Ahad, 27 September 2009

Dialog al-Imam Ibn Ishak radhiyallahu anhu Siri Terakhir..Semoga Bermanfaat


Ahmad : Alhamdulillah, terima kasih banyak-banyak ustazah. Susahkan ustazah pulak terpaksa masak untuk kami.

Ustazah Ummu Muhammad : Eh, tak mengapa. Memang tugas ustazah pun. Lagipun seronok juga dapat dengar perbincangan kamu dengan Tuan Guru.Baguslah, muda-muda lagi dah bersemangat menuntut ilmu.

******

Selesai makan mereka menuju ke ruang tamu untuk menyambung perbincangan dengan Tuan Guru.Masakan tengah hari itu memang benar-benar menyelerakan. Udang goreng tepung masakan ustazah di tambah pula dengan masak lemak cili api menyebabkan Ahmad dan Ibrahim tidak segan-segan menambah sebanyak 3 kali.Kalau diikutkan hati mahu sahaja mereka minta Ustazah Ummu Muhammad bungkuskan untuk bawa pulang ke rumah.Patutlah Tuan Guru benar-benar sayang akan isterinya ini. Serba serbi lengkap .

*****

Tuan Guru : Di mana perbincangan kita tadi ya ?

Ibrahim : Kalau tidak salah saya, kita terhenti setakat jawapan terhadap pandangan kritikan daripada al-Imam Malik radhiyallahu anhu.

Tuan Guru : Baiklah, kesimpulan daripada perbincangan kita tadi, maka sepatutnya bagi seorang pengkaji perlu menilai dengan baik akan perkara ini. Bagi saya, pendapat al-Imam al-Zahabi seperti yang disebutkan di dalam kitabnya yang terkenal iaitu Siyar al-A’lam al-Nubala’ perlu untuk kita ketengahkan buat golongan ini.

Imam al-Zahabi rahimahullah sendiri mengatakan bahawa pendapat para ulama di dalam ilmu Jarah wa al-Ta’dil ( ilmu kritikan dan pujian terhadap Rawi) terkadang tidak terlepas daripada kesalahan.Namun kita perlu mengambil sikap sederhana di dalam permasalahan ini.

Peristiwa yang berlaku di antara al-Imam Malik radhiyallahu anhu dengan al-Imam Ibn Ishak radhiyallahu anhu perlulah dinilai dengan sebaiknya.

Malah al-Imam al-Zahabi mengatakan bahawa kedudukan al-Imam Ibn Ishak di dalam ilmu sirah tidak dapat dinafikan kehebatannya dan penerimaan ulama terhadapnya.Cuma di dalam permasalahan hadis hukum, ianya perlu dinilai semula.Bukanlah semuanya ditolak, malah ada yang sampai peringkat al-Hasan (juga boleh dibuat hujjah) dan jika beliau bertentangan dengan para ulama yang lebih thiqah daripadanya maka hadisnya akan dihukumkan sebagai Syaz.Maka hadis Syaz termasuk di dalam jenis yang dhoif dan tidak boleh dibuat hujah hukum.

Kalau kamu pelajari ilmu mustalah al-hadis maka tentu kamu akan memahami perkara ini dengan baik.Malah istilah Syaz yang digunakan oleh ulama Hadis bukanlah istilah yang biasa.Maksud sebenar syaz ialah seorang perawi yang thiqah yang meriwayatkan hadis , yang mana hadis tersebut bertentangan dengan hadis yang diriwayatkan daripada perawi yang lebih Thiqah daripadanya dan kedua-dua hadis tersebut tiada kemungkinan untuk digabungkan.

Jelas di sini para ulama khususnya al-Imam Zahabi sendiri mengiktiraf bahawa al-Imam Ibn Ishak adalah termasuk dikalangan rawi yang thiqah.Saya hairan bagaimana golongan “pemurni sirah “ ini mengatakan bahawa al-Imam Ibn Ishak ini adalah seorang yang tidak boleh diterima langsung hadisnya.

