Selasa, 29 Disember 2009

Benarkah Orang Yang Bersifat Begini Layak Digelar Wali Allah??!

Datang seorang lelaki kepada al-Imam Abu Hanifah Nu’man bin Thaabit radhiyallahu anhu lalu bertanya :

Wahai Imam, apa pendapat kamu terhadap seorang yang tidak langsung mengharapkan syurga, tidak takut kepada neraka, tidak takut kepada Allah taala, suka memakan bangkai, menunaikan solat tanpa rukuk dan sujud, bersaksi terhadap perkara yang dia sendiri tidak saksikannya, membenci perkara yang haq,suka kepada fitnah,menjauhkan diri daripada rahmat, malah membenarkan perkataan Yahudi dan Nasrani???!!

Al-Imam Abu Hanifah tersenyum sambil berpaling kepada murid-muridnya seraya bertanya:

Apa pendapat kamu semua terhadap apa yang ditanyakan oleh saudara kita ini?

Para murid al-Imam Abu Hanifah radhiyallahu anhum menjawab :

Tentu sekali orang yang bersifat seperti yang disebutkan adalah memiliki sifat seorang kafir!!

Sekali lagi al-Imam Abu Hanifah tersenyum lalu menjawab :

Sesungguhnya lelaki yang bersifat seperti itu adalah salah seorang daripada wali Allah taala

Murid-murid al-Imam Abu Hanifah radhiyallahu anhu terkejut lalu bertanya :

Wahai Tuan Guru, bagaimana boleh Tuan Guru katakan bahawa lelaki itu adalah wali Allah??

Al-Imam Abu Hanifah menjawab:

“Lelaki itu adalah orang yang tidak mengharapkan syurga,tetapi dia mengharapkan Tuhan pemilik Syurga, dia tidak takut neraka tetapi dia takutkan Tuhan pemilik neraka, dia tidak takut kepada Allah bermaksud dia tidak takut Allah akan melakukan kejahatan padanya, dia suka memakan bangkai bermaksud dia suka memakan ikan, ini kerana Baginda sallallahu alaihi wasallam bersabda :

هو طهور ماءه الحل ميتته

Maksudnya : “Air laut adalah air yang suci lagi menyucikan manakala bangkai (ikan) yang daripadanya adalah halal untuk dimakan.

Manakala dia solat tanpa rukuk dan sujud pula bermaksud dia menunaikan solat jenazah, atau menunaikan selawat ke atas Nabi sallallahu alaihi wasallam. Sudah tentu tiada rukuk dan sujud jika menunaikan selawat dan solat jenazah. Manakala maksud dia bersaksi terhadap perkara yang dia sendiri tidak saksikan bermaksud, dia bersaksi bahawa Allah taala itu adalah tuhan semesta alam dan Nabi Muhammad adalah pesuruh Allah, sudah tentu kedua-duanya tidak pernah disaksikan olehnya dengan mata kepalanya di dunia ini.

Manakala maksud dia membenci perkara yang haq adalah bermaksud dia membenci mati hanya kerana untuk terus melakukan ibadah kepadaNya.Ini kerana mati adalah perkara yang haq(sudah tentu akan berlaku). Manakala maksud dia menyukai fitnah ialah dia menyukai anak-anak dan harta . Manakala maksud dia menjauhkan diri daripada rahmat ialah dia menjauhkan diri daripada hujan.Ini kerana hujan juga disebutkan rahmat oleh Allah taala.

Manakala maksud dia membenarkan kata-kata Yahudi dan Nasrani ialah dia membenarkan kata-kata mereka di dalam al-Quran di dalam surah al-Baqarah ayat 113:

وَقَالَتِ الْيَهُودُ لَيْسَتِ النَّصَارَى عَلَى شَيْءٍ وَقَالَتِ النَّصَارَى لَيْسَتِ الْيَهُودُ عَلَى شَيْءٍ وَهُمْ يَتْلُونَ الْكِتَابَ كَذَلِكَ قَالَ الَّذِينَ لَا يَعْلَمُونَ مِثْلَ قَوْلِهِمْ فَاللَّهُ يَحْكُمُ بَيْنَهُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ

113. dan orang-orang Yahudi berkata: “Orang-orang Nasrani itu tidak mempunyai sesuatu pegangan (ugama Yang benar)”; dan orang-orang Nasrani pula berkata: “Orang-orang Yahudi tidak mempunyai sesuatu pegangan (ugama Yang benar)”; padahal mereka membaca Kitab suci masing-masing (Taurat dan Injil). Demikian juga orang-orang (musyrik dari kaum Jahiliyah) Yang tidak berilmu pengetahuan, mengatakan seperti Yang dikatakan oleh mereka itu. Maka Allah akan menghukum (mengadili) di antara mereka pada hari kiamat mengenai apa Yang mereka berselisihan padanya.

Sumber : Akhbar Aqidati keluaran 892. Mukasurat 12 bertarikh 29 Disember 2009 bersamaan 12 Muharram 1431 H.Saya olah sedikit bahasanya agar mudah difahami oleh pembaca.

*********

Nah, cuba kita perhatikan dan telitikan bagaimana jawapan seorang Imam yang terkenal dengan wara’ dan taqwanya. Berbeza dengan sikap kita sekarang. Zaman sekarang , cepat sangat kita menghukum seseorang itu sesat, ahli bid’ah dan sebagainya tanpa langsung ada baik sangka di dalam jiwa kita terhadap seseorang tersebut.

Kita mengatakan bahawa seseorang itu ahli Bid’ah, suka menyesatkan orang.. Namun kita langsung tidak bimbang jika perkara itu hakikatnya langsung bertentangan dengan apa yang ada di dalam pengetahuan kita. Bimbang yang mengatakan itu sendiri hakikat tidak sedar bahawa dirinya juga sedang melakukan bid’ah terbesar iaitu pecah belah di dalam ummah.

Fikir-fikirkanlah.. Kita sering mengajak orang untuk mengikut ulama Salaf. Namun cuba kembali koreksi diri kita sejauh mana kita mengikut akhlak seperti para ulama salaf terdahulu bilamana bermuamalah dengan orang lain???..

Mohd Nazrul Abd Nasir,
Cyber Cafe Hayyu 10,
Kaherah Mesir..

Rabu, 16 Disember 2009

BACA DAN FAHAMI DENGAN BAIK SEBELUM CEPAT MEMBERIKAN KOMENTAR....

Sedih melihat apa yang berlaku sejak akhir-akhir ini. Segalanya saya serahkan kepada Allah taala dan saya bertawassul kepada Baginda sallallahu alaihi wasallam moga diberikan kekuatan sepertimana Baginda sallallahu alaihi wasallam menerima ujian ketika berdakwah terdahulu.

Jika dibandingkan dengan ujian yang Baginda sallallahu alaihi wasallam , para anbiya alaihimussolatu wassalam serta para salafussoleh terdahulu maka ternyata apa yang saya hadapi ini terlalu sedikit. Langsung tidak dapat dibandingkan dengan setitik peluh Baginda sallallahu alaihi wasallam yang cukup mulia.

Mereka dibunuh,dicincang, dikhianati. Saya cuma dicaci, dimaki dan dihambur kata-kata kesat. Apalah sangat jika dibandingkan. Terlalu jauh. Namun saya bersyukur, sahabat-sahabat seperjuangan di Perlembahan Nabi Allah Musa alaihissalam ini serta sahabat-sahabat daripada Tanah Air selalu memberikan semangat kepada kita untuk terus menegakkan kebenaran.

Sedikit sangat yang membenci, namun masih ramai yang memberikan sokongan.

SETIAP ZAMAN PUNYA FITNAH TERSENDIRI

Ya, setiap zaman punya fitnahnya tersendiri. Zaman Saidina Abu Bakr al-Siddiq radhiyallahu anhu menghadapi golongan murtad serta golongan yang tidak mahu membayar zakat. Berat terpaksa untuk berhadapan dengan seseorang yang pernah berjuang bersama-sama pada zaman Baginda sallallahu alaihi wasallam masih hidup namun segalanya ketentuan Allah taala jua. Akhirnya Khalifah Rasulullah yang mulia ini wafat diracun oleh golongan yang tidak senangkan kebaikan.

Saidina Umar al-Faruq, Khalifah yang penuh dengan kebaikan dan keadilan. Sehingga Baginda sallallahu alaihi wasallam menyebutkan bahawa “ jika ada lagi Nabi selepasku maka Umarlah yang layak untuk menjadi Nabi. Namun, Allah taala telah menetapkan bahawa tiada lagi Nabi selepas kewafatanku”. Juga dibunuh dengan kejam sekali oleh Abu Lu’luah al-Majusi laknatullah. Tujuh belas tikaman dibelakang Saidina Umar al-Faruq radhiyallahu anhu dengan menggunakan serampang dua mata bukanlah sesuatu yang ringan.

Saidina Uthman Zunnurain radhiyallahu anhu, Khalifah yang ketiga. Sahabat Baginda sallallahu alaihi wasallam yang sangat lemah lembut. Rupanya kelembutan di dalam berdakwah juga tetap tidak disenangi oleh sekelompok manusia yang busuk hatinya. Beliau yang mana Rasulullah sallallahu alaihi wasallam menyebutkan bahawa para Malaikat Allah juga malu dengannya. Namun tangan-tangan kotor yang memancungnya ketika membaca ayat-ayat suci al-Quran lansung tidak malu untuk berbuat sedemikian. Malah mereka tidak malu untuk berhadapan dengan Baginda sallallahu alaihi wasallam kelak.

Saidina Ali karramallahu wajhah wa alaihi al-salam, seorang sahabat yang sanggup susah senang dengan Baginda sallallahu alaihi wasallam juga turut dibenci malah dimusuhi sehingga akhirnya berakhir dengan pembunuhan keatasnya dengan kepala Saidina Ali ditetak sehingga tetakan tersebut menghampiri otaknya yang menyebabkan kewafatan beliau.

Ini pada zaman sahabat. Saidina Hassan al-Basri rahimahullah terpaksa berhadapan dengan seorang gabenor kejam , Hajjaj Yusuf al-Thaqafi. Dikejar, diburu untuk dipancung. Namun Allah taala menyelamatkan ulama besar ini. Diburu hanya kerana ingin mempertahankan kebenaran.

Saidina Said bin Jubair rahimahullah , seorang ulama besat Tabi’en, juga pernah dicaci maki oleh Hajjaj Yusuf al-Thaqafi. Malah dicaci maki ibu Saidina Said bin Jubair dihadapan mata kepalannya sendiri. Ini berlaku sebelum beliau disembelih oleh Hajjaj Yusuf. Malah Hajjaj meminta untuk Saidina Said bin Jubair rahimahullah memilih cara bagaimana untuk beliau mahu mati. Maka dijawab oleh beliau :

“Bunuhlah dengan apa cara sekalipun yang engkau suka wahai Hajjaj, Allah taala akan membalas kembali kepadamu sepertimana cara yang engkau gunakan kepadaku ketika membunuhku di akhirat kelak.”

Ketika diberikan arahan untuk dibunuh maka Saidina Said tertawa. Hajjaj pelik melihat keadaan sedemikian. Lalu bertanya : “ Bukankah kamu tidak pernah tertawa selama 40 tahun, tetapi mengapa sekarang engaku tertawa?”

Saidina Said menjawab : “ Ya benar aku tidak pernah tertawa selama 40 tahun, namun hari ini aku tertawa kerana lucu dengan sikap angkuhmu dengan hukum Allah namun Allah taala masih berlembut denganmu”

*******

Betapa ramai yang mulutnya lancang memaki hamun, mencerca namun terkadang diri tidak sedar betapa Allah taala masih menyayanginya, memberikan peluang hidup untuk bertaubat memohon keampunan. Namun berapa ramai yang sedar perkara ini?? Ramai yang lalai.

