Jumaat, 25 September 2009

Dialog Ilmiyah Siri Ke-2 .. Ikuti Dengan Teliti Semoga Mendapat Manfaat


Ahmad tidak sabar-sabar menanti fajar esok menyinsing.Pertemuan semalam bersama Tuan Guru benar-benar memberikan faedah yang tiada tolok bandingnya.Teringat kata-kata seorang ulama “ Kalaulah para raja mengetahui apa yang kami rasai(manisnya ilmu)maka tentulah mereka akan memerangi kami untuk mendapatkannya”.

Setelah tiba waktu yang dijanjikan , Ahmad bergerak ke rumah Tuan Guru.Kali ini ditemani seorang kawannya iaitu Ibrahim yang turut berminat di dalam pengkajian ilmu sirah Islamiyah ini.Sebelum sampai di rumah Tuan Guru , Ahmad memberhentikan kenderaaannya buat membeli sedikit ole-ole buat Tuan Guru yang dikasihi.

********

Ahmad : Assalamualaikum…

Tuan Guru : Waalaikumussalam warahmatullah, Ahmad.. Tepat seperti yang dijanjikan semalam ye.Kebetulan Ustazah kamu masakkan nasi goreng istimewa pagi ini.Marilah kita makan dahulu sebelum sambung perbincangan kita yang tertangguh semalam.

Ahmad berbisik kepada Ibrahim : Rasa segan pula, setiap kali datang terasa seperti menyusahkan Tuan Guru sahaja.

Mereka makan sambil berbual-berbual ringan berkenaan isu semasa yang berlaku di negara Malaysia.Memang tidak dapat dinafikan betapa ilmu Tuan Guru menggunung.Bukan hanya isu agama dapat dikupasnya malah isu semasa negara juga dapat dikupasnya dengan menarik dan berlandaskan syarak.Selesai makan mereka bergerak ke ruang tamu.Sambil minum teh o panas yang dibuat oleh Ustazah (Isteri kepada Tuan Guru) mereka duduk-duduk sambil menghirup udara pagi yang benar-benar segar.

Tuan Guru : Baiklah,Bagaimana dengan perbincangan kita semalam?

Ahmad : Alhamdulillah Tuan Guru, perbincangan ringkas yang sangat padat.Tak sabar saya menanti hari ini.Rasa menyesal semalam tidak bawa perakam suara.Sebab itu hari ini saya bawa perakam suara untuk merakam perbualan kita.

Tuan Guru tersenyum melihat keletah Ahmad.Jauh disudut hatinya tersimpan rasa kagum kepada anak muda yang benar-benar mencintai agama.Ya, Allah taala juga pernah berfirman di dalam hadis QudsiNya melalui kalam Baginda sallallahu alaihi wasallam yang bermaksud : “Allah taala turut kagum(pandangan Rahmat ) dengan seorang pemuda yang mana tidak terpengaruh dengan syahwatNya pada ketika masih muda

Tuan Guru : Perbincangan kita terhenti di mana ye?

Ahmad : Semalam kita hanya sempat bincang sehingga kepada para ulama yang mengatakan bahawa al-Imam Ibn Ishak rahimahullah boleh dibuat sandaran hujah @ Thiqah.

Tuan Guru : Baiklah , ada apa-apa yang perlu saya terangkan lagi kepada kamu Ahmad?Atau ada perkara yang kamu rasakan kurang jelas ?

Ahmad : Boleh Tuan Guru terangkan para ulama yang memberikan kritikan kepada al-Imam Ibn Ishak?

Tuan Guru : Memang terdapat sebahagian ulama yang mengkritik al-Imam.Ini perkara yang biasa bagi seorang ulama.Bagaimana kita akan menjadi seorang yang berketerampilan jika tidak pernah dikritik?Hanya Rasulullah sallallahu alaihi wasallam dan para anbiya yang lain sahaja tidak boleh dikritik.Itupun, para anbiya’ terdahulu tetap diberikan teguran dan kritikan oleh Allah taala.Kritikan hakikatnya jika kita melihat daripada sudut positif maka akan menjadi positif.Sebaliknya yang suka mencari kelainan daripada para ulama umumnya akan meletakkan kritikan ini sebagai satu senjata menjatuhkan al-Imam Ibn Ishak.Ini jelas bertentangan dengan prinsip ilmu Islam.

