Selasa, 31 Mac 2009

Siapakah Yang Di Maksudkan Sebagai Ahlussunnah Wal Jamaah?


Perbincangan kali ini kita akan sama-sama menyingkap apakah maksud sebenar dengan perkataan ahlussunnah wal jamaah. Seringkali kita mendengar golongan-golongan yang dengan tiada rasa segan silu mengaku bahawa mereka termasuk di dalam golongan ini tetapi terang-terangan melakukan penyelewengan fakta dan pendapat-pendapat pelik sering kita dengari daripada golongan seperti ini.

Pendapat-pendapat pelik seperti Allah istiwa’(diterjemahkan oleh mereka bahawa Allah taala duduk) di atas Arasy, golongan-golongan yang bertawassul itu dianggap telah melakukan Syirik, membahagikan tauhid kepada tiga bahagian iaitu Tauhid Rububiyyah,Uluhiyyah dan Asma wa Sifat, dan pelbagai lagi pendapat yang menyalahi jumhur Ummat Baginda Sallallahu 'Alaihi Wasallam. Ini yang sering kita dengar mereka bahaskan. Tanpa segan silu mereka juga mengaku bahawa mereka adalah ahlussunnah yang dimaksudkan. Sekarang kita akan membincangkannya secara teliti.

Menurut Guru Kami, Mufti Besar Kerajaan Mesir, al-Allamah al-Mujtahid Syeikh Dr Ali Jum’ah hafizahullah di dalam kitabnya البيان لما يشغل الأذهان jilid kedua mukasurat 23-25:

“ Maksud Ahlussunnah wal Jamaah secara istilahnya ialah golongan yang berada di atas manhaj Baginda sallallahu alaihi wasallam serta para sahabat Baginda radhiyallahu anhum di dalam masalah I’tiqad.

Antara tanda-tanda golongan ini ialah bersama dengan Khilafah Islam yang satu, sekarang telah tiada Khilafah tersebut maka mereka boleh dikenali apabila bersama dengan kelompok Jumhur Ummat Islam yang disebut oleh baginda sallallahu alaihi wasallam sebagai السواد الأعظم. Baginda sallallahu alaihi wasallam juga berpesan agar umat Islam melazimi kelompok sebegini.

Al-Imam Ibn Subki menyebut ketika mensyarahkan aqidah Ibn Hajib rahimahullah:

((اعلم أن أهل السنة و الجماعة كلهم قد اتفقوا على معتقد واحد فيما يجب و يجوز و يستحيل , و إن اختلفوا فى الطرق و المبادئ الموصلة لذلك.وبالجملة فهم بالاستقراء ثلاث طوائف:

الأولى : أهل الحديث,و معتقد الأدلة السمعية –الكتاب و السنة و الإجماع-

الثانية: أهل النظر العقلى وهم الأشعرية و الحنفية ( الماتريدية).و شيخ الأشعرية هو أبو الحسن الأشعري, و الشيخ الحنفية أبو منصور الماتريدى.

و هم متفقون فى المبادئ العقلية فى كل مطلب يتوقف السمع عليه و فى المبادئ السمعية فيما يدرك العقل جوازه فقط و العقلية و السمعية فى غيرها ,و اتفقوا فى جميع المطالب الاعتقادية إلا فى مسائل.

الثالثة: أهل الوجدان و الكشف و هم الصوفية .و مباديهم مبادي أهل النظر و الحديث فى البداية و الكشف و الإلهام فى النهاية


Maksudnya: Ketahuilah bahawasanya ahlussunnah wal jamaah itu kesemuanya bersepakat pada pegangan yang satu terhadap apa yang wajib(secara akal), harus dan mustahil pada hak Allah subhanahu wa taala, RasulNya dan perkara-perkara Ghaib. Walaupun mereka berbeza pendapat tentang cara dan prinsip untuk memahami perkara tersebut(memahami perkara wajib, harus dan mustahil pada hak Allah taala, RasulNya dan perkara-perkara Ghaib). Kajian yang dilakukan secara terperinci meletakkan bahawa golongan ini terbahagi kepada tiga kelompok:

Pertama: Ahlul Hadis, Ini merupakan kelompok ahlussunnah yang berpegang dengan dalil-dalil al-Quran, Sunnah dan al-Ijma’.
Kedua: Ahli Pemikiran, Mereka adalah golongan yang dikenali sebagai al-Asya’irah dan al-Maturidiyah. Pengasas al-Asya’irah ialah al-Imam Abu Hassan al-Asy’ari manakala pengasas al-Maturidiah ialah al-Imam Abu Mansur al-Maturidi.
Golongan al-Asya’irah dan al-Maturidiyah ini bersepakat di dalam prinsip akal,dan sam’iyah(iaitu yang disampaikan daripada mulut baginda sallallahu alaihi wasallam tanpa seseorang tersebut dapat mengeluarkan pendapat tentangnya kerana ianya tidak pernah dilihat melainkan dikhabarkan oleh baginda sallallahu alaihi wasallam) untuk memahami setiap perkara yang wajib diimani (seperti Syurga, neraka dan lain-lain perkara Ghaib). Mereka bersepakat di dalam banyak permasalahan aqidah dan hanya berlaku khilaf di dalam beberapa masalah sahaja.
Ketiga : Ahlu al-Wujdan dan al-Kasyaf.Mereka ialah golongan sufi . Prinsip mereka pada permulaan jalan menuju Allah taala ialah prinsip ahli pemikiran dan hadis manakala jika mereka telah sampai kepada peringkat yang tertinggi maka mereka menggunakan prinsip ahlu al-Kasyaf di dalam memahami prinsip-prinsip aqidah.

Al-Imam Muhammad Ahmad al-Safarayini al-Hambali rahimahullahu taala berkata:

أهل السنة و الجماعة ثلاث فرق:

الأثرية: و إمامهم أحمد بن حنبل رحمه الله تعالى

و الأشعرية: وإمامهم أبو الحسن الأشعري رحمه الله تعالى

و الماتريدية: و إمامهم أبو منصور الماتريدي رحمه الله تعالى


Maksudnya: Ahlussunnah terbahagi kepada tiga kelompok:

Pertama : Golongan Al-Athariyah(Ahlu al-Hadis): Imam di dalam kelompok ini ialah Imam Ahmad bin Hambal rahimahullah.

Kedua: Golongan al-Asya’irah: Imam di dalam kelompok ini ialah Abu Hassan al-Asy’ari rahimahullah

Ketiga: Golongan al-Maturidiah: Imam di dalam kelompok ini ialah Abu Mansur al-Maturidi rahimahullah.

Kata Syeikhuna Ali Jum’ah Hafizahullah: Al-Imam al-Safarayini tidak memasukkan kelompok Sufiyah(ulama-ulama sufi) di dalam kategori ahlussunnah(seperti yang dilakukan oleh al-Imam Ibn Hajib rahimahullah). Ini bukanlah bermaksud beliau mengatakan bahawa kelompok Sufiyyah ini bukanlah golongan ahlussunnah.Ini kerana kelompok sufi bukanlah kelompok aqidah tetapi ianya merupakan satu mazhab yang membawa kepada cara pengamalan untuk menuju Allah taala.Bahkan golongan sufi mengikut aqidah ahlusunnah wal jamaah, sama ada dengan cara dan prinsip daripada ahlu al-hadis ataupun cara dan prinsip al-Asya’irah dan Maturidiah.

Pendapat-pendapat yang saya nukilkan di sini hanyalah sebahagian kecil sahaja daripada pendapat para ulama ahlusunnah wal jamaah. Saya bercadang untuk membincangkan perkara ini secara peringkat demi peringkat. Sebagai permulaannya maka saya membawa perbincangan ini terlebih dahulu. Setelah kita jelas tentang apa yang dimaksudkan sebagai ahlusunnah wal jamaah maka selepas ini saya akan bentangkan pula perkara-perkara berkaitan masalah ini dengan lebih lanjut pada penulisan yang akan datang.

Semoga Allah taala memberikan kemudahan kepada kita untuk menjalankan perintahnya.Amin ya rabbal a’lamin.


الحق أحق أن يتبع



Mohd Nazrul Abd Nasir,

Bilik 102, Rumah Kedah,
Hayyu 10, Kaherah

1 ulasan:

  1. mohon penjelasan skit drpd ustaz
    adakah tauhid 3 serangkai yg dipelopori oleh ibn taimiyyah itu sesat??

    BalasPadam

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...