Saya diminta oleh beberapa sahabat yang prihatin dengan permasalahan ini untuk membahaskannya berdasarkan hukum Syara’ dan pandangan para ulama berkenaan dengan perkara ini.
Terus terang kita katakan , disebabkan sikap partisan maka perkara ini dibesar-besarkan.Jika melibatkan mereka, maka perkara ini tidak akan dibesarkan malah dianggap remeh.Perbuatan YAB Menteri Besar Perak sekarang secara tidak langsung menunjukkan bahawa jauh di sudut hati beliau mengiktiraf bahawa Parti Islam SeMalaysia (PAS) benar-benar menyintai Islam.Ini kerana beliau seolah-olah tidak mahu langsung pemimpin-pemimpin PAS melakukan perkara yang bertentangan dengan Islam. Tahniah YAB Menteri Besar Perak sekarang. Persoalan saya ,kalau sudah tahu mana yang benar-benar inginkan Islam, apa tunggu lagi? Masuk saja ke dalam PAS.Persoalan membawa lilin dan menghadiri majlis memperingati kematian Teo Beng Hock tidaklah terlalu besar berbanding membawa dan menyokong perundangan bukan Islam.Tepuk dada , Tanya Iman .
Saya telah merujuk di dalam kitab-kitab Para ulama yang mu’tabar di dalam permasalahan ini.Perkara ini hakikatnya telah dibahaskan oleh para ulama sejak dahulu lagi.
Al-Imam Nawawi rahimahullah telah menyebutkan di dalam kitabnya Majmu’ Syarah Muhazzab Jilid ke 5 mukasurat 86-89 berkenaan permasalahan menghadiri majlis kematian orang bukan Islam.
Para ulama Syafi’eyah menyebutkan bahawa dibenarkan kepada golongan Muslimin untuk memandikan , mengkafankan dan mengikuti jenazah golongan bukan Islam ke tempat pengkebumiannya.
Ini bermakna tiadalah masalah untuk kita menghadiri majlis pengkebumian dan memperingati seorang kafir yang mati.
Al-Imam Nawawi rahimahullah menyebutkan bahawa di dalam mazhab Syafie diharuskan untuk orang Muslim memandikan , menanam dan mengikuti jenazah orang bukan Islam.
Ini bermaksud, jika dibenarkan untuk kita mengikuti jenazah orang bukan Islam sehingga ke kawasan perkuburan mereka maka tiadalah masalah untuk kita menghadiri majlis memperingati kematian mereka.
MELAWAT PERKUBURAN BUKAN ISLAM
Al-Imam Nawawi rahimahullah menyebutkan lagi bahawa melawat perkuburan bukan Islam adalah harus.Tiada masalah padanya.
Beliau mengatakan bahawa pendapat daripada al-Imam Mawardi rahimahullah yang mengatakan bahawa ianya tidak dibenarkan kepada golongan Muslimin adalah salah.Pendapat yang benar di sisi para ulama bermazhab Syafie adalah dibenarkan untuk Muslimin melawat perkuburan bukan Islam.
Ini berdasarkan umum lafaz hadis Baginda sallallahu alaihi wasallam yang diriwayatkan oleh al-Imam Muslim rahimahullah:
فزوروا القبور فإنها تذكر الموت
Maksudnya : Pergilah berziarah ke kubur, sesungguhnya dengan menziarahi kubur akan mengingatkan kamu kepada mati.
Hadis Baginda sallallahu alaihi wasallam tidak pula menyebutkan perkuburan siapa yang patut dilawati.Jika dilihat pada sejarah dan sirah Baginda sallallahu alaihi wasallam, para sahabat ketika masuk Islam ada di antara ibu bapa mereka yang telah meninggal dunia.Di antara ibu bapa para sahabat Baginda sallallahu alaihi wasallam yang meninggal tentu ada yang meninggal dunia ketika masih di dalam keadaan belum memeluk Islam.Ada yang meninggal setelah Baginda sallallahu alaihi wasallam menjadi Rasul dan mereka tetap di dalam agama masing-masing.Maka hadis tersebut disebutkan secara umum.Maka menurut para ulama Usul:
العبرة بعموم اللفظ لا بخصوص السبب
Maksudnya: Sesuatu perkara tersebut diambil berdasarkan umum lafaz yang disebutkan bukannya dengan khusus mengapa lafaz tersebut diucapkan.
