Ahad, 23 Januari 2011

Bagaimana Bersuci Bagi Pesakit Yang Berbalut Anggotanya?

Seorang isteri yang solehah telah menelefon suaminya bagi menyelesaikan satu permasalahan hukum Fikah berkaitan dengan wudhuk dan mandi bagi seseorang yang berbalut anggota badannya. Ikuti perbincangan mereka berdua :

Ummu Muhammad : Assalamualaikum abang.

Abu Muhammad : Waalaikumussalam sayangku ( sambil tertawa kecil ).

Ummu Muhammad : Abang, saya ingin menyampaikan hajat seorang sahabat yang ingin mendapat penjelasan hukum daripada abang berkenaan dengan hukum berwudhuk dan mandi wajib bagi seseorang yang berbalut anggota badannya.

Abu Muhammad : Oh begitu. Sebelum itu sebaiknya sayang bertanya dulu kepada sahabat tersebut adakah bermasalah jika dia membuka balutan tersebut atau tidak? Jika bermasalah dan akan menimbulkan mudharat maka tidak perlu bagi dia membuka balutan tersebut. Namun jika tidak bermasalah, maka wajib baginya untuk membuka balutan tersebut.

Ummu Muhammad : Nanti saya akan tanyakan ye abang. Cuma kalau dia tidak dapat membuka balutan tersebut bagaimanakah caranya untuk dia berwudhuk dan mandi?

Abu Muhammad : Baik, abang akan terangkan dulu cara bagaimana untuk sahabat sayang berwudhuk. Caranya mudah sahaja. Sebelum itu abang ingin bertanya, bahagian anggota badan yang mana yang berbalut itu?

Ummu Muhammad : Bahagian kaki kanan.

Abu Muhammad : Semoga Allah taala akan menyembuhkan dengan segera kaki tersebut. Cara berwudhuk bagi sahabat tersebut adalah seperti biasa iaitu dengan memulakan niat berwudhuk kemudian membasuh muka, membasuh kedua tangan dan membasuh kepala. Bilamana sampai di kaki kanannya maka dia perlu bertayammum bagi menggantikan anggota yang berbalut tersebut. Cara bertayammum adalah seperti biasa iaitu dengan menyapu muka dan tangan sehingga ke siku dengan tanah yang suci. Setelah selesai bertayammum maka dia perlu membasuh anggota kaki yang tidak berbalut dan jangan lupa untuk menyapu air di atas tempat yang berbalut tersebut. Selesai perkara tersebut barulah dia dibenarkan untuk membasuh kaki kirinya  bagi menyelesaikan wudhuk.

Ummu Muhammad : Oh begitu ya. Cuma tadi abang ada katakan bahawa setelah bertayammum maka pesakit tersebut perlu membasuh anggota yang tidak berbalut dan menyapu di atas bahagian yang berbalut tersebut. Bagaimana gambarannya ya?

Abu Muhammad : Begini contohnya jika yang patah itu adalah bahagian tumitnya. Maka jika bahagian yang berbalut itu adalah bahagian tumit sahaja , wajib bagi pesakit tersebut untuk membasuh bahagian yang tidak berbalut seperti jari kaki dan tapak kakinya yang tidak berbalut dan kemudian menyapu air di atas balutan tumit tersebut.

Ummu Muhammad : Tetapi abang, kebanyakkan hospital pada zaman sekarang akan membalut lebih daripada bahagian yang patah. Kalau bahagian yang patah tersebut adalah tumit, yang dibalutnya adalah seluruh kaki tersebut.

Abu Muhammad : Iya tak ya juga .. hehe.. Maka jika keadaan sebegini , apa yang perlu bagi si pesakit tersebut adalah dengan bertayammum seperti yang diterangkan sebelum ini dan kemudian menyapu di atas kaki yang berbalut tersebut dengan air.

Ummu Muhammad : Oh begitu. Kemudian abang, bagaimana pula caranya untuk mandi wajib?

