Selasa, 31 Mac 2009

Siapakah Yang Di Maksudkan Sebagai Ahlussunnah Wal Jamaah?


Perbincangan kali ini kita akan sama-sama menyingkap apakah maksud sebenar dengan perkataan ahlussunnah wal jamaah. Seringkali kita mendengar golongan-golongan yang dengan tiada rasa segan silu mengaku bahawa mereka termasuk di dalam golongan ini tetapi terang-terangan melakukan penyelewengan fakta dan pendapat-pendapat pelik sering kita dengari daripada golongan seperti ini.

Pendapat-pendapat pelik seperti Allah istiwa’(diterjemahkan oleh mereka bahawa Allah taala duduk) di atas Arasy, golongan-golongan yang bertawassul itu dianggap telah melakukan Syirik, membahagikan tauhid kepada tiga bahagian iaitu Tauhid Rububiyyah,Uluhiyyah dan Asma wa Sifat, dan pelbagai lagi pendapat yang menyalahi jumhur Ummat Baginda Sallallahu 'Alaihi Wasallam. Ini yang sering kita dengar mereka bahaskan. Tanpa segan silu mereka juga mengaku bahawa mereka adalah ahlussunnah yang dimaksudkan. Sekarang kita akan membincangkannya secara teliti.

Menurut Guru Kami, Mufti Besar Kerajaan Mesir, al-Allamah al-Mujtahid Syeikh Dr Ali Jum’ah hafizahullah di dalam kitabnya البيان لما يشغل الأذهان jilid kedua mukasurat 23-25:

“ Maksud Ahlussunnah wal Jamaah secara istilahnya ialah golongan yang berada di atas manhaj Baginda sallallahu alaihi wasallam serta para sahabat Baginda radhiyallahu anhum di dalam masalah I’tiqad.

Antara tanda-tanda golongan ini ialah bersama dengan Khilafah Islam yang satu, sekarang telah tiada Khilafah tersebut maka mereka boleh dikenali apabila bersama dengan kelompok Jumhur Ummat Islam yang disebut oleh baginda sallallahu alaihi wasallam sebagai السواد الأعظم. Baginda sallallahu alaihi wasallam juga berpesan agar umat Islam melazimi kelompok sebegini.

Al-Imam Ibn Subki menyebut ketika mensyarahkan aqidah Ibn Hajib rahimahullah:

((اعلم أن أهل السنة و الجماعة كلهم قد اتفقوا على معتقد واحد فيما يجب و يجوز و يستحيل , و إن اختلفوا فى الطرق و المبادئ الموصلة لذلك.وبالجملة فهم بالاستقراء ثلاث طوائف:

الأولى : أهل الحديث,و معتقد الأدلة السمعية –الكتاب و السنة و الإجماع-

الثانية: أهل النظر العقلى وهم الأشعرية و الحنفية ( الماتريدية).و شيخ الأشعرية هو أبو الحسن الأشعري, و الشيخ الحنفية أبو منصور الماتريدى.

و هم متفقون فى المبادئ العقلية فى كل مطلب يتوقف السمع عليه و فى المبادئ السمعية فيما يدرك العقل جوازه فقط و العقلية و السمعية فى غيرها ,و اتفقوا فى جميع المطالب الاعتقادية إلا فى مسائل.

الثالثة: أهل الوجدان و الكشف و هم الصوفية .و مباديهم مبادي أهل النظر و الحديث فى البداية و الكشف و الإلهام فى النهاية


Maksudnya: Ketahuilah bahawasanya ahlussunnah wal jamaah itu kesemuanya bersepakat pada pegangan yang satu terhadap apa yang wajib(secara akal), harus dan mustahil pada hak Allah subhanahu wa taala, RasulNya dan perkara-perkara Ghaib. Walaupun mereka berbeza pendapat tentang cara dan prinsip untuk memahami perkara tersebut(memahami perkara wajib, harus dan mustahil pada hak Allah taala, RasulNya dan perkara-perkara Ghaib). Kajian yang dilakukan secara terperinci meletakkan bahawa golongan ini terbahagi kepada tiga kelompok:

Pertama: Ahlul Hadis, Ini merupakan kelompok ahlussunnah yang berpegang dengan dalil-dalil al-Quran, Sunnah dan al-Ijma’.
Kedua: Ahli Pemikiran, Mereka adalah golongan yang dikenali sebagai al-Asya’irah dan al-Maturidiyah. Pengasas al-Asya’irah ialah al-Imam Abu Hassan al-Asy’ari manakala pengasas al-Maturidiah ialah al-Imam Abu Mansur al-Maturidi.
Golongan al-Asya’irah dan al-Maturidiyah ini bersepakat di dalam prinsip akal,dan sam’iyah(iaitu yang disampaikan daripada mulut baginda sallallahu alaihi wasallam tanpa seseorang tersebut dapat mengeluarkan pendapat tentangnya kerana ianya tidak pernah dilihat melainkan dikhabarkan oleh baginda sallallahu alaihi wasallam) untuk memahami setiap perkara yang wajib diimani (seperti Syurga, neraka dan lain-lain perkara Ghaib). Mereka bersepakat di dalam banyak permasalahan aqidah dan hanya berlaku khilaf di dalam beberapa masalah sahaja.
Ketiga : Ahlu al-Wujdan dan al-Kasyaf.Mereka ialah golongan sufi . Prinsip mereka pada permulaan jalan menuju Allah taala ialah prinsip ahli pemikiran dan hadis manakala jika mereka telah sampai kepada peringkat yang tertinggi maka mereka menggunakan prinsip ahlu al-Kasyaf di dalam memahami prinsip-prinsip aqidah.

Al-Imam Muhammad Ahmad al-Safarayini al-Hambali rahimahullahu taala berkata:

أهل السنة و الجماعة ثلاث فرق:

الأثرية: و إمامهم أحمد بن حنبل رحمه الله تعالى

و الأشعرية: وإمامهم أبو الحسن الأشعري رحمه الله تعالى

و الماتريدية: و إمامهم أبو منصور الماتريدي رحمه الله تعالى


Maksudnya: Ahlussunnah terbahagi kepada tiga kelompok:

Pertama : Golongan Al-Athariyah(Ahlu al-Hadis): Imam di dalam kelompok ini ialah Imam Ahmad bin Hambal rahimahullah.

Kedua: Golongan al-Asya’irah: Imam di dalam kelompok ini ialah Abu Hassan al-Asy’ari rahimahullah

Ketiga: Golongan al-Maturidiah: Imam di dalam kelompok ini ialah Abu Mansur al-Maturidi rahimahullah.

Kata Syeikhuna Ali Jum’ah Hafizahullah: Al-Imam al-Safarayini tidak memasukkan kelompok Sufiyah(ulama-ulama sufi) di dalam kategori ahlussunnah(seperti yang dilakukan oleh al-Imam Ibn Hajib rahimahullah). Ini bukanlah bermaksud beliau mengatakan bahawa kelompok Sufiyyah ini bukanlah golongan ahlussunnah.Ini kerana kelompok sufi bukanlah kelompok aqidah tetapi ianya merupakan satu mazhab yang membawa kepada cara pengamalan untuk menuju Allah taala.Bahkan golongan sufi mengikut aqidah ahlusunnah wal jamaah, sama ada dengan cara dan prinsip daripada ahlu al-hadis ataupun cara dan prinsip al-Asya’irah dan Maturidiah.

Pendapat-pendapat yang saya nukilkan di sini hanyalah sebahagian kecil sahaja daripada pendapat para ulama ahlusunnah wal jamaah. Saya bercadang untuk membincangkan perkara ini secara peringkat demi peringkat. Sebagai permulaannya maka saya membawa perbincangan ini terlebih dahulu. Setelah kita jelas tentang apa yang dimaksudkan sebagai ahlusunnah wal jamaah maka selepas ini saya akan bentangkan pula perkara-perkara berkaitan masalah ini dengan lebih lanjut pada penulisan yang akan datang.

Semoga Allah taala memberikan kemudahan kepada kita untuk menjalankan perintahnya.Amin ya rabbal a’lamin.


الحق أحق أن يتبع



Mohd Nazrul Abd Nasir,

Bilik 102, Rumah Kedah,
Hayyu 10, Kaherah

Ahad, 29 Mac 2009

Sokongan Daripada Ibunda Tercinta


Alhamdulillah dapat update lagi hari nie..berkat sokongan sahabat-sahabat. Ketika saya dalam perjalanan pulang daripada Iskandariah selepas mengajar di Madrasah Al-Imam Al-Syafie, tiba-tiba saya mendapat satu SMS daripada adik saya di Malaysia. Beliau memberitahu bahawa ibu saya sedang melihat blog yang saya buat. Beliau memberitahu yang ibu terharu selepas membaca hasil tulisan anaknya ini. Saya juga turut terharu bila mengetahui perkara tersebut. InsyaAllah saya akan cuba buat yang lebih baik.

Berkat doa mak dan ayah , InsyaAllah anakanda akan buat yang terbaik. Doakan anakanda di perantauan.

Ya Allah berkatilah hidup kedua Ibu Bapaku, panjangkan umur mereka dalam ketaatan kepadaMu, Kasihanilah mereka berdua sebagaimana mereka mengasihani kami sejak kecil.

Mohd Nazrul Abd Nasir,
Bilik 102, Rumah Kedah Hayyu 10,
Kaherah, Mesir.

