Memaparkan catatan dengan label Umum. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Umum. Papar semua catatan

Khamis, 13 Mei 2010

Ini Manhaj Azhari Sebenar... Jangan Sekadar Mendakwa-Dakwi

Ramai orang pada zaman sekarang suka mendakwa-dakwi itu dan ini bagi membenarkan kelompok dan pegangan rapuh yang mereka dokongi. Lebih melucukan ada dikalangan pihak-pihak ini yang menafikan bahawa mereka adalah termasuk di dalam kelompok tersebut dengan melakukan penafian demi penafian walau semua orang sudah mengetahuinya. Malu mengaku bahawa mereka adalah golongan Wahabi maka mereka meletakkan nama mereka sebagai Salafi. Begitulah kelompok kekeringan manhaj dan pegangan. Tidak tetap pendirian.

Geli hati bilamana ada golongan yang meminta agar saya tidak membenci golongan wahabi dan turut meminta agar saya tidak terlalu membela para ulama Sufi. Saya ingin bertanya , dan saya minta kepada golongan ini untuk menjawab :

“ Boleh Tuan tunjukkan dimanakah perkataan saya yang menunjukkan bahawa saya terlalu membenci wahabi?”

Saya cuma menegur dan memberikan jawapan terhadap kebobrokan pemikiran yang mereka bawa. Mengkritik dan memberikan hujah semata-mata. Jika ini dinilai bahawa saya membenci golongan wahabi maka ini ternyata penilaian yang dangkal dan tidak professional. Jika seorang sahabat mengkritik hasil kerja sahabatnya yang lain, adakah ini bermakna pengkritik tersebut membenci sahabat yang dikritiknya? Hasil kritikan itulah yang menyebabkan seseorang itu akan menjadi lebih maju dan mencari kebenaran . Bukannya menutup mata dan hati daripada menerima kebenaran walaupun sudah disajikan di depan mata. Allahu Allah.

Seperkara lagi , mereka juga sudah berani mengaku bahawa mereka juga mengetahui manhaj al-Azhar al-Syariff. Sedangkan hakikat sebenarnya merekalah yang paling jauh daripada manhaj tersebut. Jika benar mereka mengetahui tentang manhaj tersebut, sekali lagi saya ingin bertanya:

“ Di manakah kamu (yang mendakwa bahawa cukup memahami manhaj al-Azhar al-Syariff) mengambil manhaj tersebut?”

Jangan sekadar mendakwa, tunjukkan bukti di mana dan daripada siapa yang kamu perolehi perkara tersebut?

* * *

Baru-baru ini, setelah tamat pembacaan kitab Hadis 40 al-Imam al-Nawawi rahimahullah oleh Syaikhuna al-Allamah al-Muhaddis Muhammad Ibrahim Abd Ba’ith al-Kattani al-Husaini hafizahullah di Rumah Kedah , saya bersama sahabat-sahabat yang hadir pada malam tersebut sempat bersembang-sembang dengan Syaikhuna al-Allamah al-Muhaddis Usamah Sayyid al-Azhari ( lihat gambar di atas ) berhampiran kereta beliau. Sambil berbicara , Syaikhuna al-Muhaddis terus menuju ke bahagian belakang kereta beliau lalu mengeluarkan sebuah risalah yang cukup menarik cetakannya lalu menyerahkan risalah tersebut kepada Ust Khairul Abdan , selaku Ketua Badan Ilmiyah Majlis Kebajikan Keluarga Kedah ( MKKK ). Syaikhuna menyampaikan pesanan agar tidak difotostat risalah tersebut. Pihak MKKK bercadang untuk meletakkan risalah tersebut di Maktabah MKKK.

Inilah Risalah karangan Syaikhuna al-Allamah al-Muhaddis Usamah Sayyid al-Azhari hafizahullah

Saya membelek-belek helaian demi helaian risalah tersebut. Risalah yang diberi nama :



Dikarang sendiri oleh Syaikhuna al-Allamah al-Muhaddis Usamah al-Sayyid Mahmud al-Azhari hafizahullah sendiri.

Sudah lama saya menantikan tulisan berkenaan Manhaj al-Azhar al-Syarif daripada sentuhan ulamanya sendiri. Alhamdulillah , kini ianya benar-benar ada di depan mata saya sekarang.

Alhamdulillah, Syaikhuna al-Allamah al-Muhaddis Usamah al-Sayyid Mahmud al-Azhari hafizahullah sendiri memberikan keizinan kepada saya untuk menterjemahkannya kepada Bahasa Melayu . Semoga Allah taala memberikan kekuatan untuk al-Faqir menterjemahkannya sehingga selesai.

