Rabu, 9 Jun 2010

Jawapan Terhadap Tulisan Syeikh Habiburrahman al-Kandahlawi Berkenaan Umur Saidatina Aisyah R.A Ketika Berkahwin

Beberapa orang sahabat meminta untuk saya menilai sebuah penulisan berkaitan dengan umur Saidatina Aisyah radhiyallahu anha ketika berkahwin dengan Baginda sallallahu alaihi wasallam. Saya bukanlah orang yang terbaik untuk memberikan komentar terhadap penulisan Syeikh Habiburrahman al-Siddiqie al-Kandahlawi rahimahullah. Namun sedikit pengetahuan yang Allah taala berikan akan saya gunakan bagi mempertahankan kredebiliti para ulama terdahulu yang telah diperlekehkan dengan secara halus oleh penulis ini.

Sepanjang pembacaan saya terhadap risalah kecil penulisan tersebut yang bertajuk “Umer-e-Aishah” (Umur ‘Aishah), yang asalnya ditulis dalam Bahasa Urdu kemudiannya diterjemahkan ke Bahasa Melayu dan Inggeris , memperlihatkan kepada niat asal penulis tersebut adalah baik iaitu ingin mempertahankan Baginda sallallahu alaihi wasallam daripada tohmahan golongan penjajah Inggeris serta Oreantalis ketika itu yang menghina Baginda sallallahu alaihi wasallam seolah-olah Baginda menyukai kanak-kanak kecil jika Baginda sallallahu alaihi wasallam berkahwin dengan Saidatina Aisyah ketika beliau berumur 6 tahun dan bersama dengan Baginda sallallahu alaihi wasallam ketika berumur 9 tahun. Namun kontranya ialah dengan sikap beliau seolah-olah mengatakan bahawa para ulama terdahulu semuanya tidak mahu mengkaji dengan baik tentang perkara tersebut.

Pertamanya saya ingin menyatakan bahawa golongan Oreantalis dan pembenci risalah Islam pasti akan sentiasa mencari-cari kelemahan Islam sedang hakikatnya Islam langsung tiada kelemahannya.Maka sudah pasti mereka akan sentiasa mencipta persoalan-persoalan sebegitu bagi memeningkan umat Islam yang kekurangan ilmu pengetahuan malah menyebabkan orang yang tidak mengenal Islam akan mengatakan bahawa Islam adalah agama yang tidak benar.

Sikap ingin mempertahankan Islam dan kesuciannya sangat dipuji namun adakah perlu bagi kita untuk mencela para ulama mengatakan bahawa mereka semua terpengaruh dengan sirah yang dicipta oleh golongan Syiah? Seolah-olah menjadi satu trend pada zaman sekarang, sesuatu yang bertentangan dengan fahaman mereka maka akan dituduh golongan ini sebagai pengikut al-Ahbash dan pengikut Syiah.

Seolah-olah juga bahawa al-Imam Ibn Hajar al-Asqallani , al-Imam al-Nawawi, al-Imam al-Zahabi, al-Imam Abu Nu’aim, al-Imam Ibn Saad, al-Imam Tabari dan lain-lain pakar di dalam bidang sejarah Islam tidak mengetahui sirah sebenar dan mereka terpengaruh dengan Syiah. Tiba-tiba datang seorang ulama daripada Pakistan mengaku bahawa semua ulama tersebut salah dan pendapat yang sebenar adalah yang dipegang olehnya setelah “kajian” terperinci yang dijalankan. Ulama-ulama terdahulu tidak mengkajikah tentang perkara ini? Benarlah kata para ulama seperti yang disebutkan oleh al-Imam Ibn Khaldun rahimahullah : “ Kamu buat perkara yang berbeza dengan orang lain, maka kamu akan terkenal”.

Malah saya rasa cukup lucu dengan umat mutaakhir ini. Seolah-olah sudah hilang kepercayaan kepada para ulama terdahulu, dan meletakkan sangka buruk kepada mereka.

Saya akan cuba menjawab mana-mana hujah yang saya rasakan perlu untuk menjawabnya. Tidak perlu kepada para ulama untuk menjawabnya, cukuplah saya sebagai khadam kepada para ulama menjawab persoalan-persoalan tersebut. Saya akan nukilkan semula penulisan daripada al-Syeikh Habiburrahman al-Siddiqie al-Kandahlawi di dalam bentuk hujah beliau, kemudian saya akan tulis pandangan dan komentar para ulama dan komentar saya sendiri berkenaan pendapat-pendapat beliau.

Semoga semua dapat menilai dengan baik setiap komentar yang saya berikan. Mana-mana kenyataan beliau yang tidak bersalahan dengan sejarah saya akan mempersetujuinya . Tidaklah semua yang dikatakan itu salah. Apa yang benar kita katakan benar, mana yang perlu diperbetulkan sama-sama kita muhasabah semula..

