Memaparkan catatan dengan label Isu Semasa. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Isu Semasa. Papar semua catatan

Jumaat, 25 Mei 2012

Debat .. Islamikkah Ia ?

Sudah lama saya tidak menulis di dalam laman ini. Ya, bukan sudah tapi sangat lama. Menulis perlukan tumpuan.Jika ingin menulis tentang resepi masakan pun perlukan penelitian bimbang masakan tidak menjadi, apatah lagi menulis berkenaan agama yang sangat tinggi iaitu Islam. Sudah tentu lebih diperlukan penelitian dan penumpuan. Bimbang disalahertikan dan disalah tafsirkan. Bukan hanya percakapan yang akan menjadi penilaian pada timbangan neraca akhirat kelak, malah tulisan juga sangat berat penilaiannya kelak. Jika baik apa yang ditulis maka baiklah natijahnya, jika buruk dan jelek apa yang dikarang dan disajikan pada pembaca maka buruk jugalah natijahnya.

Sehari dua ini , ada suasana baru yang saya kira mula wujud dalam benak pemikiran masyarakat khususnya golongan muda-mudi , siswa-siswi, pemikir-pemikir dan lain-lain. Suasana yang saya maksudkan ialah sukakan perdebatan atau dengan bahasa yang lebih sopan PERBAHASAN dan BERBALAS HUJAH. 

Ada yang mengatakan bahawa inilah yang paling Islamik, inilah yang paling sesuai dengan zaman sekarang, zaman orang suka berfikir dan boleh menilai. Jika diadakan perdebatan maka kita secara tidak langsung membuka ruang untuk masyarakat membuat pilihan mana yang baik dan mana yang buruk. 

Persoalannya , benar atau tidak persepsi sebegini? Benar-benarkah ianya mengikut acuan agama? 

Apakah Maksud Perdebatan @ Mujadalah ? 

Kata Al-Allamah al-Muhaddis Al-Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah rahimahullah : Perdebatan @ Mujadalah bermaksud berbalas hujah dengan harapan dapat mengalahkan dan menundukkan musuh.

Hujjatul Islam Al-Imam Al-Ghazali rahimahullah pula menyebut bahawa dengan perdebatan ini akan menyebabkan yang kalah akan dihina manakala yang menang akan disanjung dan membangga diri dengan digelar sebagai seorang yang bijak dan berilmu.

Hakikatnya perdebatan bukan untuk mencari kebenaran tetapi sebaliknya hanya semata-mata untuk menjatuhkan lawan dihadapan orang ramai.

Mungkin ada yang akan bertanya : Bagaimana kita ingin membezakan di antara berdebat untuk menjatuhkan seseorang dan berdebat untuk menegakkan kebenaran?

Bagi membezakan kedua perkara ini , menurut Al-Allamah al-Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah seseorang perlu menilai kepada dirinya sendiri : Jika dia berbahas dengan seseorang dan dia berusaha untuk menjatuhkan air muka seseorang maka ketika tersebut dia termasuk di dalam perdebatan yang dicela. Tetapi jika dia berusaha untuk memahamkan dan memberikan penerangan sebaik mungkin terhadap perkara yang benar kepada lawannya dengan menghormati pihak lawan maka pada ketika tersebut dia dikira berdebat menegakkan kebenaran.

Perkara ini akan dirasai oleh kedua-dua pihak lawan tersebut sendiri. Jika kesudahannya berakhir dengan kebencian di dalam hati maka itu adalah perdebatan yang dicela, manakala jika ianya berakhir dengan masing-masing mengakui kesilapan jika dia tersilap dan mengikut kepada kebenaran jika pihak lawan di pihak yang benar, maka inilah perbincangan @ debat yang dipuji oleh syarak. 

Sebenarnya terdapat beberapa istilah yang sepatutnya difahami oleh kita bagi membezakan apa yang disebut sebagai debat yang dicela, debat yang dipuji @ perbincangan, dan lain-lain. 

Al-Allamah Muhammad Muhyiddin Abdul Hamid rahimahullah, salah seorang ulama yang pernah mengajar di Masjid al-Azhar menyebut di dalam kitabnya : Risalah al-Adab Fi Ilmi Aadab al-Bahsi wal Munazarah ( Risalah Adab yang menerangkan tentang ilmu adab berbahas dan berbincang) berkenaan perbezaan antara istilah mujadalah dan munazarah .

Tajuk kitab itu sahaja sudah dapat menunjukkan kepada kita bahawa ulama tidak menggunakan tajuk ( adab bermujadalah) sebaliknya digunakan tajuk ( adab bermunazarah) . Kedua-dua ini adalah mempunyai maksud yang sangat berbeza.

Maksud Mujadalah sudah saya terangkan pada permulaan tulisan saya. 

Manakala maksud bagi Munazarah pula ialah : Perbincangan dua pihak yang bertujuan untuk mempertahankan hujahnya yang benar dan membatalkan hujah saudaranya  dengan keinginan kedua-dua pihak bagi menjelaskan kebenaran ( bukan berniat menjatuhkan dan memalukan pihak yang lain). 

Cerita Menarik

Seorang lelaki telah pergi bertemu dengan seorang ahli bijak pandai lalu berkata : " Aku ingin berdebat denganmu" , maka jawab Ahli Bijak Pandai tersebut : " Boleh, jika kamu mampu tepati syarat-syarat yang aku letakkan: 

1) Jangan Marah

2) Jangan Tergesa-gesa

3) Jangan Bangga Diri 

4) Jangan Cepat menghukum salah kepada orang lain

5) Jangan mentertawakan pihak lawan

6) Jangan menjadikan dakwaanmu ( tanpa bukti) sebagai dalil utamamu

7) Jika kita menggunakan khabar angin , maka tujuan kita hanyalah untuk bertanyakan adakah khabar itu benar atau tidak

8) Jika kita menggunakan hujah daripada akal maka jadikan pertentangan itu sebagai taaruf ( untuk saling mengenali antara satu sama lain ) 

9) Perlu kita sematkan di dalam hati bahawa perdebatan ini hanya untuk mencari kebenaran bukan untuk menjatuhkan pihak lawan

10) Jangan sekali-kali berpaling kepada orang lain @ ke tempat lain ketika aku sedang berbicara denganmu

Adab-adab ini disebutkan oleh al-Imam Mahfuz bin Ahmad al-Kalwazani , Ketua Ulama Hanbali pada zamannya di dalam kitab ( al-Intisar Fi al-Masail al-Kibar)


Kesimpulan 

Jika semua jelas dengan istilah dan maksud sebenar perkara ini, maka kita akan dapat menilai sebenarnya apa yang diingin-inginkan oleh pemuda-pemuda sekarang yang hanya melihat kepada selesainya sesuatu masalah dengan berdebat. Namun hakikatnya , setelah selesai perdebatan langsung tiada tindakan daripada hasil perdebatan ke arah lebih baik.

Malah lebih buruk ingin menyerahkan kepada orang ramai membuat penilaian. Adakah semua layak memberikan penilaian? Kebanyakkan orang pada zaman sekarang hanya memberikan penilaian mengikut selera dan pandang sisinya. Bukan kepada kebenaran. Hanya memandang kepada siapa yang lebih hebat susunan katanya, berketerampilan dan lain-lain. Bukan kepada kebenaran. 

Ini hakikat yang mesti diterima , bukan dongengan. 

Tak salah kalau saya katakan bahawa debat zaman sekarang hanya lebih menyeronokkan nafsu bukan membangkitkan iman. Semoga Allah taala menyelamatkan kita daripada fitnah akhir zaman ini. 

Rujukan :

1) Risalah al-Musytarsyidin oleh al-Imam Al-Haris al-Muhasibi rahimahullah (165-243H)
2) Maraqi al-Ubudiyyah Syarah Bidayah al-Hidayah oleh al-Syeikh Al-Allamah Muhammad Nawawi bin Umar al-Bantani rahimahullah ( 1315H)
3) Risalah al-Adab Fi Ilmi Aadab al-Bahsi wal Munazarah oleh Al-Allamah Muhammad Muhyiddin Abdul Hamid al-Azhari rahimahullah.

Selasa, 5 April 2011

Isu Mual UMNO, Di Mana Ulama Muda UMNO ?

Isu video seks seorang pemimpin pembangkang yang heboh diperkatakan sekarang membuatkan kebanyakkan rakyat Malaysia mual dan muak dengan sikap para pemimpin Malaysia yang dipimpin oleh UMNO dan Barisan Nasional.

Sikap sebegini menggambarkan kepada kita betapa pimpinan di Malaysia ini sudah jauh daripada kematangan. Bagaimana mungkin orang-orang yang tidak matang boleh menjadi pemimpin Negara?

