Ahad, 10 Mei 2009

Bolehkah Berpindah-Pindah Mazhab? Fahami dengan Teliti


Alhamdulillah banyak juga respon pembaca berkenaan artikel mazhab yang saya tulis baru-baru ini, cuma agak kesal dengan beberapa pihak yang tidak ingin mengambil faham terus mengunakan kata-kata yang mereka rasakan “professional” tetapi hakikatnya merekalah yang jauh daripada perkataan tersebut. Kalau benar-benar professional, maka seseorang tersebut akan meletakkan kerjanya bersesuaian dengan tugasnya.

Ya, semua orang sayangkan Islam. Jika benar-benar sayangkan Islam maka letakkan tugas kita pada tempatnya. Jika kita ceburi bukan apa yang ada di dalam bidang kita maka akan punah ranah jadinya. Contohnya mudah, sekumpulan pekerja memiliki sebuah kereta secara milikan bersama, kesemuanya menyayangi kereta tersebut. Ada yang pandai bahagian kendalian kereta tersebut, ada yang pandai bahagian tayarnya, dan ada yang pandai memandu dan ada yang tidak pandai memandu. Ya, masing-masing sayang dengan kereta tersebut. Baik, jika kita sayang, maka kita akan letakkan seseorang tersebut pada tugasnya, yang pandai memandu serahkan kepadanya untuk memandu dan begitulah seterusnya. Kalau hanya menggunakan perkataan sayang tetapi menyerahkan bukan kepada ahlinya maka akan punah kereta tersebut. Begitu juga Islam, semua orang sayang, namun masing-masing ada tugas. Saya tidak menafikan golongan professional punya tugas yang sangat baik jika digemblengkan sebaiknya untuk Islam. Tetapi bukanlah dibahagian hukum-hakam Islam. Bahagian hukum-hakam Islam serahkan kepada para ulama. Bidang tugas di dalam Islam bukan sedikit, banyak yang masih kosong. Kalau semua mahu melibatkan diri dalam hukum-hakam(walaupun tidak mempelajari dengan sepenuhnya secara mendalam) maka bukan semakin berjaya, tetapi semakin menambah fitnah di dalam Islam. Ini perlu difahami dengan baik. Kalau ingin melibatkan diri seperti para ulama, ayuh silakan , peluang terbuka luas untuk mempelajari ilmu Islam dengan para ulama di al-Azhar al-Syarif.

Saya berkali-kali menyebutkan, baca tulisan saya dan fahami dengan sebaiknya. Oleh kerana itulah, sengaja saya lambatkan tulisan berkenaan berpindah-pindah mazhab. Biar faham dahulu kepentingan bermazhab kemudian barulah membuka perbincangan berkenaan dengan berpindah mazhab.

Perlu difahami, para ulama mujtahid bukanlah sedikit bahkan ramai.Cuma ada yang terpelihara mazhabnya sehingga sekarang dan ada yang sudah tiada lagi. Oleh kerana itulah al-Imam Alawi al-Saqqaf rahimahullah (1255-1335H)menyebutkan di dalam kitabnya Fawaid Makkiyah bahawa para ulama menyebutkan tidak boleh mengikut mana-mana mazhab selain mazhab empat.

Apakah sebabnya? Bukanlah kerana para ulama mazhab selain mazhab empat tidak diyakini ilmunya, sebaliknya kerana ketiadaan sandaran dan sanad yang menyakinkan bahawa pendapat tersebut keluar daripada Imam-imam tersebut ( seperti al-Auza’ie, Abu Thaur, Sufyan al-Thauri, Ibn Uyaynah, Ishak bin Rahuyah, Ibn Jarir al-Tabari dan lain-lain rahimahumullah).

Oleh sebab itulah ramai para ulama menyebutkan berkenaan Imam Zaid bin Ali radhiyallahu anhuma: (( Imam Zaid merupakan seorang yang sangat tinggi kedudukannya, hebat ilmunya, tetapi kepercayaan terhadap mazhabnya sudah tiada bukanlah kerana peribadi Imam Zaid, tetapi kerana para pengikutnya tidak mengambil perhatian tentang pembinaan mazhab( serta tidak mengambil perhatian tentang sanad mazhab tersebut), maka mazhab tersebut tidak terlepas daripada berlakunya perubahan dan menyandarkan kepada Imam bukan kepada apa yang disebutkan oleh Imam itu sendiri)).

Benarlah kata-kata Imam Ibn Mubarak rahimahullah:

الإسناد من الدين, لولا الإسناد لقال من شاء ما شاء

Maksudnya: Sistem sanad tersebut adalah sebahagian daripada agama Islam, kalaulah bukan kerana sistem ini, maka orang akan menyebutkan apa sahaja yang dia ingin sebutkan.

