Rabu, 25 November 2009

Isu Bai'ah Talak Tiga & Dr Asri... Pengorbanan atau Penghinaan??


Idul Adha memberikan seribu satu makna buat umat Islam sedunia.Hari yang mana Allah taala jadikan buat mengambil iktibar dan pengajaran. Simbol utama bagi hari mulia ini ialah “ Pengorbanan”.

Umat Islam , walau bagaimana gembira sekalipun tetap meletakkan agama di hadapannya.Tidak seperti agama-agama yang lain yang mana sering melupakan nilai murni ketika perayaan disambut. Bagi mereka , hari perayaan adalah hari untuk bersuka-ria dan berfoya-foya. Namun bagi umat Islam, perayaan adalah hari untuk mengambil iktibar. Moga kita semua termasuk di dalam kelompok umat Islam yang benar-benar menghayati perayaan ini seperti yang dituntut oleh agama Islam yang mulia.

Peristiwa pengorbanan seorang anak dan ayah yang sangat-sangat bertaqwa kepada Allah taala memberikan seribu satu pengajaran kepada kita. Pengorbanan yang jika kita nilaikan dengan apa yang kita laksanakan pada hari ini, tentu tidak mampu bagi kita untuk membandingkannya walau sekelumit jua. Jauh berbeza sama sekali.

Seolah-olah Saidina Ibrahim dan Saidina Ismail alaihima al-salam ingin mengajarkan kepada kita semua bahawa pengorbanan untuk agama perlu dilakukan tanpa rasa berbelah bahagi. Bahasa mudahnya, apa sahaja yang berkait rapat dengan kepentingan Islam, maka tidak perlu bagi seorang Muslim yang sejati merasa berat hati untuk melaksanakannya. Apa yang penting ialah setiap perbuatan yang kita ingin laksanakan atas nama Islam perlulah berlandaskan dalil yang kukuh bagi mengelakkan berlakunya sebarang kekeliruan dan kesalah fahaman terhadap agama yang mulia ini.
Justify Full
Saya tertarik untuk membahaskan beberapa isu penting sepanjang musim ini. Satu demi satu isu hangat berlaku. Terkadang perkara tersebut tidak perlu untuk dijadikan isu namun media terlalu bijak mengambil peluang sehingga benar-benar menjadikan sesuatu yang bukan isu menjadi isu. Pengaruh media memang tidak dapat dinafikan, sangat terasa kekuatannya. Sehinggakan perkara yang tidak benar akan menjadi benar hanya kerana pengaruhnya yang meluas.

ISU PERTAMA



Isu pertama ialah tentang penangkapan Dr. Asri Zainal Abidin , bekas Mufti Perlis yang memang terkenal membawa pelbagai kontroversi murahan dengan bermodalkan agama. Beliau seolah-olah hero di dalam kisah penangkapan pada ketika itu. Perbincangan dengan beberapa pihak menjadikan fikiran saya memandang perkara ini kepada pro dan kontra. Pro yang berlaku di dalam kisah penangkapan ini ialah memang saya sangat bersetuju dengan tindakan drastik yang dilaksanakan oleh pihak JAIS dengan melakukan tangkapan dan dakwaan terhadap Dr Asri. Manakala kontranya pula ialah menyebabkan media massa mengambil peluang mempopularkan Dr Asri ini sehingga menjadikan seolah-olah beliau adalah mangsa di dalam isu ini. Sikap dan pemikiran yang kurang sihat disebarkan oleh beliau dengan alasan “ Mengemudi Arus Perubahan” ternyata tidak membawa apa-apa perubahan sebenarnya. Mengemudi itu tidak salah kalau kena pada caranya. Namun persoalannya , perubahan bentuk mana yang ingin beliau ketengahkan? Adakah pemikiran bermazhab yang dianuti oleh sebahagian besar penduduk di Bumi Malaysia dan Nusantara umumnya merupakan sesuatu yang kotor dan jijik sehingga perlu dilakukan sentuhan perubahan?