Saya juga mual dengan sikap sebahagian pihak yang kononnya tidak mahu ambil tahu tentang hal ini dengan menggunakan alasan bahawa jika terlibat mempertahankan pihak tertuduh maka akan dianggap menyokong Pembangkang a.k.a Pakatan Rakyat. Kalau bersetuju pula bimbang dituduh menjadi pencacai Barisan Nasional dan UMNO. Maka mengambil jalan tengah dengan berdiam diri itu dianggap lebih selamat.

Mohon maaf saya pinta jika ada yang terasa bilamana saya menulis sebegini. Saya bukan ingin mempertahankan Dato’ Seri Anwar Ibrahim disebabkan saya menyokong Parti Islam Se-Malaysia ( PAS) dan Pakatan Rakyat. Namun saya ingin mempertahankan hak sebagai seorang muslim yang sepatutnya kita pertahankan bersama. Kalaupun Video Seks itu melibatkan Najib Tun Razak, saya akan mempertahankan dan menempelak pihak yang menyebarkannya. Bukan kerana saya menyokong Barisan Nasional @ UMNO tetapi kerana saya bencikan sikap suka mengaibkan pihak yang lain.

KAMI DIDIDIK MEMPERTAHANKAN KEBENARAN

Saya belajar di al-Azhar al-Syarif atau dengan lebih jelasnya ialah di Masjid al-Azhar al-Syarif. Masjid yang melahirkan generasi demi generasi ulama yang menyinari alam ini. Setiap hari saya dan sahabat-sahabat yang belajar di Masjid al-Azhar al-Syarif memijak tanah yang pernah dahulunya dipijak oleh para ulama besar seperti al-Imam Abdullah al-Syarqawi, al-Imam Ibrahim al-Bajuri, al-Imam Sya’rani, al-Imam al-Suyuti, al-Imam Subki , al-Syeikh Abdullah Siddiq al-Ghumari, al-Imam Ahmad al-Ghumari rahimahumullah dan lain-lain.

Semua para ulama yang saya sebutkan di atas terkenal dengan sikap mereka yang mempertahankan kebenaran dan menentang kemungkaran. Tidak akan berdiam diri bilamana melihat kemungkaran di depan mata. Bukan menjadi syaitan bisu yang mendiamkan diri bilamana diminta memperkatakan sesuatu yang haq.

Syaikhu Syaikhina al-Allamah Abdullah Siddiq al-Ghumari rahimahullah pernah dipenjarakan di Mesir hanya kerana tidak bersetuju dengan Presiden Anwar Sadat. Beliau pernah diletakkan hukuman bunuh. Namun karamah yang Allah taala kurniakan kepada beliau  bilamana diberitahu akan dijatuhkan hukuman bunuh oleh Anwar Sadat maka beliau berkata “ Orang yang akan membunuh aku akan mati lebih dahulu daripada aku” . Maka dengan takdir Allah taala , Anwar Sadat mati ditembak selepas itu. Adakah Najib Tun Razak mahu didoakan sebegini?

Sikap para ulama ini mengalir dan berdarah daging di dalam diri kami. Maka jangan salahkan kami jika kami sering menegur sikap pemerintah yang melakukan kezaliman dan penindasan serta penyelewengan. Kami sedikit sebanyak mewarisi sikap para ulama ini.

MANA ULAMA MUDA UMNO DALAM ISU INI?

Ada dua perkara yang sepatutnya kita fikirkan bersama bilamana video ini disebarkan.

Pertama : Video Itu Benar

Kedua : Video Itu Palsu

Jika video itu benar , maka adakah perkara ini boleh disebarkan?Apakah hukum menyebarkan dengan tujuan mengaibkan orang tersebut? Apakah tujuannya disebarkan perkara tersebut? Mana ulama muda UMNO yang kononnya mujtahid ketika isu ini dibahaskan? Kenapa tidak lantang menegur pihak atasan bahawa sikap menyebarkan video itu sebenarnya akan menjatuhkan maruah seseorang apatah lagi orang yang ingin dimalukan itu adalah seorang Islam?

Jika video itu palsu maka hukumnya lebih berat. Memfitnah itu lebih buruk akibatnya. Sekali lagi saya ingin tujukan soalan kepada ulama muda UMNO. Takkan kalian tidak tahu bahawa hukum memfitnah itu berat? Hanya kerana ingin menjaga periuk nasi kalian maka kalian diam membisu seribu bahasa.

Sudah terang lagi bersuluh bahawa samada ianya benar atau tidak, hukum menyebarkannya adalah HARAM. Tapi itu apa yang kami , para penyokong dan pendokong PAS serta Pakatan Rakyat fikirkan. Bagi UMNO dan Barisan Nasional, semuanya adalah HALAL selagi mana mampu memberi keuntungan untuk parti mereka.

Adakah sikap kami mempertahankan maruah seorang Muslim itu masih diragukan?Masih menganggap kami mempertahankannya hanya kerana kami menyokong parti pembangkang?

Kami tegaskan bahawa kami mempertahankannya kerana beliau seorang Muslim. Kami mual dengan Pemerintah yang buta hukum dan buta hati .

Saya lebih mual dengan orang yang masih memberikan simpati pada UMNO dan Barisan Nasional. Buka sedikit minda yang dibancuh dengan ramuan UMNO itu. Biarkan aroma UMNO itu keluar daripada kotak minda kalian. Biarkan angin segar daripada pokok-pokok yang HIJAU masuk menerjah ke dalam minda kalian . Agar tidak gentar menegur kebobrokan yang dilakukan.

Semoga Allah menyelamatkan Orang yang Teraniaya dan menjatuhkan pihak yang zalim serta membuka hati pihak yang membisu seribu bahasa. Amin Ya Rabbal A’lamin

Mohd Nazrul Abd Nasir,
Penuntut Ilmu Masjid al-Azhar & Masjid al-Asyraff,
Rumah Ayah dan Bonda di Pedu Kedah,
Malaysia . 
1:05 Pagi

Isnin, 3 Mei 2010

Jawapan Kepada Tohmahan Ust Abdullah Zaik Terhadap Ulama Sufi

Ada seorang sahabat telah menghantar kepada saya link penulisan tokoh ISMA Malaysia iaitu Ust Abdullah Zaik berkaitan Tauhid Tiga Serangkai. Saya memuji sikapnya yang tidak ingin membahaskan perkara-perkara furu’ bimbang akan semakin berpecah umat Islam hanya dengan petelingkahan yang boleh diselesaikan dengan cara baik. Namun apa yang sangat saya kesali adalah bilamana beliau mengatakan bahawa :

“Cabaran yang dihadapi oleh Ibnu Taimiyyah pada waktu itu ialah suasana umat Islam yang tenggelam dengan tasawuf / tarikat sehingga tidak peduli walaupun negara sedang diserang musuh. Tasawuf yang berpegang kepada hakikat dan mengabaikan syariat. Apa yang Ibnu Taimayyah ingin jelaskan ialah bahawa apa yang diasyikkan oleh golongan tasawuf dengan khawatnya (dan apa yang dia istilahkan sebagai hakikat) ialah semata-mata menyemarakkan tauhid dari segi rububiyyah sahaja, sedangkan di sana ada lagi bahagian tauhid yang perlu dipenuhi iaitu tauhid uluhiyyah. Kita tidak boleh asyik dengan zauq semata-mata sedang pada masa yang sama kita meninggalkan syariat Allah, seperti solat jamaah dan jihad fisabilillah untuk mempertahankan agama dan tanah air”.

Perkataan daripada Ust Abdullah Zaik , seolah-olah ingin mengatakan bahawa suasana ketika tersebut terbahagi kepada dua kelompok. Kelompok pertama adalah penyokong Tauhid Tiga Serangkai yang dipelopori oleh al-Imam Ibn Taimiyah rahimahullah , manakala kelompok kedua pula adalah terdiri daripada kalangan umat Islam yang tenggelam dengan Tasawuf dan Tarikat.

Lebih menyedihkan adalah tohmahan beliau dengan mengatakan bahawa golongan Sufi ini langsung tidak mempedulikan hal ehwal umat Islam yang diserang ketika tersebut. Benarkah dakwaan sebegini? Layakkah dakwaan sebegini keluar daripada tulisan seorang yang kononnya punya sijil dalam pendidikan ?

