Sabtu, 5 Jun 2010

Perbahasan Haiwan .. Zirafah dan Harimau..

Sekali lagi kita akan sama-sama berbincang berkenaan haiwan yang boleh dimakan atau tidak boleh dimakan. Semalam semasa kelas bersama Syaikhuna Murabbi Dr Yusri hafizahullah menceritakan berkenaan haiwan yang perlu dikeluarkan zakat. Semasa pengajian, Syaikhuna ada menyebut tentang binatang-binatang malah beliau mengatakan bahawa setiap binatang sepatutnya perlu kepada perbahasan ilmiyah untuk pengetahuan. Jadi pada hari ini saya berkeinginan untuk membahaskan berkaitan dengan beberapa jenis haiwan untuk pengetahuan umum serta permasalahan berkenaan hukum-hakam berkenaan binatang tersebut.


ZIRAFAH

Mungkin sudah ramai mengetahui tentang binatang ini cuma tidak secara terperinci berdasarkan pandangan para ulama terdahulu. Sebutan zirafah adalah di dalam Bahasa Melayu. Manakala di dalam Arab perkataan Zirafah disebut dengan Zarafah atau Zurafah.

Al-Imam al-Quzwini rahimahullah menyebutkan di dalam kitabnya al-A’jaib al-Makhlukhat bahawa kelainan di antara Zirafah dan binatang berkaki empat yang lain adalah bilamana Zirafah ingin memulakan langkah maka ia akan memulakan dengan kaki kiri bahagian belakang dan kaki kanan bahagian hadapan. Ini berbeza dengan haiwan berkaki empat yang lain.

Disebutkan di dalam kitab Tarikh Ibn Khallikan bahawa Muhammad bin Abdullah al-Utabi al-Basri al-Akhbari al-Sya’ir mengatakan bahawa Zurafah atau Zarafah ini berasal daripada gabungan tiga jenis haiwan. Ianya adalah gabungan daripada unta betina liar, lembu betina dan dubuk jantan. Menurutnya bilamana dubuk jantan melakukan hubungan dengan unta betina liar , jika anak yang dilahirkan adalah anak jantan maka kemudiannya anak tersebut pula melakukan hubungan dengan lembu betina maka akan lahirlah Zirafah.

Namun Al-Jahiz tidak bersetuju dengan pendapat ini malah beliau mengatakan bahawa pendapat seperti itu hanyalah keluar daripada kejahilan yang melampau. Ini kerana Allah taala berhak untuk mencipta apa sahaja binatang seperti kuda , himar dan sebagainya.

Maka saya agak bersetuju dengan kalam al-Jahiz walaupun beliau merupakan seorang yang beraqidah Muktazilah.

HUKUM MEMAKAN ZIRAFAH

Al-Imam al-Damiri rahimahullah menyebutkan di dalam kitabnya Hayat al-Hayawan al-Kubra bahawa terdapat dua pendapat di dalam permasalahan hukum memakan zirafah.

Pendapat pertama mengatakan bahawa hukum memakan Zirafah adalah haram. Ini seperti yang dikeluarkan oleh al-Imam al-Nawawi rahimahullah (wafat 676 H) di dalam Majmu’ Syarah Muhazzab dan al-Imam Abu Ishak al-Syirazi rahimahullah (wafat 467 H) di dalam al-Tanbih. Al-Imam al-Qadhi Abu al-Khattab al-Hanbali juga mengatakan bahawa zirafah haram dimakan. Sebahagian ulama mengatakan bahawa ini kerana dikatakan zirafah adalah binatang yang dilahirkan hasil persetubuhan binatang yang halal dan haram dimakan. Maka dengan menggunakan kaedah :


Pendapat kedua mengatakan bahawa hukum memakannya adalah halal. Ini berdasarkan fatwa al-Syeikh Taqiyuddin Ibn Abi al-Dam al-Hamwi dan beliau menukilkan daripada fatwa al-Qadhi Hussain al-Syafie. Al-Imam Ibn Rif’ah mengatakan bahawa pendapat ini yang muktabar sepertimana yang difatwakan juga oleh al-Imam al-Baghawi rahimahumullah.

