Jumaat, 24 Julai 2009

Isra' Dan Mi'raj ..Satu Pandangan Dan Pengajaran

Sudah lama tidak menulis.Bukan merajuk .Cuma masa yang terlalu mencemburui.Penulisan ilmiyah perlukan masa dan isi yang benar-benar padat.Penulisan melalui blog berbeza dengan penulisan kertas kerja dan kitab. Penulisan di dalam blog perlu ringkas dan padat.Ini kerana ramai orang yang tidak mampu untuk menatap mata secara lama pada skrin computer.Apatah lagi jika tulisan tersebut kecil dan padat.

Sekarang saya lebih banyak menumpukan penulisan melalui kertas kerja dan risalah kecil.InsyaAllah sedikit masa lagi akan terbit himpunan risalah kecil hasil tulisan saya yang membincangkan tajuk-tajuk penting di dalam ilmu Islam.

Seperti yang kita semua sedia maklum, sekarang adalah waktu untuk kita membincangkan berkenaan peristiwa penting yang benar-benar mengemparkan dunia dan isinya,peristiwa yang bisa memisahkan antara haq dan batil, peristiwa yang mampu menentukan mana satukah sahabat ketika susah dan senang dan seribu satu hikmah di sebalik peristiwa tersebut.

Ya , tidak lain dan tidak bukan tentu sekali peristiwa bersejarah Isra’ dan Mi’raj. Kita semua sedia maklum, setiap perkara yang dibincangkan di dalam al-quran tentu sekali perkara tersebut amat penting dan perlu diambil perhatian.

Kita hairan, bilamana terdapat segelintir pihak yang seringkali kita tersenyum sinis bila mendengar hujah mereka mengatakan bahawa antara perkara bid’ah yang tidak pernah dibuat oleh Baginda sallallahu alaihi wasallam adalah diadakan Majlis memperingati Isra’ dan Mi’raj Baginda sallallahu alaihi wasallam.Satu sangkaan yang benar-benar dangkal dan kurang memahami manhaj dakwah yang sebenar.

Bagaimana kita boleh katakan bahawa Majlis Memperingati Isra’ dan Mi’raj adalah bid’ah sedangkan ianya dirakamkan oleh Allah taala sendiri di dalam al-Quran.Bukankah al-Quran untuk kita pelajari dan kita ambil iktibar daripadanya?Bukankah ketika ayat Isra tersebut dibacakan tentu ramai akan tertanya-tanya bagaimanakah caranya Baginda sallallahu alaihi wasallam dibawa oleh Allah taala pada malam tersebut dengan masa yang singkat dan cepat? Bukankah Baginda sallallahu alaihi wasallam juga pernah menceritakan peristiwa tersebut kepada para sahabat ridwanullah alaihim ajma’in seperti yang dirakamkan oleh para ulama hadis terkemuka seperti al-Imam Bukhari dan Muslim di dalam kitab mereka?

Bilamana ianya disebutkan , tentu sekali untuk diceritakan dan diambil iktibar oleh generasi mendatang yang semakin lalai dan jauh daripada Allah taala.Maka para ulama Islam mengambil pendekatan perlu diadakan Majlis sebegini untuk memberikan peringatan dan menambahkan kecintaan kepada Baginda sallallahu alaihi wasallam.

Peristiwa ini boleh menjadi serampang dua mata kepada umat Islam.Ianya dapat menjadi peringatan kepada golongan yang lalai dan ianya juga dapat menjadi sebuah kisah yang mampu menambahkan kecintaan dan keimanan kepada Baginda sallallahu alaihi wasallam.

Para ulama Islam membahaskan di dalam kitab-kitab mereka dengan menyebutkan sesiapa yang mengingkari peristiwa Isra’ maka boleh dihukumkan Kafir kepadanya.Manakala yang mengingkari Mi’raj Baginda sallallahu alaihi wasallam maka sekadar dihukumkan fasiq.

Saya bertanya kepada Syaikhuna al-Allamah al-Adib Dr Fathi Hijazi semasa majlis Isra’ dan Mi’raj semalam berkenaan perkara ini.Apakah sebabnya para ulama membezakan kedua-dua perkara ini di dalam meletakkan hukum sedangkan peristiwa tersebut berlaku pada malam yang sama?

Jawapan yang diberikan oleh Syaikhuna sangat ringkas dan padat. Beliau menjawab :

“ Para ulama Islam cukup berjaga-jaga di dalam meletakkan sesuatu hukum.Golongan yang mengingkari hukum yang jelas di dalam al-Quran maka tentu sekali akan dihukumkan kafir.Ini kerana ayat Isra’ sangat jelas diterangkan oleh Allah taala di dalam ayat pertama surah al-Isra’.Allah taala berfirman:

سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَى بِعَبْدِهِ لَيْلًا مِنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الْأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آَيَاتِنَا إِنَّه هُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ

Maksudnya: Maha suci Allah Yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), Yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) kami. Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui.