SUASANA ZAMAN TERSEBUT

Al-Imam Ibn Taimiyah lahir pada tahun 661 H dan wafat pada 26 Zul Qa’dah 728 H. Dalam tempoh tersebut berlakunya peperangan di antara umat Islam dan tentera TarTar. Saya ingin menyebutkan kepada sidang pembaca sekalian secara ringkas di antara para ulama sufi yang terlibat di dalam peperangan tersebut serta mana-mana peperangan sekaligus menolak tohmahan dan dakwaan Ust Abdullah Zaik yang mengatakan bahawa golongan Sufi hanya sibuk dengan zauq mereka tanpa mempedulikan hal ehwal masyarakat.

Siapa tidak kenal dengan al-Imam Muhyiddin bin Zakariyya al-Nawawi rahimahullah wafat 676 H, salah seorang mujtahid di dalam Mazhab al-Imam al-Syafie , ulama Sufi yang cukup hebat. Siapa lagi yang memberikan tekanan dan desakan kepada Sultan al-Zahir Bibris rahimahullah untuk memerangi tentera Tartar ketika itu jika bukan al-Imam al-Nawawi rahimahullah? Malah Sultan Bibris mengatakan :

“ Aku cukup takut kepada lelaki ini ( al-Imam al-Nawawi rahimahullah)” .

Ini disebutkan di dalam kitab Tazkirah al-Ayyubiyah ( manuskrip bernombor 7814 mukasurat 53).

PERANAN ULAMA SUFI DI DALAM MENGISLAMKAN MONGGOL

Sejarah Islam adalah merupakan sejarah yang paling memeningkan para Oreantalis. Selalunya golongan penjajah akan bisa menguasai Negara yang dijajahnya. Namun sebaliknya berlaku bilamana tentera Monggol menguasai Negara Umat Islam ketika tersebut, penjajah yang mengikut agama Negara yang dijajah, bukan yang dijajah mengikut penjajah. Bagaimana ianya berlaku? Tidak lain dengan wujudnya golongan yang dekat dirinya dengan Allah taala dan RasulNya. Kecintaan mereka kepada Allah taala dan RasulNya menjauhkan mereka daripada takut kepada celaan orang yang mencela serta kezaliman penjajah ketika tersebut.

Jika kita melihat kepada kitab-kitab sejarah Islam, disebutkan oleh para ulama bahawa di antara penyebab berjayanya Sultan Zahir Bibris memenangi peperangan adalah kerana wujudnya hubungan baik dengan Barakah Khan ( wafat 665 H) beliau merupakan cucu lelaki Gengis Khan. Hubungan ini berlaku ketika Barakah Khan pulang daripada pertemuan dengan al-Imam al-Syeikh Sofiyuddin al-Bakharzi , Khalifah Tariqat Kabrawiyah. Para ulama menyebutkan bahawa Barakah Khan berkenan untuk memeluk Islam setelah bertemu dengan ulama Sufi ini iaitu al-Syeikh Sofiyuddin al-Bakharzi rahimahullah.

Begitu juga dengan peranan yang dilakukan seorang lagi ulama besar Sufi di dalam mengislamkan para pembesar serta tentera Monggol iaitu al-Syeikh Saaduddin bin Hammuyah (wafat 652 H).

Raja Ghazan , salah seorang cucu Holako juga memeluk agama Islam hasil dakwah daripada al-Imam Ibrahim al-Juwaini al-Syafie al-Sufi rahimahullah ( wafat 722 H). Hasilnya menyebabkan seluruh tentera pimpinan Raja Ghazan yang kebanyakkannya berada di Iran dan kawasan sekitarnya telah menerima cahaya agama Allah taala.

Kawasan Asia Tengah menyaksikan bahawa hidayah Allah taala telah menusuk ke dalam kalbu Raja Kashghar Timor Khan al-Monggoli ( wafat 765 H) bilamana berlaku pertemuan di antara beliau dengan al-Imam al-Syeikh Jamaluddin al-Bukhari al-Naqsyabandi ( antara Ulama Besar bertariqat Naqsyabandi) . Keberanian serta keikhlasan al-Imam Jamaluddin al-Bukhari menyebabkan Raja Timor Khan tertarik memeluk Islam. Ianya berlaku bilamana Timor Khan mengatakan kepada al-Imam Jamaluddin dan sahabat-sahabatnya :

“ Harga anjing lebih tinggi berbanding dengan harga diri kamu semua ( sambil mengisyaratkan kepada al-Imam Jamaluddin dan sahabat-sahabatnya )”

Al-Imam Jamaluddin al-Bukhari lalu menjawab : “ Ya, Mungkin benar katamu itupun jika kami tidak memeluk agama Allah ini. Namun kami menjadi mulia hanya kerana kami memeluk agama Allah taala ini”

Di kawasan Banggal pula, kelihatan ramai para tentera Monggol berpusu-pusu memeluk agama Allah taala . Semuanya adalah berkat jasa al-Imam al-Sufi Jalaluddin al-Tibrizi rahimahullah.Ini seperti disebutkan di dalam catatan Rehlah al-Imam Ibn Battuta rahimahullah.

Joban ( wafat 736 H) salah seorang pembesar Monggol telah menjadi salah seorang pengikut setia kepada al-Syeikh al-Murabbi Sofiyuddin al-Ardabili rahimahullah. Pernah sekali Joban rahimahullah bertanyakan kepada al-Imam al-Ardabili :

“ Mana lebih banyak, tentera Sultan atau murid kepada Syeikh?”

Maka al-Imam al-Ardabili menjawab :

“ Murid-muridku di Iran sahaja sudah melebihi bilangan mereka daripada tentera Sultan itu sendiri”

Nah, ini adalah sebahagian daripada peranan ulama Sufi di dalam peperangan menentang tentera Monggol. Peperangan di dalam Islam bukan semata-mata bertujuan menumpahkan darah umat manusia. Jika begitu hadaf dan tujuannya, maka samalah kita dengan golongan yang tidak beragama. Namun tujuan peperangan di dalam Islam adalah menyebarkan risalah dakwah mempamerkan kecantikan Islam kepada pihak musuh. Inilah yang dijalankan oleh para ulama sufi ketika tersebut.

Abdullah Zaik

Jangan cepat menghukum, kaji dahulu. Tak malukah kamu jika ingin berhadapan dengan para pejuang di kalangan ulama Sufi pada zaman tersebut satu masa nanti di Syurga Allah kelak? Kamu menuduh bahawa mereka hanya sibuk dengan diri masing-masing tanpa melibatkan diri dengan perjuangan, tetapi hakikatnya ianya adalah tohmahan malah tidak salah saya katakan bahawa ianya akan menjadi fitnah. Kamu banyak pengikut, kamu akan dipersoalkan kelak jika kamu tidak menarik semula tohmahan kamu terhadap para ulama Sufi yang berjuang bermati-matian berhadapan dengan tentera TarTar ketika tersebut.

Fikir dahulu sebelum keluarkan kenyataan. Maaf jika saya terkasar bahasa. Semoga Allah taala jua memberikan petunjuk kepada kebenaran.

Rujukan :

al-Butulah Wa al-Fida' Inda al-Sufiyyah : Dirasatun Tarikikhiyyah Karangan al-Syeikh As'ad al-Khatib

Mohd Nazrul Abd Nasir,
Penuntut Ilmu Masjid al-Azhar al-Syariff & Masjid al-Asyraff,
Rumah Kedah Transit Hayyu 7,
Kaherah Mesir

Khamis, 14 Januari 2010

Tembok Pemisah... Jangan Kotorkan Mulut Kita Menghina Ulama ..

Pembinaan Tembok pemisah di Sempadan Rafah yang dilakukan oleh Kerajaan Mesir sekarang benar-benar mengejutkan kita semua.

Terus terang saya katakan bahawa kita sesekali tidak bersetuju dengan tindakan yang dilakukan oleh kerajaan Mesir. Biarpun pahit untuk saya katakan sedemikian kerana Syaikhuna al-Allamah Syaikhul Akbar Dr Muhammad Sayyid Tantawi hafizahullah juga mengeluarkan pendapat menyokong tindakan tersebut. Namun kebenaran tetap perlu didahulukan.

Bagi saya selaku seorang penuntut ilmu yang masih dangkal ilmunya, terasa amat jauh sekali berbanding Syaikhul Akbar hafizahullah. Namun saya lebih suka mengambil jawapan yang diberikan oleh Syaikhuna al-Allamah Habib Ali Zainal Abidin al-Jifri hafizahullah bilamana ditanya berkenaan hukum memberikan bantuan kewangan kepada pembinaan gereja yang juga dikatakan harus oleh Syaikhuna Syaikhul Akbar hafizahullah. Beliau menjawab :

“ Secara dasarnya, sepanjang pengetahuan saya, sudah menjadi kesepakatan para ulama bahawa perkara ini(memberikan sedekah kepada pembinaan gereja) adalah dilarang. Namun, ilmu al-Faqir yang masih baru di dalam bidang ilmu ini sangat jauh jika dibandingkan dengan al-Allamah Syaikhul Akbar. Kemungkinan saya sendiri tidak menjumpai fatwa yang membenarkan namun al-Allamah Syaikhul Akbar telah menjumpainya. Wallahu a’lam”

Ini jawapan yang saya kira patut kita semua ambil perhatian. Bagaimana adab dan tatasusila yang diajarkan oleh para ulama kita bilamana berbicara tentang permasalahan ilmu dan menyentuh peribadi seorang tokoh ilmuan seperti Syaikhul Akbar.

