Hari ini hari terakhir Ramadhan. Pada waktu saya menulis , telah masuk 1 Syawal.30 hari berlalu dengan pantas.Masih terngiang-ngiang di telinga saya bacaan al-Quran yang dibacakan oleh Syaikhuna Murabbi Dr Yusri hafizahullah. Terasa enak. Sungguh saya katakan Ramadhan kali ini sangat berbeza dengan Ramadhan yang pernah saya lalui.
Rindu para Ibu dan Ayah serta adik-adik di kampung tidak perlu saya ungkapkan.Hanya Allah taala jua yang mengetahui rintihan hati ini.Namun saya selalu memohon kepadaNya agar melimpahkan rahmat dan inayahNya kepada keluarga saya dan seluruh umat Islam.
30 hari menahan lapar dahaga.Mengikat nafsu yang bergelora.Hati penuh karat ini cuba mencari-cari jalan cahaya menujuNya.Moga taubat hambaMu yang hina ini Kau terima Ya Tuhanku,Ya Arhamarrahimin.Aku bimbang Ya Allah, Aku bimbang 30 hari ini berlalu dengan sia-sia.Walau zahirnya ramai melihat seolah aku beribadah.Namun, batinnya kosong hampa tidak berguna.
Aku bukanlah hamba kepada Ramadhan.Mana mungkin seorang hamba menjadi hamba kepada hamba yang lain.Aku hanya Hamba kepada Pemilik Ramadhan itu sendiri.Tuhan semesta alam yang meletakkan dan memberikan keistimewaan kepada Ramadhan.Jika Allah taala dan RasulNya tidak meletakkan bahawa engkau mulia wahai Ramadhan.Demi Allah , aku juga tidak akan memuliakanmu wahai Ramadhan.Namun Tuhan semesta Alam.Pemilik Arasy memuji dan memberikan engkau kelebihan, Junjungan Besar Muhammad sallallahu alaihi wasallam juga memberikan pengiktirafan kepadamu wahai Ramadhan.Maka aku merasa sangat jauh jika dibandingkan denganmu.Pintalah padaNya , moga aku sekali lagi dapat berdakapan mesra denganmu wahai Ramadhan.Moga aku dapat merasai belai dan indahnya bercinta denganmu Wahai Ramadhan.Ingin bercinta dengan Allah taala dan RasulNya terasa amat jauh.Cukuplah bercinta dengan makhlukNya yang dipuji oleh lisan NabiNya sallallahu alaihi wasallam.Beribadahlah sesungguh-sungguhnya pada Malam 1 Syawal ini.Laksanakan solat sunat Tasbih empat rakaat dua salam.Banyakkan berzikir buat mengingatiNya.
Esok pagi, bermulalah episode baru di dalam kehidupanku.Adakah aku mampu lakukan sepertimana aku lakukan ketika bersamamu wahai Ramadhan?Moga Allah taala memberikan inayah kepadaku.Hakikatnya aku tidak punya apa-apa.Semuanya daripadaNya.
Seusai mandi dan menunaikan solat Subuh, makan dahulu buang sebiji dua tamar.Baginda sallallahu alaihi wasallam melakukan sedemikian.Jika tiada tamar, makanlah apa sahaja yang ada buat mengalas perut,serta menunjukkan rasa perbezaan dengan hari sebelumnya yang dilarang makan dan minum pada waktu pagi setelah terbit fajar.
Pakailah pakaian yang cantik.Sebaiknya putih buat mengingatkan diri jika bergembira sekalipun, mati boleh datang bila-bila masa.Jika ada pakaian yang berwarna selain putih maka disunatkan juga untukmu memakainya buat melahirkan rasa syukur kepadaNya yang memberikan nikmat umur dan sihat kepada kita.