Al-Imam Ahmad rahimahullah disebat hanya semata-mata kerana mempertahankan bahawa al-Quran bukanlah makhluk tetapi kalam Allah yang Qadim. Mulianya sikap beliau sehinggakan al-Imam Syafie yang pada ketika itu berada di Iraq, bermimpi bertemu Rasulullah sallallahu alaihi wasallam . Malah Rasulullah sallallahu alaihi wasallam menyuruh untuk al-Imam Syafie rahimahullah menyampaikan salam kepada al-Imam Ahmad di atas pengorbanan yang dilakukan dan khabar gembira bahawa al-Imam Ahmad akan masuk syurga Allah taala dengan ujian yang menimpanya. Al-Imam Ahmad rahimahullah yang gembira dengan berita tersebut memberikan jubahnya kepada al-Imam Syafie , yang mana jubah itu direndam oleh Imam Syafie dan diberi minum air rendaman tersebut kepada sesiapa yang datang meminta ubat kepada al-Imam Syafie rahimahullah.

Al-Imam Isa bin Dinar rahimahullah yang wafat pada tahun 212 H, dipenjara 20 tahun hanya semata-mata mempertahankan sepertimana apa yang dipertahankan oleh al-Imam Ahmad bin Hanbal rahimahullah.

*****

Ini contoh-contoh kesusahan dan keperitan yang dihadapi oleh para ulama terdahulu. Jika dibandingkan dengan apa yang dihadapi sekarang oleh kita, terlalu jauh malah tidak layak untuk dibandingkan.

FITNAH SEKARANG FITNAH KEJAHILAN

Ubat jahil adalah ilmu. Ilmu yang benar akan diperoleh oleh hati yang benar-benar inginkan kebenaran dan ikhlas.

Zaman ini, zaman ayat-ayat Mutasyabihat digunakan kembali untuk mengelirukan masyarakat.
Malah al-Imam Ibn Taimiyah rahimahullah sendiri telah bertaubat diatas apa yang ditimbulkannya satu ketika dahulu berkenaan perkara ini. Ini seperti yang disebutkan oleh al-Imam al-Allamah Salamah al-Qudhoi’e di dalam kitabnya yang berjudul “ al-Barahin al-Saati’ah” yang mana beliau sendiri menukilkan kisah taubat ini daripada kitab Tarikh karangan al-Imam Salahuddin al-Kutubi rahimahullah pada juzuk 20.

Ini juga disebutkan oleh al-Imam Zahid al-Kauthari rahimahullah yang mana beliau sendiri melihat tanda tangan Sultan Nasir al-Qalawun serta tulisan tangan Ibn Thulun rahimahumullah berkenaan perkara tersebut.

Ini diantara isi surat al-Imam Ibn Taimiyah rahimahullah :

“ Segala puji bagi Allah taala… Apa yang aku telah pegangi selama ini iaitu dengan mengatakan bahawa Allah taala duduk di atas Arasy , bukanlah seperti mana apa yang difahami dengan zahirnya, pegangan aku yang mengatakan bahawa Allah taala turun ke langit dunia juga bukanlah seperti zahirnya, Segala pegangan yang bertentangan dengan apa yang aku lafazkan sekarang adalah batil , dan setiap tulisanku dan perkataanku yang bertentangan dengan pengakuanku sekarang adalah batil ataupun apa-apa perkara yang aku sandarkan perkara yang tidak layak kepada Allah maka aku berlepas diri daripadanya. Mulai sekarang aku bertaubat dan berlepas diri daripada apa yang aku pegangi selama ini yang mana bertentangan dengan pengakuanku sekarang”

Surat ini ditulis oleh al-Imam Ibn Taimiyah rahimahullah pada hari Khamis ,16 Rabi’ul Akhir tahun 707 H.

Malah beliau mengakui bahawa segala yang ditulis di atas adalah dengan kehendaknya sendiri serta tidak dipaksa oleh sesiapa pun.

Di atas surat tersebut, terdapat pengiktirafan daripada al-Qadhi Qudhah al-Imam Badruddin Ibn Jamaah rahimahullah . al-Imam Abdul Ghani bin Muhammad al-Hanbali rahimahullah juga mengiktiraf pengakuan tersebut.

Antara ulama lain yang menyaksikan perkara tersebut malah terdapat tandatangan mereka ialah al-Imam Abdul Aziz al-Namrawi rahimahullah, al-Imam Ali bin Muhammad bin Khattab al-Baji al-Syafie rahimahullah, al-Imam Al-Hassan bin Ahmad bin Muhammad al-Husaini rahimahullah , al-Imam Abdullah Ibn Jamaah rahimahullah dan al-Imam Muhammad bin Uthman al-Buriji rahimahullah. Sila Rujuk al-Barahin al-Saati’ah oleh al-Imam Salamah al-Qudho’ie mukasurat 194-199.

******

Ulama salaf dan khalaf tiada masalah pada ayat-ayat Mutasyabihat ini. Mereka menyerahkan maksudnya kepada Allah taala. Tanpa mengatakan bahawa “ Allah taala bertangan , namun tanganNya tidak seperti makhluk”. Tiada seorang pun ulama salaf yang mengatakan sedemikian. Malah para ulama salaf mengatakan bahawa “ Kami beriman dengan ayat-ayat Mutasyabihat tersebut, namun maksudnya kami serahkan kepada Allah taala tanpa sesekali menyamakan Allah taala dengan makhluk”

Para ulama Khalaf mentakwilkan , mengapa??? Kerana fitnah pada zaman tersebut berleluasa. Golongan awam yang tiada kelayakan malah berani mengatakan bahawa Allah taala berjisim dan punya tangan dan kaki dan lain-lain. Maka takwilan yang dilakukan hanya untuk menyelamatkan aqidah umat Islam.

Tidak terlintas dihati para ulama Islam ketika tersebut untuk mengkafirkan sesiapa sahaja sesuka hati. Malah mereka lebih untuk menyelamatkan daripada memusnahkan. Berbeza dengan zaman sekarang, zaman menghujum. Malah mencaci maki bilamana kekeringan hujah dan ilmu.

****

NASIHAT SAHABAT YANG PRIHATIN

Sahabat saya ada yang memberikan cadangan kepada saya agar tidak lagi menulis berkenaan isu-isu sebegini. Beliau malah bimbang saya akan dicaci maki lagi. Beliau menyarankan agar saya mengambil jalan Saidina Ibn Umar dan Abu Zar al-Ghifari radhiyallahu anhuma ketikamana peperangan Siffin yang mana mereka berdua tidak menyertai bimbang fitnah semakin berleluasa. Saya terharu dengan perhatiannya kepada saya, namun jawapan yang saya berikan kepada sahabat saya ini ialah :

“ Mungkin saya tidak memilih jalan seperti Saidina Ibn Umar dan Abu Zar al-Ghifari radhiyallahu anhu yang bersikap mendiamkan diri, namun saya memilih jalan Saidina Ali karramallahu wajhah wa alaihi al-salam yang tidak mahu melihat akan berlaku lebih banyak salah faham jika mengambil sikap berdiam diri.”

NASIHAT SAYA KEPADA SEMUA PEMBACA

Jika tidak suka dengan apa yang kami pelajari di al-Azhar al-Syarif, maka jangan lagi menjenguk ke laman saya ini. Lawatilah laman-laman lain yang menyokong pendapat kalian. Malah , kami juga tidak berkeinginan untuk menjengah masuk ke laman-laman milik kamu untuk membuat kekacauan sepertimana yang kamu lakukan di laman-laman orang yang tidak sependapat dengan kamu. Saya menulis adalah untuk sahabat yang inginkan kefahaman dan kebaikan.

Saya hanya melayan sahabat-sahabat yang inginkan kebenaran dan kebaikan serta yang memberikan nasihat atas dasar kebaikan bukan untuk memaksa-maksa mengikuti mereka. Kamu mencanangkan bahawa perbezaan pendapat itu baik, namun kamu sebenarnya bukan meraikan perbezaan malah ingin memaksa orang lain megikuti pendapat kamu, kononnya orang lain sesat hanya kamu yang benar.

Saya harapkan sangat-sangat, golongan-golongan sebegini tidak lagi menjengah ke laman saya jika kekacauan yang kamu semua inginkan. Saya hanya menjemput sahabat-sahabat yang punya pandangan luas dan berlapang dada di dalam perbincangan untuk bersama-sama mempertahankan kebaikan dan bertolong menolong melakukan kebajikan.

Beradab sopanlah. Baca dan fahami dengan baik. Adakah saya mencaci maki dan mencerca kamu di dalam perkataan saya??

Semoga Allah taala memberikan petunjuk dan hidayah kepada kita semua.amin.

MOHD NAZRUL ABD NASIR,
PENUNTUT MASJID AL-AZHAR AL-SYARIF DAN MASJID AL-ASYRAFF,
CAFE KUALA LUMPUR,
KAHERAH, MESIR

Khamis, 10 Disember 2009

Kalau PHD Jadi Ukuran, Lebih Baik Setuju Dengan Ulama Syiah Di Iran..

Sudah lama tidak menulis di dalam laman saya ini. Memang saya akui tahun ini agak sibuk berbanding tahun sebelum ini. Kelas pengajian, kerja-kerja persatuan dan masa untuk saya menulis agak terbatas. Namun itu bukannya alasan untuk menafikan bahawa penulisan melalui internet juga merupakan satu wasilah utama untuk menyampaikan dakwah yang tidak boleh untuk dipandang ringan. Malah tertarik ketika membaca Akhbar al-Liwa’ al-Islami bilangan ke 1454 yang bertarikh 16 Zulhijjah 1430 Hijriyah bersamaan 3 Disember 2009 yang mana memuatkan pendapat dan saranan para ulama al-Azhar al-Syarif untuk menggunakan ruang internet sebagai salah satu medium dakwah. Malah mereka mengatakan bahawa ini adalah salah satu cabang jihad yang perlu diambil perhatian oleh semua pihak termasuk para ulama. Al-Syeikh Dr Muhammad Abu Lailah , salah seorang ahli Majlis Penyelidikan Islam Mesir dan Pensyarah Fakulti Pengajian Islam al-Azhar al-Syarif mengatakan bahawa sudah menjadi kewajipan pada zaman sekarang untuk menyusun dan membina generasi mujahid di dalam bidang elektronik ini.

Alhamdulillah, Moga Allah taala memasukkan saya dan sahabat-sahabat semua di dalam generasi pelapis perjuangan tersebut aminn.

Tapi bilamana membaca ruangan sembang yang saya sediakan disebelah ini, hati ini kadang-kadang tertawa melihat sebahagian manusia yang mana mereka ini merasakan bahawa diri mereka sahaja yang benar malah tanpa segan silu mengeluarkan istilah-istilah yang mereka sendiri keliru penggunaannya. Digunakan istilah “kritikan” untuk sesuatu yang bermaksud kasar dan kurang adab. Malah cuba untuk menggunakan istilah “nasihat” supaya nampak lebih molek.

Pokok masalahnya adalah satu sahaja. Bilamana orang yang mereka sanjung dikritik dan ditegur maka mulalah melenting dan mencari-cari apa perkara yang boleh untuk kami hujum kembali peribadi si penulis ini. Bilamana saya dan sahabat-sahabat membaca apa yang mereka tulis dan kononnya menjawab penulisan yang saya tulis ini , terus terang saya katakan bahawa tiada apa-apa hujah sebenarnya yang dikeluarkan. Cuma tuduhan-tuduhan seperti “ taasub” dan istilah-istilah sebegitulah yang digunakan berulang-ulang kali.Rujuk kembali tulisan saya apakah yang dimaksudkan dengan taasub yang sebenar. Jangan hanya pandai guna istilah namun tidak tahu maksud sebenarnya. Nanti jelas pekung di dada.

Oleh sebab itulah saya pernah menulis sebelum ini permasalahan “salah faham dan salah guna istilah” yang berleluasa sekarang. Bilamana kita mengkritik dan menegur maka ini dikatakan tidak seperti memberi nasihat. Tetapi bilamana , “Guru” mereka yang cukup mereka sanjung itu mengkritik para ulama yang muktabar, maka perkataan mengkritik tersebut terus ditukar menjadi satu penilaian ilmiyah dan kalimah-kalimah “ ulama tidak ma’sum” mula kedengaran di sana sini.