Syaikhuna al-Allamah mengatakan berdasarkan pemerhatian dan penelitian beliau sepanjang proses pembelajaran dan pengajaran di al-Azhar al-Syariff, beliau dapat simpulkan bahawa ciri-ciri utama bagi pembinaan jati diri seorang Azhari adalah terbina daripada 8 ciri serta manhaj utama:

1. Bersambung Sanad ( silsilah ) pengambilan ilmu sama ada secara riwayah, dirayah serta tazkiyah. Ini akan diperolehi bilamana seseorang tersebut bertalaqqi ilmu serta bersahabat dengan para ulama di Bumi al-Azhar ini. Ini perlulah dilakukan dalam tempoh masa yang lama bagi memperolehi keahlian serta kefahaman yang jelas tentang ilmu sebenar di dalam Islam. Ini jelas menunjukkan bahawa ilmu itu diperolehi dengan cara bertalaqqi dengan para ulama bukan sekadar membaca tanpa guru.

2. Mengambil perhatian di dalam menguasai ilmu-ilmu asas bagi mempelajari serta memahami al-Quran dan al-Sunnah seperti ilmu Nahwu, Sarf, Balaghah, al-Ishtiqaq, Usul Fiqh, Ulum al-Hadis, Ulum al-Quran dan lain-lain.

3. Mengetahui secara menyeluruh serta jelas tentang Maqasid al-Syariah ( Prinsip-Prinsip di dalam Syariat). Pengetahuan secara mendalam terhadap Maqasid Syariah menyebabkan seseorang tersebut akan dapat membezakan perkara usul dan cabang di dalam agama. Maka ini akan menyebabkan seorang Azhari tersebut tidak akan cepat menghukum sewenang-wenangnya serta akan berlembut dengan golongan yang Jahil serta memberikan tunjuk ajar sebaiknya kepada mereka.

4. Meletakkan ayat al-Quran pada tempat yang sepatutnya. Ini jelas menunjukkan bahawa manhaj al-Azhar berbeza dengan manhaj sesetengah pihak yang terkadang meletakkan ayat yang diturunkan kepada orang-orang kafir kepada golongan Muslimin. Bilamana perkara sebegini berlaku maka secara tidak langsung akan wujud perpecahan serta buruk sangka kepada muslim yang lain.

5. Membesarkan kedudukan Umat Baginda sallallahu alaihi wasallam. Bilamana seorang Azhari tersebut mengetahui akan kedudukan serta kemuliaan Umat Baginda sallallahu alaihi wasallam, maka secara tidak langsung akan hilanglah perasaan ingin menuduh fasiq kepada umat Islam yang lain, menghukum kafir, ahli Bid’ah serta lain-lain hanya kerana melakukan perkara yang bagi fikiran mereka(yang tidak bermanhaj seperti Azhari) adalah merupakan Syirik Terbesar seperti Bertawassul dan lain-lain. Sedangkan hakikat sebenarnya adalah bertentangan dengan apa yang mereka fikirkan.

6. Meletakkan bahawa perkara paling utama adalah menyampaikan hidayah Islam kepada seluruh alam.

7. Mempunyai ciri-ciri lengkap di dalam pembentukan ilmu iaitu dengan 1) berpandukan al-Quran, al-Sunnah, Ijma’ dan al-Qiyas, 2) mempunyai manhaj ilmu yang muktamad serta mempunyai kaedah yang jelas bagi memahami sesuatu nas tersebut, 3) mempunyai kemampuan serta anugerah daripada Allah taala bagi mendalami ilmu tersebut. Ini jelas menunjukkan bahawa manhaj al-Azhar berbeza dengan manhaj yang lain . Jika tidak punya kaedah yang jelas di dalam pembentukan ilmu maka akan lahirlah kelompok yang hanya mengetahui istilah dalil tetapi tidak mengetahui apakah cara untuk mengeluarkannya , mengumpul serta meneliti dalil satu persatu berdasarkan keahlian seseorang tersebut di dalam bidang ilmu tersebut.

8. Sentiasa mengambil faedah daripada Turath Ummah (Tinggalan umat Islam terdahulu seperti kitab-kitab karya mereka serta apa sahaja yang memberikan faedah dan manfaat), menyedari akan kedudukan serta keagungan tinggalan umat Islam silam serta mengetahui cara bagaimana mengambil segala faedah daripadanya .