Perbicaraan Berkenaan Hadis اختلاف أمتى رحمة


Kita sering mendengar perbicaraan berkaitan dengan hadis yang saya ingin bincangkan pada hari ini. Sebahagian golongan menolak mentah-mentah hadis ini hanya semata-mata mendengar cakap-cakap yang tidak berasaskan dalil. Golongan wahabi yang mengaku bahawa mereka adalah golongan yang begitu mengambil berat tentang hadis juga sebenarnya hanya bercakap sahaja. Bak kata pepatah “ Cakap Tak Serupa Bikin”. Saya bukan bertujuan untuk menghujum golongan sebegini. Tetapi seperti kata para ulama yang mashyur yang saya nukilkan daripada kitab بلوغ السول فى مدخل علم الأصول ialah الحق أحق أن يتبع maksudnya ialah kebenaran itu adalah lebih berhak kita ikuti.Kalam ini juga sering saya dengar daripada mulut guru saya, Syeikh Al-Allamah Yusri Al-Hasani Al-Syafie Hafizahullah.

Perbahasan tentang hadis ini saya nukilkan daripada kitab الفروع الخلافية yang dikarang oleh Al-Muhaddis Al-Allamah Syeikh Muhammad Zaki Ibrahim Rahimahullah, salah seorang ulama besar Al-Azhar. Saya tidaklah mahu menterjemahkannya satu persatu. Tetapi apa yang saya muatkan di sini adalah isi penting yang dibahaskan oleh Al-Syeikh Muhammad Zaki Ibrahim Rahimahullah.

Disebutkan di dalam kitab المقاصد الحسنة oleh Al-Imam Al-Sakhawi Radhiyallahuanhu: Hadis ini diriwayatkan oleh al-Imam Baihaqi di dalam kitab المدخل dengan sanad yang منقطع yang diriwayatkan oleh Saidina Ibn Abbas Radiyallahu 'Anhuma dengan lafaz:

إن أصحابى بمنزلة النجوم فى السماء فأيها أخذتم به اهتديتم و اختلاف أصحابى لكم رحمة

Maksudnya: Sesungguhnya kedudukan para sahabat aku adalah seumpama bintang-bintang di langit(yang menunjukkan arah kepada yang tersesat). Mana-mana sahabatku yang kamu ikuti maka kamu akan mendapat hidayah (petunjuk). Perbezaan pandangan di kalangan sahabatku adalah rahmat kepada kamu semua.

Hadis ini diriwayatkan oleh ramai para ulama terkemuka hadis. Antaranya ialah Al-Imam Thabrani dan Al-Dailami dengan lafaz yang sama(terdapat rawi yang Dhoif pada sanadnya). Begitu juga Al-Imam Al-Zarkasyi dan Ibn Hajar di dalam اللآئى menyandarkan hadis tersebut kepada Nasr Al-Maqdisi di dalam الحجة dengan secara مرفوع (menyandarkan kepada baginda Sallallahu 'Alaihi Wasallam) tanpa memberikan sebarang komen terhadap sanadnya. Ramai lagi para ulama yang membicarakan hadis ini di dalam kitab-kitab mereka. Antaranya ialah Ibn Hajib di dalam kitabnya المختصر, Al-Hulaimi, Al-Qadhi Hussain, Imam Al-Haramain dan lain-lain para ulama yang muktabar radiyallahu anhum.
Di dalam Musnad al-Firdaus, hadis diriwayatkan oleh Ibn Abbas Radhiyallahu anhuma dengan secara مرفوع :
اختلاف أصحابى لكم رحمة

Maksudnya: Perbezaan para sahabatku merupakan rahmat bagi kamu semua.

Al-Imam Abu Nuaim meriwayatkan dengan lafaz hadis :

كان اختلاف أصحاب رسول الله صلى الله عليه و سلم رحمة للناس

Maksudnya : Sesungguhnya perbezaan pandangan para sahabat Rasulullah sallallahu alaihi wasallam adalah merupakan rahmat bagi sekalian manusia.

Al-Imam Ibn Saad juga meriwayatkan dengan lafaz yang sama di dalam kitab Tabaqatnya yang mashyur daripada Al-Qasim Ibn Muhammad Radhiyallahu 'Anhu.

Kata
Syeikh Muhammad Zaki Ibrahim Rahimahullah : “Dengan sumber-sumber yang kita sebutkan tadi maka dapat kita ketahui bahawa sekurang-kurangnya hadis ini ada juga sumbernya. Bukan tiada langsung seperti mana yang dikatakan oleh sebahagian orang yang tidak jelas dalam perkara ini. Sumbernya jelas sepertimana yang kita sebutkan sebelum ini yang kita nukilkan daripada para ulama yang pakar di dalam bidang hadis ini. Memang jelas secara realitinya bahawa khilaf di kalangan para ulama adalah merupakan benar-benar rahmat kepada ummat.”

