Sepanjang pembacaan saya terhadap risalah kecil penulisan tersebut yang bertajuk
“Umer-e-Aishah” (Umur ‘Aishah), yang asalnya ditulis dalam Bahasa Urdu kemudiannya diterjemahkan ke Bahasa Melayu dan Inggeris , memperlihatkan kepada niat asal penulis tersebut adalah baik iaitu ingin mempertahankan Baginda sallallahu alaihi wasallam daripada tohmahan golongan penjajah Inggeris serta Oreantalis ketika itu yang menghina Baginda sallallahu alaihi wasallam seolah-olah Baginda menyukai kanak-kanak kecil jika Baginda sallallahu alaihi wasallam berkahwin dengan Saidatina Aisyah ketika beliau berumur 6 tahun dan bersama dengan Baginda sallallahu alaihi wasallam ketika berumur 9 tahun. Namun kontranya ialah dengan sikap beliau seolah-olah mengatakan bahawa para ulama terdahulu semuanya tidak mahu mengkaji dengan baik tentang perkara tersebut.
Pertamanya saya ingin menyatakan bahawa golongan Oreantalis dan pembenci risalah Islam pasti akan sentiasa mencari-cari kelemahan Islam sedang hakikatnya Islam langsung tiada kelemahannya.Maka sudah pasti mereka akan sentiasa mencipta persoalan-persoalan sebegitu bagi memeningkan umat Islam yang kekurangan ilmu pengetahuan malah menyebabkan orang yang tidak mengenal Islam akan mengatakan bahawa Islam adalah agama yang tidak benar.
Sikap ingin mempertahankan Islam dan kesuciannya sangat dipuji namun adakah perlu bagi kita untuk mencela para ulama mengatakan bahawa mereka semua terpengaruh dengan sirah yang dicipta oleh golongan Syiah? Seolah-olah menjadi satu trend pada zaman sekarang, sesuatu yang bertentangan dengan fahaman mereka maka akan dituduh golongan ini sebagai pengikut al-Ahbash dan pengikut Syiah.
Seolah-olah juga bahawa al-Imam Ibn Hajar al-Asqallani , al-Imam al-Nawawi, al-Imam al-Zahabi, al-Imam Abu Nu’aim, al-Imam Ibn Saad, al-Imam Tabari dan lain-lain pakar di dalam bidang sejarah Islam tidak mengetahui sirah sebenar dan mereka terpengaruh dengan Syiah. Tiba-tiba datang seorang ulama daripada Pakistan mengaku bahawa semua ulama tersebut salah dan pendapat yang sebenar adalah yang dipegang olehnya setelah “kajian” terperinci yang dijalankan. Ulama-ulama terdahulu tidak mengkajikah tentang perkara ini? Benarlah kata para ulama seperti yang disebutkan oleh al-Imam Ibn Khaldun rahimahullah : “ Kamu buat perkara yang berbeza dengan orang lain, maka kamu akan terkenal”.
Malah saya rasa cukup lucu dengan umat mutaakhir ini. Seolah-olah sudah hilang kepercayaan kepada para ulama terdahulu, dan meletakkan sangka buruk kepada mereka.
Saya akan cuba menjawab mana-mana hujah yang saya rasakan perlu untuk menjawabnya. Tidak perlu kepada para ulama untuk menjawabnya, cukuplah saya sebagai khadam kepada para ulama menjawab persoalan-persoalan tersebut. Saya akan nukilkan semula penulisan daripada al-Syeikh Habiburrahman al-Siddiqie al-Kandahlawi di dalam bentuk hujah beliau, kemudian saya akan tulis pandangan dan komentar para ulama dan komentar saya sendiri berkenaan pendapat-pendapat beliau.
Semoga semua dapat menilai dengan baik setiap komentar yang saya berikan. Mana-mana kenyataan beliau yang tidak bersalahan dengan sejarah saya akan mempersetujuinya . Tidaklah semua yang dikatakan itu salah. Apa yang benar kita katakan benar, mana yang perlu diperbetulkan sama-sama kita muhasabah semula..
