Ahad, 23 Mei 2010

Berbilang-Bilang Persatuan @ Jemaah.. Penyelesaiannya??

Perbincangan berkenaan berbilang-bilang jemaah ini telah lama dibahaskan. Namun sehingga sekarang masih belum ada kata putus , malah tidak salah saya katakan masing-masing akan mempertahankan hak masing-masing.

Si jemaah A akan mengatakan bahawa kamilah yang terbaik. Si jemaah B pula turut mengatakan yang sama.

Saya mengharapkan perbincangan ini akan membuka minda semua pihak . Baca dan telitikan terlebih dahulu. Lihat hujjah dan perbahasannya . Jangan hanya kerana yang menulis ini bukanlah Presiden Pertubuhan ini, Ikatan itu maka terus diletakkan bahawa apa yang ditulis ini semata-mata untuk memenangkan sebuah pihak semata.

ISLAM DATANG MERUNGKAI KARAT JAHILIYYAH

Sebelum kedatangan Islam, manusia hidup berpuak-puak , bersuku-suku dan mengikut hawa nafsu masing-masing. Puak A ini mengatakan : “ Kamilah yang terbaik”. Puak B , C dan D juga mengatakan perkara yang sama. Apa natijahnya? Ya , semua sudah pasti bahawa yang akan berlaku pastinya perpecahan dan perbalahan.

Kedatangan Baginda sallallahu alaihi wasallam memberikan sinar baru kepada umat manusia. Manusia yang sebelumnya hidup dengan membeza-bezakan antara satu sama lain, akhirnya berpegang dengan slogan “ Kita semua adalah sama, datang dari Bapa yang SATU iaitu Saidina Adam alaihi al-salam, Ibu yang SATU iaitu Saidatina Hawwa’ alaiha al-salam, yang membezakan hanyalah iman dan taqwa di sisiNya”.

Kedatangan Baginda sallallahu alaihi wasallam membawa sebuah perpaduan kepada umat manusia. Berpegang dengan SATU aqidah iaitu Islam, beriman dengan tuhan yang SATU iaitu Allah taala. Karat jahiliyyah fahaman berpuak dan bersuku yang berpasak kuat di hati masyarakat manusia ketika itu berjaya dirungkai satu persatu oleh Baginda sallallahu alaihi wasallam.

Kesimpulan perbincangan pertama kita : Berbilang-bilang kebanyakkannya membawa kepada perpecahan , manakala perpaduan di bawah satu panji pastinya akan membawa kemenangan dan kemegahan kepada umat Islam.

KISAH SAYA DAN SYAIKHUNA MUKHTAR AL-JAZA’IRI HAFIZAHULLAH

Satu hari sekitar tahun 2005 saya berjalan bersama Syaikhuna Mukhtar al-Maliki al-Jaza’iri hafizahullah. Ulama muda daripada Negara Algeria ini merupakan lepasan Ma’had Fath al-Islami serta pelajar Sarjana University al-Azhar al-Syariff. Saya sempat mempelajari ilmu Nahwu, hadis dan sedikit perbahasan fiqh Maliki dengan Syaikhuna sepanjang bersama dengannya.

Waktu Maghrib sudah masuk hampir 10 minit. Kebetulan kami melalui sebuah masjid berdekatan dengan Hayyu Sabiek, Madinat Nasr Kaherah. Saya bersama Syaikhuna terus memasuki masjid tersebut. Namun , kami dapati solat jemaah telah selesai dilaksanakan. Syaikhuna lantas menarik tangan saya untuk menuju ke Masjid lain . Saya bertanya “ Kenapa perlu ke masjid lain? Bukankah boleh sahaja kita laksanakan solat secara berjemaah di bahagian belakang?”

