Selasa, 2 Jun 2009

Pengajaran Buat HambaNya

Peristiwa yang menimpa tempoh hari banyak memberikan kesedaran kepada saya. Dua perkara serentak berlaku pada hari yang sama. Paginya, ayah ada menghantarkan mesej pesanan ringkas memberitahu bahawa nenek tiri saya sebelah ibu ( yang saya panggil Tok Ngah) telah kembali ke rahmatullah. Kali terakhir bertemunya ialah ketika saya pulang bercuti baru-baru ini. Semoga Allah taala merahmatinya dan menempatkannya bersama orang-orang yang beriman.

Malamnya pula, ketika saya dalam perjalanan pulang daripada kelas pengajian Kharidah Bahiyyah (Tauhid) bersama Syeikhuna Jamal Faruq al-Hasani hafizahullah berlaku sesuatu yang diluar jangkaan saya.

Setelah hampir 5 tahun berada di bumi Anbiya’ yang penuh dengan keberkatannya, inilah kali pertama peristiwa ini menimpa saya. Cerita begini. Saya kebetulan baru sahaja mengambil duit di Bank HSBC berdekatan al-Azhar, dan pulang menaiki motosikal bersama al-Fadhil Ustaz Juzaili Juhan. Ustaz Juzaili cuma menghantar saya berdekatan Hayyu Sabiek sahaja. Ketika saya berjalan berhampiran dengan Suq Sayarat ( Tempat Penjualan Kereta Terpakai), tiba-tiba Ustaz Abdullah Mukhlis (salah seorang sahabat saya yang sering menghadiri majlis pengajian bersama Syeikhuna Murabbi Yusri Rusydi hafizahullah) menelefon saya bertanyakan permasalahan fiqh.

Memang keadaan pada waktu itu sunyi kerana kebanyakkan orang berada di masjid-masjid berdekatan( ketika itu hampir masuk waktu Isya’). Saya menjawab persoalan yang ditanyakan dan sebaik sampai berdekatan rumah Terengganu, tiba-tiba seorang lelaki arab bersenjatakan parang turun daripada kereta mengacukan parangnya kepada saya sambil meminta telefon yang berada di tangan saya ketika itu. Saya yang masih belum habis bercakap dengan Ustaz Mukhlis agak terkejut. Lebih mengejutkan datang seorang lagi temannya yang juga berparang memegang saya di sebelah kiri dan kanan. Mereka cuba merampas telefon yang berada di tangan.

Pada mulanya, saya ada juga memikirkan untuk memberikan sahaja telefon tersebut. Tetapi perasaan pada ketika tersebut lebih menjurus untuk menyelamatkan harta yang satu-satunya saya miliki ketika itu. Telefon ini pemberian daripada adik saya, Siti Naddia. Saya bergelut juga dengan kedua-dua lelaki arab yang berparang itu. Sempat juga mereka menumbuk rusuk dan lengan saya. Lebih mengejutkan tiba-tiba datang seorang lagi arab mengacukan pistol ke arah saya. Jadi bilangan mereka sekarang sudah tiga orang. Memang tidak adil perbuatan mereka, seorang yang kosong tangannya daripada senjata, dikepung oleh tiga orang yang kesemuanya bersenjata. Saya masih lagi bergelut ketika itu, dan ketika itu barulah terfikir untuk melaung meminta tolong. Tak terdaya saya menentang kudrat Arab yang kesemuanya lebih besar dan tinggi daripada saya. Alhamdulillah laungan saya berjaya merungkaikan mereka, sempat lelaki berpistol menendang saya dan sempat juga saya membalas tendangannya(tetapi saya tidak pasti sama ada tendangan saya mengenainya atau tidak).

Kemudian saya berlari ke arah tong sampah besar di sebelah rumah Terengganu untuk mencari batu buat senjata bagi melontar kepada kereta yang mereka naiki. Tapi batu yang di cari ketika kekalutan walaupun besar di depan mata sekali pun, sudah tidak ketahuan lagi. Ramai juga sahabat-sahabat yang mendengar laungan saya turun. Lebih mengesalkan, saya tidak sempat mengecam wajah perompak-perompak tersebut.