Ini jelas khianat terhadap ilmu hadis malah terhadap ulamanya.Saya tidak tahu bagaimana mereka ini akan berhadapan dengan al-Imam Ibn Ishak radhiyallahu anhu di Mahsyar kelak? Moga Allah taala memberikan ruang untuk mereka sedar akan kesalahan mereka.Aminn.

Ahmad dan Ibrahim : Aminn.Moga mereka berubah menjadi lebih baik.

Ahmad : Tuan Guru, jika tidak salah pengamatan saya, al-Imam Khatib al-Baghdadi rahimahullah pernah menyebutkan di dalam kitabnya Tarikh al-Baghdad jilid 1, antara sebab kenapa periwayatan hadis daripada al-Imam Ibn Ishak dikaji dengan teliti oleh para ulama adalah kerana beliau tasyayyu’ @ lebih ke arah Syiah. Malah beliau juga dikatakan seorang yang berfahaman Qadariyah. Jadi bagaimana dengan permasalahan ini Tuan Guru?

Tuan Guru : Pertama kamu perlu fahami dengan teliti peredaran zaman pada waktu tersebut.Seperti mana yang kita bincangkan sebelum ini, kita sedia maklum bahawa al-Imam Ibn Ishak hidup pada zaman pemerintahan Umawiyah dan Abbasiah. Kita sedia maklum pada zaman tersebut , para pemerintah cukup bermusuh dengan Saidina Ali karramallahu wajhah. Maksudnya siapa sahaja yang menyokong perjuangan Saidina Ali akan dihukumkan sebagai Syiah. Malah istilah Tasyayyu’ dan Syiah adalah merupakan dua istilah yang cukup berbeza.

Pembacaan kitab turath perlu kita selarikan dengan zaman pada ketika hukum tersebut dikeluarkan.

Saya masih teringat ketika saya belajar bersama Tuan Guru saya di Mesir iaitu Syaikhuna Murabbi Dr Yusri hafizahullah, pernah saya tanyakan berkenaan permasalahan kenapakah para ulama Syafieyah mengeluarkan hukum boleh dipecat imam-imam solat yang selalu benar membaca Surah al-Lahab ketika solat? Syaikhuna hafizahullah menjawab, ini perlunya ilmu sirah dan tarikh Islam.Fiqh berubah berdasarkan zaman dan tempat.Pada zaman tersebut , seseorang yang ingin rapat dengan pemerintah perlu malah wajib bagi mereka untuk menghina dan mencaci maki Saidina Ali karramallahu wajhah.Jadi ketika solat, para imam akan membacakan surah al-Lahab kerana kita sedia maklum bahawa Abu Lahab adalah bapa saudara Saidina Ali karramallahu wajhah. Di dalam al-Quran tidak terdapat ayat yang menghina Saidina Ali, maka dibacakan ayat ini seolah-olah ingin menghina ahli keluarga Saidina Ali.Maksudnya , tak dapat hina Saidina Ali, dapat hina ahli keluarganya pun jadilah. Oleh sebab itulah para ulama ketika tersebut mengeluarkan hukum sedemikian.

Tetapi sekarang, perkara tersebut berlaku lagi atau ianya sudah berakhir?Tentu sekali sudah berakhir.Mana ada seorang pun ulama dikalangan Ahlussunnah wal Jamaah Asya’irah dan al-Maturidiyah yang membenci Saidina Ali.Maka tiadalah masalah untuk membacakan ayat surah al-Lahab walaupun secara kerap.

Inilah fiqh yang sebenar.Kita bukan hanya membaca malah mengkaji pemikiran para ulama.Ini tidak akan kita dapati melainkan jika duduk dan belajar dengan para ulama.

Masalah beliau dituduh Qadariyah pula, maka ianya perlukan penjelasan dan dalil.Sekadar dituduh maka ini masih tidak jelas.Berapa ramai ulama pada zaman tersebut yang dituduh sebagai berfahaman Qadariyah.Maka ini perlu bukti dan pengkajian.Bukan sekadar menerima tuduhan tanpa bukti.