Abu Muhammad : Caranya juga mudah. Ambil air dan tuangkan di atas kepala . hehe.. Bergurau sahaja. Pesakit tersebut boleh memilih sama ada ingin mendahulukan mandi atau bertayammum. Afdhalnya( yang terbaik ) seperti yang diterangkan oleh para ulama ialah dengan mendahulukan tayammum bagi menggantikan tempat yang berbalut tadi. Kemudian mandi seperti biasa. Jika bahagian yang berbalut tersebut .

Ummu Muhammad : Boleh abang terangkan , adakah perlu bagi pesakit tersebut untuk mengulangi semula berwudhuk jika dia ingin menunaikan solat fardhu yang lain selepas itu?

Abu Muhammad : Bagus soalan ini. Jika si pesakit telah berwudhuk untuk menunaikan solat pada waktu zohor. Bilamana masuk waktu asar wudhuknya masih lagi kekal dan tidak batal. Maka apa yang perlu baginya ialah hanya bertayammum. Ini adalah pendapat yang muktamad di sisi al-Imam al-Nawawi rahimahullah. Ini bermaksud selagi mana dia tidak melakukan perkara yang membatalkan wudhuk maka setiap kali masuk waktu solat yang baru samada asar, maghrib atau isya’ , apa yang perlu dilakukan olehnya hanyalah bertayammum sahaja dan tidak perlu mengulangi wudhuknya. Tetapi jika wudhuknya telah batal, maka wajib baginya mengulangi sepertimana yang diterangkan sebelum ini.

Ummu Muhammad : Begitu caranya ye. Bagaimana pula dengan permasalahan qada’ bagi solat pesakit tersebut setelah dia sihat kelak? Adakah perlu baginya untuk menggantikan semula solatnya setelah dia sihat?

Abu Muhammad : Permasalahan ini agak terperinci. Perlu bagi sayang untuk memahaminya dengan baik.

Pertama : Perlu dilihat sama ada pembalut tersebut dibalut pada anggota tayammum atau tidak. Anggota tayammum adalah muka dan kedua tangan sampai ke siku. Jika bahagian balutan tersebut adalah pada anggota tayammum, maka wajib bagi pesakit tersebut untuk mengulangi atau menggantikan semula solatnya setelah sihat kelak.

Kedua: Jika pembalut tersebut bukan pada anggota tayammum iaitu selain daripada muka dan tapak tangan maka perlu diperhatikan sama ada yang berbalut tersebut adakah sekadar kawasan luka atau melebihi kawasan luka.

Jika kawasan yang berbalut tersebut hanya sekadar kawasan yang luka atau patah, maka wajib bagi pesakit tersebut untuk membasuh bahagian yang tidak berbalut dan bertayammum bagi menggantikan kawasan yang luka dan disunatkan bagi pesakit untuk menyapu di atas kawasan berbalut tersebut dengan tanah. Jika begini keadaannya , maka pesakit tersebut tidak perlu menggantikan atau mengulang semula solatnya setelah dia sihat kelak.

Manakala jika kawasan yang berbalut tersebut adalah melebihi kawasan yang luka atau patah, seperti keadaan yang berlaku kepada sahabat yang sayang ceritakan kepada abang, maka ada dua gambaran yang boleh kita berikan :

Pertama: Jika kawasan yang melebihi tersebut adalah sekadar untuk menguatkan pegangan balutan tersebut , dan sebelum diletakkan balutan tadi pesakit telah bersuci iaitu dengan berwudhuk, maka di dalam keadaan ini pesakit tersebut tidak perlu untuk mengulang atau menggantikan semula solatnya setelah dia sihat kelak. Tetapi jika diletakkan balutan tersebut dalam keadaan pesakit tadi tidak berwudhuk terlebih dahulu maka wajib baginya untuk mengulangi atau menggantikan semula solatnya setelah dia sihat kelak.

Kedua :  Jika kawasan balutan itu melebihi kadarnya , contohnya seperti bahagian yang patah hanyalah ibu jari kaki, manakala yang dibalut dengan simen adalah sampai ke betisnya. Maka ini dikira melebihi kadar yang sepatutnya. Jika begini keadaannya, maka pesakit tersebut wajib mengulangi atau menggantikan semula solatnya selepas sihat kelak sama ada simen tersebut diletakkan setelah dia berwudhuk atau tidak.

