Rabu, 6 April 2011

Bagaimana Memakai Cincin Menurut Sunnah?

Ada seorang sahabat yang sangat mencintai sunnah Baginda sallallahu alaihi wasallam telah bertanya kepada saya tentang cara pemakaian cincin menurut sunnah Baginda sallallahu alaihi wasallam.

Saya tidak ingin menjawab dengan pandangan saya yang sangat faqir di dalam ilmu, namun saya akan memberikan jawapan yang telah diberikan oleh al-Imam Jalaluddin al-Suyuti rahimahullah dan para ulama yang lain. Jawapan daripada para ulama ini akan saya ringkaskan agar mudah difahami oleh para pembaca.

Ada beberapa perkara yang akan terlintas di dalam persoalan berkaitan cincin :

1.    Adakah terdapat berat yang khusus untuk memakai cincin?

2.    Adakah kita boleh mengambil segala jenis logam untuk dijadikan cincin seperti tembaga, besi dan lain-lain?

3.    Adakah harus bagi kita memakai lebih daripada satu cincin perak di tangan bagi lelaki?

4.    Adakah cincin yang dipakai oleh Baginda sallallahu alaihi wasallam mempunyai batu? Apakah jenis batunya?

5.    Di jari manakah Baginda sallallahu alaihi wasallam memakai cincin , kanan atau kiri? Dan bagaimana pula keadaan batu cincin Baginda sallallahu alaihi wasallam, samada dipusingkan ke tapak tangan atau tidak?
Ini antara soalan yang terlintas di dalam pemikiran kita. Sekarang kita lihat pula bagaimana para ulama memberikan jawapan bagi permasalahan ini. Jawapan yang akan saya kemukakan adalah menurut turutan soalan di atas. Di harap para pembaca mengambil perhatian terhadap perkara ini.

JAWAPAN

BERAT CINCIN

1.    Para ulama berbeza pandangan di dalam permasalahan berat cincin yang dibenarkan. Al-Imam Haskafi rahimahullah, ulama bermazhab Abu Hanifah mengatakan bahawa sesebuah cincin tidak boleh melebihi berat satu Mithqal yang bersamaan 4.680 gram. Al-Imam Ibn Abidin yang merupakan ulama bermazhab Abu Hanifah juga merajihkan pandangan pengarang kitab al-Zhaqirah bahawa berat yang dibenarkan hanya satu Mithqal.

2.    Para ulama Malikiyah pula berpandangan dibenarkan untuk seseorang memakai cincin dengan kadar 2 dirham ke bawah. Berat dua dirham menurut pengiraan moden ialah  3.125 gram ×  2 = 6.25 gram

3.    Para ulama Syafieyah pula mengatakan bahawa berat cincin bergantung kepada adat atau uruf setempat. Jika melebihi daripada adat tempat tersebut maka ianya dianggap membazir.

4.    Para ulama Hanabilah  pula berpandangan tiada masalah untuk memakai cincin yang beratnya melebihi satu mithqal.  Tetapi dengan syarat tidak terkeluar daripada uruf atau adat setempat yang ditetapkan. Jika melebihi uruf maka hukumnya adalah haram.

LOGAM YANG DIBENARKAN UNTUK MEMBUAT CINCIN

EMAS

1.    Para ulama bersepakat mengatakan bahawa emas dibenarkan kepada wanita untuk memakainya, manakala bagi lelaki ianya adalah haram.

2.    Manakala untuk kanak-kanak yang belum baligh, para ulama Syafieyah di dalam pandangan muktamad di dalam mazhab berpendapat bahawa dibenarkan bagi mereka untuk memakai emas samaada kanak-kanak lelaki atau perempuan.

PERAK

1.    Para ulama bersepakat mengatakan bahawa cincin perak dibenarkan kepada wanita. Manakala bagi lelaki pula terdapat perincian oleh para ulama .