Keluarlah menuju ke Masjid sambil bertakbir kegembiraan.Jangan keringkan bibirmu tanpa zikir dan takbir.Ini syiar yang mesti dilaksanakan.Bertakbir melahirkan kegembiraan.Bertakbir mengingat kebesaran Tuhan. Ramai yang bertakbir, namun jiwanya kosong dengan hakikat takbir.Kamu sebut “ Allahu Akbar” yang bermaksud Allah Maha Besar. Namun, nafsu dan geloramu masih engkau besarkan. Dunia dan isinya masih engkau kejar dan anggap besar berbandingNya.Engkau tak ubah seperti menanam tebu di bibir.Tiada guna. Malah takbir itu akan menempelak engkau kelak di hadapanNya.
Berjalanlah menuju ke Masjid mengikut jalan yang agak jauh.Dan pulang semula menggunakan jalan yang dekat.Gembirakan kanak-kanak yang engkau temui.Berikan mereka onde-onde buat kenangan.Biar mereka gembira.Allah taala telah mengkhususkan satu pintu khas di Syurga hanya untuk orang-orang yang mengembirakan kanak-kanak.Laksanakan perintah Allah taala dan RasulNya sebelum solat didirikan.Tunaikan pembersih jiwa batinmu.Zakat wajib yang perlu engkau tunaikan.Lebihkan keluarannya. Aku hairan, Bila engkau ingin membeli sesuatu untuk dirimu, maka engkau tidak teragak-agak untuk menghabiskan hartamu walau mahal sekalipun.Tetapi mengapa bilamana seorang saudaramu memerlukan bantuan orang berada sepertimu, maka engkau tangguh-tangguhkan urusanmu??.Apa kamu ingat harta itu milik kamu selamanya? Kamu akan bawanya ke kuburmu??
Kamu kena ingat.Mungkin kamu kaya hanya kerana berkat doa si miskin dan si yatim tersebut.Disebabkan mata hatimu telah buta dengan dunia.Maka engkau tidak akan nampak selama-lamanya hakikat ini.
Gembiralah kerana ini adalah hari gembira.Namun bezakan cara gembira kita dengan cara gembira orang bukan Islam.Kita gembira ada batasnya, ada sempadannya.Jangan dilepasi sempadan itu.Kelak kamu yang rugi.Jangan bergaduh dan marah-marah pada hari ini.Tangguhkan dahulu amarahmu.Ingatkan semula dirimu bahawa ini hari yang Allah taala berikan nikmat kepada makhlukNya yang beriman untuk bergembira.Jangan engkau langgar perintahNya hanya semata ingin menurut amarahmu .
Ramadhan, sungguh aku tidak pernah melihat dirimu, namun ku rasai kehadiranmu.Ku hiba dengan pemergianmu.Ku tetap nantikanmu Ramadan.
p/s: Salam IdulFitri saya ucapkan kepada semua , terutama kepada Ayah, Mak, dan adik-adik di Kampung Tong Pelu Pedu.Abang sentiasa rindukan kalian.Saudara mara di kampung.Keluarga di Kampung Pahit , Perak ..Guru-guru di KISAS , SMKA Baling, SMIDU ,SK Panglima Awang dan SK Datin Fatimah yang banyak membimbing diri ini. Murid-muridku di SMIDU Maafkan segala dosa kesalahanku pada kalian.Doakan diri ini diperantauan.Semoga dapat bertemu lagi.
assalamualaikum:
BalasPadamselamat hari raya maaf zahir dan batin atas segala salah silap yg pasti ada sepanjang tujuh tahun kita bersahabat..
ana balik mesia 2 syawal 1430H..
doakan ana ye..
Assalamualaikum ustaz Nazrul, seawal ustaz menulis, seawal pagi juga saya menziarahi laman ini, untuk mengetahui khabar ustaz. Semoga Allah merahmati kita semua, dan tidak membiarkan jiwa kita kosong dengan berlalunya Ramadhan yang sentiasa di rindu. Sampaikan salam ukhuwwah dan kasih sayang saya buat ibunda tercinta ustaz.
BalasPadamSelamat Hari Raya, maaf zahir dan batin.
Terima Kasih Azalee dan Ummi..Saya dah sampaikan salam Ummi pada Mak saya..selamat Hari raya Maaf Zahir dan Batin..
BalasPadamKullu Am Wa Antum bi Khair..