Kita sudah berkali-kali menjelaskan bahawa kita tidak bersetuju dengan pendapat Syeikhul Akbar Dr Muhammad Sayyid Tantawi hafizahullah di dalam beberapa perkara. Namun yang mengecewakan, ada pihak tertentu yang seolah-olah ingin mengheret kita bersama-sama mengutuk dan mencela ulama tersebut. Apa yang ingin saya tekankan adalah untuk menjaga adab dan tatasusila kita bila membahaskan tentang ulama. Jangan semangat membuta tuli. Ya, memang letih melayan orang-orang begini.
Masalah utamanya adalah tidak membaca dengan sebaiknya dan lebih melucukan ,mereka menyuruh orang lain berlapang dada dengan “ulama” kegemaran mereka dan seolah-olah menyuruh kita mengutuk dan menghina para ulama al-Azhar al-Syarif. Sudahlah.
Kamu tak setuju dengan Syeikh Muhammad Tantawi, itu hak kamu. Cuma pesan saya jangan heret kami semua untuk menjadi tidak beradab seperti kamu dan kamu. Itu sahaja.
*****
Ubah tajuk.
Hari Jumaat baru-baru ini, saya dan Along bergegas ke Masjid al-Asyraff untuk menghadiri majlis pengajian Muwatta’ , Syamail dan al-Hikam Ibn Ato’illah bersama Syaikhuna Murabbi Dr Yusri hafizahullah . Sampai di sana, selesai berzikir dan berselawat beramai-ramai ,tiba-tiba Syaikhuna bangun dan bersalaman dengan hadirin dan bergegas untuk keluar. Agak kecewa kerana kelas tiada pada hari itu. Saya mendapat tahu bahawa Syeikhuna akan berangkat ke Zaqaziq ( lebih kurang 100 KM daripada Kaherah) untuk menziarahi
Maqam al-Imam Yahya Mutawajji bil Anwar , abang sulung Sayyidah Nafisah rahimahumullah.
Maqam Sayyidi Yahya (Gambar di dalam Kawasan Maqam tidak dibenarkan untuk diambil)Tiga minggu lepas, al-Fadhil Ust Hairul dan Ust Juzaili sudah berkesempatan melawat maqam tersebut bersama Syaikhuna. Al-Faqir tidak berpeluang untuk bersama pada ketika itu. Namun Alhamdulillah, pada minggu ini al-Faqir berkesempatan untuk melawatnya bersama Syaikhuna tercinta. Kami berangkat secara konvoi dengan menaiki 5 buah kereta. Saya satu-satunya pelajar berbangsa Melayu yang turut serta di dalam Ziarah tersebut. Rasa agak bersalah dengan beberapa sahabat kerana saya tidak mengundang mereka bersama bimbang tiada tempat. Namun rupanya masih ada kekosongan. Mungkin tiada rezeki.
berpelukan dengan Syaikhuna Murabbi Dr Yusri hafizahullah sebelum bertolak pulang ke Kaherah
Sampai di Zaqaziq, kami memasuki sebuah perkampungan yang mana Maqam al-Imam berada di sana. Tiba di sana, kami masuk dan membacakan al-Fatihah kepada al-Imam. Syaikhuna al-Allamah al-Muhaddis Dr Usamah Sayyid al-Azhari hafizahullah mengajarkan kepada kami adab bagaimana melawat maqam para Auliya’ dan Asfiya’ ini ketika kami bersama-sama melawat maqam al-Imam al-Allamah al-Hafiz Ahmad al-Ghumari rahimahullah. Cara ketika kita sampai di maqam para auliya’ ini ialah dengan membaca :
التحيات لله السلام عليك أيها النبى و رحمة الله و بركاته, السلام علينا و على عباد الله الصالحين
Kemudian membacakan al-Fatihah
Dan kemudian membacakan Surah al-Ikhlas sebanyak 11 kali @ 12 kali (bacaan 12 kali adalah menurut pendapat al-Allamah al-Hafiz Ahmad al-Ghumari rahimahullah)
Selesai membaca kesemua perkara tersebut, kami terus menunaikan solat Asar secara Qasar berjemaah diimamkan oleh Syaikhuna Murabbi Dr Yusri hafizahullah. Seusai solat kami berzikir dan membaca Wazifah al-Zarruqiyah yang disebut
Safinah al-Naja li man ilallahi al-Tuja karangan al-Imam Zarruq rahimahullah. Alhamdulillah.
