Si jemaah A akan mengatakan bahawa kamilah yang terbaik. Si jemaah B pula turut mengatakan yang sama.
Saya mengharapkan perbincangan ini akan membuka minda semua pihak . Baca dan telitikan terlebih dahulu. Lihat hujjah dan perbahasannya . Jangan hanya kerana yang menulis ini bukanlah Presiden Pertubuhan ini, Ikatan itu maka terus diletakkan bahawa apa yang ditulis ini semata-mata untuk memenangkan sebuah pihak semata.
ISLAM DATANG MERUNGKAI KARAT JAHILIYYAHSebelum kedatangan Islam, manusia hidup berpuak-puak , bersuku-suku dan mengikut hawa nafsu masing-masing. Puak A ini mengatakan :
“ Kamilah yang terbaik”. Puak B , C dan D juga mengatakan perkara yang sama. Apa natijahnya? Ya , semua sudah pasti bahawa yang akan berlaku pastinya perpecahan dan perbalahan.
Kedatangan Baginda sallallahu alaihi wasallam memberikan sinar baru kepada umat manusia. Manusia yang sebelumnya hidup dengan membeza-bezakan antara satu sama lain, akhirnya berpegang dengan slogan
“ Kita semua adalah sama, datang dari Bapa yang SATU iaitu Saidina Adam alaihi al-salam, Ibu yang SATU iaitu Saidatina Hawwa’ alaiha al-salam, yang membezakan hanyalah iman dan taqwa di sisiNya”.
Kedatangan Baginda sallallahu alaihi wasallam membawa sebuah perpaduan kepada umat manusia. Berpegang dengan SATU aqidah iaitu Islam, beriman dengan tuhan yang SATU iaitu Allah taala. Karat jahiliyyah fahaman berpuak dan bersuku yang berpasak kuat di hati masyarakat manusia ketika itu berjaya dirungkai satu persatu oleh Baginda sallallahu alaihi wasallam.
Kesimpulan perbincangan pertama kita : Berbilang-bilang kebanyakkannya membawa kepada perpecahan , manakala perpaduan di bawah satu panji pastinya akan membawa kemenangan dan kemegahan kepada umat Islam.
KISAH SAYA DAN SYAIKHUNA MUKHTAR AL-JAZA’IRI HAFIZAHULLAHSatu hari sekitar tahun 2005 saya berjalan bersama Syaikhuna Mukhtar al-Maliki al-Jaza’iri hafizahullah. Ulama muda daripada Negara Algeria ini merupakan lepasan Ma’had Fath al-Islami serta pelajar Sarjana University al-Azhar al-Syariff. Saya sempat mempelajari ilmu Nahwu, hadis dan sedikit perbahasan fiqh Maliki dengan Syaikhuna sepanjang bersama dengannya.
Waktu Maghrib sudah masuk hampir 10 minit. Kebetulan kami melalui sebuah masjid berdekatan dengan Hayyu Sabiek, Madinat Nasr Kaherah. Saya bersama Syaikhuna terus memasuki masjid tersebut. Namun , kami dapati solat jemaah telah selesai dilaksanakan. Syaikhuna lantas menarik tangan saya untuk menuju ke Masjid lain . Saya bertanya
“ Kenapa perlu ke masjid lain? Bukankah boleh sahaja kita laksanakan solat secara berjemaah di bahagian belakang?”Syaikhuna menjawab :
“ Di sisi kami yang bermazhab Maliki, jika telah selesai solat jemaah di sebuah masjid yang punya Imam Tetap , maka dilarang bagi seseorang yang datang lambat untuk menunaikan solat secara jemaah di belakang jemaah pertama yang telah selesai. Ini berbeza dengan mazhab kamu ( Syaikhuna mengisyaratkan kepada mazhab yang saya pegangi iaitu Mazhab al-Imam al-Syafie radhiyallahu anhu)”Saya kurang faham mengapakah para ulama Malikiyah mengeluarkan pendapat sedemikian. Lalu saya bertanya kepada Syaikhuna tentang kekeliruan tersebut.
Syaikhuna menjawab :
“ Ini kerana, kita ingin menjaga perasaan Imam Tetap tersebut. Bimbang beliau terasa bahawa jemaah yang dilakukan selepasnya adalah kerana tidak menyukai dirinya serta kami tidak mahu melakukan banyak jemaah di dalam sebuah masjid yang sudah punya imam yang dilantik.”MasyaAllah, terus terlintas dibenak fikiran saya, Betapa cantiknya perbezaan mazhab sehingga permasalahan perpecahan juga turut menjadi perbahasan utama hatta di dalam hukum berkaitan imam dan makmum.
