkatan daripada Allah taala. Jika benar-benar telah bersedia untuk dikeluarkan maka saya akan hantarkan kepada pihak PelimaMedia secepat mungkin.

Saya memohon kepada semua sahabat dan sidang pembaca untuk mendoakan segala tugasan saya berjaya dilaksanakan. Amin Ya Rabbal A’lamin.

***********

Saya suka untuk berkongsi dengan para pembaca sekalian berkenaan sebuah kisah yang saya sempat baca sebentar tadi sebelum menulis. Ya, saya suka membaca . Tetapi bukanlah semua kitab saya baca sekaligus. Saya lebih suka mengikut cara al-Imam al-Mujtahid Muhammad bin Hassan al-Syaibani rahimahullah , murid kepada al-Imam Abu Hanifah Nu’man radhiyallahu anhu. Al-Imam Zurnuji rahimahullah ( ramai yang membaca dengan Zarnuji iaitu di fathahkan huruf Zai pada nama Imam, namun baru-baru ini salah seorang sahabat saya Ustaz Syukri daripada Terengganu memberitahu kepada saya bahawa beliau pernah membaca sebuah Tesis Kedoktoran yang mana penulis tesis mengkaji hasil tulisan al-Imam Zurnuji mengatakan bahawa bacaan yang sebenar bagi nama al-Imam ialah dengan di dhammahkan Zai iaitu Zurnuji bukannya Zarnuji. Walaupun terdapat sebahagian ulama yang membaca dengan Zarnuji iaitu difathahkan Zai, maka tidaklah kita katakan bahawa mereka salah, Cuma sebaiknya mengambil kepada sandaran tempat asal al-Imam iaitu daripada sebuah perkampungan yang bernama Zurnuj. Jazakallah kepada al-Fadhil Ust Syukri Nazar atas maklumat tersebut).

Kembali kepada apa yang ingin saya sampaikan .

Al-Imam Zurnuji pernah menyebutkan bahawa al-Imam Muhammad bin Hassan al-Syaibani rahimahullah punya sikap yang cukup menarik ketika membaca. Antara waktu bacaan bagi al-Imam ialah di antara Maghrib dan Isya’. Al-Imam akan membaca sebuah kitab, dan jika beliau sudah bosan membacanya, maka beliau akan bertukar pula kepada kitab yang lain dan begitulah seterusnya.

Ya , sikap sebegini elok sekali untuk saya ikuti khususnya buat seseorang yang cepat mengantuk dan pemalas seperti saya. Sekurang-kurangnya ada tujuh hingga sepuluh buah kitab saya akan baca di dalam sehari. Malahan saya juga dapat mengikuti sunnah al-Imam Muhammad bin Hassan al-Syaibani rahimahullah.

Ketika membaca sebuah risalah ilmiyyah karangan al-Syeikh Abdul Rahman al-Sanjari hafizahullah salah seorang ulama daripada al-Ain yang bertajuk :

“ رسالة إلى الذى سأل أين الله ؟“

Saya tertarik dengan sebuah kisah yang berlaku di antara al-Imam Abu Hanifah dan beberapa orang Zindiq yang tidak percayakan Allah taala. Mereka ingin berdebat dengan para ulama berkenaan perkara ini. Kisahnya begini :

***********


Baghdad merupakan pusat perkembangan ilmu Islam yang cukup pesat pada ketika tersebut. Ramailah para ulama yang lahir daripada pusat ilmu ini. Semakin pesat ilmu pengetahuan, semakin ramailah orang yang jahil dan semakin ramailah golongan yang mengaku kononnya mereka juga termasuk dikalangan orang yang berilmu. Maka golongan sebegini tidak ubah seperti orang buta yang berada di bawah pancaran cahaya matahari, namun tetap menyalahkan sekeliling masih lagi gelap gelita.