Namun, abang lebih suka untuk mengambil pandangan al-Imam al-Nawawi rahimahullah yang mana beliau juga mengambil pandangan al-Imam al-Muzani rahimahullah yang mengatakan bahawa orang yang dibalut anggotanya tidak perlu untuk mengulangi semula solatnya walau bagaimana keadaan sekalipun pesakit tersebut.

Ummu Muhammad : MasyaAllah, mudahnya Islam kan bang?

Abu Muhammad : Ya, Islam itu mudah sekali untuk diamalkan, namun yang sukarnya adalah bagi mengeluarkan hukum yang terdapat di dalamnya. Oleh sebab itulah kita perlu berpegang dengan pandangan para ulama yang memahami bagaimana cara mengeluarkan hukum daripada nasnya.

Ummu Muhammad : A’a bang, ramai sangat zaman sekarang nie yang menyalahgunakan istilah “ Islam itu mudah” dengan mengatakan bahawa mengeluarkan hukum di dalam Islam juga mudah. Sedangkan maksud sebenar Islam itu mudah ialah mudah untuk diamalkan kerana wujudnya para ulama ummah yang bertungkus lumus memahamkan ummah hukum hakam agama. Semoga ilmu abang akan semakin bertambah dan mendapat kejayaan di dunia dan akhirat. Amin Ya Rabb.

Abu Muhammad : Amin Ya Rabb. Jaga diri baik-baik sayangku. Assalamualaikum.

Ummu Muhammad : Waalaikumussalam abang.

p/s: Dialog di atas tiada kena mengena dengan yang hidup atau yang telah mati. Sekadar untuk memudahkan kefahaman kita bersama.hehe.

Rujukan:

1.    Taqrirat Sadidah Fi Masa’il Mufidah oleh al-Syaikh Hasan bin Ahmad bin Muhammad al-Kaf , Cetakan ke 4 tahun 2006 Darul al-Mirath al-Nabawi

2.    Mughni al-Muhtaj oleh al-Imam al-Allamah Syamsuddin Muhammad bin Khatib al-Syirbini rahimahullah , Juzuk 1, Darul Makrifah Beirut

3.    Mawahib al-Somad Fi Halli Alfadz al-Zubad oleh al-Imam al-Allamah Ahmad bin Hijazi al-Fashni rahimahullah , cetakan Darul Basyair al-Islamiyah dan Maktabah Darul Fajr.
 
Mohd Nazrul Abd. Nasir,
Penuntut Ilmu Masjid al-Azhar al-Syariff & Masjid al-Asyraff,
Syari' Ahmad Fahim , Hayyu 7,
Madinat Nasr, Kaherah

Sabtu, 22 Januari 2011

Ke Mana Kita Selepas Peperiksaan?

Musim peperiksaan di al-Azhar al-Syarif masih belum tamat sepenuhnya. Gembira melihat suasana para penuntut ilmu di al-Azhar al-Syarif, masing-masing kitab ditangan. Tidak jemu-jemu membelek, menelaah serta cuba memahami sebaiknya setiap butir kalimah di dalam kitab kuliyyah mereka. Adakah keadaan ini akan berterusan? Atau hanya cuba mahu memahami setiap kalimah di dalam kitab kuliyyah dan kemudian sudah merasa cukup dengan apa yang ada? Atau setiap kali membaca, maka akan terasa betapa kurangnya ilmu berbanding mereka-mereka yang mampu memahami serta mengeluarkan setiap mutiara di dalamnya di dalam bentuk pengamalan? Tepuk akal, tanya ke mana seterusnya kita..

Peperiksaan ada baik dan buruknya. Baiknya ialah sekurang-kurangnya masih punya waktu untuk membaca sesebuah kitab. Buruknya ialah akan lahirnya ramai golongan yang boleh kita klasifikasikan sebagai “ pelajar peperiksaan semata-mata”. Ini realiti yang patut diakui oleh semua walaupun saya yakin pasti ada yang kurang bersetuju. 
 