Syaikhuna menjawab : “ Di sisi kami yang bermazhab Maliki, jika telah selesai solat jemaah di sebuah masjid yang punya Imam Tetap , maka dilarang bagi seseorang yang datang lambat untuk menunaikan solat secara jemaah di belakang jemaah pertama yang telah selesai. Ini berbeza dengan mazhab kamu ( Syaikhuna mengisyaratkan kepada mazhab yang saya pegangi iaitu Mazhab al-Imam al-Syafie radhiyallahu anhu)”

Saya kurang faham mengapakah para ulama Malikiyah mengeluarkan pendapat sedemikian. Lalu saya bertanya kepada Syaikhuna tentang kekeliruan tersebut.

Syaikhuna menjawab : “ Ini kerana, kita ingin menjaga perasaan Imam Tetap tersebut. Bimbang beliau terasa bahawa jemaah yang dilakukan selepasnya adalah kerana tidak menyukai dirinya serta kami tidak mahu melakukan banyak jemaah di dalam sebuah masjid yang sudah punya imam yang dilantik.”

MasyaAllah, terus terlintas dibenak fikiran saya, Betapa cantiknya perbezaan mazhab sehingga permasalahan perpecahan juga turut menjadi perbahasan utama hatta di dalam hukum berkaitan imam dan makmum.

Maka saya terfikir, jadi mengapa perlu ada banyak persatuan sedangkan persatuan pertama telah ada tertubuh ? Adakah kerana tidak menyukai pimpinan persatuan pertama maka perlu untuk ditubuhkan persatuan kedua? Atau merasakan bahawa pimpinan persatuan pertama kurang mantap dan sedap bacaannya dan tarbiahnya berbanding persatuan kedua?

Ya , permasalahan ini sama sahaja isunya.

BERBILANG-BILANG PERSATUAN SAMA SEPERTI BERBILANG MAZHAB???

Ada seseorang melontarkan soalan kepada saya : “ Apa kata jika kita menganggap bahawa berbilang-bilang persatuan ini adalah seperti berbilang-bilang mazhab? Maka sudah tentu tiada masalah”

Saya menjawab : “ Berbilang mazhab di dalam Islam adalah untuk membawa kemudahan kepada Umat Islam. Tidak terdapat seorang pun di kalangan umat Islam yang baik fikirannya akan beranggapan bahawa wujudnya empat mazhab di dalam Islam membawa kesusahan kepada umat. Adakah isunya sama seperti tertubuhnya banyak persatuan? Saya yakin kedua-dua belah pihak persatuan akan merasakan bahawa hakikatnya bukan kemudahan yang berlaku, malah perbalahan dan pertentangan”

Maka qiyas yang digunakan sudah tentu tidak sama natijahnya. Maka para ulama Usul Fiqh menamakan kaedah qiyas sebegini sebagai qiyas ma’a al-Fariq ( iaitu melakukan perumpamaan dengan perkara yang berbeza permasalahannya dan natijahnya).

Saya melalui kehidupan berpersatuan, dan bukanlah saya tidak pernah bertemu dengan kepimpinan sebelah pihak yang lain. Kita pernah bertemu dan berbincang mengapa perlu banyakkan? Mengapa ada tohmahan dan fitnah sana sini yang berlaku?

Pokok takkan bergoncang kalau tidak ada angin atau orang yang menggoncangnya.. Jika sebelah pihak tidak memulakan serangan dan merealisasikan "perpaduan TEORI" yang dicanangkan maka kita tidak akan sesekali bangkitkan isu ini. Namun sepatutnya pihak-pihak terbabit perlulah meneliti semula , di mana silapnya pergerakkan kita sehingga berlakunya perpecahan sebegini?

JANGAN BERTEORI SEMATA

Ramai yang suka berteori semata, namun tidak melihat kepada keadaan semasa serta hakikat yang berlaku di hadapan mata. Jika sudah nampak sekalipun, tetap dibutakan mata . Berteori dengan mengatakan bahawa berbilang-bilang sebenarnya membawa kebaikan.

Ya , kita tidak mengatakan bahawa berbilang-bilang itu keseluruhannya membawa keburukan. Namun kebanyakkannya ke arah keburukan. Jangan hanya melihat buruk itu pada maksiat semata. Luaskan skop pemikiran berkenaan “ BURUK”. Berpecah, berburuk sangka, merasakan kami yang terbaik, itu juga merupakan perkara yang BURUK.