Hari ini Baghdad sekali lagi menjadi kecoh. Sekumpulan manusia yang tidak beragama ( Athies) telah bertandang lagi untuk berdebat dan memalukan para ulama yang ada. Hari ini adalah penentuannya. Kesemua ulama ketika itu kebanyakkannya kelu bilamana berhujah dengan kelompok ini. Hari penentuan ini, akan disaksikan adakah kelompok ini dapat dikalahkan atau para ulama Islam akan dimalukan. Penentuan terakhir ini adalah perdebatan di antara al-Imam Hammad dan kelompok ini.

Al-Imam ketika itu berada di rumah. Masih bimbang. Bukan bimbang dikalahkan, tetapi bimbang bagaimana nasib umat Islam jika hujah yang diberikan olehnya kurang memberansangkan. Malah beliau masih teringat-ingat mimpinya semalam. Mimpi yang membimbangkan.

Tiba-tiba datang seorang pemuda yang tampan dan segak bertandang ke rumah gurunya ini. Sekadar ingin bertanya khabar dan memberikan semangat terakhir buat gurunya.Pancaran resah di wajah sang guru jelas kelihatan. Murid yang penuh beradab ini bertanya kepada gurunya yang dicintai.

“ Wahai Tuan Guru, kenapa aku melihat wajahmu agak berlainan dengan hari-hari sebelumnya? Tuan Guru jangan bimbang, kami semua yakin dengan ilmu yang dimiliki oleh Tuan Guru mampu untuk mengalahkan mereka-mereka itu”

Tuan Guru menjawab “ Bukan itu yang aku bimbangkan, apa yang aku fikirkan sekarang adalah maksud bagi mimpiku semalam.”

Pemuda itu bertanya kembali “ Bolehkah Tuan Guru ceritakan kepadaku, apakah mimpi yang mengganggu fikiranmu sekarang?”

Tuan Guru menarik nafas sedalam-dalamnya lalu memulakan bicara : “ Semalam aku mendapat satu mimpi yang benar-benar merunsingkan fikiranku. Aku bermimpi berada di dalam sebuah kebun yang dipenuhi pohonan hijau. Tiba-tiba datang seekor babi besar lalu memakan keseluruhan pokok yang terdapat di dalam kebun itu. Sehinggalah tinggal pohon yang paling besar di dalam kebun itu. Ketika babi besar itu datang untuk memakan pohon besar tersebut, tiba-tiba keluar seekor harimau yang sangat gagah lalu membunuh babi besar tersebut. Adakah kamu tahu tafsirannya wahai Nu’man?”

Pemuda mulia itu bernama Nu’man bin Thaabit . Seorang lelaki yang akan menjadi tonggak kepada kemuliaan Islam kelak. Lelaki yang kelak digelar al-Imam al-A’zham Abu Hanifah al-Nu’man radhiyallahu anhu berfikir dalam dalam sebelum menjawab persoalan gurunya yang sangat disegani. Penuh rasa rendah diri, beliau lalu menjawab persoalan gurunya :

“ Izinkan aku mentafsirkannya Tuan Guru. Kebun yang engkau lihat semalam adalah gambaran kepada Baghdad ini sendiri. Manakala pohonan yang terdapat di dalamnya adalah para ulama yang meneduhkan Baghdad ini. Babi besar itu adalah orang yang akan berdebat denganmu hari ini. Dia telah berjaya menewaskan para ulama yang lain maka tinggallah satu pohon pokok yang paling besar di dalam taman tersebut iaitu Kamu wahai Tuan Guruku. Ini kerana kamu adalah ketua para ulama di Baghdad. Ketika babi itu ingin memakanmu, keluar seekor harimau yang gagah lalu membahamnya maka harimau itu adalah aku wahai Tuan Guru. Aku yang akan berdebat dengannya dan mengalahkannya nanti.”

Gembira bukan kepalang Tuan Guru bilamana mendengar ulasan daripada al-Imam Abu Hanifah. Pemuda yang bukan calang-calang orangnya.