Maksud sebenar kalam ini ialah, jika tiadanya sistem sanad maka semua orang boleh menyandarkan pendapatnya kepada sesiapa sahaja yang dia kehendaki tanpa amanah ilmu. Bila ditanya, daripada siapakan kamu mengambil pendapat ini, maka seseorang yang tiada sandaran akan menyebutkan : daripada si fulan dan si fulan dan seterusnya tanpa meraikan amanah ilmu itu sendiri.

Kembali kepada perbahasan asal berkenaan adakah kita boleh berpindah-pindah mazhab?

Kata al-Imam Ibn Hajar al-Haitami,al-Imam Alawi al-Saqqaf , dan para ulama yang lain:

Harus bagi seseorang tersebut untuk berpindah-pindah daripada satu mazhab ke mazhab yang lain (mazhab empat), walaupun dengan berseronok-seronok, sama ada berpindah secara berterusan atau secara sekejap sahaja(kemudian kembali semula ke mazhab asal).”

Cuma yang perlu diambil perhatian ialah berpindah-pindah mazhab dibenarkan dengan syarat tidak berlaku talfiq yang diharamkan(sehingga menyebabkan berlaku perkara yang tidak dikatakan oleh seorang pun dikalangan ulama Islam).

Apakah yang dimaksudkan dengan talfiq yang diharamkan? Para ulama menyebutkan bahawa talfiq yang diharamkan ialah mengumpulkan dan menghimpunkan pendapat ulama di dalam satu masalah yang sama menjadi satu masalah yang mana ianya tidak pernah langsung disebutkan oleh mana-mana ulama.

Contohnya seperti mengambil wudhuk dengan menggunakan mazhab syafie(menyapu sebahagian kepala), kemudian selepas itu orang tersebut menyentuh ajnabiah(wanita bukan mahramnya) dan ingin pula mengikut mazhab Abu Hanifah yang mengatakan menyentuh wanita tidak membatalkan wudhuk. Maka seolah-olah jika para imam tersebut dikumpulkan semula di hadapan kita kelak, kesemuanya tidak mengi’tiraf perbuatan kita. Al-Imam Syafie akan menyebutkan bahawa wudhuk kamu seperti yang kami sebutkan cuma bagi kami jika menyentuh wanita @ disentuh akan membatalkan wudhuk. Orang tersebut menjawab: Aku menyentuh mengikut mazhab Abu Hanifah. Maka Imam Abu Hanifah pula akan menjawab: Memang benar mazhab kami mengatakan bahawa wudhuk tidak akan batal jika disentuh atau menyentuh wanita ajnabiyah(kerana bagi mazhab Abu Hanifah , bersetubuh barulah membatalkan wudhuk) tetapi cara kamu mengambil wudhuk bukanlah seperti yang kami letakkan (kerana hanya meyapu sebahagian kepala sahaja) .Kata Imam Abu Hanifah lagi: Bagi mazhab kami, wajib menyapu kepala keseluruhannya. Jadi kamu tetap tidak mengikut mazhab kami.
Inilah contoh talfiq yang tidak dibenarkan,tetapi jika kita contohnya berwudhuk menggunakan mazhab Syafie, kemudian berniaga di pasar menggunakan mazhab Abu Hanifah, keesokkan harinya berwudhuk menggunakan mazhab Abu Hanifah dan seterusnya maka tiadalah masalah padanya. Ini perlu kepada pemahaman usul fiqh yang baik. Perbahasan talfiq ini sangat panjang. Perlu dibahaskan pada masa yang akan datang.

Jadi, kesimpulannya ialah,para ulama tidak pernah menghalang untuk kita berpindah-pindah mazhab, malah tidak mewajibkan untuk kita berpegang dengan satu-satu mazhab (tanpa membenarkan untuk berpindah mazhab).

Cuma, perlu difahami kalam para ulama, tiada seorang pun yang menyebutkan tidak mengapa kalau tidak bermazhab langsung. Tidak pernah kami (yang belajar dengan para ulama secara terperinci dan membaca kitab-kitab para ulama)mendengar dan menjumpai para ulama menyebutkan bahawa tidak perlu untuk bermazhab. Ini kefahaman yang perlu diperbetulkan. Kefahaman “tidak perlu bermazhab” bukanlah perkara yang baharu, janganlah kamu berpura-pura menyokong para ulama ahlussunnah seperti Syeikh Muhammad Said Ramadhan al-Buti(mazhab Syafie), Syeikh Ali Jumaah(mazhab Syafie), Syeikh Wahbah Zuhaili(Mazhab Syafie) dan sebagainya sedangkan kamu langsung tidak memahami pendapat yang mereka sebutkan. Baca sendiri kalam mereka( Bukan sekadar membaca, tetapi memahami sebagaimana para ulama yang membacanya memahaminya). Mereka juga bermazhab walaupun sudah mencapai peringkat yang tinggi di dalam Ilmu mereka.

