Beberapa hari saya tidak menulis, menyebabkan shoutbox di laman saya dipenuhi dengan fitnah. Lebih buruk lagi, individu tersebut suka menggunakan nama saya untuk menyebarkan fitnahnya. Astaghfirullah. Jika sikap sebegini diamalkan, akan lebih menguatkan lagi hujah kami bahawa pihak kamu adalah mengikut nafsu semata-mata. Saya bercadang untuk membuang dahulu shoutbox ini , namun bila memikirkan masih ramai sahabat yang akan teraniaya disebabkan beberapa individu sahaja maka saya cuba untuk berfikir sekali lagi. Moga sahabat-sahabat dapat memberikan cadangan kepada saya bagaimana ingin menyelesaikan masalah ini.
Saya yakin, sahabat-sahabat dapat menilai gaya bahasa yang saya gunakan untuk menulis jawapan yang ditanyakan. Saya memohon kepada Allah taala agar individu terbabit diampunkan oleh Allah taala dan terus terang saya telah memaafkan kesalahannya setiap kali dia melakukan perkara tersebut.
Seorang sahabat yang sangat dahagakan ilmu bertanyakan kepada saya berkenaan dengan al-Quran adakah ianya makhluk atau Kalam Allah taala. Maka di sini saya sempat menulis sedikit perbahasan ulama berkenaan sifat Kalam yang bermaksud sifat Pekata seperti yang diterjemahkan oleh Syaikhu Syaikhina al-Allamah Syeikh Ismail @ Pak Ndak Eil . Manakala terjemahan biasa adalah dengan maksud Maha Berkata-Kata. Mengapa saya memasukkan perbahasan ini? Ini kerana, perbahasan berkenaan Al-Quran punya kaitan rapat di antara sifat Kalam ini. Semoga sahabat saya ,
Ukhti AyatulQalbi serta sahabat-sahabat yang lain dapat mengambil manfaat daripada penerangan ringkas saya ini.
Saya memohon maaf kerana masih belum sempat untuk menulis disebabkan tugasan yang terlalu menghimpit. Doakan saya terus thabat dan istiqamah di jalan perjuangan ini. Berikut adalah perbahasan yang sempat saya siapkan:
SIFAT KALAM
Para ulama Tauhid berbincang berkenaan dengan maksud bagi sifat kalam. Mereka mengatakan bahawa sifat kalam bagi Allah taala bermaksud :
Perlu kita fahami dengan jelas bahawa kalam Allah taala tidaklah sama seperti kalam makhluk.Kalam makhluk mempunyai huruf dan susunan yang tertentu. Adanya noktah dan pengakhiran.
Manakala kalam Allah taala tidaklah sebegitu. Kalam Allah taala tidak mempunyai permulaan dan pengakhiran, tiada suara padanya seperti makhluk (
Ini kerana bersuara adalah salah satu sifat makhluk),tidak berhuruf seperti bahasa yang dituturkan oleh makhluk(
Ini kerana bahasa juga adalah makhluk ciptaan Allah taala, maka mustahil Allah taala akan bersifat dengan salah satu sifat yang sama seperti makhluk pada penggunaannya).
Menurut Syeikhuna al-Allamah Dr Muhammad Said Ramadhan al-Buty hafizahullah : Kalam itu sendiri di dalam bahasa Arab terbahagi kepada dua maksud :
Pertama : Kalam adalah lafaz yang dituturkan bagi menggambarkan apa yang terkandung di dalam benak sanubari seseorang yang bercakap tersebut. Contohnya adalah seperti dikatakan : Kalam yang dituturkannya amat fasih dan lancar sekali.Kedua : Kalam juga adalah sesuatu makna yang terkandung yang mana ianya akan diungkapkan dengan lafaz.Setelah kita memahami perkara ini , maka kita jelas beriman mengatakan bahawa Allah taala bersifat dengan sifat kalam. Ini merupakan kesepakatan para ulama Islam.
Menjadi permasalahan utama di dalam perbincangan sifat kalam ini ialah perbincangan tentang al-Quran. Kita memahami bahawa Al-Quran adalah Kalam Allah taala. Seperti yang kita sedia maklum, kalam Allah tidaklah menyerupai kalam makhluk. Namun jika kita perhatikan, al-Quran adalah terdiri daripada Bahasa Arab yang tersusun dan punya maksudnya. Bagaimana kita ingin mengatakan bahawa ianya bukanlah kalam Allah taala ? atau bagaimana pula kita ingin menjawab telahan golongan ini yang mengatakan bahawa : Kamu ( Ahlussunnah ) mengatakan bahawa Allah taala tidak bersifat dengan sifat yang dimiliki makhluk.Sedangkan ayat ini jelas menunjukkan bahawa seolah-olah Allah taala bertutur di dalam bahasa Arab seperti makhluk?
