Selasa, 27 April 2010

Al-Imam al-Akbar Syeikh Dr Muhammad Ahmad Tayyib Hafizahullah Seperti Yang Al-Faqir Kenali..

Ramai yang tertanya-tanya berkenaan dengan Syaikhul al-Akbar al-Ustaz Doktor Muhammad Ahmad al-Tayyib hafizahullah, Syaikhul Azhar yang baru dilantik setelah kewafatan Syaikhul Akbar Sayyid Muhammad Tantawi rahimahullah.

Alhamdulillah, al-Faqir sendiri pernah diberi kesempatan untuk menghadiri kelas pengajian umumi bersama al-Imam al-Akbar Syaikh Dr. Muhammad Ahmad Tayyib hafizahullah di Masjid al-Azhar al-Syariff. Beliau mengajar kami ilmu Mantiq dengan menggunakan kitab Sullam al-Munawraq dan setelah selesai kitab tersebut dipelajari kami sempat menghadiri beberapa kelas pengajian kitab al-Mustasfa karangan al-Imam Hujjatul Islam al-Ghazali radhiyallahu anhu. Ketika itu beliau masih lagi memegang jawatan sebagai Rektor Universiti al-Azhar al-Syariff.

Memang tidak dapat dinafikan betapa ilmu beliau melaut luasnya. Sehingga salah seorang ulama al-Azhar al-Syariff yang juga merupakan guru kami di Masjid al-Azhar iaitu Syaikh al-Allamah al-Usuli Dr. Salim Abu A’si al-Hanafi hafizahullah mengatakan bahawa Syaikh Dr Muhammad Ahmad Tayyib hafizahullah adalah merupakan antara ulama yang paling pakar di dalam bidang ilmu Kalam dan Mantiq . Namun kehebatan beliau di dalam ilmu-ilmu lain tidaklah boleh dipertikaikan.

Syaikhuna al-Imam al-Akbar merupakan seorang yang agak garang dan tegas. Terutama ketika berada di dalam kelas. Paling membimbangkan adalah bilamana beliau berhenti membaca kitab dan memandang ke arah kami untuk bertanyakan soalan. Jika tidak boleh menjawab maka beliau akan bertanya “ Kamu dari Kuliah apa?” Jika soalan berkenaan mantiq tidak boleh dijawab oleh penuntut ilmu tahun akhir di Kuliyyah Usuluddin Universiti al-Azhar al-Syariff maka beliau akan memarahi pelajar tersebut dan mengatakan “ Apa tujuan kamu datang ke sini kalau ilmu sebeginipun kamu tidak mampu kuasai ?”

Beliau juga pernah memberikan peringatan kepada para penuntutnya agar tidak memakan kacang ful ( sejenis makanan ruji orang-orang Mesir) sebelum datang ke kelasnya di Masjid al-Azhar al-Syariff. Ini kerana menurut beliau, kacang tersebut akan menyebabkan penuntut menjadi mengantuk dan cepat lupa apa yang dipelajari. Al-Faqir pernah terbaca tulisan al-Imam al-Suyuti rahimahullah berkenaan perkara ini. Malah al-Imam al-Suyuti rahimahullah mengatakan antara penyebab lupa adalah memakan kacang ful.

Beliau juga mengatakan dengan jelas kepada kami pada suatu hari : “ Ilmu sebenar yang akan kamu perolehi adalah bilamana kalian berada di sini ( sambil mengisyaratkan kepada Masjid al-Azhar , ketika itu kami sedang belajar kitab al-Mustasfa di Ruwaq @ Anjung al-Abbasi ) , sekurang-kurangnya 6 tahun kamu perlu berada di sini untuk memperolehi ilmu sebenar. Saya juga belajar disini bersama Syaikhuna al-Imam al-Akbar Dr Abdul Halim Mahmud rahimahullah”

Syaikhuna al-Imam al-Akbar juga selalu menceritakan bahawa beliau banyak terpengaruh dengan pembawakan al-Imam Abdul Halim Mahmud rahimahullah.

