Khamis, 2 Julai 2009

Mengapa Suka Buruk Sangka Dengan Para Ulama?

Alhamdulillah diberi kesempatan waktu oleh Allah taala sekali lagi.Sebenarnya saya tidaklah ingin menjawab segala persoalan dan kebobrokan yang dibawa oleh golongan wahabi salafi ini. Bukanlah kerana kita tidak punya jawapan, kerana para ulama terdahulu juga sering ditanya sedemikian. Maksudnya jawapan yang ringkas kita boleh berikan ialah, mereka malas dan tidak mahu mempelajarinya dengan para ulama. Tidak mahu mengambil faham dengan para ulama ahlussunnah yang sebenar. Tidak mahu mengambil faham dengan fahaman para ulama al-Azhar yang sangat sederhana dan terbaik. Tetap juga berkeras dengan pendapat-pendapat ulangan yang sering dibawa oleh guru-guru wahabi salafi mereka yang mereka sanjung dan agungkan. Benarlah kata-kata hukama’:

ترك الجواب للجاهل جواب

Maksudnya: Tidak memberikan jawapan kepada golongan jahil adalah merupakan jawapan yang sebenar.

Terdapat dua jenis jahil yang dibahaskan oleh para ulama usul fiqh. Pertama disebut Jahil Basit.Kedua disebut Jahil Murakkab.

Kedua-duanya punya perbezaan yang sangat jelas. Jahil Basit adalah merupakan satu penyakit yang boleh lagi diubati.Maksud jahil basit ialah seseorang tersebut mengetahui bahawa dirinya tidak mengetahui sesuatu perkara. Contohnya bila kita tanyakan kepada golongan sebegini : “ Berapakah bilangan rakaat bagi solat Zohor?” Maka mereka akan menjawab : “ Kami tidak tahu”. Maka jawapan tidak tahu tersebut jelas menunjukkan bahawa mereka menyedari kelemahan yang ada pada diri mereka.

Manakala Jahil Murakkab pula ialah seseorang tersebut tidak mengetahui bahawa dirinya tidak mengetahui. Ini merupakan penyakit yang agak sukar diubati. Mengapa? Kerana si pesakit tidak pernah menyedari bahawa dirinya berpenyakit. Malah meyalahkan para doktor yang ingin mengubatinya sebagai orang yang berpenyakit serta menuduh para doktor tersebut pula sebagai orang yang berpenyakit.

Perkara yang terbaik bagi seorang mukmin ialah meninggalkan suatu perkara yang tiada kaitan dengan dirinya. Maksud tiada kaitan ini ialah meninggalkan sesuatu perkara yang bukan peringkat kita untuk membahaskannya. Makin kita membangkang makin jelas kejahilan yang kita pamerkan. Makin banyak para ulama yang kita salahkan. Penyakit buruk sangka dengan para ulama terdahulu dan sekarang yang berfahaman ahlussunnah al-Asya’irah dan al-Maturidiyah menular dengan begitu pantas di dalam benak pemikiran masyarakat sekarang.

Perkataan “ Ulama bukan maksum, mereka juga terkadang salah memahami al-Quran dan al-sunnah” selalu dilaungkan oleh mereka. Kita tidak mengatakan bahawa ulama maksum. Kita bersetuju dengan pendapat ini. Namun perkataan “ terkadang ulama juga tersalah memahami al-Quran dan al-Hadis” adalah suatu pernyataan yang terlalu melampau. Saya ingin bertanya, adakah kamu wahai pendokong gagasan wahabi salafi memahami maksud sebenar al-Quran dan al-Sunnah yang sebenar? Manhaj ilmu mana yang kamu pelajari sehingga boleh menyebabkan kamu bersangka sedemikian?

Maka tidak salah jika saya katakan hujah mereka sama sahaja sejak dahulu lagi. Diwarisi kepada generasi mendatang yang sama sikapnya dengan pemuka terdahulu. Saya juga membaca kitab-kitab wahabi dan dengar ceramah mereka. Jangan kamu katakan yang saya hanya mempelajari kitab para ulama al-Azhar sahaja tanpa melihat kepada kitab golongan wahabi salafi.

Saya tidak menyalahkan semua apa yang wahabi sebutkan. Jika benar , ya saya akan katakan ianya benar. Contohnya di dalam kitab wahabi ada menyebutkan bahawa “ Allah itu Satu, Nabi Muhammad itu pesuruh Allah” maka adakah patut bagi saya mengingkarinya?

Namun setiap kali saya membaca kitab-kitab karangan mereka perkara yang sering temukan ialah dengan meletakkan buruk sangka kepada mukmin yang lain. Menuduh golongan mukmin melakukan kesesatan, syirik, terlalu mengagungkan Baginda sallallahu alaihi wasallam seolah-olah golongan Nasrani dan pelbagai tohmahan tidak berasas. Kefahaman mereka cuma satu iaitu bid’ah dan haram. Tiada yang selain darinya.

