Khamis, 3 September 2009

Mengapa Syaikhuna Habib Ali al-Jifri hafizahullah Tidak Bertandang ke Mesir selama 7 Tahun ???

Setelah saya menulis berkenaan tajuk akhbar “ Mengapa Habib Ali al-Jifri hafizahullah tidak masuk ke Mesir selama 7 tahun??”, ramai yang tertarik dengan tajuk tersebut.Ramai sahabat yang meminta untuk saya menulis tentang perkara ini.

Ini jelas menunjukkan al-Allamah al-Dai’eyah Habib Ali al-Jifri hafizahullah terlalu ramai peminatnya dan terlalu ramai orang yang mencintainya.Perasaan saya juga begitu, dan saya memohon kepada Allah taala moga saya juga dapat menjadi seperti beliau.Bukan sekadar seorang pendakwah malah seorang ulama yang mampu memberikan sinar kepada diri saya, dan umat Islam seluruhnya.Amin Ya Rabbal A’lamin.

Di sini saya akan sertakan sedikit perbincangan dan dialog di antara Ketua Editor Akhbar al-Khamis , Amru al-Laithi bersama al-Allamah al-Dai’eyah Habib Ali al-Jifri hafizahullah. Perbincangan dan dialog ini di siarkan di dalam rancangan televisyen “ Wahid min al-Nas” Hakikatnya, sang Habib tidak menceritakan secara terperinci mengapa dan kenapa beliau tidak masuk ke Mesir selama 7 tahun kebelakangan ini.Beliau sekadar menjawab dengan ringkas , mungkin ingin menjaga hati sesetengah pihak.Apa-apa pun, sama-sama kita ikuti perbincangan ringkas mereka berdua.

warna merah: Amru al-Laithi
warna hijau : Habib Ali al-Jifri
warna biru : ulasan daripada saya

Amru al-Laithi: Ramai tertanya-tanya , dimanakah menghilangnya seorang pendakwah yang hebat iaitu Habib Ali al-Jifri setelah tuan keluar daripada bumi Mesir 7 tahun lepas dengan cara yang tidak jelas sehinggalah Tuan datang semula ke sini baru-baru ini?

Habib Ali al-Jifri : Sebelum memulakan perbincangan , ingin saya betulkan istilah yang digunakan oleh saudara Amru al-Laithi.Saya bukanlah pendakwah yang hebat seperti yang disebutkan (tawaddhuk sungguh Syaikhuna al-Allamah al-Daieyah Habib Ali al-Jifri hafizahullah). Saya memohon kepada Allah taala untuk meletakkan diri saya ini sebagai khadam kepada agama Allah taala, para ulama dan para pendakwah(maksudnya beliau cuma meletakkan dirinya yang mulia sebagai khadam @ hamba kepada para pendakwah yang lain, bukan sebagai rujukan para pendakwah.Sungguh mulia pekertimu wahai Cucu Baginda sallallahu alaihi wasallam).

Ramai yang bertanya tentang perkara ini, mengapa saya tidak datang ke Mesir selama 7 tahun dan dilarang untuk memasuki bumi Mesir ini.Kebanyakkan yang melemparkan persoalan ini ialah golongan wartawan. Jawapan yang dapat saya berikan ialah, saya sendiri tidak tahu apakah sebabnya saya dihalang untuk masuk sebelum ini.

Tidak dapat kita nafikan, setiap tempat punya undang-undangnya sendiri dan saya tidaklah akan terlepas daripada melakukan kesilapan .Begitu juga undang-undang yang diletakkan tidaklah juga terlepas daripada melakukan kesilapan.Tidaklah menjadi kesalahan jika kamu ingin memperbetulkan kesalahan kamu.Begitu juga dengan undang-undang yang diletakkan boleh juga diperbetulkan jika terdapat padanya kesalahan.(cantik benar kiasan yang digunakan oleh Habib Ali al-Jifri hafizahullah untuk menyindir undang-undang kerajaan Mesir).

Amru al-Laithi: Adakah terdapat sebab tertentu yang menyebabkan Tuan Habib keluar daripada bumi Mesir dengan cara tersebut contohnya seperti berlaku perselisihan pendapat dengan sesetengah pihak?

Habib Ali al-Jifri : Saya tidak fikir perkara sebegini berlaku.Rasa saya tidak berlaku perselisihan dengan mana-mana pihak.Alhamdulillah, kebanyakkan mengetahui bahawa al-faqir ini tiada menyebelahi mana-mana parti politik tertentu.Saya cuma berpegang dengan manhaj ahlussunnah yang dibawa oleh al-Azhar al-Syarif yang sudah bertapak lebih daripada seribu tahun, dan juga saya membawa manhaj yang dibawa oleh institusi pengajian Islam terkemuka dunia yang lain seperti Khairawan dan al-Zaitun di Maghribi,Madrasah al-Syam, Hadramaut, Mauritania, dan India.

