Selasa, 10 November 2009

Salah Faham Istilah ...Satu Masalah Yang Membarah ..

Segala puja dan puji hanya padaNya yang menjadikan langit dan bumi serta alam keseluruhannya Tuhan yang Tiada Misal padaNya. Selawat dan salam buat junjungan mulia Saidina Muhammad ibn Abdillah sallallahu alaihi wasallam serta para sahabat Baginda sallallahu alaihi wasallam ridwanullah a’laihim ajmain.

Ramai yang berbincang dan mengemukakan pendapat tentang istilah ‘syadid’ atau keras di dalam penyampaian dakwah. Kalau ditanya kepada 100 orang pelajar al-Azhar dan perubatan di bumi Kinanah ini, saya pasti dan percaya pasti akan terbit pelbagai takrifan berkenaan kalimah keramat ini.Ini masalah yang paling serius berlaku di bumi Mesir dan di mana-mana tempat di atas dunia ini. Apakah masalahnya? Ya, masalah sukar memahami dengan baik apa maksud sebenar bagi sesuatu istilah yang digunakan. Lebih ramai yang suka meletakkan takrifan menurut kefahaman dan kehendak sendiri, maka akan menyebabkan sesuatu istilah tersebut akan semakin disalah ertikan .

Penting sangatkah permasalahan istilah ini? Adakah ianya mengganggu gugat sesuatu perkara? Tidak keterlaluan jika saya katakan permasalahan istilah ini sangat penting dan ianya mampu merencatkan pemahaman terhadap sesuatu perkara.Buktinya jelas. Istilah “pengganas” yang dipelopori oleh Barat dan mereka menyandarkan ianya kepada segolongan pihak Muslimin, diterima pakai oleh kebanyakkan pimpinan Dunia. Maksudnya sekarang, jika disebut istilah “pengganas” maka seluruh mata akan berpaling kepada tubuh-tubuh golongan Muslimin tanpa menilai sama ada mereka benar-benar terlibat atau tidak. Tidak hairan diskriminasi berlaku terhadap kaum Muslimin di seluruh dunia sekarang. Ini memberi makna, perang istilah ini adalah salah satu strategi golongan musuh Islam bagi menimbulkan porak peranda kepada semua pihak dan ternyata ianya berjaya.

Lebih memilukan kita, ramai yang terpengaruh dengan perang istilah sebegini, termasuk golongan Muslimin sendiri yang juga terpengaruh dengan istilah sebegini.Setelah mengetahui pokok masalah, sekarang apa pula cara penyelesaian permasalahan tersebut?

Cara paling selamat bagi menyelesaikan permasalahan ini ialah dengan kembali kepada kefahaman para ulama yang muktabar. Pasti ramai akan tertanya, kenapa saya menyuruh kembali kepada kefahaman para ulama? Kenapa tidak terus melihat kepada nas yang zahir terpampang di dalam al-Quran dan Hadis Baginda sallallahu alaihi wasallam?
Jawapan paling ringkas dan padat yang pernah saya dapat daripada Syaikhuna Dr Jamal Faruq hafizahullah berkenaan persoalan di atas ialah : “Ini kerana para ulama lebih memahami maksud dan kehendak nas tersebut berdasarkan kelengkapan ijtihad yang mereka miliki. Nas al-Quran dan al-Hadis al-Nabawi al-Syarif kedua-duanya maksum dan mustahil berlakunya kesalahan dari segi akal dan syarak. Namun yang sering berlaku kesalahan ialah tabiat pemikiran manusia yang membaca al-Quran dan al-Hadis tersebut. Bahasa mudahnya ialah Dalil al-Quran dan al-Sunnah itu maksum daripada kesalahan, yang sering berlaku kesalahan ialah bagaimana mengambil kefahaman daripada dalil yang dikemukakan di dalam al-Quran dan al-Hadis.”

Ini yang perlu difahami dengan sebaiknya oleh semua lapisan masyarakat terutamanya golongan terpelajar. Jika golongan yang terpelajar juga menyalah gunakan sesuatu istilah tersebut bukan pada tempatnya maka tidak hairan masyarakat awam semakin terkeliru dengan pelbagai istilah yang sering diletakkan bukan pada tempatnya. Contohnya sekelompok pelajar yang ingin mempertahankan hak kebebasan bersuara bagi Mahasiswa hanya dengan sedikit meninggikan atau mengeraskan suaranya ketika berucap maka dituduh syadid dan tidak terbuka.
Istilah syadid tersebut sewenang-wenangnya dinilai hanya berdasarkan tinggi rendahnya suara mahasiswa tersebut ketika berucap.Ini ternyata satu perkara yang sangat mendukacitakan.