Berikut adalah hujah-hujah beliau dan komentar daripada saya:

HUJAH PERTAMA – BERTENTANGAN DENGAN FITRAH MANUSIA

Riwayat ini bertentangan dengan pengalaman dan fitrah manusia. Adalah mustahil ia dilakukan oleh Nabi s.a.w. dan ia sebenarnya tidak pernah berlaku. Jika peristiwa sedemikian pernah terjadi, maka musuh-musuh Islam dan juga musuh-musuh Nabi Muhammad s.a.w. pada waktu itu sudah tentu telah mengambil kesempatan untuk mempermainkan dan menghina baginda s.a.w. Dan, apabila tiada apa-apa serangan terhadap peribadi Rasulullah s.a.w. oleh musuh-musuh Islam pada masa itu , ianya membuktikan bahawa peristiwa tersebut tidak pernah berlaku. Sekiranya tidak, ianya adalah peluang keemasan kepada musuh Islam untuk menyerang Islam dan rasulnya.

Tidak syak lagi riwayat ini adalah tidak benar. Sumber utama riwayat ini ialah Hisham dan perawi-perawi yang menukilkan darinya; oleh itu keraguan berkisar hanya sekitar Hisham.

( Komen Saya : Mengapa perlu dibangkitkan masalah fitrah? Adakah ini boleh dikira sebagai hujah yang benar dan ikhlas? Mendakwa bahawa ianya bertentangan dengan fitrah tidaklah boleh diambil kira tanpa didatangkan dalil bahawa berkahwin dan bersama dengan kanak-kanak wanita ketika berumur 9 tahun adalah perkara yang mustahil dan bertentangan dengan fitrah.

Apakah masalahnya jika berumur 9 tahun tetapi bentuk tubuh seperti orang berumur 18 tahun? Adakah mustahil bagi Allah taala untuk menciptakan sedemikian? Saya lebih mendatangkan bentuk persoalan kerana tidak semua jawapan perlu didatangkan dengan bentuk jawapan pernyataan. Malah bentu soalan juga sebenarnya sudah mampu untuk menjawab perkara tersebut.

Berkenaan perkataan penulis : [Tidak syak lagi riwayat ini adalah tidak benar. Sumber utama riwayat ini ialah Hisham dan perawi-perawi yang menukilkan darinya; oleh itu keraguan berkisar hanya sekitar Hisham] saya akan jawab di dalam perbahasan berkenaan Saidina Hisyam bin Urwah rahimahumallah.)

HUJAH KEDUA – BERTENTANGAN DENGAN AKAL YANG WARAS

Suatu riwayat yang bertentangan dengan akal adalah palsu dan dongeng. Ibnu Jauzi, salah satu nama besar dalam lapangan pengkritikan hadis, ialah orang yang bertanggungjawab memperkenalkan prinsip ini. Riwayat oleh Hisham ini adalah bercanggah dengan akal dan akal yang waras tidak dapat menerimanya . Apa sudah jadi dengan kewarasan dan kebijaksanaan kita ? Amat aneh bila kita dapati tidak ramai cendiakawan yang samada menolak atau meragui riwayat ini.

(Komen Saya : Allahu Allah.. sekali lagi ingin saya bertanya, adakah bertentangan dengan akal yang waras perkara ini? Ini masalahnya jika istilah bercampur aduk. Terdapat dua istilah yang patut dibezakan, istilah bertentangan dengan akal serta bertentangan dengan adat.

Maksud bertentang dengan akal adalah : Sesuatu yang tidak boleh tidak mesti berlaku tanpa pengecualian malah mustahil jika bercanggah dengannya. Contohnya seperti anak lahir terlebih dahulu daripada ayah, maka ini barulah dipanggil bertentangan dengan akal kerana tidak mungkin anak lahir terlebih dahulu daripada ayahnya.

Manakala maksud bertentangan dengan adat adalah : Sesuatu yang mungkin boleh berlaku pengecualian daripada kebiasaannya . Contohnya adalah seperti api yang pada kebiasaannya adalah panas dan membakar, namun pada peristiwa dibakar Nabi Allah Ibrahim alaihi al-salam, api yang pada kebiasaannya membakar tiba-tiba tidak membakar, maka kerana itulah ianya dipanggil bertentangan dengan adat.

Penulis mengatakan bahawa perkara ini bertentangan dengan akal, saya sekali lagi ingin bertanya, adakah perkara sebegini mustahil akal? Malah jika kita ingin mengatakan bahawa ianya bertentangan dengan adat sekalipun tetap boleh dipertikaikan. Adakah terdapat kajian bahawa pada zaman Baginda sallallahu alaihi wasallam , semua para sahabat dan penduduk ketika tersebut tidak pernah berkahwin dengan wanita berumur 9 tahun, tiba-tiba Baginda sallallahu alaihi wasallam mencarik adat tersebut? Adakah terdapat kajian tersebut? Jika ada barulah kita boleh mengatakan bahawa ianya mencarik adat, namun jika tidak ada maka jauh sekali kita akan mengatakan bahawa ianya mencarik adat. Jika mencarik adat sudah tidak dapat kita terima , apatah lagi ingin mengatakan bahawa ianya bertentangan dengan akal?