Maka saya terfikir, jadi mengapa perlu ada banyak persatuan sedangkan persatuan pertama telah ada tertubuh ? Adakah kerana tidak menyukai pimpinan persatuan pertama maka perlu untuk ditubuhkan persatuan kedua? Atau merasakan bahawa pimpinan persatuan pertama kurang mantap dan sedap bacaannya dan tarbiahnya berbanding persatuan kedua?
Ya , permasalahan ini sama sahaja isunya.
BERBILANG-BILANG PERSATUAN SAMA SEPERTI BERBILANG MAZHAB???Ada seseorang melontarkan soalan kepada saya :
“ Apa kata jika kita menganggap bahawa berbilang-bilang persatuan ini adalah seperti berbilang-bilang mazhab? Maka sudah tentu tiada masalah”Saya menjawab :
“ Berbilang mazhab di dalam Islam adalah untuk membawa kemudahan kepada Umat Islam. Tidak terdapat seorang pun di kalangan umat Islam yang baik fikirannya akan beranggapan bahawa wujudnya empat mazhab di dalam Islam membawa kesusahan kepada umat. Adakah isunya sama seperti tertubuhnya banyak persatuan? Saya yakin kedua-dua belah pihak persatuan akan merasakan bahawa hakikatnya bukan kemudahan yang berlaku, malah perbalahan dan pertentangan”Maka qiyas yang digunakan sudah tentu tidak sama natijahnya. Maka para ulama Usul Fiqh menamakan kaedah qiyas sebegini sebagai
qiyas ma’a al-Fariq ( iaitu melakukan perumpamaan dengan perkara yang berbeza permasalahannya dan natijahnya).
Saya melalui kehidupan berpersatuan, dan bukanlah saya tidak pernah bertemu dengan kepimpinan sebelah pihak yang lain. Kita pernah bertemu dan berbincang mengapa perlu banyakkan? Mengapa ada tohmahan dan fitnah sana sini yang berlaku?
Pokok takkan bergoncang kalau tidak ada angin atau orang yang menggoncangnya.. Jika sebelah pihak tidak memulakan serangan dan merealisasikan "perpaduan TEORI" yang dicanangkan maka kita tidak akan sesekali bangkitkan isu ini. Namun sepatutnya pihak-pihak terbabit perlulah meneliti semula , di mana silapnya pergerakkan kita sehingga berlakunya perpecahan sebegini?
JANGAN BERTEORI SEMATARamai yang suka berteori semata, namun tidak melihat kepada keadaan semasa serta hakikat yang berlaku di hadapan mata. Jika sudah nampak sekalipun, tetap dibutakan mata . Berteori dengan mengatakan bahawa berbilang-bilang sebenarnya membawa kebaikan.
Ya , kita tidak mengatakan bahawa berbilang-bilang itu keseluruhannya membawa keburukan. Namun kebanyakkannya ke arah keburukan. Jangan hanya melihat buruk itu pada maksiat semata. Luaskan skop pemikiran berkenaan “ BURUK”. Berpecah, berburuk sangka, merasakan kami yang terbaik, itu juga merupakan perkara yang BURUK.
Seseorang pernah mengeluarkan teorinya :
“ Apa masalahnya kita berbilang-bilang persatuan dan jemaah? Anggap sahaja kita seolah-olah menaiki dua kapal menuju ke pulau ISLAM yang satu. Kan tidak ada masalah?”Kita menjawab kembali:
“ Ya itu jika tidak berlaku permasalahan di pertengahan jalan. Namun apa yang berlaku, kapal yang satu lagi belum pun sempat sampai ke Pulau ISLAM yang menjadi hadaf bersama telah dibom dipertengahan jalan. Maka masing-masing berbalas tembakan meriam. Akhirnya , kedua-duanya karam. Maka mulalah kapal Lanun-Lanun Antarabangsa mendarat di pulau Islam dan meratah isinya. Mengapa? Kerana teori-teori sebeginilah”Umat Islam sekarang perlu hidup ke arah realiti. Jangan hanya suka berteori itu dan ini.
Jika di dalam Daulah Kecil semasa hidup bepersatuan kita sudah tidak mampu untuk melaksanakan perpaduan dan kesatuan. Maka tidak hairanlah nanti jika tertubuhnya Daulah Besar Kerajaan Islam akan tetap timbul permasalahan sebegini. Permasalahan tidak puas hati dengan Kepimpinan, Kepimpinan tidak mantap tarbiyahnya, Kepimpinan itu dan ini tetap akan timbul jika semasa berada di Daulah Kecil Persatuan tidak mampu dipraktikkan.