Al-Imam Yahya al-Mutawajji bil Anwar wafat pada tahun 204 keatas. Beliau sempat menunaikan solat jenazah al-Imam Syafie radhiyallahu anhu ketika di Mesir. Ketika di dalam perjalanan pulang ke tempat asal beliau, rombongannya diserang oleh tentera Mamalik dan beliau syahid. Namun , peristiwa tersebut dirahsiakan dan tiada siapa yang mengetahui dimanakah tempat beliau disemadikan. Pada tahun 1967, seorang ulama besar al-Azhar al-Allamah al-Arif Billah Mahmud Abu Hashim , guru kepada Syaikhuna al-Muhaddis Dr Umar Hasyim melalui kawasan kampung tersebut dan tiba-tiba beliau berhenti di sebuah rumah. Beliau meminta izin untuk masuk melihat ke dalam rumah tersebut. Beliau masuk ke sebuah bilik di dalam rumah tersebut dan pergi ke satu sudut rumah tersebut ( ditempat maqam sekarang berada) dan meletakkan satu tanda lalu berpesan kepada tuan rumah tersebut :
“Jangan dilangkahi tempat yang aku tanda ini”
Peristiwa tersebut berulang lagi bilamana Syeikh al-Arif Billah Solah juga melalui kawasan rumah tersebut. Beliau mengatakan bahawa tempat yang diletakkan tanda oleh al-Allamah al-Arif Billah Mahmud Abu Hashim mengeluarkan cahaya.
Selepas peristiwa itu, tuan rumah tersebut mendapat mimpi yang pelbagai. Malah pernah beberapa orang yang soleh mendengar suara daripada kawasan maqam menyuruh dengan menyebut
“keluarkan aku”.
Pada tahun 2005 maqam tersebut dijumpai dan orang yang menghadiri melihat dengan jelas wajah dan bentuk tubuh Sayyidina al-Imam Yahya al-Mutawajji bil Anwar, cucu Baginda sallallahu alaihi wasallam ini. Walau sudah hampir 1200 tahun wafat, namun jasadnya masih utuh tak dimakan tanah. Banyak lagi peristiwa menarik di Maqam tersebut yang tidak dapat saya ceritakan disini. Lebih baiknya, sahabat-sahabat pergi dan ziarahi sendiri maqam ahli keluarga Baginda sallallahu alaihi wasallam ini.
*****
puteri sulung Ustaz Hairul dan Ustazah Hafizah Satu lagi berita gembira ialah kelahiran puteri sulung Guru dan Sahabat saya al-Fadhil Ustaz Hairul Nizam Mat Hussain, mantan Presiden PMRAM. Seorang yang agak rapat dengan saya. Malah, perkahwinannya dengan Ustazah Hafizah pun atas bantuan saya menemukan mereka berdua.. hehe..
Alhamdulillah, contoh keluarga muslim yang baik. Tahniah atas kelahiran puteri sulung Ustaz Hairul dan Ustazah Hafizah. Semoga puteri ini mampu menjadi salah seorang serikandi pejuang Allah kelak. Membantu perjuangan PAS kelak. Amin Ya Rabb.
Saya sempat melawat Ustaz Hairul sekeluarga semalam. Memang geram kerana beliau selalu membuatkan saya iri hati dengan perkahwinan mereka. :)
berlatih pegang baby :)
Kalau tidak salah saya, Ustaz Hairul akan menamakan puterinya yang comel itu dengan nama Fatimah al-Nabawiyah. MasyaAllah. Moga Fatimah benar-benar menjiwai peribadi Sayyidatina Fatimah binti Rasulillah sallallahu alaihi wasallam kelak. Aminn.
Buat Mak dan Ayah di Kampung :“Ustaz Hairul dan Kak Fizah dah dapat anak, Bila pula mak dan ayah nak dapat cucu nie?” hehe.. Gurau je, Jangan marah..
Rindu pada mak dan ayah serta adik-adik dikampung.Doakan anakanda selalu ye.
Mohd Nazrul Abd Nasir,Penuntut Ilmu Masjid al-Azhar al-Syarif & Masjid al-Asyraff,Rumah Kedah Transit Hayyu 7,Kaherah, Mesir