Isnin, 31 Ogos 2009

Akhbar Malaysia Perlu Lebih Teliti Untuk Keluarkan Berita Tentang Hukum-Hakam..Jangan Buat Fitnah Pada Darul Ifta'..

Bila saya sebutkan mutu penulisan ilmiyah dan berita di dalam akhbar Malaysia tidak memuaskan, ada yang terasa hati. Mengapa perlu terasa? Saya cuma menyampaikan pandangan bukannya memaksa untuk orang ramai mengikut pandangan saya.Justify Full
Lebih menguatkan andaian saya ialah bilamana isu Darul Ifta’ Misriyyah(Institusi Fatwa Mesir) mengeluarkan kenyataan bahawa dibenarkan untuk pemain bola sepak kebangsaan Mesir berbuka puasa untuk perlawanan Kejohanan Remaja Dunia bawah 20 tahun.

Kalau penduduk di Malaysia hanya semata-mata membaca apa yang ada di dalam akhbar Malaysia maka sudah tentu akan berlaku syak wasangka terhadap para ulama kita yang terdapat di dalam Institusi Fatwa terkemuka tersebut.

Bila saya mengatakan mutu penulisannya teruk, jangan berasa hati lagi ye? Satu tohmahan yang sangat tidak berasas.Lain yang disebutkan oleh Darul Ifta’ ,lain pula yang dimaklumkan kepada dunia.

Setelah pulang daripada solat Tarawih dan kelas bersama Syeikhuna Murabbi Dr Yusri Rusydi hafizahullah, saya singgah sebentar membeli akhbar al-Khamis yang bertarikh 27 Ogos 2009.Tertarik dengan berita hadapan berkenaan “ Mengapa Habib Ali al-Jifri hafizahullah tidak pernah masuk ke Mesir sepanjang 7 tahun kebelakangan ini?”.Saya tergerak hati untuk membeli akhbar ini buat mengetahui berita selanjutnya tentang Sang Habib yang sangat dicintai ini.Alhamdulillah baru-baru ini sempat saya bertemu dengan Habib Ali al-Jifri hafizahullah secara bersemuka.Dua kali pertemuan dengannya benar-benar melahirkan kecintaan kepada ahli keluarga Baginda sallallahu alaihi wasallam.Terus terang saya katakan, melihat raut wajahnya sahaja boleh menyebabkan seseorang akan rasa cinta kepadanya.

Saya terfikir “ Ini baru cucunya, kalau Baginda sallallahu alaihi wasallam sendiri bagaimanalah agaknya? Mungkin saya akan terus pengsan jika melihat wajah Baginda sallallahu alaihi wasallam dek kerana cantik dan bercahayanya wajah Baginda sallallahu alaihi wasallam

Saya balik ke rumah dan meneliti satu persatu apa yang diceritakan di dalam akhbar al-Khamis tersebut.Tiba-tiba pandangan saya terpaku pada tulisan al-Alim al-Allamah Syaikhuna Dr Ali Jum’ah hafizahullah, Mufti Besar Kerajaan Mesir berkenaan fatwa pemain bola dibenarkan berbuka puasa.Ramai juga yang bertanyakan kepada saya persoalan ini, tetapi saya tangguhkan dahulu jawapannya sehinggalah saya bertanya sendiri dengan para ulama di sini.Alhamdulillah, saya telah temukan jawapannya pada hari ini.

Kata Syeikh al-Allamah Dr Ali Jum’ah hafizahullah menjawab kekeliruan orang ramai tentang perkara ini :

Seorang pemain bola sepak, terikat dengan kontrak yang dimetrai antaranya dengan kelab atau pasukan tersebut maka ianya dikira seorang yang dibayar gaji diatas pekerjaannya tersebut. Jika pemain yang telah mengikat kontrak ini hanya memperoleh sumber rezekinya daripada pekerjaannya sebagai pemain bola sepak, maka jika terdapat perlawanan yang dilaksanakan pada bulan Ramadhan maka dibenarkan untuknya berbuka puasa untuk perlawanan tersebut jika mutu permainannya akan terjejas disebabkan berpuasa.Ini merupakan rukhsah kepada pemain tersebut kerana dia dianggap sebagai seorang pekerja yang dibayar gaji dan perkerjaannya akan terjejas jika pemain tersebut tidak bertenaga. Ini seperti yang disebutkan oleh ulama Hanafiyah di dalam kitab-kitab mereka, seseorang yang dibayar gaji di dalam tempoh tertentu (kontrak) maka dibenarkan untuknya berbuka puasa pada bulan Ramadhan jika dia tidak mampu untuk berpuasa ketika melaksanakan kerjanya.(Maka pekerjaan kontrak sebegini termasuklah kepada pekerjaan sebagai pemain bola sepak).

Menurut al-Imam Ibn Abidin rahimahullah di dalam kitabnya “ Raddul Mukhtar a’la Durri al-Mukhtar” : ((Di dalam permasalahan kerja kontrak, jika pekerja tersebut masih terdapat pendapatan yang mencukupi untuk dirinya dan keluarganya( selain pekerjaan yang memerlukan untuknya berbuka puasa pada bulan Ramadhan) maka diharamkan kepada pekerja tersebut untuk berbuka puasa pada Bulan Ramadhan.Tetapi jika dia tidak mempunyai pekerjaan yang lain selain pekerjaan tersebut untuk menampung perbelanjaan keluarganya, jika dengan disebabkan berpuasa tersebut menjejaskan mutu kerjanya maka dibenarkan untuknya berbuka.))dipetik secara ringkas.

Ini hanyalah untuk perlawanan yang terpaksa dibuat pada waktu siang yang menyebabkan seseorang pemain tersebut mungkin tidak akan bertenaga.Manakala untuk latihan, perlulah kepada jurulatih untuk membuat latihan pada waktu malam kerana ianya tidak akan menjejaskan ibadah puasa itu sendiri.Jika pihak pengurusan sebenarnya mampu untuk melaksanakan latihan pada waktu malam tetapi tidak dilaksanakan maka berdosa hukumnya.”

Sudah jelas lagi bersuluh, apa yang diterangkan oleh akhbar Malaysia amat bertentangan dengan apa yang disebutkan oleh Syeikh al-Allamah Dr Ali Jum’ah hafizahullah. Seolah-olah Darul Ifta membenarkan seorang pemain tersebut berbuka puasa pada waktu latihan sekalipun.Ini jelas satu pengkhianatan terhadap institusi agama berprestij ini.

Perlu diingat, para ulama kita yang berada di Darul Ifta adalah para ulama yang benar-benar jitu di dalam ilmunya.Kami yang berada di Mesir lebih mengenali mereka dari segi akhlak dan peribadi mereka berbanding orang yang menyampaikan berita secara tidak benar sebegini.

Kebanyakkan ulama di dalam Darul Ifta’ adalah guru-guru kami di Masjid al-Azhar al-Syarif.Kami sering bertemu mereka dan mengikuti kelas pengajian bersama mereka.Apa yang kami tahu, mereka adalah golongan yang benar-benar menjaga lidah daripada memperkatakan sesuatu hukum mengikut hawa nafsu. Setiap hukum yang dikeluarkan pasti ada sandarannya. Maka janganlah disebabkan terlalu mempercayai akhbar di Malaysia menyebabkan kita tertipu dan menjadi kurang beradab dengan para ulama yang bertaqwa ini.

Berhati-hati sebelum keluarkan pernyataan.Ingat tu!!

Mohd Nazrul Abd Nasir,
Al-Azhar University,
Kaherah Mesir

Sabtu, 29 Ogos 2009

Hukum Memakan Haiwan Jallalah

Terima kasih kepada saudara yang bertanya tentang hukum memakan binatang yang makanan asasinya bersumberkan najis.Perkara ini sudah dibincangkan oleh para ulama terdahulu dengan terperinci.

Haiwan yang menjadikan najis sebagai makanan asasinya disebut sebagai الجلالة .Para ulama berbeza pendapat di dalam meletakkan takrif bagi Jallalah.

Maksud Jallalah

Menurut para ulama Hanafiyah radhiyallahu anhum: Jallalah adalah merupakan binatang yang hanya menjadikan najis sebagai makanan asasinya tanpa memakan makanan yang lain.Bau dagingnya juga akan berubah disebabkan pemakanannya yang sedemikian.

Manakala para ulama Malikiyah, Syafieyah dan Hanabilah radhiyallahu anhum pula berpendapat bahawa maksud jallalah ialah binatang yang selalunya menjadikan najis sebagai makanannya tetapi turut memakan makanan yang lain selain daripada najis.