Berhujah dengan mengatakan bahawa kita perlu berpegang dengan al-Quran dan Sunnah itu benar.Persoalannya, adakah para pengikut Mazhab al-Imam Syafie radhiyallahu anhu di bumi Malaysia tidak lagi berpegang dengan al-Quran dan Sunnah? Kita semua mengambil daripada al-Quran dan Sunnah, namun saya ingin bertanya kepada pengikut-pengikut Dr Asri daripada acuan fahaman yang mana kamu semua ambil? Daripada acuan fahaman al-Imam Syafie kah? Atau daripada acuan fahaman al-Imam Abu Hanifah kah? Atau Imam Malik kah? Atau Imam Ahmad ibn Hambal kah? Apa kami yang mengikuti manhaj al-Imam Syafie ini dikira tidak mengikut al-Quran dan Sunnah ? Jadi Kami semua ini mengambil daripada Bible dan Talmud? Allahu Allah. Bilamana buruk sangka sudah menular di dalam fahaman manusia , maka semua yang bercanggah dengan apa yang mereka tidak ketahui akan dianggap sesat dan salah. Semoga Allah taala memberikan hidayah kepada kita semua.

Hakikatnya, tindakan untuk mengawal selia kerosakan pemikiran berlatar belakangkan agama adalah tindakan yang telah dicadangkan oleh pihak al-Azhar al-Syarif di bawah seliaan Syeikhuna Ali Jum’ah hafizahullah , Mufti Besar kerajaan Mesir.Cadangan ini dilaksanakan tujuh bulan sebelum berita penangkapan Dr Asri di Malaysia. Maksudnya pihak al-Azhar sendiri sudah lama mengambil inisiatif sebegini bagi mengawal kebobrokan pemikiran yang disebarkan oleh kebanyakkan pihak yang berlatar belakangkan agama. Cadangan ini disokong sebulat suara oleh pihak Majlis Fatwa Mesir, al-Azhar al-Syarif dan Institusi Penyelidikan Islam Mesir. Para ulama seperti Dr Mustafa al-Syak’ah, Dr Muhammad Abu Lailah dan al-Syeikh Ali Abdul Baqi bersetuju seratus peratus dengan tindakan yang diambil oleh Fadilatul Syaikhuna Dr Ali Jum’ah hafizahullah. Malah kesemuanya mencadangkan agar diambil tindakan keras kepada sesiapa yang mengeluarkan fatwa tanpa izin daripada pihak Majlis Fatwa.

Dr Mustafa al-Syak’ah mengatakan bahawa beliau meminta agar pihak kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap sesiapa yang mengeluarkan fatwa tanpa ilmu yang benar serta tanpa mengambil izin daripada Jabatan Fatwa walaupun yang memberikan fatwa tersebut adalah pemegang Ijazah Kedoktoran.

Pemegang Ijazah Kedoktoran bukanlah sebagai satu lesen utama untuk mengatakan bahawa seseorang itu mengetahui semua perkara. Ini perlu jelas kepada semua yang mempunyai pemikiran yang matang. Namun kita tidak menafikan bahawa Ijazah Kedoktoran itu adalah merupakan wasilah. Bilamana ianya disebut wasilah maka sudah tentu tidak tepat jika ianya dijadikan kayu ukur bagi keilmuan seseorang.

Terus terang saya katakan bahawa saya tidak bersetuju dengan beberapa pimpinan yang mengambil tindakan menyelar apa yang dilakukan oleh pihak JAIS. Apa yang dilakukan oleh pihak JAIS sebenarnya mengikut saluran agama yang benar. Syeikh Dr Sobri Abdul Rauf, Pensyarah Fiqh Perbandingan di Al-Azhar al-Syarif mengatakan bahawa : “ Terdapat satu permasalahan yang masyhur di dalam mazhab Abu Hanifah iaitu (( Dibenarkan kepada pihak berkuasa untuk menangkap Mufti @ orang yang mengeluarkan fatwa tanpa ilmu atau menyebarkan fahaman yang bimbang menyesatkan orang ramai)).”Malah beliau menegaskan bahawa fatwa bukanlah satu perkara yang boleh dibuka sewenang-wenangnya kepada semua.

-Rujuk Sout al-Azhar No. 491 bertarikh 25 Safar 1430 bersamaan 20 Februari 2009-

Isu Tauliah ini hanyalah sedikit, namun isu sebenar Dr Asri adalah sikapnya terhadap para ulama muktabar yang lain yang dipersendakan olehnya.Tidak hairanlah banyak NGO yang menyokong tindakan JAIS melakukan tangkapan terhadapnya.

ISU KEDUA


Selesai isu pertama. Masuk pula isu kedua iaitu Isu Talak Tiga yang dikeluarkan oleh YB Khalid Samad. Isu ini heboh diperkatakan oleh kebanyakkan penulis-penulis blog dan termasuk akhbar-akhbar. Lebih melucukan ada juga yang meminta kepada pihak Majlis Fatwa Kebangsaan untuk mengeluarkan fatwa bagi isu ini.