Seperkara lagi, jika penulis menggunakan nama al-Imam Ibn Jauzi sebagai ulama yang memperkenalkan kaedah tersebut, saya juga ingin menggunakan nama al-Imam Ibn Jauzi rahimahullah (508 – 597 H). Al-Imam Ibn Jauzi rahimahullah sendiri di dalam kitabnya yang bertajuk Sifatul Safwah pada juzuk pertama mukasurat 259 menyatakan bahawa Saidatina Aisyah radhiyallahu anha berkahwin dengan Baginda sallallahu alaihi wasallam ketika berumur 6 tahun dan bersama dengan Baginda sallallahu alaihi wasallam pada ketika berumur 9 tahun.

Adalah mustahil jika seorang yang dikatakan sangat keras di dalam melakukan pengkritikan hadis tiba-tiba tidak mengkritik mengatakan bahawa riwayat yang mengatakan bahawa umur Saidatina Aisyah ketika berkahwin dengan Baginda sallallahu alaihi wasallam adalah hadis yang maudhu’ dan merupakan rekaan golongan Syiah? Siapa yang aneh dan pelik sekarang? Ulama terdahulu atau orang yang mengatakan bahawa ulama terdahulu aneh? Mengapa mengambil satu pendapat dan melemparkan pendapat lain ke tepi tanpa membuat penilaian yang baik? )

HUJAH KETIGA – TIADA CONTOH DITEMUI DI NEGERI ARAB ATAU DI NEGERI-NEGERI PANAS

Sehingga hari ini tidak ditemui kes seperti ini di Semenanjung Arab dan negara-negara beriklim panas yang lain. Jika sekiranya ia menjadi amalan masyarakat ini nescaya kita akan dapati wujud beribu-ribu contoh seumpamanya dalam catatan sejarah..

Sebaliknya, sekiranya peristiwa begini berlaku pada hari ini, ianya akan menjadi berita sensasi, contohnya, seorang lelaki gila merogol seorang kanak-kanak perempuan berumur sembilan tahun dan orang yang melakukan perbuatan sedemikian digelar sebagai orang gila.

Ulama kita dan para pencinta Nabi s.a.w. tidak menunjukkan keberanian untuk menyangkal riwayat ini dan yang sedihnya sebahagian daripada mereka tidak dapat menjadi contoh kepada ummah bila mereka sendiri mengahwinkan anak dara sunti mereka yang berumur sembilan tahun, atas nama sunnah dan berbangga kerana menghidupkan sunnah !! Kami adalah ‘orang bodoh’ dan berdosa. Ulama sepatutnya menunjukkan contoh yang praktikal supaya kami dapat mengikuti contoh tersebut.

Mungkin anda tidak akan percaya bahawa ulama kita pada suatu ketika dahulu telah menolak penemuan saintifik yang bertentangan dengan pendapat mereka, malah sebaliknya tidak mengiktiraf hasil kajian saintifik tersebut . Contoh klasik ialah, ramai daripada mereka yang berpendapat matahari mengelilingi bumi, tetapi apabila kajian saintifik mengatakan sebaliknya mereka berkeras dengan pendapat mereka. Dalam bahasa yang mudah mereka berkata, ‘ Saya tidak akan menerimanya dalam apa pun keadaan’.

Beginilah sikap mereka dalam hal ini , iaitu , tentang umur Aishah r.a. semasa berkahwin dengan Rasulullah s.a.w.

Dengan hanya berkata “kami tidak menerima fakta sejarah”, tidak memberi apa-apa makna kepada ummah.

Berkenaan ‘sejarah’, di satu pihak mereka mendakwa bahawa mereka tidak menerima ‘sejarah’, tetapi pada masa yang sama mereka melaung-laungkan cerita “Yazid yang jahat’ dari mimbar-mimbar khutbah ( walaupun ianya cerita sejarah yang direka). Bahkan cerita berkenaan Karbala telah diulas oleh ulama kita lebih hebat daripada ahli sejarah.

Kami akan menyentuh tentang aspek sejarah di bahagian kedua kertas ini. Buat masa ini kami akan membentangkan hujah berdasarkan hadis, usul hadis, biografi perawi ( ilmu rijal) dan illal hadis kerana ulama kita mengiktiraf ilmu-ilmu ini. Adalah tujuan kami untuk menarik perhatian mereka dalam aspek ini.