Berbalik kepada persoalan kamu, antara ulama yang mengkritik al-Imam Ibn Ishak ialah al-Imam Yahya bin Said al-Qattan, al-Imam Malik bin Anas, al-Imam Sufyan, Imam Hammad bin Salamah, al-Imam Saadi,al-Imam Yazid ibn Zari’, al-Imam Nasa’ie dan al-Imam Jauzajani rahimahumullah.Ini semua kamu boleh rujuk daripada kitab al-Kamil fi Dhuafa’ al-Rijal , Kitab al-Dhuafa’ linnasa’ie, Kitab al-Dhuafa’ Li Abi Zur’ah al-Razi,Tarikh Uthman al-Darimi, Su’alat al-Burqani dan Kitab Ahwal Rijal.

Maka kamu perlu mengambil sedikit masa untuk mencari dan menkaji secara terperinci berdasarkan kitab-kitab yang saya sebutkan.

Ibrahim : Tapi Tuan Guru , saya pernah terbaca berkenaan kritikan-kritikan tersebut daripada tulisan seorang Ustaz ini.Hujahnya dilihat agak kuat seolah-olah al-Imam Ibn Ishak terus dianggap sebagai seorang penipu di dalam ilmu hadis.Tuduhan menipu @ Kazzab ini adalah tuduhan berat Tuan Guru.

****

Tuan Guru tersenyum sambil memanggil isteri kesayangannya.Ustazah Ummu Muhammad memang terkenal sebagai pendamping setia kepada Tuan Guru.Malah Ustazah Ummu Muhammad juga dalam diam turut merupakan salah satu gudang ilmu milik Tuan Guru.Isteri kesayangannya dipanggil untuk membantunya mengambilkan sebuah kitab karangan al-Imam Abi Ahmad bin Adiy al-Jurjani rahimahullah iaitu kitab al-Kamil fi Dhuafa’ al-Rijal.

*****

Ustazah Ummu Muhammad : Jilid berapa ya bang?

Tuan Guru : Jilid enam ya Ummu Muhammad.

Sebentar kemudian Ummu Muhammad menyerahkan kitab tersebut kepada suaminya yang tercinta.

Tuan Guru menyambung semula perbahasan setelah menyelak helaian kitab turath tinggalan ulama silam ini.satu demi satu helaian diselaknya dengan berhati-hati.Setiap gerak langkah Tuan Guru diperhatikan oleh kedua-dua anak muda yang penuh dengan adab Islam ini.

Tuan Guru: Benar Ibrahim, memang ada ulama yang menyebutkan bahawa al-Imam Ibn Ishak itu dituduh sebagai Kazzab @ penipu. Namun jika kamu sebagai seorang Qadhi, tidak boleh kamu jatuhkan hukuman setelah mendengar penjelasan sebaik-baiknya.Betul atau tidak? Atau kamu sekadar mendengar satu pihak mengeluarkan tuduhan manakala satu pihak lagi terkontang kanting tidak diberikan peluang.

Kenapa saya ambil kitab ini?Tidak lain untuk saya menunjukkan kepada kalian nas sebenar yang dinukilkan oleh al-Imam Ibn Adiy rahimahullah tentang mengapa sebahagian ulama mengatakan bahawa al-Imam Ibn Ishak sebagai Kazzab.Jika kita kaji dengan teliti, kalam para ulama yang mengkritik dengan mengatakan bahawa al-Imam Ibn Ishak ini adalah seorang Kazzab akan kembali kepada al-Imam Malik dan Imam Hisyam bin Urwah.

Cuba kamu tengok dengan jelas kalam ini.