Kita berbeza pendapat namun adab tetap perlu didahulukan.Jangan hanya kerana sedikit perkara khilaf sebegini menyebabkan kita mengotori hati dan jiwa jita dengan membenci para ulama kita yang ikhlas menyampaikan ilmu mereka.

Saya benar-benar tidak suka sebahagian orang mengatakan bahawa ini kerana Syaikhul Akbar terpengaruh dengan pihak kerajaan. Disebabkan itulah fatwa beliau banyak terpengaruh dengan menyokong kepada pihak kerajaan Mesir.

Soalan saya : “ Siapa kita ingin menilai perkara sebegitu? Adakah ada wahyu baru yang turun memberitahu bahawa si fulan ini lebih terpengaruh dengan kerajaan atau tidak?”

Namun kita tetap berpendirian bahawa kita tidak bersetuju dengan pendirian pihak kerajaan Mesir dan sebahagian ulama yang menyokong pembinaan ini.


Pendapat yang dikeluarkan oleh al-Allamah al-Syaikh Dr Yusuf al-Qaradhawi hafizahullah adalah pendapat yang terbaik pada waktu sekarang. Malah sebahagian ulama daripada al-Azhar al-Syarif sendiri tidak bersetuju dengan pendapat yang menyokong pembinaan tembok tersebut.

Malah Baginda sallallahu alaihi wasallam sendiri bersabda :



Kita sendiri sedia maklum bahawa sahabat-sahabat kita di Palestin sekarang begitu menderita malah tidak mendapatkan perhatian sepenuhnya daripada ramai pihak. Jika tembok ini pula dibina maka akan bertambah kesusahan dan kesedihan mereka. Maka tentu sekali kita tidak ingin melihat ibu-ibu kita disana mengalirkan air mata mereka.Tidak mahu melihat adik-adik dan saudara kita yang lain menangis kelaparan sedang kita sibuk mengenyangkan perut kita sendiri.

Kita bersetuju tembok ini dibina, tetapi dengan syarat ianya akan lebih memudahkan urusan penghantaran makanan ke Ghazzah. Namun , realitinya memang akan berlaku sebaliknya. Sebelum pembinaan tembok sudah dikawal ketat sempadan, apatah lagi jika ditambah pula tembok tersebut yang terlalu tinggi seolah-olah ingin menutup mata kekejaman Yahudi Laknatullah terhadap saudara seIslam kita di Palestin sana.

Namun saya tegaskan sekali lagi, jangan dengan perkara sebegini akan menyebabkan mulut-mulut busuk kita akan semakin busuk dengan mengutuk para ulama yang tidak sependapat dengan kita. Anggaplah perkara ini sebagai asam garam kehidupan. Sabda Baginda sallallahu alaihi wasallam :


Ya, orang alim juga terkadang melakukan kesilapan. Bahkan mereka bukanlah maksum seperti para Nabi alaihimussolatuwassalam. Namun jaminan daripada Baginda sallallahu alaihi wasallam sendiri bahawa para ulama ini jika mereka melakukan kesilapan, maka mereka akan cepat kembali kepada perkara kebenaran kerana ilmu yang mereka miliki.

Jadi kita hanya berserah kepadaNya. Jangan menyibukkan diri kita dengan mencari-cari kesalahan orang lain dan menunding jari ke sana ke mari. Sibukkan diri kita dengan permasalahan umat Islam ini dan mohon kepadaNya dilapangkan hati kita semua menerima kebenaran dan bersabar di atas khilaf yang berlaku.

Mari kita sama-sama mengambil sikap air dan minyak yang pada mulanya bertengkar namun akhirnya kembali mengiktiraf kelebihan masing-masing.


Al-Imam Ibn Jauzi rahimahullah (wafat 592H) menceritakan berkenaan kelebihan sabar dan redha tanpa bertengkar. Ceritanya sebegini :

Dituang air ke dalam satu bekas. Kemudian dituang pula minyak ke dalam bekas yang sama.Maka minyak pun naik menutupi atas air. Maka air terus berkata :

“ Aku yang menyirami pokok yang mana daripadanya kamu terjadi. Di mana adab kamu? Sepatutnya kamu dahulukan aku bukannya mendahului aku”

Minyak lalu menjawab : “ Ini kerana, ketika kamu menyirami pokok tempat aku berada , kamu berjalan dengan jalan yang cukup selamat tanpa kesakitan semasa menyampaikan air kepada pokokku. Namun aku, sebelum dikeluarkan perlu melalui jalan yang sukar,aku bersabar dengan kesusahan diperah dan ditapis barulah mengeluarkan diriku sekarang. Maka disebabkan kesabaranku inilah aku ditinggikan oleh Allah taala melebihimu.”

Air sekali lagi menjawab : “ Tapi kamu kena ingat, aku tetap sebagai asal kejadianmu”

Minyak menjawab kembali : “ Ya, benar kamu adalah asal. Namun aku menutupi dirimu daripada keaiban.Ini kerana jika engkau mengenai api lilin tentu engkau akan memadamkannya, namun aku mengawalmu daripada menyebabkan engkau merosakkan lilin tersebut.”

Hakikatnya kedua-duanya mempunyai saling kaitan antara satu sama lain. Hebatnya minyak tetapi dia tidak langsung menafikan kebaikan yang ada pada air kepadanya.

Namun manusia, sekali sahaja berlaku khilaf namun selamanya dikecam dan dihina. Seolah-olah pihak yang dikecamnya langsung tiada kebaikan. Maka kembali kita koreksi diri kita. Jangan memalukan diri kita dengan air dan minyak ini sedangkan kita lebih mulia daripada mereka berdua.

Jangan menghina dan mencaci, namun sebaiknya carilah jalan terbaik menyelesaikannya.

Mohd Nazrul Abd Nasir,
Penuntut Ilmu Masjid al-Azhar al-Syariff & Masjid al-Asyraff,
Rumah Kedah Transit Hayyu 7,
Kaherah Mesir.

Isnin, 4 Januari 2010

Isu Penggunaan Kalimah Allah Kepada Selain Islam, Pro dan Kontra

Beberapa orang sahabat yang benar-benar prihatin dengan permasalahan umat Islam di Bumi Malaysia khususnya telah meminta saya membahaskan tentang isu penggunaan kalimah ALLAH oleh agama selain Islam. Saya amat berterima kasih kepada mereka semua yang sangat-sangat prihatin ini dengan baik sangka mereka kepada saya. Saya tidaklah ingin membicarakan secara panjang lebar permasalahan ini. Cuma sekadar berkongsi sedikit pandangan berkenaan isu ini. Sebelum berbicara lebih panjang elok kiranya kita mengetahui peratusan agama di Bumi Malaysia yang tercinta.

PERATUSAN AGAMA DI MALAYSIA

Menurut bancian tahun 2000, anutan agama Rakyat Malaysia adalah seperti berikut :

1. Islam : 60.4 %

2. Buddha, Taoisme dan Konfusius : 12 %

3. Kristian : 9 %

4. Hindu : 6 %

5. Lain-lain : 3 %

Mengapa saya berbicara tentang peratusan ini? Tujuan utama saya adalah untuk memberikan gambaran kepada pembaca sekalian bahawa kita perlu menyedari perkara ini dengan baik dan tidak terburu-buru melayari “ Bahtera Perubahan” yang dicanangkan. Jika kita melihat kepada peratusan tersebut, jelas Islam adalah agama yang terbesar peratusannya di Bumi Malaysia yang tercinta. Manakala agama lain pula hanyalah 40 % berbaki daripada jumlah asalnya.

TUHAN BAGI FAHAMAN AGAMA MASING-MASING

ISLAM

Bagi umat Islam sudah jelas lagi bersuluh bahawa kita mengatakan bahawa Tuhan yang layak dan berhak disembah hanyalah satu dan tiada sukutu padaNya iaitu Allah taala. Ini tidak dapat disangkal kebenarannya oleh mana-mana pihak sekalipun. Ini kerana iqrar pertama umat Islam ialah dengan menyebutkan kalimah :

أشهد أن لا إله إلا الله و أشهد أن سيدنا محمدا رسول الله

Maksudnya : Aku bersaksi bahawa tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah taala, dan aku juga bersaksi bahawa Saidina Muhammad sallallahu alaihi wasallam adalah pesuruhNya.

