Khamis, 21 Mei 2009

Dua Hati ?



Soalan

Bolehkah Ustaz terangkan apakah yang dimaksudkan dengan “ seseorang tidak mempunyai dua hati di dalam rongga dadanya”?

Jawapan

Terima kasih kepada yang bertanya. Perkara ini disebutkan oleh Allah taala di dalam surah al-Ahzab ayat 4:

مَا جَعَلَ اللَّهُ لِرَجُلٍ مِنْ قَلْبَيْنِ فِي جَوْفِهِ

Maksudnya: Allah sekali-kali tidak menjadikan seseorang mempunyai dua hati di dalam dadanya.

Al-Imam al-Qurtubi rahimahullah menyebutkan di dalam kitabnya al-Jami’ lil Ahkam al-Quran pada jilid yang ke-17 mukasurat 52:

Menurut al-Imam Mujahid, al-Wahidi dan al-Qusyairi rahimahumullah ,ayat ini diturunkan kerana terdapat seorang lelaki Quraisy yang bernama Jamil bin Ma’mar al-Fihriy . Dia merupakan seorang yang sangat kuat ingatannya. Setiap perkara yang didengarinya maka akan terus dihafalnya. Maka golongan Quraisy mengatakan bahawa, perkara ajaib sebegini hanya boleh dilakukan oleh seseorang yang mempunyai dua hati. Jamil bin Ma’mar juga mengatakan bahawa dia mempunyai dua hati yang lebih hebat daripada hati Muhammad (Baginda sallallahu alaihi wasallam). Ketika golongan Musyrikin kalah di dalam perang Badar, Jamil juga mengikuti peperangan tersebut. Abu Sufyan menjumpai Jamil yang ketika itu bersama dengan kafilah yang pulang setelah selesai peperangan dan mendapati sebelah kasut Jamil diletakkan di tangan dan sebelah lagi disarung pada kakinya. Maka terus Abu Sufyan bertanya: Apa yang telah terjadi? Jawab Jamil: Semuanya tertewas di dalam peperangan . Abu Sufyan berkata: Apa yang menyebabkan kamu meletakkan kasut kamu di tangan dan di kaki? Jamil menjawab: Aku pun tidak menyedari bahawa apa yang sedang aku lakukan ini. Abu Sufyan terus ketawa dan ketika itu jelaslah bahawa Jamil tidak mempunyai dua hati. Mana mungkin seseorang yang mempunyai dua hati tidak akan menyedari apa yang sedang dilakukannya.”

Menurut Syeikh Sya’rawi rahimahullah :

Ayat ini mempunyai kaitan rapat dengan ayat sebelumnya. Ayat sebelum ini menceritakan tentang dua arahan yang satunya perlu diikuti dan yang keduanya perlu dijauhi. Arahan yang perlu diikuti ialah seperti yang disebutkan oleh Allah taala di dalam ayat tersebut: (يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ اتَّقِ اللَّهَ ) dan ( وَاتَّبِعْ مَا يُوحَى إِلَيْكَ مِنْ رَبِّكَ) di antara kedua-dua ayat ini disebutkan perkara yang perlu dijauhi oleh golongan Muslimin iaitu ( وَلَا تُطِعِ الْكَافِرِينَ وَالْمُنَافِقِينَ).” Kata Syeikh Sya’rawi lagi : “ Maka kita sekarang berhadapan dengan dua arahan. Pertama menyuruh kita mentaati kebenaran dan yang kedua melarang kita mengikuti golongan kafir dan munafiq. Maka hati memainkan peranan penting ketika ini. Samaada mengikuti kebenaran atau tunduk kepada kebatilan. Oleh sebab itulah Allah taala menyebutkan ayat 4 surah al-Ahzab ini bagi menerangkan bahawa seseorang tersebut hanya mempunyai satu sahaja hati. Maka setiap hati hanya akan menerima satu perkara sahaja, sama ada kebenaran atau kebatilan.”

Baginda sallallahu alaihi wasallam juga menerangkan kepada kita dengan menyebutkan sebuah hadis bahawa hati hanyalah satu. Sabda Baginda sallallahu alaihi wasallam:

ألا وإِنّ في الجَسَدِ مُضْغَةً إذا صَلَحَتْ صَلَحَ الجَسدُ كلّه، وإذا فَسَدَتْ فَسَدَ الجسَدُ كله، أَلا وهِيَ الْقَلْبُ.

Maksudnya: Sesungguhnya di dalam sesebuah jasad terdapat satu ketulan daging, kalau baik perkara tersebut maka baiklah seluruh anggotanya, jika rosak, maka rosaklah keseluruhannya. Tiada lain perkara tersebut melainkan ianya adalah hati.( Riwayat al-Imam Bukhari hadis no.52)

Hadis ini menunjukkan bahawa hati hanya satu sahaja di dalam jasad seseorang.Wallahu a’lam.

Rujukan:

1. Tafsir al-Imam al-Qurtubi rahimahullah cetakan Muassasah Risalah jilid 17 mukasurat 52-54

2. Tafsir al-Imam Mutawalli Sya’rawi rahimahullah . Jilid 19 mukasurat 367

3. Sahih Imam Bukhari radhiyallahu anhu. Jilid pertama.

Mohd Nazrul Abd Nasir,
Rumah Kedah,
Kaherah Mesir

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...