TOHMAHAN TERHADAP HADIS INI

Al-Imam Al-Khattabi radhiyallahu anhu menyebutkan di dalam kitabnya غريب الحديث bahawa yang hanya menolak dan melemparkan tohmahan terhadap hadis ini hanyalah dua orang sahaja. Salah seorangnya ialah seseorang yang tidak tahu malu iaitu Ishak Al-Mausili dan seorang lagi ialah orang yang sesat iaitu Amru bin Bahru!!! Mereka berdua mengatakan: Jika kita katakan bahawa ikhtilaf itu adalah rahmat maka sudah tentu jika bersatu pendapat maka akan menjadi azab.

Inilah perkataan yang sering disebutkan oleh golongan-golongan
متمسلفة (yang kononnya mengikut salaf) pada zaman sekarang.

Al-Imam Nawawi Radhiyallahu 'Anhu menyebutkan di dalam syarah Sahih Muslim: Tidak semestinya jika kita katakan bahawa sesuatu itu adalah rahmat maka lawannya tentu azab.Katanya lagi: Tidak semestinya akan berlaku sedemikian. Tidaklah seseorang yang mengatakan sedemikian melainkan orang yang jahil dan berpura-pura tidak tahu.

Kata syeikh Muhammad Zaki Ibrahim Rahimahullah selepas membincangkan perkara ini:
Berdasarkan hukum secara mantiq maka maaf jika kata katakan bahawa golongan yang masih mencerca hadis ini selepas mengetahui hukum yang kita letakkan maka mereka sebenarnya telah membuat sesuatu tanpa berfikir panjang terlebih dahulu dengan memasukkan mereka di dalam golongan yang tidak tahu malu dan sesat seperti disebutkan oleh Imam Al-Khattabi, dan jahil serta pura-pura tidak tahu sepertimana yang disebutkan oleh Al-Imam Nawawi Radhiyallahu 'Anhuma. Kedua-duanya menyakitkan. Maka kami tidak mahu mengatakan kepada saudara kami sesama Islam sedemikian rupa!!

Jadi telah jelas kita sebutkan secara jelas tanpa sebarang syak wasangka lagi. Maka kebenaran di depan mata kalian. Timbang-timbanglah dengan pemikiran yang waras tanpa menghujum tanpa dalil seperti yang kalian inginkan.

Sekali lagi saya ulangi perkataan para ulama
الحق أحق أن يتبع. Semoga sidang pembaca dapat menilainya dengan baik dan saksama. Wassalam.

Mohd Nazrul Abd Nasir ,
BIlik 102 , Rumah Kedah Hayyu 10,
Kaherah, Mesir.

Sabtu, 28 Mac 2009

Guru Pertama Dalam Hidupku


Ruangan tokoh ini adalah merupakan yang pertama yang saya muatkan di dalam blog saya hasil penulisan saya sendiri. Disini saya ingin sama-sama berkongsi dengan para pembaca berkenaan tokoh-tokoh yang masih hidup atau yang telah meninggal dunia. Ada yang memberi kesan dalam corak hidup saya sendiri dan ada yang saya kagumi tetapi masih belum sempat bertemu dan ada yang saya sering bersama mereka.

Buat pertama kalinya saya ingin menceritakan sedikit sebanyak tentang tokoh pertama yang telah mendidik jiwa ini. Mereka adalah ibu dan ayah saya sendiri. Mereka adalah merupakan guru yang pertama di dalam hidup saya. Banyak berkorban untuk diri saya tanpa penat dan lelah.

Walaupun tidaklah semewah mana kehidupan, tetapi ibu dan ayah saya tidak pernah mengeluh. Malah berusaha dan terus berusaha membesarkan anak-anak mereka. Kesungguhan sebegini menjadi satu inspirasi buat saya terus menghadapi hidup.

Ayah dan ibu saya cuma manusia biasa. Tiada pangkat yang tinggi di mata masyarakat. Tetapi cukup mempunyai pangkat dan kedudukan yang tinggi di hati kami anak-anak mereka. Saya dilatih bercakap di depan umum sejak kecil. Namun secara rasminya mula bercakap di depan umum setelah berumur 16 tahun. Guru pertama yang sering memberi komen ketika saya menyampaikan ucapan ialah ibu saya sendiri. Beliaulah yang menegur apa yang patut di cakap dan apa yang tidak perlu.

