Selasa, 29 Disember 2009

Benarkah Orang Yang Bersifat Begini Layak Digelar Wali Allah??!

Datang seorang lelaki kepada al-Imam Abu Hanifah Nu’man bin Thaabit radhiyallahu anhu lalu bertanya :

Wahai Imam, apa pendapat kamu terhadap seorang yang tidak langsung mengharapkan syurga, tidak takut kepada neraka, tidak takut kepada Allah taala, suka memakan bangkai, menunaikan solat tanpa rukuk dan sujud, bersaksi terhadap perkara yang dia sendiri tidak saksikannya, membenci perkara yang haq,suka kepada fitnah,menjauhkan diri daripada rahmat, malah membenarkan perkataan Yahudi dan Nasrani???!!

Al-Imam Abu Hanifah tersenyum sambil berpaling kepada murid-muridnya seraya bertanya:

Apa pendapat kamu semua terhadap apa yang ditanyakan oleh saudara kita ini?

Para murid al-Imam Abu Hanifah radhiyallahu anhum menjawab :

Tentu sekali orang yang bersifat seperti yang disebutkan adalah memiliki sifat seorang kafir!!

Sekali lagi al-Imam Abu Hanifah tersenyum lalu menjawab :

Sesungguhnya lelaki yang bersifat seperti itu adalah salah seorang daripada wali Allah taala

Murid-murid al-Imam Abu Hanifah radhiyallahu anhu terkejut lalu bertanya :

Wahai Tuan Guru, bagaimana boleh Tuan Guru katakan bahawa lelaki itu adalah wali Allah??

Al-Imam Abu Hanifah menjawab:

“Lelaki itu adalah orang yang tidak mengharapkan syurga,tetapi dia mengharapkan Tuhan pemilik Syurga, dia tidak takut neraka tetapi dia takutkan Tuhan pemilik neraka, dia tidak takut kepada Allah bermaksud dia tidak takut Allah akan melakukan kejahatan padanya, dia suka memakan bangkai bermaksud dia suka memakan ikan, ini kerana Baginda sallallahu alaihi wasallam bersabda :

هو طهور ماءه الحل ميتته

Maksudnya : “Air laut adalah air yang suci lagi menyucikan manakala bangkai (ikan) yang daripadanya adalah halal untuk dimakan.

Manakala dia solat tanpa rukuk dan sujud pula bermaksud dia menunaikan solat jenazah, atau menunaikan selawat ke atas Nabi sallallahu alaihi wasallam. Sudah tentu tiada rukuk dan sujud jika menunaikan selawat dan solat jenazah. Manakala maksud dia bersaksi terhadap perkara yang dia sendiri tidak saksikan bermaksud, dia bersaksi bahawa Allah taala itu adalah tuhan semesta alam dan Nabi Muhammad adalah pesuruh Allah, sudah tentu kedua-duanya tidak pernah disaksikan olehnya dengan mata kepalanya di dunia ini.

Manakala maksud dia membenci perkara yang haq adalah bermaksud dia membenci mati hanya kerana untuk terus melakukan ibadah kepadaNya.Ini kerana mati adalah perkara yang haq(sudah tentu akan berlaku). Manakala maksud dia menyukai fitnah ialah dia menyukai anak-anak dan harta . Manakala maksud dia menjauhkan diri daripada rahmat ialah dia menjauhkan diri daripada hujan.Ini kerana hujan juga disebutkan rahmat oleh Allah taala.