Al-Imam Abu Hanifah yang pada ketika itu masih berumur belasan tahun lalu berkata “ Wahai Tuan Guru, jika aku tewas hari ini, maka ini tidaklah akan terlalu memalukan kerana aku hanya kanak-kanak kecil. Tetapi jika engkau ditewaskan, maka maruah Umat Islam berada dipundakmu. Maka izinkan aku untuk mengambil alih tempatmu wahai Guruku”

Al-Imam Hammad terlalu gembira mendengarnya. Allah taala lalu mencampakkan ketenangan di dalam benak sanubari al-Imam Hammad untuk memberi izin kepada al-Imam Abu Hanifah berdebat pada hari tersebut. Lalu mereka berangkat bersama-sama ke tempat perdebatan. Orang ramai sudah lama menunggu sejak awal hari lagi bagi menyaksikan satu berdebatan agung yang menjadi sebuah sejarah yang tidak mampu dilupakan sehingga sekarang.

*********


Kisah ini akan saya sambung pada masa akan datang. Saya menggabungkan kisah ini hasil bacaan daripada Kitab al-Imam Nawawi al-Bantani dan hasil nukilan daripada kitab Zahrul Adab karangan al-Imam al-Suyuti rahimahumallah. Saya mengolahnya dengan menggunakan bahasa pada zaman sekarang agar mudah untuk para pembaca menggambarkan seolah-olah berada di tempat perdebatan pada ketika itu .

Lihat nanti bagaimana al-Imam Abu Hanifah radhiyallahu anhu menggunakan ilmu kalam dan akal bagaimana untuk menolak hujah golongan Athies ini. Bukan seperti sebahagian orang yang kononnya tidak mahu mempelajari ilmu kalam kerana menyesatkan sedang hakikatnya tidak mahu mengaku bahawa diri sendiri tidak mampu memahami serta malas bersama para ulama Murabbi.

Semoga semua sahabat dapat menanti dengan sabar kisahnya yang akan datang. Malah perdebatan ini juga terdapat banyak riwayatnya. Maka saya akan ceritakan dengan bacaan yang saya perolehi.

Mohd Nazrul Abd Nasir,
Penuntut Ilmu Masjid al-Azhar al-Syariff & Masjid al-Asyraff,
Rumah Kedah Transit Hayyu 7,
Kaherah Mesir

Selasa, 31 Mac 2009

Siapakah Yang Di Maksudkan Sebagai Ahlussunnah Wal Jamaah?


Perbincangan kali ini kita akan sama-sama menyingkap apakah maksud sebenar dengan perkataan ahlussunnah wal jamaah. Seringkali kita mendengar golongan-golongan yang dengan tiada rasa segan silu mengaku bahawa mereka termasuk di dalam golongan ini tetapi terang-terangan melakukan penyelewengan fakta dan pendapat-pendapat pelik sering kita dengari daripada golongan seperti ini.

Pendapat-pendapat pelik seperti Allah istiwa’(diterjemahkan oleh mereka bahawa Allah taala duduk) di atas Arasy, golongan-golongan yang bertawassul itu dianggap telah melakukan Syirik, membahagikan tauhid kepada tiga bahagian iaitu Tauhid Rububiyyah,Uluhiyyah dan Asma wa Sifat, dan pelbagai lagi pendapat yang menyalahi jumhur Ummat Baginda Sallallahu 'Alaihi Wasallam. Ini yang sering kita dengar mereka bahaskan. Tanpa segan silu mereka juga mengaku bahawa mereka adalah ahlussunnah yang dimaksudkan. Sekarang kita akan membincangkannya secara teliti.

Menurut Guru Kami, Mufti Besar Kerajaan Mesir, al-Allamah al-Mujtahid Syeikh Dr Ali Jum’ah hafizahullah di dalam kitabnya البيان لما يشغل الأذهان jilid kedua mukasurat 23-25:

“ Maksud Ahlussunnah wal Jamaah secara istilahnya ialah golongan yang berada di atas manhaj Baginda sallallahu alaihi wasallam serta para sahabat Baginda radhiyallahu anhum di dalam masalah I’tiqad.

Antara tanda-tanda golongan ini ialah bersama dengan Khilafah Islam yang satu, sekarang telah tiada Khilafah tersebut maka mereka boleh dikenali apabila bersama dengan kelompok Jumhur Ummat Islam yang disebut oleh baginda sallallahu alaihi wasallam sebagai السواد الأعظم. Baginda sallallahu alaihi wasallam juga berpesan agar umat Islam melazimi kelompok sebegini.