Ayah pula tidak pernah memuji saya. Saya teringat semasa saya mula-mula menyampaikan khutbah Jumaat di masjid setelah 4 tahun tidak pulang ke kampung kerana belajar di al-Azhar. Apabila pulang ke rumah maka saya bertanya kepada ayah bagaimana cara saya berkhutbah tadi. Adakah ada apa-apa yang perlu diubah dan diperbetulkan. Beliau langsung tidak menunjukkan rasa kegembiraan atau bangga dengan apa yang saya lakukan malah langsung tidak memuji. Sebaliknya komen-komen yang saya selalu dengar.

Sebenarnya cara yang dilakukan oleh ayah ini amat berkesan. Memang boleh diambil tauladan. Saya bukanlah kanak-kanak yang perlu dipuji. Tapi saya telah dewasa dan perlu dikomen untuk semakin membina. Ayah tidak pernah memberitahu perkara ini kepada saya tetapi ini apa yang saya fikirkan sendiri.

Tetapi hakikatnya, beliau memang memuji dan bangga dengan saya jauh di sudut hatinya. Itu seperti apa yang disebutkan oleh ibu saya. Ibu saya dulunya ketika saya kecil, saya masih teringat betapa garangnya beliau pada anak-anak. Tetapi bila sudah dewasa maka ibu adalah sahabat paling rapat buat anak-anak. Ibu sering mengikut saya ke majlis-majlis pengajian yang saya sampaikan di Malaysia. Beliau adalah peminat setia saya. Beliau tidak pernah memuji saya melambung-lambung. Tetapi hanya sekadar yang keluar daripada mulutnya ialah “ ok le tu”.

Jika nak diceritakan tentang hidup mereka berdua terlalu panjang dan tidak cukup lembaran untuk saya masukkan di sini. Mereka berdua adalah insan yang banyak berkorban untuk saya dan adik-adik. Saya tidak akan dapat melupakan jasa kedua mereka. Tanpa mereka saya tidak akan lahir ke dunia. Maka merekalah guru saya yang pertama di dunia dan di akhirat kelak. Saya merasakan tidak patut saya meletakkan guru yang lain lebih hadapan daripada guru saya yang pertama iaitu ibu dan ayah saya sendiri.

Ya Allah ya Tuhanku..Panjangkanlah umur kedua ibu bapaku di dalam ketaatan kepada Mu dan lindungilah mereka daripada bala bencana di dunia dan akhirat. Kasihanilah mereka sebagaimana mereka berdua mengasihani kami sejak kecil. Amin Ya Rabbal Alamin.

Mengapa Perlu Belajar Ilmu Tauhid? Bagaimana Memahaminya Dengan Benar?

Kadang-kadang saya terfikir mengapa ramai para pelajar hatta yang belajar di al-Azhar al-Syarif sekalipun, masih “gerun” dan bimbang dengan ilmu tauhid. Saya berbaik sangka dengan mereka-mereka yang berfikiran demikian. Mungkin mereka takut mengatakan sesuatu yang tidak kena@tersalah dalam berbicara tentang ilmu tauhid.

Ya, boleh juga dikatakan mungkin mereka merendah diri tidak mahu menunjukkan ilmu di dada. Jika sebaliknya, mungkin kerana kurang ilmu berkenaan tauhid dan cara menerangkannya maka seseorang itu menjadi takut dan gerun.
Jika telahan saya ini benar, mengapa kita tidak mengambil inisiatif untuk menghilangkan rasa gerun tersebut. Nanti ada pula yang akan memberikan jawapan kepada kita “payah la ustaz ilmu tauhid ni” “pening kepala la nak ingat tauhid ni” dan bermacam-macam lagi alasan yang direka-reka untuk melepaskan diri.

Saya tidak katakan bahawa saya pandai di dalam bidang ini. Memang pada mulanya kita membuka kitab tauhid maka kita akan menjumpai banyak istilah-istilah yang tidak kita fahami. Persoalan yang ingin saya lontarkan di sini ialah, bagaimanakah caranya kita untuk memahami dengan mudah istilah-istilah ini? Ya, jawapannya hanya satu : PERLU BELAJAR DENGAN GURU YANG BENAR JALANNYA.

Mungkin ramai tertanya-tanya apa maksud saya dengan perkataan GURU YANG BENAR JALANNYA. Maksud saya ialah seorang ulama yang benar aqidahnya, dan berpegang dengan mazhab. Ahlussunnah Wal Jamaah


Ahlussunnah wal jamaah yang saya maksudkan ialah mazhab Asyai’rah dan al-Maturidiah. Tiada yang selain daripada dua mazhab ini.

Ilmu tauhid bukanlah ilmu yang boleh dicedok atau didapati hanya dengan berjam-jam di dalam maktabah@perpustakaan. Bukan juga di dapati hanya sekadar mendengar rakaman-rakaman pengajian. Bukan juga didapati daripada pembacaan kitab-kitab dan pengkajian tanpa bimbingan seorang guru. Bukan juga diperolehi dengan cara tidur dan bersenang-lenang.