Allah..setelah sampai dirumah, barulah saya terfikir. Kalaulah perompak tadi menetak saya dan menembak saya? Kalaulah, kalaulah…dan pelbagai lagi yang bermain di kotak fikiran saya. Saya bersyukur pada Allah taala kerana menyelamatkan saya daripada musibah tersebut.
Bolehkah saya sebutkan perkara ini sebagai musibah atau bala’? Sebaiknya saya sebutkan perkara ini sebagai peringatan daripada Allah taala buat saya yang sering alpa. Mungkin Allah taala ingin berkata kepada hambaNya “ Wahai hambaku, kamu pandai sekali memberikan nasihat dan pengajaran kepada orang lain, sedangkan diri sendiri, terkadang kamu terlepas pandang”. Ujian ini bagi saya mungkin sebagai muqaddimah. Sekelumit sangat kalau dibandingkan dengan ujian yang menimpa sahabat-sahabat di Palestin dan lain-lain Negara yang bergolak.Mereka bukannya setakat digertak, malah sudah dicincang dan dibunuh.

Ujian ini saya anggapkan sebagai ujian menentukan tahap keimanan saya. Maksudnya tahap iman saya masih rendah. Ya Allah, malu aku denganMu ya Allah. Kala aku dirundung masalah, masih sempat aku memohon kepada selain daripadaMu. Baginda sallallahu alaihi wasallam, ketika diacukan dengan pedang oleh seorang arab Badwi ketika pulang daripada sebuah peperangan.Ketika itu Baginda sallallahu alaihi wasallam tidur bersendirian di bawah pokok yang agak jauh daripada para sahabat radhiyallahu anhum ajma’ien. Tiba-tiba datang seorang Arab Badwi, mengambil pedang dan menghunuskan kepada Baginda sallallahu alaihi wasallam lalu berkata “ Wahai Muhammad, nah siapakah yang akan menyelamatkan kamu tika ini? Sahabat-sahabatmu jauh daripadamu sekarang?” Maka jawab Baginda sallallahu alaihi wasallam dengan tenang: “ ALLAH”.

Apa kesannya? MasyaAllah besar sekali kesan daripada jawapan yang bukan daripada mulut semata tetapi saduran iman yang melangit tinggi bisa mengetarkan jiwa orang yang mendengarnya. Jawapan “ ALLAH” daripada Baginda sallallahu alaihi wasallam, mengetarkan si Badwi dan dia yang tersangat takut ketika itu tidak menyedari pedang yang dipegangnya sudah terjatuh daripada tangannya. Saat itu Baginda sallallahu alaihi wasallam mengambil pedang tersebut dan mengacukan pula kepada Si Badwi lalu bersabda: “ Nah sekarang siapa pula bisa menyelamatkan kamu daripada pedangku ini?” Maka Islamlah Si Badwi pada ketika itu juga kesan kekuatan iman daripada Baginda sallallahu alaihi wasallam.

Ya Allah ..Aku mengaku mencintai NabiMu, aku mengaku bahawa aku ingin mengikuti jejak langkahnya, namun perkara sebegini aku masih tidak mampu kerana imanku terlalu lemah. Ampunkan dosaku Ya Allah. Jika ini peringkat imanku, engkau tambahkan lagi ianya kedalam sanubariku Ya Tuhanku.

Sejarah para ulama dan solihin dirompak banyak sekali dirakamkan oleh sejarah. Al-Imam Ghazali rahimahullah pernah dirompak , kesannya setelah itu beliau tidak lagi membaca kitab semata, sebaliknya terus menghafal keseluruhan kitab yang dibacanya. Al-Imam Suyuti rahimahullah juga pernah dirompak, namun bilamana si perompak nampak tasbih yang ada di tangannya ,maka terus dilepaskan Sang Imam kerana mereka mengatakan “ Mustahil orang yang memegang tasbih ini seorang yang jahat” . Al-Imam Junaid al-Baghdadi rahimahullah, bukan dirompak tetapi beliau mulanya adalah seorang ketua perompak terkenal ketika tersebut namun hidayah Allah merubah beliau menjadi seorang ulama terkemuka malah digelar Sayyidul Tho’ifah.Al-Imam Ibrahim al-Adham rahimahullah pernah dituduh mencuri di pasar, beliau dipukul kerana pencuri yang mencuri menuduh beliau yang tidak bersalah mencuri. Ketua polis ketika itu datang dan memukul kepala Sang Imam. Setelah menyedari yang dipukulnya adalah Ulama dan Tokoh terkenal, beliau meminta maaf. Apa jawab sang Imam: “ Aku tidak menyalahkanmu yang memukul aku, aku menganggapkan pukulan itu sebenarnya daripada Allah taala yang ingin menegurku. Seolah-olah Allah taala ingin mengatakan kepadaku “ Wahai Ibrahim, kamu masih lagi memerlukan kepada barang dagangan di pasar untuk memenuhkan perutmu sedangkan Aku TuhanMu bisa memberikan kepadamu tanpa perlu kamu ke pasar”.Beliau menganggap pukulan itu sebagai pengajaran buatnya bukannya azab.