Ahmad : MasyaAllah, banyak betul perkara yang saya dapat pada hari ini.Malah ini lebih menambahkan rasa kerdil saya berbanding para ulama terdahulu.Umat zaman sekarang pula terlalu cepat menghukum.Malah menerima bulat-bulat kalam guru-guru mereka yang kononnya pemurni sirah. Bila kita menyebutkan kalam guru-guru kita , dituduhnya kita taasub membuta tuli. Tetapi jika mereka pula yang keluarkan kalam-kalam guru mereka tidak pula mereka mengatakan kelompok mereka juga taasub membabi buta.Pelik kan??

Ibrahim: Tuan Guru, sebelum kita tamatkan perbincangan kita pada hari ini, bolehkah Tuan Guru sebutkan para ulama Hadis yang meriwayatkan hadis daripada al-Imam Ibn Ishak?

Tuan Guru : Cukup ramai para ulama yang meriwayatkan daripadanya. Antara yang boleh saya sebutkan disini ialah, al-Imam al-Bukhari sendiri di dalam kitab Sahihnya. Namun hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam Ibn Ishak di dalam Sahih Bukhari diriwayatkan di dalam bentuk Muallaq. Muallaq ini maksudnya dibuangkan seluruh sanad hadis tersebut dan hanya dimasukkan matannya sahaja.Kita sedia maklum bagaimana manhaj yang digunakan oleh al-Imam Bukhari di dalam kitabnya. Setiap hadis yang beliau tidak ambil daripada perawinya sendiri atau perawi tersebut bukanlah gurunya maka beliau akan meriwayatkan dalam bentuk Muallaq.Muallaq di dalam Sahih Bukhari juga adalah Sahih.

Al-Imam Muslim juga meriwayatkan sebahagian hadis daripada al-Imam Ibn Ishak.Tetapi hadis tersebut diletakkan sebagai penguat kepada hadis yang lain.Maksudnya bukanlah sebagai sandaran utama, cuma sekadar penguat. Pentingnya, al-Imam Muslim turut mengiktiraf dan memasukkan di dalam kitabnya.

Antara ulama hadis yang lain yang meriwayatkan daripada al-Imam Ibn Ishak adalah al-Imam Abu Daud, al-Imam Tirmizi, al-Imam Nasa’ie, al-Imam Ibn Majah, al-Imam Ahmad Ibn Hambal, al-Imam Ibn Hibban, al-Imam Abu Ya’la, al-Imam al-Hakim al-Naisaburi,al-Imam Ibn Jarud, al-Imam Dara Quthni, al-Imam Thabrani, dan al-Imam al-Baihaqi.

Nah kamu perhatikan betul-betul. Kebanyakkan ulama hadis muktabar mengambil daripadanya.Bagaimana mereka boleh mendakwa kesemua riwayatnya ditolak mentah-mentah tanpa dikaji terlebih dahulu.

Menghukum tanpa mengkaji dengan teliti akan menjadikan otak seseorang tersebut sempit dan payah untuk menerima kebenaran.

Ibrahim: Allahu Akbar.Semakin bertambah tidak faham saya kepada golongan yang menuduh semberono ini.Sudahlah merosakkan pemikiran masyarakat. Malah semakin parah, masyarakat pula menganggap mereka sebagai orang yang pakar di dalam bidang sirah ini melebihi para ulama terdahulu.Terima kasih banyak Tuan Guru.

Tuan Guru: Alhamdulillah, selesai perbincangan kita pada hari ini.Pesanan saya, jangan berpada dengan apa yang saya sampaikan kepada kamu.Perlu untuk kamu melihat sendiri kepada kitab-kitab yang saya sebutkan sepanjang perbahasan.

Sikap yang patut dibuang bagi seorang penuntut ilmu adalah merasa cukup dengan apa yang ada. Perlu tamak di dalam menuntut ilmu.Teruskan pengkajian kamu. Moga kamu berdua dapat menjadi mata rantai penerus perjuangan para ulama salafussoleh terdahulu.