Ianya hanya boleh didapati dengan SATU CARA sahaja iaitu belajar dengan para ulama.
Kalau hanya sekadar membaca dan membuat kajian sendirian tanpa bimbingan para ulama maka natijahnya ialah akan bercampurnya pemikiran-pemikiran songsang yang memalukan bagi seorang penganut Islam. Ianya juga akan mengundang fitnah.

Pembacaan dan belajar dengan golongan yang tersalah inilah yang menyebabkan fahaman Allah taala bertempat, Allah taala istiwa’(duduk) di atas Arasy dan sebagainya tersebar. Mengapa pemikiran-pemikiran sebegini boleh lahir? Jawapannya hanya satu: Kerana faktor-faktor yang telah saya sebutkan sebelum ini.

Disebabkan perkara inilah maka menjadi Fardhu Ain bagi seorang penuntut agama khususnya di Al-Azhar Al-Syarif untuk menimba ilmu ini secara bersungguh-sungguh bagi mempertahankan aqidah umat Islam yang semakin goyah dengan tersebarnya fahaman yang longgar dan songsang sedemikian.

Kita perlu merasakan bahawa ianya merupakan satu tanggungjawab yang berat. Kalian yang sudah berada di dalam bidang agama ini jika tidak menuntutnya secara bersungguh maka akan dipersoalkan nanti dihadapan yang Maha Agung


Jangan hanya sekadar mengejar sijil semata-mata tetapi ilmunya tidak seberapa. Biarlah pangkat dan anugerah yang kalian dapat itu sebanding dengan ilmu dan penat jerih kalian semasa menuntut Ilmu. Tidakkah kalian bimbang bilamana membaca hadis baginda Sallallahu 'Alaihi Wasallam yang saya petik daripada kitab 40 hadis kelebihan Ilmu dan Ulama karangan Guru saya yang mulia al-Syeikh al-Allamah Ahmad Fahmi ZamZam hafizahullah

عن عبدالله بن عمرو بن العاصى رضى الله عنهما قال: قال رسول الله صلى الله عليه و سلم: إن الله لا يقبض العلمَ انتزاعا ينتزعه من الناس و لكن يقبض العلم بقبض العلماء حتى إذا لم يبقِ عالما اتخذ الناسُ رؤوسا جهّالا فسُئِلُوا, فأفتوا بغير علمٍ فضَلُّوا و أضلوا

أخرجه الشيخان و الترميذى


Maksudnya: Daripada Abdullah Bin Amru bin al-Ash Radhiyallahu 'Anhuma berkata: Sabda Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam: "Sesungguhnya Allah Taala tidak menghilangkan ilmu agama itu dengan dicabutkan sekaligus daripada manusia tetapi Allah taala akan menghilangkan ilmu itu dengan mematikan para ulama. Manusia akan melantik pemimpin mereka dikalangan orang-orang yang jahil lalu mereka akan ditanyakan hukum tentang sesuatu masalah. Maka mereka menjawab atau berfatwa tanpa ilmu pengetahuan, Maka mereka sesat dan menyesatkan orang lain".

Tidakkah kalian takut dengan amaran daripada Baginda Sallallahu 'Alaihi Wasallam ini. Adakah kita ingin menjadi golongan yang sesat dan menyesatkan. Tentu sekali kita tidak mahu. Maka sama-samalah kita muhasabah diri dan perlu lebih giat menuntut Ilmu. Selagi para ulama masih hidup maka sama-samalah kita menuntut Ilmu dengan mereka.


Jumaat, 27 Mac 2009

Secangkir Bicara

Assalamualaikum warahmatullahi wa barakatuh..

Sebenarnya saya bukanlah pandai sangat di dalam bidang penulisan ini. Masih lagi dalam proses pembelajaran. Alhamdulillah sahabat-sahabat banyak memberikan semangat untuk cuba menulis.

Ada juga di kalangan sahabat yang berbaik sangka dengan saya, menyuruh agar saya juga menulis di dalam blog seperti ini bagi berkongsi sedikit sebanyak apa sahaja yang boleh dikongsi. Maksud saya perkara-perkara yang baik sahaja. Saya teringat sebuah hadis yang disebutkan oleh Baginda Sallallahu 'Alaihi Wasallam di dalam kitab الغرائب و الوحدان yang dikarang oleh al-Alim al-Allamah Syeikh Abdullah Siddiq al-Ghumari Rahimahullahu Taala(saya sedang dalam proses menterjemahkan kitab ini selepas mendapat keizinan daripada guru saya al-Allamah al-Syeikh Dr Yusri Rusydi al-Hasani al-Syafie).