Inilah manhaj yang dipegang dan sepatutnya difahami secara lumat oleh penuntut ilmu di al-Azhar al-Syarif. Jika perkara sebegini tidak lagi difahami dengan baik, maka janganlah mengaku pandai serta menuduh orang lain berlagak sombong sedangkan hakikat sebenarnya merekalah yang berlagak sombong tersebut.

Semoga semua dapat mengambil manfaat .

Mohd Nazrul Abd Nasir,
Penuntut Ilmu Masjid al-Azhar al-Syariff & Masjid al-Asyraff,
Rumah Kedah Transit Hayyu 7,
Kaherah, Mesir

p/s : Saya cuma menterjemahkan isi penting di dalam risalah tersebut sahaja, bukan keseluruhannya. Terjemahan secara keseluruhannya akan dimasukkan di dalam risalah Syaikhuna nanti bilamana cetakan pelbagai bahasa dikeluarkan.

Sabtu, 10 Oktober 2009

Isu Purdah... Pembaca Jangan Cepat Melatah Bila Akhbar Picisan Mencuit ....

Sekali lagi hati ini terguris bilamana para ulama dipermainkan.Inilah bahananya jika pekerjaan yang dilakukan langsung tidak berpaksikan iman dan adab.Sikap pembaca pula terlalu cepat menghukum dan memberikan komentar. Saya mendengar khabar daripada beberapa sahabat, sudah ada yang menggunakan laman facebook untuk mengecam dan mengutuk Syaikhul Akbar Dr Sayyid Muhammad Tantawi hafizahullah.Seringkali kita memberikan nasihat dan pesanan kepada akhbar Tanah Melayu yang sering bersekongkol dengan akhbar dunia yang lain agar melakukan penelitian sebaiknya kepada setiap pernyataan yang dikeluarkan.

Berkali-kali kita sebutkan , selepas ini jika berita dan akhbar Melayu mengeluarkan sesuatu pernyataan kontroversi tentang pendapat para ulama maka perkara pertama yang perlu dipasakkan di dalam minda sidang pembaca ialah “ BOLEH DIBACA NAMUN PERCAYA JANGAN”. Kamu tak takutkah dengan hukum Allah taala kerana sering mempermain-mainkan para ulama.

Ingatlah, daging ulama itu beracun. Jangan bermain-main dengan maruah seorang ulama.

Pendapat yang dikeluarkan oleh Syaikhul al-Akbar Dr Sayyid Muhammad Tantawi hafizahullah jelas bertentangan dengan apa yang dikeluarkan oleh akhbar Malaysia.Lain yang diucapkan oleh Syeikh, lain pula yang mereka masukkan ke dalam akhbar milik mereka.Kalau ya pun inginkan akhbar picisan milik kamu terjual laku di pasaran, usahlah lakukan fitnah kepada para ulama sehingga sedemikian rupa.

Apa yang diterangkan oleh IslamOnline dapat menjelaskan segala kekusutan yang berlaku. Saya diminta berkali-kali oleh sahabat-sahabat untuk membahaskan isu ini. Sikap saya yang pertama, tidak mahu terlalu cepat meletakkan hukum kepada ulama yang kita kenali sangat wara’ di dalam mengeluarkan sesuatu hukum.

Secara jelasnya , Syaikhul Akbar tidaklah melarang @ mengharamkan ( seperti bahasa yang digunakan oleh Akhbar Malaysia) pemakaian niqab secara mutlak. Malah larangan ini hanyalah kepada sekolah dan pusat pengajian yang di dalamnya hanya terdapat wanita sahaja. Ini bermakna, jika terdapat lelaki di dalam kawasan tersebut, maka dibenarkan untuk memakai niqab bagi wanita. Apa yang kita kesalkan, akhbar Malaysia jelas menyebarkan berita yang bertentangan dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Syaikhul Akbar.

IslamOnline juga menerangkan bahawa, Syaikhul Akbar bukanlah menentang pemakaian Niqab kepada wanita. Malah beliau amat-amat menghormati pandangan wanita yang ingin mengekalkan pemakaian niqab.Namun, apa yang beliau tentang ialah kesalahfahaman yang berlaku dan meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya.Bahasa mudahnya, mengamalkan agama bukan pada tempat yang sepatutnya. Jika sesebuah institusi tersebut ahlinya terdiri daripada golongan wanita semata-mata, apa faedahnya mereka memakai niqab?? Ini yang ingin Syaikhul Akbar terangkan dan bawa kepada masyarakat. Bukannya seperti yang disebarkan oleh akhbar-akhbar picisan yang seolah-olah mengatakan bahawa niqab ingin diharamkan seratus-peratus kepada golongan wanita muslimah.