Berikut adalah hujah-hujah beliau dan komentar daripada saya:
HUJAH PERTAMA – BERTENTANGAN DENGAN FITRAH MANUSIARiwayat ini bertentangan dengan pengalaman dan fitrah manusia. Adalah mustahil ia dilakukan oleh Nabi s.a.w. dan ia sebenarnya tidak pernah berlaku. Jika peristiwa sedemikian pernah terjadi, maka musuh-musuh Islam dan juga musuh-musuh Nabi Muhammad s.a.w. pada waktu itu sudah tentu telah mengambil kesempatan untuk mempermainkan dan menghina baginda s.a.w. Dan, apabila tiada apa-apa serangan terhadap peribadi Rasulullah s.a.w. oleh musuh-musuh Islam pada masa itu , ianya membuktikan bahawa peristiwa tersebut tidak pernah berlaku. Sekiranya tidak, ianya adalah peluang keemasan kepada musuh Islam untuk menyerang Islam dan rasulnya.
Tidak syak lagi riwayat ini adalah tidak benar. Sumber utama riwayat ini ialah Hisham dan perawi-perawi yang menukilkan darinya; oleh itu keraguan berkisar hanya sekitar Hisham.
( Komen Saya : Mengapa perlu dibangkitkan masalah fitrah? Adakah ini boleh dikira sebagai hujah yang benar dan ikhlas? Mendakwa bahawa ianya bertentangan dengan fitrah tidaklah boleh diambil kira tanpa didatangkan dalil bahawa berkahwin dan bersama dengan kanak-kanak wanita ketika berumur 9 tahun adalah perkara yang mustahil dan bertentangan dengan fitrah. Apakah masalahnya jika berumur 9 tahun tetapi bentuk tubuh seperti orang berumur 18 tahun? Adakah mustahil bagi Allah taala untuk menciptakan sedemikian? Saya lebih mendatangkan bentuk persoalan kerana tidak semua jawapan perlu didatangkan dengan bentuk jawapan pernyataan. Malah bentu soalan juga sebenarnya sudah mampu untuk menjawab perkara tersebut.Berkenaan perkataan penulis : [Tidak syak lagi riwayat ini adalah tidak benar. Sumber utama riwayat ini ialah Hisham dan perawi-perawi yang menukilkan darinya; oleh itu keraguan berkisar hanya sekitar Hisham] saya akan jawab di dalam perbahasan berkenaan Saidina Hisyam bin Urwah rahimahumallah.)HUJAH KEDUA – BERTENTANGAN DENGAN AKAL YANG WARASSuatu riwayat yang bertentangan dengan akal adalah palsu dan dongeng. Ibnu Jauzi, salah satu nama besar dalam lapangan pengkritikan hadis, ialah orang yang bertanggungjawab memperkenalkan prinsip ini. Riwayat oleh Hisham ini adalah bercanggah dengan akal dan akal yang waras tidak dapat menerimanya . Apa sudah jadi dengan kewarasan dan kebijaksanaan kita ? Amat aneh bila kita dapati tidak ramai cendiakawan yang samada menolak atau meragui riwayat ini.