Hukum Memakan Jallalah

Para ulama Malikiyah seperti yang disebutkan di dalam kitab Syarhul Kabir dan Bidayatul Mujtahid mengharuskan untuk umat Islam memakan Jallalah.

Para ulama Hanafiyah, Syafieyah , Imam Malik sendiri, dan al-Imam Ahmad di dalam salah satu pendapatnya mengatakan bahawa hukumnya adalah makruh untuk dimakan.Makruh di sini menurut al-Syeikh Dr Muhammad Zuhaili seperti yang disebutkan di dalam kitabnya al-Mu’tamad fi Fiqh al-Syafie adalah merupakan Makruh Tanzih.

Manakala para ulama Hanabilah mengharamkan daging jallalah untuk dimakan.Ini seperti disebutkan di dalam kitab Kasyful Qhina’ dan al-Mughni li Ibn Qudamah al-Maqdisi.

Bagaimana boleh berlakunya khilaf di dalam permasalahan ini?

Seseorang yang mempelajari ilmu perbezaan pendapat di kalangan para ulama tidak akan memandang perkara ini sebagai sesuatu yang janggal.Malah ikhtilaf @ perbezaan pendapat di kalangan para ulama itu sendiri merupakan satu rahmat daripada Allah taala kepada makhlukNya di muka bumi.

Kesemua para ulama berbeza pendapat berdasarkan pemahaman mereka terhadap hadis Baginda sallallahu alaihi wasallam yang berbunyi :

نهى النبي صلى الله عليه و سلم عن أكل الجلالة و ألبانها

Maksudnya: Baginda sallallahu alaihi wasallam melarang seseorang tersebut daripada memakan daging Jallalah dan susunya.

Hadis ini diriwayatkan oleh al-Imam Ahmad bin Hanbal, al-Imam Abu Daud dan al-Imam Tirmizi rahimahumullahu taala.

Para ulama Hanabilah mengambil berdasarkan zahir hadis tersebut dengan meletakkan setiap larangan tersebut maka ianya memberi maksud haram.

Manakala para ulama yang lain meletakkan bahawa larangan di sini bukanlah bermakna haram secara mutlak malah ianya hanya menunjukkan larangan yang membawa maksud makruh sahaja.

Adakah terdapat cara untuk membersihkan Jallalah ini?

Para ulama meletakkan tempoh tertentu untuk membersihkan Jallalah ini dengan cara memberikan makanan yang baik dan bukan najis kepada Jallalah ini.

Menurut para ulama Hanafiyah : Jika daging binatang tersebut telah bertukar baunya disebabkan pemakanan sedemikian maka jika binantang tersebut kecil seperti ayam perlulah diberikan makanan yang baik selama 3 hari sebelum boleh diproses untuk dimakan.Manakala kambing pula perlu untuk dikuarantinkan selama 4 hari dan lembu serta unta perlulah dikuarantinkan selama 10 hari .

Menurut para ulama Syafieyah : Binatang seperti ayam perlu dikuarantinkan selama 3 hari.Binatang seperti kambing perlulah dikuarantinkan selama 7 hari , manakala unta dan lembu perlulah dikuarantinkan selama 40 hari.

Menurut para ulama Hanabilah: Binatang seperti ayam erlu dikuarantinkan selama 3 hari ,manakala unta ,lembu dan sebagainya perlulah dikuarantinkan selama 40 hari.

Al-Imam Ahmad Ibn Hanbal rahimahullah berpendapat mengatakan bahawa binatang hanya perlu dikuarantinkan selama 3 hari sahaja sama ada jenis burung dan sebagainya.

KESIMPULANNYA

Setelah kita meneliti pendapat para ulama di atas maka jelaslah kepada kita bahawa jumhur para ulama berpendapat bahawa daging haiwan Jallalah hanyalah makruh sahaja.Hanya para ulama Hanabilah sahaja yang berpendapat mengatakan bahawa ianya Haram dimakan.

Penduduk Malaysia beramal dengan Mazhab al-Imam Syafie radhiyallahu anhu maka tiadalah permasalahan yang besar padanya.Hukumnya jelas makruh sahaja.Bagi mengelakkan perkara tersebut menjadi makruh maka lakukan sepertimana yang telah disebutkan oleh para ulama iaitu dengan dikuarantinkan selama tempoh tertentu.

Jika ikan keli maka kita berpendapat ianya sama hukum seperti ayam.Maka tempoh kuarantinnya juga adalah selama 3 hari.Maka di dalam tempoh tersebut ikan tersebut perlulah diberi makan dengan makanan yang halal dan bersih.

Sebaiknya, bagi para peniaga mengelakkan menggunakan makanan yang haram untuk sumber pemakanan binatang tersebut.Bagi para pembeli pula perlulah berhati-hati di dalam memilih makanan yang hendak dimakan kerana ianya akan menjadi darah daging kita kelak.

Wallahu a’lam.

Rujukan

1. Fiqh al-Islami wa Adillatuhu oleh Syeikh Dr Wahbah Zuhaili hafizahullah jilid ke 4 mukasurat 2597-2599 cetakan Darul Fikr Dimasyk

2. Al-Mu’tamad fi Fiqh al-Syafie oleh Syeikh Dr Muhammad Zuhaili hafizahullah jilid ke 2 mukasurat 558-559 cetakan Darul Qalam Dimasyk

Mohd Nazrul Abd Nasir,
Rumah Kedah Hayyu Asyir,
Kaherah Mesir

Rabu, 26 Ogos 2009

Apa Kamu Ingat Islam Ini Gulai Ayamkah Wahai Norhayati Kaprawi SIS ?

Setiap kali membaca akhbar Malaysia, terfikir di dalam hati ini bilakah mutu penulisan di Malaysia akan maju.Perbahasan tentang artis dan perkara lain yang kurang penting semakin bercambah.Bila masyarakat semakin rosak, mulalah letih memikirkan apakah punca dan sebabnya.Padahal mereka sendiri yang punya angkara.

Masyarakat tidak punya bacaan alternative yang memberikan manfaat secara maksimum.Akhbar yang menerangkan kebenaran disekat tidak dibenarkan untuk aktif, akhbar yang menutup ruang minda disebarkan setiap pagi.Kalau di Mesir, tidak dinafikan cukup banyak bahan bacaan sama ada berbentuk akhbar mahupun kitab-kitab ilmiyah.Kalau kita melihat kepada akhbar disini , terlalu banyak keluarannya sehingga mencapai puluhan jenis akhbar.Ada yang baik untuk tatapan umum dan ada yang sangat tidak sesuai untuk tatapan umum.

Jika akhbar yang membicarakan tentang ilmu, maka seolah-olah ianya merupakan kitab fatwa para ulama al-Azhar al-Syarif yang boleh didapatkan dengan harga LE 1.50 bersamaan RM 1.00.Akhbar sebegini memang payah malah rasa saya tiada langsung di Malaysia.

Mengapa saya berbicara tentang ini? Setelah saya membaca kenyataan akhbar dan pemimpin Malaysia yang membicarakan tentang kes sebatan yang akan dikenakan terhadap Kartika Sari Dewi Shukarno semakin kuat di dalam benak fikiran saya bahawa seringkali orang-orang yang tiada kelayakan di dalam bidang hukum diberikan tempat dan kedudukan untuk membahaskan isu hukum-hakam di dalam Islam.Malah akhbar-akhbar Malaysia dan UMNO / BARISAN NASIONAL lebih mengagungkan golongan pemecahbelah ini berbicara.

Cuba bayangkan jika kita punya sakit , maka tentulah kita akan menjumpai doktor yang pakar bagi memberikan penyelesaian dan panduan ubatan kepada kita.Apa sikap kita jika kita pergi ke hospital atau klinik tersebut maka kita dapati doktor tersebut sebenarnya tiada langsung kelayakan di dalam bidang kedoktoran.Maka tentu kita akan ragu-ragu bukan??Mana mungkin orang sebegini dibiarkan untuk mengubati pesakit sedang dia sendiri tiada ilmu tentang perkara tersebut.Lain yang sakit, lain yang diubatnya…

Ini hal berkaitan dunia, tapi saya tersangat hairan dan lucu bilamana bidang agama Islam ini dianggap mudah dan enteng.Siapa sahaja boleh membahaskan .Kamu punya kelulusan atau tidak, kamu pernah belajar dengan para ulama atau tidak ,itu tidak penting.Apa yang penting ialah jika kamu sayang Islam kononnya , maka kamu boleh sewenang-wenangnya untuk berbahas tentang Islam.

