Sabtu, 17 April 2010

Terima Kasih Semua..

Sudah lama tidak menulis di laman ini. Kesibukan demi kesibukan menyebabkan saya tidak dapat meluangkan masa menulis.

Hari ini tanggal 17 April 2010. Genaplah umur saya 26 tahun. Maksudnya sudah 6 kali saya menyambut hari kelahiran saya sendiri di perantauan jauh daripada keluarga tercinta sejak tahun 2005. Ini juga bermaksud hari saya bertemu denganNya semakin hampir.

Namun jaringan hubungan yang begitu pantas pada masa sekarang tidaklah menyebabkan saya merasa begitu jauh daripada ibu dan ayah serta adik-adik di kampung. Malah sahabat-sahabat yang berada di perantauan yang begitu mengambil berat menyebabkan kerinduan sedikit sebanyak terubat.

Ramai bergembira menyambut hari kelahirannya malah gembira menerima ucapan demi ucapan serta hadiah yang diberi sempena hari kelahirannya. Namun kekadang terlupa memikirkan bagaimana keadaannya ketika hari berpisah daripada alam dunia ini.

Ketika lahir , orang ramai menyambut kita dengan penuh keriangan namun kita sendiri menangis . Adakah hari kematian kita kelak, ketika jasad diusung ke tanah perkuburan, orang ramai pula akan menangis dan kita sendiri tersenyum kepuasan ? Saya selalu berfikir, adakah keadaan sebegini akan saya perolehi kelak, atau sebaliknya yang akan berlaku iaitu orang lain pula gembira dengan pemergian saya malah saya sendiri menangis ketakutan. Na’uzubillah.

Jiwa ini banyak melakukan dosa. Bimbang tidak sempat bertaubat kepadaNya. Namun bilamana memikirkan bahawa rahmat Allah taala dan pengampunanNya maha luas maka sedikit sebanyak terubat keresahan di hati ini. Ingin bertawassul dengan amalan sendiri, rasanya terlalu jauh malah tidak diketahui tahap keikhlasannya. Apa yang boleh saya lakukan hanyalah meletakkan kecintaan sepenuhnya kepada Baginda sallallahu alaihi wasallam serta ahli keluarganya. Moga kecintaan ini sahajalah yang akan menyebabkan saya mendapatkan syafaat daripada Baginda sallallahu alaihi wasallam kelak.

Teringat sebuah cerita menarik , Timorleng merupakan seorang raja yang zalim pada zaman pemerintahan Tartar. Ketika mati, wajahnya bertukar menjadi hitam akibat kekejaman dan kerakusannya terhadap dunia. Semua sudah menyangka sedemikian, malah ada yang mengatakan bahawa tiada tempat yang lebih layak kepada si Timorleng melainkan neraka Allah jua. Pada satu malam, seorang ulama yang soleh telah bermimpi bertemu dengan Rasulullah sallallahu alaihi wasallam dan beliau terkejut kerana mendapati Timorleng Sang Raja berada disebelah Baginda sallallahu alaihi wasallam dalam keadaan berseri-seri wajahnya.

Sang ulama terus bertanya kepada Baginda sallallahu alaihi wasallam bagaimana keadaan sebegini boleh berlaku? Maka Baginda sallallahu alaihi wasallam menjawab : “ Ya benar sememangnya Timorleng ini seorang yang sangat kejam, namun disebabkan kecintaannya yang sangat mendalam terhadap ahli keluargaku maka aku berkenan memberikan syafaat kepadanya”

Ya Allah, jika seorang yang kejam sedemikian rupa boleh mendapat anugerah sedemikian, moga-moga diri yang tidaklah sekejam Timorleng mampu juga meraih cinta dan perhatian daripada Baginda sallallahu alaihi wasallam.

Saya kira, ini merupakan artikel pertama setelah kelahiran baru.. Doakan moga diberikan kesempatan waktu oleh Allah taala bagi menulis lagi selepas ini.

zaman kecik-kecik dulu :)

Terima kasih kepada semua sahabat yang sudi mengucapkan selamat hari lahir kepada diri yang serba kekurangan ini. Terima kasih juga kepada Ust Farhi Farid Wajdi aka Along yang sudi memasak 3 ekor ayam untuk sambutan menyambut hari kelahiran al-faqir. Terima kasih kepada ibu dan ayah yang tidak jemu dan sanggup berpenat lelah mendidik diri ini sehingga anakanda mampu menjadi seperti sekarang. Doa kalian semua amat diharapkan selalu. Moga diri ini mampu menjadi obor penerang kepada umat kelak. Amin..


Mohd Nazrul Abd Nasir,
Penuntut Ilmu al-Azhar al-Syariff & Masjid al-Asyraff,
Rumah Kedah Transit Hayyu 7,
Kaherah Mesir.

3 ulasan:

  1. Ya Ustazi Al-Habib,

    Selamat Hari Jadi! Semoga kita menjadi insan-insan yang benar-benar menjadi (=

    Adapun hari jadi sebegini mengundang pahala beribu kali andai ia diiringi dengan renungan mendalam kehidupan yang sebentar cuma.

    Ya Ustazi Al-Aziz,

    Teringat ana rangkap Merintih Di Barzakh yang cukup molek didendang renungkan sewaktu kala Hari Kelahiran.

    Perjalanan hidupku melengkapi sebuah kembara
    Singgah dirahim bonda sebelum berangkat ke mahsyar
    Diperhitung amalan penentu syurga atau sebaliknya

    Tanah yang basah bewarna merah
    Semerah mawar yang juga rimbun
    Tujuh langkahpun baru berlalu
    Seusai talkin bertambah syahdu
    Tenang dan damai dipusaraku
    Nisan batu menjadi tugu
    Namun tak siapapun tahu resah penantianku

    Terbangkitnya aku dari sebuah kematian
    Seakanku dengari tangis mereka yang ku tinggalkan
    Kehidupan disini bukan satu khayalan
    Tetapi ia sebenar kejadian

    Allahu Allah~

    As-aluka lazzatannazori ila wajhika wassyauqa ila liqa'ika fi ghairi dhorro'a muddhirratin wala fitnatin mudillatin~

    Allahu Allah~

    Astaghfirullah,
    Al Faqirun Dhaifun Abdullah

    BalasPadam

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...