(Komen Saya : Allahu Allah.. sekali lagi ingin saya bertanya, adakah bertentangan dengan akal yang waras perkara ini? Ini masalahnya jika istilah bercampur aduk. Terdapat dua istilah yang patut dibezakan, istilah bertentangan dengan akal serta bertentangan dengan adat.Maksud bertentang dengan akal adalah : Sesuatu yang tidak boleh tidak mesti berlaku tanpa pengecualian malah mustahil jika bercanggah dengannya. Contohnya seperti anak lahir terlebih dahulu daripada ayah, maka ini barulah dipanggil bertentangan dengan akal kerana tidak mungkin anak lahir terlebih dahulu daripada ayahnya.Manakala maksud bertentangan dengan adat adalah : Sesuatu yang mungkin boleh berlaku pengecualian daripada kebiasaannya . Contohnya adalah seperti api yang pada kebiasaannya adalah panas dan membakar, namun pada peristiwa dibakar Nabi Allah Ibrahim alaihi al-salam, api yang pada kebiasaannya membakar tiba-tiba tidak membakar, maka kerana itulah ianya dipanggil bertentangan dengan adat.Penulis mengatakan bahawa perkara ini bertentangan dengan akal, saya sekali lagi ingin bertanya, adakah perkara sebegini mustahil akal? Malah jika kita ingin mengatakan bahawa ianya bertentangan dengan adat sekalipun tetap boleh dipertikaikan. Adakah terdapat kajian bahawa pada zaman Baginda sallallahu alaihi wasallam , semua para sahabat dan penduduk ketika tersebut tidak pernah berkahwin dengan wanita berumur 9 tahun, tiba-tiba Baginda sallallahu alaihi wasallam mencarik adat tersebut? Adakah terdapat kajian tersebut? Jika ada barulah kita boleh mengatakan bahawa ianya mencarik adat, namun jika tidak ada maka jauh sekali kita akan mengatakan bahawa ianya mencarik adat. Jika mencarik adat sudah tidak dapat kita terima , apatah lagi ingin mengatakan bahawa ianya bertentangan dengan akal? Seperkara lagi, jika penulis menggunakan nama al-Imam Ibn Jauzi sebagai ulama yang memperkenalkan kaedah tersebut, saya juga ingin menggunakan nama al-Imam Ibn Jauzi rahimahullah (508 – 597 H). Al-Imam Ibn Jauzi rahimahullah sendiri di dalam kitabnya yang bertajuk Sifatul Safwah pada juzuk pertama mukasurat 259 menyatakan bahawa Saidatina Aisyah radhiyallahu anha berkahwin dengan Baginda sallallahu alaihi wasallam ketika berumur 6 tahun dan bersama dengan Baginda sallallahu alaihi wasallam pada ketika berumur 9 tahun. Adalah mustahil jika seorang yang dikatakan sangat keras di dalam melakukan pengkritikan hadis tiba-tiba tidak mengkritik mengatakan bahawa riwayat yang mengatakan bahawa umur Saidatina Aisyah ketika berkahwin dengan Baginda sallallahu alaihi wasallam adalah hadis yang maudhu’ dan merupakan rekaan golongan Syiah? Siapa yang aneh dan pelik sekarang? Ulama terdahulu atau orang yang mengatakan bahawa ulama terdahulu aneh? Mengapa mengambil satu pendapat dan melemparkan pendapat lain ke tepi tanpa membuat penilaian yang baik? )HUJAH KETIGA – TIADA CONTOH DITEMUI DI NEGERI ARAB ATAU DI NEGERI-NEGERI PANASSehingga hari ini tidak ditemui kes seperti ini di Semenanjung Arab dan negara-negara beriklim panas yang lain. Jika sekiranya ia menjadi amalan masyarakat ini nescaya kita akan dapati wujud beribu-ribu contoh seumpamanya dalam catatan sejarah..
Sebaliknya, sekiranya peristiwa begini berlaku pada hari ini, ianya akan menjadi berita sensasi, contohnya, seorang lelaki gila merogol seorang kanak-kanak perempuan berumur sembilan tahun dan orang yang melakukan perbuatan sedemikian digelar sebagai orang gila.
Ulama kita dan para pencinta Nabi s.a.w. tidak menunjukkan keberanian untuk menyangkal riwayat ini dan yang sedihnya sebahagian daripada mereka tidak dapat menjadi contoh kepada ummah bila mereka sendiri mengahwinkan anak dara sunti mereka yang berumur sembilan tahun, atas nama sunnah dan berbangga kerana menghidupkan sunnah !! Kami adalah ‘orang bodoh’ dan berdosa. Ulama sepatutnya menunjukkan contoh yang praktikal supaya kami dapat mengikuti contoh tersebut.