Sekali lagi saya sebutkan, baca dengan hati yang terbuka dan ilmu yang disadur dengan iman, bukan dengan hawa nafsu dan pendapat-pendapat kurang ilmiahnya. Terima kasih kepada semua.Dan perlu diingat, golongan wahabi sejak akhir-akhir ini baru menyebutkan bahawa mereka bermazhab, setelah dikecam oleh para ulama. Rujuk kitab " alla mazhabiyah" oleh Syeikh Muhammad Said Ramadhan al-Buti kamu akan dapati hujah-hujahnya kepada golongan yang tidak bermazhab dan baru ingin menempelkan diri mereka kepada mazhab.

Wallahu a'lam.

Rujukan:

1. Fatawa Hadithiyah oleh Al-Imam Ibn Hajar al-Haitami rahimahullah cetakan Darul Taqwa

2. Mukhtasar Fawaid Makkiyah oleh al-Imam Alawi al-Saqqaf cetakan Darul Basya’ir Islamiyah tahqiq Dr. Yusuf Mar’ashli

3. Risalah Talfiq di dalam Fatwa oleh Doktor Saad Anzi, Majalah Syariah keluaran Kuwait Jilid 38.


Mohd Nazrul Abd Nasir,
Rumah Kedah,
Hayyu 10,

9 ulasan:

  1. Salam.
    Ustaz Nazrul, time kasih kerana terbuka.
    Mtk maaf sbb kasar.
    Ustaz teruskan dulu menulis ape2 yg ustaz tak puas ati psl wahabi. Sy tataula kalo kwn2 sy nak reply dlu ke. Tp sy nak berehat jap. InsyaAllah nnti sy kemukakan pendapat2 sy yg juge bsumberkan dr ulama2 terdahulu. Dan insyaAllah jga, sy akan panjangkan isu ini kpd Tok Guru Haji Hadi, pres PAS dan kepimpinan PAS yg sy ade kontek. Kte mtk tlg org lame la jgk kan. Hehe. Salam ukhuwwah. Semoga najah dlm imtihan. InsyaAllah.

    BalasPadam
  2. salam peng..
    terima kasih..walaupun peng rock tapi tetap best :) insyaAllah kita bleh bincang selalu k..salam ukhuwwah..
    apa2 nie ym ana..nazrul_nasir706@yahoo.com..

    ok peng..kita jumpa lagi k..:) wassalam

    BalasPadam
  3. salam..
    jzkk atas entry ustaz...
    saya ni adik usrah waqiyuddin yg bljr di UK dan tahun sudah,die prnh tggl brsama ustaz sewaktu dia ke mesir..minta kbnran utk linkkan blog ustaz ke blog saya dan juga copy paste mana2 artikel ustaz utk dismpaikan pd teman2..
    jzkk sekali lagi

    BalasPadam
  4. silakan da_imanz...terima kasih..sampaikan salam pada waqiyuddin..:)

    BalasPadam
  5. Ada ke dalil dari AQ dan Sunnah cakap wajib bermazhab?

    Tokngah

    BalasPadam
  6. kpd tokngahh

    rasa2nya dlm AQ & sunnah xde dalil yg direct mengatakan mengenai mazhab sbb masa zmn tu blum blaku kewujudan mazhab sbb Rasulullah masih ada. sgl pemasalahan bleh dirujuk pd Rasulullah.
    Wallahu A'lam

    BalasPadam
  7. Salam ustaz,

    ana tertarik dgn pdpt ust. maklumla, ana masih blaja isu2 begini. ana add ust kt ym gn emel ust yg bg kt atas ni. harapnya, klu ada apa2, sy bleh trus bertny kpd ustaz.

    ni emel saya: paley_11[at]yahoo[dot]co[dot]uk

    BalasPadam
  8. salam,

    tumpang tanya,

    "Contohnya seperti mengambil wudhuk dengan menggunakan mazhab syafie(menyapu sebahagian kepala), "

    adakah menyapu sebahagian kepala itu dari pendapat imam shafie atau Asy-Syafi'iyah (pengikut imam shafie) ?

    terima kasih

    BalasPadam
  9. Alhamdulillah, satu artikel yang baik untuk diteliti dengan sewajarnya dan diterima dengan hati yang terbuka. Saya bersetuju dengan pandangan al-Fadhil Ustaz dalam artikel ini.

    BalasPadam

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...