BELAJAR TAK HABIS JANGAN PANDAI KRITIK ORANG LAIN

Ini salah satu bahasa yang digunakan. Cukup menarik. Namun terselit kejahilan.Inikah bahasa orang-orang yang “sudah belajar habis”??

Saya mengakui, pemikiran masyarakat sekarang yang lebih meletakkan bahawa pangkat dan kelulusan itu lebih utama berbanding ilmu sebenar sudah semakin membarah.

Saya tidak menafikan bahawa pangkat dan kelulusan itu penting pada zaman sekarang. Namun jangan dijadikan sandaran utama untuk menilai seseorang. Jangan disangka semua yang mempunyai pangkat kedoktoran itu sudah menggunung ilmunya kalau sekadar tesisnya telah dinilai dan disemak oleh 3 atau 4 orang doktor yang lain bagi meletakkan sesuatu pangkat. Malah bukanlah semua bidang ilmu dibahaskan, cuma tajuk tertentu yang dipilih.

Kalau begitu, saya juga ingin membandingkan dengan karya al-Imam Syamsuddin al-Ramli rahimahullah yang telah mengarang kitab Nihayatul Muhtaj yang telah disemak hampir 400 orang ulama terkemuka pada zaman tersebut. Mana nilai doktor sekarang jika dibandingkan dengan nilai karangan para ulama terdahulu??

Risalah Doktor yang ditulis pula terkadang tidak memakan masa yang lama untuk penilaiannya, mungkin selama 3 sehingga 4 tahun sahaja maka sudah cukup untuk mendapat gelar Doktor PHD. Mana nilainya jika dibandingkan dengan karya yang ditulis oleh al-Imam al-Bukhari rahimahullah yang telah menyusun Sahih al-Bukhari selama hampir 16 tahun barulah dikeluarkan. Al-Imam Malik bin Anas rahimahullah , menyusun kitab al-Muwatta’ juga memakan masa selama 16 tahun. Al-Imam Ahmad Ibn Hanbal rahimahullah mengelilingi dunia dua kali semasa penyusunan kitab Musnadnya dilakukan.Setelah dua kali mengelilingi dunia , barulah kitabnya dikeluarkan. Ini seperti yang diceritakan oleh al-Imam Ibn Jauzi rahimahullah di dalam kitabnya al-Saidu al-Khatir. Mana nilainya risalah PHD yang ditulis jika dibandingkan dengan karangan ulama terdahulu??

Sebab itulah saya katakan, jangan suka membandingkan. Jika membandingkan maka jelas nampak kejahilan kita dalam berbicara.

Perkataan “ tunggu habis belajar dahulu baru boleh berbicara” juga satu perkara yang perlu dinilai semula. Persoalan saya, bilakah akan “habis belajar” ?

Adakah golongan yang menilai habis belajar tersebut dengan sekadar tahun-tahun di Kuliyyah dan sekadar habiskan sejumlah kitab untuk mengatakan bahawa orang tersebut sudah habis belajar??

Guru Kami yang mulia al-Allamah Dr Yusri Rusydi hafizahullah mengatakan bahawa :

“ Ilmu sebenar adalah nur yang terpancar daripada huruf-huruf di dalam kitab. Ilmu sebenar adalah ilmu yang diamalkan dan padanya mengeluarkan natijah taqwa kepada Allah taala”.

Adakah golongan sebegini ingin menafikan kalam Baginda sallallahu alaihi wasallam yang bersabda :

بلغوا عنى ولو آية

Maksudnya : Sampaikanlah apa yang kamu dapat daripadaku walaupun satu ayat.

Baginda tidak menyebutkan pula pada ketika tersebut bahawa “ bila sudah habis belajar” ,mendapat Degree atau pangkat tertentu barulah sampaikan ilmu. Malah hadis ini umum. Golongan sebegini , kalau tidak kena dengan kehendak mereka maka mereka akan katakan bahawa hadis ini punya pengkhususan pada golongan tertentu. Bukan kepada semua golongan. Nabi sallallahu alaihi wasallam menyebutkan perkara ini ketika Hajjatul Wada’ (Haji Perpisahan) di hadapan sahabat Baginda ridwanullah alaihim ajma’in. Malah ketika tersebut, ada sahabat yang baru sahaja memeluk Islam. Tidak pula Baginda meletakkan khusus untuk golongan tertentu menyampaikan ilmu.

Apa yang penting ialah benar atau tidak penyampaian tersebut. Jika tidak benar tunjukkan tempatnya. Jangan sekadar menuduh mengatakan bahawa “ ini sesat” , “ini bid’ah” dan lain-lain ayat untuk melepaskan diri.

Kita tidak akan mengkritik jika penyampaiannya benar menurut jumhur. Namun jika sengaja mencari jalan masyhur dengan memilih pendapat bertentangan dengan jumhur maka jangan salahkan orang ramai yang menolaknya. Koreksi semula diri sendiri kenapa kita ditempelak??

Saya hargai perhatian golongan sebegini. Namun saya ingin berpesan sekali lagi. Berhujahlah dengan fakta dan ilmu yang jelas. Jangan berbasa-basi. Jangan penuhkan ruangan sembang tersebut dengan nafsu yang dianggap iman.

Kalau PHD yang menjadi ukuran ilmu seseorang, sebaiknya para ulama Syiah di Iran lebih utama untuk kamu semua jadikan ikon kerana untuk mendapat gelar Ayatullah kita melihat ada di antara mereka yang punya PHD sehingga 3-5 dan punya Master juga dalam jumlah yang sama. Bayangkan seorang Ayatullah punya 3-5 PHD?? Sebab itulah saya mengatakan PHD bukanlah menentukan seseorang itu benar atau tidak..

Nasihat saya , kembalilah kepada pemahaman jumhur ulama. Tinggalkan perkataan-perkataan kamu yang mengatakan bahawa " perkara ini tidak ada dalil" , " perkara ini Nabi tak buat".. Tidak lain, yang mengeluarkan kalam sebegini tanpa mengkaji kebenarannya adalah golongan yang tertipu dengan diri sendiri.. Sama-sama kita muhasabah.. Kita menyuruh orang menerima nasihat..kita juga jangan lupa untuk mendengar nasihat.. Ingat tu!!

Mohd Nazrul Abd Nasir,
Penuntut Ilmu Masjid al-Azhar al-Syariff dan Masjid al-Asyraff,
Pejabat MKKK Hayyu Sabie'
Kaherah Mesir

Rabu, 25 November 2009

Tahniah Nuqman...


Kesibukan demi kesibukan menyebabkan laman ini tidak dapat dikemaskinikan.. Saya memohon kemaafan kepada semua pihak yang sering berkunjung ke laman ini..

Semalam Saudara Hanafi Zulkifli , YDP MKKK pulang ke Malaysia, menjadikan tugas saya semakin berat..Namun segalanya diserahkan kepada Allah taala.. Semoga Saudara Hanafi selamat sampai dan dapat bertemu dengan ahli keluarga yang tercinta.. Moga semangatnya akan terus bersama kami di sini bagi menerajui Majlis Kebajikan Keluarga Kedah(MKKK) di Mesir..

Saya juga ingin memohon ampun kepada ibu dan ayah di Kampung kerana sudah lama tidak menelefon ibu dan ayah.. Rindu di hati hanya Allah taala yang tahu..

Nuqman di atas Tasik Darul Aman :)

Rasanya masih tidak terlambat untuk mengucapkan Tahniah kepada adikku yang tersayang, Nuqman bin Abd Nasir yang berjaya mendapat keputusan yang cemerlang di dalam peperiksaan UPSR baru-baru ini.. Semoga keputusan 4A 1B yang diperolehi menjadikan Nuqman seorang yang semakin dekat dengan Allah taala.. Jangan berasa cukup dengan apa yang ada.. Teruskan untuk menjadi seorang yang mampu menjadi sinar buat umat Islam seluruhnya..

Doakan semoga segala kerja saya berjalan lancar..

Wassalam..

Mohd Nazrul Abd Nasir,
Penuntut al-Azhar dan Masjid al-Asyraff,
Kaherah, Mesir

Isu Bai'ah Talak Tiga & Dr Asri... Pengorbanan atau Penghinaan??


Idul Adha memberikan seribu satu makna buat umat Islam sedunia.Hari yang mana Allah taala jadikan buat mengambil iktibar dan pengajaran. Simbol utama bagi hari mulia ini ialah “ Pengorbanan”.

Umat Islam , walau bagaimana gembira sekalipun tetap meletakkan agama di hadapannya.Tidak seperti agama-agama yang lain yang mana sering melupakan nilai murni ketika perayaan disambut. Bagi mereka , hari perayaan adalah hari untuk bersuka-ria dan berfoya-foya. Namun bagi umat Islam, perayaan adalah hari untuk mengambil iktibar. Moga kita semua termasuk di dalam kelompok umat Islam yang benar-benar menghayati perayaan ini seperti yang dituntut oleh agama Islam yang mulia.

Peristiwa pengorbanan seorang anak dan ayah yang sangat-sangat bertaqwa kepada Allah taala memberikan seribu satu pengajaran kepada kita. Pengorbanan yang jika kita nilaikan dengan apa yang kita laksanakan pada hari ini, tentu tidak mampu bagi kita untuk membandingkannya walau sekelumit jua. Jauh berbeza sama sekali.

Seolah-olah Saidina Ibrahim dan Saidina Ismail alaihima al-salam ingin mengajarkan kepada kita semua bahawa pengorbanan untuk agama perlu dilakukan tanpa rasa berbelah bahagi. Bahasa mudahnya, apa sahaja yang berkait rapat dengan kepentingan Islam, maka tidak perlu bagi seorang Muslim yang sejati merasa berat hati untuk melaksanakannya. Apa yang penting ialah setiap perbuatan yang kita ingin laksanakan atas nama Islam perlulah berlandaskan dalil yang kukuh bagi mengelakkan berlakunya sebarang kekeliruan dan kesalah fahaman terhadap agama yang mulia ini.
Justify Full
Saya tertarik untuk membahaskan beberapa isu penting sepanjang musim ini. Satu demi satu isu hangat berlaku. Terkadang perkara tersebut tidak perlu untuk dijadikan isu namun media terlalu bijak mengambil peluang sehingga benar-benar menjadikan sesuatu yang bukan isu menjadi isu. Pengaruh media memang tidak dapat dinafikan, sangat terasa kekuatannya. Sehinggakan perkara yang tidak benar akan menjadi benar hanya kerana pengaruhnya yang meluas.

ISU PERTAMA



Isu pertama ialah tentang penangkapan Dr. Asri Zainal Abidin , bekas Mufti Perlis yang memang terkenal membawa pelbagai kontroversi murahan dengan bermodalkan agama. Beliau seolah-olah hero di dalam kisah penangkapan pada ketika itu. Perbincangan dengan beberapa pihak menjadikan fikiran saya memandang perkara ini kepada pro dan kontra. Pro yang berlaku di dalam kisah penangkapan ini ialah memang saya sangat bersetuju dengan tindakan drastik yang dilaksanakan oleh pihak JAIS dengan melakukan tangkapan dan dakwaan terhadap Dr Asri. Manakala kontranya pula ialah menyebabkan media massa mengambil peluang mempopularkan Dr Asri ini sehingga menjadikan seolah-olah beliau adalah mangsa di dalam isu ini. Sikap dan pemikiran yang kurang sihat disebarkan oleh beliau dengan alasan “ Mengemudi Arus Perubahan” ternyata tidak membawa apa-apa perubahan sebenarnya. Mengemudi itu tidak salah kalau kena pada caranya. Namun persoalannya , perubahan bentuk mana yang ingin beliau ketengahkan? Adakah pemikiran bermazhab yang dianuti oleh sebahagian besar penduduk di Bumi Malaysia dan Nusantara umumnya merupakan sesuatu yang kotor dan jijik sehingga perlu dilakukan sentuhan perubahan?