Sabda Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam:

قال النبي صلى الله عليه و سلم : ائت بالمعروف و اجتنب المنكر و انظر ما يعجب أذنك أن يقول لك القوم إذا قمت من عندهم فائته و انظر الذى تكره أن يقول لك القوم إٍذا قمت من عندهم فاجتنبه.

راوه البخاري في الأدب المفرد و البغوي في المعجم و البارودي في معرفة الصحابة عن حرملة بن عبدالله بن أوس ولم يرو غيره.



Maksudnya: Sabda Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam:"Lakukanlah perkara yang makruf(kebaikan) dan jauhkanlah perkara kemungkaran dan perhatikanlah apa yang diperkatakan oleh orang ramai kepadamu(tentang perkara yang baik-baik) jika kamu lakukan perkara tersebut maka laksanakan perkara tersebut. Dan perhatikanlah juga apa-apa perkara yang diperkatakan tentang kamu (perkara yang tidak baik yang dilakukan oleh kamu) jika kamu lakukan perkara tersebut maka tinggalkan perkara tersebut."

Pada suatu hari, Al-Imam Abu Hanifah Radhiyallahu 'Anhu melalui di satu kawasan. Beliau mendengar kanak-kanak yang berada di kawasan tersebut memuji dirinya dengan mengatakan bahawa: "Itulah Abu Hanifah yang terkenal tidak pernah tidur pada waktu malam(sibuk dengan ibadah dan ilmu)". Sejak daripada mendengar pujian tersebut maka al-Imam berterusan melakukan qiamullail.

Saya bukanlah ingin menyamakan sangka baik orang kepada saya sepertimana orang menyangka baik kepada al-Imam Abu Hanifah Radhiyallahu 'Anhu. Siapalah saya jika dibandingkan dengan sang Imam yang sangat hebat, bukan hanya dikenali oleh makhluk dunia tetapi juga oleh makhluk di langit. Saya cuma ingin mengambil contoh daripada hadis baginda Sallallahu 'Alaihi Wasallam yang mulia. Moga Allah Subhanahu Wa Taala mencampakkan keikhlasan di dalam jiwa saya yang serba kekurangan untuk meneruskan kerja baik ini.

Saya ucapkan jutaan terima kasih buat al-Fadhil Ust Najhie Hayazi(Pejuang kecil) yang sudi meluangkan masa memberikan tunjuk ajar kepada saya cara-cara mengendalikan blog ini. Semoga Allah Taala jua yang membalasnya.

Semoga semua sahabat dan sidang pengunjung dapat mengambil faedah daripada segala yang terdapat di dalam blog ini. Segala kekurangan mohon tunjuk ajar daripada semua. Wassalam.

Mohd Nazrul Abd Nasir
Bilik 102, Rumah Kedah Hayyu 10,
Kaherah, 10.15 malam
27 Mac 2009

Berbahagialah Hj. Khair (Ustaz Khairul Azhar)

Gambar ihsan dari dppn9.blogspot.com

Al Fatihah Buat Pejuang Muda Islam.


Sedih, pilu, rindu tetapi penuh bangga, menggaharap pun ada, itulah perasaan bercampur baur saat hati ini mendapat berita perginya Ustaz Khairul Azhar Kamaruddin seorang pejuang Islam yang masih muda di Negeri Sembilan semalam.

Ruangan sms berkelip-kelip menerima mesej hiba kepulangan Al marhum kehadrat Ilahi ketika masih dalam perjalanan pulang menziarahi maqam Imam Abu Hassan As Syazuli di Humaithira berhampiran dengan laut Merah di Mesir.

Bagi saya pemergian Almarhum adalah kehilangan besar bagi sebuah negeri yang terkenal dengan adat pepatih itu. Sebuah negeri yang amat memerlukan tenaga baru demi kesinambungan perjuangan sebuah gerakan Islam yang ulung di tanah air tercinta Malaysia.

Almarhum Ustaz Khairul Azhar Kamaruddin telah kembali menemui Allah sekitar jam 11.20 malam (khamis malam Jumaat). Almarhum 35, meninggal akibat Denggi di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban.

Pejuang Muda dari Rihab Al Azhar.

Haji Khair, itulah nama panggilan mesra di Mesir sewaktu Almarhum masih lagi bergelar mahasiswa di bumi Nabi Allah Musa A'laihissalam ini. Ustaz Khairul Azhar Kamaruddin adalah pejuang muda generasi baru yang terbaik pernah dilahirkan dari lembah Nil ini. Almarhum adalah hasil sentuhan tarbiyyah dari "Rihab Al Azhar As Syarif " yang menerima didikan langsung para ulamak Al Azhar yang cintakan Islam.

