Khamis, 21 Januari 2010

Tugasan Belum Selesai .... Sejenak Bersama Kisah al-Imam Abu Hanifah Nu'man radhiyallahu anhu

Sejak akhir-akhir ini, banyak pula post yang saya letakkan di dalam laman ini. Ibu pun sudah berkali-kali berpesan kepada saya untuk siapkan tugasan yang sepatutnya terlebih dahulu. Ya, seperti jawapan yang saya berikan kepada ibu “ InsyaAllah, anakanda akan buat yang terbaik setiap tugasan tersebut”.



Sebuah syarikat penerbitan telah meminta untuk saya menulis sebuah kitab berkenaan Ilmu Aqidah Islamiyyah berdasarkan sifat 20. Saya menyambut baik permintaan tersebut. Namun sehingga sekarang saya masih tidak sempat untuk menyerahkan hasil tulisan saya kepada mereka. Saya sangat-sangat memohon kemaafan kepada pihak PelimaMedia.com yang bersungguh-sungguh di dalam perkara ini. Kesibukan demi kesibukan serta penelitian yang mendalam perlu dilakukan di dalam menghasilkan kitab ini menyebabkan saya tidak dapat lagi menyerahkan kepada pihak PelimaMedia. Saya sangat-sangat memohon maaf. Saya masih melakukan penelitian terhadap penulisan saya sebelum ianya benar-benar boleh dipasarkan. Bimbang kalau saya menulis dan dengan tujuan untuk cepat dipasarkan akan menyebabkan banyak kekeliruan akan berlaku .

Izinkan untuk saya melakukan solat istikharah dan solat hajat di Maqam al-Imam Syafie radhiyallahu anhu terlebih dahulu moga hasil tulisan saya ini mendapat keberkatan daripada Allah taala. Jika benar-benar telah bersedia untuk dikeluarkan maka saya akan hantarkan kepada pihak PelimaMedia secepat mungkin.

Saya memohon kepada semua sahabat dan sidang pembaca untuk mendoakan segala tugasan saya berjaya dilaksanakan. Amin Ya Rabbal A’lamin.

***********

Saya suka untuk berkongsi dengan para pembaca sekalian berkenaan sebuah kisah yang saya sempat baca sebentar tadi sebelum menulis. Ya, saya suka membaca . Tetapi bukanlah semua kitab saya baca sekaligus. Saya lebih suka mengikut cara al-Imam al-Mujtahid Muhammad bin Hassan al-Syaibani rahimahullah , murid kepada al-Imam Abu Hanifah Nu’man radhiyallahu anhu. Al-Imam Zurnuji rahimahullah ( ramai yang membaca dengan Zarnuji iaitu di fathahkan huruf Zai pada nama Imam, namun baru-baru ini salah seorang sahabat saya Ustaz Syukri daripada Terengganu memberitahu kepada saya bahawa beliau pernah membaca sebuah Tesis Kedoktoran yang mana penulis tesis mengkaji hasil tulisan al-Imam Zurnuji mengatakan bahawa bacaan yang sebenar bagi nama al-Imam ialah dengan di dhammahkan Zai iaitu Zurnuji bukannya Zarnuji. Walaupun terdapat sebahagian ulama yang membaca dengan Zarnuji iaitu difathahkan Zai, maka tidaklah kita katakan bahawa mereka salah, Cuma sebaiknya mengambil kepada sandaran tempat asal al-Imam iaitu daripada sebuah perkampungan yang bernama Zurnuj. Jazakallah kepada al-Fadhil Ust Syukri Nazar atas maklumat tersebut).

Kembali kepada apa yang ingin saya sampaikan .

Al-Imam Zurnuji pernah menyebutkan bahawa al-Imam Muhammad bin Hassan al-Syaibani rahimahullah punya sikap yang cukup menarik ketika membaca. Antara waktu bacaan bagi al-Imam ialah di antara Maghrib dan Isya’. Al-Imam akan membaca sebuah kitab, dan jika beliau sudah bosan membacanya, maka beliau akan bertukar pula kepada kitab yang lain dan begitulah seterusnya.