( Komen Saya : Setiap zaman pasti berlaku perubahan, perkara yang tidak pelik pada zaman dahulu kemungkinan akan menjadi pelik pada zaman sekarang begitulah sebaliknya. Contohnya pada zaman dahulu tidak menjadi sesuatu yang pelik jika seseorang itu keluar daripada rumahnya menuju ke pekan dengan bersenjatakan pedang dan senjata yang lain. Manakala pada zaman sekarang, sudah tentu akan menjadi kekecohan jika seseorang keluar bersama keluarga membeli belah di pasaraya bersenjatakan pedang dan parang panjang. Begitulah juga sebaliknya, pada zaman dahulu sudah tentu akan menjadi satu keajaiban kepada mereka jika seseorang tersebut dapat terbang di angkasa. Namun pada zaman sekarang perkara tersebut sudah tidak lagi menjadi sesuatu yang pelik dan ajaib.

Maka hujah pelik dan tiada contoh pada zaman sekarang tidak boleh dikatakan sebagai hujah.Ini adalah dakwaan semata-mata.

Berkenaan dengan cerita “Yazid yang jahat” yang dikatakan oleh penulis bahawa ianya cerita yang direka-reka. Saya ingin mengemukakan satu pendapat yang dikeluarkan oleh al-Imam al-Muhaddis al-Allamah Syaikhul Akbar Jamaluddin Abu Muhammad Abdullah bin Muhammad bin A’mir al-Syibrawi rahimahullah ( 1091-1171H) . Beliau merupakan Syaikhul Azhar ketika itu . Beliau menyebutkan di dalam kitabnya al-Ithaf Bi Hubbil al-Asyraf pada mukasurat 71 berkenaan hukum melaknat Yazid bin Mua’wiyah.

Para ulama berbeza pendapat di dalam masalah tersebut. Ada sebahagian mengatakan bahawa Yazid adalah kafir, sebahagian mengatakan tidak kafir dan sebahagian lagi mengatakan berpegang dengan pendapat tidak mengeluarkan apa-apa pendapat berkenaan dengan Yazid dan menyerahkan urusan tersebut kepada Allah taala.Ini juga disebutkan di dalam kitab al-Musamarah Fi al-Syarhi al-Musayarah oleh al-Allamah Kamaluddin Ibn Abi Syaraf rahimahullah ( wafat 905 H) dan di dalam kitab Jawahir al-Aqdain oleh al-Allamah al-Muarrikh Sayyid Samhudi rahimahullah (wafat 911 H) .

Malah al-Imam Ibn Jauzi pernah berkata : Seseorang pernah bertanya kepada aku berkenaan Yazid bin Mua’wiyah . Aku menjawab : Cukuplah seperti apa yang diperlakukan olehnya. Lelaki tersebut bertanya lagi : Adakah dibenarkan untuk seseorang melaknatnya? Aku menjawab: Sebahagian ulama yang sangat warak seperti al-Imam Ahmad bin Hanbal mengharuskannya malah Saidina al-Imam Ahmad bilamana berbicara tentang Yazid maka beliau akan mengatakan sesuatu yang lebih daripada laknat.

Al-Imam Ibn Jauzi mengatakan bahawa al-Imam al-Qadhi Abu Ya’la rahimahullah telah menulis sebuah kitab yang menyebutkan nama-nama seseorang yang patut dilaknat , dan beliau memasukkan nama Yazid di dalam senarai tersebut. Malah beliau meletakkan sebuah hadis Baginda sallallahu alaihi wasallam yang diriwayatkan oleh al-Imam Ahmad ( 4/65) dan al-Imam Thabrani di dalam Mu’jam al-Kabir ( 7/144) :



Al-Imam Abu Ya’la mengatakan, tidak dapat dinafikan lagi bahawa ketika Yazid memasuki kota Madinah memimpin tentera Muslim bin Uqbah , dia telah menakutkan penduduk Madinah.

Al-Allamah Sayyid Samhudi rahimahullah telah menyebutkan di dalam kitabnya Jawahir al-Naqdain bahawa berita yang disampaikan oleh al-Qadhi Abu Ya’la itu adalah benar dan perkara tersebut terlalu popular.

Persoalan saya adalah : Dimanakah palsunya cerita ini? Siapakah yang mengatakan bahawa ianya palsu? Saya pelik dengan golongan ini, terlalu membenci sesuatu puak sehingga sanggup melakukan fitnah kepada umat seluruhnya.. Seolah-olah kita semua sekarang sedang terpengaruh dengan Syiah..

Kami mengatakan bahawa sesungguhnya kami juga tidak bersetuju dengan golongan Syiah. Namun janganlah menuduh umat Islam lain juga terpengaruh dengan Syiah. )

******


Saya akan sambung semula perbahasan ini setelah peperiksaan saya tamat beberapa hari lagi. Terus terang saya katakan, saya bukanlah ingin mendabik dada membantah pernyataan Syeikh Habiburrahman al-Siddiqie al-Kandahlawi, namun setelah saya amati hujah yang dikeluarkannya ternyata bercanggah dengan hujah ilmiyah yang dikeluarkan oleh para ulama ummah. Malah ternyata tiga hujah pertamanya sudah membuktikan bahawa penulisnya punya maksud tertentu dan meletakkan sangka buruk kepada ulama ummah seluruhnya. Malah tiga hujah pertama ini juga mampu membuktikan bahawa ianya bukanlah ilmu yang benar malah tidak salah saya katakan bahawa ianya nafsu dan prasangka semata-mata.