Almarhum terbukti memiliki daya kepimpinan yang tinggi, medan kepimpinan mahasiswa di Mesir pernah mendapat sentuhan kepimpinan Amarhum apabila Almarhum pernah ditaklifkan sebagai Badan Pengurus (BP) Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir(PMRAM). Almarhum mencurahkan baktinya terhadap PMRAM melalui Badan Kebudayaan, Kesenian dan Sukan (BKKS) PMRAM dan kemudian sebagai penasihat yang disegani bagi PMRAM sebagai sebuah NGO yang besar di perlembahan Nil. (klik di sini)

Kenangan Indah Bersama Almarhum di Mesir

Masih terngiang-ngiang kata-kata penuh semangat dalam setiap ucapan Almarhum. Antara nasihatnya yang masih mlekat di hati ini ialah " Jangan biarkan sejarah hidup anda dikenang di kemudian hari dengan keburukan dan kehinaan".

Semoga hari-hari bersama Almarhum di bumi Kinanah ini adalah amal berterusan dan inspirasi semangat juang yang bakal menjana kebangkitan diri mengharungi mehnah dan tribulasi medan perjuangan ini.

Peribadi dan Perjuangannya

Almarhum adalah seorang pemuda yang kental jiwanya, penuh dengan semangat juang yang tinggi dan pengorbanan yang sentiasa mendahului kepentingan peribadinya. Penulis menanggapi bahawa akhlak dan sifat kepimpinan yang ada kepada Almarhum pasti akan mengangkatnya sebagai kepimpinan besar gerakan Islam di Malaysia suatu hari nanti. Namun hikmah Allah mendahului segalanya, Almarhum dijemput pulang ketika masih lincah berjuang, ketika masih segar nafas mudanya dihembuskan untuk perjuangan Islam.

Almarhum adalah seorang pejuang muda yang memiliki komitmen yang tinggi dengan gerakan kepemudaan Islam, sentiasa bersemangat menyedarkan para pemuda Islam agar sentiasa berjuang mempertahankan Islam di mana jua. Dimana-mana sahaja fikiran dan hatinya tidak pernah berhenti dari merencana untuk Islam. Serius dan matang berbicara soal perjuangan, tegas terhadap prinsip Islam dan perjuangan tetapi mesra dalam mendekati para pemuda dan remaja Islam. Itulah keistimewaan dan muwasofat pejuang pada peribadi Almarhum.

Sekembali ke medan di tanah air Almarhum membuktikan bahawa Mahasiswa Al Azhar tidak ketinggalan berjuang dan berkhidmat terhadap perjuangan Islam di Malaysia. Kemunculan Al marhum dalam barisan kepimpinan Pemuda PAS Negeri Sembilan adalah lambang interaksi ulamak muda keluaran Al Azhar terhadap tuntutan memimpin perjuangan Islam di Malaysia. Almarhum semasa hayatnya berkhidmat sebagai Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAs Negeri Sembilan. Almarhum juga memimpin Pemuda PAS Tampin sebagai Ketua Pemuda PAS Kawasan Tampin.

Persinggahan Terakhir Al Marhum

Jenazah almarhum ditempatkan di kediaman bapa mertua almarhum, Tuan Haji Kassim di Gedung Lalang, Ampangan, untuk tatapan terakhir semua. Jenazah disembahyangkan di Masjid Paroi Jaya selepas solat Jumaat dan di situ jua persinggahan terakhir Almarhum untuk bertemu Maha Pencipta yang mewajibkan perjuangan ini.

Almarhum meninggalkan seorang balu (Azhariyyah) yang sedang menantikan hari bahagia menyambut kelahiran cahaya mata ketiga dan dua orang anak, anak yang sulung kini berusia empat tahun usianya. Semoga Allah mengurniakan kesejahteraan dan kurniaan agung buat serikandi yang mendampingi suaminya hingga ke akhir hayat.

Pemergian Almarhum seusai berwudhuk adalah petanda Almarhum dan perjuangannya diterima Allah. Kepulangannya adalah kehilangan besar bagi PAS Malaysia dan PAS Negeri Sembilan. Almarhum adalah contoh pelapis kepimpinan muda yang terkenal dengan ketokohan dan sifat kepimpinan yang tinggi. Semoga ALLAH mencucuri rahmat keatas roh Almarhum dan ditempatkan bersama para Anbiya', syuhada dan para solehin di dalam syurga Al Firdaus Al A'la.

Ya Allah matikan daku dalam perjuangan Mu.

Akhukum Pejuang Kecil Yang Menangis Pilu,

Sumber : najhie.blogspot.com


Ahlan Wasahlan

Salam perjuangan buat semua ummat Islam.
Moga lembaran baru ini menjadi medium dakwah baru dariku untuk kalian.
Doakan kejayaan dakwah ini.

Sekian,

Akhukum

Nazrul Nasir
7.03 malam, 30 Rabiul Anwar 1430
Bilik Bakar, Rumah Kedah, Hayyu 10, Kaherah Mesir
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...