Al-Imam Ibn Subki menyebut ketika mensyarahkan aqidah Ibn Hajib rahimahullah:

((اعلم أن أهل السنة و الجماعة كلهم قد اتفقوا على معتقد واحد فيما يجب و يجوز و يستحيل , و إن اختلفوا فى الطرق و المبادئ الموصلة لذلك.وبالجملة فهم بالاستقراء ثلاث طوائف:

الأولى : أهل الحديث,و معتقد الأدلة السمعية –الكتاب و السنة و الإجماع-

الثانية: أهل النظر العقلى وهم الأشعرية و الحنفية ( الماتريدية).و شيخ الأشعرية هو أبو الحسن الأشعري, و الشيخ الحنفية أبو منصور الماتريدى.

و هم متفقون فى المبادئ العقلية فى كل مطلب يتوقف السمع عليه و فى المبادئ السمعية فيما يدرك العقل جوازه فقط و العقلية و السمعية فى غيرها ,و اتفقوا فى جميع المطالب الاعتقادية إلا فى مسائل.

الثالثة: أهل الوجدان و الكشف و هم الصوفية .و مباديهم مبادي أهل النظر و الحديث فى البداية و الكشف و الإلهام فى النهاية


Maksudnya: Ketahuilah bahawasanya ahlussunnah wal jamaah itu kesemuanya bersepakat pada pegangan yang satu terhadap apa yang wajib(secara akal), harus dan mustahil pada hak Allah subhanahu wa taala, RasulNya dan perkara-perkara Ghaib. Walaupun mereka berbeza pendapat tentang cara dan prinsip untuk memahami perkara tersebut(memahami perkara wajib, harus dan mustahil pada hak Allah taala, RasulNya dan perkara-perkara Ghaib). Kajian yang dilakukan secara terperinci meletakkan bahawa golongan ini terbahagi kepada tiga kelompok:

Pertama: Ahlul Hadis, Ini merupakan kelompok ahlussunnah yang berpegang dengan dalil-dalil al-Quran, Sunnah dan al-Ijma’.
Kedua: Ahli Pemikiran, Mereka adalah golongan yang dikenali sebagai al-Asya’irah dan al-Maturidiyah. Pengasas al-Asya’irah ialah al-Imam Abu Hassan al-Asy’ari manakala pengasas al-Maturidiah ialah al-Imam Abu Mansur al-Maturidi.
Golongan al-Asya’irah dan al-Maturidiyah ini bersepakat di dalam prinsip akal,dan sam’iyah(iaitu yang disampaikan daripada mulut baginda sallallahu alaihi wasallam tanpa seseorang tersebut dapat mengeluarkan pendapat tentangnya kerana ianya tidak pernah dilihat melainkan dikhabarkan oleh baginda sallallahu alaihi wasallam) untuk memahami setiap perkara yang wajib diimani (seperti Syurga, neraka dan lain-lain perkara Ghaib). Mereka bersepakat di dalam banyak permasalahan aqidah dan hanya berlaku khilaf di dalam beberapa masalah sahaja.
Ketiga : Ahlu al-Wujdan dan al-Kasyaf.Mereka ialah golongan sufi . Prinsip mereka pada permulaan jalan menuju Allah taala ialah prinsip ahli pemikiran dan hadis manakala jika mereka telah sampai kepada peringkat yang tertinggi maka mereka menggunakan prinsip ahlu al-Kasyaf di dalam memahami prinsip-prinsip aqidah.

Al-Imam Muhammad Ahmad al-Safarayini al-Hambali rahimahullahu taala berkata:

أهل السنة و الجماعة ثلاث فرق:

الأثرية: و إمامهم أحمد بن حنبل رحمه الله تعالى

و الأشعرية: وإمامهم أبو الحسن الأشعري رحمه الله تعالى

و الماتريدية: و إمامهم أبو منصور الماتريدي رحمه الله تعالى


Maksudnya: Ahlussunnah terbahagi kepada tiga kelompok:

Pertama : Golongan Al-Athariyah(Ahlu al-Hadis): Imam di dalam kelompok ini ialah Imam Ahmad bin Hambal rahimahullah.