Manakala maksud dia membenarkan kata-kata Yahudi dan Nasrani ialah dia membenarkan kata-kata mereka di dalam al-Quran di dalam surah al-Baqarah ayat 113:

وَقَالَتِ الْيَهُودُ لَيْسَتِ النَّصَارَى عَلَى شَيْءٍ وَقَالَتِ النَّصَارَى لَيْسَتِ الْيَهُودُ عَلَى شَيْءٍ وَهُمْ يَتْلُونَ الْكِتَابَ كَذَلِكَ قَالَ الَّذِينَ لَا يَعْلَمُونَ مِثْلَ قَوْلِهِمْ فَاللَّهُ يَحْكُمُ بَيْنَهُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ

113. dan orang-orang Yahudi berkata: “Orang-orang Nasrani itu tidak mempunyai sesuatu pegangan (ugama Yang benar)”; dan orang-orang Nasrani pula berkata: “Orang-orang Yahudi tidak mempunyai sesuatu pegangan (ugama Yang benar)”; padahal mereka membaca Kitab suci masing-masing (Taurat dan Injil). Demikian juga orang-orang (musyrik dari kaum Jahiliyah) Yang tidak berilmu pengetahuan, mengatakan seperti Yang dikatakan oleh mereka itu. Maka Allah akan menghukum (mengadili) di antara mereka pada hari kiamat mengenai apa Yang mereka berselisihan padanya.

Sumber : Akhbar Aqidati keluaran 892. Mukasurat 12 bertarikh 29 Disember 2009 bersamaan 12 Muharram 1431 H.Saya olah sedikit bahasanya agar mudah difahami oleh pembaca.

*********

Nah, cuba kita perhatikan dan telitikan bagaimana jawapan seorang Imam yang terkenal dengan wara’ dan taqwanya. Berbeza dengan sikap kita sekarang. Zaman sekarang , cepat sangat kita menghukum seseorang itu sesat, ahli bid’ah dan sebagainya tanpa langsung ada baik sangka di dalam jiwa kita terhadap seseorang tersebut.

Kita mengatakan bahawa seseorang itu ahli Bid’ah, suka menyesatkan orang.. Namun kita langsung tidak bimbang jika perkara itu hakikatnya langsung bertentangan dengan apa yang ada di dalam pengetahuan kita. Bimbang yang mengatakan itu sendiri hakikat tidak sedar bahawa dirinya juga sedang melakukan bid’ah terbesar iaitu pecah belah di dalam ummah.

Fikir-fikirkanlah.. Kita sering mengajak orang untuk mengikut ulama Salaf. Namun cuba kembali koreksi diri kita sejauh mana kita mengikut akhlak seperti para ulama salaf terdahulu bilamana bermuamalah dengan orang lain???..

Mohd Nazrul Abd Nasir,
Cyber Cafe Hayyu 10,
Kaherah Mesir..

Rabu, 16 Disember 2009

BACA DAN FAHAMI DENGAN BAIK SEBELUM CEPAT MEMBERIKAN KOMENTAR....

Sedih melihat apa yang berlaku sejak akhir-akhir ini. Segalanya saya serahkan kepada Allah taala dan saya bertawassul kepada Baginda sallallahu alaihi wasallam moga diberikan kekuatan sepertimana Baginda sallallahu alaihi wasallam menerima ujian ketika berdakwah terdahulu.

Jika dibandingkan dengan ujian yang Baginda sallallahu alaihi wasallam , para anbiya alaihimussolatu wassalam serta para salafussoleh terdahulu maka ternyata apa yang saya hadapi ini terlalu sedikit. Langsung tidak dapat dibandingkan dengan setitik peluh Baginda sallallahu alaihi wasallam yang cukup mulia.

Mereka dibunuh,dicincang, dikhianati. Saya cuma dicaci, dimaki dan dihambur kata-kata kesat. Apalah sangat jika dibandingkan. Terlalu jauh. Namun saya bersyukur, sahabat-sahabat seperjuangan di Perlembahan Nabi Allah Musa alaihissalam ini serta sahabat-sahabat daripada Tanah Air selalu memberikan semangat kepada kita untuk terus menegakkan kebenaran.

Sedikit sangat yang membenci, namun masih ramai yang memberikan sokongan.