Hakikatnya, persoalan-persoalan sebegini timbul kerana golongan Muslimin pada ketika ini terlalu menyibukkan diri mereka pada perkara yang tidak memberikan sebarang manfaat kepada mereka.Persoalan-persoalan sebeginilah yang menyebabkan sebahagian golongan Muslimin tergelincir dan sebahagian para ulama Islam seperti al-Imam Ahmad bin Hanbal rahimahullah disebat hanya kerana ingin mempertahankan bahawa al-Quran bukanlah makhluk seperti yang difahami oleh mereka. Ini kerana golongan ini tidak boleh menerima sesuatu yang tanpa melihat dengan mata kepala mereka. Mereka ingin juga memikirkan bagaimana Ahlussunnah mengatakan bahawa Allah taala tidak bersuara, tidak berhuruf, tidak punya noktah, dan lain-lain. Perkara-perkara sebegini tidak terlintas didalam benak pemikiran mereka. Jadi iman mereka ini adalah seperti iman kanak-kanak yang memerlukan sesuatu yang boleh dipandang dengan mata kasar barulah mereka akan beriman dengan perkara tersebut.
Golongan sebegini mungkin boleh untuk kita mengingatkan kepada mereka ayat Allah taala di dalam surah Ali Imran ayat 7-8 :
Maksudnya :
7. Dia lah Yang menurunkan kepadamu (Wahai Muhammad) Kitab suci Al-Quran. sebahagian besar dari Al-Quran itu ialah ayat-ayat "Muhkamaat" (yang tetap, tegas dan nyata maknanya serta jelas maksudnya); ayat-ayat Muhkamaat itu ialah ibu (atau pokok) isi Al-Quran. dan Yang lain lagi ialah ayat-ayat "Mutasyaabihaat" (yang samar-samar, tidak terang maksudnya). oleh sebab itu (timbulah faham Yang berlainan menurut kandungan hati masing-masing) - adapun orang-orang Yang ada Dalam hatinya kecenderungan ke arah kesesatan, maka mereka selalu menurut apa Yang samar-samar dari Al-Quran untuk mencari fitnah dan mencari-cari Takwilnya (memutarkan maksudnya menurut Yang disukainya). padahal tidak ada Yang mengetahui Takwilnya (tafsir maksudnya Yang sebenar) melainkan Allah. dan orang-orang Yang tetap teguh serta mendalam pengetahuannya Dalam ilmu-ilmu ugama, berkata:" Kami beriman kepadaNya, semuanya itu datangnya dari sisi Tuhan kami" dan tiadalah Yang mengambil pelajaran dan peringatan melainkan orang-orang Yang berfikiran.8. (Mereka berdoa Dengan berkata): "Wahai Tuhan kami! janganlah Engkau memesongkan hati Kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada Kami limpah rahmat dari sisiMu; Sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya.
Sebaiknya bagi golongan Muslimin ialah berpegang dengan mengatakan bahawa Allah taala bersifat dengan sifat kalam dan al-Quran merupakan kalam Allah taala tanpa perlu untuk menjerumuskan diri kita pada tempat yang bahaya jika membahaskannya tanpa ilmu yang mendalam.
Terdapat beberapa pecahan di dalam mazhab Islam bilamana membincangkan sifat ini. Disini kita sertakan sedikit perbezaan pendapat yang berlaku pada perbahasan sifat Kalam ini khususnya perbahasan tentang al-Quran adakah ianya merupakan kalam Allah taala atau makhluk? :
MUKTAZILAHGolongan ini mengatakan bahawa al-Quran adalah merupakan sesuatu yang terdiri daripada huruf-huruf dan suara yang keluar jika membacanya.Maka ini sesekali tidak boleh dikatakan sebagai kalam Allah taala yang qadim. Jika kita mengatakan bahawa kalam ini (
kalam yang tersusun dan berhuruf) adalah qadim maka seolah-olah kita telah menyamakan Allah taala dengan makhluk. Maka bilamana kita mendapati bahawa al-Quran terdiri daripada huruf-huruf maka secara langsungnya kita mengatakan bahawa ianya adalah makhluk Allah taala, bukannya kalam yang qadim bagi Allah taala.
Bagi golongan Muktazilah, mana-mana kalam yang disandarkan kepada Allah taala hakikatnya adalah makhluk kepada Allah taala. Malah fitnah berkenaan sifat Kalam ini dijadikan oleh golongan Muktazilah sebagai satu cara untuk memaksa orang lain mengikut pendapat mereka terutamanya pada zaman pemeritahan Khalifah Ma’mun.