Kedua: Golongan al-Asya’irah: Imam di dalam kelompok ini ialah Abu Hassan al-Asy’ari rahimahullah

Ketiga: Golongan al-Maturidiah: Imam di dalam kelompok ini ialah Abu Mansur al-Maturidi rahimahullah.

Kata Syeikhuna Ali Jum’ah Hafizahullah: Al-Imam al-Safarayini tidak memasukkan kelompok Sufiyah(ulama-ulama sufi) di dalam kategori ahlussunnah(seperti yang dilakukan oleh al-Imam Ibn Hajib rahimahullah). Ini bukanlah bermaksud beliau mengatakan bahawa kelompok Sufiyyah ini bukanlah golongan ahlussunnah.Ini kerana kelompok sufi bukanlah kelompok aqidah tetapi ianya merupakan satu mazhab yang membawa kepada cara pengamalan untuk menuju Allah taala.Bahkan golongan sufi mengikut aqidah ahlusunnah wal jamaah, sama ada dengan cara dan prinsip daripada ahlu al-hadis ataupun cara dan prinsip al-Asya’irah dan Maturidiah.

Pendapat-pendapat yang saya nukilkan di sini hanyalah sebahagian kecil sahaja daripada pendapat para ulama ahlusunnah wal jamaah. Saya bercadang untuk membincangkan perkara ini secara peringkat demi peringkat. Sebagai permulaannya maka saya membawa perbincangan ini terlebih dahulu. Setelah kita jelas tentang apa yang dimaksudkan sebagai ahlusunnah wal jamaah maka selepas ini saya akan bentangkan pula perkara-perkara berkaitan masalah ini dengan lebih lanjut pada penulisan yang akan datang.

Semoga Allah taala memberikan kemudahan kepada kita untuk menjalankan perintahnya.Amin ya rabbal a’lamin.


الحق أحق أن يتبع



Mohd Nazrul Abd Nasir,

Bilik 102, Rumah Kedah,
Hayyu 10, Kaherah

Sabtu, 28 Mac 2009

Mengapa Perlu Belajar Ilmu Tauhid? Bagaimana Memahaminya Dengan Benar?

Kadang-kadang saya terfikir mengapa ramai para pelajar hatta yang belajar di al-Azhar al-Syarif sekalipun, masih “gerun” dan bimbang dengan ilmu tauhid. Saya berbaik sangka dengan mereka-mereka yang berfikiran demikian. Mungkin mereka takut mengatakan sesuatu yang tidak kena@tersalah dalam berbicara tentang ilmu tauhid.

Ya, boleh juga dikatakan mungkin mereka merendah diri tidak mahu menunjukkan ilmu di dada. Jika sebaliknya, mungkin kerana kurang ilmu berkenaan tauhid dan cara menerangkannya maka seseorang itu menjadi takut dan gerun.
Jika telahan saya ini benar, mengapa kita tidak mengambil inisiatif untuk menghilangkan rasa gerun tersebut. Nanti ada pula yang akan memberikan jawapan kepada kita “payah la ustaz ilmu tauhid ni” “pening kepala la nak ingat tauhid ni” dan bermacam-macam lagi alasan yang direka-reka untuk melepaskan diri.

Saya tidak katakan bahawa saya pandai di dalam bidang ini. Memang pada mulanya kita membuka kitab tauhid maka kita akan menjumpai banyak istilah-istilah yang tidak kita fahami. Persoalan yang ingin saya lontarkan di sini ialah, bagaimanakah caranya kita untuk memahami dengan mudah istilah-istilah ini? Ya, jawapannya hanya satu : PERLU BELAJAR DENGAN GURU YANG BENAR JALANNYA.

Mungkin ramai tertanya-tanya apa maksud saya dengan perkataan GURU YANG BENAR JALANNYA. Maksud saya ialah seorang ulama yang benar aqidahnya, dan berpegang dengan mazhab. Ahlussunnah Wal Jamaah


Ahlussunnah wal jamaah yang saya maksudkan ialah mazhab Asyai’rah dan al-Maturidiah. Tiada yang selain daripada dua mazhab ini.