HINDU

Agama Hindu pula mempunyai fahaman berbilang-bilang Tuhan. Mereka menyembah matahari, lembu, ular besar, bumi , langit , dan pelbagai lagi tuhan sehingga menjangkau ribuan jenis tuhan yang disembah. Guru kami yang mulia al-Syeikh Dr. Taha Dusuqi, Dr Jamaluddin Afifi dan Dr Abdullah Muhyiddin Azb hafizahumullah menyebutkan di dalam kitab mereka yang bertajuk :

“ نظرات في الديانات الشرقية”

Bahawa agama Hindu berlakunya pelbagai peringkat perubahan pada kefahaman tentang Tuhan. Sehinggalah tiba pada kurun ke-9 @ ke-8 kesemua tuhan-tuhan tersebut digabungkan menjadi satu Tuhan yang mempunyai 3 zat yang berbeza. Tuhan-tuhan mereka ialah :

1. Brahma : Tuhan yang menciptakan alam

2. Vishnu : Tuhan yang menjaga alam daripada hancur

3. Siva : Tuhan yang menciptakan kehancuran .

BUDDHA

Manakala agama Buddha pula hampir sama pegangan agamanya dengan agama Hindu.

KRISTIAN

Manakala tuhan bagi golongan Kristian pula ialah terbahagi kepada 3 tuhan yang bergabung menjadi satu tuhan yang sama. Ini berbeza berdasarkan kepada fahaman aliran di dalam Kristian :

1. Orthodox : mereka menganggap bahawa Jesus adalah Allah, dan Allah itu adalah Ruh al-Qudus.

2. Katolik : mereka menganggap bahawa Jesus mengumpulkan kedua-dua jenis sifat iaitu bersifat manusia dan bersifat ketuhanan.

3. Protestan : mereka menganggap seperti fahaman golongan Orthodox iaitu dengan mengatakan bahawa Jesus itu adalah Allah dan Allah itu adalah Ruh al-Quds cuma mereka sedikit berbeza dengan golongan Orthodox pada sebahagian permasalahan. Saya tidak bercadang untuk membahaskannya kerana ini bukanlah tajuk perbahasan utama.

Jika kita memerhatikan dengan jelas perbahasan di atas maka jelas kita fahami bahawa agama-agama lain umumnya tidak langsung menggunakan kalimah ALLAH. Malah hanya kita dapati digunakan di dalam kelompok Kristian. Itupun bagi mereka Tuhan Allah yang difahami oleh mereka adalah berbeza sama sekali dengan Allah taala yang kita sembah. Ini jelas pengakuan daripada mereka sendiri malah ada di antara mereka sendiri yang menolak cadangan penggunaan kalimah Allah di dalam bahasa pertuturan mereka!!!.

Persoalan yang berlegar di ruang pemikiran saya, mengapa ada sebahagian orang membenarkan untuk kalimah ini digunakan oleh orang bukan Islam khususnya golongan Kristian? Ya, saya tidak menafikan bahawa memang terdapat ayat Allah taala yang mana menyebutkan dengan jelas bahawa bilamana ditanyakan kepada golongan bukan Islam siapakah Tuhan yang menjadikan langit dan bumi? Maka tentu mereka akan menjawab Allah taala seperti yang disebutkan di dalam surah Luqman ayat 25 :



Maksudnya : dan Sesungguhnya jika Engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah Yang menciptakan langit dan bumi?" sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah". Ucapkanlah (Wahai Muhammad): "Alhamdulillah" (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka Yang demikian - tidak mengingkari Allah), bahkan kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat Tauhid dan pengertian syirik).

Ayat lain yang digunakan oleh mereka untuk menjadi dalil utama ialah seperti yang disebutkan di dalam surah al-Mukminun ayat 86-87:



Maksudnya : Tanyakanlah lagi: "Siapakah Tuhan Yang memiliki dan mentadbirkan langit Yang tujuh, dan Tuhan Yang mempunyai Arasy Yang besar?" Mereka akan menjawab: "(Semuanya) kepunyaan Allah". katakanlah: "Mengapa kamu tidak mahu bertaqwa?"

Namun sejauh mana benar penghujahan mereka dengan menggunakan ayat ini sebagai dalil bahawa golongan bukan Islam juga berhak menggunakan kalimah ini sebagai kalimah suci bagi Tuhan mereka?

Mengapa mereka boleh untuk mengambil ayat-ayat ini sebagai dalil utama mengatakan bahawa golongan bukan Islam khususnya Kristian juga berhak menggunakan kalimah Allah ?

Bila saya memikirkan dengan semasak-masaknya, maka jawapannya saya temukan bilamana membaca risalah ringkas karangan Syaikhuna al-Allamah Dr Umar Abdullah Kamil hafizahullah yang berjudul :

بيان خطأ التقسيم الثلاثى للتوحيد

Risalah ini membincangkan berkenaan kesalahan penggunaan Tiga Tauhid iaitu Rububiyah, Uluhiyyah dan Tauhid Asma’ wa al-Sifat yang diasaskan oleh al-Imam Ibn Taimiyyah rahimahullah. Saya tidak bercadang membahaskannya satu persatu ini kerana ianya memerlukan perbahasan khusus berkenaan perkara tersebut.

Apa yang ingin saya bicarakan disini adalah kesalah fahaman daripada permasalahan Tiga Tauhid inilah yang menyebabkan ramai terkeliru mengatakan bahawa golongan Yahudi dan Nasrani @ Kristian ini mempercayai bahawa Allah taala itu adalah tuhan.

Al-Imam Ibn Taimiyyah rahimahullah menyebutkan di dalam kitabnya al-Tadmuriyah mukasurat 106 :


Maksudnya : Tauhid Rububiyyah – Bagi pandangan Ibn Taimiyyah- adalah merupakan fahaman yang mengatakan bahawa Allah taala yang menjadikan alam ini , dan mentadbirnya secara keseluruhan . Pegangan ini ada pada golongan musyrikin apatah lagi golongan Mukminin.

Malah al-Imam Ibn Taimiyyah mengatakan bahawa tauhid Rububiyyah sahaja tidaklah cukup untuk mengatakan bahawa seseorang itu beriman. Menurutnya lagi, para Nabi sebenarnya bukanlah diutuskan untuk membawa Tauhid Rububiyah , namun untuk membawa Tauhid Uluhiyyah. Inilah perbezaan ringkas di antara Tauhid Rububiyyah dan Uluhiyyah seperti fahaman Ibn Taimiyyah dan penyokong-penyokongnya.

Tauhid Rububiyyah : Semua orang mempunyai tauhid ini. Sama ada Muslim atau bukan Muslim Tauhid Uluhiyyah : Mukmin sahaja yang mempunyainya.

Fahaman ini jelas bertentangan dengan pendapat para ulama Islam yang lain.

Saya merasakan bahawa dengan fahaman “golongan bukan Islam juga mempunyai Tauhid Rububiyyah” inilah yang menyebabkan sebahagian masyarakat Islam yang mengatakan bahawa tiada masalahnya penggunaan kalimah Allah kepada agama selain Islam.

Ibn Taimiyyah mengatakan bahawa semua orang termasuk bukan Islam juga mempunyai Tauhid Rububiyyah. Namun bagaimana pula dengan Firaun yang mengaku bahawa dirinya sendiri adalah tuhan? Ini seperti yang disebutkan di dalam al-Quran ayat 24 surah an-Naazi’at :

Maksudnya : Dengan berkata: "Akulah Tuhan kamu, Yang tertinggi".

Namrud juga mengaku bahawa dia juga boleh menghidupkan dan mematikan orang ketika berdebat dengan Nabi Allah Ibrahim alaihi al-salam.

Jadi , di manakah Tauhid Rububiyyah pada Firaun dan Namrud seperti yang disebutkan oleh Ibn Taimiyyah?? Adakah Nabi Ibrahim mengatakan kepada Namrud bahawa “ Sebenarnya kamu wahai Namrud telah ada Tauhid Rububiyyah, Kami para Nabi diutuskan oleh Allah taala untuk membawa Tauhid Uluhiyyah kepada kamu semua”???

Ini jelas menunjukkan bahawa pemahaman seperti itu adalah bertentangan dengan fahaman ulama Islam yang lain, malah bertentangan dengan al-Quran dan Sunnah.