PEPERIKSAAN ADALAH BID'AH

Oleh sebab itulah, Syaikhu Syaikhina al-Allamah al-Muhaddis Abdullah Siddiq al-Ghumari rahimahullah pernah menyebutkan bahawa peperiksaan yang ada pada sekarang ada kalanya boleh diklasifikasikan sebagai bid’ah yang tidak baik. Mana tidaknya, hanya berpada dengan kitab kuliyyah yang dibacanya, malah lebih memilukan hanya tajuk yang akan keluar di dalam soalan peperiksaan sahaja yang dibacanya, maka seterusnya bilamana mendapat keputusan yang baik, terus menganggap bahawa dirinya adalah golongan bijak pandai, alim ulama pewaris anbiya’, ajen perubah masyarakat, pentajdid dan lain-lain istilah moden yang digunakan. Selepas peperiksaan , maka kehidupan asalnya akan kembali seperti biasa. Jika kebiasaannya adalah berjalan-jalan serta melancong sekitar Mesir, maka begitulah keadaannya setelah peperiksaan. Jika kebiasaannya tidur sepanjang hari, maka begitulah kebiasaannya setelah peperiksaan.

Maaf jika saya katakan bahawa peperiksaan kadang-kadang menyebabkan seseorang tersebut menjadi hipokrit. Tetapi ini tidak bermakna saya menentang peperiksaan. Saya MENYOKONG 100% peperiksaan wujud kerana jika tiada langsung peperiksaan, maka bimbang ada di kalangan pelajar yang langsung tidak pernah membaca kitab.

Ulama-ulama dahulu dan sekarang juga boleh dikatakan semuanya keluar daripada peperiksaan yang sama. Cuma perlu dilihat kehidupan mereka setelah peperiksaan bagaimana? Seperti kitakah? Para ulama mengajar kita setiap hari adalah merupakan peperiksaan. Maka mahu tidak mahu perlu untuk membaca dan menghadiri kelas-kelas pengajian bersama para ulama. Perlu buang sikap malas dan bodoh sombong yang ada di dalam diri kita ini.

Teringat seorang ulama pernah berkata : “ Aku sangat menyesal dan merasa sedih jika matahari terbenam pada hari ini sedang ilmuku tiada langsung yang bertambah”.

Sekarang adalah waktu untuk kita mencari sepenuhnya bekalan. Perjalanan kita masih jauh. Masih banyak perhentian dan ujian yang akan kita terima di hadapan. Jika tiada bekalan dan persediaan yang rapi, bagaimana mahu melangkah ke hadapan? Akan tiba masa kamu dan saya akan disibukkan dengan tugas. Maka ketika itu, pasti ada yang akan menyesal dengan waktu lalu yang dibuang begitu sahaja.

BIAR TERHINA UNTUK MENDAPAT MULIA

Biar kita hina ketika menuntut, nanti akan mulia ketika dituntut. Ini sepatutnya menjadi pegangan kita semua.

Maaf saya katakan bahawa saya sangat jelek dan jijik mendengar seorang pelajar al-Azhar menyebut bahawa dia akan menjadi seorang pendakwah dan alim ulama serta menyebarkan dakwah di bumi Malaysia khususnya, namun kehidupannya untuk ke arah itu langsung tiada sinarnya.

Saya juga jelek melihat seorang pelajar yang sesal dengan pengajiannya di al-Azhar, menganggap seolah-olah permukimannya di sini tiada faedahnya. Maka kepada golongan sebegini saya akan katakan : “ Kamu yang buta, mutiara terbentang di hadapan mata, sampah juga yang kamu canangkan”

Silalah terasa kepada sesiapa yang mahu terasa. Saya berpesan kepada diri saya khususnya. Biar kita terpukul sekarang. Jangan dipukul kemudian hari.

