Rabu, 29 April 2009

Syeikh al-Allamah Atiyah Saqr rahimahullah


Ruangan tokoh pada kali ini saya ingin menceritakan serba sedikit berkenaan seorang ulama besar yang terkenal di dunia iaitu Syeikh al-Allamah Atiyah Saqr rahimahullah. Saya mula mengenali syeikh ketika tahun 2005. Kediaman syeikh di Saint Teresa, Syubro mengambil masa hampir satu jam untuk ke sana jika menaiki bas bernombor 1(jika berlaku kesesakkan lalu lintas) daripada kediaman kami di Hayyu 10 dan kadang-kadang saya bersama sahabat-sahabat pergi ke Saint Teresa menaiki kereta api Metro(kereta api bawah tanah) untuk ke sana.

Syeikh pada ketika tersebut sudah berumur 92 tahun. Beliau hanya keluar daripada rumah ketika hari Jumaat sahaja bagi menunaikan solat Jumaat di Masjid yang bersebelahan dengan sebuah gereja di Saint Teresa. Jadi kami hanya berpeluang bertemu dengan syeikh pada hari Jumaat sahaja. Biasanya syeikh akan bersembahyang di suatu tempat yang beliau lazimi di Masjid tersebut. Maksudnya kami boleh mengetahui sama ada syeikh ada di dalam masjid atau tidak pada hari tersebut dengan melihat tempat tersebut.

Syeikh di lahirkan pada hari Ahad 4 Muharram 1333 bersamaan 22 November 1914. Saya tidak bercadang untuk menceritakan satu persatu kedudukan yang dipegang oleh Syiekh ketika beliau hidup. Walaupun begitu hebat kedudukannya, namun kehidupan syeikh amat sederhana. Pernah menjadi Penasihat di Kementerian Agama Mesir, Ketua Lajnah Fiqhiyyah di Majlis Tertinggi Keagamaan Mesir dan sebagainya, namun semua perkara tersebut tidak diletakkan di tempat yang tinggi di dalam hatinya. Ikhlas menyampaikan dakwah itulah prinsip yang dipegang oleh syeikh. Pernah saya mewakili pihak Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) untuk meminta kebenaran daripada syeikh untuk menterjemahkan kitab-kitab beliau. Beliau dengan tanpa berbicara panjang terus membenarkan dan memberitahu segalanya diwaqafkan untuk agama Allah taala. Amat mulia pekertimu wahai syeikh yang kami cintai.

Kitab-kitab karangan beliau amat banyak di pasaran di Mesir, dan kesemua tulisan syeikh amat berharga dan penuh dengan mutiara hikmah yang sepatutnya dimiliki oleh setiap penuntut ilmu Islam.

AKHLAK SYEIKH

Syeikh merupakan seorang yang sangat tegas. Kali pertama mengenali beliau saya berasa agak gerun dengan kewibawaan beliau. Saya sering bertanyakan soalan kepada syeikh setiap kali bertemu beliau. Pada mulanya beliau menjawab segala persoalan yang ditanyakan oleh saya. Kemudian, setelah lama mengenali Syeikh maka beliau tidak lagi membenarkan untuk saya bertanyakan soalan kepadanya. Malah beliau menyuruh agar saya mengkajinya sendiri dan bertanya kepada ulama yang lain. Beliau cukup merendah diri.

Suatu hari, beliau pernah ditanya berkenaan hadis :

أنا مدينة العلم و علي بابها

Maksudnya: Aku ( Rasulullah sallallahu alaihi wasallam ) adalah kota ilmu, manakala Saidina Ali radhiyallahu anhu adalah merupakan pintu kepada kota tersebut.

Maka beliau melihat kepada saya dan menyuruh agar ketika pulang ke rumah kelak saya mengkaji apakah martabat hadis tersebut. Beliau memberitahu kepada orang yang bertanya tersebut untuk datang pada minggu hadapannya kerana jawapan akan diberitahu kemudian. Begitulah sikap seorang ulama yang menjadi contoh kepada masyarakat. Tidak terus menjawab, walaupun beliau terkenal sebagai ulama yang hujahnya padat dan amat baik sekali. Namun tawadhuknya melebihi segalanya. Siapalah saya jika dibandingkan dengan ilmu syeikh. Tetapi syeikh memberikan kepercayaan kepada saya untuk sama-sama mengkaji martabat hadis tersebut.

KELEBIHAN SYEIKH

Antara perkara yang selalu saya perhatikan tentang syeikh ialah kecergasan anggota badannya. Ilmu dan pengetahuannya tidak perlu lagi saya terangkan kerana ini sudah diketahui umum. Cuma saya ingin menceritakan apa yang saya sering perhatikan dengan mata kepala saya sendiri. Walaupun sudah dimamah usia, namun Syeikh tidak sesekali menggunakan tongkat ketika berjalan. Solat didirikan seperti biasa(dalam keadaan berdiri walau sudah berumur 92 tahun). Kebiasaannya arab Mesir jika sudah berumur maka akan mendirikan solat dengan cara duduk di atas kerusi. Namun perkara ini tidak pernah saya lihat dilakukan oleh syeikh.