Ya , sikap sebegini elok sekali untuk saya ikuti khususnya buat seseorang yang cepat mengantuk dan pemalas seperti saya. Sekurang-kurangnya ada tujuh hingga sepuluh buah kitab saya akan baca di dalam sehari. Malahan saya juga dapat mengikuti sunnah al-Imam Muhammad bin Hassan al-Syaibani rahimahullah.

Ketika membaca sebuah risalah ilmiyyah karangan al-Syeikh Abdul Rahman al-Sanjari hafizahullah salah seorang ulama daripada al-Ain yang bertajuk :

رسالة إلى الذى سأل أين الله ؟“

Saya tertarik dengan sebuah kisah yang berlaku di antara al-Imam Abu Hanifah dan beberapa orang Zindiq yang tidak percayakan Allah taala. Mereka ingin berdebat dengan para ulama berkenaan perkara ini. Kisahnya begini :

***********


Baghdad merupakan pusat perkembangan ilmu Islam yang cukup pesat pada ketika tersebut. Ramailah para ulama yang lahir daripada pusat ilmu ini. Semakin pesat ilmu pengetahuan, semakin ramailah orang yang jahil dan semakin ramailah golongan yang mengaku kononnya mereka juga termasuk dikalangan orang yang berilmu. Maka golongan sebegini tidak ubah seperti orang buta yang berada di bawah pancaran cahaya matahari, namun tetap menyalahkan sekeliling masih lagi gelap gelita.

Hari ini Baghdad sekali lagi menjadi kecoh. Sekumpulan manusia yang tidak beragama ( Athies) telah bertandang lagi untuk berdebat dan memalukan para ulama yang ada. Hari ini adalah penentuannya. Kesemua ulama ketika itu kebanyakkannya kelu bilamana berhujah dengan kelompok ini. Hari penentuan ini, akan disaksikan adakah kelompok ini dapat dikalahkan atau para ulama Islam akan dimalukan. Penentuan terakhir ini adalah perdebatan di antara al-Imam Hammad dan kelompok ini.

Al-Imam ketika itu berada di rumah. Masih bimbang. Bukan bimbang dikalahkan, tetapi bimbang bagaimana nasib umat Islam jika hujah yang diberikan olehnya kurang memberansangkan. Malah beliau masih teringat-ingat mimpinya semalam. Mimpi yang membimbangkan.

Tiba-tiba datang seorang pemuda yang tampan dan segak bertandang ke rumah gurunya ini. Sekadar ingin bertanya khabar dan memberikan semangat terakhir buat gurunya.Pancaran resah di wajah sang guru jelas kelihatan. Murid yang penuh beradab ini bertanya kepada gurunya yang dicintai.

“ Wahai Tuan Guru, kenapa aku melihat wajahmu agak berlainan dengan hari-hari sebelumnya? Tuan Guru jangan bimbang, kami semua yakin dengan ilmu yang dimiliki oleh Tuan Guru mampu untuk mengalahkan mereka-mereka itu”

Tuan Guru menjawab “ Bukan itu yang aku bimbangkan, apa yang aku fikirkan sekarang adalah maksud bagi mimpiku semalam.”

Pemuda itu bertanya kembali “ Bolehkah Tuan Guru ceritakan kepadaku, apakah mimpi yang mengganggu fikiranmu sekarang?”

Tuan Guru menarik nafas sedalam-dalamnya lalu memulakan bicara : “ Semalam aku mendapat satu mimpi yang benar-benar merunsingkan fikiranku. Aku bermimpi berada di dalam sebuah kebun yang dipenuhi pohonan hijau. Tiba-tiba datang seekor babi besar lalu memakan keseluruhan pokok yang terdapat di dalam kebun itu. Sehinggalah tinggal pohon yang paling besar di dalam kebun itu. Ketika babi besar itu datang untuk memakan pohon besar tersebut, tiba-tiba keluar seekor harimau yang sangat gagah lalu membunuh babi besar tersebut. Adakah kamu tahu tafsirannya wahai Nu’man?”