Seseorang pernah mengeluarkan teorinya : “ Apa masalahnya kita berbilang-bilang persatuan dan jemaah? Anggap sahaja kita seolah-olah menaiki dua kapal menuju ke pulau ISLAM yang satu. Kan tidak ada masalah?”

Kita menjawab kembali: “ Ya itu jika tidak berlaku permasalahan di pertengahan jalan. Namun apa yang berlaku, kapal yang satu lagi belum pun sempat sampai ke Pulau ISLAM yang menjadi hadaf bersama telah dibom dipertengahan jalan. Maka masing-masing berbalas tembakan meriam. Akhirnya , kedua-duanya karam. Maka mulalah kapal Lanun-Lanun Antarabangsa mendarat di pulau Islam dan meratah isinya. Mengapa? Kerana teori-teori sebeginilah”

Umat Islam sekarang perlu hidup ke arah realiti. Jangan hanya suka berteori itu dan ini.

Jika di dalam Daulah Kecil semasa hidup bepersatuan kita sudah tidak mampu untuk melaksanakan perpaduan dan kesatuan. Maka tidak hairanlah nanti jika tertubuhnya Daulah Besar Kerajaan Islam akan tetap timbul permasalahan sebegini. Permasalahan tidak puas hati dengan Kepimpinan, Kepimpinan tidak mantap tarbiyahnya, Kepimpinan itu dan ini tetap akan timbul jika semasa berada di Daulah Kecil Persatuan tidak mampu dipraktikkan.

TIDAK BERSETUJU BUKAN BERMAKSUD MENAFIKAN KEWUJUDAN

Saya tidak menafikan bahawa berbilang-bilang itu wujud. Jika saya menafikan perkara tersebut maka bodohlah saya. Realitinya perkara tersebut telah berlaku. Cuma apa yang ingin saya persoalkan , mengapa perlu wujudnya berbilang-bilang?

Di sini bukan kita ingin timbulkan permasalahan gila kuasa dan sebagainya. Cuma ingin melaksanakan kaedah “ Pimpinan pertama yang perlu ditaati”. Maka jika sudah ada pimpinan pertama di sebuah kampung, mengapa perlu adanya sebuah lagi kumpulan yang datang dan ingin memimpin orang-orang kampung tersebut sedang kepimpinan pertama masih lagi mampu memimpin dan tidak membawa orang-orang kampung tersebut ke arah kerosakan dan maksiat?

SEJARAH MEMBUKTIKAN : PERPECAHAN MENGGEMBIRAKAN MUSUH, MELETIHKAN KAWAN

Charles Martil selaku pimpinan tentera Eropah semasa peperangan dengan umat Islam yang dipimpin oleh Abdul Rahman al-Ghafiqi rahimahullah mengatakan bahawa :

“ Kita tidak perku bertentangan dengan mereka secara berdepan. Ini kerana kesatuan niat mereka serta perpaduan yang mereka pegangi menyebabkan seorang lelaki di kalangan mereka sahaja sudah memadai daripada bilangan yang ramai untuk mengalahkan kita. Kesatuan hati mereka lebih hebat daripada perisai-perisai perang. Maka apa yang perlu kita lakukan sekarang adalah dengan mengalihkan pandangan mereka kepada perpecahan dan perebutan. Maka jika perkara sebegini berlaku , sudah tentu kita semua akan mudah menawan mereka”

Maka disebarkan secara sedikit demi sedikit fahaman perpecahan di kalangan umat Islam ketika tersebut. Apa yang berlaku selepasnya? Akhirnya Saidina Abdul Rahman al-Ghafiqi terpaksa memimpin tentera yang sudah mula berlaku perpecahan dalam di antara mereka. Setelah tujuh hari bertempur, Saidina Abdul Rahman al-Ghafiqi syahid di dalam peperangan tersebut. Umat Islam berada di dalam kerugian yang teramat sangat. Hasil perpecahan halus yang disebarkan musuh, menyebabkan pimpinan mereka sendiri terkorban. Allahu Allah.