Isu utamanya hanyalah kerana kenyataan yang dikeluarkan oleh YB Khalid Samad yang mengatakan bahawa antara cara yang diambil oleh pihak Parti Islam SeMalaysia (PAS) bagi mengelakkan masalah lompat parti yang semakin berleluasa berlaku sekarang.

Hakikatnya perkara ini tidak perlu dijadikan isu. Ini permasalahan furu’ (cabang ) di dalam permasalahan Fiqh Islami. Jika kita merujuk pendapat para ulama di dalam permasalahan talak ini, maka kita akan jelas bahawa tindakan seperti itu adalah dinamakan sebagai “ Talak Ta’liq”. Ini tidak menyentuh sama ada menghina wanita atau tidak. Malah di dalam permasalahan fiqh , jika seorang suami mengatakan bahawa : “ Jika kamu ( wahai isteriku) keluar daripada rumah ini maka akan jatuh talak kepadamu.” Maka para ulama membahaskan adakah akan jatuh talak jika si isteri keluar daripada rumah tersebut? Tidak pula kita dapati bahawa ada ulama yang mempersoalkan sama ada ini menghina wanita atau tidak.

Jika melihat kepada contoh yang saya letakkan tadi maka secara jelasnya ianya lebih kepada penahanan suami terhadap isterinya daripada bebas ke mana-mana. Maka ini lebih jelas terkongkong kepada isteri jika dinilai daripada mata kasar kita. Namun di dalam permasalahan isu bai’ah talak tiga yang dikemukakan , si suami yang mengongkong dirinya sendiri daripada melakukan sesuatu yang jika dia melanggarnya maka akan jatuh talak terhadap isterinya.

Ini bukanlah untuk menghina martabat seseorang wanita malah sebenarnya ingin meninggikan lagi serta membuktikan kepada si isteri sejauh mana kasih sayang suaminya pada isteri tersebut. Seolah-olah, jika si suami tersebut lebih suka menerima wang jutaan ringgit hanya semata-mata untuk lompat parti maka ini membuktikan bahawa wang ringgit itu lebih bernilai daripada isterinya. Namun jika si suami benar-benar sayangkan isterinya maka wang jutaan ringgit tadi tidak langsung memberikan kesan kepada dirinya. Maka bia’ah yang dilakukan hakikatnya adalah untuk si suami memberikan satu jaminan terhadap sesuatu yang sangat bernilai di dalam hidupnya. Jika dia melanggarnya, maka perkara yang sangat-sangat bernilai ini akan hilang. Maka kewajipan kepadanya adalah untuk menjaganya sebaik mungkin.

Cuma saya memang kurang bersetuju dengan sikap yang ditunjukkan oleh YB Khalid Samad di dalam isu ini dengan menyebarkan dan “membongkarkan kepada umum”. Sikap berhati-hati ketika menyampaikan ucapan perlu ada kepada seorang pemimpin yang menjadi perhatian umum. Jika benar sekalipun Bai’ah yang dilaksanakan, maka sebaiknya para pimpinan tidak boleh melulu menceritakan kepada semua pihak.

Masalah utama di dalam isu ini ialah masalah sikap yang terlalu prejudis terhadap apa sahaja yang disandarkan kepada Islam. Jika yang melakukannya adalah UMNO dan Barisan Nasional mungkin orang ramai tidak akan memandang sebagai suatu yang penting ( secara jujurnya saya katakan mungkin tidak akan wujud langsung perkara sebegini di dalam UMNO), namun jika yang melakukannya adalah Jemaah Islam, maka terus perkara ini dijadikan isu utama. Maka pada waktu ini, semua pihak ingin menjadi hero yang kononya ingin mempertahankan isu umat Islam dan hak asasi Wanita.

Perkara utama yang perlu dilakukan ialah kembali semula kepada manhaj ilmu yang sebenar. Rujuk kepada para ulama yang ahli di dalam bidangnya sebelum mengeluarkan sesuatu kenyataan dan telahan. Bimbang perkara yang kita katakan tidak tepat itu hakikatnya adalah tepat, namun disebabkan kejahilan kita maka yang tepat menjadi salah dan begitulah sebaliknya.

Wallahu a'lam

Mohd Nazrul Abd Nasir,
Cyber Cafe Kuala Lumpur,
Kaherah Mesir..