SETIAP ZAMAN PUNYA FITNAH TERSENDIRI

Ya, setiap zaman punya fitnahnya tersendiri. Zaman Saidina Abu Bakr al-Siddiq radhiyallahu anhu menghadapi golongan murtad serta golongan yang tidak mahu membayar zakat. Berat terpaksa untuk berhadapan dengan seseorang yang pernah berjuang bersama-sama pada zaman Baginda sallallahu alaihi wasallam masih hidup namun segalanya ketentuan Allah taala jua. Akhirnya Khalifah Rasulullah yang mulia ini wafat diracun oleh golongan yang tidak senangkan kebaikan.

Saidina Umar al-Faruq, Khalifah yang penuh dengan kebaikan dan keadilan. Sehingga Baginda sallallahu alaihi wasallam menyebutkan bahawa “ jika ada lagi Nabi selepasku maka Umarlah yang layak untuk menjadi Nabi. Namun, Allah taala telah menetapkan bahawa tiada lagi Nabi selepas kewafatanku”. Juga dibunuh dengan kejam sekali oleh Abu Lu’luah al-Majusi laknatullah. Tujuh belas tikaman dibelakang Saidina Umar al-Faruq radhiyallahu anhu dengan menggunakan serampang dua mata bukanlah sesuatu yang ringan.

Saidina Uthman Zunnurain radhiyallahu anhu, Khalifah yang ketiga. Sahabat Baginda sallallahu alaihi wasallam yang sangat lemah lembut. Rupanya kelembutan di dalam berdakwah juga tetap tidak disenangi oleh sekelompok manusia yang busuk hatinya. Beliau yang mana Rasulullah sallallahu alaihi wasallam menyebutkan bahawa para Malaikat Allah juga malu dengannya. Namun tangan-tangan kotor yang memancungnya ketika membaca ayat-ayat suci al-Quran lansung tidak malu untuk berbuat sedemikian. Malah mereka tidak malu untuk berhadapan dengan Baginda sallallahu alaihi wasallam kelak.

Saidina Ali karramallahu wajhah wa alaihi al-salam, seorang sahabat yang sanggup susah senang dengan Baginda sallallahu alaihi wasallam juga turut dibenci malah dimusuhi sehingga akhirnya berakhir dengan pembunuhan keatasnya dengan kepala Saidina Ali ditetak sehingga tetakan tersebut menghampiri otaknya yang menyebabkan kewafatan beliau.

Ini pada zaman sahabat. Saidina Hassan al-Basri rahimahullah terpaksa berhadapan dengan seorang gabenor kejam , Hajjaj Yusuf al-Thaqafi. Dikejar, diburu untuk dipancung. Namun Allah taala menyelamatkan ulama besar ini. Diburu hanya kerana ingin mempertahankan kebenaran.

Saidina Said bin Jubair rahimahullah , seorang ulama besat Tabi’en, juga pernah dicaci maki oleh Hajjaj Yusuf al-Thaqafi. Malah dicaci maki ibu Saidina Said bin Jubair dihadapan mata kepalannya sendiri. Ini berlaku sebelum beliau disembelih oleh Hajjaj Yusuf. Malah Hajjaj meminta untuk Saidina Said bin Jubair rahimahullah memilih cara bagaimana untuk beliau mahu mati. Maka dijawab oleh beliau :

“Bunuhlah dengan apa cara sekalipun yang engkau suka wahai Hajjaj, Allah taala akan membalas kembali kepadamu sepertimana cara yang engkau gunakan kepadaku ketika membunuhku di akhirat kelak.”

Ketika diberikan arahan untuk dibunuh maka Saidina Said tertawa. Hajjaj pelik melihat keadaan sedemikian. Lalu bertanya : “ Bukankah kamu tidak pernah tertawa selama 40 tahun, tetapi mengapa sekarang engaku tertawa?”