Apa kamu ingat Islam ini gulai ayamkah? Boleh diagak-agak masin dan manisnya? Kalau kurang masinnya, maka ditambah garam, kalau kurang lemaknya ditambah santannya??

Saya cukup rasa tercabar dengan kenyataan puak Sister In Islam(SIS) seperti Norhayati Kaprawi.Saya nasihatkan , kalau ya pun kamu mengaku sebagai pejuang kebenaran (kebenaran ikut kepala hotak dia) tak perlu kaitankan dengan hukum hakam Allah taala.Makin jahil kita melihat orang sebegini.Makin banyak kamu menulis, makin jauh kamu dengan Allah taala.Kamu tak malu ke dengan Allah taala dan RasulNya?

Saya tidak mahu membahaskan tentang hukum sebatan kepada peminum arak.Islam letakkan hukum yang sangat baik untuk umatnya.Sebenarnya hukuman yang diletakkan oleh Mahkamah Syariah tersebut terlalu ringan.10% pun tidak sampai jika mengikut hukuman Islam yang sebenar.Mengikut hukum Islam yang sebenar seorang peminum arak akan dihukum sebatan sebanyak 40 sebatan mengikut mazhab Syafie dan 80 sebatan mengikut mazhab Abu Hanifah, Malik dan Ahmad bin Hambal radhiyallahu anhum.

Syarat yang diletakkan oleh Islam untuk melaksanakan pukulan tersebut sangat jitu dan adil.Syeikh Dr. Muhammad Zuhaili haizahullah membahaskan di dalam kitabnya al-Mu’tamad fi Fiqh al-Syafie:

Tidaklah dibenarkan kepada tukang pukul untuk mengangkat tinggi rotan tersebut sehingga seolah-olah terbuka ketiaknya dan tidaklah juga terlalu rendah sehingga langsung tidak dirasakan sakit kepada peminum arak tersebut.Bahkan apa yang perlu ialah diangkat dengan sederhana tinggi.”

Islam tidak membenarkan untuk memukul pada satu bahagian sahaja kerana ini memungkinkan si pesalah akan luka teruk pada satu bahagian.Malah perlulah dipukul pada bahagian-bahagian tertentu badan dengan syarat menjauhi anggota badan yang sensetif seperti muka ,dan kemaluan serta anggota badannya yang sudah sedia sakit.

Malah pesalah tidak perlu membuka bajunya untuk dirotan.

Mana ada hukum yang terperinci sehingga tahap sebegini melainkan Islam.Saya lihat, hukuman rotan yang dikenakan kepada pesalah berkaitan dadah lebih berat.Malah sangat kejam cara pukulannya.Ini, tidak pula kamu wahai Norhayati Kaprawi bahaskan? Asal sebut ini adalah hukum Islam maka mulalah kamu nak panas punggung.

Saya puji sikap Kartika Sari Dewi Shukarno, beliau sudi menerima hukuman tersebut dengan rela hati.Ini barulah sikap seorang yang berani.Berani buat, berani tanggung risiko.

Sepatutnya orang seperti Najib Tun Razak , Norhayati Kaprawi dan Mahathir Muhammad yang perlu dirotan dan di ISA kan.Biar mereka tahu langit tinggi atau rendah.

Moga Allah taala berikan kekuatan kepada umat Islam seluruhnya.Ya Allah berikanlah hidayahMu kepada Najib Tun Razak , Norhayati Kaprawi , Mahathir Muhammad dan pengikut-pengikut mereka.Moga mereka dapat merasai nikmat sebenar beragama sebelum bertemu denganMu Ya Tuhanku.Amin Ya Rabbal a’lamin.

MOHD NAZRUL ABD NASIR,
AL-AZHAR UNIVERSITY,
KAHERAH MESIR




Selasa, 25 Ogos 2009

Blog Pengajian Audio Video dilancarkan..Semoga bermanfaat


Assalamualaikum warahmatullah...

Syukur pada Allah pemilik alam semesta ini masih memberikan kesempatan dan ruang waktu untuk menghirup udara dan mengecapi nikmat ibadah di bulan Ramadhan..

Tiada apa yang ingin saya sampaikan di sini, sekadar ingin membuat pengumuman tentang blog yang baru saya buat untuk meletakkan rakaman pengajian dan perkara berkaitan ilmu..

Semoga semua dapat mengambil manfaat daripada blog baru ini...

Sahabat-sahabat dan para pengunjung bolehlah melayari :


Isnin, 24 Ogos 2009

Rindu Pada Ibu

Alhamdulillah selesai sudah Daurah Kitab Syamail Muhammadiyah di Mansurah..Empat kali pertemuan moga membuahkan kecintaan yang mendalam terhadap Baginda sallallahu alaihi wasallam.Menjadi sejarah buat saya kerana berpuasa pada hari yang pertama dan kedua di luar Kaherah sepanjang berada di Mesi.

Tepat jam 3 petang tamatlah Daurah tersebut bersamaan 23 Ogos 2009 bertepatan dengan 2 Ramadhan 1430H.

Layanan first class yang diberikan oleh al-Fadhil Ust Amirul(Pengerusi DPM Mansurah), Ust Adham dan Ust Zuhdi sepanjang bermalam di rumah mereka tidak akan dilupakan oleh kami selaku tetamu.

Mereka lebih dahulu mengamalkan sunnah menyambut tetamu berbanding saya sendiri.Seringkali diri ini terasa malu sendiri bila memikirkan terkadang diri sendiri tidak mampu melaksanakan sepertimana apa yang mereka laksanakan.

Hari kedua dijemput berbuka puasa di rumah Ust Tuan Azman( sahabat daripada Syubro) ditemani Ust Hafifi, Ust Amirul, Ust Adham dan Ust Asri.Makanan disediakan cukup menyelerakan.Ikan Bakar, ayam sambal, dan sayur masak lemak menjadi hidangan yang sangat menyelerakan.

Terima kasih juga diucapkan kepada Ustazah-Ustazah DPM Mansurah yang sudi memasak makanan kepada kami pada hari pertama. Layanan antum dan antunna kepada kami tidak akan dilupakan selamanya.

Rindu pada masakan ibu saya yang tercinta di kampung.Terus terang, sesedap manapun masakan orang lain , tetap tidak akan menyamai masakan ibu saya yang tercinta.Sentuhannya sangat berbisa malah memukau sesiapa sahaja yang merasainya.


Saya sangat tersentuh dengan mesej kiriman ibu kepada saya pada hari ini.

assalamualaikum anak mak,bila ramadhan datang.terasa diri ini semakin hampir dengan Nya,tetapi semakin jauh dng anak-anak.Dulu semua anak mak masih kecil,berbuka puasa & bersahur duduk keliling,tapi la ni ayah,natrah & nuqman saja peyeri hidangan dikala berbuka.nazrul nun diMesir,naddia di Universiti Malaya,2 hari sebelum hari raya baru dia balik,naqiyah di SMAP Labu,naufal di Bukit Mertajam.Tapi,Alhamdullillah dengan teknologi sekarang,dapat kita berbicara walaupun jauh beribu batu.Tapi tak sama kan,kalau ada bersama.Selamat menjalani ibadah puasa dan rajin-rajinlah menghafal AlQuran.wassalam.”

Saya juga rindukan mak dan ayah..Doakan dapat bersama tahun depan dapat berbuka puasa bersama menantu mak kat kampung ..hehe

Jumaat, 21 Ogos 2009

Daurah Syamail Muhammadiyah di Mansurah

Bagaimana Kamu Menyambut Madrasah Ramadhan?

Bulan yang dinantikan oleh setiap orang yang beriman sudah tiba.Bulan yang penuh dengan seribu rahmat.Bulan yang kelebihannya tiada tolok banding.

Bagi orang yang beriman , Ramadhan dinantikan dengan penuh debaran.Adakah sempat untuk bertemu pula Ramadhan yang akan datang? Adakah puasa yang aku lakukan pada tahun ini sekadar menahan lapar dan dahaga? Adakah amalan yang aku lakukan pada bulan Ramadhan ini mampu menghasilkan natijah yang memuaskan?Adakah itu dan adakah ini….

Manakala bagi orang yang tidak punya perasaan langsung terhadap Ramadhan maka tentulah akan merasakan bahawa ianya merupakan satu bebanan yang maha hebat.Tidak lagi dapat makan pada waktu siang.Tidak lagi dapat melakukan apa yang dapat dilakukannya pada siang hari di bulan-bulan yang lain.