Inikah yang kita kehendaki berlaku semula kepada umat Islam?

Perpaduan adalah sebuah mimpi ngeri kepada golongan musuh. Maka disebabkan itulah mereka menyebarkan dan terus menyebarkan api perpecahan dan pergolakan.

Seorang Oreantalis Barat , Laurance Brown mengatakan : “ Jika golongan muslimin bersatu di bawah satu daulah , maka ini akan menjadi laknat kepada alam dan akan menyebabkan bahaya besar berlaku . Namun jika mereka tetap berpecah dan bergolak , maka mereka akan berterusan di dalam keadaan lemah dan tiada memberi sebarang kesan kepada orang lain”

Kebanyakkan Oreantalis telah nampak akan hakikat perpaduan kepada umat Islam dan kebaikan perpecahan ini berterusan kepada mereka. Namun Umat Islam tetap leka, dan tetap menganggap bahawa kamilah yang punya tarbiyah terbaik lantas memandang rendah kepada umat Islam lain. Maka sampai bilakah akan berlakunya perpaduan jika sebelah pihak sahaja memperjuangkannya sedangkan tidak disambut baik oleh sebahagian yang lain?



Semoga semua dapat memikirkan dengan baik setiap perkataan yang saya coretkan di sini. Baca dengan hati terbuka dan fikiran yang matang. Jangan hanya cepat memberikan komentar itu dan ini sebelum cuba memahaminya dengan teliti. Bimbang akan terbuka pekung di dada.

Ya Allah, ampunkan dosaku jika hambaMu berlebihan. Amin Ya Rabbal A’lamin.

Rujukan :

1. تحديات سياسة تواجه الحركة الإسلامية karangan Mustafa al-Tahhan cetakan Darul Tauzi’ Kaherah

2. التمكين للأمة الإسلامية في ضوء القرآن الكريم oleh Dr Muhammad Sayyid Muhd Yusuf cetakan Darul Salam Kaherah

Mohd Nazrul Abd Nasir,
Penuntut Masjid al-Azhar al-Syariff & Masjid al-Asyraff
Rumah Kedah Transit Hayyu 7,
Kaherah, Mesir


Jumaat, 21 Mei 2010

Mari Bershalawat.. Lagu Untuk Peringatan Muda- Mudi


Baru-baru ini saya ada mendengar sebuah lagu daripada Wali Band ( Sebuah Band daripada Indonesia) . Ya walaupun saya bukanlah peminat lagu-lagu mereka namun saya tertarik dengan lagu Mari Berselawat yang dinyanyikan oleh mereka. Walaupun dengan rentak yang agak "ganas" namun apa yang menarik adalah lirik lagu tersebut.

Tentu ada yang akan bertanya : " Kenapa Ust Nazrul nak kena bagitau tentang lirik lagu ini pulak? Bukankah kumpulan-kumpulan nasyid juga ada menyanyikan lagu memuji serta berselawat kepada Baginda sallallahu alaihi wasallam? "

Saya menjawab : " Kumpulan nasyid memang sudah terkenal menyanyikan lagu-lagu sedemikian maka kita tak akan rasa pelik. Kita akan rasa pelik jika kebanyakkan golongan sebegitu jarang buat , tiba-tiba ada satu kumpulan yang melakukan kejutan. Maka disebabkan itulah saya paparkan di sini"

Kita tak pasti, kemungkinan satu masa nanti ahli Band ini akan menjadi seorang yang dekat dengan Baginda sallallahu alaihi wasallam berkat sebuah lagu selawat yang mereka nyanyikan dalam keadaan mereka sedar kekurangan yang ada pada diri mereka. Berbanding orang yang berselawat tetapi di dalam hati mereka penuh dengan sifat angkuh dan bongkak konon dirinya yang terbaik di sisi Allah taala malah menganggap selayaknya menerima anugerah Syafaat daripada Baginda sallallahu alaihi wasallam.