Saidina Said menjawab : “ Ya benar aku tidak pernah tertawa selama 40 tahun, namun hari ini aku tertawa kerana lucu dengan sikap angkuhmu dengan hukum Allah namun Allah taala masih berlembut denganmu”

*******

Betapa ramai yang mulutnya lancang memaki hamun, mencerca namun terkadang diri tidak sedar betapa Allah taala masih menyayanginya, memberikan peluang hidup untuk bertaubat memohon keampunan. Namun berapa ramai yang sedar perkara ini?? Ramai yang lalai.

Al-Imam Ahmad rahimahullah disebat hanya semata-mata kerana mempertahankan bahawa al-Quran bukanlah makhluk tetapi kalam Allah yang Qadim. Mulianya sikap beliau sehinggakan al-Imam Syafie yang pada ketika itu berada di Iraq, bermimpi bertemu Rasulullah sallallahu alaihi wasallam . Malah Rasulullah sallallahu alaihi wasallam menyuruh untuk al-Imam Syafie rahimahullah menyampaikan salam kepada al-Imam Ahmad di atas pengorbanan yang dilakukan dan khabar gembira bahawa al-Imam Ahmad akan masuk syurga Allah taala dengan ujian yang menimpanya. Al-Imam Ahmad rahimahullah yang gembira dengan berita tersebut memberikan jubahnya kepada al-Imam Syafie , yang mana jubah itu direndam oleh Imam Syafie dan diberi minum air rendaman tersebut kepada sesiapa yang datang meminta ubat kepada al-Imam Syafie rahimahullah.

Al-Imam Isa bin Dinar rahimahullah yang wafat pada tahun 212 H, dipenjara 20 tahun hanya semata-mata mempertahankan sepertimana apa yang dipertahankan oleh al-Imam Ahmad bin Hanbal rahimahullah.

*****

Ini contoh-contoh kesusahan dan keperitan yang dihadapi oleh para ulama terdahulu. Jika dibandingkan dengan apa yang dihadapi sekarang oleh kita, terlalu jauh malah tidak layak untuk dibandingkan.

FITNAH SEKARANG FITNAH KEJAHILAN

Ubat jahil adalah ilmu. Ilmu yang benar akan diperoleh oleh hati yang benar-benar inginkan kebenaran dan ikhlas.

Zaman ini, zaman ayat-ayat Mutasyabihat digunakan kembali untuk mengelirukan masyarakat.
Malah al-Imam Ibn Taimiyah rahimahullah sendiri telah bertaubat diatas apa yang ditimbulkannya satu ketika dahulu berkenaan perkara ini. Ini seperti yang disebutkan oleh al-Imam al-Allamah Salamah al-Qudhoi’e di dalam kitabnya yang berjudul “ al-Barahin al-Saati’ah” yang mana beliau sendiri menukilkan kisah taubat ini daripada kitab Tarikh karangan al-Imam Salahuddin al-Kutubi rahimahullah pada juzuk 20.

Ini juga disebutkan oleh al-Imam Zahid al-Kauthari rahimahullah yang mana beliau sendiri melihat tanda tangan Sultan Nasir al-Qalawun serta tulisan tangan Ibn Thulun rahimahumullah berkenaan perkara tersebut.

Ini diantara isi surat al-Imam Ibn Taimiyah rahimahullah :

“ Segala puji bagi Allah taala… Apa yang aku telah pegangi selama ini iaitu dengan mengatakan bahawa Allah taala duduk di atas Arasy , bukanlah seperti mana apa yang difahami dengan zahirnya, pegangan aku yang mengatakan bahawa Allah taala turun ke langit dunia juga bukanlah seperti zahirnya, Segala pegangan yang bertentangan dengan apa yang aku lafazkan sekarang adalah batil , dan setiap tulisanku dan perkataanku yang bertentangan dengan pengakuanku sekarang adalah batil ataupun apa-apa perkara yang aku sandarkan perkara yang tidak layak kepada Allah maka aku berlepas diri daripadanya. Mulai sekarang aku bertaubat dan berlepas diri daripada apa yang aku pegangi selama ini yang mana bertentangan dengan pengakuanku sekarang”

Surat ini ditulis oleh al-Imam Ibn Taimiyah rahimahullah pada hari Khamis ,16 Rabi’ul Akhir tahun 707 H.