Semoga Allah taala memberikan petunjuk kepada kita untuk membawa kebenaran dengan sebenar-benarnya.

p/s : Nantikan jawapan saya seterusnya..

Rujukan :

1. صفة الصفوة karangan al-Imam Ibn Jauzi ditahqiq oleh Thariq Muhammad Abdul Mun’im , jilid pertama cetakan Darul Ibn Khaldun

2. الإتحاف بحب الأشراف karangan al-Imam al-Akbar al-Allamah Jamaluddin Abu Muhammad Abdullah bin Muhammad bin A’mir al-Syibrawi rahimahullah cetakan Darul Minhaj

Mohd Nazrul Abd Nasir,
Penuntut Masjid al-Azhar al-Syarif & Masjid al-Asyraff,
Rumah Kedah Transit Hayyu 7 ,
Kaherah, Mesir

23 ulasan:

  1. Salaam..
    Baarakallahu fiikum atas usaha gigih ini.

    BalasPadam
  2. syukran ya sayyidi..

    saya tidak berniat untuk bercanggah fikiran..cuma hasrat ingin mempertahankan para ulama ummah..

    BalasPadam
  3. alhamdulillah..
    moga Allah redha kepada usaha gigih ini.
    harapnya ustaz masih terus tsabat walaupun bakal bergelar suami nanti.. :)

    BalasPadam
  4. syukran naim .. :) hehe.. ke situ pulak nta ye.. :) ana nak tunggu nta plak lepas nie..

    BalasPadam
  5. apa pulak?
    ana lambat lagi lah..
    ana pesan pasal risau ustaz nazrul berubah nanti, mana pulak nak cari senior yang rajin dan banyak ilmu macam ustaz..

    BalasPadam
  6. :) hehe.. insyaAllah akan tetap thabat di atas jalan ilmu ini.. doakan ye..

    BalasPadam
  7. insyaAllah..
    moga Allah pilih kita untuk terus tsabat di atas jalan yang Dia redha..
    amiinnn..

    BalasPadam
  8. sy dah lama baca karangan habiburrahman ni dan sy bukan lah orang yang layak langsung untuk memberi komen dari segi ilmiah. tapi saya boleh nampak kerendahan hati dan diri dia dalam pembentangan 'kajian' beliau.

    saya tidak tahu kenapa dalam perkataan kajian saudara perlu meletakkan apostrophy,adakah ingin menyindir yang ini tidak layak sebenarnya untuk dipanggil kajian?

    Benarlah kata para ulama seperti yang disebutkan oleh al-Imam Ibn Khaldun rahimahullah : “ Kamu buat perkara yang berbeza dengan orang lain, maka kamu akan terkenal”.

    point saudara untuk ayat ini menunjukkan seolah2 habiburrahman sengaja membuat 'kajian' ini hanya semata2 untuk populariti padahal siapa hakikatnya kita untuk menghukum niat orang sedangkan nabi kata kita kaum yang menghukum dengan zahir

    yang saya tahu tidak sempat kajian ini dibahaskan lagi pun, beliau telahpun meninggal dunia.mungkin populariti yang dibawa oleh pengikut nya selepas beliau meninggal maksud saudara?

    ok, peace. sy tak sabar nak tunggu sambungan entri saudara. semoga sama-sama boleh dapat manfaat. saya pun manusia yang jahil. sebab itu tak layak merendahkan sesiapa. semoga tuhan memberi hidayah kepada kita semua. semoga Allah memberkati usaha

    BalasPadam
  9. Mungkin juga ustaz Nazrul boleh rujuk tulisan bekas mufti Iraq, Syeikhuna Dr. Abdul Malik As-Sa'di hafizahullah di website beliau. Insya Allah membantu. Saya pernah membacanya. Beliau juga membantah dakwaan bahawa Baginda berkahwin dgn Sayyidah Aisyah ketika umurnya 18 tahun. Cuma dakwaan ini datang dari individu yg berbeza, bukan Syeikh Habiburrahman rahimahullah. Dakwaan ini datang dari seorang wartawan dan 'pengkaji Islam'yg digelar Islam Buhairi (سلام بحيري) melalui tulisannya dlm akhbar, Jaridah al-Yaum as-Sabi' pada tahun 2008 dan kajiannya ini dipuji melampau oleh Jamal Banna (pantang ada ruang utk pertikai ulama, dasar otak liberal, mudah2an bertaubat)

    Jamal Banna beritahu kononnya pemuda ini (Islam Buhairi) telah memperbetulkan kesalahan ulama2 besar 1000 tahun yg lalu. Dia beritahu lagi kononnya ulama terlepas pandang isu ini. Kononnya pemuda ini x masuk Al-Azhar, x berserban, x digelar ulama tapi mampu mengkritik sanad Bukhari Muslim.

