Selasa, 27 April 2010

Al-Imam al-Akbar Syeikh Dr Muhammad Ahmad Tayyib Hafizahullah Seperti Yang Al-Faqir Kenali..

Ramai yang tertanya-tanya berkenaan dengan Syaikhul al-Akbar al-Ustaz Doktor Muhammad Ahmad al-Tayyib hafizahullah, Syaikhul Azhar yang baru dilantik setelah kewafatan Syaikhul Akbar Sayyid Muhammad Tantawi rahimahullah.

Alhamdulillah, al-Faqir sendiri pernah diberi kesempatan untuk menghadiri kelas pengajian umumi bersama al-Imam al-Akbar Syaikh Dr. Muhammad Ahmad Tayyib hafizahullah di Masjid al-Azhar al-Syariff. Beliau mengajar kami ilmu Mantiq dengan menggunakan kitab Sullam al-Munawraq dan setelah selesai kitab tersebut dipelajari kami sempat menghadiri beberapa kelas pengajian kitab al-Mustasfa karangan al-Imam Hujjatul Islam al-Ghazali radhiyallahu anhu. Ketika itu beliau masih lagi memegang jawatan sebagai Rektor Universiti al-Azhar al-Syariff.

Memang tidak dapat dinafikan betapa ilmu beliau melaut luasnya. Sehingga salah seorang ulama al-Azhar al-Syariff yang juga merupakan guru kami di Masjid al-Azhar iaitu Syaikh al-Allamah al-Usuli Dr. Salim Abu A’si al-Hanafi hafizahullah mengatakan bahawa Syaikh Dr Muhammad Ahmad Tayyib hafizahullah adalah merupakan antara ulama yang paling pakar di dalam bidang ilmu Kalam dan Mantiq . Namun kehebatan beliau di dalam ilmu-ilmu lain tidaklah boleh dipertikaikan.

Syaikhuna al-Imam al-Akbar merupakan seorang yang agak garang dan tegas. Terutama ketika berada di dalam kelas. Paling membimbangkan adalah bilamana beliau berhenti membaca kitab dan memandang ke arah kami untuk bertanyakan soalan. Jika tidak boleh menjawab maka beliau akan bertanya “ Kamu dari Kuliah apa?” Jika soalan berkenaan mantiq tidak boleh dijawab oleh penuntut ilmu tahun akhir di Kuliyyah Usuluddin Universiti al-Azhar al-Syariff maka beliau akan memarahi pelajar tersebut dan mengatakan “ Apa tujuan kamu datang ke sini kalau ilmu sebeginipun kamu tidak mampu kuasai ?”

Beliau juga pernah memberikan peringatan kepada para penuntutnya agar tidak memakan kacang ful ( sejenis makanan ruji orang-orang Mesir) sebelum datang ke kelasnya di Masjid al-Azhar al-Syariff. Ini kerana menurut beliau, kacang tersebut akan menyebabkan penuntut menjadi mengantuk dan cepat lupa apa yang dipelajari. Al-Faqir pernah terbaca tulisan al-Imam al-Suyuti rahimahullah berkenaan perkara ini. Malah al-Imam al-Suyuti rahimahullah mengatakan antara penyebab lupa adalah memakan kacang ful.

Beliau juga mengatakan dengan jelas kepada kami pada suatu hari : “ Ilmu sebenar yang akan kamu perolehi adalah bilamana kalian berada di sini ( sambil mengisyaratkan kepada Masjid al-Azhar , ketika itu kami sedang belajar kitab al-Mustasfa di Ruwaq @ Anjung al-Abbasi ) , sekurang-kurangnya 6 tahun kamu perlu berada di sini untuk memperolehi ilmu sebenar. Saya juga belajar disini bersama Syaikhuna al-Imam al-Akbar Dr Abdul Halim Mahmud rahimahullah”

Syaikhuna al-Imam al-Akbar juga selalu menceritakan bahawa beliau banyak terpengaruh dengan pembawakan al-Imam Abdul Halim Mahmud rahimahullah.

Ini adalah sedikit sebanyak apa yang al-faqir sendiri perhatikan daripada peribadi al-Imam al-Akbar Syeikh Dr Muhammad Ahmad Tayyib hafizahullah sebelum beliau dilantik menjadi al-Imam al-Akbar. Walaupun sempat bersama beliau dengan masa yang cukup singkat namun cukup banyak faedah yang boleh al-faqir timba daripada beliau. Semoga Syaikhuna al-Allamah al-Imam al-Akbar hafizahullah dapat membuka lagi majlis pengajian di Masjid al-Azhar al-Syariff selepas ini. Semoga Allah taala memberikan kemudahan kepadamu wahai guru kami untuk memegang amanah yang cukup berat ini.

Mohd Nazrul Abd Nasir,
Penuntut Ilmu Di Masjid al-Azhar al-Syariff & Masjid al-Asyraff,
Rumah Kedah Transit Hayyu 7,
Kaherah, Mesir

6 ulasan:

  1. insyaAllah. sama-sama dipermudahkan.

    BalasPadam
  2. harapnya agar pelajar aau penuntut kita tak buat sepertimana mereka buat kepada Allayarham Syeikh Tantawi dulu, dimana syeikh tantawi semasa hidupnya dikutuk dan dicaci oleh pelajar dan penuntut Universiti alAzhar(konon fatwa dan pandangan berbeza). bilamana beliau meninggal dunia, orang yang sama mengutuk dan mencaci beliau pula yang lebih2 mengatakan kebaikannya, seolah2 Allayarham Syeikh mengeenali beliau
    -kesimpulannya beradablah kita dengan guru kita

    BalasPadam
  3. Beliau juga mengatakan dengan jelas kepada kami pada suatu hari : “ Ilmu sebenar yang akan kamu perolehi adalah bilamana kalian berada di sini ( sambil mengisyaratkan kepada Masjid al-Azhar , ketika itu kami sedang belajar kitab al-Mustasfa di Ruwaq @ Anjung al-Abbasi ) , sekurang-kurangnya 6 tahun kamu perlu berada di sini untuk memperolehi ilmu sebenar. Saya juga belajar disini bersama Syaikhuna al-Imam al-Akbar Dr Abdul Halim Mahmud rahimahullah”

    NASIHAT YANG SANGAT BERGUNA BAGI PELAJAR2 AZHAR, JANGAN BERGANTUNG KEPADA KULIAH SAHAJA, TALAQQI JUGA PERLU MENJADI KEMESTIAN.

    BalasPadam
  4. salam. alhamdulillah artikel ust ada sedikit pencerahan terhadap peribadi beliau. namun ust, boleh tak carikan biodata dr ahmad tayyib ni.. ? syukran

    BalasPadam
  5. salam ust, ana coppy post ust letak kat blog ana yer... mintak izin ust...

    BalasPadam
  6. @anonymous april 27 1;11

    kita semua hormati ulama, yang telah meninggal tak perlu lah dikatakan keburukannya. beradaplah. masa hidup kesalahan dan kesilapan tetap kesalahan dan kesilapan. kita tidak boleh pertahankan kesalahan dan kesilapan. hal masa hidup dia Allah sahaja yang putuskan dan kita tidak perlulah menghukumnya orang yang sudah wafat lagipun ilmunya yang tinggi sebagai ulama itu kita hormati.

    salahuddin

    BalasPadam

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...