Malah beliau mengakui bahawa segala yang ditulis di atas adalah dengan kehendaknya sendiri serta tidak dipaksa oleh sesiapa pun.

Di atas surat tersebut, terdapat pengiktirafan daripada al-Qadhi Qudhah al-Imam Badruddin Ibn Jamaah rahimahullah . al-Imam Abdul Ghani bin Muhammad al-Hanbali rahimahullah juga mengiktiraf pengakuan tersebut.

Antara ulama lain yang menyaksikan perkara tersebut malah terdapat tandatangan mereka ialah al-Imam Abdul Aziz al-Namrawi rahimahullah, al-Imam Ali bin Muhammad bin Khattab al-Baji al-Syafie rahimahullah, al-Imam Al-Hassan bin Ahmad bin Muhammad al-Husaini rahimahullah , al-Imam Abdullah Ibn Jamaah rahimahullah dan al-Imam Muhammad bin Uthman al-Buriji rahimahullah. Sila Rujuk al-Barahin al-Saati’ah oleh al-Imam Salamah al-Qudho’ie mukasurat 194-199.

******

Ulama salaf dan khalaf tiada masalah pada ayat-ayat Mutasyabihat ini. Mereka menyerahkan maksudnya kepada Allah taala. Tanpa mengatakan bahawa “ Allah taala bertangan , namun tanganNya tidak seperti makhluk”. Tiada seorang pun ulama salaf yang mengatakan sedemikian. Malah para ulama salaf mengatakan bahawa “ Kami beriman dengan ayat-ayat Mutasyabihat tersebut, namun maksudnya kami serahkan kepada Allah taala tanpa sesekali menyamakan Allah taala dengan makhluk”

Para ulama Khalaf mentakwilkan , mengapa??? Kerana fitnah pada zaman tersebut berleluasa. Golongan awam yang tiada kelayakan malah berani mengatakan bahawa Allah taala berjisim dan punya tangan dan kaki dan lain-lain. Maka takwilan yang dilakukan hanya untuk menyelamatkan aqidah umat Islam.

Tidak terlintas dihati para ulama Islam ketika tersebut untuk mengkafirkan sesiapa sahaja sesuka hati. Malah mereka lebih untuk menyelamatkan daripada memusnahkan. Berbeza dengan zaman sekarang, zaman menghujum. Malah mencaci maki bilamana kekeringan hujah dan ilmu.

****

NASIHAT SAHABAT YANG PRIHATIN

Sahabat saya ada yang memberikan cadangan kepada saya agar tidak lagi menulis berkenaan isu-isu sebegini. Beliau malah bimbang saya akan dicaci maki lagi. Beliau menyarankan agar saya mengambil jalan Saidina Ibn Umar dan Abu Zar al-Ghifari radhiyallahu anhuma ketikamana peperangan Siffin yang mana mereka berdua tidak menyertai bimbang fitnah semakin berleluasa. Saya terharu dengan perhatiannya kepada saya, namun jawapan yang saya berikan kepada sahabat saya ini ialah :

“ Mungkin saya tidak memilih jalan seperti Saidina Ibn Umar dan Abu Zar al-Ghifari radhiyallahu anhu yang bersikap mendiamkan diri, namun saya memilih jalan Saidina Ali karramallahu wajhah wa alaihi al-salam yang tidak mahu melihat akan berlaku lebih banyak salah faham jika mengambil sikap berdiam diri.”