Berhujah dengan mengatakan bahawa kita perlu berpegang dengan al-Quran dan Sunnah itu benar.Persoalannya, adakah para pengikut Mazhab al-Imam Syafie radhiyallahu anhu di bumi Malaysia tidak lagi berpegang dengan al-Quran dan Sunnah? Kita semua mengambil daripada al-Quran dan Sunnah, namun saya ingin bertanya kepada pengikut-pengikut Dr Asri daripada acuan fahaman yang mana kamu semua ambil? Daripada acuan fahaman al-Imam Syafie kah? Atau daripada acuan fahaman al-Imam Abu Hanifah kah? Atau Imam Malik kah? Atau Imam Ahmad ibn Hambal kah? Apa kami yang mengikuti manhaj al-Imam Syafie ini dikira tidak mengikut al-Quran dan Sunnah ? Jadi Kami semua ini mengambil daripada Bible dan Talmud? Allahu Allah. Bilamana buruk sangka sudah menular di dalam fahaman manusia , maka semua yang bercanggah dengan apa yang mereka tidak ketahui akan dianggap sesat dan salah. Semoga Allah taala memberikan hidayah kepada kita semua.

Hakikatnya, tindakan untuk mengawal selia kerosakan pemikiran berlatar belakangkan agama adalah tindakan yang telah dicadangkan oleh pihak al-Azhar al-Syarif di bawah seliaan Syeikhuna Ali Jum’ah hafizahullah , Mufti Besar kerajaan Mesir.Cadangan ini dilaksanakan tujuh bulan sebelum berita penangkapan Dr Asri di Malaysia. Maksudnya pihak al-Azhar sendiri sudah lama mengambil inisiatif sebegini bagi mengawal kebobrokan pemikiran yang disebarkan oleh kebanyakkan pihak yang berlatar belakangkan agama. Cadangan ini disokong sebulat suara oleh pihak Majlis Fatwa Mesir, al-Azhar al-Syarif dan Institusi Penyelidikan Islam Mesir. Para ulama seperti Dr Mustafa al-Syak’ah, Dr Muhammad Abu Lailah dan al-Syeikh Ali Abdul Baqi bersetuju seratus peratus dengan tindakan yang diambil oleh Fadilatul Syaikhuna Dr Ali Jum’ah hafizahullah. Malah kesemuanya mencadangkan agar diambil tindakan keras kepada sesiapa yang mengeluarkan fatwa tanpa izin daripada pihak Majlis Fatwa.

Dr Mustafa al-Syak’ah mengatakan bahawa beliau meminta agar pihak kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap sesiapa yang mengeluarkan fatwa tanpa ilmu yang benar serta tanpa mengambil izin daripada Jabatan Fatwa walaupun yang memberikan fatwa tersebut adalah pemegang Ijazah Kedoktoran.

Pemegang Ijazah Kedoktoran bukanlah sebagai satu lesen utama untuk mengatakan bahawa seseorang itu mengetahui semua perkara. Ini perlu jelas kepada semua yang mempunyai pemikiran yang matang. Namun kita tidak menafikan bahawa Ijazah Kedoktoran itu adalah merupakan wasilah. Bilamana ianya disebut wasilah maka sudah tentu tidak tepat jika ianya dijadikan kayu ukur bagi keilmuan seseorang.

Terus terang saya katakan bahawa saya tidak bersetuju dengan beberapa pimpinan yang mengambil tindakan menyelar apa yang dilakukan oleh pihak JAIS. Apa yang dilakukan oleh pihak JAIS sebenarnya mengikut saluran agama yang benar. Syeikh Dr Sobri Abdul Rauf, Pensyarah Fiqh Perbandingan di Al-Azhar al-Syarif mengatakan bahawa : “ Terdapat satu permasalahan yang masyhur di dalam mazhab Abu Hanifah iaitu (( Dibenarkan kepada pihak berkuasa untuk menangkap Mufti @ orang yang mengeluarkan fatwa tanpa ilmu atau menyebarkan fahaman yang bimbang menyesatkan orang ramai)).”Malah beliau menegaskan bahawa fatwa bukanlah satu perkara yang boleh dibuka sewenang-wenangnya kepada semua.

-Rujuk Sout al-Azhar No. 491 bertarikh 25 Safar 1430 bersamaan 20 Februari 2009-

Isu Tauliah ini hanyalah sedikit, namun isu sebenar Dr Asri adalah sikapnya terhadap para ulama muktabar yang lain yang dipersendakan olehnya.Tidak hairanlah banyak NGO yang menyokong tindakan JAIS melakukan tangkapan terhadapnya.

ISU KEDUA


Selesai isu pertama. Masuk pula isu kedua iaitu Isu Talak Tiga yang dikeluarkan oleh YB Khalid Samad. Isu ini heboh diperkatakan oleh kebanyakkan penulis-penulis blog dan termasuk akhbar-akhbar. Lebih melucukan ada juga yang meminta kepada pihak Majlis Fatwa Kebangsaan untuk mengeluarkan fatwa bagi isu ini.

Isu utamanya hanyalah kerana kenyataan yang dikeluarkan oleh YB Khalid Samad yang mengatakan bahawa antara cara yang diambil oleh pihak Parti Islam SeMalaysia (PAS) bagi mengelakkan masalah lompat parti yang semakin berleluasa berlaku sekarang.

Hakikatnya perkara ini tidak perlu dijadikan isu. Ini permasalahan furu’ (cabang ) di dalam permasalahan Fiqh Islami. Jika kita merujuk pendapat para ulama di dalam permasalahan talak ini, maka kita akan jelas bahawa tindakan seperti itu adalah dinamakan sebagai “ Talak Ta’liq”. Ini tidak menyentuh sama ada menghina wanita atau tidak. Malah di dalam permasalahan fiqh , jika seorang suami mengatakan bahawa : “ Jika kamu ( wahai isteriku) keluar daripada rumah ini maka akan jatuh talak kepadamu.” Maka para ulama membahaskan adakah akan jatuh talak jika si isteri keluar daripada rumah tersebut? Tidak pula kita dapati bahawa ada ulama yang mempersoalkan sama ada ini menghina wanita atau tidak.

Jika melihat kepada contoh yang saya letakkan tadi maka secara jelasnya ianya lebih kepada penahanan suami terhadap isterinya daripada bebas ke mana-mana. Maka ini lebih jelas terkongkong kepada isteri jika dinilai daripada mata kasar kita. Namun di dalam permasalahan isu bai’ah talak tiga yang dikemukakan , si suami yang mengongkong dirinya sendiri daripada melakukan sesuatu yang jika dia melanggarnya maka akan jatuh talak terhadap isterinya.

Ini bukanlah untuk menghina martabat seseorang wanita malah sebenarnya ingin meninggikan lagi serta membuktikan kepada si isteri sejauh mana kasih sayang suaminya pada isteri tersebut. Seolah-olah, jika si suami tersebut lebih suka menerima wang jutaan ringgit hanya semata-mata untuk lompat parti maka ini membuktikan bahawa wang ringgit itu lebih bernilai daripada isterinya. Namun jika si suami benar-benar sayangkan isterinya maka wang jutaan ringgit tadi tidak langsung memberikan kesan kepada dirinya. Maka bia’ah yang dilakukan hakikatnya adalah untuk si suami memberikan satu jaminan terhadap sesuatu yang sangat bernilai di dalam hidupnya. Jika dia melanggarnya, maka perkara yang sangat-sangat bernilai ini akan hilang. Maka kewajipan kepadanya adalah untuk menjaganya sebaik mungkin.

Cuma saya memang kurang bersetuju dengan sikap yang ditunjukkan oleh YB Khalid Samad di dalam isu ini dengan menyebarkan dan “membongkarkan kepada umum”. Sikap berhati-hati ketika menyampaikan ucapan perlu ada kepada seorang pemimpin yang menjadi perhatian umum. Jika benar sekalipun Bai’ah yang dilaksanakan, maka sebaiknya para pimpinan tidak boleh melulu menceritakan kepada semua pihak.

Masalah utama di dalam isu ini ialah masalah sikap yang terlalu prejudis terhadap apa sahaja yang disandarkan kepada Islam. Jika yang melakukannya adalah UMNO dan Barisan Nasional mungkin orang ramai tidak akan memandang sebagai suatu yang penting ( secara jujurnya saya katakan mungkin tidak akan wujud langsung perkara sebegini di dalam UMNO), namun jika yang melakukannya adalah Jemaah Islam, maka terus perkara ini dijadikan isu utama. Maka pada waktu ini, semua pihak ingin menjadi hero yang kononya ingin mempertahankan isu umat Islam dan hak asasi Wanita.

Perkara utama yang perlu dilakukan ialah kembali semula kepada manhaj ilmu yang sebenar. Rujuk kepada para ulama yang ahli di dalam bidangnya sebelum mengeluarkan sesuatu kenyataan dan telahan. Bimbang perkara yang kita katakan tidak tepat itu hakikatnya adalah tepat, namun disebabkan kejahilan kita maka yang tepat menjadi salah dan begitulah sebaliknya.

Wallahu a'lam

Mohd Nazrul Abd Nasir,
Cyber Cafe Kuala Lumpur,
Kaherah Mesir..

Selasa, 10 November 2009

Salah Faham Istilah ...Satu Masalah Yang Membarah ..

Segala puja dan puji hanya padaNya yang menjadikan langit dan bumi serta alam keseluruhannya Tuhan yang Tiada Misal padaNya. Selawat dan salam buat junjungan mulia Saidina Muhammad ibn Abdillah sallallahu alaihi wasallam serta para sahabat Baginda sallallahu alaihi wasallam ridwanullah a’laihim ajmain.

Ramai yang berbincang dan mengemukakan pendapat tentang istilah ‘syadid’ atau keras di dalam penyampaian dakwah. Kalau ditanya kepada 100 orang pelajar al-Azhar dan perubatan di bumi Kinanah ini, saya pasti dan percaya pasti akan terbit pelbagai takrifan berkenaan kalimah keramat ini.Ini masalah yang paling serius berlaku di bumi Mesir dan di mana-mana tempat di atas dunia ini. Apakah masalahnya? Ya, masalah sukar memahami dengan baik apa maksud sebenar bagi sesuatu istilah yang digunakan. Lebih ramai yang suka meletakkan takrifan menurut kefahaman dan kehendak sendiri, maka akan menyebabkan sesuatu istilah tersebut akan semakin disalah ertikan .

Penting sangatkah permasalahan istilah ini? Adakah ianya mengganggu gugat sesuatu perkara? Tidak keterlaluan jika saya katakan permasalahan istilah ini sangat penting dan ianya mampu merencatkan pemahaman terhadap sesuatu perkara.Buktinya jelas. Istilah “pengganas” yang dipelopori oleh Barat dan mereka menyandarkan ianya kepada segolongan pihak Muslimin, diterima pakai oleh kebanyakkan pimpinan Dunia. Maksudnya sekarang, jika disebut istilah “pengganas” maka seluruh mata akan berpaling kepada tubuh-tubuh golongan Muslimin tanpa menilai sama ada mereka benar-benar terlibat atau tidak. Tidak hairan diskriminasi berlaku terhadap kaum Muslimin di seluruh dunia sekarang. Ini memberi makna, perang istilah ini adalah salah satu strategi golongan musuh Islam bagi menimbulkan porak peranda kepada semua pihak dan ternyata ianya berjaya.

Lebih memilukan kita, ramai yang terpengaruh dengan perang istilah sebegini, termasuk golongan Muslimin sendiri yang juga terpengaruh dengan istilah sebegini.Setelah mengetahui pokok masalah, sekarang apa pula cara penyelesaian permasalahan tersebut?

