Isnin, 4 Mei 2009

BERSANDING MENURUT PERSPEKTIF ISLAM



Saya diminta untuk membahaskan tentang hukum bersanding menurut perspektif Islam. Saya mohon maaf kepada saudara/i yang bertanyakan tentang perkara ini kerana tidak dapat menjawab dengan cepat. Perkara ini perlukan penelitian yang lengkap .Di tambah pula dengan kesuntukan waktu dan hambatan peperiksaan yang semakin hampir.Alhamdulillah akhirnya dapat juga saya menyiapkan serba sedikit tentang perbahasan ini. Jika dilihat pada tajuk bersanding ini, sudah terlalu lama perkara ini dibahaskan. Cuma disebabkan jawapan-jawapan yang diberikan , dikatakan tidak memuaskan hati maka soalan sebegini dipersoalkan semula. Saya tidak mengatakan bahawa penjelasan yang akan saya berikan ini akan benar-benar memuaskan hati sidang pembaca sekalian. Satu perkara yang perlu kita letakkan di dalam hati sanubari kita ialah meletakkan hukum Allah dan RasulNya lebih hadapan daripada hawa nafsu dan kehendak kita sendiri.Jika kita membahaskan tentang hukum semata-mata untuk mencari jalan keluar demi memuaskan kehendak kita maka itu bukanlah dituntut. Sebaiknya ilmu dan pengetahuan dituntut untuk kita lebih mendekatkan diri kepada Allah taala dan menjauhkan perkara yang dilarang .

Sebelum berbincang lebih panjang elok kiranya kita menyatakan apakah maksud sebenar bersanding. Seperti yang diterangkan di dalam Kamus Dewan Edisi Keempat mukasurat 1385 bersanding ialah duduk bersebelah-sebelahan (berjajar,berdamping,spt pengantin di atas pelamin).

SEJARAH DAN ASAL USUL PERSANDINGAN

Sejarah persandingan pula tidak diterangkan secara jelas di dalam kitab-kitab sejarah. Sebahagian mengatakan bahawa persandingan ialah adat yang dilakukan oleh bangsa Melayu sejak zaman dahulu.Sebahagian lagi mengatakan bahawa ianya merupakan adat yang diambil daripada India.Ini seperti yang diterangkan oleh De Jong (Religions in the Malay Archipelago, Oxford Univ. press, 1965) dan Joginder Singh (Tata Rakyat, Longman, 1978) dan mereka berpendapat ia adalah pengaruh Hindu.

HUKUM DAN PERBAHASAN

Jika dinilai pada maksud sebenar bersanding seperti yang diterangkan di dalam Kamus Dewan Edisi Keempat tersebut maka ianya adalah HARUS. Sekadar pengantin lelaki dan perempuan duduk bersebelahan maka tiada masalah padanya. Cuma jika dibahaskan daripada sudut adat dan budaya yang diamalkan sekarang seperti disediakan pelamin yang mahal, wanita berhias berlebih-lebihan serta tidak menutup aurat , adat bertepung tawar dan sebagainya maka perkara seperti ini perlu dibahaskan satu persatu secara terperinci.

PELAMIN

Berkenaan dengan pelamin yang mahal maka ianya tidaklah dituntut di dalam Islam. Walaupun kita kaya sekalipun maka tetap disarankan agar kita bersederhana di dalam berbelanja.Ramai yang menggunakan hujah bahawa pelamin sebegini perlu dilaksanakan sebagai kenang-kenangan untuk masa hadapan dan sebagainya. Hujah-hujah sebegini tidaklah boleh diterima pakai kerana lebih menjurus kepada hawa nafsu. Hukum dan saranan Baginda sallallahu alaihi wasallam sepatutnya lebih kita turuti.