NASIHAT SAYA KEPADA SEMUA PEMBACA

Jika tidak suka dengan apa yang kami pelajari di al-Azhar al-Syarif, maka jangan lagi menjenguk ke laman saya ini. Lawatilah laman-laman lain yang menyokong pendapat kalian. Malah , kami juga tidak berkeinginan untuk menjengah masuk ke laman-laman milik kamu untuk membuat kekacauan sepertimana yang kamu lakukan di laman-laman orang yang tidak sependapat dengan kamu. Saya menulis adalah untuk sahabat yang inginkan kefahaman dan kebaikan.

Saya hanya melayan sahabat-sahabat yang inginkan kebenaran dan kebaikan serta yang memberikan nasihat atas dasar kebaikan bukan untuk memaksa-maksa mengikuti mereka. Kamu mencanangkan bahawa perbezaan pendapat itu baik, namun kamu sebenarnya bukan meraikan perbezaan malah ingin memaksa orang lain megikuti pendapat kamu, kononnya orang lain sesat hanya kamu yang benar.

Saya harapkan sangat-sangat, golongan-golongan sebegini tidak lagi menjengah ke laman saya jika kekacauan yang kamu semua inginkan. Saya hanya menjemput sahabat-sahabat yang punya pandangan luas dan berlapang dada di dalam perbincangan untuk bersama-sama mempertahankan kebaikan dan bertolong menolong melakukan kebajikan.

Beradab sopanlah. Baca dan fahami dengan baik. Adakah saya mencaci maki dan mencerca kamu di dalam perkataan saya??

Semoga Allah taala memberikan petunjuk dan hidayah kepada kita semua.amin.

MOHD NAZRUL ABD NASIR,
PENUNTUT MASJID AL-AZHAR AL-SYARIF DAN MASJID AL-ASYRAFF,
CAFE KUALA LUMPUR,
KAHERAH, MESIR

Khamis, 10 Disember 2009

Kalau PHD Jadi Ukuran, Lebih Baik Setuju Dengan Ulama Syiah Di Iran..

Sudah lama tidak menulis di dalam laman saya ini. Memang saya akui tahun ini agak sibuk berbanding tahun sebelum ini. Kelas pengajian, kerja-kerja persatuan dan masa untuk saya menulis agak terbatas. Namun itu bukannya alasan untuk menafikan bahawa penulisan melalui internet juga merupakan satu wasilah utama untuk menyampaikan dakwah yang tidak boleh untuk dipandang ringan. Malah tertarik ketika membaca Akhbar al-Liwa’ al-Islami bilangan ke 1454 yang bertarikh 16 Zulhijjah 1430 Hijriyah bersamaan 3 Disember 2009 yang mana memuatkan pendapat dan saranan para ulama al-Azhar al-Syarif untuk menggunakan ruang internet sebagai salah satu medium dakwah. Malah mereka mengatakan bahawa ini adalah salah satu cabang jihad yang perlu diambil perhatian oleh semua pihak termasuk para ulama. Al-Syeikh Dr Muhammad Abu Lailah , salah seorang ahli Majlis Penyelidikan Islam Mesir dan Pensyarah Fakulti Pengajian Islam al-Azhar al-Syarif mengatakan bahawa sudah menjadi kewajipan pada zaman sekarang untuk menyusun dan membina generasi mujahid di dalam bidang elektronik ini.

Alhamdulillah, Moga Allah taala memasukkan saya dan sahabat-sahabat semua di dalam generasi pelapis perjuangan tersebut aminn.

Tapi bilamana membaca ruangan sembang yang saya sediakan disebelah ini, hati ini kadang-kadang tertawa melihat sebahagian manusia yang mana mereka ini merasakan bahawa diri mereka sahaja yang benar malah tanpa segan silu mengeluarkan istilah-istilah yang mereka sendiri keliru penggunaannya. Digunakan istilah “kritikan” untuk sesuatu yang bermaksud kasar dan kurang adab. Malah cuba untuk menggunakan istilah “nasihat” supaya nampak lebih molek.