Mohd Nazrul Abd Nasir,
Penuntut Masjid al-Azhar al-Syariff & Masjid al-Asyraff,
Hayyu Sabiek, Syari' Ahmad Fahim,
Kaherah Mesir

Ahad, 16 Januari 2011

Pengajian Syamail Muhammadiah dan Syarah Waraqat DiSambung Semula

Setelah 10 bulan tidak beroperasi, islam4peace.net akan kembali menemui anda dengan kelas-kelas pengajian kitab asas khusus kepada semua pelajar. InsyaAllah, kelas pengajian Syamail Muhammadiah dan juga Syarah Waraqat telah bersambung semula dan boleh didapati di bahagian Video @ I4P di dalam folder Bingkisan Taman Syurga.

Perancangan kami untuk menaiktaraf web ini terpaksa kami tunda kerana masalah teknikal dan kewangan. Ini adalah kerana kami mengutamakan pembinaan webtv tvalazhar yang masih dalam pembinaan. InsyaAllah, kami akan mengumumkan webtv tersebut apabila siap sepenuhnya.

Ust Mohd Nazrul Abd Nasir( Syamail Muhammadiah)
Ust Hairul Nizam Mat Hussain ( Syarah Waraqat)

Bagi mereka yang mempunyai artikel yang sesuai, bolehlah menyiarkannya di bahagian artikel. Begitu juga dengan forum. Semoga kita semua ikhlas di dalam menyebarkan agama Allah ini, insyaAllah.
Kredit untuk : Ust Azrul ( Founder Islam4Peace.net)

Ahad, 9 Januari 2011

Mengapa Tidak Terus Minum Daripada Kendinya?

Tertarik dengan satu risalah yang saya terima daripada seorang rakan. Risalah tersebut menceritakan sebuah kisah berkenaan pertemuan seorang pemuda yang mengaku bahawa dia adalah pengikut ajaran Salaf dengan seorang Kiyai @ Tuan Guru di sebuah pesantren di Indonesia.

Apa yang menarik tentang kisah ini ialah bagaimana sikap seorang guru ketika memberi didikan kepada seorang yang datang menempelak dan mencemuhnya. Sabar, setia mendengar setiap yang diluahkan dan pelbagai sikap yang baik yang patut diteladani oleh para pendakwah sekarang daripada Kiyai tersebut. Inilah manhaj sebenar Ahlussunnah Wal Jamaah . Tidak melenting malah memberikan peluang kepada mereka untuk berbicara.

Sikap pemuda yang mengaku mengikut ajaran Salaf ini juga patut diteladani dalam satu aspek iaitu mendengar kembali apa yang diterangkan oleh Kiyai tersebut dan mengakui bahawa dirinya ada melakukan kesalahan. Berbeza dengan sikap pemuda-pemuda sekarang yang mengaku bahawa mereka adalah pengikut ajaran Salaf , yang langsung tidak mahu menerima pandangan orang lain malah  menuduh bahawa para ulama sekarang banyak membawa Bid’ah dan sebagainya. 

Benarlah kata para ulama  :

 
Di sini saya akan mengolah semula cerita tersebut sebagai panduan kepada kita semua. Kisahnya begini :

Suatu hari, datang seorang pemuda ke sebuah Pesantren di Indonesia bertujuan untuk bertemu dengan Kiyai di Pesantren tersebut. Maka berlakulah dialog di antara pemuda dan Kiyai di ruang tamu rumah Kiyai itu.

Pak Kiyai : Silalah duduk anak muda, siapa namamu dan dari mana asalmu?

Pemuda : Terima kasih Pak Kiyai. Nama saya Abdullah dan saya berasal dari Kampung Seberang.

Pak Kiyai : Jauh kamu bertandang ke sini, sudah tentu kamu punya hajat yang sangat besar. Apa hajatnya mana tahu mungkin saya boleh menolongmu?

Pemuda tersebut diam sebentar sambil menarik nafasnya dalam-dalam.

