Isnin, 13 April 2009

Faedah Daripada Guru Kita Syeikh Murabbi Dr Yusri Rusydi hafizahullah


Perbicaraan pada kali ini ,saya akan membawa para pembaca sekalian meneliti hikmah ayat Allah taala di dalam al-Quran al-Karim.Sungguh ini membuktikan bahawa al-Quran bukanlah kalam manusia.Sebaliknya menguatkan lagi iman dan keyakinan kita terhadap kebesaran dan keagungan sang Pencipta.

Pengajian bersama dengan Guru kita yang mulia ,Murabbi kita,Syeikh Dr.Yusri Rusydi Sayyid Abd Jabbar al-Hasani al-Syafie al-Siddiqi hafizahullah banyak memberikan input dan pengetahuan yang sukar untuk kita temui di dalam lembaran-lembaran kertas.Tetapi sebaliknya hanya diperolehi daripada dada-dada para alim ulama yang mendapat petunjuk dan irsyad daripada Allah taala.

Pada pagi 13 Rabi’ul Akhir 1430 bersamaan 9 April 2009,sebaik selesai bacaan kitab Tuhfatul Ahwazi Syarah Jami’ Tirmizi seperti biasa kami akan membaca al-Quran beramai-ramai bersama Syeikh.Syeikh akan menegur bacaan kami jika ada yang tersalah.

Saya sering ditegur sebutan huruf ha’ ( ح ).Syeikh sering menyebutkan kepada saya bahawa beliau ingin saya menyebut seperti orang Arab yang benar-benar fasih.Bukan seperti orang-orang asing.Berulang-ulang kali Syeikh menyebutkan perkara tersebut kepada saya.Semoga Allah memanjangkan umurmu wahai Syeikh yang kami cintai.

Apa yang saya ingin ceritakan disini ialah faedah yang dapat saya dan para sahabat ambil pada pagi tersebut .Semasa kami membaca surah al-Tahrim ,ketika melalui ayat 8.Firman Allah taala :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا تُوبُوا إِلَى اللَّهِ تَوْبَةً نَصُوحًا عَسَى رَبُّكُمْ أَنْ يُكَفِّرَ عَنْكُمْ سَيِّئَاتِكُمْ وَيُدْخِلَكُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ يَوْمَ لَا يُخْزِي اللَّهُ النَّبِيَّ وَالَّذِينَ آَمَنُوا مَعَهُ نُورُهُمْ يَسْعَى بَيْنَ أَيْدِيهِمْ وَبِأَيْمَانِهِمْ يَقُولُونَ رَبَّنَا أَتْمِمْ لَنَا نُورَنَا وَاغْفِرْ لَنَا إِنَّكَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ (8)


Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman,Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan Taubat Nasuha.Mudah-mudahan Tuhan kamu akan mengampunkan dosa-dosa kamu dan memasukkan kamu ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai ,pada hari Allah tidak akan menghinakan Nabi dan orang-orang yang beriman bersama-sama dengannya ,Cahaya (iman dan amal soleh )mereka ,bergerak cepat di hadapan mereka dan di sebelah kanan mereka (semasa mereka berjalan);mereka berkata(ketika golongan munafik meraba-raba dalam gelap-gelita ): Wahai tuhan kami,Sempurnakanlah bagi kami cahaya kami dan limpahkanlah keampunan kepada kami;sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
Surah al-Tahrim merupakan surah yang ke -66 mengikut susunan di dalam kitab Allah.Berada pada juzuk yang ke-28.

Kata Syeikh Yusri hafizahullah: Ini merupakan ayat terakhir yang menyebutkan kalimah
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا .Ayat pertama di dalam al-Quran yang menyebutkan kalimah ini terdapat di dalam surah al-Baqarah ayat 104.Firman Allah taala:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا لَا تَقُولُوا رَاعِنَا وَقُولُوا انْظُرْنَا وَاسْمَعُوا وَلِلْكَافِرِينَ عَذَابٌ أَلِيمٌ (104)


Maksudnya:Wahai orang-orang yang beriman ,Janganlah kamu berkata “Raa’ina” (ketika berkata-kata dengan Baginda sallallahu alaihi wasallam),Sebaliknya ,katakanlah: “Unzhurna”,dan dengarlah kamu (segala perintah dengan sebulat hati menerimanya)dan (ingatlah bahawasanya)orang-orang kafir itu akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

Raa’ina disini bermaksud :sudilah kamu memerhatikan kami.Ketika para sahabat menyebutkan perkataan ini kepada baginda sallallahu alaihi wasallam,orang-orang yahudi juga mengunakan perkataan yang sama seolah-olah jika kita mendengarnya mereka menyebutkan dengan perkataan raa’ina tetapi sebaliknya mereka menyebutkan ru’uunah yang membawa maksud kebodohan yang teramat sangat sebagai ejekan kepada Baginda sallallahu alaihi wasallam.Itulah sebabnya Allah taala memerintahkan supaya para Sahabat Baginda Radiyallahu anhum menukarkan dengan menyebutkan perkataan Unzhurna mengantikan perkataan Raa’ina.

Faedah yang kita dapat simpulkan pada kedua-dua ayat pertama dan terakhir yang disebutkan kalimah يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا ini adalah seolah-olah satu isyarat daripada Allah taala untuk pedoman buat umat.Bahawa kehidupan kita tidak ada selain daripada dua perkara untuk mencapai redha di akhirat kelak.Apakah dua perkara tersebut? Tidak lain dan tidak bukan, yang pertama ialah mentaati perintah Baginda sallallahu alaihi wasallam serta menghormatinya,dan yang kedua bertaubat kepada Allah di atas segala kesalahan yang kita lakukan dengan sebenar-benar taubat.

Jika kedua-dua perkara ini dapat kita amalkan dengan baik,moga-moga Allah akan memasukkan kita sebenar-benarnya di dalam golongan orang-orang yang beriman.Saya tidak mahu menerangkan pada perbahasan ringkas ini bagaimana caranya untuk kita mentaati perintah Baginda sallallahu alaihi wasallam kerana ianya akan menjadi panjang lebar.Maka saya akan terangkan secara berperingkat apakah yang dimaksudkan dengan mentaati baginda sallallahu alaihi wasallam seperti yang diarahkan oleh Allah subhanahu wa taala .

Semoga semua dapat mengambil manfaat daripada perbahasan ringkas yang saya sebutkan ini.

Mohd Nazrul Abd Nasir,
Rumah Kedah,
Kaherah Mesir 7.58 pagi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...