Manakala ayat berkenaan Mi’raj tidaklah diterangkan secara jelas sebaliknya secara Kinayah (sindiran) di dalam surah al-Najm ayat 1-18.Firman Allah taala:

وَالنَّجْمِ إِذَا هَوَى (1) مَا ضَلَّ صَاحِبُكُمْ وَمَا غَوَى (2) وَمَا يَنْطِقُ عَنِ الْهَوَى (3) إِنْ هُوَ إِلاَّ وَحْيٌ يُوحَى (4) عَلَّمَهُ شَدِيدُ الْقُوَى (5) ذُو مِرَّةٍ فَاسْتَوَى (6) وَهُوَ بِالْأُفُقِ الْأَعْلَى (7) ثُمَّ دَنَا فَتَدَلَّى (8) فَكَانَ قَابَ قَوْسَيْنِ أَوْ أَدْنَى (9) فَأَوْحَى إِلَى عَبْدِهِ مَا أَوْحَى (10) مَا كَذَبَ الْفُؤَادُ مَا رَأَى (11) أَفَتُمَارُونَهُ عَلَى مَا يَرَى (12) وَلَقَدْ رَآَهُ نَزْلَةً أُخْرَى (13) عِنْدَ سِدْرَةِ الْمُنْتَهَى (14) عِنْدَهَا جَنَّةُ الْمَأْوَى (15) إِذْ يَغْشَى السِّدْرَةَ مَا يَغْشَى (16) مَا زَاغَ الْبَصَرُ وَمَا طَغَى (17) لَقَدْ رَأَى مِنْ آَيَاتِ رَبِّهِ الْكُبْرَى (18


Maksudnya: Demi bintang semasa ia menjunam, - 2. rakan kamu (Nabi Muhammad Yang kamu tuduh Dengan berbagai tuduhan itu), tidaklah ia menyeleweng (dari jalan Yang benar), dan ia pula tidak sesat (dengan kepercayaan Yang salah). 3. dan ia tidak memperkatakan (sesuatu Yang berhubung Dengan ugama Islam) menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri. 4. Segala Yang diperkatakannya itu (sama ada Al-Quran atau hadis) tidak lain hanyalah wahyu Yang diwahyukan kepadaNya. 5. wahyu itu (disampaikan dan) diajarkan kepadanya oleh (malaikat jibril) Yang amat kuat gagah, - 6. lagi Yang mempunyai kebijaksanaan; kemudian ia memperlihatkan dirinya (kepada Nabi Muhammad) Dengan rupanya asal, - 7. sedang ia berada di arah Yang tinggi (di langit); 8. kemudian ia mendekatkan dirinya (kepada Nabi Muhammad), lalu ia berjuntai sedikit Demi sedikit, 9. sehingga menjadilah jarak (di antaranya Dengan Nabi Muhammad) sekadar dua hujung busaran panah, atau lebih dekat lagi; 10. lalu Allah wahyukan kepada hambaNya (Muhammad, Dengan perantaraan malaikat jibril) apa Yang telah diwahyukanNya. 11. hati (Nabi Muhammad) tidak mendustakan apa Yang dilihatnya. 12. jika demikian, Patutkah kamu hendak membantahnya mengenai apa Yang telah dilihatnya itu? 13. dan Demi sesungguhnya! (Nabi Muhammad) telah melihat (malaikat Jibril, Dalam bentuk rupanya Yang asal) sekali lagi, 14. di sisi "Sidratul-Muntaha"; 15. Yang di sisiNya terletak syurga "Jannatul-Makwa". 16. (Nabi Muhammad melihat Jibril Dalam bentuk rupanya Yang asal pada kali ini ialah) semasa " Sidratul Muntaha" itu diliputi oleh makhluk-makhluk dari alam-alam ghaib, Yang tidak terhingga. 17. penglihatan (Nabi Muhammad) tidak berkisar daripada menyaksikan Dengan tepat (akan pemandangan Yang indah di situ Yang diizinkan melihatnya), dan tidak pula melampaui batas. 18. Demi sesungguhnya, ia telah melihat sebahagian dari sebesar-besar tanda-tanda (yang membuktikan Luasnya pemerintahan dan kekuasaan) Tuhannya.

Jawab Syaikhuna lagi: Seolah-olah para ulama Islam ingin mengatakan bahawa ayat Isra’ tidak akan mampu dinafikan kerana dalilnya jelas di dalam al-Quran.Maksudnya jika dinafikan maka boleh dihukumkan kufur. Manakala yang mengingkari Mi’raj Baginda sallallahu alaihi wasallam dianggap orang yang jahil serta perlu untuk kita memperingati mereka dengan menyebutkan kepada mereka agar pergi bertemu para ulama yang benar-benar memahami ayat Allah taala untuk menerangkan kepada mereka.”