Malah perkataan Rabb itu bukanlah khusus untuk fahaman mengatakan bahawa ianya Tuhan yang mencipta bukan yang berhak disembah seperti fahaman Ibn Taimiyyah dan penyokongnya. Malah Rabb juga adalah kalimah yang digunakan oleh para Nabi bagi menyeru manusia kepada Allah taala dan menafikan tuhan selain Allah taala. Ini seperti yang disebutkan oleh Nabi Allah Harun di dalam surah Thahaa ayat 90 :

Maksudnya : dan Demi sesungguhnya, Nabi Harun telahpun berkata kepada mereka sebelum itu: "Wahai kaumku, Sesungguhnya kamu hanya diperdayakan Dengan patung itu, dan Sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah Yang melimpah-limpah rahmatNya; oleh itu, Ikutlah daku dan Taatlah akan perintahku".

Terdapat banyak lagi dalil yang ingin saya sebutkan di sini namun dalil-dalil yang lain bolehlah merujuk di laman ini.

Bagaimana pula dengan pengakuan mereka sendiri di dalam al-Quran bahawa Allah adalah Tuhan? Bukankah itu juga sebagai dalil bahawa mereka mengakui bahawa Allah adalah tuhan mereka juga?

Hakikatnya mereka menyebutkan seperti di dalam ayat 25 surah Luqman :


Adalah semata-mata ingin melepaskan diri kerana tiada lagi jawapan lain yang dapat mereka berikan. Penerangan mudahnya ialah , jika seseorang itu kehabisan hujah maka dia akan mengakui apa sahaja yang dikatakan kepadanya. Namun selepas daripada itu mereka akan tetap mengingkarinya. Ini jelas seperti tempelakan Baginda sallallahu alaihi wasallam di dalam ayat al-Mukminun 86-87:

Maksudnya : Tanyakanlah lagi: "Siapakah Tuhan Yang memiliki dan mentadbirkan langit Yang tujuh, dan Tuhan Yang mempunyai Arasy Yang besar?" Mereka akan menjawab: "(Semuanya) kepunyaan Allah". katakanlah: "Mengapa kamu tidak mahu bertaqwa?"

Mereka memang pernah berjanji dengan Allah taala sejak daripada azali namun mereka sendiri yang mengingkarinya seperti yang disebutkan di dalam ayat 27 surah al-Baqarah :


Maksudnya : (Iaitu) orang-orang Yang merombak (mencabuli) perjanjian Allah sesudah diperteguhkannya, dan memutuskan perkara Yang disuruh Allah supaya diperhubungkan, dan mereka pula membuat kerosakan dan bencana di muka bumi. mereka itu ialah orang-orang Yang rugi.

KESIMPULANNYA

Kesimpulannya, penggunaan kalimah Allah kepada agama selain Islam adalah tidak tepat sama sekali. Ketidak tepatan ini bukanlah khusus kepada permasalahan sensitiviti agama Islam sahaja, namun juga turut salah daripada penggunaan bahasa dan keadaan masyarakat di Malaysia itu sendiri.

Mereka tidak layak untuk menggunakannya. Malah jika membaca hasil tulisan Saudara RausyanFikir.com dan laman Ust Ibnu Nafis , sahabat saya dari jauh, maka saya rasakan bahawa sidang pembaca semua akan lebih jelas mengapa kita benar-benar tidak bersetuju dengan penggunaan kalimah ini kepada agama selain Islam.

Sebelum ini tidak pula mereka gunakan di dalam tanah Melayu kita, mengapa pula sekarang mereka beria-ia sangat ingin menggunakannya? Tentu sekali ada agenda lebih penting yang ingin mereka laksanakan. Kami para penuntut ilmu agama , hanya menyediakan hujah ketidak setujuan kami terhadap perkara ini, maka selebihnya, saya menyerahkan kepada pihak yang lebih berpengalaman untuk mengkaji sebab musababnya mengapa golongan Kristian ini beria-ia benar akhir-akhir ini.

Mukmin yang baik adalah yang sentiasa bersedia dengan segala jenis serangan. Bukan hanya serangan senjata malah lebih-lebih lagi ialah serang pemikiran.

Fikir-fikirkanlah…

Mohd Nazrul Abd Nasir,
Penuntut ilmu Masjid al-Azhar al-Syarif dan Masjid al-Asyraff,
Rumah Kedah Transit Hayyu 7,
Kaherah Mesir

Rujukan :
1. نظرات في الديانات الشرقية karangan tiga orang Doktor al-Azhar al-Syarif

2. بيان خطأ التقسيم الثلاثي للتوحيد karangan Dr. Umar Abdullah Kamil hafizahullah.

3. الله جل جلاله واحد أم ثلاثة karangan Dr. Munqiz bin Mahmud al-Saqar

4. الملل و النحل karangan al-Imam Shahrastani rahimahullah

5. Akhbar Utusan Malaysia bertarikh 27/12/2009



Rabu, 25 November 2009

Isu Bai'ah Talak Tiga & Dr Asri... Pengorbanan atau Penghinaan??


Idul Adha memberikan seribu satu makna buat umat Islam sedunia.Hari yang mana Allah taala jadikan buat mengambil iktibar dan pengajaran. Simbol utama bagi hari mulia ini ialah “ Pengorbanan”.

Umat Islam , walau bagaimana gembira sekalipun tetap meletakkan agama di hadapannya.Tidak seperti agama-agama yang lain yang mana sering melupakan nilai murni ketika perayaan disambut. Bagi mereka , hari perayaan adalah hari untuk bersuka-ria dan berfoya-foya. Namun bagi umat Islam, perayaan adalah hari untuk mengambil iktibar. Moga kita semua termasuk di dalam kelompok umat Islam yang benar-benar menghayati perayaan ini seperti yang dituntut oleh agama Islam yang mulia.

Peristiwa pengorbanan seorang anak dan ayah yang sangat-sangat bertaqwa kepada Allah taala memberikan seribu satu pengajaran kepada kita. Pengorbanan yang jika kita nilaikan dengan apa yang kita laksanakan pada hari ini, tentu tidak mampu bagi kita untuk membandingkannya walau sekelumit jua. Jauh berbeza sama sekali.

Seolah-olah Saidina Ibrahim dan Saidina Ismail alaihima al-salam ingin mengajarkan kepada kita semua bahawa pengorbanan untuk agama perlu dilakukan tanpa rasa berbelah bahagi. Bahasa mudahnya, apa sahaja yang berkait rapat dengan kepentingan Islam, maka tidak perlu bagi seorang Muslim yang sejati merasa berat hati untuk melaksanakannya. Apa yang penting ialah setiap perbuatan yang kita ingin laksanakan atas nama Islam perlulah berlandaskan dalil yang kukuh bagi mengelakkan berlakunya sebarang kekeliruan dan kesalah fahaman terhadap agama yang mulia ini.
Justify Full
Saya tertarik untuk membahaskan beberapa isu penting sepanjang musim ini. Satu demi satu isu hangat berlaku. Terkadang perkara tersebut tidak perlu untuk dijadikan isu namun media terlalu bijak mengambil peluang sehingga benar-benar menjadikan sesuatu yang bukan isu menjadi isu. Pengaruh media memang tidak dapat dinafikan, sangat terasa kekuatannya. Sehinggakan perkara yang tidak benar akan menjadi benar hanya kerana pengaruhnya yang meluas.

ISU PERTAMA



Isu pertama ialah tentang penangkapan Dr. Asri Zainal Abidin , bekas Mufti Perlis yang memang terkenal membawa pelbagai kontroversi murahan dengan bermodalkan agama. Beliau seolah-olah hero di dalam kisah penangkapan pada ketika itu. Perbincangan dengan beberapa pihak menjadikan fikiran saya memandang perkara ini kepada pro dan kontra. Pro yang berlaku di dalam kisah penangkapan ini ialah memang saya sangat bersetuju dengan tindakan drastik yang dilaksanakan oleh pihak JAIS dengan melakukan tangkapan dan dakwaan terhadap Dr Asri. Manakala kontranya pula ialah menyebabkan media massa mengambil peluang mempopularkan Dr Asri ini sehingga menjadikan seolah-olah beliau adalah mangsa di dalam isu ini. Sikap dan pemikiran yang kurang sihat disebarkan oleh beliau dengan alasan “ Mengemudi Arus Perubahan” ternyata tidak membawa apa-apa perubahan sebenarnya. Mengemudi itu tidak salah kalau kena pada caranya. Namun persoalannya , perubahan bentuk mana yang ingin beliau ketengahkan? Adakah pemikiran bermazhab yang dianuti oleh sebahagian besar penduduk di Bumi Malaysia dan Nusantara umumnya merupakan sesuatu yang kotor dan jijik sehingga perlu dilakukan sentuhan perubahan?

