Jumaat, 25 Mei 2012

Debat .. Islamikkah Ia ?

Sudah lama saya tidak menulis di dalam laman ini. Ya, bukan sudah tapi sangat lama. Menulis perlukan tumpuan.Jika ingin menulis tentang resepi masakan pun perlukan penelitian bimbang masakan tidak menjadi, apatah lagi menulis berkenaan agama yang sangat tinggi iaitu Islam. Sudah tentu lebih diperlukan penelitian dan penumpuan. Bimbang disalahertikan dan disalah tafsirkan. Bukan hanya percakapan yang akan menjadi penilaian pada timbangan neraca akhirat kelak, malah tulisan juga sangat berat penilaiannya kelak. Jika baik apa yang ditulis maka baiklah natijahnya, jika buruk dan jelek apa yang dikarang dan disajikan pada pembaca maka buruk jugalah natijahnya.

Sehari dua ini , ada suasana baru yang saya kira mula wujud dalam benak pemikiran masyarakat khususnya golongan muda-mudi , siswa-siswi, pemikir-pemikir dan lain-lain. Suasana yang saya maksudkan ialah sukakan perdebatan atau dengan bahasa yang lebih sopan PERBAHASAN dan BERBALAS HUJAH. 

Ada yang mengatakan bahawa inilah yang paling Islamik, inilah yang paling sesuai dengan zaman sekarang, zaman orang suka berfikir dan boleh menilai. Jika diadakan perdebatan maka kita secara tidak langsung membuka ruang untuk masyarakat membuat pilihan mana yang baik dan mana yang buruk. 

Persoalannya , benar atau tidak persepsi sebegini? Benar-benarkah ianya mengikut acuan agama? 

Apakah Maksud Perdebatan @ Mujadalah ? 

Kata Al-Allamah al-Muhaddis Al-Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah rahimahullah : Perdebatan @ Mujadalah bermaksud berbalas hujah dengan harapan dapat mengalahkan dan menundukkan musuh.

Hujjatul Islam Al-Imam Al-Ghazali rahimahullah pula menyebut bahawa dengan perdebatan ini akan menyebabkan yang kalah akan dihina manakala yang menang akan disanjung dan membangga diri dengan digelar sebagai seorang yang bijak dan berilmu.

Hakikatnya perdebatan bukan untuk mencari kebenaran tetapi sebaliknya hanya semata-mata untuk menjatuhkan lawan dihadapan orang ramai.

Mungkin ada yang akan bertanya : Bagaimana kita ingin membezakan di antara berdebat untuk menjatuhkan seseorang dan berdebat untuk menegakkan kebenaran?

Bagi membezakan kedua perkara ini , menurut Al-Allamah al-Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah seseorang perlu menilai kepada dirinya sendiri : Jika dia berbahas dengan seseorang dan dia berusaha untuk menjatuhkan air muka seseorang maka ketika tersebut dia termasuk di dalam perdebatan yang dicela. Tetapi jika dia berusaha untuk memahamkan dan memberikan penerangan sebaik mungkin terhadap perkara yang benar kepada lawannya dengan menghormati pihak lawan maka pada ketika tersebut dia dikira berdebat menegakkan kebenaran.

Perkara ini akan dirasai oleh kedua-dua pihak lawan tersebut sendiri. Jika kesudahannya berakhir dengan kebencian di dalam hati maka itu adalah perdebatan yang dicela, manakala jika ianya berakhir dengan masing-masing mengakui kesilapan jika dia tersilap dan mengikut kepada kebenaran jika pihak lawan di pihak yang benar, maka inilah perbincangan @ debat yang dipuji oleh syarak. 

Sebenarnya terdapat beberapa istilah yang sepatutnya difahami oleh kita bagi membezakan apa yang disebut sebagai debat yang dicela, debat yang dipuji @ perbincangan, dan lain-lain. 

Al-Allamah Muhammad Muhyiddin Abdul Hamid rahimahullah, salah seorang ulama yang pernah mengajar di Masjid al-Azhar menyebut di dalam kitabnya : Risalah al-Adab Fi Ilmi Aadab al-Bahsi wal Munazarah ( Risalah Adab yang menerangkan tentang ilmu adab berbahas dan berbincang) berkenaan perbezaan antara istilah mujadalah dan munazarah .

