Khamis, 13 Mei 2010

Ini Manhaj Azhari Sebenar... Jangan Sekadar Mendakwa-Dakwi

Ramai orang pada zaman sekarang suka mendakwa-dakwi itu dan ini bagi membenarkan kelompok dan pegangan rapuh yang mereka dokongi. Lebih melucukan ada dikalangan pihak-pihak ini yang menafikan bahawa mereka adalah termasuk di dalam kelompok tersebut dengan melakukan penafian demi penafian walau semua orang sudah mengetahuinya. Malu mengaku bahawa mereka adalah golongan Wahabi maka mereka meletakkan nama mereka sebagai Salafi. Begitulah kelompok kekeringan manhaj dan pegangan. Tidak tetap pendirian.

Geli hati bilamana ada golongan yang meminta agar saya tidak membenci golongan wahabi dan turut meminta agar saya tidak terlalu membela para ulama Sufi. Saya ingin bertanya , dan saya minta kepada golongan ini untuk menjawab :

“ Boleh Tuan tunjukkan dimanakah perkataan saya yang menunjukkan bahawa saya terlalu membenci wahabi?”

Saya cuma menegur dan memberikan jawapan terhadap kebobrokan pemikiran yang mereka bawa. Mengkritik dan memberikan hujah semata-mata. Jika ini dinilai bahawa saya membenci golongan wahabi maka ini ternyata penilaian yang dangkal dan tidak professional. Jika seorang sahabat mengkritik hasil kerja sahabatnya yang lain, adakah ini bermakna pengkritik tersebut membenci sahabat yang dikritiknya? Hasil kritikan itulah yang menyebabkan seseorang itu akan menjadi lebih maju dan mencari kebenaran . Bukannya menutup mata dan hati daripada menerima kebenaran walaupun sudah disajikan di depan mata. Allahu Allah.

Seperkara lagi , mereka juga sudah berani mengaku bahawa mereka juga mengetahui manhaj al-Azhar al-Syariff. Sedangkan hakikat sebenarnya merekalah yang paling jauh daripada manhaj tersebut. Jika benar mereka mengetahui tentang manhaj tersebut, sekali lagi saya ingin bertanya:

“ Di manakah kamu (yang mendakwa bahawa cukup memahami manhaj al-Azhar al-Syariff) mengambil manhaj tersebut?”

Jangan sekadar mendakwa, tunjukkan bukti di mana dan daripada siapa yang kamu perolehi perkara tersebut?

* * *

Baru-baru ini, setelah tamat pembacaan kitab Hadis 40 al-Imam al-Nawawi rahimahullah oleh Syaikhuna al-Allamah al-Muhaddis Muhammad Ibrahim Abd Ba’ith al-Kattani al-Husaini hafizahullah di Rumah Kedah , saya bersama sahabat-sahabat yang hadir pada malam tersebut sempat bersembang-sembang dengan Syaikhuna al-Allamah al-Muhaddis Usamah Sayyid al-Azhari ( lihat gambar di atas ) berhampiran kereta beliau. Sambil berbicara , Syaikhuna al-Muhaddis terus menuju ke bahagian belakang kereta beliau lalu mengeluarkan sebuah risalah yang cukup menarik cetakannya lalu menyerahkan risalah tersebut kepada Ust Khairul Abdan , selaku Ketua Badan Ilmiyah Majlis Kebajikan Keluarga Kedah ( MKKK ). Syaikhuna menyampaikan pesanan agar tidak difotostat risalah tersebut. Pihak MKKK bercadang untuk meletakkan risalah tersebut di Maktabah MKKK.

Inilah Risalah karangan Syaikhuna al-Allamah al-Muhaddis Usamah Sayyid al-Azhari hafizahullah

Saya membelek-belek helaian demi helaian risalah tersebut. Risalah yang diberi nama :



Dikarang sendiri oleh Syaikhuna al-Allamah al-Muhaddis Usamah al-Sayyid Mahmud al-Azhari hafizahullah sendiri.

Sudah lama saya menantikan tulisan berkenaan Manhaj al-Azhar al-Syarif daripada sentuhan ulamanya sendiri. Alhamdulillah , kini ianya benar-benar ada di depan mata saya sekarang.

Alhamdulillah, Syaikhuna al-Allamah al-Muhaddis Usamah al-Sayyid Mahmud al-Azhari hafizahullah sendiri memberikan keizinan kepada saya untuk menterjemahkannya kepada Bahasa Melayu . Semoga Allah taala memberikan kekuatan untuk al-Faqir menterjemahkannya sehingga selesai.

Syaikhuna al-Allamah mengatakan berdasarkan pemerhatian dan penelitian beliau sepanjang proses pembelajaran dan pengajaran di al-Azhar al-Syariff, beliau dapat simpulkan bahawa ciri-ciri utama bagi pembinaan jati diri seorang Azhari adalah terbina daripada 8 ciri serta manhaj utama:

1. Bersambung Sanad ( silsilah ) pengambilan ilmu sama ada secara riwayah, dirayah serta tazkiyah. Ini akan diperolehi bilamana seseorang tersebut bertalaqqi ilmu serta bersahabat dengan para ulama di Bumi al-Azhar ini. Ini perlulah dilakukan dalam tempoh masa yang lama bagi memperolehi keahlian serta kefahaman yang jelas tentang ilmu sebenar di dalam Islam. Ini jelas menunjukkan bahawa ilmu itu diperolehi dengan cara bertalaqqi dengan para ulama bukan sekadar membaca tanpa guru.