Cara paling selamat bagi menyelesaikan permasalahan ini ialah dengan kembali kepada kefahaman para ulama yang muktabar. Pasti ramai akan tertanya, kenapa saya menyuruh kembali kepada kefahaman para ulama? Kenapa tidak terus melihat kepada nas yang zahir terpampang di dalam al-Quran dan Hadis Baginda sallallahu alaihi wasallam?
Jawapan paling ringkas dan padat yang pernah saya dapat daripada Syaikhuna Dr Jamal Faruq hafizahullah berkenaan persoalan di atas ialah : “Ini kerana para ulama lebih memahami maksud dan kehendak nas tersebut berdasarkan kelengkapan ijtihad yang mereka miliki. Nas al-Quran dan al-Hadis al-Nabawi al-Syarif kedua-duanya maksum dan mustahil berlakunya kesalahan dari segi akal dan syarak. Namun yang sering berlaku kesalahan ialah tabiat pemikiran manusia yang membaca al-Quran dan al-Hadis tersebut. Bahasa mudahnya ialah Dalil al-Quran dan al-Sunnah itu maksum daripada kesalahan, yang sering berlaku kesalahan ialah bagaimana mengambil kefahaman daripada dalil yang dikemukakan di dalam al-Quran dan al-Hadis.”

Ini yang perlu difahami dengan sebaiknya oleh semua lapisan masyarakat terutamanya golongan terpelajar. Jika golongan yang terpelajar juga menyalah gunakan sesuatu istilah tersebut bukan pada tempatnya maka tidak hairan masyarakat awam semakin terkeliru dengan pelbagai istilah yang sering diletakkan bukan pada tempatnya. Contohnya sekelompok pelajar yang ingin mempertahankan hak kebebasan bersuara bagi Mahasiswa hanya dengan sedikit meninggikan atau mengeraskan suaranya ketika berucap maka dituduh syadid dan tidak terbuka.
Istilah syadid tersebut sewenang-wenangnya dinilai hanya berdasarkan tinggi rendahnya suara mahasiswa tersebut ketika berucap.Ini ternyata satu perkara yang sangat mendukacitakan.

Istilah syadid adalah merupakan satu kalimah yang lahir daripada sesuatu kelompok atau individu yang hakikatnya mereka tersalah faham di dalam sesuatu permasalahan. Kelompok ini terus menjadikan kesalahfahaman tersebut sebagai satu pegangan, malah melazimkan kepada orang lain untuk mengikuti kefahaman mereka yang tersalah itu. Inilah maksud syadid atau taksub yang sebenar seperti yang disebutkan oleh Doktor Muhammad Adil Azizah al-Kayyali hafizahullah di dalam kitab karangan beliau “al-Fatawi al-Syar’iyah al-Muasirah.”

Tetapi jika seseorang itu berpegang dengan hujah dan penilaian yang teliti di dalam sesuatu permasalahan maka ini tidaklah boleh untuk kita gelarkan sebagai kelompok taksub tetapi kelompok ini sepatutnya digelarkan sebagai golongan yang “ Mutamassik” atau golongan yang berpegang dengan dalil berserta kefahaman yang benar.

Tetapi istilah mutamassik ini bukanlah sewenang-wenangnya juga boleh digunakan. Dalil yang bagaimana saya maksudkan sebenarnya? Maksud saya ialah dalil yang difahami oleh para ulama dengan sebenar-benarnya. Bukan dengan kefahaman sendiri dan kefahaman golongan yang tidak mencapai tahap seorang ulama yang boleh memahami nas dengan sebaiknya. Masalah lebih besar akan berlaku jika golongan sebegini dianggap mutamassik. Mereka akan menyesatkan ramai pihak dan tanpa sedar, diri mereka sendiri tersasar jauh.Penyelesaiannya mudah .

Jika ikuti turutan yang saya senaraikan ini maka saya pasti permasalahan ini akan mudah diselesaikan :

1. Belajar dan bertanya dengan para ulama muktabar

2. Memahami pengajian dengan sebaiknya

3. Banyakkan rujukan dan perbincangan

4. Gunakan istilah sesuai pada tempatnya

5. Tidak cepat melabelkan orang lain taksub dan syadid tanpa menilai kepada kefahaman dalil yang mereka gunakan.

Jika kesemua ini diaplikasikan sebaiknya maka saya yakin permasalahan salah faham dan salah guna istilah serta cepat melabelkan orang lain akan hilang dengan sendirinya. Benarlah kata para ulama, “ Perdebatan demi perdebatan yang kurang memberangsangkan sering berlaku adalah kerana kurangnya ilmu pengetahuan. Jika ilmu akhirat semakin bertambah, maka permasalahan demi permasalahan akan mudah diselesaikan tanpa perlu bersusah payah.”

Seseorang itu akan menjadi musuh dengan sesuatu yang dia tidak ketahui. Jika dia telah mengetahui hakikat sesuatu perkara maka permusuhan tersebut akan terungkai dengan sendirinya.

Ubat jahil adalah ilmu. Ingin mengambil ilmu perlu pada pakarnya.Bimbang tersalah penerangan cara penggunaannya jika mengambil daripada yang bukan ahlinya. Jika begini jadinya, maka ilmu yang diberikan itu bukanlah menjadi ubat malah menjadi penyakit yang semakin bertimpa-timpa.

Sesiapa makan cili , maka dialah yang akan terasa pedasnya. Semoga semua dapat memikirkan sebaiknya apa yang ingin saya sampaikan ini.Nilai sebaiknya apa yang ingin disampaikan sebelum meletakkan satu telahan.

Mohd Nazrul Abd Nasir,
Hayyu Sabiek,
Kaherah Mesir..

Ahad, 8 November 2009

Rindu Untuk Menulis.. Namun Apakan Daya..


Sudah hampir seminggu saya tidak mengemaskini laman saya ini. Kesibukan demi kesibukan melanda. Tambahan pula proses pemindahan barang-barang menambahkan lagi keletihan.


Moga Allah taala memberikan kekuatan kepada kita semua.


InsyaAllah selepas semuanya selesai, saya akan kembali menulis di laman ini. Rumah penginapan baru kami juga tiada internet maka akan melambatkan sedikit proses mengemaskini. Namun ini bukanlah alasan untuk tidak menulis.


Doakan semoga sentiasa tabah di dalam kehidupan di bumi Mesir ini.


Mohd Nazrul Abd Nasir,

Pusat Internet Hayyu 10,

Kaherah Mesir..

Khamis, 29 Oktober 2009

“ Apakah Yang Akan Kamu Lakukan Jika Diberi Peluang Sebentar Jua Bersama Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam?”

“ Apakah yang akan kamu lakukan jika diberi peluang sebentar jua bersama Baginda sallallahu alaihi wasallam?”

Layakkah kiranya diri ini berada walau sebentar di hadapan tubuh Baginda sallallahu alaihi wasallam yang cukup mulia itu?

Adakah Baginda sallallahu alaihi wasallam akan memandang kepada wajah yang penuh dosa dan noda ini?

Pagi ini, hati al-Faqir sebak bilamana melihat satu siaran televisyen Arab melalui internet. Soalan yang ditanyakan oleh jurubicara rancangan tersebut begitu menggugah jiwa. Soalannya mudah dan ringkas namun jawapannya amat sukar diungkapkan. Soalannya :

“ Apakah yang akan kamu lakukan jika diberi peluang sebentar jua bersama Baginda sallallahu alaihi wasallam?”

Demi Allah, Tuhan Sekalian Alam, al-Faqir benar-benar rindukan Rasulullah sallallahu alaihi wasallam sewaktu menulis perkara ini. Seseorang tidak malu untuk menungkapkan sayang dan rindunya kepada kekasihnya. Tapi mengapa perlu malu untuk kita mengungkapkan rindu dan sayang kepada Baginda sallallahu alaihi wasallam? Malah Baginda sallallahu alaihi wasallam lebih daripada segala-galanya. Lebih daripada alam keseluruhannya.

Ya Rasulallah, Demi Allah, al-Faqir benar-benar cemburu dengan para Sahabatmu yang setiap masa dan ketika menatap wajahmu yang mulia disamping memberikan khidmat kepadamu.


Al-Faqir benar-benar cemburu dengan Saidina Abu Bakr al-Siddiq dan Saidina Umar al-Khattab radhiyallahu anhuma yang seringkali berada di sampingmu. Berlapar dan dahaga bersamamu, mengikat perut dengan batu bersamamu, bersusah senang bersamamu. Ingin benar al-Faqir menjadi orang yang mula menghunuskan pedang mempertahankanmu bilamana dirimu dipersenda. Ingin sekali al-Faqir membantu puterimu Saidatina Fatimah al-Zahra’ kekasihmu dan kekasih umat seluruhnya membuang kotoran daripada perut kambing yang diletakkan diatas tengkukmu ketika dikau solat di Kaabah al-Musyarrafah.Ingin sekali al-Faqir memancung kepala lelaki cabul Quraisy yang meletakkan kotoran itu di atas badanmu yang mulia.

Ya Rasulallah, Setiap kali membaca kalammu, al-Faqir membayangkan seolah-olah dirimu sedang berbicara dengan diri yang penuh noda ini.Namun , terkadang al-Faqir terfikir, layakkah mulut kotor ini membaca kalammu yang mulia? Layakkah hati kotor ini menyimpan khazanahmu yang mulia?

Al-Faqir tahu, Dikau mengetahui apa yang al-Faqir rintihkan pada hari ini. Kami hari ini tidak mampu untuk masuk ke maqammu dan meletakkan pipi kami yang hina di atas maqammu yang mulia sepertimana yang dilakukan oleh Saidina Abu Ayyub al-Ansori radhiyallahu anhu dek kerana terlalu rindukan dirimu Ya Habiballah.

Terlalu banyak yang ingin al-Faqir rintihkan dan maklumkan kepadamu Ya Rasulallah.Namun coretan terlalu ringkas dan hati tidak mampu meluahkan semuanya.

Al-Faqir sangat-sangat berharap sebelum mata ini terpejam rapat moga dapat walau sekejap jua dapat menatap wajahmu . Hanya itu sahajalah yang mampu menenangkan jiwa kosong al-faqir ini sebelum dijemput bertemu Rabbul Jalil.

Moga cinta dan sayangku kepadamu Ya Rasulallah , cinta yang berbalas. Janganlah Dikau palingkan wajahmu yang mulia daripada al-Faqir ini.

Mohd Nazrul Abd Nasir,
Rumah Kedah, Hayyu Asyir,
Kaherah Mesir

Selasa, 27 Oktober 2009

Pengajian Bulughul Maram Di Syubra Sudah Bermula

26 Oktober 2009 - Dauran Shoubra - Pihak DPM [MAQAZ] Shoubra di bawah kelolaan Unit Pengetahuan dan Pendidikan telah menganjurkan kembali kelas pengajian Kitab Hadis, Bulugh Maram yang telah disampaikan oleh Ustaz Mohd Nazrul bin Abdul Nasir. Kelas pengajian hadis ini telah tertangguh sejak beberapa bulan yang lepas disebabkan fatrah peperiksaan dan beberapa perkara yang tidak dapat dielakkan.

Kelas pengajian yang sekian lama telah dijalankan ini membincangkan tentang hadis-hadis yang berkaitan dengan hukum hakam. Pembentang juga mensyarahkan hadis-hadis menurut pandangan ulama mazhab yang empat serta permasalahan-permasalahan mengikut keadaan semasa. Pihak DPM mengharapkan agar ahli DPM terus memberikan sokongan terhadap kelas pengajian ini dan kelas-kelas pengajian yang lain. Kelas pengajian ini akan berlansung pada setiap hari Isnin setiap minggu bermula jam 7.30 malam.

Sumber : [ Dewan Perwakilan Mahasiswa Syubra Mesir ]


Video Temuramah al-Faqir dengan Para Masyaikh al-Azhar al-Syariff

Di sini al-Faqir ingin sertakan sedikit temuramah al-faqir bersama para Masyaikh al-Azhar di ruang rehat selepas selesai Majlis Pembacaan Sahih Bukhari anjuran PMRAM tempohari.

Rakaman tersebut boleh dilihat di :

[ Temuramah Bersama Para Ulama al-Azhar al-Syarif ]


al-Faqir memohon maaf disebabkan tidak sempat untuk memasukkan tulisan terbaru. Rakaman ini juga tidak diterjemah. Sesiapa yang pandai berbahasa Arab dan rajin untuk menterjemahkan maka amat-amat dialukan.. :) Syukran Jazilan..

