Seringkali saya ke kedai-kedai buku di Malaysia bagi mencari bahan bacaan santai berbentuk agama. Namun , natijahnya hampa. Boleh dikatakan agak sukar menemukan buku-buku atau bahan bacaan santai yang boleh dibaca oleh segenap lapisan masyarakat.
Ya, paling banyak bahan bacaan yang akan kita ketemu di kedai-kedai buku hanyalah berkisar tentang artis dan sukan bolasepak. Saya terfikir bilakah kita akan boleh keluarkan majalah-majalah seperti al-Kisah , sebuah majalah kisah Islami yang dikeluarkan oleh para pencinta ilmu di Indonesia yang boleh didapati hanya dibeberapa tempat tertentu sahaja di bumi Malaysia seperti di Yayasan al-Jenderami dan Yayasan al-Sofa.
Dulu kita pernah terlihat kelibat majalah al-Hidayah di pasaran Malaysia. Namun sekarang sudah kurang kedapatan di kedai-kedai buku. Namun sedikit yang menyedihkan tentang majalah al-Hidayah ini adalah kerana fahaman dan penulisan di dalamnya agak bercampur. Misalnya, muka hadapan majalah menceritakan tentang Sambutan Maulid Baginda sallallahu alaihi wasallam, tiba-tiba bilamana kita menyelak lembaran yang seterusnya, ada juga diselitkan artikel yang melarang sambutan Maulid Baginda sallallahu alaihi wasallam. Kalau yang tidak punya asas membacanya, sudah tentu akan terkeliru. Mana satu yang perlu diikuti? Yang membenarkan atau yang melarang? Sedang tidak ada kata putus yang dikeluarkan.
Al-KISAH MEMBUKA MINDA
Berbeza dengan majalah al-Kisah, yang dipaparkan adalah pandangan para Kiyai dan Habaib yang memimpin pesantren di Indonesia disamping pandangan para ulama daripada Hadramaut, Yaman.
Saya tidak menafikan wujudnya majalah seperti Solusi dan lain-lain yang berbicara tentang Islam. Namun persembahan al-Kisah saya kira lebih menarik. Ini cuma pandangan peribadi.
Mana ada majalah yang menyediakan Pin-Up berbentuk gambar para ulama dan doa-doa. Apa yang selalu kita ketemu adalah Pin-Up berbentuk gambar-gambar artis yang berpakaian separuh bogel. Sekurang-kurangnya dengan Pin-Up gambar ulama menyebabkan golongan remaja mahupun kanak-kanak dapat mengenali para ulama dahulu dan sekarang.
Bilamana saya melihat majalah ini, terlintas di dalam benak saya untuk berusaha menerbitkan majalah seperti yang dikeluarkan oleh Tok Kenali satu ketika dahulu iaitu Pengasuh. Saya pernah terbaca majalah Pengasuh selepas era Tok Kenali ketika menuntut di Kolej Islam Sultan Alam Shah . Namun sedih kerana pandangan di dalam majalah tersebut ternyata bertentangan dengan pegangan yang dibawa oleh Tok Kenali ketika mula-mula menerbitkan Pengasuh. Tujuan Pengasuh adalah bagi membendung fahaman Kaum Muda @ Wahabi @ Salafi Jadian yang berleluasa pada ketika tersebut. Namun golongan Kaum Muda ini sangat bijak, mereka menyusup masuk dan akhirnya menjadi penulis-penulis bagi artikel di dalam majalah Pengasuh dan akhirnya menyebarkan fahaman mereka dengan menggunakan nama Pengasuh selepas kematian Tok Kenali.
AYUH PARA AZHARI DAN SAHABAT-SAHABAT DI PONDOK PENGAJIAN KITA BERGABUNG TENAGA
Inilah masanya para Azhari dan sahabat-sahabat yang menuntut di Pondok Pengajian di Malaysia serta sahabat-sahabat yang belajar di Timur Tengah untuk sama-sama kita gembleng tenaga bagi melahirkan majalah yang mampu memberikan suntikan semangat dakwah kepada masyarakat . Dakwah yang bebas daripada fahaman menyeleweng seperti Syiah, Wahabi , dan lain-lain yang bertentangan dengan fahaman Ahlussunnah Wal Jamaah al-Asya’irah wal Maturidiah.
Biarkan artikel-artikel itu ditulis sendiri oleh para ulama yang dipercayai kelayakan ilmu agamanya. Biarkan artikel-artikel tersebut disunting dan disemak oleh para Tuan Guru . Biarkan fikrah para ulama dapat disebarkan secara meluas dalam bentuk tulisan.
Inilah caranya untuk kita bergabung tenaga. Tidak ada kemampuan untuk mengajar ilmu di masjid-masjid sekurang-kurangnya menjadi pembantu bagi menjayakan misi ini dengan menjadi ahli jawatankuasa pengeluaran Majalah yang belum difikirkan namanya ini.
Moga niat ini akan direalisasikan kelak InsyaAllah. Ya benarlah sabda Baginda sallallahu alaihi wasallam :
Ini bermakna, jika seseorang mukmin tersebut hanya baru berniat melaksanakan kebaikan, maka itu sudah mendapat pahala walau belum melaksanakannya.
Semoga ada sahabat yang akan memberikan dorongan terbaik pada pewaris para ulama ini. Aminn..
Mohd Nazrul Abd Nasir,
Penuntut Ilmu Di Al-Azhar al-Syariff & Masjid al-Asyraff,
Rumah Mak Ayah di Pedu,
1.48 Pagi