Isnin, 27 April 2009

PERBAHASAN BERKENAAN NIQAB(PURDAH)


Saya diminta untuk membahaskan tentang niqab oleh salah seorang sahabat kita. Terima kasih diucapkan kepada beliau. Kalau saya menerangkan ketika sedang mengajar memang agak mudah kerana saya cuma memberikan pendapat ulama tanpa perlu memberitahu mukasurat dan sebagainya. Tetapi bila menulis , kita perlu terangkan semua perkara termasuk mukasurat dan cetakan kitab . Ini merupakan amanah ilmu. Zaman sekarang bukanlah seperti zaman Syeikh al-Imam Anwar al-Kashmiri rahimahullah yang tidak perlu lagi melihat kepada rujukan . Pada zaman tersebut , jika para ulama seperti al-Imam menyampaikan fatwa maka itu sudah mencukupi dan tidak perlu lagi kepada penuntut ilmu melihat kepada kitab-kitab.

Sebelum kita membahaskan tentang niqab dan hukum pemakaiannya, elok kiranya kita membahaskan apakah yang dimaksudkan dengan niqab.

Niqab ialah sesuatu yang digunakan oleh wanita bagi menutup bahagian wajah mereka.Cuma yang dipamerkan hanya bahagian mata sahaja.Terdapat lagi istilah-istilah yang ada kaitan dengan niqab.Antaranya ialah khimar, burqa’ , hijab, dan litham. Saya akan terangkan secara ringkas satu persatu kaitan antara istilah-istilah tersebut dengan niqab.

1. الخمار : ini ialah nama bagi kain yang digunakan untuk menutup bahagian kepala bagi wanita.Ini berdasarkan firman Allah taala di dalam al-Quran surah al-Nur ayat 31:
وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَى جُيُوبِهِنَّ

Maksudnya: dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka.
Kaitan di antara niqab dan khimar ialah niqab digunakan untuk menutup wajah,manakala khimar digunakan untuk menutup kepala.Kedua-duanya merupakan pakaian muslimah.

2. الحجاب: Ini merupakan nama bagi kain yang digunakan untuk menutup keseluruhan wanita tersebut.

3. البُرقَع : Ini merupakan nama bagi kain yang digunakan untuk menutup keseluruhan wajah wanita.Menurut Ibn Manzhur ,pengarang kitab Lisan al-Arab: Terdapat sedikit ruang untuk memperlihatkan mata bagi burqa’. Jika kita mengambil dengan takrif yang diberikan oleh Ibn Manzhur maka ianya sama maksud dengan niqab.

4. اللِثام : Ini merupakan nama bagi kain yang digunakan untuk menutup bahagian mulut.Kaitan di antara niqab dan al-Litham ialah , niqab digunakan untuk menutup keseluruhan wajah kecuali kedua mata. Manakala al-Litham pula digunakan untuk menutup bahagian mulut dan ke bawah. Bilamana niqab digunakan untuk menutup bahagian wajah wanita maka ianya mempunyai kaitan rapat dengan aurat. Ini kerana, aurat adalah merupakan anggota yang wajib ditutup. Maka para ulama berbeza pendapat, adakah wajah termasuk di dalam aurat bagi wanita?

Jumhur para ulama iaitu Hanafiyah, Malikiyah, Syafieyah dan Hanabilah berpendapat mengatakan bahawa wajah wanita bukanlah aurat. Ini bermakna, diharuskan bagi wanita untuk menutup wajahnya dan dibenarkan juga baginya untuk membuka wajahnya.

Menurut para ulama bermazhab Hanafi: Wanita muda dilarang mempamerkan wajahnya di hadapan lelaki yang ajnabi . Larangan di sini bukanlah disebabkan wajah mereka aurat. Tetapi adalah untuk mengelakkan fitnah.Ini juga merupakan pendapat al-Imam Ibn Abidin rahimahullah, salah seorang ulama Hanafi.

Manakala para ulama bermazhab Maliki pula berpendapat: Makruh bagi wanita untuk memakai niqab( yang dimaksudkan dengan niqab oleh para ulama Maliki ialah yang menutup keseluruhan wajah termasuk mata)sama ada semasa solat atau selainnya.Ini kerana ianya terlalu berlebih-lebihan. Maka berdasarkan pendapat ini, golongan lelaki adalah lebih utama tidak memakai niqab, kecuali jika ianya menjadi adat bagi tempat tersebut.

Para ulama Maliki juga menyebutkan bahawa: Jika wanita tersebut muda dan cantik serta dibimbangi ianya akan menimbulkan fitnah, maka wajib baginya memakai niqab(purdah), serta menutup kedua tapak tangannya(dengan memakai sarung tangan).

Para ulama bermazhab Syafie pula berbeza pendapat didalam masalah niqab ini.Sebahagian ulama bermazhab Syafie berpendapat wajib bagi wanita memakai niqab,sebahagian lagi mengatakan ianya sunnah manakala sebahagian lagi mengatakan ianya merupakan Khilaf al-Aula.