Terima kasih kepada pihak PMC PMRAM di atas rakaman yang diberikan.. dan Kredit untuk laman web KutubSittah PMRAM di atas video yang disediakan..

Tidak dilupakan juga kepada al-Fadhil Ust Zulikhwan al-Syabrawi di atas rakaman tersebut.. :) Semoga Allah taala jua yang membalasnya..

Mohd Nazrul Abd Nasir,
Penuntut Masjid al-Azhar dan Masjid al-Asyraff,
Kaherah Mesir..

Khamis, 22 Oktober 2009

Kamu Takkan Bawa Mercedes Kamu Ke Dalam Kubur.Ingat tu!!


Majlis pada 20 /10/2009 baru-baru inibenar-benar mengembirakan kami para penuntut ilmu di Bumi Mesir. Kehadiran lebih kurang 10 orang ulama besar al-Azhar di Majlis Penutupan Pembacaan Hadis Sahih Bukhari anjuran PMRAM cukup memberikan seribu satu kenangan buat kami.

Kehadiran Syaikhul Masyaikh al-Imam al-Allamah al-Muhaddis Dr Ali Jum’ah hafizahullah, Mufti Besar Kerajaan Mesir ke Majlis ini mampu mengubat kembali kesedihan kami semua bilamana satu demi satu tempat tidak berjaya dilaksanakan.

Al-Faqir turut mengalir air mata bilamana Syaikhuna al-Allamah Muhaddis al-Murabbi Dr Yusri al-Hasani hafizahullah menangis bilamana Syaikhuna Ali Jum’ah menceritakan tentang Guru mereka dahulu iaitu Syeikh al-Allamah al-Muhaddis Abdullah Siddiq al-Ghumari rahimahullah. Al-Faqir dapat rasakan betapa Guru Kami ini merasa begitu rindu sekali dengan pemergian Syeikh al-Allamah Abdullah Siddiq al-Ghumari rahimahullah.

Syeikh Abdullah Siddiq al-Ghumari rahimahullah merupakan salah seorang ulama besar dunia yang mana jiwanya hanya dikorbankan sepenuhnya untuk agama Allah taala. Sikapnya dan peribadinya jelas boleh kami lihat kepada perwatakan anak-anak didik beliau.Guru-guru kami di Mesir kebanyakkannya adalah murid kepada Syeikh Abdullah Siddiq al-Ghumari rahimahullah.
Alhamdulillah , walau kami tidak pernah bertemu dengan Syeikh Abdullah Siddiq al-Ghumari, namun roh dan semangatnya kami dapat rasakan bilamana bersama dengan para ulama murabbi yang merupakan anak-anak didiknya.

Syeikh al-Allamah al-Muhaddis Abdullah Siddiq al-Ghumari rahimahullah

Kata Syeikh Ali Jum’ah hafizahullah : “ Ada ulama yang ilmunya sama seperti apa yang ditulis olehnya di dalam kitab-kitabnya, Ada juga ulama yang ilmunya kurang daripada apa yang ditulisnya di dalam kitab, Dan ada juga ulama yang mana ilmunya jauh lebih banyak daripada apa yang ditulisnya di dalam kitab… Maka Syeikhuna Abdullah Siddiq al-Ghumari rahimahullah termasuk di kalangan orang yang mana ilmunya melebihi apa yang ditulis oleh beliau, Setiap kali kami membaca sesuatu kitab yang besar, maka tentu Syeikh Abdullah Siddiq juga akan menyebutkan sepertimana yang kami baca semalam. Lebih menghairankan, kami sendiri tidak pernah melihat beliau membaca. Tetapi apa yang disebutkan olehnya , ternyata seperti apa yang ditulis oleh para ulama besar terdahulu.”

Ilmunya terlalu luas menggunung.Tidak terjangkau oleh pemikiran manusia.Inilah berkat taqwa dan wara’nya Syaikhu Masyaikhuna Abdullah Siddiq al-Ghumari rahimahullah.Terlalu hebat.

Al-Faqir juga berkesempatan bergurau senda dengan para ulama kita di ruang rehat kepada tetamu. Tidak tergambar di fikiran Al-Faqir akan boleh berhadapan dengan Syeikhuna Ali Jum’ah hafizahullah secara berdepan dan sempat beliau berseloroh dengan Al-Faqir . Lebih mengharukan , ketikamana beliau sedang berucap, pandangan matanya tertumpu pada al-faqir ini. Pada mulanya al-faqir tidak merasakan bahawa beliau melihat kepada diri ini. Tapi bilamana al-faqir mengangkat tangan tanda hormat kepada Syaikhuna Ali Jum’ah hafizahullah, ternyata beliau membalas kembali sambil tersenyum manis kepada al-faqir. Lebih meyakinkan , ketika mana Al-Faqir berada berhampiran dengan beliau , beliau asyik memandang kepada al-faqir dan bertanya pelbagai soalan yang melucukan semua pihak kepada al-faqir. Nampak benar keramahan Syaikhuna al-Allamah Dr Ali Jum’ah hafizahullah. Al-Faqir amat rindukan suasana sebegini.

Pengorbanan para ulama besar ini perlu dihargai sebaiknya oleh para penuntut ilmu di Bumi Mesir ini. Tidak ada sedikit pun wang yang diminta. Malah ilmu diberikan secara percuma kepada kami semua.

Satu lagi perkara yang perlu difahami, pihak PMRAM terpaksa melaksanakan majlis terakhir tersebut di Dewan Besar permainan kerana sudah banyak tempat penuh dan kerana sikap JPMK yang sangat-sangat tidak professional.

Saya bersama dengan Saudara Juzaili sendiri ada di dalam perbincangan bersama dengan para ulama ketika kita meminta pandangan tentang tempat terakhir ini yang perlu dilaksanakan. Lebih mengharukan semuanya bersetuju walaupun terpaksa dibuat ditempat sebegitu.

Ulama-ulama al-Azhar ini bukanlah seperti kepimpinan UMNO yang hanya mahukan nama dan tempat yang berprestij. Malah mereka mengatakan kepada kami, mana-mana tempat yang tidak menyusahkan kamu, kami tetap tidak kisah. Selagi tidak menyusahkan pihak penganjur. Allah.. Itu sahaja perkataan yang mampu saya ucapkan. Betapa ikhlasnya para ulama kita.

Sepatutnya perlu dipersoalkan kepada JPMK , dan suruh mereka sendiri datang melihat bagaimana susah payah para ulama kita terpaksa menaiki tangga ke tingkat teratas di rumah Johor sebanyak 5 tingkat. Umur mereka bukan semuanya masih muda belia seperti kami. Semuanya sudah lebih separuh abad kecuali Syaikhuna Usamah al-Azhari hafizahullah yang masih muda.

Al-Faqir sering memimpin tangan Syaikhuna Murabbi al-Muhaddis Muhammad Ibrahim al-Kittani hafizahullah menaiki tangga asrama pelajar-pelajar Johor. Amat mengharukan , Syaikhuna agak termengah-mengah ketika menaiki tangga namun senyuman tetap tidak lekang dibibirnya. Hampir menitis air mata al-faqir bila memikirkan betapa kejamnya sikap JPMK terhadap para ulama kita ini.

Syaikhuna Muhammad Ibrahim al-Kittani hafizahullah menyebutkan kepada al-Faqir pada akhir majlis sebelum beliau berangkat pulang ke Iskandariah “ Syeikh Muhd ( gelaran kepada al-Faqir oleh Syaikhuna Muhammad Ibrahim al-Kittani) , kami sekeluarga sangat gembira dengan majlis sebegini. Sunnah yang telah lama mati telah berjaya dihidupkan kembali. InsyaAllah , saya akan sentiasa memberikan sokongan terhadap apa yang kamu semua lakukan. Majlis ini akan diteruskan secara mingguan dan kami tetap akan datang daripada Iskandariah memberikan komitmen terhadap majlis sebegini”

Ini yang al-Faqir ingin persoalkan kepada mulut-mulut busuk pengampu JPMK. Kami lebih dekat dengan para Masyaikh di sini. Jangan kamu semua mahu menunjuk hebat bahawa apa yang pihak JPMK di bawah kuasa Dr Jamil adalah benar. Jangan cuba menegakkan benang yang basah. Lebih baik diam daripada bersuara. Semalam disediakan tempat untuk bersuara, kenapa tidak datang?? Juak-juak JPMK kenapa tidak datang membela diri?? Kamu buat zalim kepada Saudara Faizal Sabhon yang mati-mati mengampu pihak kamu.

Sekali lagi al-Faqir memberikan amaran, jangan cuba persoalkan kredibiliti mahasiswa al-Azhar di Mesir.Kami bukan budak-budak yang boleh diperkotak-katikkan. Lebih memelikkan pihak kita, yang menjadi penyampai mulut busuk JPMK ini bukannya datang ke Majlis Ilmu sebegini pun. Malah di Masjid al-Azhar pun jarang kelihatan. Malah tak salah kalau saya katakan bahawa langsung tak pernah datang. Patut pun mereka takkan rasa peritnya pelajar agama yang tidak mengharapkan habuan ketika berprogram. Lainlah kalau berprogram bersama Juak-Juak UMNO, bukan setakat dapat makanan, malah kadang-kadang duit juga dihulurkan.

Latihlah ahli UMNO sebegini setiap masa. Moga kamu akan tahu kelak, siapa kawan dan lawan kamu. Kepada Juak-juak JPMK, kamu redha dengan perbuatan JPMK ini samalah seperti kamu redha dengan kejahatan yang mereka lakukan. Malah kamu juga menumpang saham apa yang mereka lakukan kepada para auliya ini.

Kami sesekali tidak akan mendoakan laknat kepada kamu.Kami penuntut di Masjid al-Azhar lebih mengetahui hukum berbanding kamu.Tapi kami mohon kamu semua diberikan hidayah dan petunjuk ke jalan kebenaran. Moga kamu semua beroleh ketenangan dan kesedaran.

Perjuangan harta benda takkan ke mana . Kamu takkan bawa Mercedes kamu ke dalam kubur.Ingat tu!!

Mohd Nazrul Abd Nasir,
Penuntut Masjid al-Azhar dan Masjid al-Asyraff,
Kaherah, Mesir

Sabtu, 17 Oktober 2009

"Tunjukkan Jalan Islam Kepadaku".. Peristiwa yang Tidak Akan Saya Lupakan Selamanya

Hari ini merupakan hari yang sangat bahagia buat diri saya. Selesai majlis pengajian bersama Syaikhuna Murabbi Dr Yusri Rusydi hafizahullah, saya bersama Farhi ( Along) pulang bersama-sama. Tujuan kami adalah untuk ke Maktabah Darul Salam di Hayyu Sabiek. Saya perlu terlebih dahulu mengambil wang di HSBC kerana poket sudah kekeringan.

Mengecewakan, kerana mesin HSBC di Stesen Minyak berhampiran dengan Masjid Nuri al-Khattab telah ditutup.Maka kami terpaksa berjalan kaki sejauh 300 meter untuk ke Stesen Minyak berhampiran Darul Salam.

Semasa di dalam perjalanan, tiba-tiba saya ditegur oleh seorang lelaki Arab.Melihat perwatakannya, umurnya mungkin sudah mencapai 50-an. Beliau menegur saya sambil bersalaman.

Terdetik di dalam hati saya, ini selalunya taktik yang Arab gunakan untuk meminta sedekah.Namun saya tersentak kerana perkataan yang keluar daripada mulutnya membuatkan hati saya benar-benar rasa bersalah di atas buruk sangka saya sebentar tadi.

Beliau mengatakan kepada saya, “ Bolehkah kamu tunjukkan kepada saya jalan kepada Islam, Saya sangat-sangat ingin memeluk Islam”. MasyaAllah, inilah kali pertama di dalam hidup saya seorang lelaki yang beragama Kristian datang kepada saya untuk memeluk agama Allah taala.