Semoga Allah taala memanjangkan umur guru kita yang mulia ini.Amin.

Namun saya punya pandangan sendiri di dalam permasalahan ini.Mengapa Allah taala menjelaskan secara terus berkenaan Isra’ tetapi permasalahan Mi’raj dibiarkan kepada para ulama Islam untuk mengkajinya ?

Bagi saya, ini satu isyarat daripada Allah taala untuk kita sebagai umat Islam memandang berat permasalahan yang berlaku di Palestin sekarang.Seolah-olah Allah taala ingin memberitahu kepada umat Islam melalui perjalanan Baginda sallallahu alaihi wasallam bahawa bumi Palestin ini amat penting di dalam menentukan kesatuan kamu semua.Oleh kerana itulah Baginda sallallahu alaihi wasallam dikumpulkan bersama dengan semua para Nabi dan Rasul terdahulu. Mereka menunaikan solat secara berjemaah diimamkan oleh Baginda sallallahu alaihi wasallam.
Ini semua satu isyarat bahawa semuanya perlu berpaksikan kepada Islam. Kesatuan umat amat penting di dalam melaksanakan cita-cita membebaskan Palestin.

Manakala peristiwa Mi’raj tidak diterangkan secara terus seperti ayat Isra’ seolah-olah Allah taala ingin mengatakan kepada seluruh makhlukNya, ini adalah kerjaKu dan kamu semua tidak perlu mencampuri urusanKu.Segalanya yang kamu rasakan mustahil adalah tidak mustahil di sisiKu.

Allah taala ingin memberikan peringatan kepada makhlukNya betapa penting bumi Palestin untuk umat Islam.Ini bukan bumi kebangsaan.Ini bumi yang membezakan Iman dan Batil.

Isra’ adalah perkara ajaib yang Allah taala tunjukkan sebagai peringatan. Manakala Mi’raj adalah perkara ghaib yang wajib diimani.Segalanya mampu dilakukan oleh Sang Pencipta.Jangan sombong dan bongkak dengan apa yang ada.

Bagaimana bumi ini mampu untuk dibebaskan semula? Ya, jawapannya iman dan taqwa yang sebenar-benarnya sahaja yang mampu untuk melunaskan cita-cita murni ini.Jika diperhatikan dengan teliti. Sebelum Baginda sallallahu alaihi wasallam dibawa oleh Allah taala untuk bertemu denganNya , Baginda diminta untuk bersabar di atas segala ujian yang menimpa.Ini jelas disebutkan di dalam surah al-Nahl(ini merupakan ayat terakhir surah al-Nahl sebelum masuk ayat pertama surah al-Isra’):

وَاصْبِرْ وَمَا صَبْرُكَ إِلَّا بِاللَّهِ وَلَا تَحْزَنْ عَلَيْهِمْ وَلَا تَكُ فِي ضَيْقٍ مِمَّا يَمْكُرُونَ (127) إِنَّ اللَّهَ مَعَ الَّذِينَ اتَّقَوْا وَالَّذِينَ هُمْ مُحْسِنُونَ (128

Maksudnya: . dan Bersabarlah (Wahai Muhammad terhadap perbuatan dan telatah golongan Yang ingkar itu); dan tiadalah berhasil kesabaranmu melainkan Dengan (memohon pertolongan) Allah; dan janganlah Engkau berdukacita terhadap kedegilan mereka, dan janganlah Engkau bersempit dada disebabkan tipu daya Yang mereka lakukan. 128. Sesungguhnya Allah beserta orang-orang Yang bertaqwa, dan orang-orang Yang berusaha memperbaiki amalannya.

Bilamana kita bersabar maka Allah taala pemilik alam keseluruhannya akan memberikan kepada kita kegembiraan dengan syarat kita perlu meletakkan segalanya dibawah kuasa Allah taala tanpa sedikit pun makhluk punya kuasa untuk melakukan melainkan dengan izinNya jua.
Semoga Allah mengembalikan semula kegemilangan Islam kepada jiwa-jiwa yang benar-benar mengamalkan perintahNya.

Mohd Nazrul Abd Nasir,
Rumah Kedah Hayyu 10,
Kaherah Mesir

3 ulasan:

  1. btul tu. tapi selaku insan biasa, apakah jasa yang kita boleh lakukan untuk menawan palestin?

    BalasPadam
  2. doa n banyakkan munajat pada Allah taala..n jgn sesekali lupakan umat Islam di sana di dalam setiap hari yang berlalu.. :)

    BalasPadam
  3. terima kasih.. insyallah saya akan pegang kata2 ustaz. bleh tak pas ni ustaz tulis tanda2 kiamat mcm kemunculan dajal ka imam mahdi ka.. terima kasih.

    BalasPadam

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...