Pemuda mulia itu bernama Nu’man bin Thaabit . Seorang lelaki yang akan menjadi tonggak kepada kemuliaan Islam kelak. Lelaki yang kelak digelar al-Imam al-A’zham Abu Hanifah al-Nu’man radhiyallahu anhu berfikir dalam dalam sebelum menjawab persoalan gurunya yang sangat disegani. Penuh rasa rendah diri, beliau lalu menjawab persoalan gurunya :

“ Izinkan aku mentafsirkannya Tuan Guru. Kebun yang engkau lihat semalam adalah gambaran kepada Baghdad ini sendiri. Manakala pohonan yang terdapat di dalamnya adalah para ulama yang meneduhkan Baghdad ini. Babi besar itu adalah orang yang akan berdebat denganmu hari ini. Dia telah berjaya menewaskan para ulama yang lain maka tinggallah satu pohon pokok yang paling besar di dalam taman tersebut iaitu Kamu wahai Tuan Guruku. Ini kerana kamu adalah ketua para ulama di Baghdad. Ketika babi itu ingin memakanmu, keluar seekor harimau yang gagah lalu membahamnya maka harimau itu adalah aku wahai Tuan Guru. Aku yang akan berdebat dengannya dan mengalahkannya nanti.”

Gembira bukan kepalang Tuan Guru bilamana mendengar ulasan daripada al-Imam Abu Hanifah. Pemuda yang bukan calang-calang orangnya.

Al-Imam Abu Hanifah yang pada ketika itu masih berumur belasan tahun lalu berkata “ Wahai Tuan Guru, jika aku tewas hari ini, maka ini tidaklah akan terlalu memalukan kerana aku hanya kanak-kanak kecil. Tetapi jika engkau ditewaskan, maka maruah Umat Islam berada dipundakmu. Maka izinkan aku untuk mengambil alih tempatmu wahai Guruku”

Al-Imam Hammad terlalu gembira mendengarnya. Allah taala lalu mencampakkan ketenangan di dalam benak sanubari al-Imam Hammad untuk memberi izin kepada al-Imam Abu Hanifah berdebat pada hari tersebut. Lalu mereka berangkat bersama-sama ke tempat perdebatan. Orang ramai sudah lama menunggu sejak awal hari lagi bagi menyaksikan satu berdebatan agung yang menjadi sebuah sejarah yang tidak mampu dilupakan sehingga sekarang.

*********


Kisah ini akan saya sambung pada masa akan datang. Saya menggabungkan kisah ini hasil bacaan daripada Kitab al-Imam Nawawi al-Bantani dan hasil nukilan daripada kitab Zahrul Adab karangan al-Imam al-Suyuti rahimahumallah. Saya mengolahnya dengan menggunakan bahasa pada zaman sekarang agar mudah untuk para pembaca menggambarkan seolah-olah berada di tempat perdebatan pada ketika itu .

Lihat nanti bagaimana al-Imam Abu Hanifah radhiyallahu anhu menggunakan ilmu kalam dan akal bagaimana untuk menolak hujah golongan Athies ini. Bukan seperti sebahagian orang yang kononnya tidak mahu mempelajari ilmu kalam kerana menyesatkan sedang hakikatnya tidak mahu mengaku bahawa diri sendiri tidak mampu memahami serta malas bersama para ulama Murabbi.

Semoga semua sahabat dapat menanti dengan sabar kisahnya yang akan datang. Malah perdebatan ini juga terdapat banyak riwayatnya. Maka saya akan ceritakan dengan bacaan yang saya perolehi.

Mohd Nazrul Abd Nasir,
Penuntut Ilmu Masjid al-Azhar al-Syariff & Masjid al-Asyraff,
Rumah Kedah Transit Hayyu 7,
Kaherah Mesir

8 ulasan:

  1. بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
    السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

    Semoga Allah menunjukki kita jalan kebenaran. Semoga kita sentiasa didalam limpahan Nur RahmatNya. Semoga Kita tidak mati melainkan didalam Iman dan Islam.
    Ustaz Nazrul, buat suspen dan mendidik diri ini menjadi penyabar pula sebab nak tahu kisah selanjutnya.Semoga ustaz diberikan keredhaan, kerahmatan oleh Allah SWT.