Berhujah dengan mengatakan bahawa kita perlu berpegang dengan al-Quran dan Sunnah itu benar.Persoalannya, adakah para pengikut Mazhab al-Imam Syafie radhiyallahu anhu di bumi Malaysia tidak lagi berpegang dengan al-Quran dan Sunnah? Kita semua mengambil daripada al-Quran dan Sunnah, namun saya ingin bertanya kepada pengikut-pengikut Dr Asri daripada acuan fahaman yang mana kamu semua ambil? Daripada acuan fahaman al-Imam Syafie kah? Atau daripada acuan fahaman al-Imam Abu Hanifah kah? Atau Imam Malik kah? Atau Imam Ahmad ibn Hambal kah? Apa kami yang mengikuti manhaj al-Imam Syafie ini dikira tidak mengikut al-Quran dan Sunnah ? Jadi Kami semua ini mengambil daripada Bible dan Talmud? Allahu Allah. Bilamana buruk sangka sudah menular di dalam fahaman manusia , maka semua yang bercanggah dengan apa yang mereka tidak ketahui akan dianggap sesat dan salah. Semoga Allah taala memberikan hidayah kepada kita semua.

Hakikatnya, tindakan untuk mengawal selia kerosakan pemikiran berlatar belakangkan agama adalah tindakan yang telah dicadangkan oleh pihak al-Azhar al-Syarif di bawah seliaan Syeikhuna Ali Jum’ah hafizahullah , Mufti Besar kerajaan Mesir.Cadangan ini dilaksanakan tujuh bulan sebelum berita penangkapan Dr Asri di Malaysia. Maksudnya pihak al-Azhar sendiri sudah lama mengambil inisiatif sebegini bagi mengawal kebobrokan pemikiran yang disebarkan oleh kebanyakkan pihak yang berlatar belakangkan agama. Cadangan ini disokong sebulat suara oleh pihak Majlis Fatwa Mesir, al-Azhar al-Syarif dan Institusi Penyelidikan Islam Mesir. Para ulama seperti Dr Mustafa al-Syak’ah, Dr Muhammad Abu Lailah dan al-Syeikh Ali Abdul Baqi bersetuju seratus peratus dengan tindakan yang diambil oleh Fadilatul Syaikhuna Dr Ali Jum’ah hafizahullah. Malah kesemuanya mencadangkan agar diambil tindakan keras kepada sesiapa yang mengeluarkan fatwa tanpa izin daripada pihak Majlis Fatwa.

Dr Mustafa al-Syak’ah mengatakan bahawa beliau meminta agar pihak kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap sesiapa yang mengeluarkan fatwa tanpa ilmu yang benar serta tanpa mengambil izin daripada Jabatan Fatwa walaupun yang memberikan fatwa tersebut adalah pemegang Ijazah Kedoktoran.

Pemegang Ijazah Kedoktoran bukanlah sebagai satu lesen utama untuk mengatakan bahawa seseorang itu mengetahui semua perkara. Ini perlu jelas kepada semua yang mempunyai pemikiran yang matang. Namun kita tidak menafikan bahawa Ijazah Kedoktoran itu adalah merupakan wasilah. Bilamana ianya disebut wasilah maka sudah tentu tidak tepat jika ianya dijadikan kayu ukur bagi keilmuan seseorang.

Terus terang saya katakan bahawa saya tidak bersetuju dengan beberapa pimpinan yang mengambil tindakan menyelar apa yang dilakukan oleh pihak JAIS. Apa yang dilakukan oleh pihak JAIS sebenarnya mengikut saluran agama yang benar. Syeikh Dr Sobri Abdul Rauf, Pensyarah Fiqh Perbandingan di Al-Azhar al-Syarif mengatakan bahawa : “ Terdapat satu permasalahan yang masyhur di dalam mazhab Abu Hanifah iaitu (( Dibenarkan kepada pihak berkuasa untuk menangkap Mufti @ orang yang mengeluarkan fatwa tanpa ilmu atau menyebarkan fahaman yang bimbang menyesatkan orang ramai)).”Malah beliau menegaskan bahawa fatwa bukanlah satu perkara yang boleh dibuka sewenang-wenangnya kepada semua.

-Rujuk Sout al-Azhar No. 491 bertarikh 25 Safar 1430 bersamaan 20 Februari 2009-

Isu Tauliah ini hanyalah sedikit, namun isu sebenar Dr Asri adalah sikapnya terhadap para ulama muktabar yang lain yang dipersendakan olehnya.Tidak hairanlah banyak NGO yang menyokong tindakan JAIS melakukan tangkapan terhadapnya.

ISU KEDUA


Selesai isu pertama. Masuk pula isu kedua iaitu Isu Talak Tiga yang dikeluarkan oleh YB Khalid Samad. Isu ini heboh diperkatakan oleh kebanyakkan penulis-penulis blog dan termasuk akhbar-akhbar. Lebih melucukan ada juga yang meminta kepada pihak Majlis Fatwa Kebangsaan untuk mengeluarkan fatwa bagi isu ini.

Isu utamanya hanyalah kerana kenyataan yang dikeluarkan oleh YB Khalid Samad yang mengatakan bahawa antara cara yang diambil oleh pihak Parti Islam SeMalaysia (PAS) bagi mengelakkan masalah lompat parti yang semakin berleluasa berlaku sekarang.

Hakikatnya perkara ini tidak perlu dijadikan isu. Ini permasalahan furu’ (cabang ) di dalam permasalahan Fiqh Islami. Jika kita merujuk pendapat para ulama di dalam permasalahan talak ini, maka kita akan jelas bahawa tindakan seperti itu adalah dinamakan sebagai “ Talak Ta’liq”. Ini tidak menyentuh sama ada menghina wanita atau tidak. Malah di dalam permasalahan fiqh , jika seorang suami mengatakan bahawa : “ Jika kamu ( wahai isteriku) keluar daripada rumah ini maka akan jatuh talak kepadamu.” Maka para ulama membahaskan adakah akan jatuh talak jika si isteri keluar daripada rumah tersebut? Tidak pula kita dapati bahawa ada ulama yang mempersoalkan sama ada ini menghina wanita atau tidak.

Jika melihat kepada contoh yang saya letakkan tadi maka secara jelasnya ianya lebih kepada penahanan suami terhadap isterinya daripada bebas ke mana-mana. Maka ini lebih jelas terkongkong kepada isteri jika dinilai daripada mata kasar kita. Namun di dalam permasalahan isu bai’ah talak tiga yang dikemukakan , si suami yang mengongkong dirinya sendiri daripada melakukan sesuatu yang jika dia melanggarnya maka akan jatuh talak terhadap isterinya.

Ini bukanlah untuk menghina martabat seseorang wanita malah sebenarnya ingin meninggikan lagi serta membuktikan kepada si isteri sejauh mana kasih sayang suaminya pada isteri tersebut. Seolah-olah, jika si suami tersebut lebih suka menerima wang jutaan ringgit hanya semata-mata untuk lompat parti maka ini membuktikan bahawa wang ringgit itu lebih bernilai daripada isterinya. Namun jika si suami benar-benar sayangkan isterinya maka wang jutaan ringgit tadi tidak langsung memberikan kesan kepada dirinya. Maka bia’ah yang dilakukan hakikatnya adalah untuk si suami memberikan satu jaminan terhadap sesuatu yang sangat bernilai di dalam hidupnya. Jika dia melanggarnya, maka perkara yang sangat-sangat bernilai ini akan hilang. Maka kewajipan kepadanya adalah untuk menjaganya sebaik mungkin.

Cuma saya memang kurang bersetuju dengan sikap yang ditunjukkan oleh YB Khalid Samad di dalam isu ini dengan menyebarkan dan “membongkarkan kepada umum”. Sikap berhati-hati ketika menyampaikan ucapan perlu ada kepada seorang pemimpin yang menjadi perhatian umum. Jika benar sekalipun Bai’ah yang dilaksanakan, maka sebaiknya para pimpinan tidak boleh melulu menceritakan kepada semua pihak.

Masalah utama di dalam isu ini ialah masalah sikap yang terlalu prejudis terhadap apa sahaja yang disandarkan kepada Islam. Jika yang melakukannya adalah UMNO dan Barisan Nasional mungkin orang ramai tidak akan memandang sebagai suatu yang penting ( secara jujurnya saya katakan mungkin tidak akan wujud langsung perkara sebegini di dalam UMNO), namun jika yang melakukannya adalah Jemaah Islam, maka terus perkara ini dijadikan isu utama. Maka pada waktu ini, semua pihak ingin menjadi hero yang kononya ingin mempertahankan isu umat Islam dan hak asasi Wanita.