Istilah syadid adalah merupakan satu kalimah yang lahir daripada sesuatu kelompok atau individu yang hakikatnya mereka tersalah faham di dalam sesuatu permasalahan. Kelompok ini terus menjadikan kesalahfahaman tersebut sebagai satu pegangan, malah melazimkan kepada orang lain untuk mengikuti kefahaman mereka yang tersalah itu. Inilah maksud syadid atau taksub yang sebenar seperti yang disebutkan oleh Doktor Muhammad Adil Azizah al-Kayyali hafizahullah di dalam kitab karangan beliau “al-Fatawi al-Syar’iyah al-Muasirah.”

Tetapi jika seseorang itu berpegang dengan hujah dan penilaian yang teliti di dalam sesuatu permasalahan maka ini tidaklah boleh untuk kita gelarkan sebagai kelompok taksub tetapi kelompok ini sepatutnya digelarkan sebagai golongan yang “ Mutamassik” atau golongan yang berpegang dengan dalil berserta kefahaman yang benar.

Tetapi istilah mutamassik ini bukanlah sewenang-wenangnya juga boleh digunakan. Dalil yang bagaimana saya maksudkan sebenarnya? Maksud saya ialah dalil yang difahami oleh para ulama dengan sebenar-benarnya. Bukan dengan kefahaman sendiri dan kefahaman golongan yang tidak mencapai tahap seorang ulama yang boleh memahami nas dengan sebaiknya. Masalah lebih besar akan berlaku jika golongan sebegini dianggap mutamassik. Mereka akan menyesatkan ramai pihak dan tanpa sedar, diri mereka sendiri tersasar jauh.Penyelesaiannya mudah .

Jika ikuti turutan yang saya senaraikan ini maka saya pasti permasalahan ini akan mudah diselesaikan :

1. Belajar dan bertanya dengan para ulama muktabar

2. Memahami pengajian dengan sebaiknya

3. Banyakkan rujukan dan perbincangan

4. Gunakan istilah sesuai pada tempatnya

5. Tidak cepat melabelkan orang lain taksub dan syadid tanpa menilai kepada kefahaman dalil yang mereka gunakan.

Jika kesemua ini diaplikasikan sebaiknya maka saya yakin permasalahan salah faham dan salah guna istilah serta cepat melabelkan orang lain akan hilang dengan sendirinya. Benarlah kata para ulama, “ Perdebatan demi perdebatan yang kurang memberangsangkan sering berlaku adalah kerana kurangnya ilmu pengetahuan. Jika ilmu akhirat semakin bertambah, maka permasalahan demi permasalahan akan mudah diselesaikan tanpa perlu bersusah payah.”

Seseorang itu akan menjadi musuh dengan sesuatu yang dia tidak ketahui. Jika dia telah mengetahui hakikat sesuatu perkara maka permusuhan tersebut akan terungkai dengan sendirinya.

Ubat jahil adalah ilmu. Ingin mengambil ilmu perlu pada pakarnya.Bimbang tersalah penerangan cara penggunaannya jika mengambil daripada yang bukan ahlinya. Jika begini jadinya, maka ilmu yang diberikan itu bukanlah menjadi ubat malah menjadi penyakit yang semakin bertimpa-timpa.

Sesiapa makan cili , maka dialah yang akan terasa pedasnya. Semoga semua dapat memikirkan sebaiknya apa yang ingin saya sampaikan ini.Nilai sebaiknya apa yang ingin disampaikan sebelum meletakkan satu telahan.

Mohd Nazrul Abd Nasir,
Hayyu Sabiek,
Kaherah Mesir..

5 ulasan:

  1. Salam,ustaz,bagaimana kita hendak menyelesaikan salah faham yang timbul di kalangan umat islam yang berbeza manhaj dalam menegakkan perjuangan da'wah islam bagi pelbagai jemaah dan gerakan islam yang wujud di Malaysia khususnya dan seluruh dunia amnya?

    BalasPadam
  2. Salaam ustaz,

    Inilah masalah "loss of adab" yang dikupas panjang ole Prof. Al-Attas. Banyak lagi kata-kata kunci penting dalam korpus keilmuan Islam yang dimamah wabak sekularisme. Cara ke hadapan INsyaallah dengan "Islamisasi ilmu kontemporari".