2.    Para ulama Hanafiyah mengatakan bahawa harus bagi lelaki memakai cincin perak. Ianya menjadi sunnah kepada para sultan, para qadhi dan yang seumpama dengannya. Manakala kepada selain sultan, qadhi dan yang seumpama dengannya terlebih afdhal bagi mereka tidak memakai cincin perak.

3.    Para ulama Malikiyah pula berpandangan bahawa memakai cincin perak bagi lelaki adalah harus dan jika dipakai dengan tujuan mengikut sunnah Baginda sallallahu alaihi wasallam hukumnya adalah sunnah dan haram memakainya dengan tujuan berbangga diri.

4.    Para ulama Syafieyah pula berpandangan bahawa disunatkan kepada sesiapa sahaja untuk memakai cincin perak bukan dikhususkan kepada sultan dan qadhi semata-mata.
 
5.    Para ulama Hanabilah berpandangan bahawa memakai cincin perak bagi lelaki adalah harus.

SELAIN DARIPADA EMAS & PERAK

1.    Para ulama Malikiyah ( dalam pandangan yang muktamad ) dan ulama Hanabilah berpandangan bahawa memakai cincin daripada besi, tembaga dan seumpama dengannya adalah makruh berdasarkan larangan Baginda sallallahu alaihi wasallam di dalam hadis. Hukuman ini merangkumi lelaki dan  wanita.

2.    Para ulama Malikiyah berpandangan bahawa mengambil cincin daripada kayu, kulit dan batu adalah harus bagi lelaki dan wanita. Manakala para ulama Hanabilah pula berpandangan diharuskan bagi lelaki dan wanita memakai cincin daripada zamrud, yaqut, jed dan lain-lain jenis batu.

3.    Para ulama Syafieyah pula mempunyai dua pandangan di dalam permasalahan ini. Sebahagian mengatakan bahawa hukumnya makruh memakai cincin selain emas dan perak. Manakala sebahagian lagi mengatakan tidak makruh. Al-Imam Nawawi rahimahullah berpandangan dengan mengatakan tidak makruh memakai cincin daripada selain emas dan perak . al-Imam Qalyubi di dalam Hasyiyahnya juga mengatakan bahawa tiada masalah untuk memakai cincin daripada tembaga , besi dan lain-lain.

4.    Para ulama Hanafiyah pula seperti al-Imam Ibn Abidin rahimahullah mengatakan bahawa dihalalkan bagi lelaki memakai cincin perak dan diharamkan memakai cincin emas, tembaga atau besi. Manakala mengambil cincin daripada batu adalah dibenarkan khususnya batu aqiq.

Syaikh al-Allamah Abdullah Fad aq hafizahullah..Lihat pemakaian cincin pada jarinya

HUKUM BERBILANG-BILANG CINCIN

1.    Para ulama Malikiyah mengatakan bahawa diharamkan bagi seseorang lelaki memakai lebih daripada satu cincin.

2.    Para ulama Syafieyah pula berpandangan bahawa dibenarkan untuk memakai 2 bentuk cincin perak dalam satu masa. Ini seperti yang disebutkan oleh al-Imam Jalaluddin al-Suyuti rahimahullah. Makruh hukumnya memakai lebih daripada 2 bentuk cincin. Al-Imam Isnawi rahimahullah juga berpandangan sedemikian dan kata al-Imam Khawarizmi di dalam al-Kafi : Makruh memakai kedua-dua cincin tersebut pada satu jari.

3.    Para ulama Hanabilah pula berpandangan bahawa dibenarkan bagi lelaki memakai dua cincin dan lebih selagi mana tidak keluar daripada adat setempat.

4.    Manakala para ulama Hanafiyah tidak pula kedapatan mereka mengeluarkan pandangan di dalam masalah ini.
 

BENTUK CINCIN RASULULLAH

1.    Cincin Baginda sallallahu alaihi wasallam ada dua jenis. Ada yang diukir perkataan “ Muhammad Rasulullah” dan ada yang diletakkan batu.