Tajuk kitab itu sahaja sudah dapat menunjukkan kepada kita bahawa ulama tidak menggunakan tajuk ( adab bermujadalah) sebaliknya digunakan tajuk ( adab bermunazarah) . Kedua-dua ini adalah mempunyai maksud yang sangat berbeza.

Maksud Mujadalah sudah saya terangkan pada permulaan tulisan saya. 

Manakala maksud bagi Munazarah pula ialah : Perbincangan dua pihak yang bertujuan untuk mempertahankan hujahnya yang benar dan membatalkan hujah saudaranya  dengan keinginan kedua-dua pihak bagi menjelaskan kebenaran ( bukan berniat menjatuhkan dan memalukan pihak yang lain). 

Cerita Menarik

Seorang lelaki telah pergi bertemu dengan seorang ahli bijak pandai lalu berkata : " Aku ingin berdebat denganmu" , maka jawab Ahli Bijak Pandai tersebut : " Boleh, jika kamu mampu tepati syarat-syarat yang aku letakkan: 

1) Jangan Marah

2) Jangan Tergesa-gesa

3) Jangan Bangga Diri 

4) Jangan Cepat menghukum salah kepada orang lain

5) Jangan mentertawakan pihak lawan

6) Jangan menjadikan dakwaanmu ( tanpa bukti) sebagai dalil utamamu

7) Jika kita menggunakan khabar angin , maka tujuan kita hanyalah untuk bertanyakan adakah khabar itu benar atau tidak

8) Jika kita menggunakan hujah daripada akal maka jadikan pertentangan itu sebagai taaruf ( untuk saling mengenali antara satu sama lain ) 

9) Perlu kita sematkan di dalam hati bahawa perdebatan ini hanya untuk mencari kebenaran bukan untuk menjatuhkan pihak lawan

10) Jangan sekali-kali berpaling kepada orang lain @ ke tempat lain ketika aku sedang berbicara denganmu

Adab-adab ini disebutkan oleh al-Imam Mahfuz bin Ahmad al-Kalwazani , Ketua Ulama Hanbali pada zamannya di dalam kitab ( al-Intisar Fi al-Masail al-Kibar)


Kesimpulan 

Jika semua jelas dengan istilah dan maksud sebenar perkara ini, maka kita akan dapat menilai sebenarnya apa yang diingin-inginkan oleh pemuda-pemuda sekarang yang hanya melihat kepada selesainya sesuatu masalah dengan berdebat. Namun hakikatnya , setelah selesai perdebatan langsung tiada tindakan daripada hasil perdebatan ke arah lebih baik.

Malah lebih buruk ingin menyerahkan kepada orang ramai membuat penilaian. Adakah semua layak memberikan penilaian? Kebanyakkan orang pada zaman sekarang hanya memberikan penilaian mengikut selera dan pandang sisinya. Bukan kepada kebenaran. Hanya memandang kepada siapa yang lebih hebat susunan katanya, berketerampilan dan lain-lain. Bukan kepada kebenaran. 

Ini hakikat yang mesti diterima , bukan dongengan. 

Tak salah kalau saya katakan bahawa debat zaman sekarang hanya lebih menyeronokkan nafsu bukan membangkitkan iman. Semoga Allah taala menyelamatkan kita daripada fitnah akhir zaman ini. 

Rujukan :

1) Risalah al-Musytarsyidin oleh al-Imam Al-Haris al-Muhasibi rahimahullah (165-243H)
2) Maraqi al-Ubudiyyah Syarah Bidayah al-Hidayah oleh al-Syeikh Al-Allamah Muhammad Nawawi bin Umar al-Bantani rahimahullah ( 1315H)
3) Risalah al-Adab Fi Ilmi Aadab al-Bahsi wal Munazarah oleh Al-Allamah Muhammad Muhyiddin Abdul Hamid al-Azhari rahimahullah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...