Pemuda : Begini Pak Kiyai, saya datang ke sini, bertujuan ingin berbincang beberapa permasalahan dengan Pak Kiyai. Pendeknya, permasalahan umat Islam sekarang. Saya ingin bertanya, mengapa Kiyai-Kiyai di kebanyakan pesantren di Indonesia, dan Tuan-Tuan Guru di Malaysia serta Pattani dan Asia umumnya sering kali mengajar murid-murid mereka dengan lebih suka mengambil kalam-kalam atau pandangan para ulama? Seringkali saya mendengar mereka akan menyebut : “ Kata al-Imam al-Syafiee, kata al-Imam Ibn Ato’illah al-Sakandari, Kata al-Imam Syaikhul Islam Zakaria al-Ansori dan lain-lain”

Mengapa tidak terus mengambil daripada al-Quran dan al-Sunnah ? Bukankah lebih enak kalau kita mendengar seseorang tersebut menyebutkan “ Firman Allah taala di dalam al-Quran, Sabda Rasulullah sallallahu alaihi wasallam di dalam hadis itu dan ini?”

Ulama-ulama itu juga punya kesalahan dan kekurangan. Maka mereka juga tidak lari daripada melakukan kesilapan. Maka sebaiknya kita mengambil terus daripada kalam al-Ma’sum iaitu al-Quran dan al-Sunnah.
Pak Kiyai mendengar segala hujah yang disampaikan oleh pemuda tersebut dengan penuh perhatian. Sedikitpun beliau tidak mencelah malah memberikan peluang bagi pemuda tersebut berbicara sepuas-puasnya. Sambil senyuman terukir di bibir Pak Kiyai, beliau bertanya kepada pemuda tersebut,

Pak Kiyai : Masih ada lagi apa yang ingin kamu persoalkan wahai Abdullah?

Pemuda : Setakat ini, itu sahaja yang ingin saya sampaikan Pak Kiyai.

Pak Kiyai : Sebelum berbicara lebih lanjut, eloknya kita minum dahulu ya. Tiga perkara yang sepatutnya disegerakan iaitu hidangan kepada tetamu , wanita yang dilamar oleh orang yang baik maka disegerakan perkahwinan mereka dan yang ketiga si mati maka perlu disegerakan urusan pengkebumiannya. Betul kan Abdullah?

Pemuda : Benar sekali Pak Kiyai .

Pak Kiyai lalu memanggil isterinya bagi menyediakan minuman pada mereka berdua. Maka beberapa detik selepas itu minuman pun sampai di hadapan mereka.

Pak Kiyai : Silakan minum Abdullah.

Sebaik dipelawa oleh Pak Kiyai, maka Abdullah pun terus mengambil bekas air tersebut lalu menuangkan perlahan-lahan ke dalam cawan yang tersedia.

Pak Kiyai terus bertanya : Abdullah, kenapa kamu tidak terus minum daripada bekasnya sahaja? Kenapa perlu dituang di dalam cawan?

Pemuda : Pak Kiyai, mana bisa saya minum terus daripada bekasnya. Bekasnya besar sekali. Maka saya tuang ke dalam cawan agar memudahkan saya meminumnya.

Pak Kiyai : Abdullah, itulah jawapan terhadap apa yang kamu persoalkan sebentar tadi. Mengapa kami tidak mengambil terus daripada al-Quran dan al-Sunnah? Ianya terlalu besar untuk kami terus minum daripadanya. Maka kami mengambil daripada apa yang telah dituang di dalam cawan para ulama. Maka ini memudahkan bagi kami untuk mengambil dan memanfaatkannya.

Benar kamu katakan bahawa mengapa tidak terus mengambil daripada al-Quran dan al-Sunnah. Cuma persoalan kembali ingin saya lontarkan kepada kamu. Adakah kamu ingin mengatakan bahawa al-Imam al-Syafie dan para ulama yang kamu sebutkan tadi mengambil hukum selain daripada al-Quran dan al-sunnah? Adakah mereka mengambil daripada kitab Talmud atau Bible?

Pemuda : Sudah tentu mereka juga mengambil daripada al-Quran dan al-Sunnah.

Pak Kiyai : Kalau begitu, maka sumber pengambilan kita juga adalah daripada al-Quran dan al-Sunnah cuma dengan kefahaman daripada para ulama.