2.    Jenis batunya menjadi perbahasan para ulama, sebahagian mengatakan bahawa ianya adalah jenis aqiq dan al-Imam Jalaluddin al-Suyuthi mengatakan bahawa beliau melihat di dalam kitab Mufradat fi  al-Tibb  
karangan Ibn al-Baithar bahawa jenis batu tersebut adalah zabarjad.
 
JARI YANG SUNNAH DILETAKKAN CINCIN

1.    Bagi wanita tiada tempat yang khusus diletakkan. Terpulang kepada mereka untuk memakai cincin dimana sahaja anggota. Samada di kesemua jari tangan atau jari kaki sekalipun. Ini kerana itu adalah perhiasan bagi mereka.

2.    Para ulama berbeza pandangan tentang kedudukan jari yang sunnah dipakaikan cincin bagi lelaki. Para ulama Hanafiyah mengatakan bahawa disunnahkan bagi lelaki untuk memakai cincin di jari kelingking sebelah kiri dan bukan pada jari lain walaupun kanan. Sebahagian daripada ulama Hanafiyah mengatakan bahawa diharuskan untuk memakai cincin pada jari kelingking kanan.

3.    Manakala al-Imam Malik radhiyallahu anhu, guru kepada al-Imam al-Syafie radhiyallahu anhu mengatakan bahawa disunnahkan memakai cincin di jari kelingking kiri dan beliau sendiri memakai cincin di jari kelingking kiri. Al-Imam Ibn al-Arabi al-Maliki mengatakan bahawa sunnah memakai cincin pada jari kelingking kiri dan makruh memakainya pada  kelingking kanan.

4.    Para ulama Syafieyah mengatakan bahawa harus untuk dipakai cincin pada jari kelingking kanan atau kiri sekalipun. Tetapi pandangan yang masyhur ialah memakainya pada jari kelingking kanan kerana ianya merupakan tempat untuk berhias. Manakala memakai cincin pada jari manis adalah dibenarkan. Jari tengah, telunjuk dan ibu jari adalah dilarang bagi kaum lelaki untuk meletakkan cincin padanya. Ini kerana terdapat larangan daripada Baginda sallallahu alaihi wasallam kepada Sayyiduna Ali radhiyallahu anhu untuk memakai cincin pada jari-jari tersebut.

5.    Para ulama Hanabilah pula berpandangan bahawa afdhal memakai cincin pada jari kelingking kiri. Mereka juga berpandangan bahawa dibenarkan untuk memakai cincin pada jari manis dan ibu jari. Manakala jari telunjuk dan jari tengah adalah dilarang untuk meletakkan cincin padanya kerana terdapat larangan yang jelas daripada Baginda sallallahu alaihi wasallam.



KE ARAH MANAKAH BATU CINCIN DIPUSING?

1.    Para ulama mengatakan bahawa dibenarkan untuk kita menzahirkan batu cincin ke atas. Namun yang lebih afdhalnya menurut sunnah Baginda sallallahu alaihi wasallam adalah dengan memusingkan arah batu tersebut ke telapak tangan.

Semoga kita semua dapat mengambil manfaat dengan perbahasan ini bagi menghidupkan sunnah Baginda sallallahu alaihi wasallam.

RUJUKAN :

1.    Mausu’ah al-Kuwaitiyah Jilid 11

2.    Al-Hawi lil Fatawi oleh al-Imam Jalaluddin al-Suyuthi radhiyallahu anhu , jilid 1 mukasurat 75-76 cetakan Darul Kutub Ilmiyah tahun 1982



Mohd Nazrul Abd Nasir,
Penuntut Ilmu Masjid al-Azhar al-Syarif & Masjid al-Asyraff,
Rumah Ayah & Bonda di Pedu,
Kedah, Malaysia

Selasa, 5 April 2011

Isu Mual UMNO, Di Mana Ulama Muda UMNO ?

Isu video seks seorang pemimpin pembangkang yang heboh diperkatakan sekarang membuatkan kebanyakkan rakyat Malaysia mual dan muak dengan sikap para pemimpin Malaysia yang dipimpin oleh UMNO dan Barisan Nasional.