Apa yang dinantikan oleh mereka hanyalah hari lebaran.Ketika Ramadhan mereka gundah gulana.Ketika Idul Fitri merekalah orang yang paling gembira.Orang lain pergi berperang, mereka pula yang gembiranya lebih jika menang.Bila diajak berperang bersama, bermacam alasan diberikan.

Penuntut ilmu perlu menggunakan Ramadhan ini sebaiknya.Madrasah Ramadhan jadikanlah sebagai sebuah madrasah yang akan melahirkan sebuah ketaqwaan di dalam perilaku kita selanjutnya selepas Ramadhan.

Tiadalah natijah yang terbaik bagi seseorang pelajar melainkan berjaya di dalam ujiannya dengan cemerlang ketika berada di alam pengajiannya.

Maka Madrasah Ramadhan adalah madrasah terbaik yang akan membuat tapisan siapakah yang mampu untuk menjadi graduan yang paling berjaya.Tiada sijil yang akan diberikan, tiada hadiah berbentuk material yang akan disajikan.Malah hadiah yang paling bernilai yang akan diberikan oleh Allah taala iaitu TAQWA.Firman Allah taala di dalam surah al-Baqarah ayat 183:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu semua untuk berpuasa sepertimana telah diwajibkan kepada umat yang sebelum daripada kamu semua, Moga-moga kamu beroleh ketaqwaan.

Bulan Ramadhan juga adalah bulan yang sangat sinonim dengan al-Quran.Ini kerana al-Quran diturunkan pada malam di bulan Ramadhan.Fitrah bagi umat Islam, bilamana tiba sahaja di bulan Ramadhan maka akan terdetik di dalam hatinya “ Tadarus al-Quran”.

Banyakkanlah membaca al-Quran di bulan penuh keberkatan ini.

Saya seringkali menyebutkan kepada sesiapa yang hadir ketika majlis pengajian bersama saya agar membanyakkan bacaan al-Quran.Malah menurut Guru Kita yang mulia, Syeikh Imad Affat hafizahullah , beliau meminta kepada seluruh pelajarnya agar membaca mana-mana tafsir al-Quran untuk dihabiskan pada bulan Ramadhan ini.

Seringkali kita membacanya namun tidak pula pernah terlintas untuk kita memahaminya sebagaimana para ulama memahaminya.

Saya dan Saudara Luqman sahabat saya, mengambil inisiatif untuk membaca tafsir al-Imam Baidhawi rahimahullah sepanjang Ramadhan ini.

Kita akan sama-sama berkumpul di bilik saya, dan membaca al-Quran sebanyak sejuzuk sehari dan selesai membaca al-Quran maka kami akan sama-sama membacakan Tafsir tersebut dan mengambil kefahaman daripadanya.Jika kurang jelas maka Guru kita yang mulia Syaikhuna Murabbi Dr Yusri Rusydi hafizahullah boleh untuk kami rujuk setiap kali pergi ke kelas pagi bersama Syeikh.

Di sini saya cuba letakkan jadual kehidupan untuk kita sama-sama amalkan pada bulan Ramadhan ini:

3.15 pagi : Sahur

3.30 pagi: Membaca al-quran sementara menanti Subuh

3.53 pagi : Solat Subuh

4.45 pagi: Bertolak ke Masjid al-Asyraf untuk majlis pengajian Tuhfatul Ahwazi Syarah Jami’ Tirmizi bersama Syaikhuna Murabbi Dr Yusri

6.00 pagi : Rehat

7.00 pagi: Baca al-Quran sebanyak sejuzuk dan mula membaca Tafsir al-Imam Baidhawi

9.00 pagi: Rehat dan solat Dhuha

10.00 pagi: Sambung semula bacaan Tafsir al-Imam Baidhawi.

11.00 pagi : Rehat dan Tidur Qailulah (sementara menanti masuk waktu Zohor)

12.00 tengahari: Solat Zohor berjemaah( sama ada di Masjid atau surau)

12.30 tengahari : Baca al-Quran sebanyak 2 juzuk.

1.45 petang: Rehat

2.45 petang: Baca kitab ( Apa-apa sahaja kitab)

3.45 petang :Solat Asar dan mengikut kelas pengajian bersama Syaikhuna Muhammad Nuruddin al-Banjari hafizahullah di Rumah Kedah Baru.

6.00 petang: Rehat dan Cari tempat berbuka puasa yang sedap-sedap (di Masjid berdekatan)

7.00 malam: Selesai solat Maghrib dan berbuka puasa maka pulang ke rumah.

8.00 malam: Solat Isya’ berjemaah dan rehat sebentar mengambil tenaga untuk menunaikan Tarawih.

8.45 malam: Bertolak ke Masjid al-Asyraf untuk solat bersama Syaikhuna Murabbi Dr Yusri Rusydi al-Hasani hafizahullah (solat Tarawih di sini sebanyak 20 rakaat dan dibacakan 3 juzuk sehinggalah selesai 20 rakaat, kepada sesiapa yang mampu dan teringin merasakan nikmatnya ibadah maka datanglah ke sini beramai-ramai)

9.30 @ 10.00 malam : Akan berhenti rehat sebentar dan Syaikhuna Yusri akan membacakan kitab Bahjatul Nufus Syarah Mukhtasar Ibn Abi Jamrah rahimahullah(Kitab Syarah Hadis mukhtasar Sahih Bukhari).

11.00 malam: Balik dan rehat untuk hari seterusnya.

Ini adalah jadual cadangan yang saya akan cuba laksanakan pada Ramadhan ini ketika di Mesir.Doakan moga saya dan sahabat-sahabat dapat melaksanakan seperti yang tertera di sini.
Jangan memaksa diri, laksanakan dengan sekadar yang kita mampu.Apa yang penting ialah istiqamah dengan amalan tersebut walaupun sedikit.

Janganlah kita menjadi hamba Ramadhan sebaliknya kita mengejar redha Allah taala semata-mata.Semoga Ramadhan menjadi pemangkin untuk kita lebih berusaha sungguh-sungguh menjadi hamba yang bertaqwa.Amin ya Rabbal a’lamin.

Sama-sama kita amalkan ..Banyakkanlah berselawat kepada Baginda sallallahu alaihi wasallam....

Mohd Nazrul Abd Nasir,
Ardhul Kinanah,
Misr al-Mahrusah....

Rabu, 19 Ogos 2009

Daurah Kitab Bab Puasa


Sekadar ingin memberikan pengumuman kepada para pencinta Ilmu...

Esok bersamaan 19 Ogos 2009, Keluarga Penuntut Terengganu Mesir akan menganjurkan Daurah Kitab Bab Puasa yang akan disampaikan oleh Ustaz Mohd Nazrul Abd Nasir..

Kitab yang akan digunakan adalah daripada Kitab Taqrirat Sadidah oleh Syeikh Hassan bin Ahmad al-Kaf hafizahullah...

Majlis akan bermula seawal jam 7.30 pagi..Semoga semua dapat menghadirkan diri ke Majlis tersebut yang bertempat di Surau Rumah Terengganu..

Selasa, 18 Ogos 2009

Tolong Sampaikan Sedekahku Ini Kepada Para Pelacur ....

Seorang ulama besar Hadis sedang asyik membacakan serta mensyarahkan maksud hadis kepada para muridnya.Tiba-tiba sang guru berhenti membacakan hadis dan bertanyakan sesuatu yang membuatkan semua murid terpinga-pinga.

Muridku sekalian, aku punya hajat yang sangat besar.Adakah sesiapa yang mampu menunaikan hajatku ini?” Tanya sang murabbi pada seluruh muridnya.

Salah seorang murid kanan Syeikh menjawab dengan penuh adab, “ Hajat apakah wahai Tuan Guru? Khabarkanlah kepada kami,moga kami mampu untuk menunaikannya untuk Tuan Guru”.

Sang Guru menarik nafas dengan perlahan seraya berkata “ Aku punya sedikit harta yang ingin aku sedekahkan,adakah sesiapa yang ingin membantuku mengagihkan harta ini?

Kami bersedia membantumu wahai Tuan Guru untuk mengagihkan harta ini”jawab Murid tersebut dengan bersemangat.

Bolehkah Tuan Guru perincikan kepada siapakah harta ini akan dibahagikan?”seorang murid yang lain bertanya dengan lebih lanjut.

Hartaku ini akan aku sedekahkan kepada para pelacur yang berada di tempat sekian-sekian”Jawab Tuan Guru dengan tenang.

Keadaan menjadi bingit,masing-masing keliru dengan tujuan utama Tuan Guru yang terkenal alim dan soleh ini.