HANABILAH MUJASSIMAHGolongan kedua yang juga memberikan komentar tentang sifat kalam ini ialah golongan yang bermazhab Hanbali yang menjisimkan Allah taala .Mereka juga mengatakan bahawa Allah taala mempunyai tangan , kaki dan lain-lain. Malah mereka juga mengatakan bahawa al-Imam Ahmad bin Hanbal rahimahullah juga berpendapat sedemikian rupa. Hakikat sebenarnya , al-Imam Ahmad berlepas diri daripada mereka malah ini hanyalah fitnah mereka terhadap al-Imam Ahmad bin Hanbal rahimahullah.
Mereka mengatakan bahawa al-Quran adalah qadim termasuk hurufnya, maksudnya dan lafaz yang terkandung padanya. Malah sebahagian daripada golongan ini yang terlalu melampau pegangannya mengatakan bahawa kertas yang terdapat pada al-Quran itu juga hakikatnya adalah qadim.
AHLUSSUNNAH AL-ASYA’IRAHGolongan al-Asya’irah mengatakan bahawa al-Quran terbahagi kepada maksud yang terdapat padanya dan lafaz yang didengari bilamana kita membacanya. Huruf-huruf yang terdapat di dalamnya juga disebutkan al-Quran. Segala perkara yang bersangkutan dengan al-Quran semuanya disebutkan al-Quran termasuk kertas dan kulitnya.
Namun kita secara jelasnya memahami bahawa segala jenis huruf, kertas , tulisan, suara yang keluar daripada bacaan al-Quran semuanya adalah merupakan perkara yang baharu. Ini kerana sesuatu yang Qadim mustahil terdapatnya noktah dan permulaan serta pengakhiran. Malah Bahasa Arab yang terdapat pada al-Quran itu juga termasuk di dalam perkara baharu.
Golongan Al-Asya’irah mengatakan bahawa yang qadimnya pada kalam Allah taala ini ialah makna yang menunjukkan kepada lafaznya.
Namun menjadi persoalan di sini, adakah makna juga disebutkan sebagai kalam di sisi ahli bahasa?
Jika kita melihat kepada alam sekeliling kita maka kita akan mendapati bahawa terdapat banyak perkara yang disebut sebagai kalam oleh ahli bahasa walaupun tidak dilafazkan perkara tersebut. Antaranya ialah isyarat dengan menggunakan tangan, kepala dan mata juga dipanggil kalam iaitu dengan maksud ianya difahami jika kita menunjukkan isyarat menggunakan anggota-anggota tadi.
Bahkan kita mengatakan bahawa huruf-huruf yang terdapat di dalam ayat al-Quran tersebut hanyalah sebagai isyarat kepada kalam yang ingin disampaikan. Sepertimana kita melihat lampu isyarat yang menunjukkan warna hijau maka kita memahaminya seolah-olah lampu itu bercakap bahawa “ silalah bergerak”. Maka inilah yang kita gelarkan sebagai kalam nafsi seperti yang disebutkan oleh para ulama Aqidah.
Oleh sebab itulah para ulama Ahlussunnah wal Jamaah mengatakan bahawa setiap yang tertulis dan tersusun di dalam al-Quran yang boleh kita lihat pada hari ini adalah perkara yang baharu. Namun ini hanyalah boleh disebut ketika di dalam majlis pengajian tanpa menyebutkannya dihadapan orang awam yang tidak memahaminya dengan jelas. Maksudnya jika kita ingin menerangkan kepada orang awam maka kita perlulah memberitahu kepada mereka bahawa apa yang kita baca dan lihat sekarang adalah kalam Allah taala yang qadim. Ini bagi mengelakkan berlakunya salah faham terhadap agama.
Semoga perbahasan ini memberikan manfaat kepada semua.
Mohd Nazrul Abd Nasir,Rumah Kedah Transit Hayyu 7,Kaherah, MesirRujukan :
1.Kubra Yaqiniyat al-Kauniyah oleh Syaikhuna al-Allamah Dr Muhammad Said Ramadhan al-Buty hafizahullah mukasurat 124.2. Aqidatuna oleh Syaikhuna al-Allamah Dr Muhammad Rabi' al-Jauhari al-Asy'ari al-Khalwati hafizahullah.3.Jauharah al-Tauhid dan Syarah-syarahnya seperti Syarah al-Imam Baijuri dan al-Imam Showi rahimahumallah.4. Syarah Jauharah Tauhid oleh al-Allamah Dr Nuh Qudhah hafizahullah, Mufti Besar Kerajaan Jordan.