TIDAK BERSETUJU BUKAN BERMAKSUD MENAFIKAN KEWUJUDANSaya tidak menafikan bahawa berbilang-bilang itu wujud. Jika saya menafikan perkara tersebut maka bodohlah saya. Realitinya perkara tersebut telah berlaku. Cuma apa yang ingin saya persoalkan , mengapa perlu wujudnya berbilang-bilang?
Di sini bukan kita ingin timbulkan permasalahan gila kuasa dan sebagainya. Cuma ingin melaksanakan kaedah “ Pimpinan pertama yang perlu ditaati”. Maka jika sudah ada pimpinan pertama di sebuah kampung, mengapa perlu adanya sebuah lagi kumpulan yang datang dan ingin memimpin orang-orang kampung tersebut sedang kepimpinan pertama masih lagi mampu memimpin dan tidak membawa orang-orang kampung tersebut ke arah kerosakan dan maksiat?
SEJARAH MEMBUKTIKAN : PERPECAHAN MENGGEMBIRAKAN MUSUH, MELETIHKAN KAWANCharles Martil selaku pimpinan tentera Eropah semasa peperangan dengan umat Islam yang dipimpin oleh Abdul Rahman al-Ghafiqi rahimahullah mengatakan bahawa :
“ Kita tidak perku bertentangan dengan mereka secara berdepan. Ini kerana kesatuan niat mereka serta perpaduan yang mereka pegangi menyebabkan seorang lelaki di kalangan mereka sahaja sudah memadai daripada bilangan yang ramai untuk mengalahkan kita. Kesatuan hati mereka lebih hebat daripada perisai-perisai perang. Maka apa yang perlu kita lakukan sekarang adalah dengan mengalihkan pandangan mereka kepada perpecahan dan perebutan. Maka jika perkara sebegini berlaku , sudah tentu kita semua akan mudah menawan mereka”Maka disebarkan secara sedikit demi sedikit fahaman perpecahan di kalangan umat Islam ketika tersebut. Apa yang berlaku selepasnya? Akhirnya Saidina Abdul Rahman al-Ghafiqi terpaksa memimpin tentera yang sudah mula berlaku perpecahan dalam di antara mereka. Setelah tujuh hari bertempur, Saidina Abdul Rahman al-Ghafiqi syahid di dalam peperangan tersebut. Umat Islam berada di dalam kerugian yang teramat sangat. Hasil perpecahan halus yang disebarkan musuh, menyebabkan pimpinan mereka sendiri terkorban. Allahu Allah.
Inikah yang kita kehendaki berlaku semula kepada umat Islam?
Perpaduan adalah sebuah mimpi ngeri kepada golongan musuh. Maka disebabkan itulah mereka menyebarkan dan terus menyebarkan api perpecahan dan pergolakan.
Seorang Oreantalis Barat , Laurance Brown mengatakan :
“ Jika golongan muslimin bersatu di bawah satu daulah , maka ini akan menjadi laknat kepada alam dan akan menyebabkan bahaya besar berlaku . Namun jika mereka tetap berpecah dan bergolak , maka mereka akan berterusan di dalam keadaan lemah dan tiada memberi sebarang kesan kepada orang lain”Kebanyakkan Oreantalis telah nampak akan hakikat perpaduan kepada umat Islam dan kebaikan perpecahan ini berterusan kepada mereka. Namun Umat Islam tetap leka, dan tetap menganggap bahawa kamilah yang punya tarbiyah terbaik lantas memandang rendah kepada umat Islam lain. Maka sampai bilakah akan berlakunya perpaduan jika sebelah pihak sahaja memperjuangkannya sedangkan tidak disambut baik oleh sebahagian yang lain?
Semoga semua dapat memikirkan dengan baik setiap perkataan yang saya coretkan di sini. Baca dengan hati terbuka dan fikiran yang matang. Jangan hanya cepat memberikan komentar itu dan ini sebelum cuba memahaminya dengan teliti. Bimbang akan terbuka pekung di dada.
Ya Allah, ampunkan dosaku jika hambaMu berlebihan. Amin Ya Rabbal A’lamin.
Rujukan :
1. تحديات سياسة تواجه الحركة الإسلامية karangan Mustafa al-Tahhan cetakan Darul Tauzi’ Kaherah2. التمكين للأمة الإسلامية في ضوء القرآن الكريم oleh Dr Muhammad Sayyid Muhd Yusuf cetakan Darul Salam KaherahMohd Nazrul Abd Nasir,
Penuntut Masjid al-Azhar al-Syariff & Masjid al-Asyraff
Rumah Kedah Transit Hayyu 7,
Kaherah, Mesir