Satu hari pernah saya meminta kepada syeikh untuk menulis tentang sejarah hidup beliau. Syeikh dengan penuh rasa rendah diri memberitahu cukuplah sejarah hidupnya yang ditulis di belakang sebahagian buku penulisan beliau. Maka beliau berkenan untuk menghadiahkan buku tersebut kepada saya. Hari tersebut merupakan hari yang bersejarah buat diri saya kerana syeikh menjemput saya dan beberapa orang sahabat saya untuk bertandang ke rumah beliau. Beliau menyebutkan kepada saya, “Ini adalah kali pertama kamu akan ke rumahku, dan ianya juga merupakan kali terakhir kamu ke rumahku”. Syeikh memberitahu bukanlah beliau tidak mahu menerima tetamu, tetapi ini merupakan arahan daripada Kementerian Luar Mesir yang menghalang para pelajar bertemu dengan para ulama kerana dibimbangi akan menyebarkan fahaman pengganas. Saya pun tidak faham dengan dunia sekarang, bertemu dengan para ulama disebut pengganas, tetapi jika berfoya-foya maka itulah yang terbaik. Ya Allah, jauhkan kami daripada fitnah sebegini.

Syeikh menyebutkan kepada saya bahawa, syeikh menjemput kami semua ke rumah beliau kerana beliau telah mengenali saya dan saya sering datang bertemu dengan beliau di masjid setiap Jumaat. Di dalam rumah syeikh sangat ramah, berbeza dengan keadaannya di luar yang kelihatan agak tegas. Beliau membenarkan kami melihat-lihat bilik rumah beliau. Kami melihat bilik tempat beliau menulis, bilik yang kecil cuma terdapat sebuah katil usang, sehelai sejadah dan satu meja tempat menulis serta beberapa rak kecil kitab. Terasa di dalam hati ini, kita lebih banyak kemudahan daripada syeikh namun sering kita tidak mensyukuri nikmat yang diberikan oleh Allah taala.

HARI KEHILANGAN SEBUAH BINTANG

Hari tersebut merupakan hari yang tidak akan saya lupakan buat selamanya iaitu 9 Disember 2006 bersamaan 18 Zul Qa’dah 1427. Saya pernah mendoakan kepada Allah taala, jika Allah taala menjemput syeikh ke hadratNya, biarlah saya antara pelajar Melayu pertama yang mengetahui tentang berita kematiannya. Ketika hari tersebut, kebetulan saya berada di Masjid al-Azhar di Anjung al-Atrak(ruwa’ al-Atrak) sedang belajar hadis dengan Syeikh Ahmad Hajain hafizahullah, salah seoarang ulama al-Azhar. Ketika syeikh sedang membacakan hadis baginda Nabi sallallahu alaihi wasallam yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari, Muslim dan Tirmizi radhiyallahu anhum:

عن عبدالله بن عمرو بن العاصى رضي الله عنهما قال: قال رسول الله صلى الله عليه و سلم :إن الله لا يقبض العلم انتزاعا ينتزعه من الناس , و لكن يقبض العلم بقبض العلماء, حتى إذا لم يبق عالما اتخذ الناس رؤوسا جهالا فسُئِلوا, فأفتوابغير علم فضلوا و أضلوا

Maksudnya: Daripada Abdullah bin Amru bin al-Ash radhiyallahu anhuma katanya: Sabda Baginda Rasulullah sallallahu alaihi wasallam: Sesungguhnya Allah taala tidak akan menghilangkan ilmu agama itu dengan dicabutkan sekali gus daripada manusia, tetapi Allah akan menghilangkan ilmu tersebut dengan mematikan para ulama, Sehingga apabila telah tiada para ulama, maka manusia akan melantik pemimpin mereka di kalangan orang-orang yang jahil, lalu mereka akan ditanya hukum sesuatu masalah, maka mereka menjawab atau berfatwa tanpa ilmu pengetahuan , maka mereka sesat dan menyesatkan orang lain.

Tiba-tiba, seoarang sahabat berbangsa arab yang kebetulan berada di dalam majlis tersebut memberitahu bahawa Syeikh Atiyyah meninggal dunia. Terkejut saya ketika tersebut. Kebetulan ketika itu, hanya saya seorang sahaja pelajar Melayu yang ada di dalam majlis syeikh Ahmad Hajain. Hadis yang dibacakan oleh syeikh ketika tersebut, seolah-olah satu isyarat daripada Allah taala melalui lisan NabiNya bahawa Syeikh Atiyyah benar-benar seorang ulama yang ikhlas di dalam perjuangannya. Saya terus meminta izin daripada Syeikh Ahmad Hajain untuk keluar daripada kelas menuju ke Syubro. Ketika tiba di perkarangan rumah Syeikh Atiyyah, jenazah beliau dimaklumkan telah dibawa ke kampung beliau di Behna Bai. Saya terus menghantar SMS kepada sahabat-sahabat memaklumkan perkara tersebut.
Saya menangis sendirian ketika perjalanan pulang ke rumah kerana tidak sempat bertemu syeikh buat kali terakhir. Malam tersebut saya dimaklumkan bahawa ada majlis bacaan al-Quran untuk Syeikh di sebuah masjid, dan saya hadir bersama sahabat-sahabat. Sebagai penghormatan kepada saya kerana agak rapat dengan syeikh maka saya ditemuramah oleh stesen television Iqra’ dan stesen Mesir berkaitan dengan Syeikh Atiyyah Saqr rahimahullah. Ramai sekali ulama yang hadir pada malam tersebut termasuk Syeikhul Azhar Syeikh Tantawi, Syeikh Ali Jumaah(Mufti Mesir) dan lain-lain.

Syeikhuna, kami tidak akan melupakanmu sekali-kali, Semoga pertemuan kita di dunia ini dapat menjadi penghubung ketika kita di akhirat kelak. Kami mengharapkan sebahagian syafaatmu wahai Syeikh yang kami cintai. Al-Fatihah buat Syeikh Atiyyah Saqr rahimahullah.

Mohd Nazrul Abd Nasir ,
Rumah Kedah Hayyu 10,
1.57 pagi

Tiada ulasan:

Catat Komen

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...