    BalasPadam
  2. Waalaikumussalam Ummi.. Amin Ya Rabbal A'lamin, berkat doa Ummi..

    :) Saja nak biarkan pembaca tertunggu-tunggu kisah selanjutnya :) nantikan ye

    BalasPadam
  3. Assalamualaikum..

    Saya pernah baca kisah ini :D
    Walaupun dah pernah baca tapi rasa nak baca lagi dan nak tahu sambungan cerita ni.

    BalasPadam
  4. Salam..akhi.

    nak tanya, rasanya cerita ini juga ditulis oleh Sheikh Zainal Abidin Muhammad al-Fatani dalam kitabnya Aqidah al-Najin fi 'Ilm Usuliddin.

    jadi, mungkinkan tokoh di sini bukan sheikh Nawawi Bentani atau digelar Imam Nawawi Thani tp tokoh yg disebut di atas?

    atau mereka ada nama kitab yg sama?
    nak tanya tu je (^^

    BaraKallah fik
    from ex-yayasan khairiyyah (^^

    BalasPadam
  5. Salam Akhi .. syukran atas pembetulan.. ana tersilap tulis nama kitab.. ana baca kitab Syeikh Nawawi Bantani tapi tersilap tulis nama kitab Aqidatul Najin.. Syukran atas pembetulan..

    :) Kebenaran lebih berhak diikuti ..

    BalasPadam
  6. Ustadz Nazrul,
    Assalamu'alaikum wr wb.

    Jazaakumullah khairal jazaa' diatas keterangan enta yang sangat jelas mengenai Azar.

    Ana sendiri, telah mendapat ilmu yang baru dari enta. Mudah-mudahan Allah SWT memberkati ilmu yang enta telah dapat dari guru-guru enta.

    Saudara enta dalam perjuangan,
    MUHAMMAD MAZDIUKY BIN MD ISHAK
    Pengarah Tradisi Halaqah
    Singapura.

    PS Ana ada kirim emel melalui yahoo emel enta. Enta terima?

    BalasPadam
  7. Salam Ustaz Muhammad Mazdiuky.. Syukran jazilan..

    Maaf, saya tak terima lagi emel daripada Ustaz.. Mungkin ada masalah.. harap Tuan dapat sampaikan sekali lagi mesej tersebut..

    Syukran Ust..

    Salam Perjuangan..

    Wassalam..

    BalasPadam
  8. Al-Akh Ustadz Nazrul.
    Wa'alaikumussalam wr wb.

    Terima kasih diatas reply enta. Ana telah kirimkan sekali lagi emel ana yang lalu untuk perhatian enta melalui emel tradihalaqah@singnet.com.sg.

    Ana faham enta sibuk di dalam urusan pengajian dan mengajar tetapi ana harap ana boleh mendapat taujah dari enta dalam perkara ini.

    Berkaitan dengan emel ana ini, enta akan lihat ada sebuah emel dari IslamIQ. IslamIQ ini adalah website yang dikendalikan oleh beberapa "tholibul 'ilm" warga S'pura yang bertugas di Dubai. Malangnya, di dalam website mereka, banyak artikel-artikelnya mencemuh dan menghina ulama' ahlus sunnah wal jamaah S'pura.

    Ana berharap, jika tiada menyusahkan enta, di dalam waktu lapang enta, dapatlah jenguk2 website mereka setelah itu memberi pandangan enta.

    Ana mohon maaf jika permohonan ini menganggu urusan enta seharian. Tetapi harapan ana, dengan penjelasan yang mudah dan terperinci, jemaah biasa tidak terikut dengan da'iyah mereka.

    Wassalam.

    Saudara enta dalam perjuangan,
    MUHAMMAD MAZDIUKY BIN MD ISHAK
    Pengarah Tradisi Halaqah
    Singapura.

    BalasPadam

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...