Tetapi jika cuma disediakan tempat untuk bergambar bersama pengantin dan tempat tersebut dihias dengan seadanya, maka beberapa adab perlu diraikan.Antaranya ialah tidak berlaku percampuran bebas antara lelaki dan wanita, wanita wajib menutup aurat di hadapan lelaki yang ajnabi( yang boleh dikahwininya) dan begitu juga golongan lelaki ,wajib bagi mereka menutup aurat di hadapan wanita ajnabiah. Jika kesemua perkara ini diraikan maka tiadalah masalah padanya.

Kesimpulan tentang hukum pelamin ini ialah kita melarang berlakunya pembaziran dan percampuran lelaki dan perempuan yang berlaku seperti zaman sekarang. Tetapi jika semua perkara tersebut boleh kita elakkan maka hukumnya adalah HARUS.

Sebelum kita membahaskan lebih panjang sebaiknya kita memahami apakah yang dimaksudkan dengan membazir. Di dalam bahasa arab terdapat dua kalimah yang digunakan iaitu الإسراف dan التبذير. Sebahagian ulama mengatakan bahawa kedua-dua kalimah ini maksudnya adalah sama.

Al-Imam al-Jurjani rahimahullah mengatakan bahawa al-Israf ialah mengeluarkan harta lebih daripada perkara yang diperlukan.Manakala al-Tabzir pula ialah mengeluarkan harta bukan kepada perkara yang diperlukan (perkara maksiat).
Kata Guru kami yang mulia, Yusri Rushdi Al-Sayyed Jabr Al-Hasani di dalam satu kuliah beliau:

Contoh mudah bagi al-Israf ialah seperti kita memerlukan untuk seminggu kehidupan kita sebanyak sekilo daging,tetapi kita membeli sebanyak 2 kilo daging maka ini dinamakan Israf.Manakala al-Tabzir ialah kita mengeluarkan walau sedikit wang untuk membeli perkara yang diharamkan maka ianya dikira al-Tabzir.Seperti membeli sebatang rokok yang berharga 50 qurush(matawang mesir lebih kurang 30 sen Malaysia) maka ini dinamakan al-Tabzir”
Kedua-dua perkara yang kita sebutkan ini adalah dicela dan tidak dituntut di dalam Islam. Jika berlebih-lebihan didalam perkara yang harus seperti contoh yang kita berikan tidak dituntut maka lebih-lebih lagi jika perkara itu menjurus kepada haram.

BERTEPUNG TAWAR DAN MENABUR BERAS KUNYIT

Ini merupakan adat turun-temurun yang dilakukan ketika majlis persandingan dilangsungkan. Sepanjang pembacaan saya tentang perkara ini , antara tujuan dilakukan perkara ini ialah untuk menambahkan semangat berdasarkan kekuningan padi kepada kedua pengantin. Terdapat juga jampi dan mentera yang tidak difahami bahasanya dengan tujuan menghalau roh-roh jahat dam sebagainya.

Jika perkara sebegini dilakukan maka hukumnya jelas HARAM. Sabda Baginda sallallahu alaihi wasallam:

عن أبي هريرة رضى الله عنه قال: قال رسول الله صلى الله عليه و سلم : من أتى عرّافا أو كاهنا فصَدَّقَه بما يقول فقد كفر بما أُنزِل على محمد.

Maksudnya: Diriwayatkan daripada Saidina Abu Hurairah radhiyallahu anhu katanya: Sabda Baginda sallallahu alaihi wasallam: Sesiapa yang mendatangi dukun dan bomoh ,malah membenarkan apa yang disebutkan oleh dukun atau bomoh tersebut, Sesungguhnya (orang-orang yang mendatangi bomoh dan dukun sebegini) telah mengingkari apa yang diwahyukan kepada Baginda sallallahu alaihi wasallam.

Perkara-perkara sebegini wajib ditegah berlaku di dalam masyarakat Muslim.

Alternatifnya, kita boleh melaksanakan majlis doa selamat bagi mendoakan kepada kedua pengantin agar dipelihara oleh Allah taala daripada sebarang kecelakaan. Maka ini sangat-sangat dituntut di dalam Islam.