Maksudnya semua mengambil ibrah dan pengajaran daripada perkara yang menimpa. Moga Allah taala memasukkan saya dan para sahabat saya di dalam golongan sebegini. Tidak memandang sesuatu bala’ dan ujian dengan pandangan bala’ sebaliknya memandang bala’ dan ujian dengan pandangan Ibrah dan pengajaran buat diri.

Mungkin Allah taala ingin berteka-teki dengan HambaNya..al-Fatihah buat Nenek Saya..al-fatihah

Wallahu a’lam.

10 ulasan:

  1. alhamdulillah allah masih pelihara ustaz dari bencana yang tidak diingini..mudah-mudahan allah memelihara keselamatan ikhwah dan akhawat disamping kita menjaga keselamatan kita juga. harap lebih berhati2 selepas ini..insyaallah.

    BalasPadam
  2. alhamdulillah..syukran banyak..berkat doa para sahabat semua,

    kena pesan sungguh2 kat semua ikhwah akhwat agar berhati2..akhawat2 plak jngn dok jalan sorg2 walaupun waktu siang..kena jalan ngan kwn2..

    beringat itu lebih baik..syukran UMMUL

    BalasPadam
  3. Assalamualaikum..

    Alhamdulillah..Ustaz tidak apa-apa..risau jugak dibuatnya..kita kena perangkap sekali arab ni..kumpul ramai dengan kayu pakat2 pukul sampai lembit pastu serah kat polis dia..tak boleh biar dah ni..makin menjadi-jadi..huhu..boleh pakai ke idea ana ni..

    Siap ada pistol lagi ni..semoga Allah pelihara kita semua daripada bencana yang tidak diingini..Ameen Ya Rabb..

    BalasPadam
  4. salam ust nazrol..alhmdulillah allah selamatkn ust..alhmdulillah x dak apa2 yg x diingini berlaku..Allah masih sayangkn ust..lepas ni diharapkn ust lebih berhati2..semoga dengan ujian ini Allah akn menambahkn lagi iman ust n keberkatan ilmu kpada ust..dan jga menjadikn ust seorg ulama' yg memperjuangkn islam suatu ari nanti i/Allah..dan jga berjaya dalam imtihan dunia n akhirat..Ya Allah selamatknlah Murabbi dan Guruku ini Ya Allah..berkati dan rahmatilah ilmu dan hidupnya Ya Allah..amin ya Rabbal alamin...(ibrahim dumyat)..

    BalasPadam
  5. Alhamdulillah..terima kasih atas perhatian saudara al-Amin dan Saudara Ibrahim..sama2 jaga keselamatan k..

    Syukran banyak2..berkat doa sahabat2..

    BalasPadam
  6. assalamualaikum

    macam drama tapi betul. apapun alhamdulillah ALLAH slmtkan ust. sempat lg ust lari cari batu ek, kalau ana tak tahulah. sbnrny ana pun pernah kena gangguan arab yg lebih kurang camni tapi bila jerit suara tak terkeluar mgkn sbb terlalu terkejut. lps tu jd fobia jgkla. termenung skjp kat tepi jalan cam tak caye je. seminggu tak kuar rmh. bila perkara2 cmni terjadi sekurang2nya kita jadi beringat. betul kata ust, kdg2 nshtkan org lain tp diri sendiri..T_T

    BalasPadam
  7. Assalamualaikum. Ada jugak dengar berita yang Ustaz Nazrul kena rompak. Sekarang dah sahih. Semoga Allah memelihara kita dari sebarang bencana. Kawan-kawan yang lain, sila berhati-hati...

    BalasPadam
  8. Salam...

    Boleh tahu,,,kat mana kita nak dapatkan kisah2 ulamak spt yg ust nukilkan tu??

    Jzkallah...

    Razi

    BalasPadam
  9. Subhanallah...
    ujian Allah tidak kira bagaimanapun, pasti ia akan menjelma...

    BalasPadam
  10. salam..

    kisah2 tue ana dapat daripada pembacaan kitab dulu-dulu..ada yg ingat tempat pengambilan dan ada yg tak ingat dah..tapi yg penting bukan rekaan la :) boleh try baca dalam kitab yg ceritakan tentang para solihin spt Risalah Qusyairiyah dan lain-lain..

    Wallahu a'lam..

    BalasPadam

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...