Pak Kiyai : Satu lagi gambaran yang ingin saya terangkan kepada kamu. Saya dan kamu membaca al-Quran, al-Imam al-Syafie juga membaca al-Quran bukan?

Pemuda : Sudah tentu Pak Kiyai.

Pak Kiyai : Baik, Kalau kita membaca sudah tentu kita ada memahami ayat-ayat di dalam al-Quran tersebut bukan? Al-Imam al-Syafie juga memahami ayat yang kita bacakan. Maka persoalannya , pemahaman siapa yang ingin didahulukan? Pemahaman saya dan kamu atau pemahaman al-Imam al-Syafie terhadap ayat tersebut?

Pemuda : Sudah tentu pemahaman al-Imam al-Syafie kerana beliau lebih memahami bahasa berbanding orang zaman sekarang.

Pak Kiyai : Nah, sekarang saya rasa kamu sudah jelas bukan? Hakikatnya kita semua mengambil daripada sumber yang satu iaitu al-Quran dan al-Sunnah. Tiada seorang pun yang mengambil selain daripada keduanya. Cuma bezanya, kita mengambil daripada pemahaman terhadap al-Quran dan al-Sunnah tersebut daripada siapa? Sudah tentu kita akan mengambil daripada orang yang lebih dalam ilmu dan penaakulannya. Ini kerana mereka lebih wara’ dan berjaga-jaga ketika mengeluarkan ilmu.

Kamu tahu Abdullah, al-Imam al-Syafie radhiyallahu anhu pernah ditanya oleh seseorang ketikamana beliau sedang menaiki keldai , berapakah kaki keldai yang Imam tunggangi?

Maka al-Imam al-Syafie turun daripada keldai tersebut dan mengira kaki keldai tersebut. Selesai mengira kaki keldai berkenaan, barulah al-Imam menjawab : “ Kaki keldai yang aku tunggangi ada empat”. Orang yang bertanya tersebut merasa hairan lalu berkata “ Wahai Imam , bukankah kaki keldai itu sememangnya empat, mengapa engkau tidak terus menjawabnya?” al-Imam al-Syafiee menjawab : “ Aku bimbang, jika aku menjawabnya tanpa melihat terlebih dahulu, tiba-tiba Allah taala hilangkan salah satu daripada kakinya maka aku sudah dikira tidak amanah di dalam memberikan jawapan”

Cuba kamu perhatikan Abdullah, betapa wara’nya al-Imam al-Syafie ketika menjawab persoalan berkaitan dunia. Apatah lagi kalau berkaitan dengan agamanya?

Al-Imam Malik radhiyallahu anhu pernah didatangi oleh seorang pemuda di dalam majlisnya di Madinah al-Munawwarah. Pemuda tersebut mengatakan bahawa dia datang daripada negeri yang jauhnya 6 bulan perjalanan daripada Madinah. Pemuda itu datang untuk bertanyakan satu masalah yang berlaku di tempatnya.
Al-Imam Malik radhiyallahu anhu, mengatakan bahawa “ Maaf, aku tidak pandai untuk menyelesaikannya”
Pemuda tersebut hairan dengan jawapan Imam Malik, dan dia bertanya : “ Bagaimana aku akan menjawab nanti bilamana ditanya oleh penduduk tempatku?”

Maka kata al-Imam Malik : “ Katakan kepada mereka bahawa Malik juga tidak mengetahui bagaimana untuk menyelesaikannya”

Allah.. Cuba kamu lihat Abdullah betapa amanahnya mereka dengan ilmu. Berbeza dengan manusia zaman sekarang yang baru setahun jagung di dalam ilmu sudah mendabik dada mengaku bahawa seolah-olah mereka mengetahui segalanya.

Pemuda : MasyaAllah, terima kasih Pak Kiyai atas penjelasan yang sangat memuaskan. Saya memohon maaf atas kekasaran dan keterlanjuran bicara saya .

Pak Kiyai : Sama-sama Abdullah. Semoga kamu akan menjadi seorang yang akan membawa panji agama kelak dengan ajaran yang benar InsyaAllah.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...