أخرج ابن عدى بسنده عن سليمان بن داود قال : قال لى يحيى بن سعيد القطان : أشهد أن محمد بن إسحاق كذاب قال : قلت : ما يدريك؟ قال : قال لى وهيب بن خالد أنه كذاب قال : قلت لوهيب : ما يدريك ؟ قال : قال لى مالك بن أنس : أشهد أنه كذاب , قلت لمالك : ما يدريك ؟ قال هشام بن عروة : أشهد أنه كذاب , قلت لهشام : و ما يدريك ؟ قال : حدث عن امرأتى فاطمة بنت المنذر, و أدخلت عليّ و هى بنت تسع , و ما رآها رجل حتى لقيت الله

Maksudnya : Telah dikeluarkan oleh Ibn Adiy daripada sanadnya yang diriwayatkan daripada Sulaiman Bin Daud katanya : Yahya bin Said al-Qattan telah berkata kepadaku : Aku bersaksi bahawa Muhammad bin Ishak adalah seorang penipu@ kazzab.Aku bertanya ( Sulaiman) : Apa yang menyebabkan kamu berkata sedemikian? Kata Yahya : Wuhaib bin Khalid yang mengatakan kepadaku bahawa Muhammad bin Ishak adalah kazzab. Aku bertanya( Sulaiman ) pula kepada Wuhaib: Apa yang menyebabkan kamu berkata sedemikian? Maka kata Wuhaib : Malik bin Anas yang mengatakan sedemikian. Maka aku bertanya pula kepada Malik bin Anas tentang perkara ini : Maka kata Malik : Apa yang menyebabkan kamu berkata sedemikian? Maka jawab Malik : Hisyam bin Urwah mengatakan bahawa aku bersaksi Muhammad bin Ishak adalah kazzab. Maka aku bertanya pula kepada Hisyam : Apa yang menyebabkan kamu berkata sedemikian? Kata Hisyam : Muhammad bin Ishak mengatakan bahawa dia telah meriwayatkan hadis daripada isteriku Fatimah binti Munzir.Sedangkan Fatimah berkahwin denganku ketika berumur 9 tahun dan beliau tidak pernah dilihat oleh mana-mana lelaki sehinggalah beliau meninggal dunia.

Nah Ibrahim, cuba kamu perhatikan dengan teliti perbahasan ini.Apa sebab yang menyebabkan sebahagian ulama mengatakan Muhammad bin Ishak adalah Kazzab?Hanya kerana al-Imam Hisyam bin Urwah menafikan periwayatan hadis Muhammad bin Ishak daripada isterinya Fatimah binti Munzir rahimahallah.

Malah al-Imam Ahmad bin Hanbal turut memberikan pembelaan kepada Muhammad bin Ishak dengan mengatakan bahawa mungkin al-Imam Muhammad bin Ishak mengambil riwayat daripada Fatimah binti Munzir melalui belakang pintu atau ketika Saidatina Fatimah binti Munzir keluar menuju ke Masjid untuk solat. Dan mungkin juga Muhammad bin Ishak datang meminta izin untuk bertemu Fatimah binti Munzir untuk meriwayatkan hadis sedangkan Hisyam tidak mengetahui perkara ini.

Al-Imam Ibn Hibban menyebutkan di dalam kitab al-Thiqaat oleh al-Imam Ijli rahimahullah : Perkara ini ( meriwayatkan tanpa melihat orang tersebut) bukanlah sesuatu yang menjatuhkan seorang ulama di dalam ilmu hadis.Ada di kalangan Tabien seperti al-Aswad dan Alqamah yang meriwayatkan daripada Saidatina Aisyah radhiyallahu anha tanpa melihat kepadanya.Bahkan hanya mendengar suara Saidatina Aisyah.Begitu jugalah dengan Ibn Ishak, beliau hanya mendengar suara daripada Fatimah tanpa melihatnya.

Ahmad : Tuan Guru, bagaimana pula dengan kalam Imam Malik yang mengatakan bahawa Ibn Ishak itu kazzab?

Tuan Guru : Ahmad, jika kita pelajari dengan teliti ilmu Jarah wa Ta’dil (ilmu komentar tentang perawi hadis) maka kita akan dapat ketahuinya secara teliti.Permasalahan Imam Malik mengkritik al-Imam Ibn Ishak ini termasuk di dalam permasalahan komentar @ kritikan daripada sesama ulama sezaman atau di dalam bahasa Istilah para ulama hadis ialah al-Aqran.

