Rabu, 6 Mei 2009

ULAMA, KEPEMIMPINAN DAN PERJUANGAN



Hangat juga sekarang dengan isu “ Kepemimpinan Ulama”. Sehingga ada di kalangan golongan yang mengaku mereka sebagai ahli gerakan Islam dan pejuang agama Allah sanggup memperkecil-kecilkan para ulama dalam keadaan mereka tidak sedar semata-mata untuk memenangkan pendapat mereka. Saya tidaklah mahu menambahkan kehangatan tersebut. Sekadar mahu memperingatkan kepada semua pihak agar kita meraikan prinsip ilmu dan tatacara perbicaraan sesuatu isu. Bukan membicarakan dengan hawa nafsu, tetapi berlandaskan syarak dan ilmu yang benar.

Ada yang mengatakan bahawa ulama tidak profesional dan sebagainya. Saya pun tidak jelas apa yang menyebabkan mereka mengatakan ulama tidak professional. Jika kita merujuk kepada Kamus Dewan Bahasa Edisi Keempat, maksud profesional antaranya ialah orang yang mengamalkan (kerana pengetahuan,kepakaran dan kemahirannya)sesuatu bidang profesion.

Manakala maksud ulama pula (seperti yang disebutkan di dalam Kamus Dewan Bahasa) ialah orang yang ahli(pakar)dalam pengetahuan agama Islam. Jika dipadankan kedua-dua kalimah tersebut( ulama & profesional), maka secara tidak langsung ulama sebenarnya adalah seorang yang profesional. Ini kerana profesional bukanlah merujuk kepada sesuatu bidang pekerjaan tertentu sebaliknya kepada kepakarannya. Jika seseorang tersebut pakar di dalam sesuatu bidang maka layak untuk digelar seseorang tersebut profesional. Seorang petani yang pakar dalam bidang pertanian yang diceburinya maka layak untuk digelar petani yang profesional. Begitulah seterusnya.

Maka perkataan “ Ulama tidak Profesional” seperti yang didengari tidak selayaknya diucapkan kerana berlaku percanggahan makna.

Tetapi jika kita mengatakan “kami ingin memprofesionalkan ulama” maka ini tidaklah menjadi masalah. Sepatutnya memprofesionalkan ulama yang perlu dibincangkan bukannya ulama profesional atau tidak.

Selesai satu bab. Masuk pula bab perbincangan kedua. Ramai orang pada waktu sekarang mempersoalkan kredebiliti seorang ulama memegang tampuk kepimpinan. Kata mereka “ulama tidak pandai memimpin oleh sebab itu kami ingin mengambil golongan profesional menjadi pemimpin”. Adakah pendapat ini benar? Kalau kita mempelajari ilmu Mantiq (ilmu pemikiran) terdapat sebuah istilah yang dinamakan oleh Ulama Mantiq sebagai al-Khabar (الخبر). Maksud al-Khabar ialah ما يحتمل الصدق و الكذب (sesuatu yang boleh dipertimbangkan samaada ianya benar atau tidak.

Jadi pernyataan yang golongan sebegini sebutkan kita boleh klasifikasikan sebagai al-Khabar @pernyataan. Maka sudah tentu ianya boleh dipertimbangkan sama ada benar atau tidak pernyataan tersebut. Saya tidak mahu menghukum sama ada benar atau tidak. Saya serahkan kepada sidang pembaca untuk menilai sejarah perjuangan Islam di bumi Malaysia khususnya dan dunia umumnya , adakah benar pernyataan sebegini. Mengapa sudah puluhan malah ratusan tahun para ulama memimpin memimpin tidak pernah timbul soal sebegini, tiba-tiba pernyataan sebegini keluar daripada mulut dan perbuatan kita tanpa kita sedari. Para ulama yang Baginda sallallahu alaihi wasallam berikan mandat sebagai pewaris para Nabi alihimussolatu wassalam diperkecilkan dan diperkotak-katikkan kebolehan mereka sebagai pemimpin? Baginda sallallahu alaihi wasallam tidak akan memberikan perumpamaan melainkan terdapat banyak kesamaan antara sesuatu perkara tersebut. Para Nabi diutuskan untuk memimpin sebuah ummat . Bilamana Baginda sallallahu alaihi wasallam menyamakan tugas para ulama dengan tugas para Nabi, maka secara tak langsung seolah-olah Baginda sallallahu alaihi wasallam ingin memberikan perhatian kepada Ummatnya bahawa ulama perlu memimpin.