12 ulasan:

  1. salam..

    saya kurang bersetuju dengan tulisan anda yang mengatakan perubahan yang cuba dibawa oleh dr asri sebagai kurang sihat dan menyebabkan perpecahan..

    saya tidaklah selalu mengikut ceramah atau pengajian dr asri.. tetapi sekali sekala dgr, saya byk bersetuju dengan apa yg cuba dibawa dr asri..

    dr pengamatan saya, apa yg cuba dr asri sampaikan adalah jangan kita terlalu melampau dalam berpegang mazhab, hingga kita lupa dan tidak respek pada pandangan orang lain yang juga salah satu ijtihadnya.. dr asri tidak pernah memaksa mana2 individu utk mengambil pendapatnya yang menampakkan lagi keluasan dan keterbukaan dalam islam itu..

    saya juga bersetuju, politik kepartian yang keterlaluan telah menyebabkan perpecahan dan kekeliruan yang lebih di dalam masyarakat.. berbanding perpecahan yg telah dr asri lakukan..

    saya juga tidak bersetuju cara anda menuding jari mengatakan dr asri mengambil kesempatan bersama media untuk menarik populariti.. saya rasa konsep berlapang dada itu perlu, jgn mudah untuk terpengaruh dgn semangat dan perasaan semata..

    saya bukanlah orang sesuai utk berkata di sini kerana saya sniri penuh kelemahan dan bukanlah byk ilmu seperti anda.. tp ini adalah pendapat saya semata..

    moga Allah ampunkan kita.. dan tunjukkan kita jalan kebenaran, dan sisipkan doa nabi untuk itu:

    "ya Allah, tunjukkanlah jalan kebenaran dan berikan kekuatan untuk aku ikuti kebenaran itu.."

    jzkk..

    wslm

    BalasPadam
  2. Assalamu'alaikum,

    Gunakanlah nick sebenar, tidak perlu sembunyi. Dr Asri yang saya lihat sekarang ini menggunakan parti politik untuk meraih simpati. Bahkan artis pun berada di belakangnya termasuk Sister In Islam.

    Sheikh.. Mungkin enta boleh ulas apa maksud perkataan Dr Asri dalam Youtube ini :

    http://www.youtube.com/watch?v=J0Qu0d76cp8

    Iaitu beliau mengatakan selawat Syifa' sebagai bercanggah dengan aqidah.

    BalasPadam
  3. dari utube yg ibnunafis katakan- tentang selawat syifa':-kita dapati tidak ada sumbernya dari syariah, tak ada nas alquran pun sunnah pun bahkan makna2nya bercanggah dgn prinsip2 aqidah islam - takkan maksud sebegini terang pun awak tak faham?perlu diulas apa lagi?yg perlu ialah pihak ibnunafis memberikan nas alquran dan hadis tentang selawat syifa'(jika ada).

    BalasPadam
  4. Assalamu'alaikum fly,

    Sekiranya anda ini belajar mengikut disiplin ilmu, dan menguasai bahasa arab, tentang ulumul quran, ulumul hadith yang ada am dan khasnya, serta asbabun wurud dan ilmu alat yang lain dalam mengistinbat hukum. Tentu anda tak berani menghukum sembarangan. Dan hanya mengatakan saya tidak tahu.

    Selawat syifa' ini sudah dijelaskan oleh Dr Haron Din dan Dr Amran Kasimin (mereka ada PhD dan sudah tentulah pakar dalam bahasa arab)ertinya yang disalahfahami oleh golongan tertentu.

    Saya tidak akan mengulangi jawapan yang telah saya berikan dalam blog JomFaham. Kerana itulah saya bertanya dengan ustaz nazrul nasir apakah erti BERCANGGAH DENGAN PRINSIP AQIDAH. Adakah ini bermakna Dr ASri telah menghukum kafir/sesat kepada ulamak dan umat Islam yang mengamalkannya.

    Untuk menyokong dalil selawat yang tiada nas dalam al Quran dan sunnah kami sudah kumpul jawapannya melalui dalil hadith sahih sendiri dari para sahabat dan salafussoleh sendiri yang mereka-reka selawat sendiri (yang tidak bercanggah dengan al Quran dan Sunnah) (rujuk di dalam blog kami).

    p/s: Soalan saya tujukan kepada Ustaz Nazrul dan bukan anda fly. Terima kasih. Harap faham.

