Sabtu, 28 Mac 2009

Guru Pertama Dalam Hidupku


Ruangan tokoh ini adalah merupakan yang pertama yang saya muatkan di dalam blog saya hasil penulisan saya sendiri. Disini saya ingin sama-sama berkongsi dengan para pembaca berkenaan tokoh-tokoh yang masih hidup atau yang telah meninggal dunia. Ada yang memberi kesan dalam corak hidup saya sendiri dan ada yang saya kagumi tetapi masih belum sempat bertemu dan ada yang saya sering bersama mereka.

Buat pertama kalinya saya ingin menceritakan sedikit sebanyak tentang tokoh pertama yang telah mendidik jiwa ini. Mereka adalah ibu dan ayah saya sendiri. Mereka adalah merupakan guru yang pertama di dalam hidup saya. Banyak berkorban untuk diri saya tanpa penat dan lelah.

Walaupun tidaklah semewah mana kehidupan, tetapi ibu dan ayah saya tidak pernah mengeluh. Malah berusaha dan terus berusaha membesarkan anak-anak mereka. Kesungguhan sebegini menjadi satu inspirasi buat saya terus menghadapi hidup.

Ayah dan ibu saya cuma manusia biasa. Tiada pangkat yang tinggi di mata masyarakat. Tetapi cukup mempunyai pangkat dan kedudukan yang tinggi di hati kami anak-anak mereka. Saya dilatih bercakap di depan umum sejak kecil. Namun secara rasminya mula bercakap di depan umum setelah berumur 16 tahun. Guru pertama yang sering memberi komen ketika saya menyampaikan ucapan ialah ibu saya sendiri. Beliaulah yang menegur apa yang patut di cakap dan apa yang tidak perlu.

Ayah pula tidak pernah memuji saya. Saya teringat semasa saya mula-mula menyampaikan khutbah Jumaat di masjid setelah 4 tahun tidak pulang ke kampung kerana belajar di al-Azhar. Apabila pulang ke rumah maka saya bertanya kepada ayah bagaimana cara saya berkhutbah tadi. Adakah ada apa-apa yang perlu diubah dan diperbetulkan. Beliau langsung tidak menunjukkan rasa kegembiraan atau bangga dengan apa yang saya lakukan malah langsung tidak memuji. Sebaliknya komen-komen yang saya selalu dengar.

Sebenarnya cara yang dilakukan oleh ayah ini amat berkesan. Memang boleh diambil tauladan. Saya bukanlah kanak-kanak yang perlu dipuji. Tapi saya telah dewasa dan perlu dikomen untuk semakin membina. Ayah tidak pernah memberitahu perkara ini kepada saya tetapi ini apa yang saya fikirkan sendiri.

Tetapi hakikatnya, beliau memang memuji dan bangga dengan saya jauh di sudut hatinya. Itu seperti apa yang disebutkan oleh ibu saya. Ibu saya dulunya ketika saya kecil, saya masih teringat betapa garangnya beliau pada anak-anak. Tetapi bila sudah dewasa maka ibu adalah sahabat paling rapat buat anak-anak. Ibu sering mengikut saya ke majlis-majlis pengajian yang saya sampaikan di Malaysia. Beliau adalah peminat setia saya. Beliau tidak pernah memuji saya melambung-lambung. Tetapi hanya sekadar yang keluar daripada mulutnya ialah “ ok le tu”.

Jika nak diceritakan tentang hidup mereka berdua terlalu panjang dan tidak cukup lembaran untuk saya masukkan di sini. Mereka berdua adalah insan yang banyak berkorban untuk saya dan adik-adik. Saya tidak akan dapat melupakan jasa kedua mereka. Tanpa mereka saya tidak akan lahir ke dunia. Maka merekalah guru saya yang pertama di dunia dan di akhirat kelak. Saya merasakan tidak patut saya meletakkan guru yang lain lebih hadapan daripada guru saya yang pertama iaitu ibu dan ayah saya sendiri.

Ya Allah ya Tuhanku..Panjangkanlah umur kedua ibu bapaku di dalam ketaatan kepada Mu dan lindungilah mereka daripada bala bencana di dunia dan akhirat. Kasihanilah mereka sebagaimana mereka berdua mengasihani kami sejak kecil. Amin Ya Rabbal Alamin.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...