Sikap sebegini menggambarkan kepada kita betapa pimpinan di Malaysia ini sudah jauh daripada kematangan. Bagaimana mungkin orang-orang yang tidak matang boleh menjadi pemimpin Negara?

Saya juga mual dengan sikap sebahagian pihak yang kononnya tidak mahu ambil tahu tentang hal ini dengan menggunakan alasan bahawa jika terlibat mempertahankan pihak tertuduh maka akan dianggap menyokong Pembangkang a.k.a Pakatan Rakyat. Kalau bersetuju pula bimbang dituduh menjadi pencacai Barisan Nasional dan UMNO. Maka mengambil jalan tengah dengan berdiam diri itu dianggap lebih selamat.

Mohon maaf saya pinta jika ada yang terasa bilamana saya menulis sebegini. Saya bukan ingin mempertahankan Dato’ Seri Anwar Ibrahim disebabkan saya menyokong Parti Islam Se-Malaysia ( PAS) dan Pakatan Rakyat. Namun saya ingin mempertahankan hak sebagai seorang muslim yang sepatutnya kita pertahankan bersama. Kalaupun Video Seks itu melibatkan Najib Tun Razak, saya akan mempertahankan dan menempelak pihak yang menyebarkannya. Bukan kerana saya menyokong Barisan Nasional @ UMNO tetapi kerana saya bencikan sikap suka mengaibkan pihak yang lain.

KAMI DIDIDIK MEMPERTAHANKAN KEBENARAN

Saya belajar di al-Azhar al-Syarif atau dengan lebih jelasnya ialah di Masjid al-Azhar al-Syarif. Masjid yang melahirkan generasi demi generasi ulama yang menyinari alam ini. Setiap hari saya dan sahabat-sahabat yang belajar di Masjid al-Azhar al-Syarif memijak tanah yang pernah dahulunya dipijak oleh para ulama besar seperti al-Imam Abdullah al-Syarqawi, al-Imam Ibrahim al-Bajuri, al-Imam Sya’rani, al-Imam al-Suyuti, al-Imam Subki , al-Syeikh Abdullah Siddiq al-Ghumari, al-Imam Ahmad al-Ghumari rahimahumullah dan lain-lain.

Semua para ulama yang saya sebutkan di atas terkenal dengan sikap mereka yang mempertahankan kebenaran dan menentang kemungkaran. Tidak akan berdiam diri bilamana melihat kemungkaran di depan mata. Bukan menjadi syaitan bisu yang mendiamkan diri bilamana diminta memperkatakan sesuatu yang haq.

Syaikhu Syaikhina al-Allamah Abdullah Siddiq al-Ghumari rahimahullah pernah dipenjarakan di Mesir hanya kerana tidak bersetuju dengan Presiden Anwar Sadat. Beliau pernah diletakkan hukuman bunuh. Namun karamah yang Allah taala kurniakan kepada beliau  bilamana diberitahu akan dijatuhkan hukuman bunuh oleh Anwar Sadat maka beliau berkata “ Orang yang akan membunuh aku akan mati lebih dahulu daripada aku” . Maka dengan takdir Allah taala , Anwar Sadat mati ditembak selepas itu. Adakah Najib Tun Razak mahu didoakan sebegini?

Sikap para ulama ini mengalir dan berdarah daging di dalam diri kami. Maka jangan salahkan kami jika kami sering menegur sikap pemerintah yang melakukan kezaliman dan penindasan serta penyelewengan. Kami sedikit sebanyak mewarisi sikap para ulama ini.

MANA ULAMA MUDA UMNO DALAM ISU INI?

Ada dua perkara yang sepatutnya kita fikirkan bersama bilamana video ini disebarkan.