Ini adalah sedikit sebanyak apa yang al-faqir sendiri perhatikan daripada peribadi al-Imam al-Akbar Syeikh Dr Muhammad Ahmad Tayyib hafizahullah sebelum beliau dilantik menjadi al-Imam al-Akbar. Walaupun sempat bersama beliau dengan masa yang cukup singkat namun cukup banyak faedah yang boleh al-faqir timba daripada beliau. Semoga Syaikhuna al-Allamah al-Imam al-Akbar hafizahullah dapat membuka lagi majlis pengajian di Masjid al-Azhar al-Syariff selepas ini. Semoga Allah taala memberikan kemudahan kepadamu wahai guru kami untuk memegang amanah yang cukup berat ini.

Mohd Nazrul Abd Nasir,
Penuntut Ilmu Di Masjid al-Azhar al-Syariff & Masjid al-Asyraff,
Rumah Kedah Transit Hayyu 7,
Kaherah, Mesir

Ahad, 18 April 2010

Jejak Auliya Siri Kedua .. Selamat Menonton..


Sumber : Blog Ust Azrul ( Pengasas Islam4Peace.Net )

Alhamdulillah, hasil muhasabah dan komen daripada para sahabat berkenaan rancangan Jejak Aulia episod pertama, akhirnya kami berjaya menyiapkan siri Jejak Aulia (Kaherah) episod 2 walaupun mengambil masa yang agak lama untuk menyiapkannya.

Ribuan terima kasih diucapkan kepada Al Fadhil Ust Mohd Nazrul yang sanggup meluangkan masa untuk sama-sama memperbaiki kualiti suara untuk mengelakkan kecacatan di dalam episod pertama berulang. Juga jutaan terima kasih kepada sahabat saya, Ust Mohd Fauzan yang turut sama menyumbangkan idea dalam memperbaiki mutu persembahan di dalam episod 2 ini.

Tidak lupa kepada Persatuan Mahasiswa Ulum Islamiyah di bawah pimpinan Ust Hakimi yang sudi memberikan kerjasama di dalam penerbitan Jejak Aulia episod 2 ini khususnya AJK Biro Multimedia PMUI iaitu Ustzh Siti Sabiha yang membantu menterjemahkan sarikata kepada Bahasa Inggeris. Terima kasih kepada sesiapa sahaja yang telah menyumbangkan bakti walaupun secebis doa buat kami.

Sahabat semua boleh menontonnya di dalam www.islam4peace.net dan segala komen serta teguran amat-amatlah diharapkan. Bagi sesiapa yang masih tidak mendaftar sebagai ahli islam4peace.net, bolehlah mendaftar melalui link ini.


Semoga kita ikhlas di dalam membantu agamanya. Doakan agar usaha dakwah ini istiqamah di samping tidak mengabaikan tanggungjawab utama kita di Bumi Anbia ini. Jazakumullah.

p/s : kemungkinan kuliah agama dan siri Jejak Aulia akan terhenti sementara sempena fatrah peperiksaan yang semakin hampir. Kami cuba untuk istiqamah di dalam penerbitannya dan doa daripada semua amatlah diharapkan.


Mohd Azrul Azuan bin Idris
11.15 pm, 17 April 2010
Dewan Malaysia Abbasiah Kaherah

p/s : Terima Kasih Ust Azrul dan Krew penggambaran Islam4Peace.Net.. MasyaAllah, ana begitu kagum dengan gerak kerja kalian.. Maaf kalian terlambat mengeluarkan siri kedua disebabkan ana .. Maaf sangat-sangat..

Sabtu, 17 April 2010

Terima Kasih Semua..

Sudah lama tidak menulis di laman ini. Kesibukan demi kesibukan menyebabkan saya tidak dapat meluangkan masa menulis.

Hari ini tanggal 17 April 2010. Genaplah umur saya 26 tahun. Maksudnya sudah 6 kali saya menyambut hari kelahiran saya sendiri di perantauan jauh daripada keluarga tercinta sejak tahun 2005. Ini juga bermaksud hari saya bertemu denganNya semakin hampir.