Al-Imam Bukhari rahimahullah juga turut memberikan pendapat di dalam permasalahan ini di dalam kitabnya al-Qiraah Khalfa al-Imam dengan mengatakan bahawa tidak akan selamat seseorang tersebut daripada tohmahan orang lain kepadanya.Tohmahan sebegini tidaklah menjatuhkan kredebilitinya sebagai seorang ulama hadis.Kritikan tersebut perlu dengan hujah ilmu dan dalil yang menguatkannya.Malah al-Imam Ibrahim pernah mengkritik al-Sya’bi sepertimana al-Sya’bi mengkritik Imam Akramah.Ini tidaklah menjatuhkan kredebiliti mereka sebagai ulama hadis terkemuka.al-Imam Ibn Abdil Bar rahimahullah juga turut memberikan pendapat yang hampir sama dengan al-Imam Bukhari rahimahullah.Ini disebutkan didalam kitabnya Jami’ Bayan al-Ilm.

Jadi kesimpulannya, tohmahan daripada al-Aqran ( ulama sezaman) tidak memberikan kesan jika tiada bukti kukuh di atas tuduhan dan tohmahan tersebut.

Malah jika kamu kaji dengan teliti al-Imam Malik bukanlah marah kepada Muhammad bin Ishak kerana beliau tidak pandai di dalam bidang Hadis. Malah al-Imam Malik marah kepada al-Imam Muhammad bin Ishak kerana beliau selalu mengambil cerita-cerita peperangan Baginda sallallahu alaihi wasallam daripada cucu cicit Yahudi yang telah masuk Islam.Maka beliau sering bertemu dengan mereka mengambil cerita-cerita pelik daripada cucu cicit Yahudi tersebut. Maksudnya al-Imam Malik marah disebabkan perkara ini.Bukannya semua perkara Imam Malik mengkeji al-Imam Ibn Ishak.al-Imam Ibn Ishak juga mengambil ilmu tersebut untuk pengetahuan dirinya bukan sebagai sandaran hujah. Ini disebutkan oleh al-Imam Ibn Adiy di dalam kitabnya al-Thiqaat jilid ke 7.

Ibrahim : MasyaAllah, banyak benar perkara yang baru sekarang saya mendapatkan pencerahan.Selama ini saya merasakan segala tulisan yang ditulis oleh golongan yang menggelarkan diri mereka sebagai “pemurni sirah” ini adalah benar belaka.Rupanya banyak perkara yang mereka sembunyikan hanya sekadar ingin membenarkan pihak mereka dan mempersalahkan ulama lain.

Tuan Guru: Sebab itulah ilmu ini perlu berguru wahai Ibrahim.Tidak cukup dengan hanya membaca semata-mata.Jika hanya membaca tanpa berguru maka akhirnya diri rasa syok sendiri.Merasakan dirinya sudah lengkap, tidak boleh ditegur.Adab juga telah lenyap.Terus meletakkan sangka buruk kepada para ulama terdahulu.Seolah-olah para ulama dahulu yang menerima kitab al-Imam Ibn Hisyam dan Ibn Ishak rahimahumallah adalah golongan yang tidak mengkaji seperti mereka.Sedang jika dibandingkan masa belajar para ulama dengan mereka jauh panggang dari api.Entah bilalah golongan ini mahu sedar.Moga Allah taala membantu mereka dan memberikan sinar hidayah.

Ketika ditamatkan perbualan azan zohor telah berkumandang di Masjid berdekatan rumah Tuan Guru.Maka mereka berhenti berbincang sebentar dan bersiap-siap menuju ke Masjid untuk menunaikan solat berjemaah.

Tuan Guru : Lepas solat nanti kita makan nasi, Ustazah Ummu Muhammad dah masakkan masakan istimewa untuk kita.Jadi selepas itu bolehlah kita sambung semula perbincangan kita yang tertangguh.Masih banyak yang perlu kita terangkan tentang al-Imam Ibn Ishak.

Ahmad dan Ibrahim mengangguk setuju.Mereka mengucapkan jutaan terima kasih kepada Tuan Guru di atas pengorbanan masa dan tenaga hanya semata-mata untuk berbincang tentang perkara ini.

*******

P/S : akan di sambung perbahasannya pada esok hari ..Nantikan ye..

Mohd Nazrul Abd Nasir,
Penuntut Masjid al-Azhar dan Masjid al-Asyraff,
Rumah Kedah Hayyu 10,
Kaherah Mesir..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...