Ahmad dan Ibrahim : Terima kasih Tuan Guru. Kami berdua amat terhutang budi dengan Tuan Guru dan Ustazah.Moga Allah jua yang membalasnya.Doakan moga kami juga dapat mejadi seperti Tuan Guru.

Tuan Guru tersenyum sambil menjawab.

Tuan Guru: Jangan jadi macam saya. Mohonlah kepada Allah taala moga menjadi lebih daripada saya. Kalau kamu ingin menjadi seperti saya rugilah. Sebab saya sendiri memohon kepada Allah taala moga menjadi seperti al-Imam Syafie radhiyallahu anhu.

Mereka semua tertawa gembira dengan gurauan daripada Tuan Guru.Hari itu merupakan hari yang sangat berharga buat dua anak muda ini. Mereka mencium tangan dan dahi Tuan Guru sebelum berpisah.Di dalam hati mereka mendoakan moga Allah taala senantiasa memberikan kesihatan dan kekuatan kepada Tuan Guru sekeluarga.

P/S : Alhamdulillah tamat sudah perbahasan berkenaan al-Imam Ibn Ishak radhiyallahu anhu.Moga kita semua dapat mengambil manfaat daripada kisah perbincangan ini. Saya bukanlah yang terbaik di dalam menyampaikan penerangan ini.Hakikatnya , Allah taala jualah yang memberikan kefahaman kepada kita semua.Doakan semoga kita semua dapat bertemu para ulama yang soleh ini di syurga kelak.Aminn.

Mohd Nazrul Abd Nasir,
Penuntut Masjid al-Azhar al-Syarif dan Masjid al-Asyraff,
Kaherah, Mesir

7 ulasan:

  1. Asssalamu'alaikum sheikh, alhamduliLlah, syukur kepada ALlah dengan penjelasan yang telah diberikan. Sudah dapat keadilan yang diberi kepada Imam Ibn Ishaq dengan lebih detail.

    Insya ALlah akan diperpanjangkan di blog dan juga portal IluvIslam dan juga Halaqah.Net.

    JazakaLlah sekali lagi ustaz... semoga ilmu tuan dan saya serta sahabat2 lain terus bertambah. Ilmu yang bermanfaat dan diredhai ALlah selalu.

    Aminn Ya ALlah..

    BalasPadam
  2. Waalaikumussalam Syaikhuna.. alhamdulillah, sekurang-kurang walaupun kita tak pernah melihat al-Imam dan para ulama terdahulu, moga usaha kita ini akan dipertontonkan kepada mereka , moga mereka dapat memberikan kepada kita syafaat di akhirat kelak aminnn..

    La Syukra a'la al-Wajib,doakan selalu ye.. syukran kepada al-Fadhil Ustaz Ibnu Nafis atas dorongan yang diberikan..

    wassalam

    BalasPadam
  3. Tulisan yang bermanfaat. Moga diteruskan dengan tawfiq dan inayah Allah.

    BalasPadam
  4. salam..
    ustaz,boleh diketahui siapa tuan guru ini?

    BalasPadam
  5. Syukran Syeikh Abu Muhammad atas sokongan ..doakan selalu ye..

    salam Tanpa Nama :).. Tuan Guru tue cuma watak dalam perbualan nie sahaja..tiada kena mengena antara yang hidup atau yang mati..

    BalasPadam
  6. salam ustaz...
    ana rasa macam kenal la Tuan Guru dgn zaujahnya Ustazah Ummu Muhammad tu, tp dimana ya? :),ala kullihal smoga usaha membela ulama dr fitnah ni menjadi pemberat mizan amalan di akhirat kelak..ameen.

    p/s:Thn depan knuri lepas raya ker? :)

    BalasPadam
  7. salam :) ye ke kenal Tuan Guru dan zaujahnya Ustazah Ummu Muhammad?? ana no komen ..hehe..

    na'am kenduri lepas raya insyaAllah..kenapa nak mai ke? bagitau la sapa nie..ana hantaq kat special punya :)

    BalasPadam

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...