Isnin, 6 April 2009

SOALAN: ADAKAH NABI-NABI TERDAHULU MENGUCAPKAN DUA KALIMAH SYAHADAH?(BERIMAN KEPADA RASULULLAH SALLALLAHU ALAIHI WASALLAM)


JAWAPAN: Terima kasih kepada saudari yang bertanya. Pertamanya kita mengetahui betapa tingginya kedudukan baginda sallallahu alaihi wasallam di sisi Allah subhanahu wa taala. Terdapat banyak perbincangan di dalam kitab-kitab sirah tentang ketinggian kedudukan Baginda sallallahu alaihi wasallam berbanding semua makhluk. Kesemua perkara ini sudah kita ketahui. Pujian demi pujian yang bukan hanya diberikan oleh pengikut Baginda sallallahu alaihi wasallam, Malah Tuhan Pemilik sekalian alam juga memuji KekasihNya yang mulia ini. Firman Allah taala di dalam Surah al-Ahzab:

إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا (56)


Maksudnya: Sesungguhnya Allah, dan para MalaikatNya berselawat ke atas Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam. Wahai orang-orang yang beriman, Berselawatlah dan mohonlah kesejahteraan kamu semua ke atas baginda sallallahu alaihi wasallam.

Allah subhanahu wa taala berfirman lagi di dalam Surah al-Anbiya’ ayat 107:

وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِلْعَالَمِينَ (107)


Maksudnya: Tidaklah kami utuskan kamu (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi Rahmat kepada sekalian Alam.

Disebabkan ketinggian sebegini, adakah para nabi sebelum ini juga mengucapkan kalimah syahadah dengan menyebut nama Baginda sallallahu alaihi wasallam?

Baginda sallallahu alaihi wasallam pernah bersabda di dalam sebuah hadis yang saya nukilkan daripada kitab Saidina Muhammad oleh Syeikh As’ad al-Shoghirji diriwayatkan oleh al-Imam Ahmad ibn Hambal dan al-Imam Ibn Rejab al-Hambali radhiyallahu anhuma daripada Maisarah al-Dhabbi radhiyallahu anhu:

قال : قلت : يا رسول الله! متى كنتَ نبيّا؟ قال رسول الله صلى الله عليه و سلم: (( و آدم بين الروح و الجسد))


Maksudnya: Aku(Maisarah al-Dhabbi radhiyallahu anhu) bertanya kepada Rasulullah sallallahu alaihi wasallam: Wahai Rasulullah! Sejak bilakah kamu menjadi Rasul Allah? Maka jawab baginda sallallahu alaihi wasallam: ((Aku menjadi rasul sejak Nabi Allah Adam di antara Ruh dan Jasad( sejak Nabi Adam mula-mula dijadikan).

Di antara tanda tingginya kedudukan baginda sallallahu alaihi wasallam juga ialah para nabi-nabi mengikat perjanjian dengan Allah taala untuk menolong dan beriman dengan baginda sallallahu alaihi wasallam. Ini seperti disebutkan oleh Allah taala di dalam surah Ali Imran ayat 81:

وَإِذْ أَخَذَ اللَّهُ مِيثَاقَ النَّبِيِّينَ لَمَا آَتَيْتُكُمْ مِنْ كِتَابٍ وَحِكْمَةٍ ثُمَّ جَاءَكُمْ رَسُولٌ مُصَدِّقٌ لِمَا مَعَكُمْ لَتُؤْمِنُنَّ بِهِ وَلَتَنْصُرُنَّهُ قَالَ أَأَقْرَرْتُمْ وَأَخَذْتُمْ عَلَى ذَلِكُمْ إِصْرِي قَالُوا أَقْرَرْنَا قَالَ فَاشْهَدُوا وَأَنَا مَعَكُمْ مِنَ الشَّاهِدِينَ (81)


Maksudnya: Dan (ingatlah) ketika Allah taala mengambil perjanjian daripada para Nabi-nabi (dengan firmanNya): Sesungguhnya apa jua kitab dan Hikmah yang Aku berikan kepada kamu, Kemudian datang pula kepada kamu seorang Rasul yang mengesahkan apa yang ada pada kamu, hendaklah kamu beriman sungguh-sungguh padanya,dan hendaklah kamu sungguh-sungguh menolongnya. Allah berfirman lagi(bertanya kepada mereka): Sudahkah kamu mengakui dan sudahkah kamu menerima akan ikatan janji Ku secara yang demikian itu? Mereka menjawab: Kami berikrar(mengakui dan menerimanya). Allah taala berfirman lagi: Jika demikian saksikanlah kamu dan Aku juga menjadi saksi bersama-sama kamu.

Di dalam Tafsir al-Imam Thabari ketika mentafsirkan ayat ini menerangkan bahawa :

عن عليّ رضي الله عنه قال: لم يبعثِ الله عز و جل نبياّ آدم فمن بعده إلا أخذ عليه العهد في محمد صلى الله عليه و سلم وهو حيٌّ ليؤمننَّ به و لينصرنّه و يأمره فيأخذ العهدَ على قومه.


Maksudnya: Diriwayatkan daripada saidina Ali radhiyallahu anhu katanya: Tidaklah Allah taala memngutuskan seorang Rasul samaada Nabi Allah Adam alaihi salam dan nabi-nabi selepasnya melainkan akan diambil perjanjian daripada mereka semua dan kaum mereka untuk beriman dengan sungguh-sungguh dan menolong dengan sungguh-sungguh Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam (hal keadaan baginda sallallahu alaihi wasallam hidup).

Ini dalil yang jelas bahawa kesemua para Nabi beriman dengan Baginda sallallahu alaihi wasallam. Tiada syak lagi padanya. Perkara ini adalah ketika di dunia. Manakala di akhirat, kesemua para nabi berada di bawah naungan bendera Baginda sallallahu alaihi wasallam. Ini berdasarkan hadis baginda sallallahu alaihi wasallam di dalam Sahih Muslim jilid 4 hadis 1783:

عن أبي هريرة رضى الله عنه قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: ((أنا سيد ولد آدم يومَ القيامة, و أول من ينشقُّ عنه القبرُ, و أول شافع و أول مشفّع))



Maksudnya: Diriwayatkan daripada Saidina Abu Hurairah radhiyallahu anhu katanya: Sabda Rasulullah sallallahu alaihi wasallam: Aku adalah ketua kepada seluruh anak adam pada hari Kiamat kelak, dan akulah orang pertama yang akan keluar daripada kubur, dan akulah orang pertama yang akan memberikan syafaat dan diberikan syafaat.

Setelah saya sebutkan dalil-dalil ini, maka jelaslah bahawa kesemua nabi-nabi memberikan janji Iman kepada Baginda sallallahu alaihi wasallam.

Wallahu a’lam.

Rujukan:

1.Saidina Muhammad oleh Syeikh As'ad al-Shoghirji
2.Tafsir al-Thabari jilid 6
3.Al-Quran terjemahan bahasa Melayu


Mohd Nazrul Abd Nasir,
Hayyu 10, Kaherah.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...