Manakala isu tohmahan terhadap Syaikhul Akbar yang mengatakan bahawa beliau menghina pelajar wanita tersebut dengan mengatakan bahawa “ Aku lebih mengetahui tentang agama daripada kamu dan orang-orang yang mendidik kamu” jelas merupakan fitnah terhadap Syaikhul Azhar. Perkataan ini langsung tidak diucapkan oleh Syaikhul Akbar. Ini jelas putar belit yang dilakukan oleh akhbar yang memang terkenal suka mencari publisiti murahan dengan melakukan penghinaan terhadap para ulama.

Penjelasan lanjut boleh dilihat di IslamOnline.

Inilah senario masyarakat sekarang, ulama terlalu dipandang rendah dan hina. Malah dianggap tiada langsung kedudukan disisi mereka. Saya tidak mahu membahaskan isu sama ada niqab ini benar-benar merupakan tuntutan agama atau sekadar adat seperti yang disebutkan oleh Syaikhul Akbar.Ini merupakan permasalahan khilaf dikalangan para ulama.Khilaf di dalam permasalahan ini bukanlah merupakan perkara usul yang boleh membawa kepada kekufuran. Malah ianya cuma khilaf di dalam permasalahan cabang agama. Terlalu dangkal golongan yang ingin melakukan tohmahan kepada Syaikhul Akbar Dr Sayyid Muhammad Tantawi hafizahullah hanya kerana beliau mengatakan bahawa niqab ini hanyalah merupakan adat.

Orang zaman sekarang lebih suka percayakan akhbar yang ditulis oleh wartawan yang tidak diketahui peribadinya berbanding mempercayai ulama muktabar.

Saya sangat tertarik dengan penjelasan yang diberikan oleh Fadhilatus Syaikhuna Habib Ali al-Jufri hafizahullah bilamana ditanya pandangan beliau berkenaan pendapat Syaikhul Akbar tentang “ Harus Memberikan Infaq Kepada Pembinaan Gereja”. Kata Syaikhuna Habib Ali al-Jufri hafizahullah(secara ringkasnya) :

“ Sepanjang pengetahuan saya perkara ini merupakan sepakat daripada para ulama mengatakan bahawa tidak dibenarkan untuk kita memberikan bantuan terhadap pembinaan gereja.Cuma ianya dibenarkan untuk pihak kerajaan memberikan bantuan jika keadaan memerlukan seperti yang berlaku di Gaza setelah peperangan antara Yahudi laknatullah dan tentera Islam.Kerajaan Hamas ketika itu memberikan bantuan kewangan untuk pembinaan gereja yang runtuh akibat peperangan tersebut. Secara jelasnya, saya menyebutkan perkara ini dengan ilmu saya yang sedikit berbanding Syaikhuna al-Akbar Dr Sayyid Muhammad Tantawi hafizahullah.Mungkin Fadhilatul al-Imam al-Akbar pernah terjumpa pendapat ulama yang mengatakan bahawa dibenarkan untuk memberikan bantuan kepada pembinaan gereja.Manakala saya dengan sedikitnya ilmu pengetahuan yang ada pada saya maka tidak dapat saya memberikan pendapat sepertimana yang diberikan oleh al-Imam al-Akbar Dr Sayyid Muhammad Tantawi hafizahullah.”

Nah, inilah sikap sebenar seorang ulama dan sikap seorang pendengar yang tidak cepat menghukum.Malah meletakkan adab yang terlalu tinggi terhadap para ulama.

Moga kita semua dapat mengambil sifat terpuji yang ditunjukkan oleh para ulama kita di dalam memberikan pendapat dan berbeza pendapat.


Saya juga ada menulis tentang hukum memakai niqab pada keluaran yang lalu. Sila lihat :


Wartawan-wartawan akhbar perlu menilai perkara ini dengan teliti.Muslim yang baik bukanlah yang terjatuh ke dalam lubang sebanyak dua kali walau telah diperingatkan berkali-kali.

**********

Ya Allah, Aku bersaksi kepadaMu, jikalau aku tidak mampu menjadi seorang ulama, maka cukuplah diriku menjadi khadam kepada para ulama, membela mereka daripada ditohmah walau diri ini tergadai.. Moga mereka akan memberikan syafaat kepadaku kelak dengan Rahmat dan InayahMu Ya Rabbal A'lamin...