Moga-moga lagu ini akan menjadi syafaat kepada mereka di akhirat kelak bilamana bertemu Baginda sallallahu alaihi wasallam.



Sholatullah salamullah, ‘ala Thoha Rasulillah
Sholatullah salamullah, ‘ala Yasin Habibillah
Tawasalna bibismillah, wa bilhadi Rasulillah,
Wa kulli mujahidin lillah, bi ahli badri, ya Allah

Daripada kita pacaran
Lebih baik kita sholawatan
Daripada kita berduaan
Nanti bakal di hasut setan

Awas jangan dekat-dekatan
Kita ‘kan belum ada ikatan
Daripada dekat-dekatan
Mending kita sholawatan

Sholatullah salamullah, ‘ala Thoha Rasulillah
Sholatullah salamullah, ‘ala Yasin Habibillah
Tawasalna bibismillah, wa bilhadi Rasulillah,
Wa kulli mujahidin lillah, bi ahli badri, ya Allah

Bukan aku tak suka padamu
Bukan aku tak mau denganmu
Tapi aku mau liat dulu
Setebal apa imanmu

Sudahlah engkau lupakan
Anggap saja kita ta’arufan
Sudahlah ku jangan kau pikirkan
Mending kita sholawatan

Sholatullah salamullah, ‘ala Thoha Rasulillah
Sholatullah salamullah, ‘ala Yasin Habibillah
Tawasalna bibismillah, wa bilhadi Rasulillah,
Wa kulli mujahidin lillah, bi ahli badri, ya Allah

Mohd Nazrul Abd Nasir,
Rumah Kedah Hayyu 7,
Kaherah Mesir

Selasa, 18 Mei 2010

Benci Maksiat.. Bukan Si Pembuat Maksiat

Tertarik dengan ucapan yang disampaikan oleh Syaikhuna al-Allamah Habib Ali al-Jifri hafizahullah berkenaan “ Pandangan” . Saya terfikir kalau semua orang dapat amalkan seperti apa yang disampaikan oleh Syaikhuna al-Allamah sudah tentu akan wujudnya berbaik sangka dan berlapang dada dengan semua orang.

Kisah seorang ahli ibadah pada zaman Bani Israel yang tidak pernah melakukan maksiat selama hampir 500 tahun . Hebatnya beliau sehingga bilamana berjalan di bawah terik matahari maka beliau akan dilindungi awan. Namun disebabkan ada rasa takabbur di dalam diri bilamana bertemu dengan seorang ahli maksiat. Maka nikmat tersebut terus berpindah kepada si lelaki ahli maksiat tersebut. Mengapa boleh terjadi sedemikian? Ya, hanya kerana si lelaki ahli maksiat tersebut punya rasa rendah diri bilamana bertembung dengan ahli ibadah tersebut. Rasa tidak layak bilamana dirinya yang hina bertembung dengan seorang abid yang mulia. Manakala si abid, merasa jijik bilamana bertembung dengan ahli maksiat tersebut. Disebabkan sisi pandangan yang berbeza antara satu sama lain, maka ini menyebabkan nikmat yang Allah taala berikan kepada si abid iaitu dilindungi awan setiap kali berjalan terus berpindah kepada si lelaki ahli maksiat tersebut.

MasyaAllah, inilah sari pati ilmu Tasawuf yang diperjuangkan oleh para ulama Ahlusunnah Wal Jamaah. Tidak merasakan diri lebih daripada orang lain. Tidak merasakan bahawa hanya diri ini yang layak masuk ke Syurga Allah taala. Bilamana melihat seseorang yang tergelincir daripada jalan Allah taala, terus ditempelak dan dicaci maki zat si pembuat maksiat tersebut. Seolah-olah si ahli maksiat sudah tidak punya peluang untuk bertaubat. Kekadang lupa, kemungkinan orang yang kita caci maki kerana maksiat yang dilakukan olehnya mungkin bisa menjadi seorang yang lebih baik daripada si pencaci. Allah taala berhak membolak-balikkan hati seseorang.

