Rabu, 22 April 2009

Adakah Perlu Bagi Waris Menggantikan Solat Bagi Ibu Yang Meninggal Dunia?

SOALAN

Adakah anak perlu mengantikan solat untuk ibunya yang telah meninggal dunia dan jika solat yang ditinggalkan itu bertahun-tahun lamanya bagaimanakah untuk mengantikan solat tersebut?

JAWAPAN

Terima kasih kepada saudari yang bertanya,al-Imam Nawawi rahimahullah menyebutkan di dalam kitabnya Majmu’ Syarah Muhazzab dan Minhaj al-Tholibin bahawa solat tidaklah perlu diqadha’kan oleh waris orang yang meninggal dunia tersebut. Fidyah juga tidak perlu dibayar bagi menggantikannya.

Ini kerana tiada nas syarak pada membenarkan qada’ solat untuk orang yang telah meninggal dunia. Disebutkan bahawa al-Imam Qadhi Iyadh rahimahullah mengatakan bahawa perkara ini merupakan ijma’ para ulama(berkenaan tiadanya qada’ solat bagi oaring yang telah meninggal).

Di dalam satu riwayat yang disebutkan oleh al-Imam Syafie, dibenarkan untuk waris bagi si mati untuk mengeluarkan satu mud beras @ makanan asasi(510 gram mengikut timbangan sekarang) mengikut bilangan hari yang ditinggalkan.Ini juga seperti yang dipegang oleh al-Imam Baghawi rahimahullah.

Sebaiknya kita mengikut pendapat yang dipegang oleh Jumhur para ulama iaitu tidak perlu untuk mengqada’kan solat untuk si mati tersebut bagi warisnya dan tidak perlu dikeluarkan fidyah untuknya.Wallahu a’lam.

Rujukan:

1. Majmu’ Syarah Muhazzab jilid 6 mukasurat 271 Cetakan A’lam Kutub.

2. Mughni Muhtaj Syarah Minhaj al-Tholibin jilid 1 mukasurat 623 Cetakan Darul Usma’

Mohd Nazrul Abd Nasir ,
Rumah Kedah Hayyu 10.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...