Mohd Nazrul Abd Nasir,
Rumah Kedah Hayyu 10,
Keherah Mesir

Khamis, 3 September 2009

Mengapa Syaikhuna Habib Ali al-Jifri hafizahullah Tidak Bertandang ke Mesir selama 7 Tahun ???

Setelah saya menulis berkenaan tajuk akhbar “ Mengapa Habib Ali al-Jifri hafizahullah tidak masuk ke Mesir selama 7 tahun??”, ramai yang tertarik dengan tajuk tersebut.Ramai sahabat yang meminta untuk saya menulis tentang perkara ini.

Ini jelas menunjukkan al-Allamah al-Dai’eyah Habib Ali al-Jifri hafizahullah terlalu ramai peminatnya dan terlalu ramai orang yang mencintainya.Perasaan saya juga begitu, dan saya memohon kepada Allah taala moga saya juga dapat menjadi seperti beliau.Bukan sekadar seorang pendakwah malah seorang ulama yang mampu memberikan sinar kepada diri saya, dan umat Islam seluruhnya.Amin Ya Rabbal A’lamin.

Di sini saya akan sertakan sedikit perbincangan dan dialog di antara Ketua Editor Akhbar al-Khamis , Amru al-Laithi bersama al-Allamah al-Dai’eyah Habib Ali al-Jifri hafizahullah. Perbincangan dan dialog ini di siarkan di dalam rancangan televisyen “ Wahid min al-Nas” Hakikatnya, sang Habib tidak menceritakan secara terperinci mengapa dan kenapa beliau tidak masuk ke Mesir selama 7 tahun kebelakangan ini.Beliau sekadar menjawab dengan ringkas , mungkin ingin menjaga hati sesetengah pihak.Apa-apa pun, sama-sama kita ikuti perbincangan ringkas mereka berdua.

warna merah: Amru al-Laithi
warna hijau : Habib Ali al-Jifri
warna biru : ulasan daripada saya

Amru al-Laithi: Ramai tertanya-tanya , dimanakah menghilangnya seorang pendakwah yang hebat iaitu Habib Ali al-Jifri setelah tuan keluar daripada bumi Mesir 7 tahun lepas dengan cara yang tidak jelas sehinggalah Tuan datang semula ke sini baru-baru ini?

Habib Ali al-Jifri : Sebelum memulakan perbincangan , ingin saya betulkan istilah yang digunakan oleh saudara Amru al-Laithi.Saya bukanlah pendakwah yang hebat seperti yang disebutkan (tawaddhuk sungguh Syaikhuna al-Allamah al-Daieyah Habib Ali al-Jifri hafizahullah). Saya memohon kepada Allah taala untuk meletakkan diri saya ini sebagai khadam kepada agama Allah taala, para ulama dan para pendakwah(maksudnya beliau cuma meletakkan dirinya yang mulia sebagai khadam @ hamba kepada para pendakwah yang lain, bukan sebagai rujukan para pendakwah.Sungguh mulia pekertimu wahai Cucu Baginda sallallahu alaihi wasallam).

Ramai yang bertanya tentang perkara ini, mengapa saya tidak datang ke Mesir selama 7 tahun dan dilarang untuk memasuki bumi Mesir ini.Kebanyakkan yang melemparkan persoalan ini ialah golongan wartawan. Jawapan yang dapat saya berikan ialah, saya sendiri tidak tahu apakah sebabnya saya dihalang untuk masuk sebelum ini.

Tidak dapat kita nafikan, setiap tempat punya undang-undangnya sendiri dan saya tidaklah akan terlepas daripada melakukan kesilapan .Begitu juga undang-undang yang diletakkan tidaklah juga terlepas daripada melakukan kesilapan.Tidaklah menjadi kesalahan jika kamu ingin memperbetulkan kesalahan kamu.Begitu juga dengan undang-undang yang diletakkan boleh juga diperbetulkan jika terdapat padanya kesalahan.(cantik benar kiasan yang digunakan oleh Habib Ali al-Jifri hafizahullah untuk menyindir undang-undang kerajaan Mesir).

Amru al-Laithi: Adakah terdapat sebab tertentu yang menyebabkan Tuan Habib keluar daripada bumi Mesir dengan cara tersebut contohnya seperti berlaku perselisihan pendapat dengan sesetengah pihak?