WANITA BERHIAS DAN TIDAK MENUTUP AURAT


Bersanding dikatakan tujuannya adalah untuk mempertontonkan pengantin kepada hadirin. Perkara ini berbalik kepada hukum asal melihat wanita bagi lelaki ajnabi.Menurut para ulama, lelaki ajnabi diharamkan melihat wanita ajnabi walaupun bukan dengan tujuan syahwat. Ini jika tiada sebab yang mengharuskan bagi seorang lelaki tersebut melihat kepada wanita ajnabiah. Jika mempunyai sebab yang dibenarkan syarak seperti meminang, di dalam majlis pengajian, berubat dan ketika jual beli maka tiadalah masalah untuk lelaki ajnabi melihat kepada wanita ajnabiah.

Jika ada golongan yang mengatakan bahawa tujuan diadakan persandingan mengikut adat ialah untuk memperkenalkan kepada ahli keluarga dan orang ramai kedua-dua pengantin. Maka kita katakan, tiadalah masalah jika kita ingin memperkenalkan kedua-dua pengantin kepada orang yang hadir dengan syarat adab-adab yang kita sebutkan sebelum ini diraikan . Jika perkara ini diraikan maka syarak tidaklah menghalang perkara ini dilaksanakan.

Masalah aurat juga perlu dititik-beratkan oleh pengantin dan orang ramai yang hadir.Firman Allah taala di dalam surah al-Nur ayat 31:

وَلا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلاَّ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَى جُيُوبِهِنَّ وَلا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلاَّ لِبُعُولَتِهِنَّ أَوْ آَبَائِهِنَّ أَوْ آَبَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ أَبْنَائِهِنَّ أَوْ أَبْنَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي أَخَوَاتِهِنَّ أَوْ نِسَائِهِنَّ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُنَّ أَوِ التَّابِعِينَ غَيْرِ أُولِي الإِرْبَةِ مِنَ الرِّجَالِ أَوِ الطِّفْلِ الَّذِينَ لَمْ يَظْهَرُوا عَلَى عَوْرَاتِ النِّسَاءِ وَلا يَضْرِبْنَ بِأَرْجُلِهِنَّ لِيُعْلَمَ مَا يُخْفِينَ مِنْ زِينَتِهِنَّ وَتُوبُوا إِلَى اللَّهِ جَمِيعًا أَيُّهَا الْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya: dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka ; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka, atau bapa mertua mereka, atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka , atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat wanita, dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah taala, wahai orang-orang yang beriman , supaya kamu berjaya.

Ayat ini sangat jelas menunjukkan arahan daripada Allah taala supaya menutup aurat.

ETIKA PEMAKAIAN

Antara syarat-syarat pakaian bagi wanita dan lelaki ialah:

1. Mestilah pakaian tersebut daripada jenis yang menghalang daripada orang mengetahui warna kulitnya. Ini bermakna, seseorang tersebut tidak boleh memakai pakaian yang nipis sehingga orang boleh mengetahui warna kulitnya.

2. Mestilah pakaian tersebut menutup keseluruhan aurat lelaki dan wanita tersebut.
3. Mestilah pakaian yang dipakai tidak membolehkan orang mengetahui bentuk tubuh dan auratnya iaitu tidak ketat.

Kebanyakkan orang pada zaman sekarang tidak memahami masalah menutup aurat ini dengan baik. Maka mereka melakukan kesilapan dalam keadaan mereka tidak sedar. Ketiga-tiga syarat yang kita sebutkan perlulah diraikan kesemuanya. Jika kurang salah satu daripada syarat-syarat tersebut maka seseorang tersebut masih dikira tidak menutup aurat. Kita mendapati ada golongan yang berpakaian ketat dan bilamana kita melarangnya maka mereka mengatakan bahawa yang penting orang tidak mengetahui warna kulit . Maka ini jelas menunjukkan bahawa mereka tidak faham syarat-syarat berpakaian yang diletakkan oleh syarak.
Maka para pengantin dan orang ramai perlulah meraikan perkara ini. Satu lagi perkara yang perlu diambil perhatian ialah berkenaan make-up pengantin. Berhiaslah sekadarnya, berpadalah dengan kecantikan asli yang diberikan Allah kepada kita. Tidak perlu membazir wang menjemput juru solek bagi mengkaburi mata orang lain . Malah kita bimbang termasuk di dalam ayat Allah taala di dalam surah al-Ahzab ayat 33:

وَلا تَبَرَّجْنَ تَبَرُّجَ الْجَاهِلِيَّةِ الأُولَى

Maksudnya: Janganlah kamu bertabbarruj sebagaimana yang dilakukan oleh orang-orang Jahiliyah pada zaman dahulu.

WARNA PAKAIAN

Masalah warna pakaian juga menjadi perbahasan dikalangan orang ramai. Adakah syarat-syarat tertentu bagi warna pakaian bagi wanita? Menurut Syeikh Ali Jum’ah Hafizahullah di dalam kitabnya Fatawa Asriyah(Fatwa semasa) warna tidaklah ditetapkan oleh syarak bagi wanita cuma yang wajib bagi mereka ialah mengikut syarat-syarat yang diletakkan oleh syarak di dalam etika berpakaian .

Syarat berpakaian ialah seperti yang telah disebutkan oleh saya sebelum ini.

Pendapat yang mengatakan bahawa wanita perlulah memakai warna yang gelap-gelap agar manusia tidak memandang kepada mereka tidaklah terlalu tepat. Ini kerana ada terdapat golongan manusia yang menyukai warna yang gelap. Maka mereka tetap akan memandang kepada wanita yang berpakaian gelap.
KESIMPULAN

Setelah kita membahaskan hukum bersanding ini , saya mengharapkan sidang pembaca dapat memahami dengan sebaiknya tentang perkara ini. Hukum asalnya adalah harus.Cuma perkara-perkara yang berlaku disebaliknya yang menyebabkan ianya menjadi haram seperti bertepung tawar, jampi serapah, percampuran bebas wanita dan lelaki, membuka aurat dan pembaziran. Jika kesemua perkara ini dapat kita elakkan maka tiadalah masalah bagi kita meraikan adat tersebut.Jika perkara yang kita sebutkan ini tidak dapat diraikan maka hukumnya tetap menjadi haram. Wallahu a’lam.

Rujukan:

1. حكم الإسلام في النظر و العورة oleh Syeikh Muhammad Adib Kalkal.Cetakan Maktabah al-Arabiah.

2. فقه الألبسة و الزينة oleh Syeikh Abdul Wahab Abdul Salam Thawilah.Cetakan Darul Salam Kaherah.

3. الكلم الطيب oleh Syeikh al-Allamah Ali Jumaah .Cetakan Darul Salam.Jilid Pertama.

4. موسعة الأسرة تحت رعاية الإسلام oleh Syeikh al-Allamah Atiyyah Saqr rahimahullah.Cetakan Maktabah Wahbah. Jilid Pertama.

5. Kamus Dewan Bahasa Edisi Keempat.

MOHD NAZRUL ABD NASIR,
RUMAH KEDAH,HAYYU 10,
KAHERAH.

18 ulasan:

  1. Salam akhi nak betulkan ejaan nama Syeikh dalam petikan tu :

    Kata Guru kami yang mulia ,Syeikh Yusri Abdul Jabbar al-Hasani di dalam satu kuliah beliau:

    Yang betulnya : يسري رشدي السيد جبر الحسني
    Yusri Rushdi Al-Sayyed Jabr Al-Hasani

    Barakallahu fik

    BalasPadam
  2. Syukran...'Ulama' Hadis Memang depa amik ihtimam pasai nama...:)

    BalasPadam
  3. Penjelasan hukum berdasarkan naqal dari pendapat dan perbahasan ulama' yang mukhlis adalah terbaik daripada mengeluarkan hukum berdasarkan pendapat atau pengetahuan diri.

    waffaqanaAllahu wa Baarakallahu fik...