    Syeikh Dr Abdul Malik as-Sa'di beritahu tujuan sebenar wartawan ini ialah utk pertikai Sahih Bukhari, kitab paling sahih selepas Al-Quran. Tapi dia guna helah kononnya utk mempertahankan Baginda. Baca hujah-hujah Syeikh di sini http://www.alomah-alwasat.com/fatwaMore.php?id=385

    BalasPadam
  10. Muhammad Husni Ginting9 Jun 2010 8:35 PTG

    Assalamu Alaikum

    Terima kasih Ust telah memulai menolak pernyataan Syeikh Habiburrahman, sebab sebelumnya saya juga ingin menulis secara lengkap hadits-hadis yg menerangkan bahwa Sayyidah Aisyah memang kawin di waktu umur 9 tahun, ini banyak sekali di sebutkan didalam riwayat Sohih Bukhari, tetapi karena kesibukan saya, sehingga tidak berpeluang untuk menulisnya secara cepat, kemungkinan besar tujuan mereka adalah untuk melarang perempuan kawin pada waktu kecil, padahal kawin seperti ini di perbolehkan oleh seluruh mazhab, jadi mereka mengatas namakan periwayat adalah Syi`ah dan sebagainya, barui2 ini telah datang undang2 di Saudi tentang larangan kawin dengan anak berumur kurang lebih 9 tahun dan anak kecil, bagi kia wajib merujuk kembali sohih bukhari yg memang menytakn Sayyidah `Aisyah 9 thn ketika kwn dengan nabi, ini tidak menghilangkan kebesaran Nabi dan juga tidak menjatuhkan martabat Sayyidah Aisyah.

    Muhammad Husni Ginting

    BalasPadam
  11. Bukan seorang saja ulama di dunia ini.
    Harap-harap saudara pun boleh hormat Tok Guru Nik Aziz.

    BalasPadam
  12. Assalamualaikum Ustaz,

    Wanita datang haid pun boleh seawal 9 tahun dan mungkin lebih awal dari itu. Apa nak pelik jika berkahwin seawal umur ini?

    Lihat sahaja wanita arab di Mesir. Yang bersekolah rendah sahaja macam pelajar sekolah menengah di Malaysia.

    Nak bandingkan 9 tahun arab dan melayu jauh la. Berapa ramai orang melayu yang hafiz diusia muda? Arab toksah kira, bahkan ada yang boleh berkhutbah hingga menangis berkenaan riwayat hidup Saidatina Fatimah R.A.

    Kadang-kadang bila asyik ikut logik akal sahaja tanpa melihat kepada yang lebih berkuasa inilah jadinya. Lupa agaknya umur Siti Hajar melahirkan Ismail... Berapa tahun ketika itu? Lupakah mereka tentang Saidatina Mariam ibu Nabi Isa yang melahirkan Nabi Isa tanpa ayah?

    Terima kasih ustaz nazrul sebab rajin nak jawab isu ni. Kalau ana malas nak jawab. Hehe

    BalasPadam
  13. Saya ada soalan ustaz nazrul.
    Kalau dalam hal camni kita tak boleh pakai logik akal, ini mengikut apa yang ustaz tulis dan apa yang saya faham dari penulisan ustaz ini. Tapi bagaimana pula dengan akidah? sifat-sifat Allah? Kita boleh ke pakai logik akal? macam sifat 20, manhaj asya'irah, setahu saya banyak pakai logik akal, sampai sifat ar-rahman & ar-rahim pun nak ditakwil supaya kena dengan akal.
    Jadi soalan saya, mengikut islam pegangan atau islam versi ustaz, bila kita boleh pakai logik akal dan bila kita tak boleh pakai? Bila kita perlu pakai logik akal dan bila kita tak perlu? Saya kadang-kadang pening jugak dengan islam versi ustaz ni. Maaf andai terkasar bahasa.

    BalasPadam
  14. Assalamualaikum..

    affan

    bukan xleh pakai lojik akal tetapi biarlah lojik akal berdasarkan kaedah aqliyyah yg betul..

    masalah yg berlaku..kononnya menggunakan lojik akal tetap lojik akal itu masih bercanggah dengan kaedah akal..

    Syeikh Nazrul,
    Alhamdulillah dan mabruk di atas jawapan syeikhna..

    BalasPadam
  15. Tuan affan,

    saudara belajar sains guna logik akal tak ? Saudara belajar matematik guna logik akal tak ? Saudara berfikir guna akal tak ? Membezakan mana yang bersih dan kotor gunakan akal tak ?