Habib Ali al-Jifri : Saya tidak fikir perkara sebegini berlaku.Rasa saya tidak berlaku perselisihan dengan mana-mana pihak.Alhamdulillah, kebanyakkan mengetahui bahawa al-faqir ini tiada menyebelahi mana-mana parti politik tertentu.Saya cuma berpegang dengan manhaj ahlussunnah yang dibawa oleh al-Azhar al-Syarif yang sudah bertapak lebih daripada seribu tahun, dan juga saya membawa manhaj yang dibawa oleh institusi pengajian Islam terkemuka dunia yang lain seperti Khairawan dan al-Zaitun di Maghribi,Madrasah al-Syam, Hadramaut, Mauritania, dan India.

Alhamdulillah 7 tahun yang berlalu ini semuanya berjalan dengan lancar.Saya berulang alik ke Yaman dalam tempoh tersebut.Kemudian Syeikh Zayid rahimahullah menjemput saya ke Emirate Arab Bersatu.Allah taala mempermudahkan urusan saya di sana dan terima kasih tidak terhingga kepada Syeikh Khalifah yang membenarkan saya mengasaskan Muassasah untuk pengajian Islam.Muassasah tersebut ditubuhkan untuk penyelenggaraan tugas Dakwah.Saya memohon kepada Allah taala agar apa yang berlaku sepanjang 7 tahun ini menjadi amal kebaikan kepada sesiapa yang melakukan perkara tersebut kepada saya dan bukan menjadi celaan kepada mereka kelak( masyaAllah, mulia sungguh pekerti Habib Ali al-Jifri, walaupun pihak tertentu menghalangnya untuk masuk bertamu ke Mesir, namun beliau tetap mendoakan kebaikan untuk pihak tersebut).

Hakikatnya sekarang, zaman halangan tersebut telah berlalu.Saya tidaklah merasakan halangan untuk datang ke Mesir sebelum ini memutuskan terus hubungan cintaku dan rinduku kepada Mesir dan ahlinya.

Amru al-Laithi: Adakah terdapat syarat tertentu diletakkan untuk Tuan Habib masuk bertandang ke Mesir pada kali ini?

Habib Ali al-Jifri : Tidak ada syarat yang diletakkan sekali-kali.Bagi menjelaskan lagi perkara ini, sebenarnya saya menerima panggilan telefon daripada pihak berwajib di Mesir yang memaklumkan kepada saya bahawa segala perkara sebelum ini( tidak dapat dipastikan perkara apakah sebenarnya yang menjadi masalah untuk Habib Ali tidak dibenarkan masuk) telah selesai dan Mesir menanti kedatangan Tuan Habib ke sini.Saya dapati sambutan ketika saya tiba di Lapangan Terbang Mesir begitu menggugah jiwa saya.Terima Kasih kepada saudara-saudara yang menyambut kedatangan saya baru-baru ini.

Sejak ketibaan saya , tiada kedengaran seorang pun yang memberikan arahan kepada saya untuk tidak memperkatakan tentang itu dan ini.Tiada pula arahan yang membenarkan untuk saya melakukan sesuatu dan melarang untuk saya melakukan sesuatu.Hakikatnya telah dibuat perkongsian pemikiran 3 atau 4 bulan lepas.Saya telah berbincang dengan para ulama , pendakwah, pemerintah, dan pihak yang bertentangan dengan kita daripada ahli politik, dan ahli perniagaan.Perbincangan tersebut lebih kepada membincangkan tentang perlunya ada titik kepercayaan kepada diri masing-masing dan mewujudkan hubungan baik antara semua tanpa wujud hipokrit dan perasaan ingin menjatuhkan orang lain .

************

Perbincangan dengan al-Allamah al-Dai’eyah Habib Ali al-Jifri hafizahullah lebih panjang daripada ini, saya cuma ingin menceritakan tentang mengapa Sang Habib tidak bertandang ke Bumi Kinanah ini selama 7 tahun kebelakangan ini.Secara jelasnya ada sesuatu yang berlaku kepada Habib Ali al-Jifri sepanjang tempoh tersebut.

Seolah-olah Habib Ali ingin memberikan isyarat tertentu kepada siapakah dalang disebalik halangan kepadanya untuk masuk ke Mesir.Tetapi kerana adab dan akhlaknya yang terlalu tinggi menyebabkan Beliau tidak mendedahkan pihak mana yang menghalangnya untuk masuk ke Mesir.Kalau diperhatikan dengan baik perbualan tersebut maka tentulah kita dapat mengagak pihak manakah yang sangat bencikan ulama dan para pendakwah ini.Sudah menjadi sunnatullah, orang yang membawa kebenaran pasti akan dihalang-halang.Tetapi yang membawa kebobrokkan di dalam pemikiran muda-mudi pasti akan diagung-agungkan.