Azan Asar berkumandang ketika kami sedang berbual. Seretak beliau memberitahu kepada saya “ Demi Allah, Saya tidak mampu mendengar azan ini. Tunjukkanlah kepada saya jalan Islam”

“ Saya ada seorang guru Murabbi yang mampu untuk menerangkan Islam kepada kamu secara lengkap.Guru saya, Syaikhuna Dr Yusri hafizahullah insyaAllah mampu menunjukkan jalan Islam kepada kamu” saya menjawab.

“Kalau begitu, tolonglah bawa saya bertemu dengannya” beliau benar-benar bersungguh untuk memeluk Islam.

Perjalanan untuk ke Masjid Syaikhuna Yusri hafizahullah agak jauh.Lagipun saya punya kerja yang sangat penting untuk dilaksanakan.Maka saya memberikan cadangan kepadanya untuk berjumpa semula selepas solat Isya’.Namun sedetik saya terfikir, haram hukumnya melambat-lambatkan pengIslaman seseorang.Ini kerana, seolah-olah kita redha dengan kekufuran yang ada pada dirinya.

Maka saya terus memberikan cadangan kepadanya untuk beliau masuk terlebih dahulu bersama dengan saya ke dalam Masjid Nuri al-Khattab.Saya masuk bersama beliau dan kami duduk dihujung penjuru Masjid.Beliau bertanya serba sedikit tentang Islam dan saya menerangkan seadanya tentang Islam.Alhamdulillah, akhirnya saya mentalqinkan kalimah Syahadah kepadanya sambil diikuti olehnya.

Hanya Allah taala yang mengetahui betapa sangat gembira hati ini dengan bertambahnya umat Islam di muka bumi Allah taala ini.Saya berpelukan dengan lelaki tua ini.

Namanya Mansur.Beragama Kristian dan berasal daripada Kafr al-Syeikh ( sebuah kampung di kawasan pendalaman). Saya akan terus mengingati peristiwa bersejarah ini. Ya Allah , moga dengan sedikit amal yang aku lakukan ini mampu menjadi amal jariah untukku di akhirat kelak.

Sedikit sangat amal yang aku lakukan jika dibandingkan dengan al-Imam Ibn al-Jauzi rahimahullah.Beliau menyebutkan , tangannya itu pernah mengislamkan hampir 20 000 orang Yahudi dan Nasrani. Jika mengingati semula kalam beliau, terasa amat kerdil berbanding para ulama terdahulu. Moga Allah taala memberikan kekuatan Islam kepada Mansur dan meneguhkan imannya serta mampu memberikan kecintaan sepenuhnya kepada Allah taala dan RasulNya.


Doakan moga kita semua terus berada di atas Jalan Kebenaran ini.Amin Ya Rabbal A’lamin.Saya masih terfikir, dimanakah keistimewaan saya sehingga Beliau tertarik untuk memeluk Islam ? Namun segalanya adalah ketentuan Allah taala, Demi Allah ini antara nikmat yang sangat besar buat diri saya dan muslimin umumnya. Ya Rabb.

MOHD NAZRUL ABD NASIR,
Penuntut al-Azhar al-Syarif dan Masjid al-Asyraff,
Kaherah Mesir

Rabu, 14 Oktober 2009

JPMK Cubalah Ambil Contoh Para Pembesar Dahulu, Jangan Di Sebabkan Nafsu, Kamu Tersungkur...

Guru kami yang mulia , Syeikh Ahmad Nabawi hafizahullah pernah menceritakan kepada kami ketika majlis pengajian kitab Nahu Tuhfatul Saniyyah di Masjid al-Azhar al-Syarif sebelum ini Majlis Mendengar Bacaan Hadis (Majlis Sama’ Hadis) pernah dilaksanakan di Masjid al-Azhar dan Masjid Saidina Hussain alaihissalam.

Ulama terakhir yang melaksanakannya ialah al-Imam al-Allamah al-Hafidz Ahmad al-Ghumari rahimahullah.Beliau meneruskan kesinambungan majlis sepertimana yang pernah dilaksanakan sebelum itu oleh al-Imam al-Allamah al-Muhaddith Zabidi rahimahullah pengarang kitab Ithaf Sadatul Muttaqin Syarah Ihya Ulumuddin.

Itu dahulu, sekarang amat sukar untuk kita temukan semula Majlis Sama’ Hadis sebegini.Alhamdulillah PMRAM sudah hampir berjaya melaksanakan Majlis Ilmu sehebat ini.Majlis yang mana kalam Baginda sallallahu alaihi wasallam akan dibacakan. Hanya sekadar membaca hadis dan sanadnya dengan sedikit ulasan daripada para ulama tersohor di bumi Mesir bumi Kinanah ini.

Para ulama terdahulu berebut-rebut untuk menghadirkan diri di dalam Majlis Ilmu sebegini. Al-Imam Ibn Hajar al-Asqallani rahimahullah , setelah selesai mengarang kitab Fathul Bari Syarah Sahih al-Bukhari, beliau menjemput para ulama, pembesar kerajaan dan orang ramai datang ke majlis kesyukuran di atas inayah Allah memberikan peluang untuknya menyiapkan syarah terbaik bagi Sahih al-Imam Bukhari.

Para pembesar ketika tersebut, menjadikan kitab Fathul Bari sebagai hadiah kepada tetamu yang datang mengunjungi mereka.Malah kitab ini ditulis dengan dakwat emas menunjukkan betapa berharganya kitab mulia ini.Kata Guru Kami Syaikhuna Murabbi Dr Yusri hafizahullah, kitab Fathul Bari pada ketika tersebut dijual dengan harga ratusan malah ribuan dinar.Harganya jika mengikut perkiraan Ringgit Malaysia hampir mencecah RM 40000!!! Tetapi para pembesar dan ulama pada ketika tersebut sanggup untuk membelinya kerana cinta mereka terhadap ilmu sangat tinggi.

Agak berbeza bukan dengan zaman sekarang? Dahulunya para pemimpin negara begitu mencintai ilmu.Sultan Nuruddin al-Zinki rahimahullah, seorang raja yang soleh dan wali Allah taala, seringkali menjemput gurunya al-Muhaddith Badruddin al-Mausili rahimahullah untuk membacakan hadis kepadanya dirumah beliau.Malah ketika gurunya ingin membacakan hadis Musalsal Bi al-Tabassum ( Hadis Musalsal Senyum), beliau meminta agar gurunya menangguhkan dahulu bacaan kitab tersebut kerana kata beliau :

“ Mana mungkin aku mampu tersenyum sedangkan saudara-saudaraku di Dumyat sekarang sedang sibuk berperang. Selagimana aku tidak berjaya meyelamatkan mereka daripada penjajahan maka selagi itu aku tidak akan mampu tersenyum”

Selesai peperangan di Dumyat dan beliau berjaya menyelamatkan Saudara Islam yang lain maka ketika itu beliau menjemput kembali gurunya Syeikh Badruddin al-Mausili rahimahullah sambil berkata :

“ Sekarang Wahai Tuan Guru, Aku sudah mampu tersenyum. Maka sampaikanlah hadis tersebut kepadaku untuk aku senyum mengikut perbuatan Baginda sallallahu alaihi wasallam”

Tapi sekarang, ada juga golongan yang dengki tidak mahu majlis mulia sebegini diteruskan hanya kerana ingin mengikut hawa nafsu mereka yang sememangnya tidak menyukai majlis ilmu sebegini.

Katanya , orang-orang ini pernah ditarbiyah. Tarbiyah apanya?? Tarbiyah untuk menjahanamkan umat Islam lain??

JPMK dibawah naungan Prof. Jamil sepatutnya mengambil contoh para pembesar terdahulu bilamana bermuamalah dengan para ulama.Jangan dengan hawa nafsu kita, hanya kerana dengki dan dendam yang tak sudah, terbawa-bawa sehingga tiada lagi kawalan terhadap diri sendiri.Apa faedahnya kamu dapat kalau Majlis Mulia Bacaan Hadis ini ingin dibatalkan tanpa sebab munasabah??

Kamu tak takutkah dengan doa para auliya’ Allah taala yang dijemput khas untuk datang bersama kami para penuntut ilmu membacakan hadis???.Inilah bahananya jika dahulu kurang bercampur gaul dengan para ulama.Hanya berpada dengan tarbiyah jadian yang mereka canangkan.

Kami tidak akan mendoakan keburukan kepada kamu semua.Kami hanya memohon moga Allah taala memberikan petunjuk kepada kamu semua atas perbuatan lancang kamu terhadap para ulama ummah ini.Jangan mendoakan laknat. Ini bukan akhlak kita sebagai seorang muslim.Moga Prof Jamil dapat menghayati cara sebenar menuntut ilmu selepas ini dan menghayati bahawa perbezaan pendapat janganlah sampai membawa kepada perpecahan.


Kita pelik, kalau PMRAM mempertahankan hak maka dituduh PMRAM ekstrim, syadid dan lain-lain. Tapi kalau puak ini buat bahana, kita kata “ Mungkin mereka ada sebab” . Sebab apanya?? Sebab tak sama fikrah?? Entahlah. Kalau ya pun ada kuasa , kena ingat Allah taala Maha Berkuasa.Jangan sampai Allah taala yang meminjamkan sedikit nikmat kepada kamu, Allah taala yang sama akan menarik semula nikmat tersebut dengan cara yang kamu sendiri tidak mahu ianya berlaku.

Cubalah rasional ketika melaksanakan tindakan. Jangan terburu-buru. Kamu sendiri yang rugi .Ingat tu !!

P/S: Gambar di atas sekali merupakan Majlis Ilmu yang dihadiri oleh para ulama dunia seperti Syeikh Abdullah Siddiq al-Ghumari, Syeikh Yasin al-Fadani, Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah, Syeikh Ibrahim al-Ahsai'ie, Syeikh Hassan Masyath, Syeikh Ismail Uthman Zain rahimahumullah wa hafizahullahu taala alaihim aj'main...

MOHD NAZRUL ABD NASIR,
PENUNTUT ILMU DI MASJID AL-AZHAR DAN MASJID ASYRAFF,
KAHERAH MESIR

Isnin, 12 Oktober 2009

Hilang Duka Bila Bersama Para Ulama ...

Dari kanan : Al-Faqir, Syaikhuna Murabbi Muhammad Ibrahim Abdul Ba'ith al-Kittani hafizahullah, Syaikhuna al-Allamah Dr Jamal Faruq hafizahullah ( Berjubah Biru),
Duduk Dari Kanan : Akhi Amal BP, Akhi Juzaili Juhan.


Hari Sabtu baru-baru ini merupakan satu kenangan indah dalam hidup al-faqir kerana berpeluang untuk berada bersama-sama dengan para ulama Murabbi. Perjalanan ke Iskandariah untuk bertemu Syaikhuna Murabbi al-Allamah Muhaddith Muhammad Ibrahim Abdul Ba’ith al-Kittani hafizahullah memberikan seribu satu kenangan indah buat kami penuntut ilmu di Bumi Kinanah ini.

Lebih bermakna , perjalanan kami ditemani oleh seorang ulama besar al-Azhar iaitu Syaikhuna al-Allamah Dr Jamal Faruq al-Daqqaq hafizahullah.Kami berempat, al-faqir, Akhi Juzaili, Akhi Amal (wakil Badan Pengurus), Akhi Wajdi ditemani oleh Syaikhuna al-Allamah menaiki kereta ke Iskandariah.

Tujuannya adalah untuk berbincang berkenaan Program Pembacaan Sahih Bukhari pada 17-20 Oktober ini. Alhamdulillah perbincangan berjalan lancar dengan Syaikhuna. Beliau terkenal sangat ramah dan tidak lokek dengan senyuman manis menjadikan kami merasakan bahawa beliau seolah-olah bapa kami sendiri.

