Sabtu, 6 November 2010

Madrasah Fathul Mubin & Kerinduan Saya

Alhamdulillah, saya kira ini adalah tulisan kedua saya setelah tiba di bumi Malaysia tercinta. Terkadang rasa rindu terhadap bumi Anbiya’ Mesir . Rindu dengan kelas-kelas pengajian di sana. Rindu dengan pertemuan bersama para ulama di Masjid al-Azhar al-Syariff. Rindu dengan maqam para Wali Allah taala di Bumi Mesir.

Namun , rindu itu mampu juga terubat sedikit bilamana al-Alim al-Allamah al-Hafidz al-Syeikh Muhammad bin Ibrahim bin Abdul Ba’ith al-Kittani al-Husaini hafizahullah dapat bertandang ke bumi Malaysia umumnya , dan Kedah secara khususnya. Alhamdulillah, saya diberi peluang untuk bersama-sama Syaikhuna dan tinggal bersamanya selama hampir seminggu di rumah yang sama.

Saya tidak menyangka yang akhirnya guru kita yang mulia ini akan dapat bertandang ke rumah al-faqir dan seterusnya dapat menyampaikan pengajian di Masjid Jami’ul Khair Kampung Tong Pelu Pedu. Lebih menggembirakan saya ialah beliau berkenan untuk menziarahi tapak pondok yang akan saya dirikan kelak dan beliau juga telah menamakannya Madrasah Fathul Mubin Li al-Taffaqquh Fi Addin bersempena dengan nama Madrasah Syaikhuna terdahulu ketika beliau masih kecil dan tempat pertama beliau mula menghafal al-Quran. Tarikh 7 Zul Qa’dah 1431 bersamaan 15/10/2010 bertepatan jam 4 petang adalah merupakan tarikh keramat majlis doa dan menamakan madrasah oleh Syaikhuna di tapak pembinaan tersebut.

Syaikhuna Muhammad Ibrahim Abdul Ba'ith al-Kittani hafizahullah sedang berkata sesuatu di tapak pembinaan Madrasah Fathul Mubin di Pedu

Ramai yang turut hadir memberikan semangat buat al-Faqir. Tanah seluas 5 relung bersamaan 2 ½ ekar ini serta kedudukannya yang berada di bukit dan mempunyai sungai kecil di dalam kawasan tanah tersebut , saya kira sangat membina untuk proses pembelajaran dan pentarbiyahan. Jadi al-Faqir perlu untuk mengorbankan masa setiap tahun untuk pulang ke kampung halaman bagi menguruskan pembinaan dan pembangunan Madrasah tersebut. Bantuan daripada orang-orang yang berpengalaman sangat-sangat saya perlukan bagi menjayakan pembinaan ini.

Konsep “madrasah di dalam taman” merupakan perkara yang saya idamkan. Namun ianya bukanlah matlamat utama saya di dalam pembinaan Madrasah tersebut. Matlamat utama pembinaannya adalah untuk memberikan pendidikan spiritual dan fizikal kepada anak bangsa beragama Islam demi mendapatkan keredhaan Allah taala kelak.

Saya membuat perkiraan secara rambang , pembinaan madrasah Fathul Mubin Littafaqquhi Fi al-Din ini mungkin menelan belanja hampir RM 3,000,000.00. Mungkin ada yang terkejut bila mendengarnya. Namun , nilai sebegitu tidaklah dikira banyak jika dibandingkan dengan pembinaan istana Raja-raja Melayu dan pemimpin-pemimpin Melayu di Malaysia khususnya . Pembinaan istana-istana mereka bukan untuk ummat tetapi sekadar peribadi semata-mata.

Moga Allah taala meredhai usaha ini. Berkat doa para ulama dan para pencinta ilmu sekalian.

Mohd Nazrul Abd Nasir,
Penuntut Ilmu Masjid al-Azhar al-Syariff & Masjid al-Asyraff
Wangsa Maju, Selangor Darul Ehsan
4.00 Petang

2 ulasan:

  1. Assalamu'alaikum ya ustaz..harap2 shat selalu dlm rahmat Allah bersama zaujah tercinta.jutaan tahniah sy ucapkan di atas semua ni.smpai x tau nk kata pa dh..nk cita punya seronoknya tu...hehehe.bleh la nnti sy pi ngaji ngn ustaz di pondok ustaz plak.pastu hantaq anak sy plak ngaji sna..i.Allah....doakn sy sama ustaz...

    BalasPadam
  2. Waalaikumussalam ust hakimi.. ust hakimi bukan kena mai mengaji kat pondok nanti..tapi ana nak mintak tolong ngajar kat pondok ana tue..

    boleh ana tumpang ngaji kat ust hakimi sekali.. doakan ye moga diberkati

    BalasPadam

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...