2. Mengambil perhatian di dalam menguasai ilmu-ilmu asas bagi mempelajari serta memahami al-Quran dan al-Sunnah seperti ilmu Nahwu, Sarf, Balaghah, al-Ishtiqaq, Usul Fiqh, Ulum al-Hadis, Ulum al-Quran dan lain-lain.

3. Mengetahui secara menyeluruh serta jelas tentang Maqasid al-Syariah ( Prinsip-Prinsip di dalam Syariat). Pengetahuan secara mendalam terhadap Maqasid Syariah menyebabkan seseorang tersebut akan dapat membezakan perkara usul dan cabang di dalam agama. Maka ini akan menyebabkan seorang Azhari tersebut tidak akan cepat menghukum sewenang-wenangnya serta akan berlembut dengan golongan yang Jahil serta memberikan tunjuk ajar sebaiknya kepada mereka.

4. Meletakkan ayat al-Quran pada tempat yang sepatutnya. Ini jelas menunjukkan bahawa manhaj al-Azhar berbeza dengan manhaj sesetengah pihak yang terkadang meletakkan ayat yang diturunkan kepada orang-orang kafir kepada golongan Muslimin. Bilamana perkara sebegini berlaku maka secara tidak langsung akan wujud perpecahan serta buruk sangka kepada muslim yang lain.

5. Membesarkan kedudukan Umat Baginda sallallahu alaihi wasallam. Bilamana seorang Azhari tersebut mengetahui akan kedudukan serta kemuliaan Umat Baginda sallallahu alaihi wasallam, maka secara tidak langsung akan hilanglah perasaan ingin menuduh fasiq kepada umat Islam yang lain, menghukum kafir, ahli Bid’ah serta lain-lain hanya kerana melakukan perkara yang bagi fikiran mereka(yang tidak bermanhaj seperti Azhari) adalah merupakan Syirik Terbesar seperti Bertawassul dan lain-lain. Sedangkan hakikat sebenarnya adalah bertentangan dengan apa yang mereka fikirkan.

6. Meletakkan bahawa perkara paling utama adalah menyampaikan hidayah Islam kepada seluruh alam.

7. Mempunyai ciri-ciri lengkap di dalam pembentukan ilmu iaitu dengan 1) berpandukan al-Quran, al-Sunnah, Ijma’ dan al-Qiyas, 2) mempunyai manhaj ilmu yang muktamad serta mempunyai kaedah yang jelas bagi memahami sesuatu nas tersebut, 3) mempunyai kemampuan serta anugerah daripada Allah taala bagi mendalami ilmu tersebut. Ini jelas menunjukkan bahawa manhaj al-Azhar berbeza dengan manhaj yang lain . Jika tidak punya kaedah yang jelas di dalam pembentukan ilmu maka akan lahirlah kelompok yang hanya mengetahui istilah dalil tetapi tidak mengetahui apakah cara untuk mengeluarkannya , mengumpul serta meneliti dalil satu persatu berdasarkan keahlian seseorang tersebut di dalam bidang ilmu tersebut.

8. Sentiasa mengambil faedah daripada Turath Ummah (Tinggalan umat Islam terdahulu seperti kitab-kitab karya mereka serta apa sahaja yang memberikan faedah dan manfaat), menyedari akan kedudukan serta keagungan tinggalan umat Islam silam serta mengetahui cara bagaimana mengambil segala faedah daripadanya .

Inilah manhaj yang dipegang dan sepatutnya difahami secara lumat oleh penuntut ilmu di al-Azhar al-Syarif. Jika perkara sebegini tidak lagi difahami dengan baik, maka janganlah mengaku pandai serta menuduh orang lain berlagak sombong sedangkan hakikat sebenarnya merekalah yang berlagak sombong tersebut.

Semoga semua dapat mengambil manfaat .

Mohd Nazrul Abd Nasir,
Penuntut Ilmu Masjid al-Azhar al-Syariff & Masjid al-Asyraff,
Rumah Kedah Transit Hayyu 7,
Kaherah, Mesir

p/s : Saya cuma menterjemahkan isi penting di dalam risalah tersebut sahaja, bukan keseluruhannya. Terjemahan secara keseluruhannya akan dimasukkan di dalam risalah Syaikhuna nanti bilamana cetakan pelbagai bahasa dikeluarkan.

4 ulasan:

  1. Assalamualaikum..

    Alhamdulillah.. semoga diberikan kemudahan dari setiap urusan yang murni. salam imtihan.

    BalasPadam
  2. Assalamualaikum..

    Ustaz, ana nak tanya ikhlas.

    Kenapa Manhaj Al-Azhar tak ada menyebut tentang politik secara JELAS ataupun menyebut politik itu sebagai MANHAJ ASASI? Walhal kita lihat kebanyakan ataupun majoriti pelajar Malaysia yang balik daripada Al-Azhar semuanya banyak cenderung ke arah politik.

    Kadang-kadang saya rasa seperti apa yang khorijiin Al-Azhar Malaysia buat, macam tak selari dengan Manhaj Azhar sendiri, yang membudayakan ilmu lebih daripada segalanya termasuk politik. Pelik ana rasa.

    Kalau Ustaz boleh terangkan.... Bagi tenang hati.

    P/S : Ana risau para Azhari yang balik sebenarnya hanya membawa Manhaj PMRAM yang pada dasarnya -setelah ana kaji- berbaur politik.

    BalasPadam
  3. Assalamualaikum ustaz.

    Sekadar tambahan:
    Seingat saya, dahulu akhbar Liwa Islami ada menulis perihal manjah al-Azhar juga melalui temubual dengan beberapa ulama al-Azhar. Akhbar tahun lepas kalau tidak salah saya.

    Wallahualam.

    BalasPadam

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.