    Benar berfikir ada batasan. Para ulamak sudah menunjukkan method-method cara berfikir yang benar. Kalau rajin bolehlah rujuk kitab-kitab Imam al Ghazali dan banyak lagi karangan ulamak lain. Allah tidak melarang kita menggunakan akal bukankah banyak dalam al Quran menyuruh kita berfikir yang menunjukkan kepentingan akal.

    Tetapi jangan jadi seperti muktazilah (anda perlu ingat bagaimana Imam Abu hasan al Asy'ari sendiri keluar dari muktazilah dan kemudian menggunakan al Quran dan Sunnah serta AKAL untuk membetulkan fahaman muktazilah) dan pecahan-pecahannya seperti Jabariah, Qadariyah, ANTI HADITH, Islam liberal, Islam pluralism, etc.

    Sekiranya anda belajar dalam bab taklifan. Antara ciri-ciri mukallaf ialah BERAQAL.

    Dan sememangnya benar. Di Negara Malaysia pun ada perempuan yang baharu berumur 9 tahun sudah baligh. Di negara Eropah, tentu anda dapat bandingkan bagaimana cepatnya pertumbuhan perempuan di sana berbanding di malaysia, begitu juga di negara Arab.

    Allah sahaja Yang Maha Tahu

    Pemikir Islam

    BalasPadam
  16. saudara affan... apa niat enta tulis 'islam versi ustaz'? klu nk tnya soklan,tnya elok2..tp knp dicelah2 itu enta menyindir org? bab hukum aqal ni ulamak dh bahas dulu lgi.ulamak hebat2 x pertikai kaedah ni.. kita yg bru nk knl dunia dh pndai nk pertikai? bkan xleh nk pertikai ssuatu perkara. tp dlm masalah ini ulamak dh bahas lama dh. bkn bnda bru... apa niat enta sbenarnya ni??

    BalasPadam
  17. Nak tanya saudara amin, kaedah akal yang saudara cakap tu macam mana? Saya rasa tak wujud kaedah-kaedah akal ini terutamanya dalam bab akidah. Jika seseorang ingin berfikir, biarkan dia berfikir, jangan arahkan dia untuk berfikir mengikut kaedah itu dan ini, itu bukan berfikir, itu taklid.

    Anonymous dan saudara hakimi tidak menjawab soalan saya, saudara amin pun sama. Semoga adalah ustaz-ustaz ahlisunnahwaljamaah yang sudi jawab soalan saya. Macam manala saya nak menjawab soalan budak-budak wahabi ni.

    Hakimi, kalau awak nak persoal niat saya, elok awak semak diri awak dululah.

    BalasPadam
  18. Saudaraku Affan

    Manusia diberi akal utk berfikir, ini membezakan manusia dgn binatang.
    Berfikir ini fitrah manusia. Berfikir ada kaedah-kaedahnya. Kaedah berfikir bukan sahaja telah diperkenalkan oleh ahli falsafah Yunani, semenjak sebelum masihi lagi tetapi juga banyak digunakan pakar-pakar motivasi sekarang dalam menerangkan kaedah berfikir. Jadi kaedah berfikir itu ada, jangan merasa-rasakannya tiada tanpa membaca.
    Islam tidak menerima kaedah berfikir secara bulat-bulat dari ahli Falsafah, tetapi telah menyaring supaya kena dengan Al-Quran dan As-Sunnah, menolak unsur atheis. Islam bukan menerima fahaman Yunani tetapi menerima kaedah berfikir secara fitrah yang telah diperkenalkan oleh ahli Falsafah, samalah macam Islam menerima kaedah pengiraan matematik dan sebagainya dari Ahli Falsafah, perkara ini fitrah dan telah ada, cuma mereka dulu yang memperkenalkannya.
    Dalam isu ini (perkahwinan Aishah) kita kena guna logik kerana ia perkara yang boleh difikir dan bukan suatu perintah dan larangan dari Allah yang menuntut kita menerima tanpa berfikir (dengan tidak menafikan berfikir tentang hikmah itu boleh). Ia juga bukan perkara yang berkaitan dengan Zat Allah yang tidak boleh difikir. Jadi selagi mana akal diberi ruang maka dibolehkan.
    Dalam permasalahan akidah bukan semua boleh menggunakan logik akal saudara.
    Ulama Islam menggunakan logik akal supaya manusia tidak menggunakan logik akal yang salah.
    Ulama mentakwilkan supaya orang awam tidak berfikir tentang zat Allah dengan fahaman yang salah, lalu mengatakan Allah menyerupai manusia.
    Orang awam tidak faham "Allah ada tangan tetapi bukan seperti tangan manusia" kerana tangan itu adalah tangan dari segi bahasa, adat dan istilah fekah.
    Untuk menjauhkan orang awam dari menyamakan Allah dengan manusia maka ulama menggunakan makna majazi bagi tangan iaitu kuasa, ia tetap makna bagi tangan. Tetapi tetap mengatakan ayat ini mutasyabihat dan makna sebenar adalah di sisi Allah. Takwil digunakan untuk menyelamatkan manusia dari berfikir pada zat Allah. Wallahua'lam.