    BalasPadam
  3. salam,ustaz.blh tak hurai pasal hadis ni.jumpe lam satu blog


    كَانَ النَّاسُ يَسْأَلُونَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ الْخَيْرِ وَكُنْتُ أَسْأَلُهُ عَنْ الشَّرِّ مَخَافَةَ أَنْ يُدْرِكَنِي فَقُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّا كُنَّا فِي جَاهِلِيَّةٍ وَشَرٍّ فَجَاءَنَا اللَّهُ بِهَذَا الْخَيْرِ فَهَلْ بَعْدَ هَذَا الْخَيْرِ مِنْ شَرٍّ قَالَ نَعَمْ
    قُلْتُ وَهَلْ بَعْدَ ذَلِكَ الشَّرِّ مِنْ خَيْرٍ قَالَ نَعَمْ وَفِيهِ دَخَنٌ قُلْتُ وَمَا دَخَنُهُ قَالَ قَوْمٌ يَهْدُونَ بِغَيْرِ هَدْيِي تَعْرِفُ مِنْهُمْ وَتُنْكِرُ قُلْتُ فَهَلْ بَعْدَ ذَلِكَ الْخَيْرِ مِنْ شَرٍّ قَالَ نَعَمْ دُعَاةٌ إِلَى أَبْوَابِ جَهَنَّمَ مَنْ أَجَابَهُمْ إِلَيْهَا قَذَفُوهُ فِيهَا قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ صِفْهُمْ لَنَا
    فَقَالَ هُمْ مِنْ جِلْدَتِنَا وَيَتَكَلَّمُونَ بِأَلْسِنَتِنَا قُلْتُ فَمَا تَأْمُرُنِي إِنْ أَدْرَكَنِي ذَلِكَ قَالَ تَلْزَمُ جَمَاعَةَ الْمُسْلِمِينَ وَإِمَامَهُمْ قُلْتُ فَإِنْ لَمْ يَكُنْ لَهُمْ جَمَاعَةٌ وَلَا إِمَامٌ قَالَ فَاعْتَزِلْ تِلْكَ الْفِرَقَ كُلَّهَا وَلَوْ أَنْ تَعَضَّ بِأَصْلِ شَجَرَةٍ حَتَّى يُدْرِكَكَ الْمَوْتُ وَأَنْتَ عَلَى ذَلِكَ



    Maksudnya: "Orang ramai bertanya kepada Rasulullah saw ttg kebaikan lalu saya bertanyakan Baginda mengenai kejahatan takut-takut ia menimpa saya. Maka saya berkata, "Wahai Rasulullah! Sesungguhnya kami pernah berada di dalam jahiliyyah dan kejahatan lalu Allah datangkan kepada kami dengan kebaikan ini. Adakah selepas semua kebaikan ini akan ada keburukan?" Kata Baginda, "Ya!" Saya berkata, "Adakah selepas kejahatan itu ada kebaikan?" Baginda menjawab, "Ya! Dan akan ada padanya itu Dakhan." Saya bertanya Dakhan tu ape. Kata Baginda, "Suatu kaum yang mengikut hidayah bukan hidayahku kamu kenal mereka dan kamu akan mencegah mereka." Saya berkata, "Adakah selepas kebaikan ini akan ada keburukan?" Jawabnya, "Ya! Akan ada para pendakwah di pintu-pintu neraka, sesiapa yang menjawab (seruan) mereka akan dicampak ke dalamnya." Saya berkata, "Wahai Rasulullah! Sifatkanlah mereka kepada kami." Katanya, "Mereka daripada kulit seperti kita dan bercakap dengan lidah seperti kita." Saya bertanya, "Maka apakah yang akan tuan suruh saya buat jika saya menemuinya?" Katanya, "Beriltizamlah dengan jamaah muslimin dan pemimpin mereka. Saya bertanya, "Jika tidak ada jemaah dan imam?" Katanya, "Maka tinggalkanlah semua kumpulan yang ada sekalipun engkau terpaksa berpaut dengan akar pokok sehinggalah kamu mati dalam keadaan begitu."



    (Riwayat Bukhari dan Muslim. Rujuk - Fath al-Bari, jil 13 hlm 35; Sahih Muslim, jil. 3 hlm 1475)

    BalasPadam
  4. Terima Kasih Saudara Rausyanfikir.. Segan pulak rasanya orang2 hebat mcm saudara sudi berkunjung ke laman tak seberapa ini.. doakan selalu..

    BalasPadam
  5. saya nak tggu ustaz syarahkan hadith ini,, bgus soalan sayida zainab..

    truja nak tahu pendapat beliau tuan guru..

    BalasPadam

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...