Pertama : Video Itu Benar

Kedua : Video Itu Palsu

Jika video itu benar , maka adakah perkara ini boleh disebarkan?Apakah hukum menyebarkan dengan tujuan mengaibkan orang tersebut? Apakah tujuannya disebarkan perkara tersebut? Mana ulama muda UMNO yang kononnya mujtahid ketika isu ini dibahaskan? Kenapa tidak lantang menegur pihak atasan bahawa sikap menyebarkan video itu sebenarnya akan menjatuhkan maruah seseorang apatah lagi orang yang ingin dimalukan itu adalah seorang Islam?

Jika video itu palsu maka hukumnya lebih berat. Memfitnah itu lebih buruk akibatnya. Sekali lagi saya ingin tujukan soalan kepada ulama muda UMNO. Takkan kalian tidak tahu bahawa hukum memfitnah itu berat? Hanya kerana ingin menjaga periuk nasi kalian maka kalian diam membisu seribu bahasa.

Sudah terang lagi bersuluh bahawa samada ianya benar atau tidak, hukum menyebarkannya adalah HARAM. Tapi itu apa yang kami , para penyokong dan pendokong PAS serta Pakatan Rakyat fikirkan. Bagi UMNO dan Barisan Nasional, semuanya adalah HALAL selagi mana mampu memberi keuntungan untuk parti mereka.

Adakah sikap kami mempertahankan maruah seorang Muslim itu masih diragukan?Masih menganggap kami mempertahankannya hanya kerana kami menyokong parti pembangkang?

Kami tegaskan bahawa kami mempertahankannya kerana beliau seorang Muslim. Kami mual dengan Pemerintah yang buta hukum dan buta hati .

Saya lebih mual dengan orang yang masih memberikan simpati pada UMNO dan Barisan Nasional. Buka sedikit minda yang dibancuh dengan ramuan UMNO itu. Biarkan aroma UMNO itu keluar daripada kotak minda kalian. Biarkan angin segar daripada pokok-pokok yang HIJAU masuk menerjah ke dalam minda kalian . Agar tidak gentar menegur kebobrokan yang dilakukan.

Semoga Allah menyelamatkan Orang yang Teraniaya dan menjatuhkan pihak yang zalim serta membuka hati pihak yang membisu seribu bahasa. Amin Ya Rabbal A’lamin

Mohd Nazrul Abd Nasir,
Penuntut Ilmu Masjid al-Azhar & Masjid al-Asyraff,
Rumah Ayah dan Bonda di Pedu Kedah,
Malaysia . 
1:05 Pagi

Sabtu, 12 Mac 2011

Majalah Islamik Ahlussunnah Wal Jamaah al-Asya'irah Perlu DiUsahakan

Seringkali saya ke kedai-kedai buku di Malaysia bagi mencari bahan bacaan santai berbentuk agama. Namun , natijahnya hampa. Boleh dikatakan agak sukar menemukan buku-buku atau bahan bacaan santai yang boleh dibaca oleh segenap lapisan masyarakat.

Ya, paling banyak bahan bacaan yang akan kita ketemu di kedai-kedai buku hanyalah berkisar tentang artis dan sukan bolasepak. Saya terfikir bilakah kita akan boleh keluarkan majalah-majalah seperti al-Kisah , sebuah majalah kisah Islami yang dikeluarkan oleh para pencinta ilmu di Indonesia yang boleh didapati hanya dibeberapa tempat tertentu sahaja di bumi Malaysia seperti di Yayasan al-Jenderami dan Yayasan al-Sofa.

Dulu kita pernah terlihat kelibat majalah al-Hidayah di pasaran Malaysia. Namun sekarang sudah kurang kedapatan di kedai-kedai buku. Namun sedikit yang menyedihkan tentang majalah al-Hidayah ini adalah kerana fahaman dan penulisan di dalamnya agak bercampur. Misalnya, muka hadapan majalah menceritakan tentang Sambutan Maulid Baginda sallallahu alaihi wasallam, tiba-tiba bilamana kita menyelak lembaran yang seterusnya, ada juga diselitkan artikel yang melarang sambutan Maulid Baginda sallallahu alaihi wasallam. Kalau yang tidak punya asas membacanya, sudah tentu akan terkeliru. Mana satu yang perlu diikuti? Yang membenarkan atau yang melarang? Sedang tidak ada kata putus yang dikeluarkan.