Aku sudah mengagakkan bahawa kamu semua tentu tidak akan mampu untuk melaksanakan hajatku ini.Kalau begitu tidaklah mengapa.Biarlah aku sendiri yang pergi menyampaikannya.”Tuan Guru menjawab dengan tenang.

Para murid rasa bersalah di atas sikap yang mereka tunjukkan.Salah seorang murid kanan Tuan Guru menawarkan dirinya untuk menyampaikan harta tersebut.Mana mungkin dia boleh membiarkan Tuan Guru yang terkenal hebat dan wara’ ini dibiarkan masuk dan bertandang ke tempat hina seperti itu.

Ketuklah setiap pintu rumah pelacuran tersebut dan ketika kamu menyampaikan sedekah ini katakan bahawa ini adalah sedekah daripadaku(Nama tuan guru) dan doakan aku semoga diberkati oleh Allah taala” Tuan Guru memberikan pesanan kepada muridnya tersebut.

Maka sang murid yang mulia ini terus memulakan tugasnya dengan penuh tanda tanya di dalam pemikirannya mengapakah Tuan Guru ingin benar memberikan sedekah kepada golongan hina ini.Namun arahan Tuan Guru perlu dilaksanakan.Sang murid menutup mukanya dan terus masuk ke kawasan pelacuran tersebut.

Beliau mengetuk setiap pintu rumah pelacuran di kawasan itu dan menyampaikan apa yang dipesan oleh Tuan Guru kepadanya.

Assalamualaikum, maafkan saya mengganggu,saya adalah utusan daripada Tuan Guru fulan bin fulan ingin menyampaikan sedekah daripada beliau kepada kalian.Beliau berpesan agar mendoakan beliau semoga dirahmati oleh Allah taala”.

Terkejut para pelacur bila mendengar nama Tuan Guru yang alim dan wara tersebut sudi memberikan sedekah kepada mereka.Setelah selesai tugasnya, sang murid terus beredar daripada kawasan hitam tersebut sambil menghelakan nafasnya.

Masing-masing ternanti-nanti apakah yang akan berlaku selanjutnya setelah peristiwa tersebut.Keesokkan paginya , sesuatu yang mengejutkan telah berlaku.Seluruh bumi Syria gempar apabila keseluruhan pelacur yang ada di kawasan tersebut telah beramai-ramai datang menunaikan solat Subuh di Masjid Tuan Guru.Mereka datang mendengar majlis pengajian daripada Tuan Guru dan bertaubat daripada segala dosa-dosa yang telah mereka lakukan.Barulah semua murid faham mengapakah Tuan Guru benar-benar ingin menyampaikan sedekah tersebut kepada golongan pelacur berkenaan.

Ini merupakah karamah yang Allah taala kurniakan kepada Tuan Guru yang wara’ ini.Dakwahnya yang sangat lembut dan berkesan memberikan impak yang sangat besar kepada kehidupan pelacur-pelacur tersebut.


Tuan Guru yang saya maksudkan di sini ialah al-Alim al-Allamah Muhaddis al-Syam Sayyid Badruddin al-Hasani rahimahullahu taala.Beliau wafat pada 1354 Hijriyah.Beliau digelar “Khatimah al-Huffaz dan al-Muhaddissin” yang bermaksud penutup kepada para ulama Hadis yang terkemuka.Mula mengarang kitab ketika umurnya belumpun sampai 20 tahun.

Beliau mengajar di Masjid Umawi pelbagai bidang ilmu seperti Nahwu, Sarf, Balaghah, Mantiq, Fiqh dan lain-lain.Menurut Syeikh al-Allamah Mahmud Rashid al-Attar rahimahullah (wafat 1362 Hijriyah), Syeikh Badruddin al-Hasani juga mengajar kitab Tafsir Baidhawi tanpa melihat kepada kitab dan tanpa memegang apa-apa kertas pun ditangannya.Tafsir tersebut telah dihafalnya dan dikuasainya dengan begitu hebat.

Ketika umur Syeikh al-Allamah Badruddin al-Hasani mencapai 30 tahun beliau mula mengajar Sahih Bukhari di Masjid al-Sadat.Ini juga dilakukan tanpa melihat kitab sedikitpun.Beliau menghafal keseluruhan Sahih Bukhari di dalam dadanya.Menurut para ulama tidak pernah dilihat seseorang yang begitu alim menyampaikan pengajian dengan keseluruhan bidang ilmu seperti Syeikh Badruddin al-Hasani rahimahullah.Ketika mensyarahkan Sahih Bukhari , keseluruhan ilmu dibahaskannya termasuklah ilmu perubatan, hikmah-hikmah, falsafah dan lain-lain.

Antara kelebihan Syeikh Badruddin al-Hasani rahimahullah juga ialah, semuanya mampu untuk memahami apa yang disampaikannya,bukan hanya para ulama dan penuntut ilmu, malah para petani dan orang awam yang biasa juga mampu untuk memahami apa yang disampaikan oleh Syeikh al-Murabbi rahimahullah.Ini kerana keikhlasannya yang begitu tinggi ketika menyampaikan pengajian.Beliau juga digelar Qutb al-Zaman (Wali Allah yang menjadi paksi kepada seluruh para wali ketika itu)dan Mujaddid pada zaman tersebut.

Semoga Allah taala merahmatimu wahai Tuan Guru yang mulia.

Saya mendengar kisah tersebut daripada Guru Saya yang Mulia, Syeikhuna al-Allamah Dr Wafiq al-Hijazi al-Hanafi hafizahullah.

Al-Fatihah buat Syeikh al-Allamah al-Muhaddis Sayyid Badruddin al-Hasani rahimahullah.

Mohd Nazrul Abd Nasir,
Al-Azhar al-Syarif,
Kaherah Mesir

Sabtu, 15 Ogos 2009

Fiesta Thaqafi anjuran BKPJM

Fiesta Thaqafi BKPJM


MAHASISWA AL-AZHAR dijemput menyertai Fiesta Thaqafi yang akan diadakan di Asrama Pelajar Johor Rabaah (Rumah Baru Johor)

Fiesta Thaqafi BKPJM 2009

Tarikh : 15 dan 16 Ogos 2009
Masa: 7 pagi hingga 7.30 petang

Kertas Kerja yang akan di bentang:

15 Ogos 2009 (Sabtu)


Dakwah Non Muslim
YBhg Ustaz Mohamad Fairuz bin Tamjis

Famili Solehah, Keperluan Dan Kepentingannya Terhadap Islam
YBhg Ustaz Mumtaz bin Haron
YBhg Ustazah Faizah binti Supian

Bursa Saham Menurut Perspektif Islam
YBhg Ustaz Salman bin Maskuri

16 Ogos 2009 (Ahad)

Muslimah dan Cabaran Masakini
YBhg Dr. Nafsah binti Dulajis

Pemindahan Organ Menurut Perspektif Islam
YBhg Ustaz Mohd Nazrul bin Abd Nasir

Orientalis dan Kristianisasi
YBhg Ustaz Muhd Hairi bin Hamzah

Pendaftaran bernilai LE15 termasuk kertas kerja
(Boleh didapati di tempat program berlangsung)

Untuk pendaftaran boleh hubungi:

Saudara Mohd Azizul Hakim Azizul | +011 177 1435 | PESERTA LELAKI
dan Saudari Norfatimah Khairuddin | +011 041 2523 | PESERTA PEREMPUAN

Jumaat, 14 Ogos 2009

Ulama Perlu Laksanakan Bacaan Kitab Sahih Bukhari

Bila terbaca akhbar yang menceritakan berkaitan H1N1 ,terdetik di dalam hati betapa ujian Allah taala itu tidak akan mengenal tua dan muda.Setakat hari ini sahaja jumlah kematian di Malaysia seperti yang dilaporkan oleh akhbar-akhbar tempatan telah mencapai 51 orang manakala jumlah pesakit pula meningkat kepada 2955 orang.Satu jumlah yang tidak boleh dipandang enteng.

Saya tidak mahu menunding jari kepada sesiapa dan mengapa wabak ini boleh menular dan ujian Allah taala semakin bertimpa-timpa.

Bagi orang yang beriman maka mereka akan menerima perkara ini sebagai ujian keimanan mereka.Maka sesiapa yang bersabar baginya pahala mati syahid.Ini seperti yang tersebutkan oleh Baginda sallallahu alaihi wasallam.

Para ulama sekarang telah memberikan pelbagai cara untuk mengelakkan daripada terkena jangkitan tersebut.Bacaan doa dan hizib perlu diperkasakan untuk membenteng diri daripada perkara sebegini.