Al-Imam al-Qadhi Hussain rahimahullah mengatakan bahawa : Aku mengatakan bahawa ianya halal dimakan kerana ianya lebih mirip kepada binatang yang halal dimakan iaitu Unta dan Lembu. Maka ini dalil yang mengatakan bahawa ianya adalah halal dimakan.

Tentu ramai tertanya-tanya mengapa al-Imam al-Nawawi rahimahullah mengatakan bahawa ianya haram dimakan?

Al-Imam al-Qadhi Hussain rahimahullah mengatakan bahawa ini berkemungkinan al-Imam al-Nawawi meletakkan hukum berdasarkan kepada penggunaan bahasa Arab terhadap binatang buas atau di sebut السباع . Maka bilamana al-Imam al-Nawawi mendengar bahawa Zirafah adalah termasuk di dalam haiwan jenis al-Siba’. Maka beliau mengatakan bahawa ianya adalah haram dimakan. Ini juga berkemungkinan bahawa al-Imam al-Nawawi tidak pernah melihat binatang yang bernama Zirafah ini.

Nah, cuba kita lihat betapa beradabnya para ulama kita sesama mereka. Tidak seperti sekarang, bilamana tidak sependapat atau tidak seperti apa yang dia ketahui maka akan dituduh orang ini melakukan bid’ah, khurafat, jahil murakkab dan sebagainya. Adab sebegini yang patut kita teladani dan santuni.

Al-Imam al-Damiri rahimahullah bersetuju dengan pendapat yang mengatakan bahawa ianya adalah harus untuk dimakan. Ini juga merupakan pendapat Mazhab al-Imam Ahmad dan al-Imam Malik serta al-Imam Abu Hanifah rahimahumullah.


HARIMAU

Harimau di dalam Bahasa Arab disebutkan sebagai النَمِر . al-Imam al-Damiri rahimahullah mengatakan bahawa harimau adalah binatang yang yang lebih teruk daripada Singa. Ini kerana ianya merupakan jenis yang tidak dapat menahan kemarahan. Jika seekor harimau tersebut terlalu marah, maka ia sanggup membunuh dirinya sendiri.

Al-Jahiz menyebutkan bahawa Harimau juga merupakan binatang yang suka berbangga diri. Jika seekor harimau itu lapar, maka ia akan tidur selama tiga hari ,namun yang menjadi keajaiban adalah bau mulutnya tidak akan berubah malah menjadi wangi walaupun tidur di dalam jangka masa yang lama. Ini berbeza dengan binatang buas yang lain.

Jika seekor harimau tersebut sakit, maka ia akan memakan tikus sebagai ubat sakitnya. Maka dengan izin Allah taala , ia akan sembuh daripada penyakitnya. Al-Jahiz juga menyebutkan bahawa harimau sangat menyukai arak. Ia akan meminum arak yang diberikan sebelum berburu.

HUKUM MEMAKAN HARIMAU

Hukum memakan harimau adalah haram . Ini kerana ianya termasuk jenis binatang buas yang sangat merbahaya. Selain itu ianya juga termasuk di dalam larangan Baginda sallallahu alaihi wasallam kerana ianya merupakan binatang yang berburu menggunakan taring.

Berkenaan kulit harimau, al-Imam Ibn Sholah rahimahullah menyebutkan di dalam Fatawa Ibn Sholah bahawa : Ianya adalah najis sebelum disamak sama ada harimau tersebut disembelih atau tidak.

Namun jika ianya disamak , maka kulitnya akan menjadi suci tetapi bulu yang terdapat di atasnya tetap dihukumkan sebagai najis.


Rujukan :

Hayat al-Hayawan al-Kubra oleh al-Allamah al-Imam Kamaluddin al-Damiri al-Syafie cetakan Darul Ma'rifah

Mohd Nazrul Abd Nasir,
Rumah Kedah Transit Hayyu 7,
Kaherah Mesir

1 ulasan:

  1. Assalamualaikum ustaz,
    Saya ada satu soalan. berkenaan boikot,
    bolehkah kita membeli cd cetak rompak(contohnya perisian computer/window) dengan niat untuk memboikot?
    Sbbnya, perkara ni bertentangan dengan hukum haram membeli bahan cetak rompak sedangkan pemiliknya mempunyai hakcipta, dan Islam memperakui hakmilik seseorang hatta bukan islam sekalipun.
    Jadi saya memohon penjelasan dari Ustaz.

    BalasPadam

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...