    BalasPadam
  5. tuan ibnunafis, boleh berikan link mengenai hadith sahih dari para sahabat dan salafussoleh yang mereka-reka selawat sendiri. saya tidak berjaya menemuinya dlm blog tuan. terima kasih.

    BalasPadam
  6. Salam
    Syeikh, bukankah isu bai'ah talaq, Hasan Ali antara individu yg gembar gemburkan dlm satu pertemuan antara blogger tempoh hari?

    BalasPadam
  7. Assalamu'alaikum Yasir,

    Cuba baca betul-betul baharulah ketemu jawapannya dalam blog itu.

    BalasPadam
  8. Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.

    BalasPadam
  9. Fly dah mengaku bahawa dia bukan ahli dalam nak memperkatakan tentang masalah yang berkaitan solawat syifa' ni. Jadi sebaiknya beliau kena emahami ilmu islam yang pelbagai dan cantumkannya sebelum mengeluarkan pendapat.

    Al-Quran dan Hadis itu sumber asas hukum, di sana terdapat ilmu usul fiqh dan selainnya yang dijadikan alat untuk menjelaskan hukum dengan lebih lanjut.Ulama-ulama tersohor mengeluarkan hukum yang kadang-kadang tidak ada nas yang tepat dari kedua-dua sumber tadi.Jika begitu macam mana hukum boleh ada tanpa nas. jawapnya ialah melalui ilmu usul fiqh. Kalau Fly nak tahu lebih lanjut sila lah pergi jumpa mana-mana guru dan belajar dengan faham.

    Janganlah kerana tak faham sepenuhnya ilmu islam dah pandai-pandai nak komen hukum sedia ada...syukran.

    BalasPadam
  10. Assalamualaikum....ya setuju, harap2 tiada usaha utk menafikan kepentingan ilmu usul fiqh pula nanti...

    pengalaman saya sndiri,ada pihak cuba memandang rndah pada pakar2 ilmu usul fiqh dgn menganggap metode muhaddisin lebih baik (ini ditujukan kpd mereka yg anggap sdemikian,jika xtermasuk,xperlu risau)...sdngkan pakar2 ini saling memerlukan...

    Ahl hadis umpama ahli farmasi yg sediakan dan kategorikan ubat (antaranya hadis sohih,hasan,doif ringan,doif berat,maudu'), pakar fikh umpama doktor yg pilih ubat2 tersebut (pilih dgn mggunakn ilmu usul fiqh,qawaid fiqh dll) utk disesuaikan dgn pesakit2 (isu semasa yg sntiasa berubah dll)

    Harap tiada yg mengatakan pndapat2 doktor tersebut sesat,khususnya dlm perkara yg dibenarkan berijtihad (ini melibatkan 'ubat-ubat' yg ada title qot'iddilalah,zonniddilalah,qot'issubut,zonniyyissubut)

    ni baru ahli hadis dan ahli fikh, blum masuk ahli tafsir,ahli qiraat (yg melbatkan pelbagai pndapat dan ijtihad) lagi..cuba bayangkan jika setiap ulama salng menghina..na'uzubIllah..

    agaknya kini.siapakah yg bangkitkan isu khilafiyyah dgn hina ulama terdahulu? sedihnya bila mndgr ungkapan 'khurafat' trhadap pndpt imam nawawi, 'bodoh' trhadap pemilih pndapt dlm isu tgn brbalut prlu tayammum dan berwuduk sekali, syirik bg pngamal selawat syifa (ditujukan kpd sesiapa yg buat sedemikian,klu yg xbuat,alhamdulllah,xperlu risau)....

    SEDANGKAN INI ISU KHILAFIYYAH...klu xnak bwt jgn la kata 'khurafat, bodoh n syrik sesuka hati...angaplah ini rayuan utk hndari pergaduhan dlm prkara cabang...

    Asif klu silap dlm meletakkan beberapa istilah dll, shbt2 arif silalah bantu..syukran

    BalasPadam
  11. pembetulan..bukan khalid samad yg bongkar isu bai'ah talak..tapi dr.hasan ali http://www.youtube.com/watch?v=dTpz_oLDLC8

    BalasPadam
  12. saudara JomFikir, jika ada, sudilah kiranya saudara letakkan link tersebut di sini bagi memudahkan saya dan pembaca lain, semoga Allah membalas budi baik tuan.

    Ustaz Nazrul Nasir, al-sheikh al-qaradhawi nk datang m'sia. perlukah beliau memohon tauliah dahulu sebelum memulakan majlis beliau?

    terima kasih.

    BalasPadam

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...