Namun seperkara yang ingin saya kongsikan bersama di sini ialah cara bagaimana para ulama terdahulu berusaha untuk menyelamatkan diri daripada bala bencana.Teringat sebuah kisah yang berlaku pada zaman al-Imam Ibn Daqiq al-Id rahimahullah ,salah seorang ulama besar dan mujaddid pada kurun ke 7.Ketika mana tentera Tartar masuk menyerbu ke Negara Islam dan hampir masuk ke Negara Mesir, maka pemerintah pada ketika tersebut mengarahkan kepada para ulama untuk membacakan kitab Sahih Bukhari sebagai satu cara untuk menjauhkan Negara daripada bala bencana tersebut.Alhamdulillah dengan izin Allah taala, tentera Tartar tidak dapat masuk ke negara Mesir berkat bacaan kitab Sahih Bukhari tersebut.Ini merupakan antara karamah yang Allah taala berikan kepada kitab karangan al-Imam Al-Bukhari rahimahullah.

Virus H1N1 juga merupakan salah satu tentera yang Allah taala turunkan sebagai ujian kepada umat.

Oleh kerana itu, saya mencadangkan kepada semua ulama yang berada di pondok dan pesantren agar melaksanakan bacaan Sahih Bukhari secara beramai-ramai.Namun ini perlulah mendapat sokongan pihak pemerintah negeri.Semoga dengan bacaan Sahih Bukhari ini dapat mengelakkan lebih ramai masyarakat di bumi Malaysia khususnya terkena jangkitan penyakit ini.Meneliti semula sirah dan cara perlaksanaan para ulama terdahulu semasa dan sebelum menghadapi sesuatu bencana amatlah penting buat kita semua.

Jika tidak dapat dilaksanakan secara beramai-ramai sekalipun, cukuplah sekadar beberapa orang ulama yang perlu mengambil perhatian untuk membacakan kitab sahih Bukhari ini bersama-sama.Tidak perlu mensyarahkan matannya.Cukup sekadar membacakan secara terus menerus walaupun tanpa terjemahan.

Tolong sampaikan mesej saya ini kepada seluruh ulama yang berada di Tanah Melayu Nusantara….

Semoga Allah taala memberikan keselamatan kepada kita semua.Amin Ya Rabbal A’lamin.

Mohd Nazrul Abd Nasir,
al-Azhar al-Syarif,
14 Ogos 2009

Ahad, 9 Ogos 2009

Benarkah Al-Imam Abu Hassan Al-Asha'ari rahimahullah melalui tiga peringkat sebelum wafat??

Isu Wahabi memang tidak kunjung padam.Semakin hari semakin ramai orang yang terpengaruh dengan dakyah mereka.Kalau diam membisu,maka akan semakin berleluasa sikap mereka ini.Sebelum ini saya telah berjanji untuk membincangkan berkenaan kitab al-Ibanah karangan al-Imam Abu Hassan al-Asha’ari rahimahullah.Sebelum kita membincangkan dengan lebih lanjut tentang kitab ini elok kiranya kita bincangkan dahulu tentang dakwaan golongan wahabi ini berkenaan al-Imam Asha’ari rahimahullah sebenarnya melalui tiga peringkat di dalam hidupnya selepas keluar daripada Mazhab Muktazilah.

Kata mereka peringkat pertama yang dilalui oleh al-Imam Asha’ari rahimahullah ialah berada di dalam mazhab Muktazilah.Beliau berada di dalam mazhab ini dan menjadi pendokongnya selama 40 tahun.

Manakala peringkat kedua ialah berada di bawah pengaruh Abdullah bin Kullab sebelum beliau melangkah sebenar-benarnya kedalaam mazhab ahlussunnah wal jamaah.

Peringkat ketiga ialah peringkat terakhir sebelum beliau meninggal dunia.Ketika inilah beliau benar-benar menganut fahaman Ahlussunnah sebenar.Kata golongan Wahabi lagi, setelah berada di dalam peringkat ketiga inilah beliau mula menulis kitab al-Ibanah dan lain-lainnya.

Saya amat berharap agar para pembaca dapat menilainya satu persatu.

Benarkah dakwaan yang dibuat ini?Terdapat dua perkara yang perlu diambil perhatian di sini.Pertama berkenaan peringkat yang dilalui oleh al-Imam dan yang kedua, bilamana golongan Wahabi membezakan diantara peringkat kedua dan ketiga yang dilalui oleh al-Imam Abu Hasan al-Asha’ari rahimahullah maka ini bermakna mereka ingin memburukkan peribadi al-Imam Abdullah bin Kullab rahimahullah.

Adakah bilamana al-Imam Abu Hasan al-Asha’ari kembali pada akhir hidupnya maka ini memberi makna bahawa Abdullah bin Kullab bukanlah termasuk di dalam ulama Ahlussunnah wal Jamaah?Perkara ini akan kita bincangkan satu persatu.Semoga semua pembaca dapat meniliti dengan baik.

PERINGKAT YANG DILALUI OLEH AL-IMAM ABU HASSAN AL-ASHA’ARI RAHIMAHULLAH

Seperti yang kita semua sedia maklum, al-Imam Abu Hassan al-Asha’ari rahimahullah adalah merupakan salah seorang ulama Islam yang sangat memberikan kesan terhadap perkembangan ilmu.

Beliau juga merupakan tokoh yang mendapat perhatian semua pihak.Jika benarlah dakwaan golongan Wahabi yang mengatakan bahawa al-Imam Abu Hassan al-Asha’ari rahimahullah benar-benar melalui tiga peringkat di dalam kehidupan beliau maka tentulah para pengkaji sejarah dan ulama di dalam bidang Tarikh Islami akan menyebutkan perkara ini terlebih dahulu.Mustahil para ulama Tarikh(Sejarah) akan mengabaikan perkara ini kerana ianya sangat penting bagi individu yang terkemuka seperti al-Imam Abu Hassan al-Asha’ari rahimahullah.

Tetapi apa yang kita dapati daripada kitab-kitab Tarikh terdahulu, kesemuanya menceritakan tentang peristiwa al-Imam Abu Hassan al-Asha’ari rahimahullah menaiki mimbar dan membuat pengumuman bahawa beliau berlepas diri daripada aqidah Muktazilah yang dipegangnya selama ini.Kemudian daripada itu, beliau terus membela ahlussunnah wal jamaah.Tiada pula kita dapati pernyataan daripada para ulama Sejarah terdahulu yang menceritakan bahawa al-Imam melalui tiga peringkat seperti yang didakwa oleh golongan Wahabi.

Al-Imam Abu Bakar bin Furak rahimahullah menyebutkan di dalam kitab Tabyin Kazbi al-Muftari mukasurat 127:

انتقل الشيخ أبو الحسن علي بن إسماعيل الأشعري رضي الله عنه من مذاهب المعتزلة إلى نصرة مذاهب أهل السنة و الجماعة بالحجج العقلية و صنَّف في ذلك الكتب..

Maksudnya: al-Imam Abu Hassan Ali bin Ismail al-Asha’ari radhiyallahu anhu telah berpindah daripada berpegang dengan Mazhab Muktazilah kepada memberikan pembelaan terhadap Mazhab Ahlussunnah wal Jamaah dari sudut hujah aqliyah (logik ) dan beliau juga ada menulis kitab-kitab bagi membela Mazhab Ahlussunnah wal Jamaah.

Ibn Khallikan rahimahullah juga menyebutkan berkenaan al-Imam Abu Hassan al-Asha’ari rahimahullah di dalam kitabnya Wafayat al-A’yan 3/284:

هو صاحب الأصول و القائم بنصرة مذهب السنة ... و كان أبو الحسن أولاً معتزلياً ثم تاب من القول بالعدل و خلق القرآن في المسجد الجامع بالبصرة يوم الجمعة

Maksudnya: Al-Imam Abu Hassan al-Asha’ari rahimahullah merupakan seorang yang pakar dalam Ilmu Usuluddin dan beliau juga merupakan pembela kepada Mazhab Sunnah(Ahlussunnah wal jamaah)…Abu Hassan pada mulanya bermazhab Muktazilah dan kemudian beliau bertaubat di Masjid Jami’ Basrah daripada membicarakan permasalahan al-Adl dan Al-Quran adalah makhluk.Peristiwa ini berlaku pada hari Jumaat.