    BalasPadam
  4. Assalamua'laikum...ustaz,mohon copy info berguna ini.

    BalasPadam
  5. waalaikumussalam fathihah, silakan..memang utk di kongsi dengan semua..

    syukran..wassalam

    BalasPadam
  6. Assalamualaikum W.B.T

    Bagus penulisan akhi. Izin ana link blog ustaz kat pautan ana.

    Syukran

    BalasPadam
  7. silakan..syukran akhi wan saifullah..

    BalasPadam
  8. nak mntk izin wat link jgk..bole?

    BalasPadam
  9. silakan awe..untuk semua...:)syukran..siiru a'la barakatillah

    BalasPadam
  10. salam ustaz..
    minta kebenaran copy paste artikel ni...

    syukran... :)

    BalasPadam
  11. ustaz, saya terbitkan artikel ini di laman utama Halaqahnet hari ini. Ini linknya http://halaqah.net/v10/index.php?page=297.
    Terima kasih ustaz kerana memberikan keizinan.
    Jika ustaz ada masa, sudi kiranya register di Halaqahnet, agar mudah saya bila menerbitkan artikel ustaz, nama sudah ada dalam akaun.

    BalasPadam
  12. Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.

    BalasPadam
  13. assalamualaikum....
    ana nk link kan artikel enta bleh...???

    BalasPadam
  14. satu persoalan, adakah haram ain, kita tunjukkan pasangan pngantin, lelaki perempuan, dtunjukkan kpada org ramai, atau haram prbuatan tabur2 tu ?Boleh lah, ltak pasangan diatas krusi,dpamerkan pd orang ramai tanpa tabur2&renjis2 tu ?

    BalasPadam
  15. Assalamualaikum, ustaz.

    Terlebih dahulu syukran kerana membincangkan bab persandingan ini secara teknikal, ia sangat-sangat mencerahkan kekusutan yang berbelit di minda. Pastinya, penjelasan ini jika digandingkan dengan kupasan dari perspektif sikap oleh Ustaz Hasrizal (http://saifulislam.com/?p=126), akan memantapkan kefahaman dan menjawab persoalan yang bermain di fikiran.

    Cuma saya ada satu persoalan, memandangkan saya ini bukan dari aliran agama justeru ada kemusykilan yang bersarand di dalam kepala yang diharapkan ustaz dapat mencerahkannya.

    Ustaz ada menyebut,

    Sebahagian lagi mengatakan bahawa ianya merupakan adat yang diambil daripada India.Ini seperti yang diterangkan oleh De Jong (Religions in the Malay Archipelago, Oxford Univ. press, 1965) dan Joginder Singh (Tata Rakyat, Longman, 1978) dan mereka berpendapat ia adalah pengaruh Hindu.

    Persoalan saya adalah, sejauh manakah sesuatu adat budaya kaum lain boleh diambil dan diikuti sebelum kita termasuk dalam apa yang disebutkan dalam hadis sebagai "barangsiapa menyerupai sesuatu kaum maka ia termasuk dalam kaum tersebut"?

    Saya kira persoalan saya ini adalah persoalan asas, memandangkan ustaz banyak kupas mengenai bab teknikal dalam artikel ustaz maka saya rasa seolah tak lengkap pula. Saya harapkan dengan penjelasan ustaz, maka saya akan lebih memahami dan jelas mengenai aspek bersanding dari sudut akidah, syarak mahupun akhlak Islamiyyah, inshaAllah.

    Mohon maaf kerana mengganggu dan mengambil masa ustaz. Syukran. Wassalam.

    BalasPadam
  16. assalamualaikum~
    sy mtk kebenaran utk share..tq

    BalasPadam
  17. assalamualaikum:

    mahu bertanya, bagaimana pula hukum kita meletakkan berkeping-keping gambar perkahwinan kita di Friendster atau Facebook?

    bukankah ia menyerupai seperti bersanding yang menjadi tontonon umum?

    BalasPadam

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...