Pokok masalahnya adalah satu sahaja. Bilamana orang yang mereka sanjung dikritik dan ditegur maka mulalah melenting dan mencari-cari apa perkara yang boleh untuk kami hujum kembali peribadi si penulis ini. Bilamana saya dan sahabat-sahabat membaca apa yang mereka tulis dan kononnya menjawab penulisan yang saya tulis ini , terus terang saya katakan bahawa tiada apa-apa hujah sebenarnya yang dikeluarkan. Cuma tuduhan-tuduhan seperti “ taasub” dan istilah-istilah sebegitulah yang digunakan berulang-ulang kali.Rujuk kembali tulisan saya apakah yang dimaksudkan dengan taasub yang sebenar. Jangan hanya pandai guna istilah namun tidak tahu maksud sebenarnya. Nanti jelas pekung di dada.

Oleh sebab itulah saya pernah menulis sebelum ini permasalahan “salah faham dan salah guna istilah” yang berleluasa sekarang. Bilamana kita mengkritik dan menegur maka ini dikatakan tidak seperti memberi nasihat. Tetapi bilamana , “Guru” mereka yang cukup mereka sanjung itu mengkritik para ulama yang muktabar, maka perkataan mengkritik tersebut terus ditukar menjadi satu penilaian ilmiyah dan kalimah-kalimah “ ulama tidak ma’sum” mula kedengaran di sana sini.

BELAJAR TAK HABIS JANGAN PANDAI KRITIK ORANG LAIN

Ini salah satu bahasa yang digunakan. Cukup menarik. Namun terselit kejahilan.Inikah bahasa orang-orang yang “sudah belajar habis”??

Saya mengakui, pemikiran masyarakat sekarang yang lebih meletakkan bahawa pangkat dan kelulusan itu lebih utama berbanding ilmu sebenar sudah semakin membarah.

Saya tidak menafikan bahawa pangkat dan kelulusan itu penting pada zaman sekarang. Namun jangan dijadikan sandaran utama untuk menilai seseorang. Jangan disangka semua yang mempunyai pangkat kedoktoran itu sudah menggunung ilmunya kalau sekadar tesisnya telah dinilai dan disemak oleh 3 atau 4 orang doktor yang lain bagi meletakkan sesuatu pangkat. Malah bukanlah semua bidang ilmu dibahaskan, cuma tajuk tertentu yang dipilih.

Kalau begitu, saya juga ingin membandingkan dengan karya al-Imam Syamsuddin al-Ramli rahimahullah yang telah mengarang kitab Nihayatul Muhtaj yang telah disemak hampir 400 orang ulama terkemuka pada zaman tersebut. Mana nilai doktor sekarang jika dibandingkan dengan nilai karangan para ulama terdahulu??

Risalah Doktor yang ditulis pula terkadang tidak memakan masa yang lama untuk penilaiannya, mungkin selama 3 sehingga 4 tahun sahaja maka sudah cukup untuk mendapat gelar Doktor PHD. Mana nilainya jika dibandingkan dengan karya yang ditulis oleh al-Imam al-Bukhari rahimahullah yang telah menyusun Sahih al-Bukhari selama hampir 16 tahun barulah dikeluarkan. Al-Imam Malik bin Anas rahimahullah , menyusun kitab al-Muwatta’ juga memakan masa selama 16 tahun. Al-Imam Ahmad Ibn Hanbal rahimahullah mengelilingi dunia dua kali semasa penyusunan kitab Musnadnya dilakukan.Setelah dua kali mengelilingi dunia , barulah kitabnya dikeluarkan. Ini seperti yang diceritakan oleh al-Imam Ibn Jauzi rahimahullah di dalam kitabnya al-Saidu al-Khatir. Mana nilainya risalah PHD yang ditulis jika dibandingkan dengan karangan ulama terdahulu??

Sebab itulah saya katakan, jangan suka membandingkan. Jika membandingkan maka jelas nampak kejahilan kita dalam berbicara.