Al-KISAH MEMBUKA MINDA

Berbeza dengan majalah al-Kisah, yang dipaparkan adalah pandangan para Kiyai dan Habaib yang memimpin pesantren di Indonesia disamping pandangan para ulama daripada Hadramaut, Yaman.

Saya tidak menafikan wujudnya majalah seperti Solusi dan lain-lain yang berbicara tentang Islam. Namun persembahan al-Kisah saya kira lebih menarik. Ini cuma pandangan peribadi.

Mana ada majalah yang menyediakan Pin-Up berbentuk gambar para ulama dan doa-doa. Apa yang selalu kita ketemu adalah Pin-Up berbentuk gambar-gambar artis yang berpakaian separuh bogel. Sekurang-kurangnya dengan Pin-Up gambar ulama menyebabkan golongan remaja mahupun kanak-kanak dapat mengenali para ulama dahulu dan sekarang.

Bilamana saya melihat majalah ini, terlintas di dalam benak saya untuk berusaha menerbitkan majalah seperti yang dikeluarkan oleh Tok Kenali satu ketika dahulu iaitu Pengasuh. Saya pernah terbaca majalah Pengasuh selepas era Tok Kenali ketika menuntut di Kolej Islam Sultan Alam Shah . Namun sedih kerana pandangan di dalam majalah tersebut ternyata bertentangan dengan pegangan yang dibawa oleh Tok Kenali ketika mula-mula menerbitkan Pengasuh. Tujuan Pengasuh adalah bagi membendung fahaman Kaum Muda @ Wahabi @ Salafi Jadian yang berleluasa pada ketika tersebut. Namun golongan Kaum Muda ini sangat bijak, mereka menyusup masuk dan akhirnya menjadi penulis-penulis bagi artikel di dalam majalah Pengasuh dan akhirnya menyebarkan fahaman mereka dengan menggunakan nama Pengasuh selepas kematian Tok Kenali.

AYUH PARA AZHARI DAN SAHABAT-SAHABAT DI PONDOK PENGAJIAN KITA BERGABUNG TENAGA

Inilah masanya para Azhari dan sahabat-sahabat yang menuntut di Pondok Pengajian di Malaysia serta sahabat-sahabat yang belajar di Timur Tengah untuk sama-sama kita gembleng tenaga bagi melahirkan majalah yang mampu memberikan suntikan semangat dakwah kepada masyarakat . Dakwah yang bebas daripada fahaman menyeleweng seperti Syiah, Wahabi , dan lain-lain yang bertentangan dengan fahaman Ahlussunnah Wal Jamaah al-Asya’irah wal Maturidiah.

Biarkan artikel-artikel itu ditulis sendiri oleh para ulama yang dipercayai kelayakan ilmu agamanya. Biarkan artikel-artikel tersebut disunting dan disemak oleh para Tuan Guru . Biarkan fikrah para ulama dapat disebarkan secara meluas dalam bentuk tulisan.

Inilah caranya untuk kita bergabung tenaga. Tidak ada kemampuan untuk mengajar ilmu di masjid-masjid sekurang-kurangnya menjadi pembantu bagi menjayakan misi ini dengan menjadi ahli jawatankuasa pengeluaran Majalah yang belum difikirkan namanya ini.

Moga niat ini akan direalisasikan kelak InsyaAllah. Ya benarlah sabda Baginda sallallahu alaihi wasallam :


Ini bermakna, jika seseorang mukmin tersebut hanya baru berniat melaksanakan kebaikan, maka itu sudah mendapat pahala walau belum melaksanakannya.

Semoga ada sahabat yang akan memberikan dorongan terbaik pada pewaris para ulama ini. Aminn..

Mohd Nazrul Abd Nasir,
Penuntut Ilmu Di Al-Azhar al-Syariff & Masjid al-Asyraff,
Rumah Mak Ayah di Pedu,
1.48 Pagi
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...