Mungkin anda tidak akan percaya bahawa ulama kita pada suatu ketika dahulu telah menolak penemuan saintifik yang bertentangan dengan pendapat mereka, malah sebaliknya tidak mengiktiraf hasil kajian saintifik tersebut . Contoh klasik ialah, ramai daripada mereka yang berpendapat matahari mengelilingi bumi, tetapi apabila kajian saintifik mengatakan sebaliknya mereka berkeras dengan pendapat mereka. Dalam bahasa yang mudah mereka berkata, ‘ Saya tidak akan menerimanya dalam apa pun keadaan’.
Beginilah sikap mereka dalam hal ini , iaitu , tentang umur Aishah r.a. semasa berkahwin dengan Rasulullah s.a.w.
Dengan hanya berkata “kami tidak menerima fakta sejarah”, tidak memberi apa-apa makna kepada ummah.
Berkenaan ‘sejarah’, di satu pihak mereka mendakwa bahawa mereka tidak menerima ‘sejarah’, tetapi pada masa yang sama mereka melaung-laungkan cerita “Yazid yang jahat’ dari mimbar-mimbar khutbah ( walaupun ianya cerita sejarah yang direka). Bahkan cerita berkenaan Karbala telah diulas oleh ulama kita lebih hebat daripada ahli sejarah.
Kami akan menyentuh tentang aspek sejarah di bahagian kedua kertas ini. Buat masa ini kami akan membentangkan hujah berdasarkan hadis, usul hadis, biografi perawi ( ilmu rijal) dan illal hadis kerana ulama kita mengiktiraf ilmu-ilmu ini. Adalah tujuan kami untuk menarik perhatian mereka dalam aspek ini.
( Komen Saya : Setiap zaman pasti berlaku perubahan, perkara yang tidak pelik pada zaman dahulu kemungkinan akan menjadi pelik pada zaman sekarang begitulah sebaliknya. Contohnya pada zaman dahulu tidak menjadi sesuatu yang pelik jika seseorang itu keluar daripada rumahnya menuju ke pekan dengan bersenjatakan pedang dan senjata yang lain. Manakala pada zaman sekarang, sudah tentu akan menjadi kekecohan jika seseorang keluar bersama keluarga membeli belah di pasaraya bersenjatakan pedang dan parang panjang. Begitulah juga sebaliknya, pada zaman dahulu sudah tentu akan menjadi satu keajaiban kepada mereka jika seseorang tersebut dapat terbang di angkasa. Namun pada zaman sekarang perkara tersebut sudah tidak lagi menjadi sesuatu yang pelik dan ajaib.Maka hujah pelik dan tiada contoh pada zaman sekarang tidak boleh dikatakan sebagai hujah.Ini adalah dakwaan semata-mata. Berkenaan dengan cerita “Yazid yang jahat” yang dikatakan oleh penulis bahawa ianya cerita yang direka-reka. Saya ingin mengemukakan satu pendapat yang dikeluarkan oleh al-Imam al-Muhaddis al-Allamah Syaikhul Akbar Jamaluddin Abu Muhammad Abdullah bin Muhammad bin A’mir al-Syibrawi rahimahullah ( 1091-1171H) . Beliau merupakan Syaikhul Azhar ketika itu . Beliau menyebutkan di dalam kitabnya al-Ithaf Bi Hubbil al-Asyraf pada mukasurat 71 berkenaan hukum melaknat Yazid bin Mua’wiyah.Para ulama berbeza pendapat di dalam masalah tersebut. Ada sebahagian mengatakan bahawa Yazid adalah kafir, sebahagian mengatakan tidak kafir dan sebahagian lagi mengatakan berpegang dengan pendapat tidak mengeluarkan apa-apa pendapat berkenaan dengan Yazid dan menyerahkan urusan tersebut kepada Allah taala.Ini juga disebutkan di dalam kitab al-Musamarah Fi al-Syarhi al-Musayarah