Sebelum ke rumah beliau, kami sempat mengikuti pengajian Sahih Bukhari yang disampaikan oleh Syaikhuna Murabbi di Masjid Jehan di Sidi Bisyr , Iskandariah. Masya Allah, penuh dengan input dan ilmu berguna sepanjang majlis tersebut. Syaikhuna mensyarahkan Hadis berkenaan “ Cinta Kepada Baginda sallallahu alaihi wasallam adalah sebahagian daripada Iman”.

al-Faqir tidak sempat untuk memanggung kepala hanya kerana terlalu lapar dan makanan yang terlalu enak disediakan oleh Mama ( Isteri Syaikhuna Muhammad Ibrahim).. Daging Kambing bakar dan pelbagai makanan enak disediakan. Al-Imam Syafie radhiyallahu anhu juga makan banyak ketika berada di rumah al-Imam Ahmad Ibn Hanbal radhiyallahu anhu hanya kerana makanan itu disediakan oleh orang-orang Soleh dan para Auliya' Allah.

Setelah selesai pengajian kami bertolak ke rumah Syaikhuna berhampiran Mahhatah Misr. Berbincang dan memberikan cadangan demi memastikan Majlis Hadis yang julung-julung kali diadakan ini berjalan dengan lancar.

Saya masih ingat kata-kata Syaikhuna al-Allamah Dr Jamal Faruq hafizahullah bilamana kami bertanyakan kepada beliau mengapakah al-Azhar sudah tidak menganjurkan lagi Majlis Sama’ Hadis sebegini?

Maka Syaikhuna menjawab : “al-Azhar terlalu sibuk dengan pelbagai urusan tambahan pula campur tangan kuasa luar yang tiada kaitan dengan al-Azhar menyebabkan al-Azhar tidak sempat untuk melaksanakan Majlis mulia sebegini.Apa-apa pun, Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) telah memulakan kembali sunnah mulia ini.Moga akan membuka mata al-Azhar untuk kembali melaksanakan Majlis sebegini kelak.”

Rasa kembali bersemangat bilamana Syaikhuna Jamal Faruq menyebutkan sedemikian.Sekaligus menolak tohmahan bukan-bukan terhadap PMRAM. Mungkin sebab terkedepannya PMRAM di dalam melaksanakan majlis berprestij sebegini menyebabkan ada pihak tidak berpuas hati dan rasa iri.

Kenapa perlu rasa dengki ? Apa kata kalau bergabung tenaga datang menyertai. Kalau tidak suka untuk datang ke Majlis Ilmu sekalipun, jangan membenci kepada majlis Ilmu.Apatah lagi ini majlis Hadis. Tempat untuk bertemu para ulama membicarakan tentang hadis. Bukan majlis suka-suka dan tarian.

Moga Allah taala sentiasa menjaga Persatuan Pelajar yang begitu banyak memberikan sumbangan kepada para santri di al-Azhar al-Syarif.

Susunan Tarbiyah yang sebenar adalah tarbiyah untuk mematangkan ahli di dalam ilmu. Selain itu tarbiyah sebenar juga perlu berguru dengan Guru Murabbi.

Ini tidak, Tarbiyah yang ‘mereka-mereka’ itu faham hanya perkumpulan usrah dan perjumpaan mereka sesama mereka.Kemudian mendabik dada bahawa kumpulan kami punya Tarbiyah yang hebat. Saya tidak nampak dimana halatuju Tarbiyah yang ingin mereka bawa. Entahlah, mungkin saya silap agaknya ??

di dalam salah satu daripada Taman-taman Syurga.. Rasa terlalu gembira bila dapat bersama para ulama MURABBI ini..

Doakan moga Majlis Ilmu ini berjalan lancar. Moga Allah taala memberikan hidayah dan Inayah kepada golongan ‘pembenci’ majlis ilmu sebegini.Moga Allah taala menyelamatkan persatuan pelajar kami, PMRAM daripada anasir hitam yang sentiasa mencari peluang ingin merobek kesatuan yang ada.

Moga berkat doa para ulama kita, memberikan sinar semangat kepada pendokong perjuangan meneruskan misi dakwah menegakkan Kalimah Allah di muka Bumi ini.

Mohd Nazrul Abd Nasir,
Penuntut Ilmu di Masjid al-Azhar dan Masjid al-Asyraff,
Kaherah Mesir.

Sabtu, 10 Oktober 2009

Isu Purdah... Pembaca Jangan Cepat Melatah Bila Akhbar Picisan Mencuit ....

Sekali lagi hati ini terguris bilamana para ulama dipermainkan.Inilah bahananya jika pekerjaan yang dilakukan langsung tidak berpaksikan iman dan adab.Sikap pembaca pula terlalu cepat menghukum dan memberikan komentar. Saya mendengar khabar daripada beberapa sahabat, sudah ada yang menggunakan laman facebook untuk mengecam dan mengutuk Syaikhul Akbar Dr Sayyid Muhammad Tantawi hafizahullah.Seringkali kita memberikan nasihat dan pesanan kepada akhbar Tanah Melayu yang sering bersekongkol dengan akhbar dunia yang lain agar melakukan penelitian sebaiknya kepada setiap pernyataan yang dikeluarkan.

Berkali-kali kita sebutkan , selepas ini jika berita dan akhbar Melayu mengeluarkan sesuatu pernyataan kontroversi tentang pendapat para ulama maka perkara pertama yang perlu dipasakkan di dalam minda sidang pembaca ialah “ BOLEH DIBACA NAMUN PERCAYA JANGAN”. Kamu tak takutkah dengan hukum Allah taala kerana sering mempermain-mainkan para ulama.

Ingatlah, daging ulama itu beracun. Jangan bermain-main dengan maruah seorang ulama.

Pendapat yang dikeluarkan oleh Syaikhul al-Akbar Dr Sayyid Muhammad Tantawi hafizahullah jelas bertentangan dengan apa yang dikeluarkan oleh akhbar Malaysia.Lain yang diucapkan oleh Syeikh, lain pula yang mereka masukkan ke dalam akhbar milik mereka.Kalau ya pun inginkan akhbar picisan milik kamu terjual laku di pasaran, usahlah lakukan fitnah kepada para ulama sehingga sedemikian rupa.

Apa yang diterangkan oleh IslamOnline dapat menjelaskan segala kekusutan yang berlaku. Saya diminta berkali-kali oleh sahabat-sahabat untuk membahaskan isu ini. Sikap saya yang pertama, tidak mahu terlalu cepat meletakkan hukum kepada ulama yang kita kenali sangat wara’ di dalam mengeluarkan sesuatu hukum.

Secara jelasnya , Syaikhul Akbar tidaklah melarang @ mengharamkan ( seperti bahasa yang digunakan oleh Akhbar Malaysia) pemakaian niqab secara mutlak. Malah larangan ini hanyalah kepada sekolah dan pusat pengajian yang di dalamnya hanya terdapat wanita sahaja. Ini bermakna, jika terdapat lelaki di dalam kawasan tersebut, maka dibenarkan untuk memakai niqab bagi wanita. Apa yang kita kesalkan, akhbar Malaysia jelas menyebarkan berita yang bertentangan dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Syaikhul Akbar.

IslamOnline juga menerangkan bahawa, Syaikhul Akbar bukanlah menentang pemakaian Niqab kepada wanita. Malah beliau amat-amat menghormati pandangan wanita yang ingin mengekalkan pemakaian niqab.Namun, apa yang beliau tentang ialah kesalahfahaman yang berlaku dan meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya.Bahasa mudahnya, mengamalkan agama bukan pada tempat yang sepatutnya. Jika sesebuah institusi tersebut ahlinya terdiri daripada golongan wanita semata-mata, apa faedahnya mereka memakai niqab?? Ini yang ingin Syaikhul Akbar terangkan dan bawa kepada masyarakat. Bukannya seperti yang disebarkan oleh akhbar-akhbar picisan yang seolah-olah mengatakan bahawa niqab ingin diharamkan seratus-peratus kepada golongan wanita muslimah.

Manakala isu tohmahan terhadap Syaikhul Akbar yang mengatakan bahawa beliau menghina pelajar wanita tersebut dengan mengatakan bahawa “ Aku lebih mengetahui tentang agama daripada kamu dan orang-orang yang mendidik kamu” jelas merupakan fitnah terhadap Syaikhul Azhar. Perkataan ini langsung tidak diucapkan oleh Syaikhul Akbar. Ini jelas putar belit yang dilakukan oleh akhbar yang memang terkenal suka mencari publisiti murahan dengan melakukan penghinaan terhadap para ulama.

Penjelasan lanjut boleh dilihat di IslamOnline.

Inilah senario masyarakat sekarang, ulama terlalu dipandang rendah dan hina. Malah dianggap tiada langsung kedudukan disisi mereka. Saya tidak mahu membahaskan isu sama ada niqab ini benar-benar merupakan tuntutan agama atau sekadar adat seperti yang disebutkan oleh Syaikhul Akbar.Ini merupakan permasalahan khilaf dikalangan para ulama.Khilaf di dalam permasalahan ini bukanlah merupakan perkara usul yang boleh membawa kepada kekufuran. Malah ianya cuma khilaf di dalam permasalahan cabang agama. Terlalu dangkal golongan yang ingin melakukan tohmahan kepada Syaikhul Akbar Dr Sayyid Muhammad Tantawi hafizahullah hanya kerana beliau mengatakan bahawa niqab ini hanyalah merupakan adat.

Orang zaman sekarang lebih suka percayakan akhbar yang ditulis oleh wartawan yang tidak diketahui peribadinya berbanding mempercayai ulama muktabar.

Saya sangat tertarik dengan penjelasan yang diberikan oleh Fadhilatus Syaikhuna Habib Ali al-Jufri hafizahullah bilamana ditanya pandangan beliau berkenaan pendapat Syaikhul Akbar tentang “ Harus Memberikan Infaq Kepada Pembinaan Gereja”. Kata Syaikhuna Habib Ali al-Jufri hafizahullah(secara ringkasnya) :

Sepanjang pengetahuan saya perkara ini merupakan sepakat daripada para ulama mengatakan bahawa tidak dibenarkan untuk kita memberikan bantuan terhadap pembinaan gereja.Cuma ianya dibenarkan untuk pihak kerajaan memberikan bantuan jika keadaan memerlukan seperti yang berlaku di Gaza setelah peperangan antara Yahudi laknatullah dan tentera Islam.Kerajaan Hamas ketika itu memberikan bantuan kewangan untuk pembinaan gereja yang runtuh akibat peperangan tersebut. Secara jelasnya, saya menyebutkan perkara ini dengan ilmu saya yang sedikit berbanding Syaikhuna al-Akbar Dr Sayyid Muhammad Tantawi hafizahullah.Mungkin Fadhilatul al-Imam al-Akbar pernah terjumpa pendapat ulama yang mengatakan bahawa dibenarkan untuk memberikan bantuan kepada pembinaan gereja.Manakala saya dengan sedikitnya ilmu pengetahuan yang ada pada saya maka tidak dapat saya memberikan pendapat sepertimana yang diberikan oleh al-Imam al-Akbar Dr Sayyid Muhammad Tantawi hafizahullah.

Nah, inilah sikap sebenar seorang ulama dan sikap seorang pendengar yang tidak cepat menghukum.Malah meletakkan adab yang terlalu tinggi terhadap para ulama.

Moga kita semua dapat mengambil sifat terpuji yang ditunjukkan oleh para ulama kita di dalam memberikan pendapat dan berbeza pendapat.


Saya juga ada menulis tentang hukum memakai niqab pada keluaran yang lalu. Sila lihat :


Wartawan-wartawan akhbar perlu menilai perkara ini dengan teliti.Muslim yang baik bukanlah yang terjatuh ke dalam lubang sebanyak dua kali walau telah diperingatkan berkali-kali.

**********

Ya Allah, Aku bersaksi kepadaMu, jikalau aku tidak mampu menjadi seorang ulama, maka cukuplah diriku menjadi khadam kepada para ulama, membela mereka daripada ditohmah walau diri ini tergadai.. Moga mereka akan memberikan syafaat kepadaku kelak dengan Rahmat dan InayahMu Ya Rabbal A'lamin...

Mohd Nazrul Abd Nasir,
Rumah Kedah Hayyu 10,
Keherah Mesir

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...