Namun jaringan hubungan yang begitu pantas pada masa sekarang tidaklah menyebabkan saya merasa begitu jauh daripada ibu dan ayah serta adik-adik di kampung. Malah sahabat-sahabat yang berada di perantauan yang begitu mengambil berat menyebabkan kerinduan sedikit sebanyak terubat.

Ramai bergembira menyambut hari kelahirannya malah gembira menerima ucapan demi ucapan serta hadiah yang diberi sempena hari kelahirannya. Namun kekadang terlupa memikirkan bagaimana keadaannya ketika hari berpisah daripada alam dunia ini.

Ketika lahir , orang ramai menyambut kita dengan penuh keriangan namun kita sendiri menangis . Adakah hari kematian kita kelak, ketika jasad diusung ke tanah perkuburan, orang ramai pula akan menangis dan kita sendiri tersenyum kepuasan ? Saya selalu berfikir, adakah keadaan sebegini akan saya perolehi kelak, atau sebaliknya yang akan berlaku iaitu orang lain pula gembira dengan pemergian saya malah saya sendiri menangis ketakutan. Na’uzubillah.

Jiwa ini banyak melakukan dosa. Bimbang tidak sempat bertaubat kepadaNya. Namun bilamana memikirkan bahawa rahmat Allah taala dan pengampunanNya maha luas maka sedikit sebanyak terubat keresahan di hati ini. Ingin bertawassul dengan amalan sendiri, rasanya terlalu jauh malah tidak diketahui tahap keikhlasannya. Apa yang boleh saya lakukan hanyalah meletakkan kecintaan sepenuhnya kepada Baginda sallallahu alaihi wasallam serta ahli keluarganya. Moga kecintaan ini sahajalah yang akan menyebabkan saya mendapatkan syafaat daripada Baginda sallallahu alaihi wasallam kelak.

Teringat sebuah cerita menarik , Timorleng merupakan seorang raja yang zalim pada zaman pemerintahan Tartar. Ketika mati, wajahnya bertukar menjadi hitam akibat kekejaman dan kerakusannya terhadap dunia. Semua sudah menyangka sedemikian, malah ada yang mengatakan bahawa tiada tempat yang lebih layak kepada si Timorleng melainkan neraka Allah jua. Pada satu malam, seorang ulama yang soleh telah bermimpi bertemu dengan Rasulullah sallallahu alaihi wasallam dan beliau terkejut kerana mendapati Timorleng Sang Raja berada disebelah Baginda sallallahu alaihi wasallam dalam keadaan berseri-seri wajahnya.

Sang ulama terus bertanya kepada Baginda sallallahu alaihi wasallam bagaimana keadaan sebegini boleh berlaku? Maka Baginda sallallahu alaihi wasallam menjawab : “ Ya benar sememangnya Timorleng ini seorang yang sangat kejam, namun disebabkan kecintaannya yang sangat mendalam terhadap ahli keluargaku maka aku berkenan memberikan syafaat kepadanya”

Ya Allah, jika seorang yang kejam sedemikian rupa boleh mendapat anugerah sedemikian, moga-moga diri yang tidaklah sekejam Timorleng mampu juga meraih cinta dan perhatian daripada Baginda sallallahu alaihi wasallam.

Saya kira, ini merupakan artikel pertama setelah kelahiran baru.. Doakan moga diberikan kesempatan waktu oleh Allah taala bagi menulis lagi selepas ini.

zaman kecik-kecik dulu :)

Terima kasih kepada semua sahabat yang sudi mengucapkan selamat hari lahir kepada diri yang serba kekurangan ini. Terima kasih juga kepada Ust Farhi Farid Wajdi aka Along yang sudi memasak 3 ekor ayam untuk sambutan menyambut hari kelahiran al-faqir. Terima kasih kepada ibu dan ayah yang tidak jemu dan sanggup berpenat lelah mendidik diri ini sehingga anakanda mampu menjadi seperti sekarang. Doa kalian semua amat diharapkan selalu. Moga diri ini mampu menjadi obor penerang kepada umat kelak. Amin..


Mohd Nazrul Abd Nasir,
Penuntut Ilmu al-Azhar al-Syariff & Masjid al-Asyraff,
Rumah Kedah Transit Hayyu 7,
Kaherah Mesir.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...