oleh al-Allamah Kamaluddin Ibn Abi Syaraf rahimahullah ( wafat 905 H) dan di dalam kitab Jawahir al-Aqdain oleh al-Allamah al-Muarrikh Sayyid Samhudi rahimahullah (wafat 911 H) .Malah al-Imam Ibn Jauzi pernah berkata : Seseorang pernah bertanya kepada aku berkenaan Yazid bin Mua’wiyah . Aku menjawab : Cukuplah seperti apa yang diperlakukan olehnya. Lelaki tersebut bertanya lagi : Adakah dibenarkan untuk seseorang melaknatnya? Aku menjawab: Sebahagian ulama yang sangat warak seperti al-Imam Ahmad bin Hanbal mengharuskannya malah Saidina al-Imam Ahmad bilamana berbicara tentang Yazid maka beliau akan mengatakan sesuatu yang lebih daripada laknat. Al-Imam Ibn Jauzi mengatakan bahawa al-Imam al-Qadhi Abu Ya’la rahimahullah telah menulis sebuah kitab yang menyebutkan nama-nama seseorang yang patut dilaknat , dan beliau memasukkan nama Yazid di dalam senarai tersebut. Malah beliau meletakkan sebuah hadis Baginda sallallahu alaihi wasallam yang diriwayatkan oleh al-Imam Ahmad ( 4/65) dan al-Imam Thabrani di dalam Mu’jam al-Kabir ( 7/144) :Al-Imam Abu Ya’la mengatakan, tidak dapat dinafikan lagi bahawa ketika Yazid memasuki kota Madinah memimpin tentera Muslim bin Uqbah , dia telah menakutkan penduduk Madinah.Al-Allamah Sayyid Samhudi rahimahullah telah menyebutkan di dalam kitabnya Jawahir al-Naqdain bahawa berita yang disampaikan oleh al-Qadhi Abu Ya’la itu adalah benar dan perkara tersebut terlalu popular.Persoalan saya adalah : Dimanakah palsunya cerita ini? Siapakah yang mengatakan bahawa ianya palsu? Saya pelik dengan golongan ini, terlalu membenci sesuatu puak sehingga sanggup melakukan fitnah kepada umat seluruhnya.. Seolah-olah kita semua sekarang sedang terpengaruh dengan Syiah..Kami mengatakan bahawa sesungguhnya kami juga tidak bersetuju dengan golongan Syiah. Namun janganlah menuduh umat Islam lain juga terpengaruh dengan Syiah. )****** Saya akan sambung semula perbahasan ini setelah peperiksaan saya tamat beberapa hari lagi. Terus terang saya katakan, saya bukanlah ingin mendabik dada membantah pernyataan Syeikh Habiburrahman al-Siddiqie al-Kandahlawi, namun setelah saya amati hujah yang dikeluarkannya ternyata bercanggah dengan hujah ilmiyah yang dikeluarkan oleh para ulama ummah. Malah ternyata tiga hujah pertamanya sudah membuktikan bahawa penulisnya punya maksud tertentu dan meletakkan sangka buruk kepada ulama ummah seluruhnya. Malah tiga hujah pertama ini juga mampu membuktikan bahawa ianya bukanlah ilmu yang benar malah tidak salah saya katakan bahawa ianya nafsu dan prasangka semata-mata.
Semoga Allah taala memberikan petunjuk kepada kita untuk membawa kebenaran dengan sebenar-benarnya.
p/s : Nantikan jawapan saya seterusnya..
Rujukan :1. صفة الصفوة karangan al-Imam Ibn Jauzi ditahqiq oleh Thariq Muhammad Abdul Mun’im , jilid pertama cetakan Darul Ibn Khaldun2. الإتحاف بحب الأشراف karangan al-Imam al-Akbar al-Allamah Jamaluddin Abu Muhammad Abdullah bin Muhammad bin A’mir al-Syibrawi rahimahullah cetakan Darul MinhajMohd Nazrul Abd Nasir,Penuntut Masjid al-Azhar al-Syarif & Masjid al-Asyraff,Rumah Kedah Transit Hayyu 7 ,Kaherah, Mesir