Perkataan “ tunggu habis belajar dahulu baru boleh berbicara” juga satu perkara yang perlu dinilai semula. Persoalan saya, bilakah akan “habis belajar” ?

Adakah golongan yang menilai habis belajar tersebut dengan sekadar tahun-tahun di Kuliyyah dan sekadar habiskan sejumlah kitab untuk mengatakan bahawa orang tersebut sudah habis belajar??

Guru Kami yang mulia al-Allamah Dr Yusri Rusydi hafizahullah mengatakan bahawa :

“ Ilmu sebenar adalah nur yang terpancar daripada huruf-huruf di dalam kitab. Ilmu sebenar adalah ilmu yang diamalkan dan padanya mengeluarkan natijah taqwa kepada Allah taala”.

Adakah golongan sebegini ingin menafikan kalam Baginda sallallahu alaihi wasallam yang bersabda :

بلغوا عنى ولو آية

Maksudnya : Sampaikanlah apa yang kamu dapat daripadaku walaupun satu ayat.

Baginda tidak menyebutkan pula pada ketika tersebut bahawa “ bila sudah habis belajar” ,mendapat Degree atau pangkat tertentu barulah sampaikan ilmu. Malah hadis ini umum. Golongan sebegini , kalau tidak kena dengan kehendak mereka maka mereka akan katakan bahawa hadis ini punya pengkhususan pada golongan tertentu. Bukan kepada semua golongan. Nabi sallallahu alaihi wasallam menyebutkan perkara ini ketika Hajjatul Wada’ (Haji Perpisahan) di hadapan sahabat Baginda ridwanullah alaihim ajma’in. Malah ketika tersebut, ada sahabat yang baru sahaja memeluk Islam. Tidak pula Baginda meletakkan khusus untuk golongan tertentu menyampaikan ilmu.

Apa yang penting ialah benar atau tidak penyampaian tersebut. Jika tidak benar tunjukkan tempatnya. Jangan sekadar menuduh mengatakan bahawa “ ini sesat” , “ini bid’ah” dan lain-lain ayat untuk melepaskan diri.

Kita tidak akan mengkritik jika penyampaiannya benar menurut jumhur. Namun jika sengaja mencari jalan masyhur dengan memilih pendapat bertentangan dengan jumhur maka jangan salahkan orang ramai yang menolaknya. Koreksi semula diri sendiri kenapa kita ditempelak??

Saya hargai perhatian golongan sebegini. Namun saya ingin berpesan sekali lagi. Berhujahlah dengan fakta dan ilmu yang jelas. Jangan berbasa-basi. Jangan penuhkan ruangan sembang tersebut dengan nafsu yang dianggap iman.

Kalau PHD yang menjadi ukuran ilmu seseorang, sebaiknya para ulama Syiah di Iran lebih utama untuk kamu semua jadikan ikon kerana untuk mendapat gelar Ayatullah kita melihat ada di antara mereka yang punya PHD sehingga 3-5 dan punya Master juga dalam jumlah yang sama. Bayangkan seorang Ayatullah punya 3-5 PHD?? Sebab itulah saya mengatakan PHD bukanlah menentukan seseorang itu benar atau tidak..

Nasihat saya , kembalilah kepada pemahaman jumhur ulama. Tinggalkan perkataan-perkataan kamu yang mengatakan bahawa " perkara ini tidak ada dalil" , " perkara ini Nabi tak buat".. Tidak lain, yang mengeluarkan kalam sebegini tanpa mengkaji kebenarannya adalah golongan yang tertipu dengan diri sendiri.. Sama-sama kita muhasabah.. Kita menyuruh orang menerima nasihat..kita juga jangan lupa untuk mendengar nasihat.. Ingat tu!!

Mohd Nazrul Abd Nasir,
Penuntut Ilmu Masjid al-Azhar al-Syariff dan Masjid al-Asyraff,
Pejabat MKKK Hayyu Sabie'
Kaherah Mesir
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...