Maksudnya tidak perlu timbul pula isu lain bahawa ulama gilakan kuasa. Bukan gila kuasa tetapi memandang kepada kewajipan dan tanggungjawab. Tugas ulama penting di dalam sebuah Negara dan Jamaah Islam. Saya tidak mengatakan golongan yang mempertikaikan kepimpinan ulama ini ingin menafikan terus kredibiliti ulama. Cuma rasa was-was dan tidak yakin terhadap ulama yang menyebabkan mereka berani mengeluarkan pendapat sebegini. Semangat tanpa ilmu yang matang menyebabkan slogan sebegini keluar (walaupun tidak dibuat Banner dan sepanduk). Perkara ini merebak ke segenap lapisan masyarakat, termasuk yang hanya bercakap-cakap di kedai kopi juga ingin masuk campur dalam masalah kepimpinan ulama ini.

Baru-baru ini ketika pulang ke Malaysia, saya dijemput untuk memberikan ceramah di sebuah Markaz Parti Islam SeMalaysia (PAS) di sebuah kawasan yang tidaklah perlu saya nyatakan di sini. Sebelum memberikan ceramah, saya dijemput minum bersama-sama ahli jawatankuasa Markaz tersebut. Sambil minum tersebut , kami berbincang berkenaan pilihan raya kecil Permatang Pauh yang semakin hampir ketika itu. Di dalam perbincangan yang ringkas itu, salah seorang yang berada di dalam majlis bersama kami sempat memberi komen tentang kepimpinan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang. Seolah-olah tuan guru tidak bijak menyusun strategi dan lain-lain. Terkejut bila saya mendengarkan perkara sebegini boleh diucapkan oleh ahli yang tidak pernah berada di tampuk kepimpinan. Maksudnya perkara memperlecehkan ulama sebegini sudah makin menyerap ke dalam pemikiran masyarakat. Mengapa boleh jadi begini? Sebab itulah, bilamana tuan guru Presiden keluarkan pendapat berkenaan Unity Government ,ramai yang tidak memahaminya dan belum sempat untuk memahaminya terus menempelak tuan guru. Seolah-olah tuan guru ingin menggadaikan PAS.

Pelik saya dengan sikap pihak sebegini. Jika kita memahami konsep patuh dan hormat pada pemimpin, maka sebaiknya kita kaji dahulu dan bincang sebaiknya , lihat dan teliti maksud sebenar pemimpin yang kita sayangi. Bukan terus menghujum dan membuat penilaian-penilaian yang lebih membuka kebodohan dan ceteknya pemikiran kita.

Saya tidaklah mengatakan ulama tidak boleh dikritik, cuma adab dan cara kritikan tersebut perlulah bersesuaian . Inilah masalahnya bilamana kita mempunyai sedikit kedudukan maka kita mula merasakan seolah-olah kita sudah sebaris dengan para ulama.

Ulama terlalu penting berada di dalam gerakan Islam. Bukan hanya sekadar berada di dalam gerakan malah perlu memimpin gerakan tersebut. Maksudnya jika tiada golongan ulama yang faham maka akan berlaku porak-peranda. Hadis yang terkenal sebagai Hadis al-Safinah(hadis yang menceritakan berkenaan kapal) yang diriwayatkan oleh al-Imam Bukhari,Imam Tirmizi dan Imam Ahmad bin Hambal radhiyallahu anhum menceritakan perumpamaan yang diberikan oleh Baginda sallallahu alaihi wasallam berkenaan golongan yang berada di dalam kapal yang mana setelah diadakan undian maka sebahagiannya berada di bawah dan sebahagian di atas. Maka yang berada di bawah terpaksa melalui orang yang di atas untuk mengambil air.Maka mereka merasakan seolah-olah telah menyusahkan orang yang di atas. Inisiatif yang mereka ambil bagi merungkaikan masalah tersebut ialah dengan mengambil kapak dan terus menebuk kapal dari bawah semata-mata untuk mengambil air. Jika orang yang di atas tidak menegur maka akan karamlah kapal tersebut. Jika orang yang di atas menegur dan memantau maka akan selamatlah semua yang berada di dalam kapal tersebut.

Kapal tersebut bolehlah kita ibaratkan sebagai sebuah Jamaah Islam. Manakala golongan yang berada di atas ialah orang yang memahami tentang pergerakkan kapal tersebut. Manakala yang berada di bawah pula ialah golongan yang bersemangat dan ingin cepat sampai kepada sesuatu yang dikehendaki tanpa berbincang terlebih dahulu dengan orang di atas yang memahami malah mereka tidak sedar bahawa mereka telah melakukan kemungkaran. Maka jika yang di atas sebegini dinafikan haknya untuk berada di dalam kapal seolah-olah mereka tidak mengerti, maka bila-bila masa sahaja kapal tersebut akan karam dengan golongan yang melakukan kemungkaran sebegini. Sengaja saya ceritakan dahulu sinopsisnya sebelum menyebutkan hadisnya biar semua faham apa yang ingin saya ceritakan tentang hadis ini dan kaitannya dengan perbincangan kita sekarang. Hadisnya berbunyi:

عن النعمان بن بشير رضى الله عنه قال: قال النبى صلى الله عليه و سلم : مثل القائم على حدود الله و الواقع فيها و المُدهِنِ فيها مَثَلُ قوم استهموا سفينة فصار بعضهم في أسفلها و صار بعضهم في أعلاها فكان الذين في أسفلها يمرون بالماء على الذين في أعلاها , فتأذوا به فأخذ فأساً فجعل ينقُرُ أسفل السفينة , فأتوه فقالوا : ما لك؟ قال: تأذيتم بي و لا بد لي من الماء فإن أخذوا على يديه أنجَوهُ و نجَّوا أنفسهم, و إن تركوه أهلكوه و أهلكُوا أنفسهم

Maksudnya: Diriwayatkan oleh Saidina Nu’man bin Basyir radhiyallahu anhu katanya: Sabda Baginda sallallahu alaihi wasallam: Perumpamaan bagi orang menegakkan kebenaran (melakukan amar makruf nahi mungkar), dan orang yang melakukan kemungkaran, dan orang yang diam bilamana kemungkaran tersebut berlaku di depan mata mereka ialah seperti golongan yang mengadakan undian untuk menaiki sebuah kapal. Maka sebahagiannya berada di bawah dan sebahagian lagi berada di atas.Golongan yang berada di bawah terpaksa melalui orang yang di atas untuk mengambil air, maka mereka telah menyusahkan golongan yang berada di atas dengan sebab pergerakan mereka tersebut.Maka golongan tersebut terus mengambil kapak dan mula menebuk kapal tersebut. Maka golongan di atas datang dan bertanya :Apa yang kamu lakukan ini? Maka jawab golongan ini: Aku telah merasakan bahawa aku menyusahkan kalian, dan aku memerlukan air( maka sebab itulah dia ingin menebuk kapal tersebut semata-mata untuk memudahkannya). Jika golongan di atas menghalangnya melakukan sedemikian, maka selamatlah dia dan semua yang berada di atas kapal, jika dibiarkan maka akan hancurlah dia dan semua yang berada di atas kapal.

Bayangkan jika tiada orang yang faham(ulama) berada di dalam kapal tersebut, yang mampu untuk memberikan arahan dan mampu untuk ditaati oleh semua.Maka tentulah rosak dan karam kapal tersebut sebelum sampai ke destinasinya.

Fikir-fikirkanlah bersama. Jangan menggunakan hawa nafsu dan perasaan. Gunakan ilmu dan pengetahuan untuk menilai. Masih ada waktu dan kesempatan. Wallahu a’lam.

AKHUKUM,

MOHD NAZRUL ABD NASIR,
AL-AZHAR MESIR..
12.00 TGH

5 ulasan:

  1. Assalamualaikum W.B.T

    Ulasan yang bernas.
    Memandangkan perbahasan "ulama dan profesional"sudah menjadi satu isu hangat menjelang muktamar PAS nanti,saya kira ianya juga perlu disikapi secara profesional.

    Bermanfaat juga artikel ini;
    http://saifulislam.com/?p=5549#more-5549

    BalasPadam
  2. Assalamualaikum W.B.T

    Ulasan yang bernas.
    Memandangkan perbahasan "ulama dan profesional"sudah menjadi satu isu hangat menjelang muktamar PAS nanti,saya kira ianya juga perlu disikapi secara profesional.

    Bermanfaat juga artikel ini;
    http://saifulislam.com/?p=5549#more-5549

    BalasPadam
  3. Antara masalah utama dalam jamaah ialah apabila berdepan dengan ahli yang jahil...pemimpin perlu mencari jalan untuk memberi penerangan kepada mereka untuk mengelakkan mereka menjadi duri dalam daging dalam jemaah akibat dari kejahilan mereka..

    BalasPadam
  4. a.kom...dgn rengkasnya saya memberi pandangan,jika dimalaysia kita islam dimulakan dgn raja2 kita,kerana bahasa dan sayangkan raja2,maka kita memikirkan dgn benar2 serius tindakan raja kita mengubah agama dari hindu kepada islam,dan bahasa pula,setiap ucapan meislam org2 melayu di fahami oleh setiap org2 melayu..munkin...hj hadi dan kwn2nya tak islam tanpa raja kita mulakan,bukan politik menentukan islam dimalaysia dan saya tidak membuang sesiapa yg tak setuju pandangan saya,kerana ALLAH hanya menerima satu(1) islam maka...kita perlu bersatu(1),sekian wassalam

    BalasPadam

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...