Al-Allamah Ibn Khaldun rahimahullah menyebutkan di dalam Muqaddimah Ibn Khaldun mukasurat 853:

إلى أن ظهر الشيخ أبو الحسن الأشعري و ناظر بعض مشيختهم أى المعتزلة – في مسائل الصلاح و الأصلح , فرفض طريقتهم و كان على رأي عبدالله بن سعيد بن كلاب و أبي العباس القلانسي و الحارث المحاسبي من أتباع السلف و على طريقة السنة

Maksudnya: Sehinggalah munculnya al-Syeikh Abu Hassan al-Asha’ari dan beliau berdebat dengan sebahagian guru-gurunya dikalangan Muktazilah di dalam permasalahan Salah dan al-Aslah (Allah taala wajib melakukan kebaikan dan perkara yg lebih baik jika bertembung di antara dua kebaikan)dan beliau juga menolak pendapat yang dipegang oleh mereka(Muktazilah).Al-Syeikh Abu Hassan al-Asha’ari juga ketika itu berpegang dengan pendapat Abdullah bin Said bin Kullab, Abu Al-Abbas al-Qalanisi dan al-Harith al-Muhasibi.Mereka semua adalah pengikut manhaj ulama Salaf dan berada di dalam jalan sunnah.

Berdasarkan pendapat al-Allamah Ibn Khaldun rahimahullah ini maka jelas kita dapati bahawa al-Imam Abu Hassan al-Asha’ari rahimahullah sebenarnya berada pada landasan kefahaman al-Imam Abdullah bin Kullab , al-Qalanisi dan al-Muhasibi rahimahumullah dan mereka semuanya berada di dalam manhaj para ulama Salaf.

Perkara ini juga turut diterangkan di dalam kitab-kitab Sejarah yang lain yang membincangkan tentang al-Imam Abu Hassan al-Asha’ari rahimahullah seperti kitab Tarikh Baghdad oleh al-Imam Khatib al-Baghdadi,Tabaqat al-Syafieyah oleh al-Imam Subki, Syuzurat al-Zahab oleh Ibn Imad , al-Kamil oleh Ibn Athir, Tabyin Kazbi al-Muftari oleh Ibn Asakir, Tartib al-Madarik oleh al-Qadhi Iyadh , Tabaqat al-Syafieyah oleh Ibn Qadhi Syuhbah, Tabaqat al-Syafieyah oleh al-Imam Isnawi , Dibaj al-Mazhab oleh Ibn Farhun , Mir’ah al-Jinan oleh Al-Yafi’e dan lain-lain kitab.

Apa yang kita dapati, kesemua kitab-kitab ini membincangkan bahawa al-Imam sebenarnya setelah bertaubat daripada mazhab Muktazilah maka beliau kembali kepada Manhaj ulama Sunnah dan Salafussoleh.Tidak pula kita dapati terdapat peringkat kedua dan ketiga yang dilalui oleh al-Imam setelah bertaubat seperti yang didakwa oleh golongan Wahabi.

Lebih menghairankan kita ialah, dakwaan ini dibuat oleh golongan Wahabi yang memang terkenal dengan sikap tidak amanah mereka terhadap ilmu-ilmu Islam.Jika benar al-Imam melalui tiga peringkat seperti yang di dakwa, sepatutnya yang meriwayatkan perkara ini ialah anak-anak murid yang rapat dengan al-Imam Abu Hassan al-Asha’ari sendiri serta para pengikutnya yang melazimi pendapat al-Imam.Mereka lebih mengenali hati budi dan peribadi al-Imam Abu Hassan al-Asha’ari berbanding golongan Wahabi yang ada pada masa sekarang.

Perkara sebegini tidak boleh dipandang ringan kerana al-Imam Abu Hassan al-Asha’ari rahimahullah merupakan tokoh hebat yang tidak dapat tidak perlu ketahui sejarah hidupnya secara terperinci.

Para ulama Ahlussunnah wal Jamaah seperti al-Imam al-Baqqillani rahimahullah(kitabnya al-Insof dan al-Tamhid) , al-Imam Ibn Furaq ,al-Imam Abu Bakar al-Qaffal , al-Imam Abu Ishaq al-Syirazi, al-Imam Abu Bakar al-Baihaqi dan lain-lain ulama Ahlussunnah wal Jamaah al-Asya’irah tidak pula menerangkan berkenaan tiga peringkat tersebut.Kesemua mereka cuma menyebutkan bahawa al-Imam melalui dua peringkat sahaja di dalam kehidupannya.Peringkat di dalam mazhab Muktazilah dan peringkat setelah bertaubat iaitu berada di dalam manhaj ahlussunnah wal jamaah.

Adakah dakwaan golongan Wahabi ini bermakna al-Imam sebenarnya merahsiakan peringkat kedua dan ketiganya kepada masyarakat?Mungkinkah perkara ini dilaksanakan secara rahsia sedangkan peristiwa yang kita jelas ketahui berkenaan sikap Sang Imam yang tidak akan merahsiakan kebenaran malah mengisyhtiharkan secara terang-terangan peristiwa taubat beliau daripada mazhab Muktazilah yang dianutinya selama 40 tahun?

Sudah terang lagi bersuluh, al-Imam sebenarnya cuma melalui dua peringkat sahaja di dalam hidupnya.Dakwaan golongan Wahabi sebenarnya semata-mata ingin membenarkan sikap kepura-puraan mereka yang kononnya ingin mengikut Manhaj Salaf.Kita sudah mengetahui bahawa golongan wahabi dahulunya tidak langsung menerima al-Imam Abu Hassan al-Asha’ari..Namun setelah mendapati jalan mereka salah maka mereka mula mereka-reka cerita dan dongengan serta pengkhianatan terhadap ilmu demi membela pegangan yang ternyata salah.Mereka tidak dapat menghina al-Imam Abu Hassan al-Asha’ari maka mereka mula mencari individu yang lain yang boleh untuk mereka jadikan sasaran dengan harapan masyarakat awam tidak akan mengkaji siapakah individu yang mereka hina tersebut.

Oleh kerana itulah mereka menghina al-Imam Abdullah bin Kullab rahimahullah.Tuduhan demi tuduhan diberikan kepada Ibn Kullab rahimahullah .Walaupun para ulama muktabar mengiktiraf Ibn Kullab sebagai ulama ahlussunnah namun mereka tetap menafikannya.

Kita akan sama-sama menceritakan tentang peribadi al-Imam Abdullah bin Kullab rahimahullah pada keluaran yang akan datang.Doakan agar saya diberikan kesempatan oleh Allah taala untuk menerangkan dengan lebih lanjut.Semoga Allah taala memberikan taufiq dan hidayah kepada kita semua.Amin Ya Rabbal A’lamin.

Rujukan:

1.Ahlussunnah al-Asha'irah: Syahadah Ulama' al-Ummah wa Adillatuhum oleh Syeikh Hamdi Sinan dan Syeikh Fauzi al-Anjari hafizahumullah cetakan Darul al-Dhiya' .

Sabtu, 8 Ogos 2009

Pengajian Syamail Muhammadiyah di islam4peace.net....

Assalamualaikum warahmatullahi wa barakatuh...

Syukur pada Allah yang memberikan kesempatan kepada hambaNya untuk terus menghirup udara segar di muka bumiNya ini...

Tiada apa yang ingin saya tulis di sini cuma sekadar ingin menyampaikan pengumuman kepada semua berkenaan sebuah laman web yang sangat baik untuk sama-sama kita teliti dan sumbangkan idea...laman web yang saya maksudkan ialah Islam 4 Peace.net...Sahabat-sahabat boleh melayari laman web ilmiyah ini di [Islam4Peace]..Saya juga diberikan penghormatan untuk menyampaikan kuliyah mingguan berbentuk rakaman dengan menggunakan kitab Syamail Muhammadiyah..

Sahabat-sahabat juga boleh untuk melayari laman [youtube] untuk melihat rakaman pengajian tersebut.. Terima Kasih kepada akhi al-karim Ust Azrul yang sudi membuat rakaman tersebut setiap minggu di rumah saya..

Buat pengetahuan sahabat-sahabat sekalian, video pengajian ini juga akan di upload ke youtube setiap minggu..Semoga semua dapat mengambil manfaat daripadanya dan memberikan tunjuk ajar dan nasihat jika ada tersilap bicara ketika menyampaikan pengajian tersebut..

wassalam..

Al-Faqir ilallahi Taala,
Mohd Nazrul Abd Nasir..
Al-Azhar Kaherah Mesir..

Ahad, 2 Ogos 2009

YB Nizar bersalah??Dato Zambry minta fatwa...