Ilmu tauhid bukanlah ilmu yang boleh dicedok atau didapati hanya dengan berjam-jam di dalam maktabah@perpustakaan. Bukan juga di dapati hanya sekadar mendengar rakaman-rakaman pengajian. Bukan juga didapati daripada pembacaan kitab-kitab dan pengkajian tanpa bimbingan seorang guru. Bukan juga diperolehi dengan cara tidur dan bersenang-lenang.

Ianya hanya boleh didapati dengan SATU CARA sahaja iaitu belajar dengan para ulama.
Kalau hanya sekadar membaca dan membuat kajian sendirian tanpa bimbingan para ulama maka natijahnya ialah akan bercampurnya pemikiran-pemikiran songsang yang memalukan bagi seorang penganut Islam. Ianya juga akan mengundang fitnah.

Pembacaan dan belajar dengan golongan yang tersalah inilah yang menyebabkan fahaman Allah taala bertempat, Allah taala istiwa’(duduk) di atas Arasy dan sebagainya tersebar. Mengapa pemikiran-pemikiran sebegini boleh lahir? Jawapannya hanya satu: Kerana faktor-faktor yang telah saya sebutkan sebelum ini.

Disebabkan perkara inilah maka menjadi Fardhu Ain bagi seorang penuntut agama khususnya di Al-Azhar Al-Syarif untuk menimba ilmu ini secara bersungguh-sungguh bagi mempertahankan aqidah umat Islam yang semakin goyah dengan tersebarnya fahaman yang longgar dan songsang sedemikian.

Kita perlu merasakan bahawa ianya merupakan satu tanggungjawab yang berat. Kalian yang sudah berada di dalam bidang agama ini jika tidak menuntutnya secara bersungguh maka akan dipersoalkan nanti dihadapan yang Maha Agung


Jangan hanya sekadar mengejar sijil semata-mata tetapi ilmunya tidak seberapa. Biarlah pangkat dan anugerah yang kalian dapat itu sebanding dengan ilmu dan penat jerih kalian semasa menuntut Ilmu. Tidakkah kalian bimbang bilamana membaca hadis baginda Sallallahu 'Alaihi Wasallam yang saya petik daripada kitab 40 hadis kelebihan Ilmu dan Ulama karangan Guru saya yang mulia al-Syeikh al-Allamah Ahmad Fahmi ZamZam hafizahullah

عن عبدالله بن عمرو بن العاصى رضى الله عنهما قال: قال رسول الله صلى الله عليه و سلم: إن الله لا يقبض العلمَ انتزاعا ينتزعه من الناس و لكن يقبض العلم بقبض العلماء حتى إذا لم يبقِ عالما اتخذ الناسُ رؤوسا جهّالا فسُئِلُوا, فأفتوا بغير علمٍ فضَلُّوا و أضلوا

أخرجه الشيخان و الترميذى


Maksudnya: Daripada Abdullah Bin Amru bin al-Ash Radhiyallahu 'Anhuma berkata: Sabda Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam: "Sesungguhnya Allah Taala tidak menghilangkan ilmu agama itu dengan dicabutkan sekaligus daripada manusia tetapi Allah taala akan menghilangkan ilmu itu dengan mematikan para ulama. Manusia akan melantik pemimpin mereka dikalangan orang-orang yang jahil lalu mereka akan ditanyakan hukum tentang sesuatu masalah. Maka mereka menjawab atau berfatwa tanpa ilmu pengetahuan, Maka mereka sesat dan menyesatkan orang lain".

Tidakkah kalian takut dengan amaran daripada Baginda Sallallahu 'Alaihi Wasallam ini. Adakah kita ingin menjadi golongan yang sesat dan menyesatkan. Tentu sekali kita tidak mahu. Maka sama-samalah kita muhasabah diri dan perlu lebih giat menuntut Ilmu. Selagi para ulama masih hidup maka sama-samalah kita menuntut Ilmu dengan mereka.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...