Rabu, 15 April 2009

Nasab Anak Zina

Adakah anak zina dinasabkan kepada lelaki yang melakukan penzinaan dengan wanita yang melahirkan anak zina tersebut?

Terima kasih kepada yang bertanya berkenaan perkara ini.Mengikut pendapat para ulama,seperti yang disebutkan di dalam kitab Fatawa al-Islamiyah oleh Majlis Fatwa Ulama Mesir : Anak tersebut tidak akan dinasabkan kepada lelaki tersebut.Ini kerana anak tersebut tidaklah diiktiraf sebagai anaknya.Jika kita menasabkan anak tersebut kepada lelaki berkenaan maka seolah-olah kita telah mengiktiraf perbuatan kejinya tersebut.

Nasab seseorang tersebut hanya sah jika berlaku melalui perkahwinan yang sah.Ini adalah mengikut kepada pendapat kebanyakkan ulama di dalam mazhab Maliki,Syafie dan Hanbali.

Manakala mengikut pendapat sebahagian ulama bermazhab Hanafi rahimahumullah mengatakan bahawa jika anak tersebut lahir selepas 6 bulan perkahwinan dilangsungkan maka anak tersebut bolehlah dinasabkan kepada lelaki berkenaan(yang melakukan perbuatan keji tersebut). Tetapi jika bayi tersebut dilahirkan kurang daripada 6 bulan selepas perkahwinan dilangsungkan maka anak tersebut tidaklah dinasabkan kepada si lelaki tersebut.

Gambaran mudah di dalam memahami permasalahan yang disebutkan oleh para ulama bermazhab Hanafi ini ialah seperti berikut:

A telah melakukan perzinaan dengan B (na’uzubillah).Selepas 2 bulan ,dilakukan pemeriksaan doktor dan B didapati mengandung 2 bulan.Sebaik mendengar berita tersebut maka si A terus mengahwini si B tersebut.Selepas 7 bulan perkahwinan maka kandungan tersebut telah mencapai 9 bulan dan bayi tersebut dilahirkan.Maka mengikut pendapat para ulama bermazhab Hanafi bayi tersebut boleh dinasabkan kepada lelaki terbabit.

Tetapi sebaiknya kita mengikut dan berpegang dengan pendapat kebanyakkan para ulama yang tidak meletakkan nasab bayi tersebut kepada lelaki berkenaan.Ini kerana,jika kita menggunakan pendapat yang kedua,bimbang akan berlaku penyalahgunaan oleh golongan yang tidak bertanggungjawab.Saya cuma menyampaikan amanah ilmu.

Sebaiknya jika berlaku sebarang permasalahan perlu dirujuk kepada pihak berwajib yang berhak untuk menentukan perkara ini dengan sebaiknya.Wallallahu a’lam.

Rujukan:

1. Fiqh Islami wa Adillatuhu oleh Syeikh Wahbah Zuhaili jilid 9 cetakan Darul Fikr
2. Fatawa Islamiyah oleh Darul Ifta’ Misriyyah jilid 2.

1 ulasan:

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...