Perkara utama yang perlu dilakukan ialah kembali semula kepada manhaj ilmu yang sebenar. Rujuk kepada para ulama yang ahli di dalam bidangnya sebelum mengeluarkan sesuatu kenyataan dan telahan. Bimbang perkara yang kita katakan tidak tepat itu hakikatnya adalah tepat, namun disebabkan kejahilan kita maka yang tepat menjadi salah dan begitulah sebaliknya.

Wallahu a'lam

Mohd Nazrul Abd Nasir,
Cyber Cafe Kuala Lumpur,
Kaherah Mesir..

Sabtu, 10 Oktober 2009

Isu Purdah... Pembaca Jangan Cepat Melatah Bila Akhbar Picisan Mencuit ....

Sekali lagi hati ini terguris bilamana para ulama dipermainkan.Inilah bahananya jika pekerjaan yang dilakukan langsung tidak berpaksikan iman dan adab.Sikap pembaca pula terlalu cepat menghukum dan memberikan komentar. Saya mendengar khabar daripada beberapa sahabat, sudah ada yang menggunakan laman facebook untuk mengecam dan mengutuk Syaikhul Akbar Dr Sayyid Muhammad Tantawi hafizahullah.Seringkali kita memberikan nasihat dan pesanan kepada akhbar Tanah Melayu yang sering bersekongkol dengan akhbar dunia yang lain agar melakukan penelitian sebaiknya kepada setiap pernyataan yang dikeluarkan.

Berkali-kali kita sebutkan , selepas ini jika berita dan akhbar Melayu mengeluarkan sesuatu pernyataan kontroversi tentang pendapat para ulama maka perkara pertama yang perlu dipasakkan di dalam minda sidang pembaca ialah “ BOLEH DIBACA NAMUN PERCAYA JANGAN”. Kamu tak takutkah dengan hukum Allah taala kerana sering mempermain-mainkan para ulama.

Ingatlah, daging ulama itu beracun. Jangan bermain-main dengan maruah seorang ulama.

Pendapat yang dikeluarkan oleh Syaikhul al-Akbar Dr Sayyid Muhammad Tantawi hafizahullah jelas bertentangan dengan apa yang dikeluarkan oleh akhbar Malaysia.Lain yang diucapkan oleh Syeikh, lain pula yang mereka masukkan ke dalam akhbar milik mereka.Kalau ya pun inginkan akhbar picisan milik kamu terjual laku di pasaran, usahlah lakukan fitnah kepada para ulama sehingga sedemikian rupa.

Apa yang diterangkan oleh IslamOnline dapat menjelaskan segala kekusutan yang berlaku. Saya diminta berkali-kali oleh sahabat-sahabat untuk membahaskan isu ini. Sikap saya yang pertama, tidak mahu terlalu cepat meletakkan hukum kepada ulama yang kita kenali sangat wara’ di dalam mengeluarkan sesuatu hukum.

Secara jelasnya , Syaikhul Akbar tidaklah melarang @ mengharamkan ( seperti bahasa yang digunakan oleh Akhbar Malaysia) pemakaian niqab secara mutlak. Malah larangan ini hanyalah kepada sekolah dan pusat pengajian yang di dalamnya hanya terdapat wanita sahaja. Ini bermakna, jika terdapat lelaki di dalam kawasan tersebut, maka dibenarkan untuk memakai niqab bagi wanita. Apa yang kita kesalkan, akhbar Malaysia jelas menyebarkan berita yang bertentangan dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Syaikhul Akbar.

IslamOnline juga menerangkan bahawa, Syaikhul Akbar bukanlah menentang pemakaian Niqab kepada wanita. Malah beliau amat-amat menghormati pandangan wanita yang ingin mengekalkan pemakaian niqab.Namun, apa yang beliau tentang ialah kesalahfahaman yang berlaku dan meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya.Bahasa mudahnya, mengamalkan agama bukan pada tempat yang sepatutnya. Jika sesebuah institusi tersebut ahlinya terdiri daripada golongan wanita semata-mata, apa faedahnya mereka memakai niqab?? Ini yang ingin Syaikhul Akbar terangkan dan bawa kepada masyarakat. Bukannya seperti yang disebarkan oleh akhbar-akhbar picisan yang seolah-olah mengatakan bahawa niqab ingin diharamkan seratus-peratus kepada golongan wanita muslimah.

Manakala isu tohmahan terhadap Syaikhul Akbar yang mengatakan bahawa beliau menghina pelajar wanita tersebut dengan mengatakan bahawa “ Aku lebih mengetahui tentang agama daripada kamu dan orang-orang yang mendidik kamu” jelas merupakan fitnah terhadap Syaikhul Azhar. Perkataan ini langsung tidak diucapkan oleh Syaikhul Akbar. Ini jelas putar belit yang dilakukan oleh akhbar yang memang terkenal suka mencari publisiti murahan dengan melakukan penghinaan terhadap para ulama.

Penjelasan lanjut boleh dilihat di IslamOnline.

Inilah senario masyarakat sekarang, ulama terlalu dipandang rendah dan hina. Malah dianggap tiada langsung kedudukan disisi mereka. Saya tidak mahu membahaskan isu sama ada niqab ini benar-benar merupakan tuntutan agama atau sekadar adat seperti yang disebutkan oleh Syaikhul Akbar.Ini merupakan permasalahan khilaf dikalangan para ulama.Khilaf di dalam permasalahan ini bukanlah merupakan perkara usul yang boleh membawa kepada kekufuran. Malah ianya cuma khilaf di dalam permasalahan cabang agama. Terlalu dangkal golongan yang ingin melakukan tohmahan kepada Syaikhul Akbar Dr Sayyid Muhammad Tantawi hafizahullah hanya kerana beliau mengatakan bahawa niqab ini hanyalah merupakan adat.

Orang zaman sekarang lebih suka percayakan akhbar yang ditulis oleh wartawan yang tidak diketahui peribadinya berbanding mempercayai ulama muktabar.

Saya sangat tertarik dengan penjelasan yang diberikan oleh Fadhilatus Syaikhuna Habib Ali al-Jufri hafizahullah bilamana ditanya pandangan beliau berkenaan pendapat Syaikhul Akbar tentang “ Harus Memberikan Infaq Kepada Pembinaan Gereja”. Kata Syaikhuna Habib Ali al-Jufri hafizahullah(secara ringkasnya) :

“ Sepanjang pengetahuan saya perkara ini merupakan sepakat daripada para ulama mengatakan bahawa tidak dibenarkan untuk kita memberikan bantuan terhadap pembinaan gereja.Cuma ianya dibenarkan untuk pihak kerajaan memberikan bantuan jika keadaan memerlukan seperti yang berlaku di Gaza setelah peperangan antara Yahudi laknatullah dan tentera Islam.Kerajaan Hamas ketika itu memberikan bantuan kewangan untuk pembinaan gereja yang runtuh akibat peperangan tersebut. Secara jelasnya, saya menyebutkan perkara ini dengan ilmu saya yang sedikit berbanding Syaikhuna al-Akbar Dr Sayyid Muhammad Tantawi hafizahullah.Mungkin Fadhilatul al-Imam al-Akbar pernah terjumpa pendapat ulama yang mengatakan bahawa dibenarkan untuk memberikan bantuan kepada pembinaan gereja.Manakala saya dengan sedikitnya ilmu pengetahuan yang ada pada saya maka tidak dapat saya memberikan pendapat sepertimana yang diberikan oleh al-Imam al-Akbar Dr Sayyid Muhammad Tantawi hafizahullah.”

Nah, inilah sikap sebenar seorang ulama dan sikap seorang pendengar yang tidak cepat menghukum.Malah meletakkan adab yang terlalu tinggi terhadap para ulama.

Moga kita semua dapat mengambil sifat terpuji yang ditunjukkan oleh para ulama kita di dalam memberikan pendapat dan berbeza pendapat.


Saya juga ada menulis tentang hukum memakai niqab pada keluaran yang lalu. Sila lihat :


Wartawan-wartawan akhbar perlu menilai perkara ini dengan teliti.Muslim yang baik bukanlah yang terjatuh ke dalam lubang sebanyak dua kali walau telah diperingatkan berkali-kali.

**********

Ya Allah, Aku bersaksi kepadaMu, jikalau aku tidak mampu menjadi seorang ulama, maka cukuplah diriku menjadi khadam kepada para ulama, membela mereka daripada ditohmah walau diri ini tergadai.. Moga mereka akan memberikan syafaat kepadaku kelak dengan Rahmat dan InayahMu Ya Rabbal A'lamin...

Mohd Nazrul Abd Nasir,
Rumah Kedah Hayyu 10,
Keherah Mesir

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...