MEMBAWA API DAN LILIN KETIKA KEMATIAN
Al-Imam Nawawi rahimahullah juga menyebutkan permasalahan membawa api ketika majlis kematian di dalam kitabnya Majmu’.Kata al-Imam Ibn Sabbagh rahimahullah dan para ulama Syafie yang lain: Api yang dimaksudkan oleh al-Imam Syafie di dalam kitabnya ialah kemenyan .Maka hukumnya makruh.
Jika kita melihat pula di dalam hadis Baginda sallallahu alaihi wasallam yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada riwayat Saidina Amru bin al-As radhiyallahu anhu:
إذا أنا مت فلا تصحبني نار ولا نائحة
Maksudnya: Jika aku(Baginda sallallahu alaihi wasallam) wafat, janganlah kamu iringi dengan api dan raungan.
Api yang disebutkan di dalam hadis juga umum.Maka termasuklah apa sahaja jenis api.Ini seperti yang diterangkan di dalam riwayat al-Baihaqi daripada Saidina Ubadah bin Shamit , Saidatina Aisyah, Saidatina Asma’ dan lain-lain para sahabat ridwanullah alaihim ajma’in.
Hukumnya adalah makruh.Jika kepada Baginda sallallahu alaihi wasallam sendiri makruh maka kepada orang lain apatah lagi bukan Islam maka lebih-lebih lagi akan menjadi makruh.
Al-Imam Nawawi rahimahullah mengatakan bahawa jika ada ulama yang mengatakan hukumnya adalah haram maka ianya tertolak.
Jadi perbuatan YB Nizar membawa lilin tersebut adalah makruh hukumnya.Perkara ini juga diketahui secara jelas bahawa bukanlah perkara ibadah di dalam masyarakat Cina malah ianya hanyalah adat. Maka perbuatan tersebut bukanlah HARAM.
MENGUCAPKAN TA’ZIYAH KEPADA SI MATI
Al-Syeikh Doktor Wahbah Zuhaili hafizahullah menyebutkan di dalam kitab Fiqh Islami jilid 2 bahawa jumhur para Ulama (Hanafiyah, Malikiyah dan Syafieyah ) mengatakan harus bagi seorang Muslim untuk mengucapkan ta’ziyah kepada seorang Kafir.
Para ulama Hanabilah sahaja yang berpendapat mengatakan bahawa mengucapkan ta’ziyah kepada bukan Islam adalah Haram.Ini kerana bagi para ulama Hanabilah , ianyanya seolah-olah meninggikan golongan bukan Islam.Hukumnya samalah seperti memberi salam kepada bukan Islam.
Berdasarkan pendapat Jumhur ulama maka hukumnya adalah harus.Jadi tiadalah masalah untuk sesiapa sahaja di kalangan umat Islam menghadiri majlis mengucapkan ta’ziyah kepada bukan Islam.
KESIMPULAN
Sudah jelas lagi bersuluh perkara tentang hukum ini telah dijelaskan oleh para ulama dengan secara terperinci.Mengapa dengan sebab perkara yang sebegini perlu untuk diperbesar-besarkan?Adakah sudah tiada pekerjaan lain maka kita terpaksa mencari-cari kesalahan orang lain?
Kebenaran lebih berhak diikuti.Kepada YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Zambry Abd Kadir letakkan hukum dan mintalah fatwa tentang ISA dan pemahaman sekular yang semakin berleluasa.Itu lebih baik untuk dibahaskan daripada permasalahan membawa lilin di Majlis Teo Beng Hock.
Rujukan
1.Majmu' Syarah Muhazzab oleh Imam Nawawi rahimahullah Cetakan Darul A'lam Kutub
2.Fiqh Islami wa Adillatuhu oleh Syeikh Wahbah Zuhaili cetakan Darul Fikr
3.al-Mu'tamad fi fiqh al-Syafie oleh Syeikh Muhammad Zuhaili cetakan Darul Qalam
Mohd Nazrul Abd Nasir,
Rumah Kedah Hayyu Asyir,
Kaherah Mesir.
inilah jawapan yang saya tunggu2.. terima kasih ustaz.moga2 ustaz dapat membicarakan lagi isu2 semasa di lain waktu.. salam
BalasPadam