Ramai yang tertanya-tanya dan keliru dengan isu yang digembar-gemburkan oleh UMNO dan Barisan Nasional baru-baru ini bilamana YB Ir Nizar membawa lilin dan menghadiri majlis memperingati kematian Teo Beng Hock.

Saya diminta oleh beberapa sahabat yang prihatin dengan permasalahan ini untuk membahaskannya berdasarkan hukum Syara’ dan pandangan para ulama berkenaan dengan perkara ini.

Terus terang kita katakan , disebabkan sikap partisan maka perkara ini dibesar-besarkan.Jika melibatkan mereka, maka perkara ini tidak akan dibesarkan malah dianggap remeh.Perbuatan YAB Menteri Besar Perak sekarang secara tidak langsung menunjukkan bahawa jauh di sudut hati beliau mengiktiraf bahawa Parti Islam SeMalaysia (PAS) benar-benar menyintai Islam.Ini kerana beliau seolah-olah tidak mahu langsung pemimpin-pemimpin PAS melakukan perkara yang bertentangan dengan Islam. Tahniah YAB Menteri Besar Perak sekarang. Persoalan saya ,kalau sudah tahu mana yang benar-benar inginkan Islam, apa tunggu lagi? Masuk saja ke dalam PAS.Persoalan membawa lilin dan menghadiri majlis memperingati kematian Teo Beng Hock tidaklah terlalu besar berbanding membawa dan menyokong perundangan bukan Islam.Tepuk dada , Tanya Iman .


Saya telah merujuk di dalam kitab-kitab Para ulama yang mu’tabar di dalam permasalahan ini.Perkara ini hakikatnya telah dibahaskan oleh para ulama sejak dahulu lagi.

Al-Imam Nawawi rahimahullah telah menyebutkan di dalam kitabnya Majmu’ Syarah Muhazzab Jilid ke 5 mukasurat 86-89 berkenaan permasalahan menghadiri majlis kematian orang bukan Islam.

Para ulama Syafi’eyah menyebutkan bahawa dibenarkan kepada golongan Muslimin untuk memandikan , mengkafankan dan mengikuti jenazah golongan bukan Islam ke tempat pengkebumiannya.

Ini bermakna tiadalah masalah untuk kita menghadiri majlis pengkebumian dan memperingati seorang kafir yang mati.

Al-Imam Nawawi rahimahullah menyebutkan bahawa di dalam mazhab Syafie diharuskan untuk orang Muslim memandikan , menanam dan mengikuti jenazah orang bukan Islam.

Ini bermaksud, jika dibenarkan untuk kita mengikuti jenazah orang bukan Islam sehingga ke kawasan perkuburan mereka maka tiadalah masalah untuk kita menghadiri majlis memperingati kematian mereka.

MELAWAT PERKUBURAN BUKAN ISLAM

Al-Imam Nawawi rahimahullah menyebutkan lagi bahawa melawat perkuburan bukan Islam adalah harus.Tiada masalah padanya.

Beliau mengatakan bahawa pendapat daripada al-Imam Mawardi rahimahullah yang mengatakan bahawa ianya tidak dibenarkan kepada golongan Muslimin adalah salah.Pendapat yang benar di sisi para ulama bermazhab Syafie adalah dibenarkan untuk Muslimin melawat perkuburan bukan Islam.

Ini berdasarkan umum lafaz hadis Baginda sallallahu alaihi wasallam yang diriwayatkan oleh al-Imam Muslim rahimahullah:

فزوروا القبور فإنها تذكر الموت

Maksudnya : Pergilah berziarah ke kubur, sesungguhnya dengan menziarahi kubur akan mengingatkan kamu kepada mati.

Hadis Baginda sallallahu alaihi wasallam tidak pula menyebutkan perkuburan siapa yang patut dilawati.Jika dilihat pada sejarah dan sirah Baginda sallallahu alaihi wasallam, para sahabat ketika masuk Islam ada di antara ibu bapa mereka yang telah meninggal dunia.Di antara ibu bapa para sahabat Baginda sallallahu alaihi wasallam yang meninggal tentu ada yang meninggal dunia ketika masih di dalam keadaan belum memeluk Islam.Ada yang meninggal setelah Baginda sallallahu alaihi wasallam menjadi Rasul dan mereka tetap di dalam agama masing-masing.Maka hadis tersebut disebutkan secara umum.Maka menurut para ulama Usul:

العبرة بعموم اللفظ لا بخصوص السبب

Maksudnya: Sesuatu perkara tersebut diambil berdasarkan umum lafaz yang disebutkan bukannya dengan khusus mengapa lafaz tersebut diucapkan.

MEMBAWA API DAN LILIN KETIKA KEMATIAN

Al-Imam Nawawi rahimahullah juga menyebutkan permasalahan membawa api ketika majlis kematian di dalam kitabnya Majmu’.Kata al-Imam Ibn Sabbagh rahimahullah dan para ulama Syafie yang lain: Api yang dimaksudkan oleh al-Imam Syafie di dalam kitabnya ialah kemenyan .Maka hukumnya makruh.

Jika kita melihat pula di dalam hadis Baginda sallallahu alaihi wasallam yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada riwayat Saidina Amru bin al-As radhiyallahu anhu:

إذا أنا مت فلا تصحبني نار ولا نائحة

Maksudnya: Jika aku(Baginda sallallahu alaihi wasallam) wafat, janganlah kamu iringi dengan api dan raungan.

Api yang disebutkan di dalam hadis juga umum.Maka termasuklah apa sahaja jenis api.Ini seperti yang diterangkan di dalam riwayat al-Baihaqi daripada Saidina Ubadah bin Shamit , Saidatina Aisyah, Saidatina Asma’ dan lain-lain para sahabat ridwanullah alaihim ajma’in.

Hukumnya adalah makruh.Jika kepada Baginda sallallahu alaihi wasallam sendiri makruh maka kepada orang lain apatah lagi bukan Islam maka lebih-lebih lagi akan menjadi makruh.

Al-Imam Nawawi rahimahullah mengatakan bahawa jika ada ulama yang mengatakan hukumnya adalah haram maka ianya tertolak.

Jadi perbuatan YB Nizar membawa lilin tersebut adalah makruh hukumnya.Perkara ini juga diketahui secara jelas bahawa bukanlah perkara ibadah di dalam masyarakat Cina malah ianya hanyalah adat. Maka perbuatan tersebut bukanlah HARAM.

MENGUCAPKAN TA’ZIYAH KEPADA SI MATI

Al-Syeikh Doktor Wahbah Zuhaili hafizahullah menyebutkan di dalam kitab Fiqh Islami jilid 2 bahawa jumhur para Ulama (Hanafiyah, Malikiyah dan Syafieyah ) mengatakan harus bagi seorang Muslim untuk mengucapkan ta’ziyah kepada seorang Kafir.

Para ulama Hanabilah sahaja yang berpendapat mengatakan bahawa mengucapkan ta’ziyah kepada bukan Islam adalah Haram.Ini kerana bagi para ulama Hanabilah , ianyanya seolah-olah meninggikan golongan bukan Islam.Hukumnya samalah seperti memberi salam kepada bukan Islam.

Berdasarkan pendapat Jumhur ulama maka hukumnya adalah harus.Jadi tiadalah masalah untuk sesiapa sahaja di kalangan umat Islam menghadiri majlis mengucapkan ta’ziyah kepada bukan Islam.

KESIMPULAN

Sudah jelas lagi bersuluh perkara tentang hukum ini telah dijelaskan oleh para ulama dengan secara terperinci.Mengapa dengan sebab perkara yang sebegini perlu untuk diperbesar-besarkan?Adakah sudah tiada pekerjaan lain maka kita terpaksa mencari-cari kesalahan orang lain?

Kebenaran lebih berhak diikuti.Kepada YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Zambry Abd Kadir letakkan hukum dan mintalah fatwa tentang ISA dan pemahaman sekular yang semakin berleluasa.Itu lebih baik untuk dibahaskan daripada permasalahan membawa lilin di Majlis Teo Beng Hock.

Rujukan

1.Majmu' Syarah Muhazzab oleh Imam Nawawi rahimahullah Cetakan Darul A'lam Kutub

2.Fiqh Islami wa Adillatuhu oleh Syeikh Wahbah Zuhaili cetakan Darul Fikr

3.al-Mu'tamad fi fiqh al-Syafie oleh Syeikh Muhammad Zuhaili cetakan Darul Qalam

Mohd Nazrul Abd Nasir,
Rumah Kedah Hayyu Asyir,
Kaherah Mesir.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...