JAWAPAN SAYA TERHADAP APA YANG DIKATAKAN OLEH GOLONGAN WAHABI

Tohmahan Mereka

Perlakuan2 sahabat sbgmana yg dihujahkan oleh saudara……perlu lebih diteliti dgn mendalam. Hadis ttg yg halal yg haram dah jelas, ni bab mkn minum dan sebagainya….bab ibadah dah ada hadis len yg menerangkan. Stiap bid’ah dlm agama tu haram, amalan tu tertolak Mengenai hadith berikut : Sabda Baginda sallallahu alaihi wasallam:

ما أحل الله فهو حلال و ما حرم فهو حرام و ما سكت عنه فهو عفو , فاقبلوا من الله عافيته , فإن الله لم يكن لينسي شيئاً

Maksudnya: Apa sahaja perkara yang dihalalkan Allah taala maka ianya menjadi halal, dan apa sahaja perkara yang diharamkan oleh Allah taala maka ianya menjadi haram,dan apa sahaja yang didiamkan (tidak diterangkan hukumnya samada halal atau haram) maka ianya dimaafkan. Maka terimalah rahmat ini daripada Allah taala. Sesungguhnya Allah taala tidak pernah melupakan sesuatu perkara sekalipun.

Hadith yang sama dengan diatas

فأخرجه الترمذي فى سننه ( 1726 ) ، وأبو اقاسم البغوي فى " معحم الصحابة " ( ج 9 / ق 158 / 1 – 2 ) ، وابن شريح فى " جزء بيبي " ( 85 )، وابن عدي فى الكامل (1267/3) ، والعقيلي في الضعفاء (174/2) والطبراني في الكبير (ج6/رقم 6124) والحاكم (115/4) والبيهقي ( 12/10) من طريق عن سيف بن هارون عن سليمان التيمي عن عن ابي سليمان النهدي عن سلمان الفارسي قال : سئل رسول الله صلي الله عليه وسلم عن السمن والجبن والفراء فقال : الحلال ما أحل الله في كتابه و الحرام ما حرم الله في كتابه وما سكت عنه فهو عفو " .

Kalo kita melihat dari hadith yang kedua ini adalah sama ngan hadith pertama di atas ,rasullah di tanyakan mengenai lemak keju dan bulu binatang, bukanlah perbuatan ibadah yang nabi diamkan . Ulamak kebanyakan meletak hadith ini dalam kitab- kitab mereka di bawah tajuk halal dan haram mengenai makanan dan minuman, kamu boleh ruju' dikitab fiqih sunnah, walau pun jika hendak berpegang degan hadith ini sekali pun ada hadith yang lain mengkhususkan hadith ini didalam perkara ibadah

مَنْ عَمِلَ عَمَلاً لَيْسَ عَلَيْهِ اَمْرُنَا فَهُوَ رَدٌّ

Barangsiapa yang melakukan sesuatu amalan yang tiada perintah kami padanya maka ianya tertolak

فَعَلَيْكُمْ بِسُنَّتِيْ وَسُنَّةِ الْخُلَفَاءِ الرَّاشِدِيْنَ الْمَهْدِيِّيْنَ عَضُّوا عَلَيْهَا بِالنَّوَاجِذِ وَاِيَّاكُمْ وَمُحْدَثَاثِ الاُمُورِ فَاِنَّ كُلَّ بِدْعَةٍ ضَلاَلَةٌ

Oleh kerana itu kalian wajib berpegang teguh dengan sunnahku dan sunnah khalifah-khalifah Ar-Rasyidin yang diberi petunjuk, gigitlah sunnah itu dengan gigi geraham dan jauhilah perkara-perkara baru yang diada-adakan (dalam urusan agama) kerana sesungguhnya setiap yang baru/bid’ah itu sesat

Ahmad, Abu Daud, Tirmizi, Ibnu Majah

Jawapan Saya:

Perkara pertama yang patut diteliti ialah apakah maksud hadis tersebut yang sebenar. Memang saya tidak menafikan bahawa hadis tersebut diletakkan dibawah tajuk “ Makanan Dan Minuman”. Namun para ulama Usul Fiqh menyebutkan :

العبرة بعموم اللفظ لا بخصوص السبب

Maksudnya: Sesuatu pernyataan tersebut diambil daripada umum lafaznya bukannya dengan khusus sebab pernyataan tersebut dilafazkan.