Alhamdulillah 7 tahun yang berlalu ini semuanya berjalan dengan lancar.Saya berulang alik ke Yaman dalam tempoh tersebut.Kemudian Syeikh Zayid rahimahullah menjemput saya ke Emirate Arab Bersatu.Allah taala mempermudahkan urusan saya di sana dan terima kasih tidak terhingga kepada Syeikh Khalifah yang membenarkan saya mengasaskan Muassasah untuk pengajian Islam.Muassasah tersebut ditubuhkan untuk penyelenggaraan tugas Dakwah.Saya memohon kepada Allah taala agar apa yang berlaku sepanjang 7 tahun ini menjadi amal kebaikan kepada sesiapa yang melakukan perkara tersebut kepada saya dan bukan menjadi celaan kepada mereka kelak( masyaAllah, mulia sungguh pekerti Habib Ali al-Jifri, walaupun pihak tertentu menghalangnya untuk masuk bertamu ke Mesir, namun beliau tetap mendoakan kebaikan untuk pihak tersebut).

Hakikatnya sekarang, zaman halangan tersebut telah berlalu.Saya tidaklah merasakan halangan untuk datang ke Mesir sebelum ini memutuskan terus hubungan cintaku dan rinduku kepada Mesir dan ahlinya.

Amru al-Laithi: Adakah terdapat syarat tertentu diletakkan untuk Tuan Habib masuk bertandang ke Mesir pada kali ini?

Habib Ali al-Jifri : Tidak ada syarat yang diletakkan sekali-kali.Bagi menjelaskan lagi perkara ini, sebenarnya saya menerima panggilan telefon daripada pihak berwajib di Mesir yang memaklumkan kepada saya bahawa segala perkara sebelum ini( tidak dapat dipastikan perkara apakah sebenarnya yang menjadi masalah untuk Habib Ali tidak dibenarkan masuk) telah selesai dan Mesir menanti kedatangan Tuan Habib ke sini.Saya dapati sambutan ketika saya tiba di Lapangan Terbang Mesir begitu menggugah jiwa saya.Terima Kasih kepada saudara-saudara yang menyambut kedatangan saya baru-baru ini.

Sejak ketibaan saya , tiada kedengaran seorang pun yang memberikan arahan kepada saya untuk tidak memperkatakan tentang itu dan ini.Tiada pula arahan yang membenarkan untuk saya melakukan sesuatu dan melarang untuk saya melakukan sesuatu.Hakikatnya telah dibuat perkongsian pemikiran 3 atau 4 bulan lepas.Saya telah berbincang dengan para ulama , pendakwah, pemerintah, dan pihak yang bertentangan dengan kita daripada ahli politik, dan ahli perniagaan.Perbincangan tersebut lebih kepada membincangkan tentang perlunya ada titik kepercayaan kepada diri masing-masing dan mewujudkan hubungan baik antara semua tanpa wujud hipokrit dan perasaan ingin menjatuhkan orang lain .

************

Perbincangan dengan al-Allamah al-Dai’eyah Habib Ali al-Jifri hafizahullah lebih panjang daripada ini, saya cuma ingin menceritakan tentang mengapa Sang Habib tidak bertandang ke Bumi Kinanah ini selama 7 tahun kebelakangan ini.Secara jelasnya ada sesuatu yang berlaku kepada Habib Ali al-Jifri sepanjang tempoh tersebut.

Seolah-olah Habib Ali ingin memberikan isyarat tertentu kepada siapakah dalang disebalik halangan kepadanya untuk masuk ke Mesir.Tetapi kerana adab dan akhlaknya yang terlalu tinggi menyebabkan Beliau tidak mendedahkan pihak mana yang menghalangnya untuk masuk ke Mesir.Kalau diperhatikan dengan baik perbualan tersebut maka tentulah kita dapat mengagak pihak manakah yang sangat bencikan ulama dan para pendakwah ini.Sudah menjadi sunnatullah, orang yang membawa kebenaran pasti akan dihalang-halang.Tetapi yang membawa kebobrokkan di dalam pemikiran muda-mudi pasti akan diagung-agungkan.

Saya puji kepada stesen televisyen di Mesir kerana ulama sebegini diberikan peluang untuk bersuara.Tidak dinafikan ada juga rancangan Televisyen yang hanya menceritakan tentang artis dan hiburan semata-mata.Namun sekurang-kurangnya punya alternative untuk masyarakat memilih kebaikan.Berbeza dengan sistem siaran di Malaysia yang tercinta.Ulama disekat untuk berbicara, malah fitnah kepada ulama pula semakin berleluasa.

Apa mereka tidak takutkah dengan azab Allah taala hasil fitnah yang mereka sebarkan untuk menjaga periuk nasi sendiri?Takutlah dengan azab Allah , daging para ulama ini beracun.Jangan sampai kamu sendiri meletakkan diri kamu di dalam kebinasaan hanya kerana perkara dunia yang kamu kejarkan.

Semoga al-Allamah al-Dai’eyah Habib Ali al-Jifri hafizahullah dapat bertamu lagi ke bumi Kinanah ini.Kami merindui kedatanganmu ke sini lagi.

Mohd Nazrul Abd Nasir,
Penuntut Ilmu Di Masjid al-Azhar al-Syarif,
Kaherah, Mesir


1 ulasan:

  1. Salam.
    Ustaz, saya tidak dapat mengagak siapakah dalang di sebalik semua ini?

    BalasPadam

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...