Saya puji kepada stesen televisyen di Mesir kerana ulama sebegini diberikan peluang untuk bersuara.Tidak dinafikan ada juga rancangan Televisyen yang hanya menceritakan tentang artis dan hiburan semata-mata.Namun sekurang-kurangnya punya alternative untuk masyarakat memilih kebaikan.Berbeza dengan sistem siaran di Malaysia yang tercinta.Ulama disekat untuk berbicara, malah fitnah kepada ulama pula semakin berleluasa.

Apa mereka tidak takutkah dengan azab Allah taala hasil fitnah yang mereka sebarkan untuk menjaga periuk nasi sendiri?Takutlah dengan azab Allah , daging para ulama ini beracun.Jangan sampai kamu sendiri meletakkan diri kamu di dalam kebinasaan hanya kerana perkara dunia yang kamu kejarkan.

Semoga al-Allamah al-Dai’eyah Habib Ali al-Jifri hafizahullah dapat bertamu lagi ke bumi Kinanah ini.Kami merindui kedatanganmu ke sini lagi.

Mohd Nazrul Abd Nasir,
Penuntut Ilmu Di Masjid al-Azhar al-Syarif,
Kaherah, Mesir


Ahad, 12 April 2009

Senarai Kitab-Kitab Nahu Yang Perlu Dimiliki

Di sini saya akan menyenaraikan nama-nama kitab-kitab Nahu(ilmu tatabahasa Arab )dan Sarf yang perlu dimiliki dan dipelajari oleh mana-mana penuntut ilmu agama yang ingin mendalami ilmu-ilmu Islam.Ilmu ini sangat penting kerana jika seseorang tersebut ingin mempelajari Islam dan mendalaminya tanpa Ilmu ini maka kefahamannya akan menjadi silap.Saya tidaklah bermaksud untuk menyuruh kepada semua golongan untuk mempelajarinya secara tuntas.Tetapi ini adalah peringatan buat golongan pelajar yang ingin menjadi para pendakwah dan guru-guru di dalam ilmu-ilmu Islam.Jika ilmu ini tidak dapat kamu kuasai dengan sebaiknya maka akan menjadi masalah dan kata para ulama ketika mensyarahkan hadis yang diriwayatkan oleh hampir 98 orang Sahabat Rasulullah sallallahu alaihi wassalam(dan hadis ini mencapai tahap mutawatir maksudnya jika ingkari akan kesahihannya maka boleh dihukum kafir):

من كذب عليّ متعمِّدا فليَتَبَوَّأ مقعَدَهُ من النار

Maksudnya: Sesiapa yang sengaja melakukan pembohongan kepadaku(menyebutkan perkara yang tidak aku sebutkan)maka siap sedialah tempatnya di dalam neraka kelak.

Para ulama mengatakan bahawa termasuk dengan maksud hadis ini ialah kepada orang-orang yang membaca hadis tetapi tidak mengetahui tentang ilmu nahu.Maka dia telah dikira melakukan pembohongan kepada baginda sallallahu alaihi wassalam.
Maka memandangkan ilmu ini sangat penting sehinggakan sebahagian guru-guru kita menyebutkan bahawa ilmu Nahu dan sarf ini diibaratkan seperti Ibu dan Ayah bagi seorang anak dara sunti.Anak dara yang maksudkan disini ialah ilmu-ilmu lain yang terdapat di dalam Islam seperti Tafsir,Hadis,Fiqh dan lain-lain.Maka jika ingin mendapatkan anak dara tersebut, mahu tidak mahu perlu bagi kita untuk mendekati ibu dan ayah bagi anak dara tersebut.Jika kita dapat menawan hati ibu dan ayah tersebut maka dengan mudah kita akan dapat menawan hati anak dara tersebut.Ini sekadar perumpamaan.Maksudnya jika kita mampu menguasai ilmu nahu dan saraf dengan baik maka ilmu-ilmu lain juga akan menjadi mudah untuk kita fahami.