Ini yang difahami daripada para ulama. Terdapat banyak ayat al-Quran dan Hadis Baginda sallallahu alaihi wasallam yang dilafazkan kerana sebab-sebab tertentu namun ulama memahami bahawa walaupun ada sebab Baginda melafazkannya tetapi hukum diambil berdasarkan umum lafaz tersebut. Contohnya hadis berkenaan Wanita menjadi Pemimpin. Walaupun para ulama mengetahui bahawa hadis tersebut dilafazkan oleh Baginda sallallahu alaihi wasallam kerana penduduk Parsi melantik wanita sebagai Raja untuk memerintah mereka . Namun para ulama tidak mengatakan bahawa hadis ini hanya khusus dilafazkan dengan sebab tersebut sahaja. Oleh kerana itulah sebahagian ulama menggunakan hadis ini sebagai dalil untuk mengatakan bahawa wanita tidak boleh menjadi Imam di dalam solat.

Kedua, jika benar Baginda sallallahu alaihi wasallam benar-benar ingin menjawab terhadap persoalan yang ditanyakan maka sudah tentu Baginda sallallahu alaihi wasallam akan menjawab secara terus . Contohnya bilamana Baginda sallallahu alaihi wasallam ditanya tentang lemak dan bulu binatang, maka jika Baginda sallallahu alaihi wasallam ingin menjawab terus tentulah Baginda akan menjawab :

السمن و الجبن و الفراء حلال

Maksudnya: Lemak, keju dan bulu binatang adalah halal.

Namun Baginda sallallahu alaihi wasallam menjawab dengan hadis tersebut. Ini adalah dalil bahawa Baginda sallallahu alaihi wasallam ingin membuka peluang kepada umatnya berfikir serta menyerahkan kepada para ulama ummat berijtihad mengeluarkan hukum daripada permasalahan tersebut. Jika kamu mengkhususkan apa yang Baginda sallallahu alaihi wasallam sabdakan tersebut ,ini seolah-olah menafikan Jawami’ul Kalim (Perkataan yang ringkas dan padat) yang dianugerahkan oleh Allah taala kepada RasulNya sallallahu alaihi wasallam.

Perkara sebegini lebih patut kamu pelajari. Ingin memahami nas syarak maka perlulah mempelajarinya daripada ulama yang benar-benar berkelayakkan di dalam bidang syarak. Jika tidak akan binasa jadinya.

Kamu juga sering menggunakan hadis :

من أحدث فى أمرنا هذا ما ليس منه فهو رد

Maksudnya: Sesiapa yang mengadakan perkara baharu di dalam urusan agama yang mana perkara tersebut tidaklah mendapat pengiktirafan syarak maka ianya tertolak.

Setiap kali kamu menggunakan hadis ini maka setiap kali itu jugalah kamu sering menyalahgunakan maksud sebenar hadis tersebut. Kamu tetap tidak mahu berpegang sebagaimana para ulama memahami hadis tersebut.

Jika benar Baginda sallallahu alaihi wasallam ingin mengharamkan segala perkara baharu, maka tentulah Baginda sallallahu alaihi wasallam akan menyebutkan:

من أحدث فى أمرنا هذا فهو رد

Tanpa menyebutkan ما ليس منه .

Al-Imam Ibn Hajar al-Haitami rahimahullah menyebutkan di dalam kitabnya al-Fathul Mubin bahawa hadis ini menjadi dalil bahawa perkara baharu yang berlaku di dalam agama yang terdapat pengiktirafan syarak padanya maka ianya diterima sebagai Bid’ah Hasanah.

Seringkali saya bertanya pada diri saya sendiri, mengapa golongan ini tidak mahu mengambil kefahaman Jumhur ulama Islam? Mengapa suka mengambil pendapat-pendapat yang ganjil yang telah ditinggalkan oleh jumhur ummah serta suka menyebarkan syak wasangka sesama muslim? Jawapannya saya temui pada Muqaddimah al-Imam Ibn Khaldun rahimahullah. Beliau menyebutkan:

خالف تُعرف

Maksudnya: Jika kamu ingin menjadi terkenal, maka lakukan perkara pelik yang orang lain tidak lakukan.

Sudah terlalu panjang saya menulis, bimbang mereka malas membaca tulisan yang panjang lebar maka saya cukupkan sekadar ini perbahasan untuk hari ini. Jika diizinkan Allah taala, saya akan menyambung jawapan saya terhadap persoalan mereka ini. Saya mengharapkan agar mereka memahaminya dengan baik . Hujah saya ringkas, namun perlu diteliti dengan baik agar kamu tidak tersalah memahaminya lagi. Siiru a’la Barakatillah..

Wassalam.

Mohd Nazrul Abd Nasir,
Rumah Kedah, Hayyu Asyir,
Kaherah Mesir.

1 ulasan:

  1. btul2.. sangat sokong.. semoga Allah merahmati ustaz dan ustaz doa2lah untuk kesejahteraan saya.. teruskan perjuangan ustaz!!

    BalasPadam

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...