BENCI MAKSIAT, BUKAN SI PEMBUAT MAKSIAT

Ini yang perlu ada pada seorang muslim yang sejati. Kita membenci maksiat dan kesalahan yang dilakukan bukannya zat pembuat maksiat tersebut. Perumpamaannya mudah :

“ Kita membenci bau busuk pada bangkai tersebut, bukannya pada bangkai itu sendiri. Ya kemungkinan bangkai tersebut adalah binatang peliharaan yang paling kita sayangi sebelum rohnya dicabut. Namun bilamana rohnya sudah dicabut, serta berlalunya waktu tertentu menyebabkan mayat tersebut berubah baunya menjadi busuk. Adakah dengan sebab bau busuk pada bangkai tersebut menyebabkan kita terus mencaci maki binatang kesayangan kita sendiri?”

Ya begitu juga dengan maksiat. Kita ibaratkan ianya sebagai bau busuk yang ada pada seseorang. Bau busuk tidak akan hilang jika semua hanya pandai mencai maki semata-mata. Namun apa yang sepatutnya kita lakukan adalah dengan menunjukkan kepada seseorang yang punya bau busuk tersebut cara yang terbaik untuk mengeluarkan dirinya daripada bau busuk itu.


SAYANG TAK SEMESTINYA BERDIAM DIRI

Ya, sayang kepada seseorang bukannya bermaksud kita akan berdiam diri bilamana melihat dirinya melakukan maksiat. Namun apa yang perlu dilakukan adalah mencari jalan terbaik bagaimana ingin mengubah perkara tersebut. Ini barulah sayang yang sebenar. Kalau kita berdiam diri daripada menegur , maka ini bermakna kita menyukai sahabat kita menjerumuskan dirinya ke dalam neraka. Sayangkah begitu?

Cara memalukan seseorang dihadapan orang ramai, menjatuhkan air mukanya bukanlah cara yang terbaik. Malah akan menyebabkan semakin jauh daripada kebenaran.

Kebanyakkan orang yang baik bilamana melihat seseorang tidak memakai tudung akan mengatakan : “ Ish.. Teruknya dia tu, tak pakai tudung!!” .

Mengapa kita tidak cuba mengubah perkataan kita kepada : “ Kenapa dia tak pakai tudung? Bukankah ianya wajib? Emm, mungkin dia tak dapat penjelasan sebenar berkenaan fadhilat memakai tudung. InsyaAllah selepas dia memahami akan hukum hakam memakai tudung dia akan berubah sedikit demi sedikit. Berkemungkinan dia akan jadi lebih baik daripada diri aku satu hari nanti”

KEMUNGKINAN DOSA YANG DILAKUKAN AKAN MENYEBABKAN DIRINYA HAMPIR DENGAN ALLAH TAALA

Jika difikirkan sedalam-dalamnya, ya mungkin inilah hikmahnya mengapa Allah taala menjadikan dosa dan pahala. Ada orang yang terfikir di benak fikirannya “ Mengapa perlu ada dosa? Kan sudah baik kalau yang ada hanya pahala semata.”

Jika berdosa barulah kita akan rasakan betapa diri ini hina di Allah taala, merasa ingin bertaubat serta menghampirkan serta meletakkan sempadan di antara dirinya dan dosa.

Mengapa perlu ada busuk? Rasanya sudah memadai jika wangi meliputi buana.

Cuba fikirkan sedalam mungkin. Jika tidak punya bau busuk, bagaimana kita boleh membezakan ini wangi dan itu busuk? Jadi semua yang Allah taala jadikan punya hikmahnya. Kita diberikan akal untuk berfikir. Gunakan akal untuk kebaikkan, gunakan akal untuk ISLAM, gunakan akal untuk UMMAH.

Semoga diri ini mampu beramal sebelum mengucapkannya. Amin Ya Rabb

Mohd Nazrul Abd Nasir,
Penuntut Ilmu Masjid al-Azhar al-Syariff & Masjid al-Asyraff,
Rumah Kedah Transit Hayyu 7,
Kaherah Mesir
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...