Tapi perlu diingat,ilmu-ilmu di dalam Islam perlulah dipelajari dengan para guru dan ulama yang muktabar bukan hanya dengan cara membaca.Membaca tanpa bimbingan seoarang guru akan menyebabkan kita tertipu dengan diri kita sendiri.
Saya akan menyenaraikan nama-nama kitab nahu dan sarf mengikut peringkat yang telah disenaraikan oleh Syeikh Ahmad al-Tunisi di dalam Risalah beliau . Semoga kita semua dapat mengambil faedah.

PERINGKAT PERMULAAN

1.التحفة السنية بشرح المقدمة الآجرُّومية للشيخ محمد محيى الدين عبد الحميد
2. شرح الشيخ خالد الأزهرى على الآجرُّومية
3. شرح متن الأزهرية للشيخ خالد الأزهرى
4. الخريدة البهية فى إعراب ألفاظ الآجرُّومية للعجيمى المكى
5. شرح التفتازانى على متن العزى
6. عنوان الظرف فى علم الصرف , هارون عبد الرزاق
7. تشويق الخلان : حاشية على شرح الشيخ دحلان على الآجرُّومية للشيخ محمد معصوم بن سالم السمارانى
8. شرح الكَفراوى على الآجرُّومية مع حاشية الحامدى

PERINGKAT PERTENGAHAN

1. شرح قطر الندى و بل الصدى لابن هشام بتحقيق محمد محيى الدين عبد الحميد
2. موصل الطلاب إلى قواعد الإعراب للشيخ خالد الأزهرى
3. شرح ابن عقيل على ألفية ابن مالك بحاشية الخُضَرى
4. شرح التصريح على التوضيح للشيخ خالد الأزهرى
5. شرح شواهد ابن عقيل للجرجاني
6. شذا العرف فى فن الصرف للحملاوى
7. شرح لامية الأفعال لبَحرَق اليمنى بحاشية الرفاعى
8. كتاب التصريف قسم الأفعال للشيخ محمد محيى الدين عبد الحميد
9. مبرز القواعد الإعرابية من القصيدة المجراديّة للرسموكى مع حاشية العمرانى
10. فتح الأقفال و حلّ الإشكال بشرح لامية الأفعال لبَحرَق اليمنى

PERINGKAT AKHIR

1. شرح الأشمونى على الألفية بحاشية الصبان
2. مغنى اللبيب لابن هشام مع حاشية الدسوقى
3. شرح الدماميني على تسهيل ابن مالك
4. همع الهوامع شرح جمع الجوامع للسيوطى
5. شرح شواهد المغنى للسيوطى
6. الاقتراح فى أصول النحو للسيوطى
7. الأشباه و النظائر للسيوطى
8. شرح الرضى على كافية ابن الحاجب
9. الممتع فى التصريف لابن عصفور
10. الإنصاف فى مسائل الخلاف لابن الأنبارى
11. مافات الإنصاف من مسائل الخلاف لفتحى بيومى
12. شرح المفصل لابن يعيش

Bukanlah semua yang disebutkan disini sudah mencukupi.Masih terdapat banyak lagi kitab-kitab nahu dan sarf yang tidak kita senaraikan disini.Cuma jika kita memiliki dan mempelajari kitab-kitab ini mengikut peringkat yang telah saya sebutkan disini maka ianya sangat-sangat memadai bagi seorang penuntut ilmu Islam.Disini saya sebutkan secara ringkas senarai kitab mengikut turutan seperti yang diberitahu oleh Guru Saya yang Mulia al-Syeikh Doktor Ahmad Nabawi al-Azhari hafizahullah ketika didalam majlis pengajian kitab Tanqih al-Azahariah bersama beliau di masjid al-Azhar.Kata beliau seseorang penuntut ilmu nahu perlu menghabiskan pengajian kitab-kitab ini secara mengikut turutan.

1. التحفة السنية بشرح المقدمة الآجرُّومية للشيخ محمد محيى الدين عبد الحميد
2. تنقيح الأزهرية للشيخ محمد محيى الدين عبد الحميد
3. شرح قطر الندى و بل الصدى لابن هشام بتحقيق محمد محيى الدين عبد الحميد
4. شرح شذور الذهب لابن هشام بتحقيق محمد محيى الدين عبد الحميد
5. شرح ابن عقيل على ألفية ابن مالك بحاشية الخُضَرى
6. أوضح المسالك إلى ألفية ابن مالك لابن هشام
7. مغنى اللبيب لابن هشام مع حاشية الدسوقى

Saya mengharapkan agar semua pembaca dapat mengambil faedah daripada apa yang kita sebutkan disini.

Disediakan oleh ,
Mohd Nazrul Abd Nasir,
Kaherah Mesir.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...