    BalasPadam
  19. orang awam lagi tidak faham kalau nak belajar sifat iradat saje dah pening. iradat lawannya tiada berkehendak, tidak mungkin Allah tidak berkehendak, Allah telah menjadikan syurga dan neraka sebagai bukti Allah berkehendakkan hambanya berbuat baik di dunia, tetapi Allah tidak berkehendak seperti manusia, Allah tidak ada nafsu, eh Allah ade, eh, ntahla, last2 ustaz yg ajar tu pun pening.

    Nak ajar sifat Allah bertangan.
    Kalau salaf senang. Ya, Allah memang ada tangan, mengikut quran memang ada, tapi tatau mcm mane dan tak sama dgn makhluk, Allah tak bgtau detail, so kami tak mandai2 or buat2 pandai la tafsir tangan dalam quran tu camane.

    Geng asy'iroh, eh, ade plak Allah ade tangan, mane boleh cakap macam tu, tak mungkin Allah ada tangan, tangan tu maybe Allah maksudkan kuasa...

    Allah kat mana?
    Salaf senang je jawab, Allah kat langit, sebab ada hadis sahih yang cakap macam tu, quran pun cakap macam tu. Langit mana? tak tahulah langit mana, Allah tak bagitau detail plak, so kami tak buat-buat pandai la reka cerita Allah duduk langit mana.

    Yang geng asy'iroh - isk, tak mungkin Allah duduk kt langit, cakap Allah duduk tu saje dah salah, tak masuk dek akal, tak logik. Allah takkan duduk, kalau Allah duduk, samelah Allah dgn makhluk, tak boleh samekan Allah dgn makhluk. Kalau Allah duduk kt langit, maksudnya ALlah memerlukan tempat, sedangkan Allah yg cipta tempat tu, tak mungkin Allah duduk kt langit, so mungkin surah toha tu ade maksud lain, Allah yg mentadbir alam ini ke, tapi bukan maksudnye Allah duduk kt langitla, tu tak masuk akal, islam ni logik, fitrah.
    Jadi Allah ada kat mana2.

    Makmum pun tanya imam tu, "Ustaz cakap Allah kat mane2 tempat eh?" "Ya!" Makmum tanya lagi, "Camane dgn tandas ustaz, tandas ni tempat kotor, tempat buang air, ustaz kate tempat syaitan plak tu, adekah Allah ade kt tandas jgk?" Ustaz tu jawab, "Jangan banyak tanya, kita ada kaedah akal, ada cara2 utk berfikir, pak cik ni tak ikut kaedah akal islam, susah nak jumpa hidayah pak cik, taubatlah pak cik sebelum terlambat."


    Kaedah akal camananya tu?
    Dah terang lagi jelas manhaj salaf jaauuuuh lebih selamat dan mudah dalam bab akidah daripada manhaj lain2 yg pening.
    Itu pun ulama salaf tak kate pape pon kalau tidak melampau.

    Tapi inilah perangai pencacai islam, fitnah ibnu taimiyyah dan tauhid tiga sahajelah kerja mereka. Dahla, tak laku dah mahasiswa azhar spesis camni, dengan manusia tak laku, dengan Allah pun tak laku.

    BalasPadam
  20. Kalau betul ikut salaf. Allah itu bukan kat langit. dan hadith mengenai aina Allah oleh Jariah dah disebut melalui banyak jalan periwayatan dan matan.

    Ikut Salaf ke atau ikut mujassimah tuh ?

    Kalau anda berbual dengan orang Hindu dan kata Allah bertangan. Tentu Hindu pun turut SETUJU.

    Anda ke pencacai sebenarnya ? yang cari permusuhan dengan sesama Umat Islam ?.

    Rasanya perbahasan anda itu perlu dijawab diartikel yang membahaskan perkara berkenaan. Dan bukan artikel ini.

    BalasPadam
  21. Buat sahabat2 yg dikasihi..jgn salah faham kerana org yg tidak faham...hamba yg lemah nak betulkan cikit..mudah2an diberkati dan di redhai oleh ALLAH..

    ALLAH TIDAK BERTEMPAT bukan ALLAH ADA KAT MANA2..

    harap sahabat2 jelas...
    syukran...

    BalasPadam
  22. Kita bayangkan dunia ini dan alam keseluruhannya. Cakerawala semuanya. Hauz keseluruhannya. Sampailah seluruh makhluk yang Allah jadi. Dan semua yang selain Allah. Dan jika Allah tiada di mana-mana tempat pada makhluknya, di manakah Allah itu wujud?

    BalasPadam
  23. ini bukan satu jawapan yang mantap.. better buat research lebih lama lagi sebelum 'menjawab'... kalau setakat macam ni baik sabar dulu sebelum post..

    BalasPadam

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...