Didalam hadis baginda sallallahu alaihi wasallam disebutkan:

عن سيدنا ابن عمر رضى الله عنهما أن النبي صلى الله عليه و سلم قال: لا تنتقب المرأة المحرمة و لا تلبس القفازين

Maksudnya: Diriwayatkan daripada Saidina Abdullah bin Umar radhiyallahu anhuma, Sesungguhnya Baginda Nabi sallallahu alaihi wasallam bersabda: Janganlah seorang wanita tersebut memakai niqab dan memakai sarung tangan ketika dalam keadaan ihram.


Disebutkan oleh Ibn Taimiyah rahimahullah : Hadis ini menjadi dalil bahawa wanita pada zaman Baginda sallallahu alaihi wasallam memakai niqab dan sarung tangan. Oleh sebab itulah baginda sallallahu alaihi wasallam melarang pemakaian tersebut pada ketika waktu menunaikan ibadah haji.


KESIMPULAN


Jika kita menilai dengan baik pendapat para ulama tersebut, maka jelas menunjukkan bahawa niqab adalah sesuatu yang dituntut di dalam Islam. Cuma perlu difahami, bukanlah saya bertujuan untuk menyuruh semua wanita memakai niqab secara total. Amalkan berdasarkan kemampuan kita. Jika wanita tersebut merasakan bahawa jika dia tidak memakai niqab maka ianya akan menjadi lebih bahaya dan fitnah(manusia akan memandang kepadanya dengan syahwat),maka wajib baginya memakai niqab. Tetapi jika dia merasakan bahawa tiada masalah jika dia tidak memakai niqab, maka tidaklah menjadi dosa jika dia tidak memakai niqab sekalipun. Mereka boleh mengunakan sebahagian pendapat yang dipegang oleh ulama bermazhab Syafie yang mengatakan bahawa ianya merupakan Sunnah.

Wallahu a’lam


Rujukan:

Mausu’ah Kuwaitiyah jilid 41 mukasurat 134

Mausu’ah Yusufiyah oleh Syiekh Doktor Yussuf Khattar hafizahullah mukasurat 605-610

Mohd Nazrul Abd Nasir
Rumah Kedah Hayyu 10,

6 ulasan:

  1. salam ustaz,
    saya bukan pelajar mesir mahupun jurusan agama.

    saya perlukan ulasan ustaz dalam waqi' malaysia. seperti saya dan pelajar2 malaysia yang lain, bidang pengajian yang diambil kadang2 tidak banyak menggalakkan untuk terlalu memakai pakaian hijab dengan baik. ke ladang, ke ruang makmal, dsb.

    terima kasih.

    BalasPadam
  2. salam solehati...terima ksih krn ingatkan saya tentang perkara ini.. jika keadaan tidak m'iznkan utk kita memakai niqab maka tidak ada mslh jika kita tidak memakainya...menggunakan sebahagian pendapat ulama yg membenarkan perkara tersebut...yg penting jgn buka aurat...

    dalam mslh hijab pula, ulama sepakat mengatakan wajib semua wnita memakai hijab(menutup kepala)..jadi tetap kena pakai hijab..cuma besar atau kecil hijab mengikut kesesuaian kerja yg kita lakukan ..jika ke ladang dan sebagainya yg memerlukan utk kita memakai hijab yg biasa maka tiada masalah..seperti saya sebutkan, yg penting jgn buka aurat..wallahu a'lam

    BalasPadam
  3. salam nada n nur majnun...
    berkenaan soalan bagaimana jika memakai purdah sekejap2...
    jawapannya : tidak mengapa , yg penting jgn buka aurat je..lagipun sebahagian ulama mengatakan purdah tidak wajib...sebaiknya,jika sudah memakai purdah teruskan dgn pemakaian tersebut..kerana itu lebih baik..

    manakala jika memakai selendang yg kainnya jarang:

    jawapannya: jika pemakaian selendang tersebut menampakkan warna kulit dan bentuk rambut maka hukumnya haram..kerana memperlihatkan aurat..n syarat2 sempurna bagi tudung ialah yg menutup warna kulit dan rambut serta menutup bahagian dada wanita tersebut..

    jawapan utk nada:
    sebenarnya, kenyataan org yg mengatakan jika sunnah tak boleh tinggal, kalau sunat tidak mengapa...
    sebenarnya, org yg menyebutkan pendapat tersebut, dia telah mencampur adukkan antara istilah yg digunakan oleh ulama..jadi tidak perlu mengikut kepada pendapat sedemikian.. semoga jelas..

    wassalam

    BalasPadam
  4. 'ala kulli hal.. syukran..

    BalasPadam
  5. salam.ust,izinkan ana ambk artikel ttg niqab ni...syukran.

    BalasPadam
  6. salam ust. Ana bru tjumpa dgn post ni dn nk minta pandangan ust, sekiranya kita memakai niqob dn ingin istiqomah dgn pemakaiannya hingga ke msia, apakah ia bsesuaian dgn waqi' dakwah d msia? Satu lg, blh ke kita mbuka niqob skiranya bsma dgn ahli kuarga n kaum krabat wlupn tdpt golongan yg bkn mahram spt sepupu n sbgnya... Mohon penjelasan, syukran ala kulli hal.

    BalasPadam

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...